About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Tuesday, December 28, 2010

Guru BM Yang Paling Malang

sori xprsn msj adah sknh..huhu
btul ke dh ttp?xleh cek dh ko?
xpe,,ore download dh..hihihi
ala su,,mktb dh nk bka dh pom,,hehe
ahd ni kte jmpa la,,,hehe
ekeleh,,,jwpn LELAKI..sng sgt ..huhh~
da2,,pehal plak ttbe touchg..hahaahaha
okla,,akak nk out da..nk kms brg..sok akak g kl taw..
gonna mish ue so damn dear!!~ tc deq..
cEh....xp0w larh,,nt sy try pnggil sEp tv3 mai ambik mctiE ms0k tB,,tu p0m lU x kn0w ejEk k0 sEp2 dy,,,,hahahaha
oho.. da tgk da mlm td..
sumpah pasnie xnak tdo ag..! :P
(sumpah brani mati)
tahniah ea ain,mira,n fadh (power la kowg)
huhu..tahniah2!! :)
ekeleh,,,jwpn LELAKI..sng sgt ..huhh~
da2,,pehal plak ttbe touchg..hahaahaha
okla,,akak nk out da..nk kms brg..sok akak g kl taw..
gonna mish ue so damn dear!!~ tc deq..
windunyo ko sep2 tok bachok....
mepna,hayyu,ejat,pujah,chena,khairun,mcsue,alyani,ku noor,odah,n3by,shaq,fana, ayu, fatin,yana , n sume laa....
plg d rindui pok jie n nasi ayam bakr....huhuhuhu....
sup ekin jgn lupe gok,,,,
jom2 g mkn sup kt kdai ekin.

Kalimat atau kalimah di atas merupakan secuit kecil antara berjuta catatan yang boleh kita tatap di facebook, sms, bloq, dan seumapamanya. Khabarnya kata gemulah Hang Tuah ‘Tak kan Melayu hilang di dunia’. Tentunya maksud gemulah itu yang dikatakan Melayu tu, bahasa Melayu. Saya secara jujur mengaku, banyak kalimah yang ditulis semacam ini, apabila saya baca saya tidak faham dan tidak dapat menangkap maksud sipenulisnya.
Dalam banyak-banyak persoalan yang mungkin muncul dalam benak dan kalbu, mungkin ada 2 persoalan yang menjunam dalam minda apabila berdepan dengan fenomena ini;
1. Bahasa Melayu semacam inikah yang dimaksudkan dalam perlembagaan negara?
2. Rasa simpati yang tinggi dikirimkan buat guru Bahasa Melayu yang berlumus-tungkus dan bertungkus-lumus mengajar dari tadika hingga ke peringkat SPM, STPM, universiti dan seumpamanya, kerana ilmu yang diajarnya ternyata sia-sia. Tidak berdaya untuk diaplikasikan dalam kehidupan, hanyalah diambil tahu untuk menjawab kehendak soalan peperiksaan awam sahaja.
Sayang berbilion-bilion kali sayang, bahasa Melayu yang penuh dengan kesantunan, kelembutan, kehalusan, dan sebagainya itu sedang dihancurleburkan oleh rakyat negara ini sendiri dalam negeri mereka sendiri. Tak kanlah sampai patah tangan untuk menaip ejaan sesuatu perkataan sebagaimana yang dipelajari di sekolah selama berbelas-belas tahun itu?
Tepuk dada tanyalah iman yang termuat di dalamnya. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

Monday, December 27, 2010

Al-Qur’anku : Antara 2 Kondisi

kondisi dini
seawal Baginda SAW didatangi di Hira’
Paduka Jibril mengajar perintah iqra’
13 tahun di Mekah Baginda SAW bergerak
di Madinah 10 tahun penyaksi jejak
sempurnalah al-Qur’an menjadi tonggak
anutan hidup secara mendatar & menegak
umat pula menyusun langkah & gerak
al-Qur’anlah sebagai lentera penyemarak
tiap isi rumah sibuk memperdengar bacaan
tiap insan sibuk mempelajari isi kalam
tiap manusia berlumba menyempurna suruhan
tiap orang bersaing meninggal larangan
tiap warga tak pernah lupa mendakwahkan
tiap diri sedia & rela mempertahan kandungan
al-Qur’an maha benar semua isian & susunan
jadi pemacu hidup & kehidupan
ke arah cemerlang gemilang & terbilang
al-Qur’an dibaca sebagai hiburan iman
al-Qur’an difaham diharap bimbingan
al-Qur’an didiskusi dipohon keberkatan
al-Qur’an diseminarkan didamba pertolongan
al-Qur’an ditelaah guna direalisasikan
al-Qur’an ditadabbur buat disebarkan
al-Qur’an dimuktamarkan untuk dipertahan

kondisi kini
al-Qur’an dibaca hanya untuk menghalau hantu & jembalang
al-Qur’an dipertandingkan demi sebuah gelaran; johan
al-Qur’an diperdengar di telinga manusia hampiri kematian
al-Qur’an dibacakan pada yang mati di kuburan
al-Qur’an, Yaasin malam Jumaat dibacakan
al-Qur’an dilagukan di majlis perasmian
al-Qur’an dibaca sewaktu tv memula siaran
al-Qur’an ditadarus hingga khatam pada Ramadhan
hafiz dicari untuk memperdengar bacaan
dalam solat Terawih yang panjang
kini al-Qur’an hanya bacaan bermusim & bertujuan
kini isi kandung tv & akhbar dibaca orang
kini isi kandung tv & akhbar dibicara orang
kini isi kandung tv & akhbar didiskusikan orang
kini isi kandung tv & akhbar disebarkan orang
kini isi kandung tv & akhbar dipertahan orang
kini isi kandung tv & akhbar dipercayai orang
kini isi kandung tv & akhbar diimani orang
kini isi kandung tv & akhbar diikut orang
kini isi kandung tv & akhbar dipuja & dipuji orang
kini isi kandung tv & akhbar disanjung orang
kini isi kandung tv & akhbar diwara-wara orang

isi kandung tv & akhbar ditulis orang punyai kepentingan
isi kandung tv & akhbar diilham orang singkat fikiran
isi kandung tv & akhbar tiada jaminan aman
muatan fitnah pembohongan kekarutan pemalsuan
sedang al-Qur’an Kalam AlLah, Tuhan
pengada dari dahulunya tiada bayang & kelihatan
semua spesis yang bernama alam
Yang Maha Suci dari segala kelemahan
Yang Maha Suci dari segala kekurangan
Yang Maha Suci dari segala kedaifan
Yang Maha Suci dari segala

maahad amir indra petra
20 muharram 1432-26 dis 2010
095540pagi-mesyuarat koperasi pembangunan desa bachok berhad

Saturday, December 18, 2010

TAZKIRAH KELUARGA BAHAGIA

tarikh: 13 MUHARAM 1432 – 19 DISEMBER 2010 TEMPAT: MASJID TELUK BAYU, KUALA BESUT, TERENGGANU DARUL IMAN MASA: SELEPAS SOLAT ZOHOR TAJUK: TANGGUNGJAWAB IBU BAPA & TANGGUNGJAWAB ANAK-ANAK DALAM ISLAM

PENTAZKIRAH
FAUZI AMIR GUS FASILITATOR ABDAN SYAKUURA
GURU SMKA TOK BACHOK, BACHOK, KELANTAN

SEJAMBAK TAHNIAH & JAZAKALLAH KHAIRAN KATHIRA
Sejambak Tahniah buat: 1- Pengerusi & AJK Program ini yang hebat memanfaatkan masa cuti dengan program ilmu 2. Pengerusi & AJK Masjid ini (Teluk Bayu) yang bermurah hati merelakan masjid ini menjadi wadah program 3. Para peserta yang terdiri daripada para ibu, parabapa & paraanak kerana berlapang dada sudi mengorbankan masa senggangnya untuk hadir
Sejambak JazakalLah Khairan Kathira kerana sudi pula memberi peluang, ruang, & kesempatan untuk saya memberi sepatah dua tazkirah
Kita doakan kepada AlLah SWT, apa yang disumbangkan ini, akan dicatat-NYA sebagai amal soleh dalam album kehidupan

Jom kita jadi hamba-nya ang bersyukur
Sebelum kata menjadi ayat, ayat-ayat menjadi bicara, jom kita menyusun dahulu syukur kepada-NYA kerana nikmat, antaranya 1- Kita dilahirkan dalam nikmat Islam 2. Kita masih disambung nikmat Iman 3. Kita masih disambung nikmat subsidi nyawa yang tiada penjamin ini yang tidak terbeli adanya ini 4. Kita masih dikurnia nikmat kesihatan yang tak terperi mahalnya 5. Kita pandai
(parking) menempatkan diri kita dalam Rumah AlLah SWT ini

Salam Taaruf Nama : Fauzi hp 0199923418
Nama Ibu : Mek Som Mamat
Nama Ayah : Amir Gus Hassan Che Namat
Tarikh Lahir : Jumaat 26 Rabiul Awal 1386 = 15 Julai 1966
Tempat Lahir : Kg Pulau Melaka
Nama Isteri : Maimunah Ibrahim
Nama Anak-anak : 3 lelaki & 4 perempuan; Ahmad Huzaifah Badiuzzaman, Ahmad Abu Ubaidah Qurratul A’yun, Istikha’rah Mardhiyyah, Fathan Husna, Farhatul Raihan, Ahmad Fathul Fushshilat, & Mustaqimah Mumtahanah

Latar Pendidikan
Sek Kanak-kanak Pulau Melaka (Sekarang PASTI)
Sek Keb Kedai Lalat (Sekarang SK Kota Jembal)
Sek Men Kedai Lalat (Sekarang SMK Raja Sakti)
Masjid & Balaisah di sekitar kampung
Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri
Universiti Malaya (UM)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

keterlibatan dalam dakwah
Bermula tahun 1984 dengan memberikan kuliah, tazkirah, kutbah, dan ceramah di masjid, balaisah, dan menunaikan jemputan dari mana-mana pihak. Antaranya di Masjid kg Tanjong, Balaisah kg Takang, Balaisah kg Padang Dalam, Balaisah kg Aur, Balaisah kg Binjai Manis Pasir Mas.
Tahun 2000-2003 (pertengahan tahun)- kegiatan dakwah berkisar di Tanjung Malim setelah melanjutkan pelajaran di sana.
Pertengahan 2003-2008 memulakan pekerjaan sebagai PPPS di Pulau Pinang dan kegiatan dakwah dilebarkan di sana. Surau Eastern Court, Masjid Syed Eusoff (dobi ghat), Masjid Hashim Yahya, Masjid Teluk Kumbar, Surau Al-Sharkoshi SMKA (L) Al-Mashoor, Surau Al-Falah Penang Free School menjadi medan dakwah di Pulau Pinang. 
Mulai Tahun 2009 menyambung kegiatan dakwah di bumi Serambi Mekah kembali di, Masjid As-Solehin kg Telok Kemunting, Masjid Mukim Pintu Gerbang, Masjid Hj Sulaiman Jembal, Masjid Abu Bakar Pintu Gerbang, Masjid Umar Al-Khatab Tangok, dan Masjid Pak Da Nor Padang Embong Pasir Mas. Masjid ar-Rahman kg Kor Nilam Puri, Masjid Pohon Tar, Kubang Mas, TumpatDi samping menjadi penceramah tetap untuk program di Maahad Amir Indra Petra (MAIP)dan Maahad Darul Anwar (MADA)

TANGGUNGJAWAB IBU BAPA
Di dunia ditanggung di akhirat kena jawab
Secara mudah dibahagi 3; 1. Sebelum kahwin 2. Selepas Dijab Kabul 3. Setelah direzekikan AlLah SWT dengan anak sama ada muslimin atau muslimat (Dapat title Ayah Bonda

TANGGUNGJAWAB ANAK-ANAK
Di dunia ditanggung di akhirat kena jawab
Secara mudah dibahagi 2; 1. Setelah dilahirkan 2. Setelah kemangkatan ayah bonda


TANGGUNGJAWAB ibu bapa Sebelum kahwin
Mengumpul sebanyak mungkin ilmu & kepakaran
Melazimkan diri dengan pelbagai amal soleh
Jauhkan diri daripada sengaja buat dosa
Jadilah anak sebagaimana kita mahu bakal anak kita akan jadi anak
Beli buku-buku agama

Segala apa yang kita buat disaksikan & diikuti secara langsung oleh anak-anak kita

TANGGUNGJAWAB ibu bapa selepas ijab kabul
Memberi makan & minum, kain pakai kepada permaisuri kita hanya dari sumber yang halal
Si isteri kena pesan pada suami; kanda, dinda & bakal anak-anak kita rela berlapar daripada menelan makanan yang belum tentu halal haram
Doa sebelum tidur

TANGGUNGJAWAB setelah dapat title ayah bonda
Kitalah (ayah bonda) guru no 1 & 2
Azan di telinga kanan & Iqomat pada telinga kiri anak
Mencarikan nama yang disukai-NYA (nama-nama-NYA, nama Nabi @ Rasul, nama orang soleh dll) – rujuk orang alim dahulu
Mengajarkan kitab AlLah SWT (baca, faham makna, hayati, amalkan, pertahankan, sebarkan); antaranya memberitahu anak, AlLah SWT telah pilih Islam untuk jadi cara hidup kita
Mencari jodoh yang beragama

Membimbing & menyuruh anak mengerjakan semua suruhan agama seawal umur 7 tahun & mendenda mereka setalah berumur 10 tahun jika masih mengabaikan & asingkan lokasi tidur (antara lelaki-perempuan; antara ayah bonda –anak-anak)
Mengasuh anak-anak beradab dengan mencintai nabi-nabi, mencintai ahlul bait, & memahamai kandungan al-Qur’an

Mengenali semua kawan & rakan anak-anak
Memantau pergerakan anak
Contohi Luqman ; 13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mensyirikkan Allah SWT, Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

16. "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (baik @ buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah ( untuk dibalas-Nya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi amat meliputi akan Segala Yang Tersembunyi.
17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah terhadap bala bencana menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

18. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai

Kenapa anak-anak perlu disolehkan?
Susah ke nak jadikan anak-anak soleh? Mudah aje sebab kita ada panduan untuk menyolehkan iaitu al-Qur’an & Sunnah Baginda Nabi SAW
Kenapa perlu disolehkan anak? Kerana Baginda Nabi SAW telah memetakan sabda;’ apabila mati anak Adam, terputuslah pahala amalannya kecuali 3 perkara, sedekahnya, atau ilmunya yang bermanfaat, & anak soleh yang mendoakannya
Anak soleh sebagai saham kekal

Menjadi soleh tu naluri manusia
Anak soleh akan menyejuk hati
Anak soleh akan berbakti sewaktu kita di ambang tua
Anak yang tidak soleh akan menghancurkan hati kita sewaktu melihat mereka diseret para Malaikat ke neraka
Anak yang tidak soleh menghabiskan beras sahaja, tak ada gunanya langsung
Anak yang tak soleh akan menghantar ayah bonda ke rumah orang tua sewaktu kita amat mengharapkan perhatian

TANGGUNGJAWAB ANAK-ANAK; Setelah dilahirkan
Taatkan ayah bonda selagi tidak ke arah maksiat (berbuat dosa)
Bercakap dengan suara yang lebih rendah
Mendapatkan izin untuk untuk berbuat sesuatu
Mengenali kawan-kawan ayah bonda

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua ibubapamu; dan kepada AKU lah tempat kembali
15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan KU sesuatu yang tidak diketahuimu maka janganlah Engkau taat kepada mereka; tetapi bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-KU(orang soleh). kemudian kepada AKUlah tempat kembali kamu semuanya, maka AKU akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan

TANGGUNGJAWAB ANAK-ANAK; . Setelah kemangkatan ayah bonda
Mengurus jenazah ayah bonda; sama ada memandikan, mengafankan, menyolatkan, menurunkan jenazah ke liang lahad
Jangan jadi tukang bagi nasi yang tidak disyariatkan langsung tu
Mendoakan kesejahteraan buat ayah bonda yang berada di alam baqa’
Tidak melakukan maksiat @ paksiat setelah kemangkatan ayah bonda
Menghubungi sahabat handai ayah bonda untuk disantuni sebagaimana ayah bonda kita menyantuninya
Membayar hutang ayah bonda

Ingatan untuk sang anak
AlLah SWT satu
Al-Qur’an satu
Matahari satu
Bulan satu
Kiblat satu
Islam satu
Jalan yang benar satu
AYAH & BONDA yang kita ada hanya SATU, tidak ada ganti, dulu kini & selamanya
Ayah bonda kita telah mengorbankan segalanya untuk kita sejak daripada dalam kandungan lagi
Ayah bondalah insan yang paling menyayangi kita selepas AlLah SWT & Rasul SAW
Jangan jadi anak yang derhaka
Jadilah anak yang mendengar kata

Ingatan untuk sang ayah bonda
Kita memang sayang akan anak, sanggup bergolok bergadai
Harta paling berharga, jumpa kawan ditanya ‘berapa anak?’
Kita sanggup berkorban apa sahaja; nyawa atau harta seperti kata dalam lagu gemulah P Ramlee; berkorban apa sahaja, nyawa ataupun harta, itulah paling utama, sejati & mulia,…
Janganlah kita terkorban dengan terlantar di neraka kerana melupakan & melanggar perintah agama demi mencari sesuap nasi untuk anak

Wednesday, December 15, 2010

10 Muharram: Antara Amalan Puasa Yahudi & Pesta Makan Umat Islam

Saban tahun Muharram datang, membawa bersama pelbagai isian peristiwa suka atau duka kemudian pergi meninggalkan catatan di kalendar hijriyah bersana apa yang pernah dibawanya. Ya, Muharram merupakan bulan yang berada pada giliran pertama, sementara Zulhijjah merupakn bulan yang menutup kalendar. Di sesetengah negara umat Islam, apabila singgah sahaja bulan Muharram ini di kalendar, kelihatan sibuklah mereka untuk meraikan peristiwa Hijratul Rasul atau Maal Hijrah, sedangkan peristiwa primer Hijrah Baginda Rasul SAW berlaku pada bulan Rabiul Awal. Tentunya terselit rahsia yang maha hebat dari AlLah SWT yang menakdir atau yang telah mengizinkan peristiwa besar Hijrah ini berlaku pada bulan kelahiran insan yang paling bernilai untuk dunia ini, yang dilahirkan yatim serta tidak sempat menghadiri atau menerjunkan diri dalam alam persekolahan. Lantaran itu Baginda SAW dikenali atau dilabeli seorang yang ‘ummi’. Perancangan dari AlLah SWT sengaja memilih Rabiul Awal sebagai bulan berlakunya Hijrah, bukan Muharram, Safar, dan bulan-bulan lain.

Suatu waktu dahulu, semasa pada permulaan masa RasulLulLah SAW dan umat Islam berada di Madinah, Baginda SAW mendapati orang yahudi berpuasa pada 10 Muharram iaitu Hari Asyura. Sebagai seorang pencandu ilmu, Baginda SAW bertanyakan yahudi kenapa mereka berpuasa, hari apakah ini, peristiwa apa yang dikenang yahudi? Kalangan yahudi menjawab, hari ini; 10 Muharram/ Hari Asyura ni merupakan hari agung, pada hari inilah suatu ketika dahulu AlLah SWT telah menyelamatkan KalimulLah Musa AS dan kaumnya, serta menenggelamkan fir’aun di laut Merah. Maka Baginda Musa AS berpuasa sebagai tanda syukur kepada-NYA. Lalu kamipun berpuasa. RasulLulLah SAW bersabda; ‘Kamilah(orang Islam) yang lebih berhak dan lebih utama untuk menghormati dan menjejaki langkah Musa AS’. Baginda SAW mengarahkan umat Islam supaya berpuasa pada 10 Muharram itu. Walau bagaimanapun, Baginda SAW melarang kita sebagai umat Islam berpuasa seperti yahudi, iaitu puasa pada 10 Muharram sahaja. Kita mesti berbeza cara berpuasa dengan mereka. Kalau yahudi berpuasa hanya pada 10 Muharram, kita umat Islam pula perlu melazimkan berpuasa sama ada
pada 9 dan 10 Muharran atau
10 dan 11 Muharram atau
berpuasa pada 9, 10, dan 11 Muharram.
Di samping itu, kita perlulah bersahur untuk berpuasa kerana yahudi tidak suka bersahur untuk berpuasa. Sama halnya dengan hari besar mereka (yahudi & nasoro) iaitu hari sabtu dan ahad, mereka juga berpuasa. Kita juga dibolehkan berpuasa pada hari Jumaat, tetapi JANGAN berpuasa hanya pada hari Jumaat, kerana ini sama dengan mereka, kita jika ingin berpuasa perlu dirangkaikan sama ada Khamis dan Jumaat atau Jumaat dan Sabtu.

Sama halnya dengan di sesetengah tempat umat Islam tinggal, pada 10 Muharram mereka mengadakan pesta makan; makan bubur dan dinisbahkan dengan 10 Muharram; katanya Bubur Asyura. Mereka lebih mengutamakan makan bubur tersebut daripada berpuasa! Lalu ada pelbagai versi bubur Asyura ini di negara kita. Rasa dan warna bubur Asyura Kelantan tidak sama dengan bubur Asyura Perak, Selangor, Pulau Pinang atau negeri-negeri lain lagi di dunia ini.

Agak lucu juga ya, orang yahudi berpuasa pada hari Asyura ini sementara sebahagian umat Islam pula menjadikan 10 Muharram sebagai hari untuk pesta makan-makan. Fikir-fikirkanlah sementara akal masih sudi bergerak pada paksinya.

Tuesday, December 7, 2010

Carta Amal Sunnah 1432

AKADEMI ABDAN SYAKUURA: MELAHIRKAN SYUKUR DENGAN MEMPERBANYAK SUNNAH
Sasaran Amal Sunnah 1432
NAMA:


1. Al-Qur’an
1.1.Baca Al-Qur’an
1.2. Faham Makna Al-Quran

2. Kelas Pengajian
2.1.Tafsir
2.2. Hadis
2.3. Tauhid
2.4. Fekah

3. Puasa
3.1. Isnin
3.2. Khamis
3.3. 1 hari bulan hijrah
3.4. 29 @ 30 hari bulan hijrah
3.5. Hari Asyura (9 & 10 Muharam)
3.6. Hari Arafah (9 Zulhijjah)
3.7. Hari Putih (13, 14, 15 hb setiap bulan hijrah)

4. Solat
4.1. Wuduk
4.2. Tahiyatul Masjid
4.3. Dhuha
4.4. Tahajud
4.5. Sebelum Subuh
4.6. Sebelum Zuhur
4.7. Selepas Zuhur
4.8. Sebelum Asar
4.9. Selepas Maghrib
4.10. Selepas Isya’
4.11. Witir

5. Sedekah

Thursday, December 2, 2010

Bilakah Kiamat?

Kepada-NYA (ilmu pengetahuan Allah SWT) jualah kembalinya ilmu (masa terjadinya) hari kiamat; dan tidak akan terbit/keluar sebiji buah-buahanpun daripada kelopak/bunganya, dan tidak ada seorang pun perempuan akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan dalam pengetahuan-NYA(izin-NYA). dan pada hari kiamat kelak AlLah SWT akan bertanya " di mana sekutu-sekutu-KU (yang kamu puja selain-KU)? mereka menjawab: "Kami mengakui kepadamu (Wahai Tuhan kami), Bahawa tidak ada di antara Kami seorang pun Yang mahu menjadi saksi (kerana anggapan Kami dahulu telah nyata salahnya)!"- surah Fushshilat ayat 47.

Ajaran pokok atau agenda perdana atau isu primer yang didakwahkan Baginda Nabi Muhammad SAW yang mendominasikan ajaran Islam ialah keberadaan kita dengan makna dihidupkan kembali untuk menjalani kehidupan pada hari kiamat atau hari akhirat. Isu ini menjadi sesuatu yang pelik dan asing kepada masyarakat jahiliyyah yang dimotori kaum Quraisy di Mekah. Lalu mereka mengerumuni Baginda Nabi SAW untuk mengasak Baginda SAW dengan pertanyaan bilakah tarikh menjelmanya hari kiamat itu? AlLah SWT menurunkan penjelasan lewat ayat 47 surah Fushshilat ini dengan menyatakan bahawa hari kiamat itu termasuk dalam perkara yang ghaib yang mana pengetahuan tentangnya (hari kiamat itu) hanyalah ada dalam ilmu-NYA dan DIA tidak akan memberitahukan kepada sesiapa sahaja termasuklah kepada hamba yang paling mulia dan paling disayangi-NYA (Nabi Muhammad SAW).
Hal atau kondisi ini untuk menjawab kepada persoalan kiamat yang bakal diperdebatkan manusia dari semasa ke semasa, dan untuk menafikan ramakan manusia yang kononnya dengan kecanggihan yang ada, mampu meramalkan bilakah hari kiamat bakal menjelma dan tiba. Kalaulah kepada hamba yang paling mulia dan paling disayangi-NYA pun AlLah SWT tidak menjelaskan bilakah tarikh akan berlaku kiamat dengan tepat, bagaimana pula dengan manusia pada hari ini yang nabi pun bukan, rasul pun bukan, ulama pun bukan, lepas tu kafir pula!
Baginda Yang Mulia Nabi Muhammad SAW hanya diizinkan-NYA untuk memberitahukan tanda-tanda hampirnya kita dengan hari kiamat; antaranya Baginda SAW menjelaskan dalam sebuah hadisnya yang popular “tidak akan berlakunya kiamat, sehinggalah orang Muslim akan memerangi dan membunuh yahudi, pada masa itu yahudi akan bersembunyi di sebalik tembok dan pokok, tetapi tembok dan pokok akan memberitahu ‘Wahai Muslim ini ada yahudi bersembunyi di sebalikku, bunuhlah dia’ kecuali pokok ghar-ghar, sebab itu pokok yahudi”
Hari kiamat hanya akan berlaku dengan pengetahuan dan izin-NYA sahaja. Tanpa izin-NYA tidak akan berlaku sesuatu perkara sama hal itu kecil atau besar, kerana kecil besar hanya perkiraan di sisi kita sahaja, diukur dengan kemampuan kita yang amat terhad dan terbatas sahaja, sedang di sisi-NYA, semua perkara sama sahaja, tidak ada yang terkecil, kecil, sedehana, besar atau terbesar.

Bukan sahaja hari kiamat AlLah SWT tidak memberi izin untuk manusia mengetahuinya, bilakah tarikhnya, tahun mana, malah perkara yang selalu ada di depan mata pun, ada yang AlLah SWT tidak mengizinkan kita mengetahuinya, misalnya berapa biji buahkan yang akan keluar daripada setangkai bunga pada sebatang pokok. Katakan pokok mangga kita sedang mengeluarkan bunga, berapa biji buahkah yang akan terhasil daripada bunga itu, pun AlLah SWT tidak pernah dan tidak akan memberitahukan kepada manusia. Sebanyak buah mangga yang kan terhasil semuanya sudah ada dalam pengetahuan-NYA dan hanya akan berbuah dengan izin-NYA sahaja.

Samalah halnya dengan manusia yang berkahwin, siapakah yang bakal mengandung hanya AlLah SWT yang mengetahuinya dan seseorang itu hanya boleh mengandungkan bayi pula hanya dengan izin-NYA. Setelah diizinkan-NYA mengandungkan bayi, siapa pula yang diizin-NYA untuk melahirkan, hanya DIA yang mengetahuinya. Tiada sesiapapun yang mampu menjamin, tidak ada mana-mana kerajaan yang berani memberi jaminan, setiap ibu yang mengandung pasti boleh melahirkan. Begitu juga dengan kandungan yang terjadi kepada haiwan, berapa juta ekor ikankah yang bakal ditetaskan daripada telurnya, hanya AlLah SWT yang Maha Tahu.

Antara agenda tersurat yang ada pada hari kiamat ialah AlLah SWT akan mengumpulkan semua manusia yang pernah menerima subsidi nyawa dari-NYA, bermula semenjak manusia yang pertama Adam AS sehinggalah manusia yang terakhir dapat menyedut dan menghempus nafas. Pada hari itu AlLah SWT akan bertanyakan kepada manusia yang liat dan segan untuk tunduk dan patuh kepada perintah-NYA (Islam), di manakah sekutu-sekutu-NYA (yang dipuja dan dipuji manusia, yang dipohon pertolongan dan diminta perlindungan, sesuatu yang diyakini dapat memakmurkan selain Allah SWT)? Sama ada yang berupa berhala, kubur-kubur keramat, pokok-pokok tertentu, binatang-binatang tertentu, falsafah-falsafah tertentu, ideologi-ideologi tertentu, undang-undang-tertentu, dan lain-lain lagi, semua ini akan diminta oleh AlLah SWT supaya dipanggil oleh orang yang memujanya sewaktu di dunia untuk berhadapan dengan-NYA pada hari akhirat, untuk diadakan sesi soal siasat.

Apa yang mendukacitakan ialah, pada hari tersebut tidak ada seorang pun manusia yang berani untuk untuk mengajak atau memanggil apa yang dipujanya sewaktu di dunia bagi berdepan dengan keperkasaan AlLah SWT. Justeru, kenapa kita perlu menyerabutkan kepala kita dengan sembahan-sembahan selain daripada AlLah SWT. Jom mari kita kembalikan seluruh denyut nadi kita sesuai dengan kehendak AlLah SWT. Semua kehendak AlLah SWT ini termaktub dengan stabil, dulu, kini, dan selamanya dalam al-Qur’an, tidak terubah walaupun setitik, sama ada penambahan atau pengurangan. Al-Quran yang ada di hadapan kita pada hari ini, itulah al-Qur’an yang diturunkan dan dibaca Baginda Nabi SAW dan para sahabat. Al-Qur’an yang meletakkan mereka menguasai satu pertiga daripada belahan dunia melalui pengamalan apa yang tertera padanya, sama ada yang bersifat suruhan atau yang berupa larangan.

Tetamu

free counters