About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Monday, August 30, 2010

Catatan Ringkas al-Qur'an

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Lailatul-Qadar,
2. Dan apa kamu mengetahui apakah (kemuliaan & kebesaran) Lailatul-Qadar itu?
3. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Turun para malaikat dan roh (Jibril) padanya dengan izin Rabb untuk mengatur segala urusan
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Al-Qur’an = Qalam AlLah
AlLah sengaja – memilih Ramadhan untuk menurunkan semua Kitab dan Suhuf-Nya (al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Tafsirnya dan Usman al-Khaibawi) menyebut dalam kitabnya
Al-Qur’an diturunkan sekaligus pada Lailatul Qadar dari sisi AlLah ke Baitul Izzah di langit dunia diiringi 70 000 para malaikat. Dari Baitul Izzah disampaikan ke dada RasullulLah SAW dari semasa ke semasa mengikut keperluan dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari @ 23 tahun. 13 tahun sewaktu Baginda SAW masih berada di Mekah dan 10 tahun setelah Baginda SAW berhijrah ke Madinah.

Ayat yang diturunkan di Mekah dinamakan Ayat Makiyyah yang menekankan konsep aqidah kepada ketuhanan & kemahaperkasan AlLah SWT, demi merasakan keberadaan AlLah dan meneguhkan hubungan yang dikenal dan terkenal sebagai Hablun minalLah
menjadikan langit & bumi serta semua isinya,
menjanjikan adanya hamparan pahala dan desah dosa,
menjelaskan kubur atau alam balasungkawa itu tempat transit pertama menuju untuk bertemu-Nya dan di sana sudah siap tersedia sama ada hamparan nikmat yang terus didatangkan dari syurga atau semasa di kubur kita bergelut dan bertarung 24 jam seharian dengan rantaian azab yang terus-menerus datangnya dari neraka.
Adanya alam yang dikenali sebagai mahsyar tempat perhimpunan raya bila mana semua yang pernah menerima subsidi nyawa akan dikumpul dan dihimpun bersama, ada agenda besar menanti kita kerana semua aksi yang sempat kita buat walau sesembunyi mana sekalipun akan ditanyai, seandainya apa yang kita terokai sewaktu nyawa masih menghuni jiwa mengikut dan betul dengan apa yang diprogramkan dalam al-Qur’an, kita akan dibayar gaji atau upah yang berjenama pahala. Seandainya apa yang kita terbuat sama ada sengaja atau dirancang semasa nyawa masih dikandung badan itu berlawanan dengan petunjuk yang ada dalam skima al-Qur’an, kita akan dikira penderhaka, pengganas AlLah SWT walau semasa di dunia kita dipandang dan dinilai mulia.
Adanya alam yang kekal selamanya yang dinamakan akan dia syurga dan neraka, tidak ada tempat yang ketiga atau keempatnya. Syurga disediakan untuk semua hamba-Nya yang sanggup semasa di dunia ini meletakkan hidupnya di bawah bayangan al-Qur’an untuk segala tindak dan tanduknya. Sementara neraka pula disedia secara kekal pula kepada sesiapa yang meragui kemahaperkasaan Allah, yang merasakan dia juga sehebat AlLah seperti Fir’aun misalnya.
Bayangkan selama 13 tahun Baginda Rasul SAW mentarbiyyah mereka dengan kurikulum dan sukatan pelajaran yang sedemikian. Lalu lahirlah manusia hebat dalam almari sejarah Bilal bin Rabah umpamanya walaupun diletak batu di atas perut dijemur di bawah panahan terik panas matahari, membelakangkan padang pasir yang menggelegak panasnya, tetap mengukir senyum melantunkan kalimah Ahad, Ahad, Ahad, ucapan yang sama juga dapat kita dengar pada hari minggu di negeri-negeri pantai barat apabila dikejutkan untuk solat Subuh, mereka juga akan menjawab dengan penuh biadap ahad, ahad, ahad.

Ayat yang diturunkan selama 10 tahun di Madinah dikenali sebagai ayat Madaniyyah yang mencakup dan untuk mencukup untuk konsep Hablun Minnas- untuk merapatkan dan memesrakan interaksi dengan sesama manusia sewaktu melastari hidup di dunia, sama ada dengan manusia yang sudi menyatakan imannya kepada AlLah, sama ada interaksi dengan manusia yang menolak kemahaperkasaan Allah, atau untuk berinteraksi dengan sejumlah manusia yang berpura-pura menyatakan iman dengan hujung lidahnya sementara hatinya tersimpan segala dan semua zulumat paganisme. Segala tataperaturan untuk hidup damai antara manusia diajari dalam ayat-ayat Madaniyyah. Bagaimana untuk mencari & memilih pasangan hidup, bagaimana untuk melepaskan ikatan perkahwinan bila sudah tidak ada persefahaman, bagaimana untuk melayani anak-anak yang masih bayi, bagaimana cara untuk bertamu ke rumah teman atau taulan, bagaimana untuk berjual beli, bagaimana untuk sewa-menyewa, bagaimana untuk bersedekah, makanan dan minuman apa yang patut disuap masuk ke dalam perut, bagaimana untuk berpakaian, bagaimana dan apakah peraturan yang dapat mencegah manusia daripada yang berbuat perkara yang negatif, bagaimana untuk bersahabat, bagaimana tatacara untuk bermusuh, bumi mana yang harus kita melancong, siapa yang boleh kita jadikan ikon, siapa kita siapa kawan kita siapa musuh kita, semuanya ada siapa siaga tercetak sejak lama dulu dalam al-Qur’an. Siapa kita dalam al-Qur’an sebut Wamaa khalaktul jinna wal innsa illa liyakbuduun= tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk berabdi kepada-Ku. Kita hanyalah hamba menumpang di sudut dunia, ku dengan caraku yang sederhana, kita sama sahaja bezanya cuma amalan kita.
Siapa kawan kita; disebut dalam al-Hujrat; Innamal mukminuna ikhwatun
Siapa musuh kita; diperjelas Yaa bani Adam laa takbudu syaiton innahu lakum adduwum mubinn, wahai anak cucu Adam janganlah kamu berabdi kepada setan & the gang, sesungguhnya setan bagi kamu musuh yang nyata (turun-menurun/tradisi)

Dalam al-Qur’an menyebut secara jelas dan tuntas, menyebut; manusia diciptakan daripada tanah, jinn, setan & yang seperangai dengannya dicipta daripada api, sementara malaikat Jibril AS dan rakannya dicipta daripada nur/cahaya. Ada sesuatu signifikannya lewat penciptaan dan apabila berlaku interaksi ini. apabila manusia bergelumang/bergaul mesra dengan setan maka terjadilah percampuran antara tanah dan api menatijahkan sesuatu keadaan yang kering, keras, begitulah apabila manusia dibentur dan diram dan diperam dengan kaedah setan, maka akan terbentuklah manusia yang keras seperti bata. Sebaliknya jika tanah ini diperam dengan cahaya dengan erti bergaul dengan para Malaikat, maka akan kekallah kelembutan sama ada pada wajah atau jiwa perangainya.

Macam-macam ada dalam al-Qur’an. Walaupun ditulis dalam bahasa Arab tapi makanan asas kita ada dalam al-Qur’an;(Qul Aauzubirabbinnasi) nasi, kalau kita berada dalam gelap kita perlukan cahaya, salah satu sumber cahaya disebut (al-Fil- fi todhlilin) lilin, bila makan, ada kalangan kita yang sukakan rasa pedas, sumber pedas ini ada terdaapat dalam al-Qur’an (al-Ikhlas: walam yuulada) lada, budak, manis, bir, dadah, fenomena handfone juga disebut dengan jelas dalam Kitab AlLah ini.

Al-Qur’an ini AlLah programkan untuk dibaca, difahami, dihayati, dan diamalkan oleh manusia sewaktu manusia itu masih bernyawa, bukan sudah mati atau ditelan bumi. Dalam al-Baqaroh 185 termuat firman; Bulan Ramadan padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar dengan yang salah.

Al-Qur’an akan jadi pedoman, petunjuk, dan pembeza hanya setelah diamalkan segala suruh dan tegah yang ada dalamnya. Bukan dibacakan setelah seseorang itu mati. Kesihan yang amatlah jika semasa hidup seseorang itu tak pernah baca, faham, dan amal isi kandungan al-Qur’an, tetapi dibaca dikuburnya setelah dia mati, sebab dia tak dapat buat apa-apa.

Salah faham berhubung Ramadhan
1- Perlu disambut dengan mercun atau bunga api
2- Terawih dirasa lebih besar pahala daripada solat Rawatip atau solat Subuh
3- Pergi atau hidupkan masjid hanya pada bulan Ramadhan
4- Makan dengan banyaknya waktu berbuka kerana seharian berlapar
5- Bertungkus lumus membaca al-Qur’an hanya bulan Ramadhan
6- Bersedekah hanya pada bulan Ramadhan

Sunday, August 15, 2010

Antara Sambutan Merdeka & Lailatul Qadar ; Di Mana Kita?

Al-HamdullilLah segala rupa puja, segala susuk puji, segala wajah syukur, dirapat & diangkat ke-Hadrat AlLah SWT, yang masih menumpahkan sisa-sisa simpati-Nya kepada kita, lalu disambung-Nya pinjaman nyawa ini walaupun tiada penjamin, sama ada dari kalangan manusia, malaikat, atau jin. Lantaran kemahapemurahan-Nya itulah, kita sempat lagi menghirup udara dan sambungan nyawa hingga kita berjumpa dengan Ramadhan, bulanhyper mulia yang pernah tercipta dalam kalendar kehidupan. Trek perjalanan Ramadhan yang berpusing dan beredar mengikut kiraan pusingan bulan, sementara roda Ogos yang beredar mengikut pusingan perjalanan matahari, yang membezakan 5 hari antara keduanya, menjadi penyebab kalendar tahun Hijrah dapat mengejar perjalanan tahun Masehi. Ya, pada tahun ini, kertas di kalendar menjadi saksi, Ramadhan bulan kesembilan mengikut kiraan bulan, dan Ogos bulan kelapan mengikut pusingan hitungan matahari telah menyatu. Penyatuan antara Ogos yang menyediakan janji kemerdekaan pada bumi Malaysia lewat 1957 dengan jaminan Ramadhan dengan kehadiran Lailatul Qadar tentunya cukup menarik untuk dijadikan teladan sepanjang perjalanan zaman slagi hayat maih sudi dikandung badan. Merdeka yang dirayakan dengan pelbagai acara dan sambutan tentunya punyai bermacam-macam signifkan yang terpendam. Tentunya wap dan bau aroma merdeka tidak lama pada hidung seseorang yang turut serta kudrat tenaganya untuk menghalau penjajah dengan kita generasi hari ini yang apabila celik mata memandang maya, negara sudahpun merdeka. Erti dan makna merdeka yang kita rasa sebagai generasi muda tidak sedalam dan senikmat mereka yang bertungkus-lumus memikir pelbagai strategi untuk menghalau penjajah dari terus menghuni bumi bertuah. Itu sebahagian hakikat dan relaiti yang kita hari ini tidak dapat untuk menipu diri. Bagaimanapun jazakalLahu khairan kasira buat semua pejuang silam yang sanggup meletakkan nyawanya menjadi taruhan untuk melihat zuriatnya tidak terus dijajah penjajah ganas. Tok Janggut, Tok Kenali, Syed Tahir Jalaluddin, Ab Rahman Limbong, Tok Gajah, Dol Said, Dato Bahaman, Mat Kilau, Rosli Dhobi, dan sahabatnya telah menempa sejarah dengan tinta emas. Nama mereka tetap hidup tidak pernah mati-mati, meskipun jasad mereka sudah terlalu lama bersemadi di bumi.

Bulan ini, iaitu Ogos tentunya pelbagai acara dirangka dan dirancang untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan tanah air buat yang kesekian kalinya. Ada tema tertentu dirangka dan diperkenal guna untuk dihayat bersama-sama, demi untuk menambah rasa sayang akan negara dan dari situ akan tumpah taat setia, rela menumbahkan pula segala kudrat iradat yang ada guna mempertahankan negara kita dari sebarang anasir yang tidak berguna, sama ada serangan yang datang dari dalam atau luar sana. Kata orang tua-tua; biar putih tulang jangan putih mata. Demi mejayakan agenda merdeka, 31 Ogos dijadikan cuti umum, agar rakyat tidak pernah akan lupa tarikh keramat negara merdeka. Dikhabarkan jika ada syarikat swasta yang menyuruh pekerjanya bekerja pada hari cuti umum, maka syarikat berkenaan kena bayar gaji kepada pekerjanya itu 3 kali ganda. Sehari bekerja pada hari cuti umum dibayar 3 kali ganda gaji untuk hari itu sahaja. Misalnya jika gaji pekerjanya RM 100 sehari, maka hari cuti umum dibayar RM 300 sehari. Hebat kan?

Fenomena ini amat jauh bezanya jika kita berpeluang menghidupkan Lailatul Qadar. AlLah SWT berkenan untuk memberikan ganjaran berupa bonus lebih daripada 1000 bulan kepada sesiapa yang sudi mengurangkan sedikit masa tidurnya. Lihatlah betapa besarnya beza antara kekayaan AlLah SWT Yang Maha Sempurna dengan kemampuan sesebuah syarikat yang terhad pelbagai sumber yang ada. Sesebuah syarikat sesekali tidak akan mampu untuk membayar gaji semua pekerjanya dengan gandaan 3 kali ganda jika semua pekerjanya bekerja pada cuti umum, hanya pekerja terpilih sahaja boleh berbuat demikian. Hal ini tentunya amat berbeza dengan AlLah SWT yang akan membayar ganjaran 1000 bulan kepada semua hamba-Nya yang berjumlah 2-3 billion ini, jika semua mereka mampu menghidupkan Lailatul Qadar dengan pelbagai resipi dan menu pengabdian. Jadi kenapa kita masih lengah, kenapa kita masih diulit ragu, untuk menjadi hamba yang setia. Kalaulah ada mana-mana syarikat yang ada di dunia ini sanggup membayar gaji atau bonus untuk 1000 bulan, biarpun kita hanya berkerja hanya sebulan, bermakna kita hanya perlu bekerja hanya sebulan, gaji yang kita terima sudah cukup untuk menyara seumur hidup hayat yang diberi. Kenapa Allah menawari kita dengan ganjaran yang terlalu lumayan itu? Ganjaran ini dikeranakan kita akan dihidupkan semula setelah kita diberehatkan sekejap dalam pusara. Perjalanan hidup di sana kelak, di sebuah penempatan yang bernama akhirat, berupa satu kehidupan yang selama-lamanya, tidak akan mati-mati kerana mati sewaktu itu sudah mati! Kemahaperkasaan Allah telah menjadikan kita daripada tidak ada kepada ada. Kemahaperkasaan Allah itu jugalah yang akan menghidupkan kita semula untuk selama-lamanya. Ya, keberadaan kita yang menghuni dunia di penghujung usianya ini, rata-ratanya berumur kurang daripada 100 tahun. Jadi himpunan amal soleh yang mampu kita garap dalam usia begitu singkat tidaklah sebanyak mana, lalu AlLah SWT yang Maha Mengetahui telah menumpahkan kemurahannya buat umat ini, dengan menganugerahkan satu malam yang teristimewa bernama Lailatul Qadar. Istimewanya malam ini bukan kerana namanya, tetapi kerana mampu menghidup dan mewarnakan kedatangan malam tersebut dengan pelbagai menu amal soleh. Malam ini sengaja AlLah datangkan pada malam-malam terakhir pada penghujung Ramadhan, dikhaskan lagi pada malam-malam ganjil. Jika ada sebahagian umat ini sanggup berjaga malam untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang hanya berebut sebuah bola dan piala, kenapa umat ini tidak sanggup berjaga malam untuk meraikan kedatangan Lailatul Qadar. Jom kita mulakan agenda menjaring Lailatul Qadar mulai 30 Ogos hingga ke malam hari raya, kita mula jaga mulai jam 2 atau jam 1 atau jam 12 untuk menanti kunjungan hormat Lailatul Qadar. Masih terlalu banyak makna ayat al-Qur’an yang masih belum kita faham, masih terlalu banyak hadis Rasul SAW yang belum kita telaah, masih terlalu banyak kitab fekah yang belum kita tatap, masih terlalu banyak kitab tauhid yang belum kita baca, masih terlalu banyak kitab sirah yang belum kita santap, selawat dan salam yang kita kumpulkan di album hidup ini tidaklah terlalu banyak, kita sebetulnya masih terlalu gersang dari rahmat-Nya, mudah-mudahan Ramadhan 1431 ini lebih menjanjikan. Insya-AlLah.

Wednesday, August 11, 2010

Setulus Doa di Perdu Ramadhan

alhamdullilLah
kunjungan ramadhan tahun ini menghampar sudi
singgah bagai melepas lelah di pelabuhan usia
dengan penuh gundah resah dan pasrah kutadah
kedua telapak tangan jauh pada keheningan malam
menyusun bait-bait kudus setangkai doa
di atas tunjangan yakin
hanya Kaulah Maha Mendengar semua suara
hanya Kaulah Maha Penyusun semua babak takdir
hanya Kaulah Maha Pelaksana semua episod takdir
hanya Kaulah Maha Penyempurna mencantum juzuk-juzuk takdir

sempena hadir ramadhan mengendong zat berkat
sempena hadir ramadhan mengandung sari rahmat
sempena hadir ramadhan menghamil semua maghfirah
kuangkat dua telapak ini menadah penuh pasrah
mendamba sisa-sisa zat berkat
mengharap baki vitamin rahmat
menanti baki kalori maghfirah
menunggu sisa jaminan kebebasan dari gigitan neraka
sudi singgah menyuci membilas segala resah dosa

Ya AlLah pemilih kekal purnama ramadhan
jadikan jeliran lidah ini basah lembut dan ringan
dengan melodi dan alunan merdu bait-bait zikir
jauhilah lidah ini dari memuntah
pancaran kata yang memanggil datangnya dosa
menghitam warna putih di kanvas usia

Ya AlLah pemilik mutlak mulia Lailatul Qadar
jadikan pandangaku hanya jinak dan lunak
menatap penuh lahap cuba memahami wahyu suci
menatap penuh lahap cuba menghayati cahaya sunnah nabi
jauhilah spera mata ini dari singgah dan berlabuh
di muara pandangan yang Kau-murka

Ya AlLah Rabb serata maya
jadikan melodi suara-suara yang sudi singgah di telinga
hanya dari suara yang memuja dan memuji-Mu
hanya dari suara yang berselawat buat Nabi Muhammad SAW
jauhilah pendengaran ini dari cuba-cuba menangkap suara
mengundang dan menggamit hanyir dosa

Ya AlLah pencipta semua dunia segala isinya
jadikan jejak-jejak kaki ini hanya berminat singgah di masjid-Mu
bertamu di taman majlis dan program ilmu mengenal-Mu
jauhilah kedua kaki ini dari berasa galak
menempatkan tapak ke halaman berbau maksiat
biarpun adanya terlalu dekat dan rapat



030600 pagi-01ramadahan1431/11ogos2010

Friday, August 6, 2010

Antara Rejab, Sya’ban, & Ramadhan

lewat kalendar rejab ada yang kejap
sirah menukil ada jua manusia tidak tetap
pabila Baginda Rasul SAW dipanggil mengadap
AlLah Rabb serwa jagat & hayat
abu bakar membukti dialah sebenar sahabat
di hamparan dunia atau luasnya akhirat
isra’ mikraj diimaninya penuh kudrat

mulianya isra’ mikraj Baginda Rasul SAW dipersila mengadap
menggambar manusia & AlLah sebenarnya dekat
pabila menu & resipi solat dihirup dengan lazat
pabila menu & resipi solat ditelan terasa nikmat

hijau saujana bumi rupanya ada tuan
biru hamparan laut rupanya ada tuan
lengkung unik langit rupanya ada tuan
hebatnya kita sebagai manusia rupanya ada tuan
suruh & larang dalam Islam rupannya ada tuan
setelah diyakini & menyakini AlLah sebagai tuan
itulah tunjangan aqidah yang patut tertanam

kunjungan sya’ban menawarkan gugus peluang
lewat sebuah sabda Baginda SAW menukilkan
sesiapa yang sudi untuk mewarnakan iklim malam
idil fitri, idil adha, jua nisfu sya’ban
dengan warna soleh & solehah pada kanvas kehidupan
gerak hatinya tak akan kenal erti mati
di sela-sela hidup manusia yang buta hati

udara ramadhan datang mengalas tawaran dari IlLahi
untuk berbicara dengan hati yang tidak kenal erti mati
‘wahai manusia yang telah iman memasuki hati
diwajib kamu melazimi puasa yang diberi
sebagai umat nabi silam telah merasai
berkejaran untuk menggondol anugerah IlLahi
yang berjenama taqwa ini
hanya beberapa hari yang bisa dibilang jari’

thank you AlLah kerana bermurah
menawari kami umat akhir ini anugerah
satu malam penuh warna warni
lailatul qadar sekian lama kami nanti
bonos seribu bulan akan kami buru pasti
berilah selaut & selangit kekuatan diri
agar ramadhan 1431 ini lebih berkualiti
kami bisa senyum meneruskan tugas sebagai abdi
menjadi hamba-Mu yang sejati.



11;33;44 pagi - kg telok telok kemunting
26 sya’ban 1431 - 07082010

Tetamu

free counters