About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Tuesday, January 3, 2012

Surah al-Isra’


Malam ini Rabu Malam Khamis
11 Safar 1433- 05 Jan 2012
Tazkirah Mingguan
Masjid Abu Bakar, Kg Pintu Gerbang

Surah Isra’ ayat 85-93


85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan RABBku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
86. Dan sesungguhnya jika KAMI kehendaki, tentulah KAMI akan hapuskan apa yang KAMI telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap KAMI untuk mengembalikannya.
87. kecuali rahmat dari RABBmu; Sesungguhnya limpah kurnia-Nya ke atasmu (Wahai Muhammad & umat) amatlah besar.
88. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang sebanding dengan Al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya, walaupun adanya sebahagian mereka saling bantu-membantu sesama sendiri".
89. Dan sesungguhnya KAMI telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); Dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima, mereka lebih menyukai kekufuran.
90. Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, untuk kami.
91. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang berterusan terpancar.
92. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan AlLah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
93. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku! bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?



Menghadapi & Menjawab Soalan Sang Penanya
serta Permintaan daripada Sang Kafir Quraisy




85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan RABBku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
            Sebagai pencipta manusia AlLah SWT amat mengetahui citarasa yang mewarnai jiwa manusia. AlLah SWT Maha Tahu bukan sahaja yang tersurat, malah pengetahuan ilmu AlLah SWT dapat menembusi yakni mengetahui apa yang tersirat. DIA mewajibkan kita berdakwah; menyeru manusia untuk kembali kepada ajaran agama yang diredhai-NYA (Islam), agar manusia tidak selama-lamanya sesat, tersesat, & disesat. Semasa terjun & menggeluti sepak terajang & tribulasi dakwah, AlLah SWT dari awal-awal bagi memberitahu bahawa para pendakwah akan dihujani dengan pelbagai soalan. Pelbagai karenah soalan bakal ditusuk kepada jurudakwah. AlLah SWT telah menyediakan skima-NYA yang tersendiri sebagai jawapan yang mantap.
            Antara soalan yang biasa dipanahkan kepada jurudakwah ini ialah berhubung dengan roh. Roh inilah yang membezakan fungsi antara manusia dengan yang bukan manusia di dunia ini. Dalam menangkapi soalan berhubung dengan roh ini, AlLah SWT meminta kita agar menjawab dengan tegas bahawa persoalan roh ini  semata-mata urusan RABBku. Manusia tidak dibukakan pintu-pintu pengetahuan tentang roh ini kecuali hanya sedikit pengetahuan sahaja. Seterusnya AlLah SWT memberitahu bukan hanya pengetahuan tentang roh ini sahaja ilmu manusia terlalu cetek, bahkan keseluruhan ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu  sebetulnya amat terhad &  terlalu sedikit pula. Masih terlalu banyak ilmu yang tidak diketahui manusia & tidak diizinkan untuk manusia memilikinya. Contohnya ilmu manusia tidak dapat mengilustrasikan udara, masa, tenaga, di manakah mimpi, dsb.
            Ulama menjelaskan bahawa istilah roh itu merujuk kepada 3;
1- Roh itu ada masa-masanya bermakna al-Qur’an.                                                     Misalnya ayat  52 surah asy-Syura & ayat 2 surah an-Nahl.

2- Roh itu pada waktu tertentu bermakna Malaikat Jibril.
Misalnya ayat 193 & 194 surah asy-Syu’ara

3- Roh yang ada dalam badan manusia, seperti yang terdapat dalam ayat yang sedang kita bicarakan.

 

86. Dan sesungguhnya jika KAMI kehendaki, tentulah KAMI akan hapuskan apa yang KAMI telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap KAMI untuk mengembalikannya.
            AlLah SWT menegaskan bahawa ilmu yang dimiliki manusia hanyalah sedikit bahkan ilmu tersebut boleh hilang daripada ingatan manusia disebabkan lupa. Kehilangan ilmu juga boleh berlaku dengan matinya seseorang. Apabila berlaku gejala lupa ini seolah-olah AlLah SWT telah mengangkat ilmu-NYA yang ada pada dada manusia. Apabila AlLah SWT telah mengangkat ilmu tersebut maka tidak ada sesiapa yang boleh mengembalikannya kepada kita. Mati & lupa merupakan 2 cara AlLah SWT menarik balik nikmat ilmu-NYA daripada manusia. Ada waktunya berlakunya kematian & kelupaan ini disebabkan manusia tidak lagi menghargai ilmu yang ada.
            Misalnya banyak tuan-tuan guru pondok ra di negara kita diwafatkan AlLah SWT & kehilangannya tidak dapat digalanggantikan oleh semua muridnya. Kewafatan tuan guru pondok ini tidak sedikit kesnya yang mengheret sama berkuburnya institusi pengajian yang diasaskan tuan guru tersebut. Jelaslah ilmu yang ada dalam dada tuan guru tersebut ditarik balik oleh AlLah SWT. Misalnya dulu alam Melayu  ada Tok Kenali, tapi dengan kewafatannya itu tiada seorangpun yang mampu menggantikannya, menyebabkan institusi pondok yang diasasnya turut sama mengiringinya. Lupa merupakan salah satu cara lagi AlLah SWT menarik balik ilmunya. Gejala lupa ini terjadi disebabkan oleh sesuatu ilmu itu tidak lagi diguna pakai atau diamalkan. Misalnya ilmu faraid sekarang semakin menghilang, tak banyak dalam kalangan kita yang menguasai ilmu tersebut.
            Keadaan yang sama juga akan berlaku kepada wahyu AlLah SWT yang agung iaitu al-Qur’an. Suatu masa manusia tidak sudi lagi memperuntukkan sedikit masa untuk menatap, memahami, menghayati, mengamal, menyebarkan, & mempertahankan suruh & tegahan al-Qur’an. Lama-kelamaan apabila al-Qur’an tidak dilazimi bacaannya menyebabkan seseorang itu akan terlupa. Apabila menjadi lupa lama-kelamaan manusia tidak lagi akan membacanya. Apabila tidak ada lagi manusia yang sudi membacanya, maka naskhah al-Qur’an tidak akan ada lagi di pasaran. Tidak akan ada lagi cetakan sebab tiada permintaan kepada al-Qur’an. Pada masa itu seolah-olah ALLah SWT telah hapuskan wahyu-NYA.



87. kecuali rahmat dari RABBmu; Sesungguhnya limpah kurnia-Nya ke atasmu (Wahai Muhammad & umat) amatlah besar.
          Oleh sebab adanya rangkaian rahmat dari RABB kamu yang tak pernah terhenti biarpun sedetik, di samping adanya timbunan limpah kurnia-NYA memayungi & meliputi ke atas manusia, maka DIA tidak mengangkat wahyunya (al-Qur’an) dari dalam dada manusia & juga dari catatan yang terdapat dalam kitab. Bahkan sampai bila-bila pun akan ada segolongan manusia yang sudi membaca, menghafal, menyebar & mempertahankan titah perintah AlLah SWT yang ada termuat kejap dalam al-Qur’an, walaupun orang tersebut mungkin bukan kita.
            Imam Fakhruddin ar-Razzi menyatakan; AlLah SWT telah menyeliakan 2 nikmat-NYA kepada manusia,
1- Nikmat memudahkan mereka membaca al-Qur’an walaupun mereka bukan orang yang berketurunan Arab
2- Nikmat memudahkan mereka untuk menghafal al-Qur’an & hafalan itu kekal bersamanya di dalam dada & tidak boleh dicuri sesiapa

            Antara nikmat terbesar yang akan kita dapati ialah nikmat hendak atau ingin sangat membaca al-Qur’an, nikmat membaca al-Qur’an tidak akan terhenti sekadar untuk mengenal hurufnya sahaja, bahkan seseorang itu akan cuba memahami kandungan al-Qur’an pula, nikmat berikut dirasakan tidak cukup jika tidak ditunaikan titah perintah-NYA, kerana al-Qur’an merupakan hidangan untuk jiwa yang paling lazat & berkhasiat.


88. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang sebanding dengan Al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya, walaupun adanya sebahagian mereka saling bantu-membantu sesama sendiri".
          Umum mengetahui al-Qur’an merupakan wahyu & mukjizat yang paling hebat. Al-Qur’an merupakan garapan & hasil pena AlLah SWT. Pemilihan fonemnya, pemilihan diksinya, susunan morfologinya, deretan frasa-frasanya, muatan klausa-klausanya membentuk semantik yang menerbitkan pragmatik yang pelbagai tidak akan mampu ditiru oleh semua manusia yang pakar dari dahulu hinggalah ke hari kiamat. AlLah SWT tetap membuka gelanggang cabaran untuk manusia menghasilkan sebuah surah seumpama yang ada dalam al-Qur’an; sama ada surah yang paling panjang Surah al-Baqorah dengan muatan 286 ayat, atau menghasilkan Surah al-Kauthar yang sepanjang 3 ayat.
            Sehebat mana pemilihan kata yang dibuat oleh kumpulan pakar yang dianggotai oleh manusia & jin, pemilihan kata yang dihasilkan hanyalah pemilihan kata dari seorang hamba. Tidak ada pernah sama sekali akan sama dengan pemilihan kata oleh AlLah SWT Pencipta semua hamba. Oleh sebab al-Qur’an merupakan wahyu & mukjizat; memandang al-Qur’an kita diberi pahala, memegang al-Qur’an juga berpahala, membaca al-Qur’an berpahala, memahami makna ayat al-Qur’an berpahala, mengamal titah perintah al-Qur’an berpahala, menyebarkan ajaran al-Qur’an berpahala, & mempertahanakan keindahan ajaran al-Qur’an berpahala.
            Pahala membaca al-Qur’an terlalu hebat; satu huruf dapat 10 pahala. Jika dibaca Aliif Laam Mim, kita akan mendapat 30 pahala. Jika kita tergagap-gagap membaca al-Qur’an kita diberi doublepahala, misalnya kita membacakan Aliif Laam Mim kita akan mendapat 60 pahala. Jika kita menjadi pembaca al-Qur’an yang mahir, bacaan kita akan disertai oleh para malaikat. Al-Qur’an yang dibaca, difahami, diamal titah perintahnya, akan menjadi peguambela kita dalam 2 suasana ;sewaktu berdepan dengan Mungkar & Nakir di alam pusara; sewaktu kita dibicarakan di Padang Mahsyar di samping itu pembaca al-Qur’an akan dipakaikan dengan mahkota. Dengan mengenakan mahkota pembaca al-Qur’an akan diberi peluang untuk membebaskan 10 orang kerabatnya yang menjadi penghuni tegar di neraka.

 
89. Dan sesungguhnya KAMI telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); Dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima, mereka lebih menyukai kekufuran.
          Untuk lebih mudah memahami kandungan al-Qur’an, AlLah SWT telah menyebut & membawakan pelbagai ragam perumpamaan kepada manusia. Seringkali DIA membandingkan manusia dengan haiwan ternak bahkan manusia lebih sesat. Hal ini terjadi kepada manusia yang ada akal tapi tidak digunakan untuk berfikir tetang keesaan AlLah SWT. Ada mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kebesaran AlLah SWT. Ada telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar peringatan & ayat-ayat AlLah SWT. Ada masanya AlLah SWT membanding buah-buahan di syurga sebagaimana buahan yang kita lihat di dunia. AlLah SWT juga mendatangkan perumpamaan syurga-NYA itu ada sungai, penghuninya memakai pakaian sutera yang berwarna hijau. Syurga warnanya hijau. Penghuni neraka pula matanya berwarna biru.
            Perumpamaan yang seumpama ini untuk memudahkan manusia memahami dengan sejelas-jelasnya apa yang disampaikan AlLah SWT. Dengan erti kata lain, akal yang dibekalkan-NYA kepada semua manusia mampu & boleh memahami dengan sejelas-jelasnya titah perintah AlLah SWT walaupun seseorang itu tidak mengenal huruf & angka.

 
90. Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, untuk kami.
                   Dalam ayat ini AlLah SWT membawakan sejarah RasulLulLah SAW kepada kita semasa kerja-kerja dakwahnya, suatu waktu dahulu. Apabila Baginda Nabi SAW mengajak mereka supaya beriman hanya kepada AlLah SWT, mereka meminta pelbagai projek daripada Baginda SAW. Pemikiran kebendaan kejap tertanam dalam naluri geng-geng jahiliyyah ini sama ada pada zaman dahulu ataupun kini. Ganjaran pahala yang dioferkan Baginda Nabi SAW tidak menaik minat mereka sebab pahala tidak nampak dilihat dengan mata & kepala mereka. Mereka tetap mahukan projek fizikal yang dapat ditonton. Antara projek yang mereka pinta ialah projek tali air, longkang, atau parit.
            Keadaan yang sama berlaku pada hari ini, banyak manusia tidak sudi untuk menjadi penyokong dakwah kerana mereka tidak dapat habuan apa-apa yang berbentuk fizikal. Sebab itulah banyak manusia sanggup menyokong puak yang menetang ajaran AlLah SWT kerana mereka dapat sehelai kain batik & sekilo gula. Misalnya lagi banyak manusia yang sedia menjadi menyokong kepaa mereka yang menghalalkan judi walaupun umum mengetahui AlLah SWT & Islam mengharamkan judi.  Tapi ada banyak manusia yang sanggup membela golongan yang mengizinkan judi ini kerana mereka diberi sebuah mangkuk tandas.
            Sejak dari dahulu lagi Baginda Nabi SAW tidak pernah menjadikan projek mee segera sebagai modal  & deretan janji manis untuk menarik manusia kepada agama AlLah SWT. Baginda Nabi SAW menjanjikan pahala dari AlLah SWT kepada sesiapa yang sudi mendokong & membela agama AlLah SWT ini. walaupun Baginda Nabi SAW pemegang kunci & perbendaharaan kekayaan bumi, tapi Baginda SAW tidak pernah menjanjikan pelbagai projek untuk sasaran dakwahnya.   


 
91. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang berterusan terpancar.
          Selain daripada mereka pinta  projek tali air, longkang, atau parit. Mereka juga akan beriman dengan ajaran Nabi Muhammad SAW jika Baginda SAW itu terdiri daripada orang kaya, yang memiliki kebun-kebun tamar & anggur. Kalau Baginda Nabi SAW tidak ada ladang kurma & anggur, mereka meminta Baginda Nabi Muhammad SAW agar membuatkan untuk mereka projek-projek sungai & sungai tersebut tidak akan kering walaupun pada musim kemarau. Mereka yang hanya buta hatinya ini tidak nampak apa-apa kecuali hanya nampak apa yang ada di hadapan mata. Seandainya Baginda SAW berjaya mendatang apa yang mereka pinta, kononnya selepas itu mereka akan beriman.
            Kalau pun Baginda Nabi Muhammad SAW bermunajat kepada AlLah SWT memohon apa yang mereka pinta & AlLah SWT memakbulkan semua permintaan, mereka tetap tidak beriman. Mereka tetap kufur. Apa yang berlaku kepada Nabi AlLah Salleh boleh dijadikan bukti. Kaum Thamud meminta kepada Nabi AlLah Salleh AS agar mengeluarkan anak unta betina dari dalam batu dengan ikatan janji jika betul & benar Nabi AlLah Salleh AS boleh mengeluarkan anak unta betina dari dalam batu mereka akan beriman. Apa yang berlaku apabila AlLah SWT memakbulkan permintaan Nabi AlLah Salleh AS ialah bukan sahaja mereka tidak beriman,malah mereka berpakat untuk membunuh unta tersebut & membahagi-bahagikan dagingnya.    


92. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan AlLah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
          Permintaan golongan jahiliyyah ini rupanya semakin hari semakin melampau. Mereka mencabar Baginda Nabi Muhammad SAW agar menggugurkan langit menjadi sekeping-sekeping dan menimpa ke atas kepala mereka biar mereka mati kerana mereka tidak mahu beriman.  Sepanjang sejarah anbiya dalam meneruskan agenda dakwah, Baginda Nabi ASW hanya menyampaikan suruhan AlLah SWT, antara lain memberitahu AlLah SWT pernah menurunkan azab & balanya kepada kaum yang tidak mahu beriman. Golongan jahiliyyah ini sengaja memusing isu & meminta Baginda SAW menurunkan bala& azab. Sedangkan Baginda SAW tidak pernah mendakwa yang dia yang akan menurunkan bala & azab tetapi AlLah SWT. Azab & bala yang diturunkan AlLah SWT tidak payah diminta, kerana ALLah SWT tidak pernah terikat dengan permintaan manusia. DIA akan menurunkan azab & bala-NYA, sesuka-NYA, mengikut masa yang disukai-NYA dengan cara-NYA.
            Golongan jahiliyyah dahulu juga pernah meminta dengan Baginda SAW untuk bertemu dengan AlLah SWT & para malaikat sebagai prasyarat untuk mereka beriman. Permintaan mereka golongan jahiliyyah ini sebenarnya hanya untuk mempersendakan RasullulLah SAW sahaja. Di samping untuk mempersenda mereka juga ingin menyakiti perasaan Baginda Nabi SAW dengan permintaan mereka yang tak masuk akal yang sihat itu. Kita juga sebagai pendakwah pada hari ini akan berdepan juga dengan soalan & permintaan yang sedemikian. SubhanalLah, sungguh benar al-Qur’an ini, apa yang diberitahunya betul-betul berlaku.


93. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku! bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?
            Persendaan melalui permintaan daripada golongan jahiliyyah ini semakin bertambah kemengarutannya. Mereka seakan memaksa Baginda Nabi SAW agar membina rumah Baginda SAW daripada emas sebagai salah satu syarat untuk mereka beriman. Seterusnya mereka meminta Baginda Nabi SAW agar membuat satu projek biar mereka & Nabi SAW naik ke langit selepas itu berjumpa dengan AlLah SWT meminta sebuah kitab dari AlLah SWT untuk mereka membacanya, jika Baginda Nabi SAW dapat melakukannya barulah golongan ini akan beriman, kata mereka. Sebetulnya AlLah SWT tidak ada masalah sedikitpun untuk menunaikan permaintaan mereka itu. Tetapi sengaja AlLah SWT tidak menunaikannya. AlLah SWT yang Mahu Tahu niat & bisikan hati nurani mereka tahu, permintaan itu hanyalah alasan sahaja. Sebelum ini mereka pernah meminta Baginda Rasul SAW agar membelah bulan. Sirah merakamkan Baginda SAW pernah bermunajat kepada AlLah SWT agar dijadikan bulan terbelah. Ya dengan izin-NYA bulan memang benar-benar terbelah & dapat disaksikan di pelbagai lokasi yang berbeza-beza. Tapi apa yang belaku berimankah mereka? Tidak, mereka tetap tidak beriman, bahkan menuduh Baginda SAW yang mulia sebagai tukang sihir yang handal.
            AlLah SWT meminta Nabi-NYA SAW agar beritahu kaum jahiliyyah itu bahawa Baginda SAW hnayalah seorang rasul sahaja, yang berkerja menurut titah & perintah AlLah SWT, bukan tukang bahagi projek itu & ini.

Monday, January 2, 2012

Tafsir Surah Hud



Tazkirah Bulanan Minggu Pertama
Hari Selasa Malam Rabu
Masjid Haji Jaafar, Kg Bilut, Jejulok

Pengenalan Kepada Surah Hud

        Surah Hud merupakan surah yang ke-11 mengikut susunan  dalam al-Qur’an & berada pada penghujung  juz yang ke 11.  Terdiri daripada 123  ayat. Ada 1625 kalimah & 6905 huruf. Hanya 5 sahaja ayatnya berada dalam juzuk yang ke-11, selebihnya berada dalam juzuk yang ke-12.

          Hud diambil sempena nama salah seorang nabi & rasul  AlLah, yang mana kita diwajibkan mengetahuinya, dari sejumlah 25 rasul. Nabi AlLah Hud merupakan rasul yang keempat mengikut kronologi susunan para rasul AlLah SWT.  Baginda Hud AS juga merupakan antara anbiya yang bukan berketurunan Bani Israel.  Sedangkan para anbiya yang lain bermula dengan Nabi AlLah Ishak AS hingga Nabi AlLah Isa AS, semuanya berketurunan Bani Israel. Nabi AlLah Hud AS diutuskan kepada kaum Ad yang menghuni tempat yang dikenali sebagai al-Ahqof yang terletak di antara Oman dengan Yaman. Kisah Nabi AlLah Hud AS dimuatkan bermula ayat 50-60 dalam surah Hud ini.                                                                                                                                                                                                      

Adapun nama para rasul yang 25 itu adalah seperti berikut;
1.       Adam AS             
2.       Idris AS
3.       Nuh AS
4.       Hud AS
5.       Salleh AS
6.       Ibrahim AS
7.       Luth AS
8.       Ismail AS
9.       Ishak AS
10.     Yaakob AS
11.     Yusoff AS
12.     Ayub AS
13.     Syuaib AS
14.     Musa AS
15.     Harun AS
16.     Zulkifli AS
17.     Daud AS
18.     Sulaiman AS
19.     Ilyas AS
20.     Ilyasa’ AS
21.     Yunus AS
22.     Zakaria AS
23.     Yahya AS
24.     Isa AS
25.     Muhammad SAW




1. Alif, Laam, Raa'. sebuah kitab yang tetap teguh tersusun ayat-ayatnya (al-Qur’an), kemudian dijelaskan pula kandungannya secara terperinci itu adalah dari sisi Zat Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuannya.

          AlLah SWT memulakan surah Hud ini dengan huruf-huruf potong; Alif, Laam, Raa’. Dalam bahasa Melayu dikenali sebagai huruf akronim. Kebanyakan mufassirin (ahli tafsir) tidak menafsirkan apakah maksud huruf ini. Hanya Ibnu Abbas, AbdulLah bin Abbas sahaja yang menafsirkannya. AbdulLah bin Abbas RadialLahuanhuma menafsirkan Alif Laam Raa’ dengan makna; Akulah AlLah Yang Maha Melihat.
          Kesemua surah yang dimulakan dengan huruf muqataah ini akan diikuti dengan penegasan terhadap kehebatan & kekaguman terhadap al-Qur’an. Misalnya Yaasin, diikuti dengan wal Qur’anil hakim. Qaaf, wal Qur’anummajid. Huruf potong ini merupakan sumpah AlLah SWT untuk menobatkan kemahahebatan al-Qur’an. Demikianlah dengan surah Hud ini, setelah AlLah SWT bersumpah dengan  Alif, Laam, Raa’, AlLah SWT memberikan jaminan bahawa kitab-NYA; al-Qur’an ini, kukuh &teguh susunan ayat-ayatnya, tak mampu diganggu gugat & ditiru ayat-ayatnya sama ada susunannya ataupun diksi-diksinya yang cukup hebat & mengesankan.
          Kandungan al-Qur’an ini keseluruhannya dijelaskan secara terperinci & menjadikannya jelas sejelas-jelasnya. Penjelasan terhadap maksud ayat al-Qur’an ini terdapat dalam ayat-ayat yang lain. Penjelasan terhadap maksud ayat-ayat al-Qur’an juga datangnya daripada tafsiran Nabi Muhammad SAW yang termuat dalam sunnah Baginda SAW. Tidak ada satupun ayat al-Qur’an yang tergantung & tidak dapat difahami; kerana semuanya telah ada tafsirannya dengan ayat-ayat yang lain ataupun sabda Baginda SAW. Cuma kita sahaja yang malas untuk membelek-belek maksud ayat-ayat AlLah SWT. Kita lebih suka & seronok menghabiskan masa berjam-jam untuk memuaskan nafsu mata dengan menonton tv & membaca tulisan-tulisan manusia yang kita tak kenal susuk badan & batang hidungnya. Amat malanglah jika kita yang mengaku Islam ini boleh melaburkan masa 3 jam untuk menonton cerita hindi yang berkhurafat & menyesatkan dengan senang hati tapi apabila mendengar kuliah tafsir sejam sudah rasa terlalu lama & seringkali terlena.
          Al-Qur’an yang sedang mendampingi kita sekarang ini datangnya dari AlLah SWT yang bersifat hakiim(bijaksana). Bijaksana AlLah SWT bukan kerana DIA lulus dari mana-mana ipt atau berguru dengan sesiapa. Berbeza dengan kita walau sebagaimana bijakpun kita asalnya bodoh, kemudian kita berhempas pulas belajar, kemudian kita berhempas-pulas pula bergelut dengan peperiksaan untuk pandai, sampai ada antara kita yang sanggup meniru untuk menjadi bijak. Bijaknya kita hanya akerana kita boleh menjawab beberapa soalan peperiksaan sahaja, bukan kerana kita menguasai semua judul & tajuk yang kita pelajari.  Setelah itu kebijakan kita akan menjadi semakin tumpul dimamah usia yang semakin bertambah. AlLah SWT hakiim tidak berawal & tiada berakhir. Selama-lamanya.
          Kita pasti akan menjadi hakiim bila kita membaca al-Qur’an kerana al-Qur’an itu sendiri sifatnya hakiim & datangnya dari AlLah SWT Yang Maha Hakiim.



2. Supaya (dengan adanya kita tersebut) janganlah kamu menyembah selain AlLah. (Katakanlah Wahai Muhammad SAW): "Sesungguhnya aku diutus  kepada kamu, sebagai pemberi amaran  dan pembawa berita gembira.

          Setelah AlLah SWT menjelaskan bahawa DIA Yang Maha Hakiim, bersifat hakiim, maka dengan itu kita diminta agar tidak menyembah atau berabdi kecuali hanya kepada-NYA. Manusia semua sekai tanpa mengira apa warna kulit & pecahan warna budaya tempat kita dilahirkan, diminta menjadi hamba kepada AlLah SWT. Menjadi hamba bermaksud kita mesti berkerja kerana-NYA 24 jam sehari, 7 hari seminggu & 30 hari sebulan, seterusnya 12 bulan setahun, tiada masa untuk bercuti daripada menjadi hamba. Status hamba tidak sama dengan status pekerja.
          Baginda Nabi Muhammad SAW diminta oleh AlLah SWT supaya menyiar & menyampaikan dakwah, mengajak manusia supaya menjadi hamba kepada AlLah SWT dan mengkufuri kepada yang lain; kerana yang selain sesuatu yang datang daripada AlLah SWT & bercanggah dengan kehendak AlLah SWT itu, semuanya berasal & dicetuskan oleh iblis, setan and the gang. Dakwah yang diseru & disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW itu menjadikannya sebagai pentazkirah; iaitu menyampaikan adanya ancaman siksa daripada-NYA untuk sesiapa yang melakukan larangan-NYA & memberitahu adanya khabar yang mengembirakan hanya untuk mereka yang setia dengan titah & perintah AlLah SWT.
          Memang begitulah tabiat dakwah yang dibawa & disebarkan oleh para anbiya di sepanjang zaman. Mereka (para anbiya) ini hanyalah sebagai penyampai janji gembira(syurga) kepada golongan yang taat & memberitahu adanya ancaman (neraka) kepada golongan yang engkar kepada titah & perintah AlLah SWT.  Tidak pernah sekali-kali tercatat dalam sirah ada antara anbiya yang memaksa umat yang didakwahnya kepada Islam. Islam tidak pernah tersiar dengan kekuatan persenjataan atau pelbagai jenis ugutan. Islam tersebar & disebarkan melalui hujah yang penuh lojik & bersalut kebenaran.



3. Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada RABB  kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu bertaubat  kepada-NYA; supaya IA memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka Sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (kiamat).

          Dakwah Baginda Nabi SAW mengajak & menawarkan kepada manusia agar mereka bertaubat & memohon ampun terhadap kesemua kesalahan (dosa) yang pernah mereka terbuat. AlLah SWT sebagai zat yang bersifat Maha Pengampun bersedia mengampun semua dosa hamba terhadap-NYA. DIA bersedia membuka pintu keampunan yang seluas langit & bumi untuk menerima permohonan ampun daripada para hamba & DIA bersedia mengampun semua dosa hamba-NYA sebelum nyawa berada di halkum.
          Asma’ AlLah al Husna ada 99 & salah satunya al-Ghaffar= Yang Maha Pengampun. AlLah SWT tidak hairan jika ada hamba-NYA terbuat dosa walau sebanyak mana, tapi DIA cukup hairan jika para hamba enggan & tidak mahu bertaubat.
          Apabila semua dosa dimaaf & diampunkan AlLah SWT, kita tidak akan terhijab lagi daripada menerima pelbagai nikmat daripada-NYA. Bentengan dosalah sebenarnya yang menjadi pendinding atau penghalang sampainya nikmat AlLah SWT kepada kita. Apabila kita telah dihujani pelbagai nikmat AlLah SWT, sudah tentunya hidup kita semasa di dunia ini diliputi kesenangan. Kesenangan yang datang akan berterusan hinggalah ke pengakhir hayat.
          Manusia yang diampun kesalahannya oleh AlLah SWT bermakna tiadalah karat yang melekat pada dirinya yang perlu dimasukkan ke neraka terlebih dahulu untuk mengikis & meleburkan karat tersebut. Apabila diri sudah bebas dosa, sudah tentunya AlLah SWT akan mengurniakan nikmat yang kekal abadi selamanya; syurga. Seandainya manusia enggan bertaubat & melepasakan diri daripada ikatan dosa, maka pastilah AlLah SWT akan memasukkan semua pendosa ke neraka; lembah api yang sentiasa menyala-nyala.



4. Kepada AlLah jualah kembalinya kamu, dan IA Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

          Umum mengetahui setiap yang bernyawa akan mati. Semua manusia mengakui akan keberadaan mati ini. yang berbeza hanyalah keyakinan terhadap implikasi selepas mati ini. Bagi kita penganut agama AlLah SWT ini diajar & diyakinkan; mati ialah tiket untuk bertemu AlLah SWT. Dengan maksud apabila seseorang itu mati, dia sebenarnya diminta & dipaksa untuk mengadap AlLah SWT. Mati bukan bermakna tamatlah riwayatnya. Mati merupakan perjalanan pertama menuju negeri & negara akhirat. Apabila kita dihadapkan kepada AlLah SWT, kita akan ditanya bermacam-macam soalan. Soalan-soalan itu diminta kita menyediakan jawapannya.
          Apabila kita mati kita akan dihadapkan untuk berhadapan dengan AlLah SWT, zat yang Maha Berkuasa, kerana DIA yang mencipta segala yang ada sama ada di dunia atau di akhirat sana.



5. Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada AlLah. Ketahuilah! semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, AlLah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; Sesungguhnya IA Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

          Golongan yang engkar atau mereka yang gemar & hobinya melakukan dosa, tentunya akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan kejahatan yang mereka lakukan. AlLah SWT menjelaskan bahawa DIA Yang Maha Mengetahui, pengetahuan AlLah SWT telus tiada sesuatu yang mampu menyekatnya. Walau sesembunyi manapun dosa dirancang & dilakukan, ALLah SWT tetap mengetahuinya. Pengetahuan AlLah SWT meliputi dulu, kini, & selamanya. AlLah SWT mengetahui secara terperinci walaupun apa yang terdetik dalam hati kita.





Sunday, January 1, 2012

Tafsir Surah asy- Syu’ara ayat 10 - 22,




Malam ini 09 Safar 1433- 03 Jan 2012


Tazkirah DwiMingguan di Masjid Mukim Pintu Gerbang,


Kg Telok Kemunting, Bachok, Kelantan. 


Isnin malam Selasa Minggu 1 & 3


Insya-AlLah. Dialog Nabi AlLah Musa AS – KalamulLah dengan Fir’aun

Ayat 10-22 : Dialog Nabi AlLah Musa AS Kala mulLah dengan Fir’aun


10. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika RABBmu menyeru Nabi Musa: "Hendaklah engkau datangi kaum yang zalim, -

Cerita atau kisah, sering kali mempengaruhi tingkah & laku manusia. Pengaruh cerita tidak dapat dinafikan peranannya. Justeru tidak menjadi suatu hal yang ganjil atau aneh jika kitab AlLah Yang Maha Suci sejak dari dahulu memuatkannya. Cerita atau kisah yang terdapat dalam al-Qur’an semuanya benar 100% & dapat dibahagikan kepada 3 sahaja.
a) cerita atau kisah yang sudah berlalu;seperti kisah penderhakaan Iblis, kisah para nabi & rasul seperti kisah Nabi Adam AS, kisah Zulqarnain, kisah Luqman, kisah Ashabul Kahf dsb.
b) cerita & kisah yang sedang berlaku;
seperti kisah kejadian manusia, tumbuhnya buah-buahan, berlakunya hujan dsb
c) kisah atau cerita yang bakal kita hadapi;
seperti kisah dalam alam barzakh, alam Mahsyar, syurga & neraka

Kisah & cerita yang ada dalam al-Qur’an ini, kita sebagai penganut Islam diminta mewara-warakannya setiap masa sekurang-kurang untuk diri sendiri, seterusnya untuk diperdengarkan kepada pasangan hidup masing-masing (suami-isteri), juga tidak lupa untuk diceritakan kepada anak-anak & zuriat sendiri. Tapi malangnya pada hari ini, kebanyakan ibu bapa tidak menceritakan kisah para anbiya ini kepada anak-cucu mereka, sebaliknya mereka lebih gemar bercerita kepada anak cucu mereka cerita-cerita doraemon, noruto, mickey mouse, ultraman, dsb melalui tv yang dibeli oleh mereka. Akhirnya membesarlah anak-anak dengan kekaguman mereka kepada cerita-cerita asing & mereka tak pernah kenal manusia pilihan AlLah SWT ini yang terdiri daripada para nabi & rasul.

Antara kisah & cerita yang diminta kita sampaikan kepada anak cucu kita ialah kisah/sirah Nabi AlLah Musa KalamulLah AS. AlLah SWT memulakan kisah Nabi Musa AS dengan menyuruhnya agar berdakwah kepada kaum yang zalim. AlLah SWT mengekadkan kaum yang dihadapi oleh Nabi Musa AS sebagai suatu puak yang zalim. Nabi AlLah Musa AS diminta AlLah SWT agar mendatangi kaum yang zalim untuk menghentikan segala kezaliman kaum tersebut. Oleh sebab AlLah SWT yang mengutarakan istilah zalim ini untuk kali pertama dalam dunia ini, tentulah definisi zalim ini juga AlLah SWT yang mencirikannya. Kaum yang bakal dihadapi Nabi Musa AS ialah satu kaum yang menjadikan manusia sebagai tuhan & sembahan. AlLah SWT menafsirkan manusia yang menyembah sesama manusia sebagai satu perbuatan yang zalim.

11. "Iaitu kaum Firaun; kerana mereka tidak bertaqwa"
AlLah SWT menjelaskan seterusnya kaum yang dianggap & dicap zalim itu ialah kaum Fir’aun. Lipatan sejarah merekodkan antara tamadun besar dunia hari ini ialah tamadun yang tercipta pada zaman Fir’aun. Teknologi pengawetan yang tercipta pada zaman Fir’aun belum & tak mampu ditandingi hingga ke hari ini. sebab itu kita lihat bagaimana mumia Fir’aun hari ini seolah-olah semalam matinya mereka. Teknologi binaan piramid yang tersergam di bumi Mesir juga tidak mampu ditandingi hingga ke hari ini. walaupun teknologi mereka begitu mencapai kemuncak peradaban tapi AlLah mencirikan kaum Fir’aun sebagai kaum yang zalim, Kenapa? Adakah kerana AlLah SWT tersilap? SubhanalLah Maha Suci Allah daripada sebarang kecacatcelaan dulu, kini, dan selamanya.

Zalim diertikan AlLah SWT kerana fokus ketaqwaan mereka tersasar. Mereka bertaqwa kepada Fir’aun & tidak bertaqwa kepada AlLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk menghidup & mematikan sama seperti AlLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk memberi rezeki sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk menembuh penyakit sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk membuat hukuman sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa rezeki sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana menumpahkan segala ketaatan kepada Fir’aun sama seperti ketaatan kepada ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana takut akan Fir’aun sama seperti takut akan ALLah SWT.

12. Nabi Musa menjawab: "Wahai RABBku, Sesungguhnya aku takut mereka akan mendustakan daku.
Sebagai seorang manusia yang kerdil yang pernah dibela oleh Fir’aun sejak lahir, Nabi Musa AS menyuarakan kebimbangannya kalau-kalau seruan dakwahnya didustakan oleh Fir’aun & kaumnya. Kebimbangan Nabi AlLah Musa AS ada asasnya, sebab dia diminta berhadapan dengan manusia paling jahat pada zamannya, iaitu Fir’aun yang mengaku sebagi tuhan negeri Mesir.
Kebimbangan inilah mungkin menghantui sebahagian daripada lulusan agama yang ada dalam negari & negara kita, lantaran itu banyak antara lulusan agama ini tidak menyiar & menyebarkan ilmu agama yang dipelajarinya sama ada dari dalam atau luar negara.

Ayat ini seharusnya menjadi motivasi kepada para pendakwah, iaitu jika ajakan kita kepada agama AlLah SWT ini didustai manusia, usahlah kita berdukacita kerana para anbiya ASW juga telah mengalami perkara yang sama. Sedangkan para nabi & rasul ini jauh lebih pandai & bijak dalam menyampaikan dakwah. Adanya tribulasi dalam dakwah ini tidak lain hanyalah untuk memberikan tuang & peluang untuk meraih pahala yang lebih kepada para pendakwah. Seandainya hari ini kita berdakwah, esok semua khalayak menerima seruan, maka jumlah pahala yang terkumpul dalam album usia kita tidaklah sebanyak mana.
Jadi teruskanlah menyampaikan keindahan agama AlLah SWT ini dalam medan kemampuan yang kita miliki. Kita tahu sepatah, kita sebarkanlah sekadar sepatah kerana kita tidak dibebankan dengan kewajipan yang di luar kemampuan diri.


13. "Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintah-MU kepada Harun (supaya ia membantuku).
Seterusnya Nabi AlLah Musa AS mengadukan masalah fizikal yang dihadapinya dalam masalah untuk menyampaikan dakwah ini; iaitu lidahnya yang kurang fasih untuk berbicara. Disebabkan keupayaan lidahnya yang kurang fasih itu menyebabkan Baginda bersa sempit dada. Lidah Nabi AlLah Musa AS menjadi keras & kurang fasih disebabkan Baginda AS memasukkan bara api ke mulutnya sewaktu Baginda masih kecil.

Diriwayatkan setelah Baginda AS dihanyutkan di sungai & singgah di pengkalan Fir’aun lalu diambil & dibelai dengan penuh kasih sayang oleh permaisuri Asiyah, sang Fir’aun yang melihat itu menaruh syak bahawa budak inilah yang diramalkan akan menjatuhkan kerajaannya kelak. Baginda Musa AS dipertahankan oleh permaisuri Asiyah dengan menyatakan yang dia masih kecil tak tahu apa-apa, jika diasuh lama-lama dia bakal jadi putera mahkota, kerana dia tak tahu asal-usulnya.
Untuk membuktikan Baginda Musa AS sememangnya budak kecil yang tak tahu membezakan apa-apa, lalu diambil 2 bekas; satu bekas yang berisi bara api yang merah, atu bekas lagi berisi kurma rutab yang juga merah. Apabila didekatkan kepada Baginda AS, tangan Baginda AS ingin menjamah kurma, tetapi ditepis malaikat lalu terambil bara api dimasukkan ke mulutnya. Implikasi daripada itulah menjadikan lidah Baginda AS tidak fasih. Baginda Musa AS memohon kepada AlLah SWT agar melantik saudara tuanya Harun AS untuk membantunya menyampaikan dakwah, kerana Nabi AlLah Harun AS mempunyai kemampuan pertuturan yang jauh lebih fasih. AlLah SWT memperkenankan permohonan Baginda Musa AS & menabalkan Harun AS sebagai nabi untuk menguatkan dakwah.



14. "Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku".

Baginda Musa AS juga menyuarakan kebimbangannya kerana Baginda AS pernah menumbuk orang Fir’aun, iaitu orang Qibti, sedang Nabi Musa AS orang Bani Israel. Hasil dari sekali tumbuk itu, orang Fir’aun terus mati. Kisahnya suatu hari Baginda Musa AS melihat orang Bani Israel, Samiri namanya sedang berkelahi dengan orang Qibti bernama Fatun, atas rasa asabiyyah mungkin untuk membela yang sebangsa Baginda Musa menumbuk Fatun & terus mati orang kaum Fir’aun itu. Hasil daripada itu Baginda Musa AS melarikan diri hingga ke Madyan. Kesalahan yang dilakukan sewaktu zaman Baginda AS belum tertabal menjadi utusan AlLah SWT menghantui program dakwahnya sekarang.

Hal ini memberikan kita pengajaran bahawa kita jangan sekali-kali terlibat & cubalah mengelakkan sebarang kesilapan mudah agar tidak menjadi bebanan perasaan pada masa hadapan. Lebih-lebih lagi kepada para pendakwah, kesalahan pada orang lain mungkin kecil tapi keada pendakwah nilainya menjadi terlalu besar boleh menghalang kelancaran perjalanan dakwah.
Jadi para pendakwah wajar menjaga segala tingkah laku di khalayak banyak sebaiknya perkara yang dilihat makhruh pun wajar dijauhi apa lagi yang berstatus haram. Apa yang berstatus sunnah dihampiri & digilai atau nampak kita berebutan.

15. AlLah berfirman: "Tidak sekali-kali & jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh sebab itu pergilah kamu berdua membawa ayat-ayat KAMI (yang membuktikan kebenaran kamu); Sesungguhnya KAMI ada bersama-sama kamu: mendengar.

Dalam ayat ini AlLah SWT membetulkan persepsi para jurudakwah dulu, kini, & selamanya; iaitu jangan cuba sekali-kali berfikiran negatif; sebelum mencuba sudah fikir ketewasan. Agenda dakwah perlu digerakkan kerana kita hanya berkewajipan menyampaikan, sama ada orang mahu menerima seruan dakwah itu atau menolak & tidak mahu menerima atau membenci ajakan kepada Islam itu bukan menjadi tanggungjawab kita. Bergeraklah ke serata ceruk bumi untuk menyampaikan ajakan kepada keindahan Islam. Usah difikiri jika aku yang menyampaikan, adakah orang yang mahu mendengarnya. Usah difikiri jika aku yang menyampaikan, adakah orang yang mahu mempercayainya. Usah difikiri jika aku yang menyampaikan, adakah orang yang mahu mengikutinya. Sebelum memulakan kuliah misalnya jangan difikir adakah orang yang akan mendengarnya.

Seruan dakwah yang kita kumandangkan itu dijamin AlLah SWT Yang Maha Mendengar bahawa DIA akan sentiasa mengikuti perkembangan dakwah kita dengan sentiasa mendengarnya. Walaupun tidak ada orang yang akan mempercayai & mendengarnya; tetapi AlLah SWT sentiasa mendengar.


16. "Maka pergilah kamu kepada Fir’aun, kemudian katakanlah kepadanya: Sesungguhnya kami adalah utusan RABB sekalian alam.

Nabi AlLah Musa AS seterusnya dititahkan-NYA untuk segera pergi berjumpa dengan Fir’aun bukan untuk mengajak Fir’aun berbincang pasal ada projek yang tergendala, tetapi membawa dakwah. Ajaran pokok dalam dakwah untuk Fir’aun ialah memperkenalkan diri sebagai dua orang daripada mereka yang menjadi rasul kepada RABB sekalian alam.

Set pengenalan ini sebenarnya dengan sinis menyindir Fir’aun yang mengaku dia tuhan negeri Mesir. Nabi AlLah Musa & Harun AS memperkenalkan dirinya sebagai utusan RABB yang menguasai sekalian alam. Pengenalan dakwah kedua-dua nabi tersebut tentunya menempelak dakwaan Fir’aun selama ini bahawa dia tuhan Mesir. Tentunya kedua-dua nabi tersebut lebih tinggi statusnya berbanding Fir’uan tuhan negeri Mesir sedang nabi AlLah Musa & Harun utusan RABB semua alam.



17. "Bebaskanlah kaum Bani Israil untuk mengikut kami".
Bukan sekadar memperkenalkan diri sebagai utusan RABB sekalian alam yang jauh lebih hebat dari Fir’aun yang mendakwa dia tuhan Mesir, tambah babak yang mengejutkan Fir’aun lagi apabila Nabi AlLah Musa & Harun meminta agar Fir’aun membebaskan semua kaum Bani Israel yang dijadikan hamba abdi Fir’aun di Mesir. Dakwah kedua-dua nabi tersebut juga berperanan sebagai seruan kemerdekaan untuk Bani Israel yang diperhamba sekian lama.

Fir’aun berketurunan Qibti (Mesir lama) sedang kaum Nabi Musa AS berketurunan Bani Israel. Asal usul kaum Bani Israel ini di Syam. Mereka mendiami & memakmurkan bumi Syam. Kaum Bani Israel telah berhijrah beramai-ramai dari Syam ke Mesir semasa Nabi AlLah Yusoff menjadi pembesar Mesir. Kebetulan pada zaman itu, negeri Mesir melalui perancangan & strategi masa depan yang diatur & diselanggara Nabi Yusoff menjadi makmur & terkenal. Sedangkan di Syam pula mengalami kemarau yang panjang menyebabkan seluruh Bani Israel dihimpit derita kebuluran. Untuk melepaskan mereka daripada gigitan kemarau yang bersangatan, Nabi AlLah Yaakob mengirimkan anak-anaknya iaitu adik-beradik Nabi AlLah Yusoff untuk meminta bantuan makanan ke Mesir.

Nabi Yusoff AS melalui strategi tertentu telah dapat menarik minat bukan sahaja adik-beradik & ayahandanya datang ke Mesir, bahkan kaum Bani Israel telah menjadikan bumi Mesir sebagai tempat penghijrahan. Telah menjadi resam alam di dunia, roda kehidupan kita selalu berpusing, ada masa-masanya berada di bawah; tapi bukan selama-lamanya di bawah. Ada kala & ketikanya pusingan roda tersebut akan berada di atas; tetapi tidak akana berada di atas untuk selama-lamanya. Sama hal & keadaan yang dialami kaum Bani Israel, semasa keberadaan Nabi AlLah Yusoff, apabila mereka mentaati perintah AlLah SWT & rasul, dengan mereka mendampingkan diri kepada Islam mereka menjadi terhormat & mulia. Setelah lama masanya kewafatan nabi AlLah Yusoff AS mereka mula meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit, akhirnya mereka terpisah daripada ajaran AlLah SWT & akhirnya sebahagian mereka diperhambakan oleh kaum Qibti dengan zalimnya.


18. Fir’aun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan Kami semasa engkau kanak-kanak baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun?

Dakwah Nabi AlLah Musa & Harun kepada Fir’aun dengan memberitahukan bahawa kedatangan mereka berdua sebagai rasul utusan RABB sekalian alam & meminta Fir’aun membebaskan semua kaum Bani Israel yang diperhambakan. Anehnya ya, apabila Fir’aun gagal menjawab hujah Nabi Musa & Nabi Harun AS, Fir’aun cuba mengalihkan isu pokok perbincangan. Fir’aun mengalihkan fokus isu yang diketengahkan Nabi Musa AS; iaitu ketuhanan AlLah yang mengutusnya sebagai rasul untuk mengajak Fir’aun kepada ajaran Islam & jangan lagi Bani Israel dijadikan hamba, keran semua manusia yang dilahirkan mereka merdeka.

Fir’aun membangkitkan isu yang dia lah yang memelihara Nabi AlLah Musa AS daripada hari lahir sehinggalah Nabi AlLah Musa AS melonjak menjadi muda belia yang gagah lagi perkara. Nabi AlLah Musa AS dibela oleh Fir’aun ini merupakan perancangan AlLah SWT. Barisan kabinet kabinet Fir’aun yang meluluskan usul & undang-undang untuk membunuh bayi lelaki yang dilahirkan dalam kalangan kaum Bani Israel. Usul membunuh anak-anak lelaki ini diperkenalkan untuk menghalang daripaa hidupnya manusia yang bernama Musa bin Imran. Ibu Nabi AlLah Musa Yukabad terpaksa menghanyutkan bayinya yang baru sahaja dilahirkan, walaupun belum puas bermain & melepaskan segala rasa rindu. Untuk memgelakkan & menyelamatkan bayinya yang bernama Musa daripada menjadi mangsa kekejaman Fir’aun.

Jadi Fir’aun membela Nabi AlLah Musa semenjak umurnya sehari sehinggalah menjadi muda belia yang gagah & perkasa bukan didorong oleh sifat kemanusiaan yang dari dalam diri Fir’aun, tetapi ada sebab lain. Antara sebabnya Fir’aun tidak ada anak, mudah-mudahan Musa dapat dijadikan anak angkatnya, walaupun mendakwa dia sebagai tuhan tapi gagal untuk membuatkan anak untuk dirinya sendiri.

19. "Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu jenayah dan (dengan itu) engkau menjadi kafir dengan kami (dari orang-orang yang tidak mengenang budi)?"

Fir’aun terus menyerang emosi Nabi AlLah Musa AS dengan membuka & membongkar kesilapan yang pernah dilakukan Nabi AlLah Musa AS; iaitu membunuh salah seorang pengikut Fir’aun. Untuk rekod kesalahan iaitu membunuh manusia yang dilakukan oleh Musa itu, Baginda AS lakukan sebelum baginda dilantik menjadi rasul. Dengan erti kata lain pembunuhan itu dilakukannya pada zaman jahiliyyahnya.

Disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh Nabi AlLah Musa AS itu walaupun pada zaman & masa jahiliyyah, Fir’uan melabelkan Nabi Musa AS sebagai tergolong daripada orang kafir. Lawaknya ya, Fir’aun menuduh & melabelkan Nabi AlLah Musa AS sebagai kafir. Padahal Nabi AlLah Musa AS tidak pernah melakukan perkara-perkara yang mensirna & membatalkan ucapan 2 kalimah syahadah.


20. Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan yang demikian ketika itu kerana aku sesat (belum mendapat petunjuk).

Nabi AlLah Musa AS mengakui kesalahannya membunuh itu tetapi agenda pembunuhan yang dilakukannya itu disebabkan oleh dirinya berada dalam kesesatan. Sebagai pendakwah kita mesti berani mengkui kesalahan yang kita pernah perbuat. Walaupun mengakui kesalahan itu mungkin memahitkan tapi percayalah kebanyakan ubat itu pahit sifatnya.

Secara tersirat Nabi AlLah Musa AS cuba menjelaskan soal terbiyyah yang didapatinya daripada Fir’aun. Sepanjang dia berada dalam istana & kawalan Fir’aun, Fir’aun tidak pernah mengajarkan kepada seorang Musa ini yang mana satu haq yang mana satu batil, yang mana satu jalan hidayah yang mana satu pula jalan yang sesat, yang mana satu hamparan benih iman yang mana satu pula tumbuhan yang membuahkan kufur, yang mana satu jalan yang dipenuhi cahaya yang mana satu pula jalan yang mengundang bahaya.

Jika kita pada hari ini hanya memberi makan, minum, & pakaian sahaja kepada orang yang di bawah tanggungjawab kita, kefahaman agama kita abaikan, soal iman & kufur kita ketepikan, masalah dosa pahala kita tolak ke tepi, masalah akhirat kita abaikan, kita sebenarnya sama seperti cara Fir’un mendidik. Atau dengan kata lain kita meniru Fir’aun dalam pendidikan. Kita jadikan Fir’aun ikonik kita dalam tarbiyyah.

21. "Lalu aku melarikan diri dari kamu, kerana berasa takut kepada kamu; kemudian RABBku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku salah seorang daripada Rasul-Nya.

Nabi AlLah Musa AS terus menyambungkan hujahnya. Iaitu setelah berlaku pembunuhan tersebut, dia dihinggapi rasa takut yang mendalam. Kesan daripada itu menyebabkannya melarikan diri jauh dari bumi Mesir. Lari dari kekejaman undang-undang ciptaan Fir’aun. Lari daripada kepalsuan kehidupan di istana Fir’aun, daripada jauh namapak macam air bila didekati hanyalah fatamorgana sahaja. Dalam sirah dinukilkan Nabi AlLah Musa AS berjaya membawa dirinya lari & terus berlari sehinggalah tiba & sampai di bumi Madyan.

Semasa di bumi Madyan inilah AlLah SWT telah mengajarkan sendiri Nabi Musa AS dengan pelbagai hikmat & ilmu yang tidak diberikan kepada sesiapa selain kepada Nabi AlLah Musa AS sahaja. Setelah mantap imu pengetahuan dari isi kitab yang pernah AlLah SWT turunkan, diajarkan kepada nabi Musa AS, barulah AlLah SWT menangkat darjat nabi tersebut menjadi rasul.


22. "Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau memperhambakan kaum Bani Israil.

Berikutnya Nabi AlLah Musa AS terus menempelak Fir’aun dengan pertanyaan; adakah dikira jasa dengan Fir’aun membelanya seorang sahaja sejak daripada kecil sedangkan ada puluhan ribu lagi warga Bani Israel yang dijadikan hamba kepada kaum Qibti. Berbaloikah atau terpadamkan dosa Fir’aun yang selama ini memperhambakan semua kaum Bani Israel dengan membela hanya Nabi Musa AS.

Tetamu

free counters