About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Thursday, May 26, 2011

Ustaz Harun Din Tumpaskan Mubaligh Hindu

Thursday, May 26, 2011

Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.

Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."

Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?

Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.

Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.

Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.

Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.

Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?

Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.


Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."

Mohammad Fitri Abdullah

"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Ustaz Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi, pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa?
Anda mungkin juga meminati:

http://pemudacheh.blogspot.com/2011/05/ustaz-harun-din-tumpaskan-mubaligh.html

Monday, May 23, 2011

Kitakah Guru Itu? (sempena sambutan hari guru 1432-2011)

kitalah guru
walau tanpa digelari
walau di posisi mana kita berdiri
walau di kondisi mana kita berlari
kita guru buat diri sendiri
mentarbiyyah liar nafsu diri
agar jadi hamba yang diredhai

kitalah guru
membentur sesi usrah jadi mithali
mendidik anugerah zuriat & isteri-isteri

kitalah guru semasa menampi situasi
pabila segala jelata didepani
walau apa jua jawatan diberi
penghulu penggawa exco atau menteri
ustaz kiyai kadhi atau mufti
menteri besar presiden atau perdana menteri
semua amanah itu bakal ditanyai
pabila alam bertukar wajah & warna nanti
bermula bila diri mula dikelilingi & ditimbuni
kuning tanah tak kenal erti simpati
hanya selingkar selimut putih setia menemani
sewaktu segala peninggalan sedang lahap dibahagi
oleh ramainya bilangan anak & isteri
alam barzakh pintu pertama didepani
menuju akhirat yang pasti menanti
gugus soalan yang menghujani diri
perlu segera diberi jawap yang rapi
berapa dasar sempat kaugarapi
berapa pula polisi sempat kaululusi
berapa & apa undang-undang yang sempat kaukuatkuasai
berapa juta janji sempat kaulaburi
berapa pula janji yang segaja kaumungkiri
berapa bilion usaha sempat kauhabisi
agar hanya AlLah SWT sahaja disujud & disembahi

sebelum diri jauh dibawa pergi
yang tak bisa & tak akan kembali lagi
mari kepada AlLah sahaja doa kita susuni
& untuk AlLah sahaja doa dipohoni
agar diri sentiasa mengerti
hidup ini tidak ditamatkan riwayatnya di dunia ini
ada lagi alam yang AlLah janji
yang DIA sahaja akan menghakimi
berpandu & berpaksi hanya Islam yang diredhai
cerapkan jawapan untuk soalan berangkai ini
dari manakah asal-usulnya diri
untuk apa diberi subsidi bernama nyawa ini
ke mana diri bakal dibawa pergi
mari kita bersama fikir-fikiri
selama aliran nyawa masih sudi
sisanya bertamu dalam diri ini



12-13jamadilakhir1432-16-17mei2011





Anjaklah Sikap Semasa Beribadat

anjaklah sikap semasa beribadat
semua menu ibadat diperbuat
bukan lagi didesak resam atau adat
mengangkat beban kewajipan yang sarat
memberat di atas 2 pundak
tapi bancuhan soleh digarap
ditunjang & dibelai rasa enak & seronok
pabila menyaji pelbagai resipi menu ibadat

ditunjang & dibelai rasa enak & seronok
semasa merapat & merebah wajah di atas sejadah
5 kali seharian bersama pengabdian bernama solat

ditunjang & dibelai rasa enak & seronok
dihuluri ringgit meringan derita mereka yang susah
pabila datang peluang & ruang bernama sedekah

ditunjang & dibelai rasa enak & seronok
basah lidah melafaz & menghafaz madah-madah indah
tenang di wajah menyebut kalimah dari kalam AlLah

ditunjang & dibelai rasa enak & seronok
badan diangkat sewaktu insan melayan mimpi gundah
melayan qiamullail & tahajjud sunah RasullulLah

ditunjang & dibelai rasa enak & seronok
melayan & menyempurna karenah ibu & ayah
patuhi perintah AlLah jadi anak soleh & solehah

ditunjang & dibelai rasa enak & seronok
cuba mengamal tiap inci segala rupa titah
pabila mengetahui apa jua perintah AlLah


033033petang
04 muharam 1432 bersamaan 11dis2101

Friday, May 20, 2011

Kiamat Tahun 2012?

Sebaik sahaja selesai daripada penyampaikan tazkirah mingguan di Masjid Wak Dir, kg Telok Kemunting Timur pada malam Jumaat yang lalu 16 Jamadil Akhir 1432 bersamaan 20 Mei 2011, ana dihampiri oleh salah seorang ahli jemaah dan dengan pancaran wajah yang cemas dia bertanya: ustaz, betulkah apa yang saya baca dalam facebook ni? Untuk kepastian ana bertanya apa dia? Begini ustaz, dalam facebook saya masuk maklumat yang memberitahukan pada tahun 2012 akan berlaku kiamat, iaitu pada 15 Ramadhan, boleh dipercayai ke? Sebab banyak sangat masuk dalam fb saya?

Yang peliknya kenapa ahli jemaah ini tidak bertanya semasa sesi tazkirah? Alangkah baiknya jika dia berkongsi masalah ini dengan para jemaah yang lain. Tetapi kenapa dia hanya memilih untuk mengetahui perkara itu(Hari Kiamat) seorang diri? Ana membuat kesimpulan sendiri; banyak orang banyak ragam! Mungkin dia malu untuk bertanya di khalayak, lalu dia mengambil keputusan untuk bertanya secara berdepan 4 mata dengan ana. alHamdullilLah dia mengambil keputusan yang bijak iaitu dengan bertanya, tidak terus mempercayai apa yang dibaca.

Secara ringkas ana jelaskan kepadanya; beriman kepada hari Kiamat berupa kewajipan asas & fardhu ain atas setiap jiwa yang sudi melafazkan dua kalimah syahadah. Beriman terhadap kewujudan Hari Kiamat merupakan salah satu sari Rukun Iman. Ragu-ragu terhadap keberadaannya (Hari Kiamat) boleh menjadikan kita seolah-olah telah mengucapkan selamat tinggal kepada Islam!

Beriman kepada Hari Kiamat bermaksud meyakini sesuatu yang ghaib yakni meyakini sesuatu yang dapat dapat dilihat mata atau dirasa pancaindera. Sebagaimana kita juga meyakini AlLah SWT pencipta alam semester. AlLah SWT yang telah mencipta alam ini dari tiada kepada ada, AlLah SWT itulah juga yang memberitahu suatu masa nanti akan adanya Hari Kiamat.

Setiap makhluk ciptaan-NYA, AlLah SWT telah menetapkan kadar umurnya; pokok-pokok ada had umur hidupnya, binatang-binatang ada had umurnya, manusia ada had umur hidupnya, pendek kata semua yang berada di sekeliling kita ini ada had umur hidupnya. Para Malaikat pun ada had umur hidupnya, ibis and the gang pun ada had umur hidupnya.had umur ini ada yang DIA panjangkan dan ada yang DIA pendekkan sekehendak-NYA. Kadar had umur ini ditentukan-NYA. Begitulah dengan umur dunia ini, ada had umurnya yang tersendiri. Tidak ada seorangpun daripada kalangan manusia, tidak ada seekorpun dari kalangan binatang, tiada sebatang pohon pun dari kalangan pokok, tiada satu pun dari kalangan para Malaikat, tiada seekor pun juga dari kalangan iblis, hantu, jin, setan, toyol, mambang-mambang, nenek kebayan, jeblos, cucu bentong, atau lain-lain yang sejahat dengannya, AlLah SWT memberitahukan bilakah tarikh berlangsungnya Kiamat tersebut.
Akan terjadi Kiamat itu;Tahun ini kah, tahun depan kah, 10 tahun lagi kah, 100 atau 1000 tahun lagikah, hanya DIA only yang tahu!

Lemahnya kemampuan diri kita, lemahnya kemampuan otak & akal kita, lemahnya kudarat yang ada, usahkan untuk mengetahui bilakah berlakunya tarikh Kiamat itu, kita nak tahu dengan tepat jam berapakah kita mula lena malam tadi pun tak mampu! Kita hanya boleh kata kita masuk tidur jam 11 malam, jam berapa kita mula lena; jam 11(jam);11(minit);11(saat) ke, jam 11;15;15 ke, jam 11;30;40 ke tiada ada seorang pun antara kita yang mengetahuinya. Hanya DIA only yang tahu. Begitu juga sehebat manapun alat yang kita miliki, kita tidak mampu memberitahu dengan tepat bilakah seorang bayi yang ada dalam kandungan itu akan dilahirkan bondanya. Kita hanya bisa menjangka kelahiran sahaja, tetapi tekaan & jangkaan yang kita buat tidak pernah tepat! Begitu juga dengan fenomena meramal cuaca.

Di sepanjang sejarah alam ini, hanya ada seorang insan yang paling dikasihi, disayangi , dirahmati, diberkahi AlLah SWT! Insan itu bernama Muhammad bin AbdulLah bin Abdul Muttalib.....bin Adam AS. Kepada insan yang paling disayangi-NYA tidak diberitakan tarikh Kiamat itu, inikan pula kepada penjahat-penjahat lain di muka bumi ini.

Walau bagaimanapun Baginda Nabi Muhammad SAW ada memberitahukan waktu yang terdekat akan terjadinya Kiamat itu. Dalam satu sabdanya Baginda SAW menukilkan ‘ Tidak akan berlaku Kiamat, sehinggalah orang Islam akan membunuh kesemua orang yahudi, (pada waktu itu) orang yahudi akan menyorok di sebalik batu-batu & pokok-pokok tetapi batu & pokok akan memberitahu “wahai orang Islam, ini dia yahudi bersembunyi di belakangku bunuhlah dia”,(kesemua pokok akan memberitahu situasi ini) kecuali pokok ghar-ghar, kerana pokok itu barua yahudi’


Hari Kiamat itu Apa Pengisian atau Tentatifnya?

Sama ke pengisian atau tentatif pada Hari Kiamat itu dengan sambutan hari merdeka? Dengan sambutan hari belia negara? Dengan sambutan hari peladang & petani? Dengan sambutan hari buruh? Dengan sambutan hari lahir orang tertentu? Jiwa yang waras dengan tuntas akan berkata selama-lamanya tidak sama; bezanya lebih jauh dari langit & bumi. Sambutan hari apa-apa sahaja yang kita reka semasa kita masih disambung nyawa ini, kita boleh ponteng, kita boleh ambil mc, kita boleh buat tidak peduli!
Tetapi pada Hari Akhirat nanti semua kita WAJIB beraksi, dengan aksi yang real, yang wajib dilakukan sendiri! Kita hidup ini di dunia ini, hakikat sebetulnya ialah tempat kita berlatih aksi untuk kita pertontonkan di Hari Akhirat nanti. Kita diberi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 12 bulan setahun untuk membaiki mutu aksi diri agar lebih bererti dari sehari ke sehari. Hari Akhirat itu nanti hari yang benar-benar akhir tiada lagi hari selepas itu walaupun separuh hari!

Baginda Nabi SAW telah lama menciri secara terperinci apa yang bakal berlaku nanti pada Hari Akhirat yang sama-sama kita yakini. Begitulah mendalamnya kasih Baginda Nabi kepada seluruh umatnya ini. dengan gugus informasi yang diberi mudah-mudahan kita dapat dan sempat membekali diri dengan pelbagai menu & resipi, untuk dipersembahkan kepada AlLah SWT nanti. Agar kita tidak sesekali menyesal nanti pada hari yang tidak lagi memberi, timbunan harta yang dimiliki, atau deretan anak yang dilahiri @ belai. Kecuali kita hadir menemui Rabbi dengan keislaman yang teguh & tetap nun jauh di hati.

Terima kasih wahai Baginda Nabi SAW kerana informasi dari Nabi kami dapat memahami & terus mengimani tanpa menyoal itu & ini.
pertama sekali kita dibangkitkan dari tanah kubur di mana kita ditanami setelah tiupan sangkala dari Malaikat Israfeil didengari
kita pun berkejaran ke Padang Mahsyar tempat kita akan dikumpuli
lalu rekod catatan diri selama hidup ini akan dibahagi-bahagi
penerima dengan tangan kanan akan senyum tanda puas hati
penerima dengan tangan kiri akan masam tidak terperi
timbangan amal pula dilangsungkan kini
penternak aksi soleh & solehah semasa di dunia ini
gugus pahalanya memberat pada neraca diri
pengusaha maksiat & mungkar sewaktu hidup yang sebentar ini
runtuhan dosanya ditimbang menakutkan hati
atur cara rasmi untuk diri disambung lagi & lagi
dibawa pula untuk meniti Titian Siraq nama dikenali
terlalu panjang & jauh kilometernya tak bisa dijumlahi
di hujung sana ada syurga sedang menanti
di bawah pula ada panggilan jahannam digeruni
siapa yang tenang & girang dengan Islam yang diamali
persis kilat layunya sewaktu dia menyeberangi
sesiapa yang berasa Islam tidak sesuai diamali
kerana kita ini masyarakat majmuk yang mendiami bumi
silalah gigit berlatih untuk terjun ke neraka ini

Sunday, May 15, 2011

JazakalLahu Khairan Kathira buat Guruku

Ya AlLah! Berkahi dan Rahmatilah Kesemua Guruku

‘Ya AlLah! Berkahi dan Rahmatilah Kesemua Guruku,
Ampunilah Kesemua Salah Silap Mereka,
Tambahkanlah Zat Ilmu
yang Mereka pernah Siramkan Padaku Sewaktu Dahulu’

Baginda Rasul SAW pernah memuntahkan sabda ‘ Inni bu’istu mualiman’. Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menjadi guru. Ya, Baginda Nabi SAW telah menunjukkan rekod cemerlangnya sebagai guru. Walaupun Baginda Rasul SAW kejap terpahat dalam sejarah sebagai seorang insan yang tidak pandai menulis huruf atau membaca angka; dengan erti kata lain seorang yang ‘ummi’. Walaupun Baginda Rasul SAW tidak pernah menjejakkan kakinya di mana-mana maktab atau kolej perguruan. Walaupun baginda Rasul SAW tidak pernah kenal halaman universiti pendidikan atau memijakkan jejaknya di sana. Walaupun Baginda SAW tidak pernah terdedah atau didedahkan dengan pedagogi pengajaran atau pembelajaran yang pelbagai. Walaupun Baginda Rasul SAW tidak pernah sama sekali menulis buku cadangan mengajar! Walaupun Baginda Rasul SAW tidak pernah mengadiri mana-mana kursus pengajaran yang berkesan. Walaupun Baginda Rasul SAW tidak pernah menjawat atau dinobatkan sebagai guru cemerlang, atau guru pakar. Bagaimana Baginda SAW boleh menjadi cemerlang dalam penyampaian atau dakwahnya? Tidak lain dan tidak bukan, kecemerlangan dakwah Baginda SAW ialah disebabkan oleh kurikulum yang diajar AlLah SWT kepada Baginda SAW, dan Baginda SAW mengikut kurikulum tersebut tanpa sedikitpun bantahan! Kurikulum garapan AlLah SAW itu tersimpan tak pernah terubah walaupun setitik; sama ada bertambah atau berkurang; namanya dikenal sebagai al-Qur’an, dan Baginda SAW menafsir segala kurikulum itu melalui sunahnya.

Apabila Baginda SAW dipanggil mengadap-NYA; tiada apa yang ditinggal Baginda SAW untuk kita yang berupa harta atau tahta. Yang ditinggal untuk kita hanyalah 2 perkara ; kitab AlLah & sunnahnya, agar menjadi amalan kita; dulu, kini, dan selamanya. Baginda Rasul SAW pula tidak lokek untuk mengaku pewarinya dengan menumpahkan sabda ‘ al uulamaa warasatul anbiya’- para ilmuan (ulama) itu pewaris(penerima pusaka) para nabi. Tentunya ilmuan yang menjadi pewaris para anbiya itu merujuk kepada seseorang yang mampu & sanggup menjadikan lidahnya sebagai jurucakap untuk mengajar & mengajak manusia mengenali siapa penciptanya dan dalam masa yang sama sanggup berabdi kepada Sang Pencipta. Bukan semua guru layak dinobatkan sebagai pewaris nabi! Seorang guru yang mengajar hanya subjek yang dia mempunyai kebolehan tapi ajarannya itu tidak menyebabkan manusia yang diajarinya dapat mengenal Allah SWT apatah lagi untuk berabdi kepada-NYA; tidak layak digelar pewaris anbiya, walaupun yang diajarnya itu dipanggil membaca al-Qur’an! Seseorang itu layak ternobat sebagai pewaris nabi jika dia berjaya memperkenalkan AlLah SWT kepada pelajarnya dan pada masa yang sama pelajarnya rela & bersedia memikul tugas sebagai seorang hamba kepada Rabbnya.

‘Ya AlLah kusedekahkan pahala pengajaranku buat semua para guruku yang pernah menumpahkan kesungguhannya mendidikku sehingga aku bisa mengenali-MU & rela sujud melutut pada-MU’

Guru-guruku
1. Yang Tak Kelihatan Tapi Amat Menentukan: AlLah SWT, para Malaikat, para Nabi & Rasul, para Sahabat, para Tabiin, para Tabiin-tabiin, para Solehin, para Syuhada’

2. Yang Dekat Padaku : Ayahandaku Amir Gus Hassan, bondaku Mek Som Mamat. Datukku sebelah ibu: Mamat Mat Sin. Nenekku sebelah ibu: Wan Zainab Wan Othman. Datukku sebelah bapa: Hassan Che Namad. Ibu-ibu & bapa-bapa saudaraku di sebelah ibu dan di sebelah bapa. Orang-orang kampungku sama ada di Pulau Melaka Kota Bharu atau di Padang Embung Pasir Mas

3. Guru-guru al-Qur’anku : Tok Ji & suami, Tok Wan Sulaiman & isteri (Tok Noh), Wan Zainab Wan Sulaiman, Wan Hasan Wan Sulaiman, Ab Sattar Mohammad

4. Guru-guru Sekolah Kanak-kanakku: Kak Yah Ust Daud

5. Guru-guru di Sekolah Kebangsaan Kota Jembal dari 1973-1978

6. Guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti 1979-1983

7. Guru-guru di Pusat Bahasa Arab1983-1984 : Ust Muhammad Mustafa, Ust Mustafa Daud, Ust Shamir (dari Arab Saudi), Ust Salleh (lulusan Moroko)

8. Guru-guru di masjid- Masjid Darul Anwar Pulau Melaka, Masjid Rusila Marang, Masjid Batu 6 Kuala Terenganu, Masjid Pulau Belanga, Masjid Cabang 4 Binjai, Masjid Baitur Rahman Budi, Masjid Kedai Buluh, Masjid Sungai Gelugor Pulau Pinang, Surau Eastern Court Pulau Pinang, Masjid Jelutong Pulau Pinang, Masjid Hashim Yahya Pulau Pinang, Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang, Masjid Lebuh Acheh Pulau Pinang, Masjid kg Rawa Pulau Pinang, Masjid Kg Makam Pulau Pinang, Masjid Jalan Langkawi Pulau Pinang, Masjid at-Taqwa Pulau Pinang, Masjid Sheikh Yusoff Pulau Pinang, Masjid Tanjong Malim Perak, Masjid Lama Ulu Bernam Selangor

9. Guru-guru di Universiti Malaya (UM) 1998-1999

10. Guru-guru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2000-2003

‘Ya AlLah SWT, lemah & daifnya diriku ini tidak apat mengingati kesemua sof guru yang pernah berjasa mendidikku. Ya Ghafur ampunilah kesemua dosa guruku sama yang kuingat atau yang kutak ingat lagi namanya, berkahi hidup mereka seandainya mereka masih lagi KAUsambung subsidi nyawa, luaskanlah kubur mereka sejauh pandangan mata sejauh yang KAUkehendaki kubur mereka seandainya ada antara mereka yang telah KAUpanggil ke pangkuan-MU. Ya AlLah dari tulus mulus ikhlas ajaran merekalah aku dapat mengenali-MU.’ Amin Ya Rabb Aalamiin

Sunday, May 1, 2011

2 Soalan Kreatif Jemaah Tazkirahku

2 Soalan Kreatif Jemaah Tazkirahku

Dalam satu majlis tazkirah mingguan di sebah desa terpencil daripada arus kalut dan ributnya sebuah bandar raya, ana dihujani dengan 2 soalan yang cukup kreatif dari seorang belia. Panahan soalannya menggambarkan empunya diri cukup kreatif berfikir dan membuat perbandingan.

Soalan pertama: Ustaz, kenapa AlLah SWT tidak menolong umat Islam untuk menyelamatkan diri mereka, contohnya seperti yang berlaku di Palestin? Bukankah umat Islam merupakan umat pilihan-NYA?

Soalan dua: Ustaz, kenapa umat Islam pada hari ini tidak sehebat umat Islam pada zaman silam, padahal kita membaca al-Qur’an yang sama dengan mereka, bersolat dengan solat yang sama dengan mereka, membaca hadis yang sama dengan mereka, bernabi dengan nabi yang sama?

Jawapan;
Pertama perlu disemat dalam iamn, AlLah SWT tidak pernah sesekali untuk memungkiri janji-NYA, itu yang perlu kita pegang dan yakin betul-betul. Soalnya, siapa kata yang AlLah SWT tidak menolong orang Islam di Palestin? Apa yang perlu kita faham ialah AlLah SWT menolong hamba-NYA mengikut cara-NYA yang disukai-NYA. Kita mungkin mahukan AlLah SWT menolong orang Palestin dengan cara menurunkan Malaikat misalnya seperti dalam Perang Badar, menghantar burung Ababil misalnya seperti menghadapi serangan tentera bergajah Abrahah. Kita pertolongan yang kita mahu AlLah SWT hulurkan. Tapi perlu diingat sampai bila-bila; AlLah SWT bukan ‘kuli’ kita untuk mengikut apa yang kita maukan.
Justeru AlLah SWT telah menolong umat Islam Palestin dengan cara-NYA sendiri walaupun cara tersebut tidak disukai oleh semua manusia yang bernyawa. Apa yang jelasnya AlLah SWT menolong umat Islam di Palestin dengan cara memasukkan beranke dalam jiwa mereka. Keberanian yang bukan boleh dibuat-buat. Keberanian yang dimiliki oleh umat Palestin itulah yang lebih perlu untuk mereka pada tahap ini. dapat kita lihat di layar tv, walaupun mereka hanya berbekalkan dengan lastik sahaja tapi mereka tidak pernah gentar untuk berdepan dengan deretan kereta kebal yahudi sedang kita lihat gambar kenderaan musuh-musuh AlLah SWT itupun dah kecut perut!
Selamat dalam erti kata Islam bukan bermakna tidak mati. Mati merupakan satu kewajipan, kerana semua yang bernyawa akan disentuh oleh mati dan Islam menyediakan atau menawarkan bentuk mati yang terbaik yang tidak mati di sisi-NYA; iaitu mati dalam mempertahankan Islam. Bukan semua manusia yang terpilih untuk syahid! Mereka di Palestin sana sedang terpilih.

Kepada soalan kita membaca al-Qur’an yang sama dengan mereka, bersolat dengan solat yang sama dengan mereka, membaca hadis yang sama dengan mereka, bernabi dengan nabi yang sama?-soalnya benarkan kita berbuat sama dengan mereka? Benarkah kita membaca al-Qur’an sama dengan mereka? Benarkah kita bersolat sama dengan mereka? benarkah membaca hadis yang sama dengan mereka, benarkah kita bernabi dengan nabi yang sama?
Yang tentu samanya, kita hanya baca al-Qur’an tapi berapa jam sehari? Mereka bukan setakat baca al-Qur’an tapi mereka faham kandungannya bukan itu sahaja yang penting mereka berebut-rebut siapa dahulu untuk melaksanakan ajaran yang terpeta dalam al-Qur’an. Tapi banyak dalam kalangan kita yang hanya baca al-Qur’an sekali setahun itupun kerana adanya Ramadhan. Kita pada hari ini di sesetengah tempat bermati-matian mencaci ajaran yang termuat dalam al-Qur’an.
Solat kita tidak sama dengan mereka sebetulnya, yang sama hanyalah bilangan rakaat: Subuh 2, Zohor 4, Asar 4, Maghrib 3, dan Isya 2. Mereka 5 kali sehari berjemaah, kita lebih suka solat sendirian di rumah. Mereka semasa solat berjemaah merapatkan saf; bahu sesama bahu bersentuhan, menyamakan tumit sedang kita berjemaah tapi kita enggan bersentuhan dengan saudara di sebelah walaupun sang Imam tidak pernah leka mengingatkan. Mereka datang awal pada hari Jumaat ke masjid untuk iktikaf sedang kita datang bersolat Jumaat hanya setelah mendengar azan. Sesetengah kalangan umat Islam pula yang hanya datang solat Jumaat pada minggu ketiga kerana takut jadi munafik.
Yang lain-lain tu kiaslah sendiri.

Tetamu

free counters