About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Saturday, December 31, 2011

Tafsir Surah al-A’raf ayat 73 - 79,


Malam ini 08 Safar 1433- 02 Jan 2012
Tazkirah Mingguan di Masjid Haji Sulaiman,
Kg Jembal, Bachok, Kelantan.
Insya-AlLah. Dialog Nabi AlLah Soleh AS dengan Kaumnya (Kaum Thamud)


Tafsir Surah al-A’raf ayat 73 - 79,
Dialog Nabi AlLah Soleh AS dengan Kaumnya (Kaum Thamud)



73. Dan kepada kaum Thamud (KAMI utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Berdakwah dia kepada kaumynya: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan AlLah, (sebenarnya) tiada ILAH bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari RABB kamu; ini seekor unta betina (dari) AlLah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh sebab itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi AlLah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

- AlLah SWT menjelaskan suatu waktu dahulu DIA mengutuskan Nabi Soleh kepada kaum/bangsa Thamud, suatu kaum yang mendiami tempat yang bernama al-Hijr yang berlokasi di antara Hijaz dengan Syam. Nabi Soleh pula merupakan anak-beranak mereka, atau kaum kerabat mereka, dengan kata lain Nabi Soleh AS mempunyai pertalian yang hampir dengan mereka dari segi darah. Sebagaimana biasa, AlLah SWT mengutuskan para anbiya untuk mengajak manusia kembali ke jalan Islam setelah manusia sudah terlalu jauh tersesat.

Seperti kata peribahasa Melayu; sesat di hujung jalan kembali ke pangkal jalan. Jadi Nabi AlLah Soleh AS diperintahkan AlLah SWT untuk mengembalikan kaum Thamud kepada agama yang lurus iaitu Islam. Kerana cara hidup & agama dari sisi AlLah SWT hanyalah Islam.
Nabi AlLah SWT memulakan seruan dakwahnya agar kaum kerabatnya kembali menyembah AlLah SWT sahaja, kerana hanya AlLah sahaja yang berhak disembahi, bukan yang lain berupa patung, berhala, pokok-pokok besar, kuburan, lokasi-lokasi tertentu dan sebagainya.

Dakwaan Nabi Soleh AS mengajak manusia sezamannya menyembah AlLah SWT disambut dengan permintaan yang aneh. Mereka mahukan Nabi Soleh AS memecahkan batu dan mengeluarkan anak unta betina dariapda dalam batu tersebut. Seandainya Nabi AlLah Soleh AS berjaya menunaikan permintaan mereka, mereka memberi jaminan untuk beriman kepada AlLah SWT seperti yang didakwahkan. Ketua kaum Thamud yang mencabar Nabi AlLah Soleh AS itu bernama Junda bin Amr bin Labib. Nabi AlLah Soleh AS bermunajat kepada AlLah SWT, dan izin-NYA keluarlah unta betina daripada dalam batu. Setelah melihat kebenaran berada nyata di hadapan mata, Junda & sebilangan yang ada menyatakan imannya kepada AlLah SWT. Tetapi tidak banyak yang sempat untuk menyertai & menyatakan iman mereka kerana pemuka agama berhala pada masa itu yang diketuai oleh Dzuab bin Amr bin Labib & pembantunya Habbab menghalang & menyekat.

Berikutnya Nabi AlLah Soleh AS memberitahu bahawa unta itu tidak boleh disakiti dengan cara apapun. Unta tersebut mestilah diberi minum secara bergilir-gilir dengan penduduk al-Hijr. Apabila tiba hari yang dijadualkan untuk unta meminum air, penduduk & haiwan ternakan mereka tidak boleh meminum air tetapi mereka boleh memerah sebanyak susu unta itu untuk dijadikan minuman. Jelas Nabi AlLah Soleh AS lagi seandainya unta itu disakiti, maka akan turunlah bala AlLah SWT kepada mereka semua.


74. "Dan kenanglah nikmat AlLah ketika DIA menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan ditempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Justeru kenangkanlah nikmat-nikmat AlLah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi".

Dakwah berikut daripda Nabi AlLah Soleh AS ialah memperingatkan merak terhadap nikmat AlLah SWT yang tercurah kepada kaun Thamud. Antara nikmat itu ialah kaum Thamud dijadikan AlLah SWT pemerintah & pengurus atau pentadbir dunia setelah kehancuran kaum Ad (bangsa Nabi AlLah Hud AS). Kaum Thamud mendapat kekuasaan pemerintahan di dunia, dengan segala perbendaharaan & kekayaan menjadi milik mereka. Antara nikmat yang AlLah SWT kurniakan kepada kaum Thamud & tidak diberikan kepada bangsa yang lain hingga kini ialah kemahiran (teknologi) dapat memahat bukit & gunung untuk dijadikan rumah & kediaman.

Lalu jadilah bukit & gunung sebagai rumah-rumah mereka yang kukuh daripada ancaman. Di samping itu mereka juga dengan teknologi semasa membina istana-istana di tanah yang rata. Dapat difahami setiap mereka mempunyai 2 kediaman yang hebat & megah; satu istana di tanah rata, satu lagi kediaman yang mereka pahatkan di bukit atau gunung. Kedua-dua kediaman ini mereka gunaka untuk mereka huni pada musim panas & musim dingin. Pada musim panas mereka menghabiskannya dengan menduduki istana, sementara pada musim sejuk mereka labur untuk berada dalam bukit atau gunung yang mereka ukir indah sebagai rumah. Dakwah Nabi AlLah Soleh AS juga agar mereka jangan sengaja membuat kerosakan di bumi. Kerosakan di sini bermaksud membuat dosa & maksiat, sama secara terancang, secara senyap-senyap, atau secara terang-terangan.



75. Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah; iaitu orang-orang yang telah beriman antara mereka: "Tahukah kamu bahawa Soleh menjadi rasul dari RABBnya?" mereka menjawab: "Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia (Nabi Soleh) dakwahkannya".

Macam biasa mereka yang berkuasa, yang kaya, yang mewah hidupnya, susah untuk membuka pintu hati kepada ajaran wahyu, hal ini dirakam sepanjang masa dalam sejarah perjuangan dakwah para anbiya kepada umat manusia. Kasus ini berlaku seawal dakwah Nabi AlLah Nuh AS hinggalah kepada fenomena yang berlaku kepaada Junjungan Akhir Zaman; Nabi Muhammad SAW.

Golongan yang berkuasa pada zaman Nabi AlLah Soleh AS juga demikina juga, bukan sahaja mereka tidak mahu join terhadap dakwah, mereka jua akan bertanya dengan tujuan mengolok-olok pengikut nabi, kamu percayakah Soleh tu diutus nabi oleh AlLah? Situasi ini akan berterusan selagi manusia ada nyawa di sepanjang masa. Pendokong dakwah akan menjawab dengan penuh yakin; kami beriman kepada dakwah para nabi.

Kenapa pendokong & menyokong dakwah ini percaya & beriman dengan dakwaan manusia yang mengaku menjadi nabi ini? sebabnya mudah sahaja iaitu manusia yang dilantik & mendakwa mereka sebagai nabi ini merupakan manusia yang paling jujur pada zamannya, manusia yang dalam percakapannya tak pernah berbohong, manusia yang paling amanah mereka lihat dalam muamalat, manusia yang tidak pernah menyusahkan mereka dalam pergaulan seharian, manusia yang banyak meringankan beban mereka dalam seharian, & AlLah SWT memang memilih manusia yang tepat untuk menjadi utusan-NYA. Justeru apabila manusia yang sebegini hebat mengajaka mereka kepada agama AlLah SWT, golongan yang lemah ini tanpa bertangguh & tanpa teragak-agak menyatakan iman kepada AlLah SWT RABB sekalaian alam.

76. Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap ingkar kepada orang yang kamu beriman kepadanya".

Jawapan yang diberikan oleh golongan yang takabbur (yang enggan tunduk kepada kebenaran) pastinya berbeza dengan jawapan golongan mereka yang medapat hidayah. Golongan yang takabbur ini dengan angkuhnya akan menjawab mereka tidak akan beriman dengan golongan para nabi di sepanjang zaman. Mereka yang takabbur ini bukan sahaja tidak mahu membuka pintu hatinya untuk dimasuki sinar iman & hidayah AlLah SWT, mereka juga akan rasa susah hati jika ada insan lain yang beriman. Lantaran itu tidak hairanlah jika ajakan & dakwah para nabi & rasul ini ditentang & dihalang di sepanjang zaman. Pelbagai rancangan jahat dirangka & difikir golongan ini untuk menyekat dakwah, sama ada pada zaman dahulu atau pada zaman hari ini. hal ini akan berterusan sehinggalah ke hari kiamat.



77. Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah RABB mereka, sambil berkata: "Hai Soleh! datangkanlah azab yang Engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh AlLah)".

Golongan penentang dakwah Nabi AlLah Soleh AS ini yang terdiri daripaa mereka yang berkuasa bukan sahaja menghalang dakwah & menyekat tersebarnya dakwah, malah mereka berpakat untuk membunuh unta yang mereka pinta. Bukan sahaja mereka menyembelih & membunuh unta tersebut, mereka siap membahagi-bahagikan dagingnya, mereka juga dengan angkuhnya mencabar Nabi AlLah Soleh AS agar menurunkan azab/bala kepada mereka dengan seberapa segera. Bagi mereka Nabi AlLah Soleh AS itu yang boleh menurunkan bala. Sedangkan para nabi hanya menjelaskan seandainya titah perintah AlLah SWT dilanggari, akan datang bala dari AlLah SWT. Bilakah masa, bilakah waktu, pukul berapa, datangnya bala tersebut bukan urusan & dalam pengetahuan para nabi. AlLah SWT akan menurunkan bala mengikut kehendak-NYA bila-bila sahaja yang disukai-NYA.

Bagaimana boleh terjadinya pembunuhan unta Nabi AlLah Soleh AS ini? semua ini datangnya dari idea & perancangan 2 orang wanita yang jelita, bernama Unizah bt Ghanam dan Sadaqah bt Mukh. Sesiapa yang boleh membunuh unta tersebut akab dijadikan suaminya (Sadaqah) dan berkahwin dengan anaknya (Unizah yang kaya raya). Tawaran tersebut telah memikat hati 2 pemuda; Gudar/Qaddar bin Salif & Masda’/Mushadda bin Muharij. Mereka berdualah yang mengetuai rombongan 9 manusia jahanam untuk membunuh unta. Rancangan mereka yang disusun rapi ini dilaksana dengan sempurnanya pada waktu malam. Mushadda memanah betis unta dari jauh sementara Gudar menghabisi riwayatnya.

Benar juga kata pepatah’ wanita itu tiang negara apabila baik wanita itu maka baiklah negara, bila tolol & jahat wanita itu maka akan hancur & jahatlah negara’. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia.


78. Oleh sebab itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Mereka bukan sahaja membunuh unta itu, malah mereka 9 jahanam itu bergerak pula ke rumah Nabi AlLah Soleh AS untuk membunuhnya. Dengan sebab dosa yang mereka rancang & usahakan, maka datanglah bala AlLah SWT yang mereka mintakan berupa gempa bumi & bunyi halalintar yang membinasakan. Mereka yang bernafsu ingin membunuh Nabi AlLah Soleh AS & pengikutnya dibinasakan AlLah SWT dengan hujanan batu dari langit.

Nabi AlLah Soleh AS dan pengikutnya yang beriman diizinkan AlLah SWT untuk berhijrah ke RamalLah Palestin dan menetap di sana. Jadi penduduk yang menghuni RamalLah pada hari ini merupakan anak cucu Nabi AlLah Soleh & para pengikutnya yang beriman. Jangan hairan jika esok atau lusa akan muncul kebangkitan Islam dari RamalLah.


79. Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan RABBku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat".

Sambil kakinya melangkah keluar dari bumi al-Hijr Nabi AlLah Soleh AS tetap memberi ingat kepada pengikutnya yang masih ada & peringatan kepada mereka yang binasa bahawasanya dia telah melaksanakan segala suruhan AlLah Yang Esa; memberikan nasihat kepada mereka, tapi sayangnya banyak daripada manusia tidak makan nasihat.

Tahun Baru 2012; Bertambahkan Rezeki Diri

Ya tahun baru 2012 bakal bertandang ke laman umur. Detik 12 malam selalu dinantikan untuk merealisasikan kedatangan. Seperti tahun-tahun yang semakin meninggalkan, 2012 sebetulnya tidak ada yang dijanjikan. Yang pastinya kita semakin matang & dimatangkan pengalaman erti pahit & maungnya kehidupan; lebih-lebih lagi jika hidup dalam memperjuangkan. Tentunya masih banyak agenda yang tidak tertunaikan, jika sudah ditunaikan pula tiada yang tertuntaskan cemerlang & menetaskan hasil serta pulangan yang lumayan.
Seperti selalunya, seperti awal tahun 2011 juga terkuaknya dini 2012 juga, pasti ada antara kita yang memasang & menjerat azam. Azam disemai dengan alasan bisa & bakal mengubahkan. Tentunya yang diharap bertambah baik ialah rezeki & pendapatan. Rezeki & pendapatan diharapkan lebih lumayan.
Kepada sesiapa sahaja yang sudi menggabungkan dirinya dengan Islam; sama secara warisan dari baka & keturunan atau melalui pengembaraan yang panjang dalam mencari sinar kebenaran, kita tentunya pernah diajar & mendengar melalui deria telinga yang dibekalkan, iaiti adanya eleman kehidupan bernama Malaikat yang turut mewarnai & lukisan perjalanan kehidupan. Ya, jumlah para Malaikat yang diciptkan lebih lebih banyak daripda jumlah manusia yang kelihatan. Walaupun jumlah para Malaikat AlLah SWT tidak tidak dapat kita ketahui dengan tat jumlah & bilangan, tapi kita diwajibkan tahu & beriman dengan peranan 10 Malaikat yang amat menentukan. Di samping itu para Malaikat ini terlalu hampir dalam kehidupan. Adapun kesepuluh Malaikat ini namanya dikenali sebagai; 1- Jibril AS –
Ketua Para Malaikat di samping menyampaikan titah perintah AlLah SWT kepada para anbiya, Jibril AS juga digambarkan menyempurnakan azab kepada kaum yang derhaka.
2- Mikail AS-
Membahagi-bahagikan rezeki kepada semua yang hidup di dunia, sama ada yang taat kepada perintah-NYA atau mereka yang derhaka & yang menentang-NYA.

3- Israfil AS-
Meniupkan ‘Sangkakala’; untuk mematikan semua yang mendengarkannya atau meniupnya kali yang berikutnya untuk menghidupkan semula yang mendengarnya buat kali berikutnya.

4- Izrail AS-
Mencabutkan nyawa semua yang bernyawa dalam proses mematikannya apabila sampai masa & ketika & saatnya. Tidak akan dilewatkannya walau sesaat & tidak akan tercepat biarpun sesaat jua. Semuanya berlaku on time & on line.

5- Raqib AS-
Mencatat kesemua aksi baik-baik manusia biarpun manusia sendiri tidak menyedarinya. Bermula daripada membuka mata pada siang harinya sehingga mata ditutup kembali untuk tidur setiap hari.

6- Atiq AS-
Mencatat kesemua aksi buruk & negatif manusia biarpun manusia sendiri tidak menyedarinya, biarpun dilakukan secara yang paling profesional & paling tersembunyi. Bermula daripada membuka mata pada siang harinya sehingga mata ditutup kembali untuk tidur setiap hari.

7 & 8- Mungkar & Nakir AS-
Menyoal si mati dengan soalan-soalan mudah & menyiksa si mati jika mereka gagal menjawab soalan-soalan tersebut. Adapun soalan yang dikemukakan itu tidak mampu dihafal & dijawab oleh lidah, kerana dalam situasi berkenaan lidah sudah tidak diizinkan untuk bercakap lagi. Yang akan bercakap ialah anggota badan yang lain selain lidah.

9. Malik Zabaniah AS-
Penjaga pintu neraka & tidak pernah senyum lagaknya selama-lamanya.

10. Malik Reduan AS-
Penjaga surga



Peranan Mikail AS dalam Penentuan Rezeki; Rezeki Kita Memang Haq Kita

Rukun Iman yang kita yakini mengajarkan bahawa semua rezeki kita datangnya dari AlLah SWT sahaja! Tidak ada campuratangan sesiapa dalam soal rezeki ini kerana DIA tidak pernah mengajak sesiapa berbincang untuk memberikan rezeki-NYA kepada hamba. Bermula dengan rezeki sedutan & hisapan nyawa, luasnya pemandangan yang diilustrasikan & demham pelbagai warna yang ditapis oleh mata, beragamnya bentuk bunyi yang melewati pendengaran kita & kita dengan senangnya dapat membezakan antara bunyi haiwan dengan manusia & sebagainya, masuk & kita dapat membezakan pelbagai aroma bau yang melewati hidung kita, pelbagai cita & rasa singgah pada lidah & diterjemahkan sama ada masin, masam, manis, pahit dsb, rezeki kesihatan yang subur & makmur yang singgah pada badan kita, terhindarnya pelbagai derita penyakit dari dalam diri, hinggalah sampai kepada datang wang & ringgit yang memenuhi dompet dan saku kita; semuanya datangnya dari AlLah SWT 100% tanpa campurtangan manusia. Cuma AlLah SWT menggunakan manusia atau hamba-NYA yang lain sebagai posmen sahaja untuk menyampaikan rezeki tersebut itu kepada kita.
Apabila kita membelek-belek ajaran Islam; Baginda Nabi Muahammad SAW telah lama menjelaskan kepada kiat melalui hadis & sabda yang kita boleh fahami sebagai berikut;
‘setelah umur manusia menjangkau 120 hari dalam rahim bonda, Malaikat Mikail akan dipanggil mengadap AlLah SWT untuk mencatat sejumlah rezeki yang diperuntukan kepada kita; lelaki tau perempuan kah kita? Berapa juta langkah kita boleh melamngkah, berapa juta bunyi pula yang layak masuk ke telinga kita, berapa banyak makanan yang kita dapat masukkan dalam perut, berapa banyak pula minuman yang dapat melalui leher kita, berapa juta duit yang patut & dapat kita pegang & belanjakan, berapa juta warna & objek yang kita dapat lihat, dan sebagai sebagainya yang lain sudah ditentukan untuk kita sewaktu umur kita 120 hari dahulu’
Lalu kita pun dihantar ke dunia untuk menghabiskan bajet yang telah ditentukan AlLah SWT yang berhak kita habisi. Malaikat Mikaiollah yang akan menguruskan pemberian rezeki tersebut kepada kita dari sehari ke sehari sehinggalah habis bajet untuk kita. Apabila bajet kita habis, maka kita pun akan mati kerana sudah tiada lagi bajet untuk kita hidup di bumi ini. jadi jangan bimbang & timbul rasa kurang enak dalam diri; rezeki kita satu sen pun tak akan masuk atau dimasukkan ke dalam akaun orang lain. Demikian juga rezeki orang lain tak akan masuk ke dalam periuk rezeki kita walaupun setengah sen!
Keseluruhan bajet yang AlLah SWT bajetkan untuk kita itu kita boleh mengambilnya secara halal ataupun secara haram & dilarang. Mengambil bajet rezeki kita secara halal dengan kita melakukan kerja-kerja yang halal yang akhirnya kita akan mendapat rezeki tersebut & lama kelamaan akan habis. Kita juga boleh dapatkannya secara haram; misalnya kita boleh merompak dll bila habis rezeki tersebut kita pasti mati. Katakan rezeki kita masih berbaki sejuta, lalu kita pun pergi merompak, setelah mendapat rezeki yang sejuta itupun kita akan mati, sebab itulah kebanyakan perompak yang sedemikian akan mati tertembak sebaik sahaja dia menerima kesemua jumlah rezeki yang diperuntukkan untuknya.
Walau apapun janji orang tertentu untuk kita sempena tahun baru 2012, hakikatnya kita sedang ke arah menghabiskan bajet rezeki yang AlLah bekali sejak azali lagi. Semakin cepat kita habisi bajet itu semakin cepat pula kita kan mati; kecuali apabila kita dapat bajet tersebut kita dapat panjangkan hayatnya dengan cara bersedekah. Dengan bersedekah umur kita akan menjadi bertambah panjang. Ini janji AlLah SWT.
Hanya AlLah SWT yang dapat menambah kesemua rezeki kita; hanya DIA yang boleh memanjangkan umur kita. Hanya AlLah SWT yang dapat menambah kesemua rezeki kita; hanya DIA yang boleh memanjangkan umur mata. hanya DIA yang boleh memanjangkan hayat mata kita. hanya DIA yang boleh melamakan usia pendengaran kita. hanya DIA yang boleh melamakan fungsi hidung & jantung kita. Hanya DIA yang segala gala, kerana DIA Maha Berkuasa. Dulu kini & selam-lamanya. AlLah hu Akhbar.
Ya AlLah SWT yakinilah diri ini dengan kuasa-MU

Friday, December 30, 2011

Surah Ali-Imran

Tazkirah Mingguan- Jumaat Malam Sabtu
06 Safar 1433 bersamaan 31 Dis 2011
Masjid Pak Da Nor, Padang Embon, Pasir Mas


Surah Ali-Imran Ayat 110-111




110. Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan/ dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada AlLah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) hanya sedkita antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka memilih untuk menjadi fasik( merancang, menyimpan & melaksanakan pelbagai agenda ke arah dosa).

Semua impian & cita rasa manusia mahukan sanjungan & pujian, lebih-lebih lagi dari seseorang yang lebih tonggi darjatnya dari kita. Kita akan berasa bangga jika dipuji oleh adik-beradik kita. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh ayah bonda. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh orang kampung. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh guru-guru di sekolah. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh kerajaan negeri kita. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh pemimpin-pemimpin negara kita. Pujian yang diberikan kepada diri kita tentunya berpunca daripada kejayaan yang kita cipta dalam bidang yang diceburi. Misalnya kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam, seperti UPSR, PMR, SPM, STAM, STPM. Pujian tak pernah sama sekali datang tanpa kejayaan yang menemani diri.

AlLah SWT telah merakamkan sanjungan & pujian buat umat akhir zaman ini sebelum mereka diciptakan lagi. Kita telah dinobatkan dengan gelaran ‘khairul ummatin’= sebaik-baik umat atau umat yang terbaik, yang pernah menghuni bumi ini. Sanjungan ini terakam terlebih dahulu yakni sebelum kita dicipta apalagi dilahirkan ke dunia. Kejayaan umat ini, umat Nabi Muhammad SAW menggondol anugerah umat terbaik ini kerana kita berjaya dengan cemerlangnya melakukan 3 serentak dalam satu masa iaitu;
1- mempelawa & membimbing manusia untuk melakukan amal ma’ruf
2- melarang & menutup segala pintu, ruang & peluang untuk terbitnya amal mungkar
3- kita melakukan amal ma’ruf & nahi mungkar ditunjangi iman kepada AlLah SWT

Ketiga-tiga perkara ini gagal dilaksana dengan jayanya oleh umat-umat pada zaman silam bermula dengan umat Nabi AlLah Adam AS sehinggalah kepada umat Nabi AlLah Isa AS. Rata-rata mereka mampu mempelawa & membimbing umat mengerjakan amal ma’ruf tetapi pada masa yang sama mereka juga menjadi penaja agenda kemungkaran. Umat Nabi AlLah Musa AS umpamanya, walaupun mereka menjadi pendokong kepada dakwah Nabi AlLah Musa AS, pada masa yang sama mereka mendesak nabi mereka untuk menatap wajah AlLah SWT. Mereka akur dengan nabi mereka pergi ke Tursina untuk menerima Kitab Taurat, tapi pada masa yang sama mereka membina patung lembu untuk disembah. Mereka menjadi penyembah lembu yang mereka ukir dengan ilham otak & tangan mereka, sedang masa yang sama mereka mengaku beriman kepada AlLah SWT.

Seharusnya golongan yang pertama beriman dengan seruan Nabi Akhir Zaman ini; Nabi Muhammad SAW sepatutnya terdiri daripada golongan ahli kitab ataupun sekarang dipanggil tuan-tuan guru & ustaz-ustaz, kerana mereka telah tahu kerana selalu membaca dalam kitab yang ada pada mereka yang menceritakan akan kedatangan nabi akhir zaman, siap dengan tanda-tandanya; sama ada tanda yang nampak dilihat secara zahir atau tanda yang tersembunyi. Apa yang pelik & ganjilnya ialah golongan ahli kitab inilah yang paling sedikit beriman dengan seruan & ajakan Nabi Akhir Zaman. Kebanyakan mereka memilih untuk terus-menerus berada dalam keadaan fasik. Sirah merakamkan hanya beberapa nama ahli kitab sahaja yang bercakap benar & membenarkan Nabi Akhir Zaman; misalnya Waraqah bin Naufal, Buhaira, & Abdullah bin Salam. Adapun sejumlah ahli kitab yang lain bertungkus-lumus merangka jalan & mencari pelbagai helah untuk menentang Nabi Muhammad SAW.

Sirah telah lama merakamkan bahawa kekuatan Islam ini bukan berada di tangan ahli kitab atau tuan guru & ustaz-ustaz, tetapi kekuatan Islam ini terletak dalam hati manusia yang ikhlas & jujur dalam beragama walaupun mereka bukan tuan guru & ustaz. Walaupun mereka tak pernah mengenal huruf & angka, apalagi untuk bijak membaca carta & mengendali komputer.

111. Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

- Semasa melaksanakan kerja-kerja dakwah; mengajak & mengajar serta membimbing manusia (sasaran dakwah) untuk melakukan amal soleh, dan membimbing mereka menjauhi perkara yang mungkar, pastinya akan ada halangan yang mendatang. Musuh-musuh dakwah tidak pernah berdiam diri & tidak akan pernah berputus asa untuk menghalang seruan kepada agama AlLah SWT. Musuh yang paling sengit yang tidak pernah puas untuk menghalang dakwah ini, dijelaskan sendiri oleh AlLah SWT terdiri daripada dua komuniti; Yahudi & Nasroni). Yang dimaksudkan dengan Yahudi & Nasroni di sini ialah sama ada dari segi lahiriahnya iaitu dari mereka yang beridentitikan Yahudi & Nasroni atau daripada mereka yang berperangai meniru kelakuan & perbuatan yang selama ini dipelopori Yahudi & Nasroni.

- Dalam ayat ini AlLah SWT menegaskan & memberikan jaminan; bahawa musuh-musuh dakwah ini walau apapun namanya, tidak akan pernah sekali-kali akan membahayakan jurudakwah. Mereka hanya mampu mengganggu perasaan & emosi jurudakwah sahaja melalui kata-kata. Kata-kata mereka hanyalah berupa ugutan, ejekan, fitnah yang direka-reka, dan yang lain-lain yang sebangsa dengannya sahaja.

Sekali lagi dalam ayat yang sama AlLah SWT sebagai tuan punya dakwah Islam ini, memberikan jaminan seandainya mereka (musuh Islam ini, apa jua namanya) menggerakkan kekuatannya untuk berperang dengan para pendakwah, AlLah SWT memberikan jaminan bahawa pejuang Islam akan menang. Sirah & sejarah menjadi saksi setiap agenda peperangan yang dilalui oleh orang Islam, semua kemenangan berpihak kepada Islam. Hal ini disebabkan kita sebagai umat Islam turun ke medan perang untuk mati syahid, kerana mati syahidlah kemenangan yang tiada tolok bandingnya, sama ada untuk masa di dunia lebih-lebih lagi dalam syurga di akhirat sana. Kemenangan di dunia juga dijamin oleh AlLah SWT apabila umat Islam melewati jalan peperangan dengan musuh Islam. lantaran kerana kemenangan dalam peperangan semasa di dunia inilah, dalam al-Qur’an terdapat satu surah yang bernama Surah al-Anfal.

Peperangan antara umat Islam dengan pihak kufar akan berpihak kepada Islam & musuh Islam akan tewas dengan seteruk-teruknya, & mereka akan menjadi hina-dina selepas peperangan tersebut. Menyedari hal inilah, musuh Islam sejak dari dahulu akan cuba menjauhkan umat Islam dengan ayat-ayat al-Qur’an yang membicarakan soal jihad & perang yang dituntut oleh Islam. Tetapi sebagai umat Islam kita wajib beriman; ada masanya kita diwajibkan solat, ada masanya kita diwajibkan berpuasa, ada masanya kita diwajibkan berzakat, ada masanya kita diwajibkan berhaji, ada masanya kita diwajibkan melaksanakan hudud, ada masa-masanya bila sampai ketika & detiknya; AlLah SWT juga mewajibkan kita berperang!

Wednesday, December 28, 2011

Surah ar-Rad'

Malam ini 05 Safar 1433 bersamaan 30 Dis 2011
Tazkirah 3 kali sebulan (minggu 1, 3, & 4 setiap bulan)
Masjid Wak Dir, Kg Telok Kemunting Timur, Tawang
Hari Khamis Malam Jumaat


Ayat 28- 30 daripada Surah ar-Ra’d 
(dalam Juzuk 13 Surah ke-13)



28. "Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah (yakinlah) dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
-Semua manusia tentunya mengakui fakta; bukan dia yang menjadikan dirinya sendiri. Bukan ayah bondanya yang membentuk susuk atau wajah dia yang punya diri. Kerajaan mana-mana pun sampai ke hari ini tak akan berani mengaku yang kerajaan merekalah yang mencipta manusia. Satu-satu kuasa, satu-satunya ZAT yang berani mengaku DIA yang mencipta manusia; daripada tiada apa-apa kepada ada, tidak meniru reka bentuk daripada mana-mana, bahkan tak serupa pula, hanyalah AlLah SWT. Sebagaimana yang didakwa-NYA, antara lain dalam Surah Al-Baqaroh ayat 21-22,
21. Wahai sekalian manusia! Berabadilah kepada RABB kamu yang telah menciptakan kamu dan poyang-moyang kamu, supaya kamu bertaqwa.
22. DIA lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta Segala isinya) sebagai atap; dan diturunkan-NYA air hujan dari langit, lalu diturunkan-NYA dari langit itu air untuk menumbuhkan pelbagai jenis buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui.

Antara tujuan & matlamat hidup manusia di dunia ini ialah untuk mendapatkan ketenangan. Tidak sedikit mereka yang cuba mencari ketenangan akhirnya berkesudahan dengan hilangnya nyawa dari badan. Manusia juga setiap masa mencuba pelbagai cara & resipi untuk mencari ketenangan. Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara mendengar muzik yang memekakkan telinga. Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara meminum minuman yang memabukkan.

Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara menari. Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara memandu kereta dengan selaju-lajunya. Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara pergi ke tepi-tepi laut. Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara bercakap seorang diri. Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara menelan pil-pil tertentu. Ada kalangan manusia yang cuba mendapatkan ketenangan dengan cara melukis badannya dengan dengan gambar-gambar tertentu, pelbagai cara lagi direka & dilaku manusia untuk mendapatkan ketenangan.

Sebagai pencipta manusia, AlLah SWT bukan sahaja memberitahu keperluan fizikal untuk tumbesaran manusia, seumpama makan minum. AlLah SWT juga menjelaskan secara terperinci petua untuk mendapat ketenangan, sementara ketenangan itu berpunca daripada hati. Hati perlu diisi dengan agenda yang bererti barulah hati tersebut mampu menggondol anugerah ketenangan. Untuk berjaya sampai ke daerah tenang ini, kita tak payah pergi ke mana-mana. Untuk berjaya sampai ke daerah tenang ini, kita tak payah makan atau minum apa-apa. Untuk berjaya sampai ke daerah tenang ini, kita tak payah lukis apa-apa. Kerana ketenangan itu ada di mana-mana, dengan satu syarat iaitu hati kita mestilah ingat kepada AlLah SWT. Ingat kepada AlLah SWT boleh dilakukan dengan 2 cara, iaitu dengan lidah & anggota, antaranya;
1- dengan lidah;
1.1. lidah kita sentiasa basah dengan doa-doa tertentu- bermula dengan doa sewaktu bangun tidur
1.2. lidah kita sentiasa basah dengan bacaan al-Qur’an setiap hari misalnya kita baca seayat sehari
1.3. lidah kita sentiasa basah dengan tasbih, tahmid, takbir
1.4. lidah kita sentiasa basah dengan berselawat kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dengan selawat seperti yang kita ucapkan dalam tahiyyat solat.

2- dengan anggota badan
2.1. Kita menjauhi perkara yang dibenci AlLah SWT (yang makruh) & menjauhi perkara yang dimurka-NYA (yang haram)
2.2. menghindari diri dari terlibat dengan perkara yang syubhah (yang tak jelas halal atau haramnya)
Justeru, kita yakinlah dengan janji AlLah SWT iaitu dengan kita ingat kepada-NYA hati kita pasti tenang, tenang, & tenang selama-lamanya.



29. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
- Pelawaan AlLah SWT kepada manusia untuk ingat kepada-NYA pastinya hanya disambut & dilaksana hanya oleh orang yang beriman sahaja. Adapun mereka yang kufur, yang munafik, yang mulhid, yang musyrik, yang nasionalis, yang pragmatis, yang libralis, yang sosialis, yang hedonis, & yang lain-lain yang sekarut dengannya tidak pernah tertarik dengan tawaran istimewa dari AlLah Yang Maha Esa. Jadi untuk mereka yang beriman, dengan maksud yang mudah beriman dengan Rukun Iman yang enam itu;
1- Meyakini kemahaperkasaan AlLah SWT memonitor segala yang ada di maya ini
2- Meyakini keberadaan para Malaikat & segala aneka tugasannya
3- Meyakini para nabi & rasul yang amanah menyampai segala titah perintah AlLah SWT
4- Meyakini adanya kitab untuk manusia jadikan pedoman; sekarang al-Qur’an
5- Meyakini kita semua bakal dihimpunkan pada Hari Qiyamat untuk menerima gaji & upahan
6- Meyakini keberadaan & pengaruh Qada’ & Qadar dalam mewarnai kehidupan

Bukan sekadar meyakini sahaja tetapi mereka beramal dengan amal yang soleh. Oleh sebab istilah amal soleh ini diguna pakai oleh AlLah SWT dalam kitab-NYA al-Qur’an. Maka sebanyak mana perbuatan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang digarisi al-Qur’an itu dikira & dinilai amal soleh, walaupun kita membunuh! Eh, membunuh pun dikira amal soleh? Peliknya, bukankah membunuh itu kejam namanya? Adakah berbuat kejam itu dikira amal soleh? Ya, membunuh juga dikira amal soleh jika kita membunuh kerana agama atau kita membunuh sesuatu yang disuruh oleh AlLah SWT. Ada beberapa situasi yang membunuh dikira amal soleh;
1- Membunuh orang kafir dalam peperangan
2- Membunuh mereka yang murtad
3- Membunuh yang sudah berkahwin tetapi melakukan zina
4- Membunuh balas orang yang membunuh ahli keluarga kita dengan perintah mahkamah

Sama halnya juga, jika silap cara & lakunya, kita bersedekah & pergi menunaikan ibadat haji ke Mekah pun tidak dikira amal soleh! Misalnya kita bersedekah & pergi ke Mekah menggunakan duit hasil judi, hasil riba, hasil rompakan; semua itu tidak dikira amal soleh walaupun nampak semacam amal soleh. Itu hanyalah fatamorgana sahaja!

Untuk mereka yang berimana & beramal dengan amal yang soleh AlLah SWT menjanjikan untuk mereka kesenangan (tuuba). Biasanya jaminan & janji AlLah SWT terfokus unyuk kehidupan di akhirat sana. Kerana kehidupan di dunia terhad sifatnya. Sekejap masanya. Untuk kehidupan di dunia, seandainya tiada jaminan AlLah SWT untuk mendapatkan sedikit kesenangan pun, manusia dengan kudrat tulang empat kerat masih mampu meraih kesenangan sekadarnya. Lihat sahajalah kepada sang kafir, sang munafik, sang mulhid, sang musyrik, sang nasionalis, sang pragmatis, sang libralis, sang sosialis, sang hedonis, & yang lain-lain yang sekarut dengannya masih mampu meraih sedikit kesenangan semasa di dunia.

Adapun kesenangan di akhirat sana tak mampu diraih dengan usaha manusia, semuanya pemberian & anugerah dari AlLah SWT 100%. Jika ada amal soleh pun yang kita mampu terbuat, masih belum mampu mengimbang walaupun hanya satu nikmat AlLah SWT semasa di dunia. Kitakanlah kita rajin bersolat, atau berpuasa sunat, kita tak mampu mengimbangi hanya nikmat nyawa yang kita sedut setiap saat, 24 jam sehari. Kita tak akan pernah mampu sampai bila-bila untuk bersolat 24 jam sehari, kerana kita akan dihinggap rasa letih, mengantuk, & seterusnya tertidur. Sedangkan sewaktu kita letih, kita mengantuk, & kita tidur pun, kita tetap tidak berhenti dari menyedut nyawa yang dibekal AlLah SWT.

AlLah SWT menjanjikan syurga sebagai tempat tinggal yang tetap di akhirat kepada mereka yang sanggup beriman & beramal soleh semasa hidupnya yang sekejap di dunia. Umur manusia semasa di dunia ini relatif pendek; untuk umat akhir zaman ini sekitar 100 tahun. Lihatlah bagaimana hebatnya Imam as-Shafie ra yang membahagikan masanya setiap hari kepada 3 bahagian. Sebahagian (8 jam) untuk mencari sara hidup harian. Sebahagian (8 jam) untuk bersama keluarga. Sebahagian (8 jam) untuk urusan agama AlLah SWT. Kita juga pastinya mahu ke syurga, soalnya berapa jam seharikah yang mampu kita peruntukan untuk urusan agama AlLah SWT ini? tepuk dada tanyalah iman! Jangan tepuk dada tanya selera dalam soal ini, kerana selera tak mampu menolongnya.

Jom kita tanya kita & jawablah dengan sejujurnya dalam hati.
1- Berapa jam seharikah kita berada di rumah AlLah SWT (masjid, surau, balaisah, musolla)?
2- Berapa jam seharikah kita gunakan untuk bersolat?
3- Berapa jam pula kita gunakan untuk membaca al-Qur’an?
4- Berapa jam pula kita gunakan untuk membaca hadis RasulLulLah SAW?
5- Berapa jam pula kita gunakan untuk berzikir?
6- Berapa jam pula kita gunakan untuk mendengar kuliah & tazkirah agama?
7- Berapa jam pula kita gunakan untuk menyebarkan agama AlLah SWT?
8- Berapa jam pula kita gunakan untuk urusan agama AlLah ini?



30. Demikianlah, KAMI utuskan engkau (Wahai Muhammad) kepada satu umat, sesungguhnya telah berlalu beberapa umat yang lain sebelum mereka (orang Arab), supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang KAMI wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (AlLah) Ar-Rahman, beritahulah mereka: "DIA lah RABBku, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA. Kepada-NYA aku berserah diri, dan kepada-NYAlah tempat kembali".
- AlLah SWT menjelaskan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dan kita sebagai umatnya itu Nabi Muhammad SAW bukanlah satu-satunya nabi yang diutus-NYA ke dunia ini. sebelum diutus-NYA, Baginda Nabi Muhammad SAW sudah banyak para anbiya yang terutus. Bilangan para nabi yang diutus AlLah SWT di sekitar 124 000 orang. Dalam kalangan nabi yang 124 000 itu ada 313 orang rasul. Daripada 313 orang rasul ini hanya 25 orang rasul sahaja yang wajib kita ketahui. Tidak perlu kita menghafalnya mengikut turutan, kalau dapat lagi afdal. Cukuplah untuk kita tahu yang mana satu nabi & yang mana satu bukan nabi. Misalnya bila kita ditanya, ada tak nabi yang namanya Harun, kita jawab ada. Bila kita ditanya lagi ada tak nabi bernama Hassan, kita jawab tidak ada.

Adapun nama para rasul yang 25 itu adalah seperti berikut;
1. Adam AS
2. Idris AS
3. Nuh AS
4. Hud AS
5. Salleh AS
6. Ibrahim AS
7. Luth AS
8. Ismail AS
9. Ishak AS
10. Yaakob AS
11. Yusoff AS
12. Ayub AS
13. Syuaib AS
14. Musa AS
15. Harun AS
16. Zulkifli AS
17. Daud AS
18. Sulaiman AS
19. Ilyas AS
20. Ilyasa’ AS
21. Yunus AS
22. Zakaria AS
23. Yahya AS
24. Isa AS
25. Muhammad SAW

Daripada 25 rasul itu ada 5 orang rasul yang dinobat & dianugerahkan pingat & darjat kebesaran Ulul Azmi oleh Allah SWT, iaitu;
1. Nabi AlLah Nuh AS
2- Nabi AlLah Ibrahim KhalilulLah AS
3- Nabi AlLah Musa Kalamullah AS
4- Nabi AlLah Isa Ruhullah AS
5- Nabi AlLah Muhammad SAW- penutup & ketua anbiya’

Tugas semua para nabi & rasul yang diutus hanyalah memberitahu atau membacakan wahyu kepada umat yang ada. Wahyu yang disampaikan AlLah SAW tersimpan dalam kitab & untuk Nabi Akhir Zaman kitabnya bernama al-Qur’an. Tanggungjawab Nabi Muhammad SAW & kita sebagai umatnya pada hari ini hanyalah membacakan & memahamkan manusia yang kita hadapi dengan titah perintah AlLah SWT yang termuat dalam al-Qur’an. Pada hari akhirat nanti kita akan ditanya, adakah kita sudah menyampaikan? Bukan menjadi tanggungjawab para nabi pada zaman hidupnya untuk memaksa manusia beriman. Tanggungjawab yang sama terpikul di bahu kita iaitu membaca & menterjemahkan titah perintah AlLah SWT kepada manusia yang kita hadapi. Berimankah mereka setelah mendengar penerangan atau penjelasan kita atau mereka mereka memilih untuk tetap dengan kekufuran, itu bukan tanggungjawab kita. Kita tak akan ditanya Allah SWT kelak, kenapa si fulan itu tidak beriman, tetapi kita bakal ditanya adakah kita sudah menyampaikan!

Seterusnya AlLah SWT memaklumkan sebagai panduan kita dalam berdakwah, bahawa sebagaimana umat zaman dahulu menolak dakwah Islam yang dibawa & didakwahkan oleh para nabi, perkara yang sama juga bakal berlaku kepada Nabi Akhir Zaman & juga hal yang sama bakal dialami oleh kita sebagai penerus kerja para nabi ini. Dakwah ke arah kehendak AlLah SWT akan ditolak oleh sebahagian besar khalayak yang ada. Penolakan dakwah ini akan dilakukan oleh mereka yang berkuasa, mereka yang berharta, mereka yang digelar cerdik pandai. Pendokong dakwah ini selamanya akan disertai oleh orang lemah atau yang diistilahkan mustad’afin. Bukan bermakna 100% mereka yang ada kuasa, yang berharta atau golongan cendekiawan menolak dakwah Islam ini, ada kalangan mereka itu yang mendokong & mendukung dakwah, tapi bilangan mereka terlalu sedikit hanya boleh dibilang dengan jari.

Mereka yang menolak dakwah ini bukan disebabkan seruan dakwah susah difaham tetapi disebabkan mereka susah untuk menolak desakan hawa nafsu jahat yang selama ini memotori diri mereka. Misalnya nafsu untuk memanipulasikan penggunaan tenaga golongan yang lemah. Tenaga mereka diguna semaksimal mungkin sementara upahnya dibayar semurah yang boleh. Belitan riba yang melingkari perjalanan kewangan mereka susah untuk dirungkai. Hujan rasuah yang membanjiri gagal untuk mereka sekat.
Apapun sebagai pendakwah kita diminta oleh AlLah SWT supaya memberitahu sesiapa sahaja iaitu AlLah SWT sahajalah RABB kita bersama; kita yang beriman AlLah RABB kita, kamu yang kufur pun AlLah SWT juga RABB kamu.

RABB itu yang menjadikan dari tiada kepada ada,
RABB itulah yang mengajarkan kita sehingga pandai,
RABB itulah menyembuhkan kita dari penyakit,
RABB itulah yang memberi rezeki kepada kita,
RABB lah yang mematikan kita mengikut cara yang disukai-NYA.
RABB itulah yang telah berbuat segala-galanya untuk kita.

Justeru kita layak bagi kita yang waras ini cuba mencari & menyembah selain daripada-NYA. Kepada-NYA sahaja kita sepatutnya bergantung harapan & berserah keadaan. Perlu diingat suatu masa kelak sama ada kita mahu tau tidak, sama ada kita bersedia atau tidak, kita akan dipaksa berjumpa dengan-NYA. Dalam pertemuan itu kita bakal ditanya dengan soalan-soalan berkisar apa yang terdapat dalam al-Qur’an, kerana al-Qur’an itu ibarat buku teks. Seandainya kita membaca & memahami apa yang terkandung dalam al-Qur’an, kita pasti dapat menjawab soalan itu dengan cemerlang & pasti lulus dengan gemilang. Dapat markah A plus, plus, plus kesemuanya. Seandainya kita tak pernah membaca al-Qur’an malah menentang titah perintah AlLah SET yang termuat dalam al-Qur’an kita pasti gagal segagal gagalnya. Kegagalan menjawab soalan pada hari akhirat kelak bakal menjerumuskan kita ke neraka, kerana di sana tiada peperiksaan untuk kali yang kedua.

Surah al-Isra’


Malam ini Rabu Malam Khamis
Tazkirah Mingguan
Masjid Abu Bakar, Kg Pintu Gerbang

Surah Isra’ ayat 80-85


80. Dan katakanlah (Wahai Muhammad SAW & umat, dengan berdoa): "Wahai RABBku! masukkanlah daku ke tempat yang benar lagi mulia (Islam), serta keluarkanlah daku daripadanya (kubur) dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan jadikanlah (berikanlah) untukku dari sisi-MU kekuatan yang mampu menolongku",

- Begitulah gambaran AlLah SWT yang terlalu sayang akan semua Hamba-NYA. Dihidangkan makanan terlazat untuk jiwa & fizikal kita. Untuk keutuhan & kekuatan fizikal pelbagai makanan & minuman disediakan-NYA. Yang boleh kita dapatinya di mana-mana sahaja di atas dunia. Makanan & minuman yang disediakan-NYA cukup dengan segala macam gizi, kalori, zat, & seumpamanya.

Untuk menjadi makanan jiwa AlLah SWT telah menurunkan agama-NYA. Dari dahulu bermula dengan Baginda Adam AS manusia pertama diutus ke dunia, Islam merupakan agama yang mesti diguna & diamal dalam segenap aktiviti semasa. Fenomena ketundukan kepada Islam ini terus diperpanjang sehinggalah tiba masa Junjungan Yang paling Mulia, Muhammad SAW namanya.

Sebagai agama yang Maha Sempurna & datangnya dari Yang Maha Esa, Islam ini segala ajarannya termuat dalam sama ada suhuf atau kitab yang pelbagai nama. Apapun namanya kitab AlLah SWT Yang Maha Mulia itu; Tauratkah dia, Zaburkah ia, Injilkah dia, atau al-Qur’ankah namanya, initipati isinya tetap sama; mengabdikan diri hanya kepada AlLah SWT & menjauhi ajakan, pujukan, rayuan, tipuan, hasutan, godaan, belaian, syaitan & the gang yang tercela & dicela.

Dalam semua kitab-NYA, AlLah SWT menjelaskan secara rinci apa kehendak-NYA yang perlu kita laku sewaktu masih menerima subsidi pinjaman nyawa. Para rasul pula merealisasikan segenap perintah AlLah SWT melalui kelakuannya. Bermula dengan bangun pada waktu pagi sehinggalah kita memejamkan mata semula. Antara cara yang diajar AlLah SWT kepada manusia ialah bagaimana & apakah yang perlu kita minta apabila berdoa. Nah, dalam ayat di atas Allah SWT mengajarkan kepada manusia agar berdoa dengan doa yang disukai-NYA. 

Ya, doa agar kita dimasukkan ke dalam golongan yang benar, benar di sini bermaksud mengikut kehendak agama-NYA. Bukan benar mengikut kepala otak & kira-kira singkat otak manusia sahaja. Jika apa yang kita fikir sama dengan kehendak agama-NYA, itulah yang benarnya. Tetapi jika apa yang kita fikiri tak sama dengan titah & perintah-NYA, pasti ketentuan AlLah SWT itulah yang benar, apa yang ada dalam kepala kita itu palsu & karut belaka.

Kenapa hanya Islam yang benar & yang lain-lain palsu belaka adanya? Kerana hanya Islam mengajarkan kita agar sentiasa tunduk & patut secara tuntas & total terhadap segala titah & perintah-NYA. Adapun anutan yang lain itu mengajar manusia agar tunduk kepada sesama hamba seperti kita, atau jauh lebih lemah berbanding dengan manusia. Contohnya manusia diminta menyembah & memohon pertolongan daripada berhala, sedangkan berhala itu jauh lebih lemah daripada manusia, kerana manusia yang membentukkan berhala bukan berhala mencipta manusia, seharusnya berhala yang menyembah manusia, bukan manusia yang jadi penyembah berhala!

Bukan hanya Islam, semua anutan percaya akan kematian. Yang berbezanya hanyalah cara menjalani kematian & cara menjalani kehidupan selepas kematian. Islam mengajarkan suatu masa nanti kita semua akan dibangkitkan daripada kuburan (tempat kita ditertanam). Proses kehidupan ini berjalan setelah tiupan Sangkalala dari Israfel berkumandang. Kita diminta oleh AlLah SWT agar memohon kepada-NYA agar kita dikeluarkan dari kuburan dengan cara yang menyenangkan. Iaitu seolah-olah kita dibangunkan dari tidur oleh orang yang tersayang.

Kita juga diminta memohon agar diberi segala macam kekuatan untuk berdepan dengan pelbagai kesulitan yang menanti di hadapan. Ya, kerana kita bukan sahaja akan dihidupkan daripada kuburan selepas itu dibiarkan sesuka hati untuk berkeliran. Tidak, tidak sama sekali, bahkan kita akan dipaksa untuk berjalan ke suatu tempat perhimpunan raya & agung. Tempat perhimpunan yang mampu memuatkan semua manusia yang pernah diberi subsidi pinjaman nyawa, bermula dengan mereka yang dihidupkan semasa Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang akhir sekali dimatikan. Berapa juta trilionkah jumlah manusianya, WalLahu a’lam.

Ya kita amat memerlukan sedikit kekuatan untuk berdepan dengan penempatan di Padang Mahsyar yang mana semua manusia akan berdiri tiada manusia mampu untuk berduduk-dudukan. Berapa lama pula kita terpaksa berdirian di Mahsyar, WalLahu a’lam. Kita juga dipaksa menantikan pembahagian buku catatan amalan. Cepat atau lambatkan buku catatan kita akan sampai di tangan. WalLahu a’lam. Apakah setelah dipanggil nama untuk menerima buku catatan, kita akan menerimanya dengan tangan kanan, Insya-AlLah. Atau kita terpaksa menerima buku catatan kita melalui tangan kiri atau dari arah belakang, kerana malu berdepan dengan kenyataan. 

WalLahu a’lam. Setelah kita menerima buku catatan kita akan dibicarakan pula di Mahkamah AlLah SWT yang mana AlLah SWT bertindak sebagai hakim. Selamatkan kita dari dakwaan apabila dibicarakan. WalLahu a’lam. Kita juga terpaksa melalui titiian Siraq yang terlalu panjang, kecilnya umpama rambut tajamnya umpama pedang. Di bawahnya terbentang neraka yang dipenuhi dengan pelbagai keazaban, mampukah kita menyeberang. Insya-AlLah. Bagaimana pula keadaan kita menyeberang kelak. Seperti kilatkah, seperti memandu kapal terbangkah, seperti menaiki kudakah, seperti berjalankah, seperti merangkak kah, WalLahu a’lam.

81. Dan katakanlah:" telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara batil (kufur dan syirik); Sesungguhnya yang batil itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

- kita diminta menyakini & mengimani yang benar itu hanya satu iaitu Islam. Yang lain-lain semuanya baatil. Yang pertama menemani kehidupan manusia di alam ini Islam. Baginda Adam AS, manusia pertama menghuni & mengurus dunia ini, diurusnya dengan Islam. Dalam masa yang sama, musih no 1 manusia, dulu, kini, & selamanya; Iblis and the gang mencari jalan untuk memesongkan anak cucu Adam AS daripada tatacara hidup Islam. Kegigihan Iblis & the gang membuahkan hasil apabila anak Nabi Adam AS, Qabil berjaya dipesongkan dari jalan Islam, apabila Qabil menentang syariat yang difardhukan dalam bab & urusan perkahwinan.

Kebatilan yang dibontoti Qabil, makin hari makin banyak & makin hangat mendapat sambutan. Sehingga suatu masa tiada lagi manusia yang tahu & mengikuti syariat Islam yang diajari baginda Nabi Adam AS. Walaupun semasa hampir semua manusia seronok bermandian & berenang dalam lautan kesesatan, masih ada insan yang dapat berfikir secara relevan. Antara mereka yang masih suci berfikir secara relevan ini bernama Nuh AS. Apabila cukup tempohnya AlLah SWT menabalkan Nabi Nuh AS untuk mengembalikan manusia yang cukup seronoh berenang-renang dalam kebatilan itu kepada Islam. Berbekalkan wahyu yang diturunkan, Nabi AlLah Nuh AS memulakan perjuangan mengeluarkan manusia dari kesesatan kepada nur iman. 950 tahun Baginda Nabi AlLah Nuh AS mengajak manusia kembali kepada Islam, dengan dakwah yang berterusan; siang & malam. Rujuklah Surah Nuh sebagai bukti untuk menguatkan. Yang setia menjadi pengikut, penyokong, & pendokong ajaran Islam yang dibawa Nabi Nuh AS hanyalah 80 orang. SubhanalLah.

Akhirnya semua pembangkang terhadap ajaran AlLah ini, dilemaskan dalam kejadian banjir yang menggemparkan alam. Seluruh alam ditenggelamkan termasuklah segala bukit atau gunung yang menjulang. AlLah SWT tetap memenangkan Islam walaupun hanya diikuti & diyakini oleh 80 orang. Kemenangan Islam bukan & tidak sekali-kali memerlukan jumlah sebagai ukuran. Kerana kemenangan Islam datangnya dari AlLah SWT RABB sekalian alam bukan datangnya dari manusia atau dari kehidupan.

Pada zaman yang mana manusia semakin menjauhi agama ini atau dikenal sebagai zaman tidak beragama ini (maadin=moden) makin banyak kebatilan dipromosi dengan penuh gigih oleh para pencandunya. Berapa banyak promosi untuk mendaulatkan kebatilan, kita wajib meyakini yang haq (benar) hanyalah ISLAM. Yang lain-lain semuanya menuju ke arah kebatilan, sesat & menyesatkan.

Perjuangan untuk nasionalisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk demokrasi itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk kapitalisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk libralisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk sosialisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk emansipasi itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk komunisisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk adat & resam itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk selain dari Islam itu batil, batil, & batil, sesat & menyesatkan.


82. Dan KAMI turunkan dari Al-Qur’an ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang mukmin; dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan apa-apa bagi orang zalim kecuali kerugian.

-AlLah SWT menegaskan bahawa antara tujuan dititipkan-NYA al-Qur’an kepada sema manusia adalah untuk bertindak seperti serampang bermata dua; menjadi penawar & rahmat, tetapi bukan untuk semua manusia. Al-Qur’an hanya memberi guna kepada golongan yang mukmin sahaja. Antara sifat orang mukmin itu tercatat dalam awal Surah al-Baqaroh; ayat 1-5 iaitu; tidak menaruh sebarang syak wasangka terhadap al-Qur’an, meyakini al-Qur’an sebagai sumber petunjuk utama, menyempurnakan keimanan kepada perkara yang ghaib (dosa-pahala, azab-siksa kubur, dihidupkan kembali untuk dibalasi sama ada baik atau buruk, kekalnya berada dalam nereka atau syurga), menyempurnakan ibadat solat, memperuntukkan sedikit kewangan untuk jalan AlLah, meyakini kesemua kitab yang pernah diturunkan AlLah SWT kepada para hamba, serta yakin adanya pertemuan dengan AlLah SWT paha hari akhirat.

Zalim merupakan kalimah yang dipakai oleh AlLah SWT dalam kitab suci-NYA al-Qur’an. Jadi untuk mendefinisikan kalimah atau diksi zalim ini, kita perlulah merujuk apa yang dijelaskan oleh AlLah SWT juga yang termuat dalam al-Qur’an. Antaranya AlLah SWT mencirikan zalim ini ialah keppada manusia yang tidak berhukum dengan hukum yang ada dalam al-Qur’an, seperti yang tercatat dalam Surah al-Maidah.45. dan sesiapa Yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan AlLah SWT, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.

Kepada golongan yang zalim iaitu mereka yang tidak menerima al-Qur’an sebagai rujukan utamanya, al-Qur’an tidak mampu membawa apa-apapun kebaikan untuk mereka. Segala titah & perintah AlLah SWT yang termuat kejap dalam al-Qur’an hanya akan membawa & menambah kerugian kepada mereka sahaja.


83. Dan apabila KAMI kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.

- sememangnya begitulah sifat manusia yang dilupakan oleh musuh no 1 mereka iaitu iblis and the gang. Semua bentuk nikmat yang sampai kepadanya adalah anugerah daripada AlLah SWT. Tapi banyak daripada kalangan manusia yang berasa segala nikmat yang didapatinya merupakan hasil usahanya semata-mata. Justeru itulah mereka tidak mahu untuk meratakan rasa syukur kepada-NYA. Misalnya seorang pekebun jika tanamannya membuahkan hasil yang bermutu, dia lupa itu pertolongan 100% dari-NYA. Tetapi manusia berasa tanamannya baik kerana penggunaan baja yang berkualiti, pengalirannya cukup, kawalan racun serangga tepat & sebagainya. Manusia tak pernah terfikir rupanya; siapakah yang memecahkan & seterusnya menumbuhkan biji benih yang ditimbus dalam tanah itu? Semuanya itu merupakan kerja & perancangan AlLah SWT semata-mata.

Sebaliknya apabila perancangan manusia itu gagal mereka akan cepat berputus asa, seolah-olah segalanya sudah berakhir kepadanya. Lantaran itu Baginda Nabi Muhammad SAW mengajarkan kita serangkap doa untuk menghadapi pelbagai situasi & kondisi. Apapun situasi & kondisi yang datang menjenguk diri pada setiap hari, kesemuanya hanya dapat dibahagi kepada 2 kategori iaitu; 1- sesuatu yang menyukakan hati
2- sesuatu yang mendukakan hati

Adapun doa Baginda Rasul SAW itu ‘ Ya AlLah jadikanlah aku hamba-MU yang mampu bersabar, ‘ Ya AlLah jadikanlah aku hamba-MU yang mampu bersyukur, ‘ Ya AlLah jadikanlah aku pada mataku nampak kecil tetapi nampak besar pada penglihatan orang lain’
Kita diharamkan berputus asa daripada rahmat AlLah SWT yang adanya rahmat tersebut lebih luas daripada langit & bumi ini. Perlu diingat rahmat bukan hanya wang & ringgit semata-mata. Wang & ringgit hanyalah sebahagian kecil daripada rahmat tersebut. Dapat bernafas 24 jam sehari tanpa henti rahmat. Dapat melihat dan mengenal pelbagai spesis fauna & flora itu rahmat. Dapat mendengar & membezakan pelbagai suara & bunyi-bunyian itu rahmat. Dapat merasai pelbagai kecapan pada lidah itu rahmat, masuk gula terasa manis, masuk garam terasa masin itu rahmat. Dapat menghidu pelbagai bau yang masuk melalui hidung itu rahmat. Yang pasti kita tak akan tukar nikmat yang ada pada mata, telinga, hidung, dan deria yang lain dengan berapa banyak pun jumlah ringgit yang ditawari.


84. Katakanlah (Wahai Muhammad SAW & umat): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka RABB kamu lebih mengetahui siapakah (antara kamu) yang lebih betul jalannya".

- ya memang benar sekali sebanyak mana amal soleh yang dilakukan diri itu bergantung kepada sejauh mana rasa kehambaan diri kita kepada-NYA. Semakin dalam kita berasa kita ini hamba, semakin banyak amal soleh yang keluar daripada dalam diri. Tidak cukup dengan amal yang diwajibkan, kita akan tambah dengan amal sunah yang ditawarkan. Sama ada solatnya, puasanya, sedekahnya, dan yang lain-lain yang seumapamanya. Sebaliknya semakin nipis rasa kehambaan & ketergantungan tersebut kepada AlLah SWT semakin sedikit pula amal soleh yang tertera dalam peta usia.

Apapun amal soleh yang kita buat sama ada secara terang-terangan atau sembunyian maka AlLah SWT amat mengetahuinya. Amal yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi yang tidak dapat dilihat oleh manusia atau makhluk lain, AlLah SWT tetap mengetahuinya; sama ada yang kita lakukan itu diredhai-NYA atau dimurkai-NYA. Contohnya seseorang bangkit pada dingin awal pagi untuk bermunajat, disukai & diredhai-NYA sementara seorang yang lain juga beraktiviti pada waktu yang sama tapi pergi mencuri kabel telefon, pasti dimurkai-NYA. Sebagaimana yang selalu kita ingatkan diri kita dengan membaca ayat Kursi; dalamnya AlLah SWT menyebut antara sifat-NYA; ‘tidak mengantuk apalagi untuk tidur.’



85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan RABB ku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

-daya tanya manusia untuk mengetahui sesuatu tak terbatas wujud & adanya. Sebagai pencipta manusia, AlLah SWT Maha Tahu kemampuan akal yang dibekalkan & berada dalam diri manusia. Justeru ada soalan-soalan yang dilarang AlLah SWT kita daripada bertanya, misalnya kita bertanya & cuba-cuba berfikir soal bentuk fizikal AlLah. Itu dilarang keras. Kerana itu tak mampu dicangkuk akal manusia yang amat terbatas kemampuannya.

Antara soal yang tak memampukan akal berfikir untuk menghuraikannya eih terperinci & lanjut ialah persoalan roh yang AlLah SWt pinjamkan sekejap masa untuk kita. Semua manusia hanya diberi terlalu sedikit ilmu berhubung dengan roh, jadi tak payahlah kita menyusahkan otak kita untuk mengkaji sesuatu yang tak mampu kita menanggungnya. Katakan kita hanya mampu memikul beban seberat 100 kg sahaja, tak payahlah kita cuba-cuba untuk memikul beban seberat 300 kg, 500 kg, 1000 kg, atau 1000000 kg. Pasti kita tak akan mampu melakukannya. Bukan itu sahaja, kita bakal membahayakan diri.

Tuesday, December 27, 2011


Tazkirah Bulanan Masjid Kg Aur, Budi, Bachok, Kelantan
Minggu keempat


Surah al-Kahf Ayat 27-29




27. Dan baca, kaji, serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari Kitab Rabbmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah Kalimah-kalimah-Nya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripada-NYA.
- AlLah SWT mempelawa semua manusia agar membaca kitab-NYA, untuk umat Nabi AlLah Musa AS mereka diminta membaca Taurat. Sementara kepada umat Nabi AlLah Daud AS mereka diminta membaca Zabur. Berbeza pula dengan umat Nabi AlLah Isa AS, mereka semua diminta membaca Injil.

Kita pula sebagai umat akhir zaman ini dipelawa membaca al-Qur’an. Suruhan AlLah SWT bukan hanya sekadar membaca kitab yang diturunkan, tetapi untuk difahami, dihayati(diamalkan 100%), disebarkan & dipertahankan. Tidak cukup untuk kita sebagai umat Nabi Akhir Zaman ini sekadar mengenal nama-nama huruf dalam al-Qur’an & cuba membetulkan tempat keluar huruf semasa membacanya. Tidak cukup untuk kita sekadar memperelok bacaannya dengan kepelbagaian taranum yang ada.

Al-Qur’an itu sebagai pekeliling rasmi dari AlLah SWT untuk diamalkan dalam kehidupan; 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, & 12 bulan setahun. Untuk memastikan manusia akur kepada arahan & titah dari AlLah SWT yang terdapat dalam al-Qur’an; 2 malaikat ditugaskan yang paling setia, tidak boleh dirasuahkan, untuk merakam & menulis apa sahaja yang kita buat bermula kita membuka mata pada dini pagi sehinggalah kita menutup mata; sama ada menutup mata kerana tidur atau menutup mata untuk kembali ke rahmat-NYA. Apa sahaja yang kita perbuatkan secara sukarela tanpa dipaksa yang melibatkan kehilangan nyawa akan dicacatnya. Apa-apa aksi yang kita lakari seandainya bertepatan dengan kehendak AlLah SWT seperti yang terdapat dalam al-Qur’an kita akan dicatatkan pahala oleh Raqib. Sementara itu juga aksi yang sempat kita garapi sepanjang hari akan dicacat dosa oleh Atiq apabila yang kita buat itu bercanggah dengan arahan AlLah SWT.

Seterusnya AlLah SWT menyatakan kekudusan al-Qur’an, tidak akan ada sesiapa sahaja dalam dunia ini sama ada yang telah hidup, yang sedang hidup. Atau yang bakal hidup mampu untuk pandai-pandai menukar kalimah AlLah SWT yang tertera dalam al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan ciptaan AlLah SWT yang paling hebat, kerana DIA memberi jaminan akan menjaga al-Qur’an. Seperti yang dinukil-NYA dalam Surah al-Hijr ayat 9.
9. Sesungguhnya KAMI yang menurunkan zikr ini (Al-Quran), dan KAMI yang akan sentiasa memelihara dan menjaganya.

-Hebatnya AlLah SWT, DIA menjaga & memelihara al-Qur’an dengan manusia. Ditumbuhkan dalam hati manusia kemahuan untuk mempelajari al-Qur’an, menghafal ayat-ayat al-Qur’an, untuk mengajar maksud al-Qur’an, untuk beramal dengan suruh & tegah al-Qur’an, untuk menyebarkan ilmu-ilmu al-Qur’an; sama menyebarkan kepada manusia yang belum Islam atau menyebar kepada manusia yang sudah Islam.
Al-Qur’an juga akan menjadi peguambela kita sewaktu berdepan dengan soalan 2 malaikat dalam pusara; Mungkar & Nakir. Seterusnya al-Qur’an juga akan menjadi peguambela kita semasa berdepan dengan kepelbagaian soalan di Padang Mahsyar.

Sememangnya kita tidak bisa memperoleh perlindungan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat tanpa keizinan-NYA. Gugusan pertolongan yang mutlak hanya datang daripada AlLah SWT tuan punya (pemilik) dunia & akhirat. Manusia tak bisa untuk menolong dirinya sendiri apalagi untuk memberikan pertolongan kepada orang lain. Misalnya apabila kita sakit, mampukan kita menolong diri kita untuk sembuh? Kesembuhan hanya datang dari AlLah SWT.


28. Dan sabarkanlah nafsumu untuk berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Rabb mereka pada waktu pagi dan petang, yang mereka harapkan hanyalah keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran KAMI dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

-AlLah SWT mengajar kita agar mempunyai akhlak & sifat setiawan yang luhur. Oleh sebab yang menjadi pendokong & penyokong dakwah Islam ini terdiri daripada golongan yang daif pada peringkat awalnya, dan mood dakwah ini memakan masa yang panjang, para dai diingatkan agar jangan mudah terpedaya dengan tipu & helah yang datangnya dari golongan yang kaya & berada yang kononnya mereka ingin kembali kepada suruhan agama. Untuk itu seringkali mereka ini akan meminta para dai agar mengadakan satu majlis penerangan yang berasingan yang tidak disertai oleh golongan yang daif selama ini. para dai diminta mengabaikan permintaan yang sekarut ini, malah tetaplah bersama dengan golongan pendokong dakwah yang daif tadi.

Golongan yang berada kebanyakannya lalai & dilalaikan dengan sedikit limpahan wang ringgit atau harta benda yang mereka miliki. Mungkin mereka berasakan dengan wang yang mereka ada mereka boleh membeli segalanya, mereka lupa nyawa tidak ada dijual di mana-mana. Mungkin mereka merasakan dengan sedikit timbunan saham yang mereka miliki memampukan mereka menghalang apa sahaja. Mereka sengaja lupa datangnya Izrael tak siapa mampu melewatkannya apa lagi untuk menangguhnya.

AlLah SWT seterusnya menjelaskan sebanyak mana kelakukan kita yang bercanggah dengan apa yang ada tersurat dalam al-Qur’an, dikira mengikut hawa & nafsu. Atau dalam maksud kata yang lain bertuhankan hawa nafsu. Misalnya AlLah SWT mewajibkan kita menutup aurat, kita tidak menutupnya, kira dikira mengikut hawa nafsu. AlLah SWT mewajibkan pemerintah menjalankan hukum pidana / jenayah seperti yang terdapat jelas dalam al-Qur’an, pemerintah tersebut tidak melaksanakannya, pemerintah tersebut dikira mengikut hawa nafsu. Keadaan menjadi lebih teruk jika kita menjadi penghalang kepada berjalannya syariat AlLah SWT di bumi ini.


29. Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kebenaran itu dari Rabb kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". kerana KAMI telah sediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

- AlLah SWT mempelawa para dai agar menyampaikan apa yang ada dalam al-Qur’an. Para dai tidak diminta memaksa golongan pendengar untuk menerima ajakan kepada agama AlLah SWT. Seandainya mereka ingin beriman kepada AlLah SWT setelah mendengar penjelasan tentang kewajipan yang perlu dilakukan bila seseorang itu menggabungkan dirinya dalam; dipersilakan.

Seandainya golongan sasaran dakwah berfikir bahawa cara hidup jahiliyyah yang mereka warisi selama ini lebih baik, teruskanlah dengan kekufuran mereka itu.

Tanggungjawab para dai hanyalah menyampaikan. Menyampaikan segala titah perintah AlLah SWT yang termuat dalam al-Qur’an. AlLaah SWT menyifatkan sesiapa sahaja yang menolak kebenaran(Islam) itu sebagai golongan yang menzalimkan diri mereka sendiri. Perlu diingat kita semua(manusia) ini berasal dari dalam syurga & kita diminta kembali ke tempat asal kita. Kita dihantar ke dunia sebagai musafir untuk mencari bekal bagi menghadapi kehidupan yang kekal abadi. Amat zalimlah kita jika susuk badan & wajah yang begini cantik, tampan, jelita, ini kita jadikan sebagai bahan bakar dalam neraka.

Sunday, December 25, 2011

Tazkirah Dwibulanan Malam ini, Minggu ke 2 & ke 4. Isnin Malam Selasa. Masjid as-Solehin Kg Telok Kemunting, Bachok, Kelantan

Tafsir Surah az-Zaariyaat. Ayat 15-23

15. Sesungguhnya orang-orang yang muttaqim/bertaqwa itu berada di dalam beberapa taman (syurga), dan mata air-mata air(sungai).

AlLah SWT tuan punya semua alam, sama ada alam dunia atau alam akhirat berjanji akan memasukkan manusia yang muttaqim ke dalam syurga. Syurga yang dijanjikan tersebut diairi dengan sungai-sungai.

Ada 4 sungai yang disediakan 1- sungai madu yang bertapis

2- sungai khamar yang tidak memabukkan

3- sungai susu yang tidak masam-masam

4- sungai air yang jernih

Sifat manusia yang muttaqim antara lain disebut atau disenaraikan sendiri oleh AlLah SWT dalam Surah al-Baqaroh, ayat 1-5

$

1. Alif, Laam, Miim.

2. Itulah Kitab (Al-Quran ini), tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang muttaqim (bertaqwa)

3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang KAMI berikan kepada mereka.

4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Rabb mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

16. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Rabb mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan

Penghuni syurga menerima nikmat secara langsung dari AlLah SWT. Antara nikmat sewaktu berada di syurga sentiasa muda sepanjang hayat. Semua muslimat sepanjang masa berumur 17 tahun. Muslimin pula berumur 33 tahun sepanjang hidupnya. Tidak ada lagi sebarang wabak penyakit & tidak akan bertemu kematian.

AlLah SWT hanya menyediakan segala nikmat tersebut hanya mereka yang melakukan kebaikan semasa diberi nyawa yang sementara di atas dunia. Kebaikan yang paling besar ialah kita menggabungkan diri ke dalam Islam & iman. Melakukan kebaikan seperti yang diplaningkan oleh AlLah SWT bukan mengikut kepala otak kita. Semua kebaikan yang AlLah SWT minta kita lakukan itu semuanya ada tersurat dalam al-Qur’an & ditafsir pula secara detail oleh Baginda Nabi Muhammad SAW untuk kita umat akhir zaman ini. semua yang ditafsir Baginda Nabi SAW kita gelarinya ‘sunnah’.

17. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Antara kebaikan yang diprogramkan AlLah SWT untuk kita lakukan ialah menyedikitkan jam/masa tidur pada waktu malam. Justeru apakah offer dari AlLah untuk kita lakukan pada waktu malam itu? Adakah kita bangun untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak dengan pelbagai piala yang tersedia? Atau kita sendiri yang menjadi pemainnya? Untuk ini Surah al-Muzzamil ayat 1-8, antara yang boleh kita jadikan rujukan.

1. Wahai orang yang berselimut!.

2. Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

3. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".

5. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) Sesungguhnya KAMI akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

6. Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

7. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;

8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan.

18. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

Antara sifat manusia yang layak menempatkan diri mereka dalam syurga AlLah SWT ialah sesiapa sahaja yang sanggup untuk memohon keampunan terhadap semua kesalahan yang dilakukannya pada siang hari tersebut, mereka bangun pada hujung malam/ pada dini pagi untuk merayu & merintih kepada ZAT Yang Maha Pengampun (AlLah SWT) agar mengampuni mereka.

19. Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka infak/sedekahkan) sebagai hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

Sifat mereka yang dijanjikan syurga juga ialah sesiapa sahaja yang sanggup memperuntukkan sejumlah harta yang diberikan AlLah SWT kepadanya itu, diberikan pula kepada orang lain yang lebih miskin daripada dirinya, sama ada orang miskin itu datang meminta kepadanya atau mereka yang mencari golongan miskin tersebut untuk diberikan infak. Tentunya infak tersebut dilakukan secara ikhlas kerana mengharapkan keredhaan AlLah SWT. Ada baiknya sekiranya kita boleh memperuntukkan katakanlah 5% daripada rezeki yang AlLah SWT berikan kepada kita itu, kita infakkan, secara berterusan.

20. Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. Ya benar sekali, & terlalu banyak tanda kekuasaan AlLah SWT yang terpeta di bumi. Bumi tempat kita berpijak ini sudah cukup untuk menyakinkan kita terhadap kemahaperkasaan AlLah SWT. Bumi kita ini bulat & berpusing seperti kipas setiap masa dari dahulu, kini, dan akan terus berpusing sampailah bumi ini akan dihancurkan-NYA sebelum kiamat. Kalau kita biarkan kipas di rumah kita berpusing tanpa dimatikan suiznya, saya pasti kipas tersebut akan terbakar & rumah kita juga pun akan ditelan & dimamah api. Bumi kita ini sudah berpusing bukan seratus tahun, bukan seribu tahun, bumi kita berpusing mungkin sudah puluhan ribu tahun, mungkin sudah ratusan ribu tahun, bumi kita berpusing mungkin sudah puluhan atau ratusan jutaan tahun, mungkin lebih daripada itu, tapi masih stabil.

Bumi kita juga berpusing mengambil masa selama 24 jam untuk menyempurnakan satu pusingan dan menerbitkan siang dan malam. Dengan bumi yang begini besar, agak-agak kitala berapa ratus kilometer sejamkah bumi ini akan mengambil mengambil kelajuan untuk menyempurnakan satu pusingan selama 24 jam. Kalau kita diberi peluang untuk pusing satu dunia dalam masa 24 jam, agak-agaknya berapa akelajuan yang kita perlu gunakan? 100kmj? 200kmj? 300 kmj? 500 kmj? 1000kmj? Pada masa yang sama bumi kita juga beredar atas relnya & menamatkan satu pusingan dalam massa 365 hari. Berapa pula kelajuan yang diperlukan untuk satu pusingan tersebut?

Itu belum dikira dengan buah-buahan lagi. Dengan baja yang sama, di atas tanah yang sama, dengan menggunakan air yang sama tapi menerbitkan bentuk, warna & rasa buah yang berbeza-beza. SubhanalLah.

21. Dan juga pada diri kamu sendiri. maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan?

SubhanalLah, SubhanalLah, SubhanalLah, lihatlah keajaipan yang ada pada diri kita pula. Walaupun ada berbilion-bilion manusia, tapi tak ada seorangpun yang sama seperti kita. Sebab itulah cap jari digunakan untuk mengenali identiti seseorang.

Telinga kita pula dapat menapis, menyaring & membezakan kesemua suara yang masuk ke pendengaran. Walaupn tanpa melihat bentuk fizikal kita dapat membezakan suara antara binatang, anatara kucing dengan harimau misalnya. Kita juga dapat membezakan suara siapa yang masuk ke telingan kita melalui telefon dengan hanya satu perkataan sahaja yang dilafazkan oleh sipenalefon apabila mereka menyebut ‘hello’ atau ‘assalamualaikum’. Hal yang sama juga dapat kita buktikan lewat lidah, hidung kita yang berfungsi mengenal dan membezakan kepelbagaian yang dicakupnya. SubhanalLah.

22. Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah dijanjikan kepada kamu.

Di langit ada mata yang terbesar, matahari. Di langit juga ada awan. Pada matahari & awanlah kita bisa memperoleh pelbagai rezeki. Matahari mencerah & memanaskan sementara awan menurunkan titis-titis airnya yang dikenali sebagai hujan. Tanpa kedua-duanya berkerjasama sukit untuk kita mendapatkan rezeki. Kalaulah dunia ini tak pernah ada matahari. Adakah kita dapat mencari rezeki? Dengan cerah cahaya mataharilah manusia dapat bergerak, dapat mencipta, dapat bercucuk tanam dan seumpamanya.

Bagaimana pula seandainya tidak pernah berlaku hujan? Tentunya kemarau yang berpanjangan yang terhidang di hadapan. Apa pula kesan dengan kemarau yang berpanjangan? Jelas di langit itu ada tersedia rezeki dari AlLah SWT untuk semua.

23. Maka Demi Rabb langit dan bumi, sesungguhnya itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata.

Ya AlLah SWT itu benar, Janji-NYA benar. Apa yang telah berlaku itu benar, apa yang sedang berlaku ini benar. Apa yang bakal berlaku pasri benar, bila datangnya dari AlLah SWT Yang Maha Benar.

Tetamu

free counters