Antara kepintaran tentera dan kesombongan ahli politik. Perang Oktober
1973 atau juga dikenali sebagai Perang Ramadhan bermula pada hari ini, 6
Oktober, 40 tahun yang lalu.
Ia dikenali oleh Mesir dan Syria sebagai operasi Badar, sempena perang
Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Di Israel ia dikenali sebagai
Yom Kippur War kerana berlaku pada hari perayaan Yom Kippur. Ia bermula
serentak di dua perbatasan apabila tentera Mesir dan Syria membuat
serangan mengejut pada jam 2 petang 6 Oktober keatas Israel untuk
mengambil semula Semenanjung Sinai dan Bukit Golan yang dirampas dalam
perang 1967.
Minggu pertama peperangan dikuasai oleh tentera Mesir tetapi senario
berubah pada minggu kedua hingga berlaku gencatan senjata. Diperbatasan
Syria pula, kemenangan tentera Syria hanya bertahan sehari sebelum
dipatahkan semula oleh Israel.
Permulaan perang menyaksikan pelbagai kepintaran strategi oleh tentera
Mesir dan mengejutkan Israel sebelum kemenangan sementara itu
dilenyapkan oleh kebodohan tindakan pemimpin politik, samada di Mesir
mahupun di Syria. Antara yang utama untuk disebutkan ialah :
1. Peranan `double agent’ (perisik dua muka) Asyraf Marwan. Mossad
menyangka bahawa Asyraf Marwan adalah perisik mereka yang amat berharga
kerana kedudukanya yang rapat dengan Anwar Sadat.
Tidak mereka sangka bahawa Asyraf adalah perisik Mesir dan maklumat yang
disalurkan kepada Israel adalah yang Mesir kehendaki sahaja. Pada 5
Oktober 1973, sehari sebelum perang meletus, Asyaf `membocorkan’
maklumat kepada Israel bahawa Mesir dan Syria akan melancarkan perang
pada jam 6 petang, 6 Oktober. Sedangkan Mesir mula melancarkan serangan
jam 2 petang, dikala Israel belum bersedia sepenuhnya. Kemampuan tentera
Mesir menyusupkan seorang agen ke dalam Mossad yang dikenali sebagai
agensi perisikan yang disegani didunia amat memalukan Israel.
2. Strategi perang yang mudah, tidak terlalu `ambitious’ tetapi
realistik dan tidak disangka. Selepas tentera udara Mesir dilumpuhkan
dalam perang 1967, Israel beranggapan Mesir tidak mungkin bangkit
menentang kembali melainkan setelah tentera udaranya dibina semula.
Paling awal dijangka pada 1975. Israel terlalu angkuh selepas kejayaan
Perang 1967.
Mengentahui keadaan ini, Mesir tidak merancang menggunakan kekuatan
serangan udara sebagai senjata utama, tetapi mereka membina kekuatan
pertahanan udara menggunakan gabungan sistem peluru berpandu Soviet SA-6
dan SA-7 yang terbaru , misil anti-pesawat mudah-alih SAM-7 serta
meriam anti-pesawat.
Ia digambarkan oleh jeneral udara Israel sebagai sistem pertahanan udara
yang terbaik di dunia selepas Soviet Union. Dengan sistem ini mereka
membina `air defence umbrella’ :- satu kubah pertahanan udara yang tidak
boleh dimasuki oleh jet-jet Israel.
Tentera Mesir hanya akan mara dalam linkungan kubah udara ini sahaja dan
menggunakannya sebagai `leverage’ untuk merundingkan gencatan senjata
dan pengunduran Israel.
Dalam percubaan Israel untuk bertindak balas selepas diserang, 35 jet
Israel ditembak jatuh dalam tempoh 24 jam pertama. Masuk hari ke 2,
Israel kehilangan 1/3 dari 300 jet pejuangnya lalu menghentikan serangan
udara.
3. Menipu kesediaan tentera Israel (Deception). Pos kawalan tentera
Israel di tebing timur terusan Suez memerhati pergerakan tentera Mesir
24 jam sehari.
Sebarang pergerakan besar tentera Mesir akan menimbulkan syak-wasangka.
Berbulan-bulan sebelum perang, tentera Mesir mengadakan latihan demi
latihan disepanjang Terusan Suez termasuk latihan menyeberang. Setelah
tentera mengadakan latihan pada waktu siang, mereka pulang ke berek pada
waktu malam.
Begitulah mereka ulangi sehingga pergerakkan tentera Mesir telah menjadi
permandangan biasa kepada tentera Israel. Pada masa yang sama tentera
tambahan dibawa pada waktu malam menaiki keretapi.
Pada hari serangan, tentera Mesir dilihat bermandi-manda di Terusan Suez
seperti biasa. Akhirnya pemerhati tentera Israel tidak menyangka yang
disangkakan latihan pada 6 Oktober adalah serangan yang sebenar.
4. Memecah Benteng Bar Lev (Bar Lev Line) Bar Lev Line oleh Israel
dibina di sepanjang 160km tebing timur Terusan Suez selepas menawan
Sinai pada 1967. Sinai akan menjadi zon penampan (buffer zone) antara
Mesir dengan Israel sementara Israel mengaut hasil bumi Sinai.
Ia terdiri dari benteng pasir dan konkrit setinggi 60-80 kaki dengan
kecerunan 45-65 darjah menjadikannya mustahil untuk diseberangi oleh
mana-mana kereta kebal. Sebarang percubaan untuk membina jambatan
merentasi terusan dan memecahkan benteng akan mengambil masa
sekurang-kurangnya 24 hingga 48 jam, cukup untuk Israel menyerang balas.
Apabila perang bermula, benteng Bar Leb dihujani dengan bedilan meriam
berterusan. Ini memberi perlindungan kepada barisan hadapan komando
Mesir yang melintasi terusan dengan boat getah (dingy). Dalam masa sejam
pertama 14,000 tentera Mesir telah menyeberang terusan dan memanjat
benteng.
Jambatan terapung (pontoon bridges) dibina untuk diseberangi kereta
kebal dan peralatan perang. Tetapi bagaimana untuk melepasi benteng?
Pada 1971, seorang pegawai muda tentera, Baki Zaki Yousef, memberi idea
untuk menembak runtuh benteng pasir Bar Lev menggunakan pam bertekanan
tinggi (high presurre pump) denga bekalan air dari terusan.
Idea diambil dari pembinaan Empangan Aswan yang sedang berjalan. Ratusan
pam dibeli dari Britain dan Jerman sebelum 1973 kononnya untuk kegunaan
anggota Bomba. Kombinasi 5 pam boleh memecahkan benteng dalam masa 2
jam sahaja. Dalam masa 24 jam perang bermula, 81 lokasi benteng telah
dipecahkan dan 90,000 tentera bersama 850 kereta kebal Mesir telah
menyeberangi Terusan Suez.
5. Memusnahkan ketumbukan Kereta Kebal Israel. Kekuatan kedua Israel
selepas angkatan udaranya adalah ketumbukan kereta kebal. Dengan sikap
yang terlalu yakin selepas perang 1967, Israel hanya menempatkan 40
kereta kebal di barisan hadapan terusan Suez. Namun ia disokong oleh
pelan pertahanan Sinai, Dovecote, yang mempunyai 300 kereta kebal, 70
meriam dan 1800 tentera. Tetapi pelan ini adalah berdasarkan jangkamasa
mobilasi 48 jam. Serangan mengejut Mesir dan kepantasan pergerakan yang
diluar jangkaan telah memeranjatkan Israel.
Apabila pelan Dovecote diaktifkan dan pasukan sokongan ini tiba di
Terusan Suez, mereka disambut oleh tentera Mesir yang telah siap berkubu
dan unit-unit anti-kereta kebal yang sedia mencari mangsa. Misil
anti-kereta kebal mudah-alih 9K11 Malyutka (NATO codename Sagger)
digunakan dengan jayanya oleh tentera Mesir. Dengan senjata ini, hanya
seorang tentera pejalan kaki diperlukan untuk memusnahkan kereta kebal
Israel.
Dalam masa 36 jam, 1/3 dari 300 kereta kebal Israel dimusnahkan. Unit
kereta kebal tentera simpanan Israel tiba pada 8 Oktober untuk membantu.
Tanpa sempat mengatur kedudukan, mereka terus memasuki medan perang.
Sekali lagi mereka memasuki perangkap tentera Mesir yang sedia menanti.
Serangan balas Israel dihentikan dan mereka berundur.
Malangnya kejayaan tentera Mesir tidak bertahan lama apabila pemimpin
politik mula memberi arahan perang tanpa mengendahkan pandangan pimpinan
tentera. Ia bermula apabila Syria mulai dikalahkan pada hari kedua
perang. Israel tahu mereka tidak mampu menangani 2 medan pertempuran
serentak. Israel menumpukan kekuatan ke Bukit Golan kerana ia lebih
hampir kepada penduduk Israel. Di Sinai mereka mula bertahan.
Di penghujung hari pertama serangan menampakkan Syria menguasai semula
sebahagian besar selatan Bukit Golan. Apabila malam tiba, mereka
diarahkan untuk menghentikan serangan dan menyambung esok. Sedangkan
pada masa itu medan terbuka luas, barisan depan Israel kucar-kacir dan
laluan ke Wadi Jordan tiada pertahanan.
Namun tentera Syria dikawal secara kuku besi oleh Presiden Hafiz Al
Assad. Tiada siapa berani membuat menukar rancangan atau keputusan
melainkan arahan dari Assad. Ruang masa ini diambil oleh Israel untuk
mengatur tenteranya semula dan tentera simpanan mulai tiba.
Keesokkan harinya Israel telah bersedia untuk menerima serangan Syria.
Assad mengeluarkan arahan untuk tentera Syria menyerang mulai jam 8
pagi. Jeneral tentera Syria meminta agar serangan ditangguhkan kerana
tentera Israel telah bersedia tetapi tidak diendahkan.
Apabila serangan dimulakan pada 7 Oktober tentera Syria menerima
tentangan yang sengit dari Israel dan akhirnya terpaksa berundur.
Menjelang 10 Oktober, tentera Syria bukan sahaja berundur ke garisan
sebelum perang bermula, tetapi tentera Israel memasuki Syria sehingga 20
km dari Damsyik.
Kesilapan Assad adalah tidak mengambil peluang untuk mara ketika musuh
tidak bersedia dan membuat keputusan untuk menyerang ketika musuh siap
menunggu walaupun cuba dibantah oleh jeneral tentera Syria. Apabila
Assad mula terasa tertekan, beliau menghubungi Presiden Anwar Sadat
untuk terus menyerang Israel agar sebahagian kekuatan Israel akan mula
beralih dari Syria ke Mesir.
Di kala itu tentera Mesir telah mengusai medan dan mereka berkubu dalam
lingkungan kubah pertahanan udara seperti yang dirancang. Terdesak
dengan rayuan Assad, Anwar Sadat mengarahkan 2 division kereta kebal
Mesir yang mengawal barisan belakang di tebing barat Terusan Suez untuk
menyeberangi terusan dan terus mara melangkaui linkungan pertahanan
udara.
Arahan ini dibantah oleh Ketua Turus Tentera Mesir General Saad As
Syazli. Bantahan tersebut tidak diendahkan dan Sadat tetap berkeras.
Arahan Sadat tersebut ternyata menjadi persimpangan nasib tentera Mesir.
Ketumbukan kereta kebal Mesir yang keluar dari perlindungan pertahanan
udara memang dinantikan oleh kereta kebal, meriam dan unit anti-kereta
kebal Israel yang dilengkapi dengan `TOW missiles’ buatan Amerika serta
jet pejuang Israel yang tidak lagi diancam oleh sistem pertahan udara
Mesir.
Jam 6 pagi, 14 Oktober bermulalah pertempuran kereta kebal yang terbesar
dalam sejarah selepas Perang Dunia Kedua. 2000 kereta kebal bertempur
secara terbuka disepanjang 160 km. Menjelang malam Mesir kehilangan 264
kereta kebal manakala Israel tidak sampai 20 buah.
Pada masa yang sama, tentera Israel diketuai oleh General Ariel Sharom
mengambil peluang untuk menembusi ke belakang barisan pertahan Mesir dan
menyeberang ke tebing barat Terusan Suez. Matlamatnya adalah
memusnahkan sistem pertahanan udara Mesir seterusnya membuka laluan
kepada serangan jet pejuang Israel.
Mereka berjaya membolos pertahanan Mesir melalui ruang antara Ketumbukan
ke 2 tentera Mesir di utara Suez dan Ketumbukan ke 3 di selatan. Mereka
menghadapi tentangan yang minima kerana tulang belakang pertahanan
Mesir telah dihantar oleh Sadat ke garisan hadapan. Sekali lagi
permintaan General Syazli untuk mengundurkan sebahagian tentera membantu
barisan belakang dibantah oleh Sadat bahkan General Syazli sendiri
akhirnya senyap-senyap dilucutkan jawatan.
Tanpa pertahanan yang kuat, sistem udara Mesir diserang dengan mudah,
memecahkan kubah yang melindungi tentera Mesir. Mesir dan Israel mula
bersetuju dengan gencatan senjata yang akhirnya diisytiharkan pada 22
October.
Tapi melihat peluang dihadapan mata, Israel meneruskan kemaraan.
Menjelang 23 Oktober, tentera Israel berjaya mengepung Ketumbukan ke 3
tentera Mesir dari belakang. 20,000 tentera Mesir dikepung.
Setelah beberapa hari tanpa makanan, tanpa peluru, tanpa bekalan minyak
dan ramai yang cedera tidak diubati, sebahagian tentera Mesir mula
menyerah kepada Israel. Dalam usaha untuk menyelamatkan Mesir, Soviet
Union mengugut untuk menghantar tenteranya jika tentera pengaman tidak
dihantar ke Mesir.
Akhirnya bersama tekanan antarabangsa, Israel akur dengan gencatan senjata dan Perang Oktober 1973 berakhir pada 25 Oktober.
Arahan Presiden Assad yang angkuh dengan kemenangan sehari dan arahan
Presiden Sadat yang mulai tamak dengan kejayaan sementara, walaupun
dinasihati dan dibantah oleh pimpinan tentera, terbukti menjadi
persimpangan yang mengubah senario perang menyebelahi Israel.
Selepas perang, General Saad al Syazli dilantik sebagai duta Mesir ke
Britain dan Portugal, tetapi apabila beliau membantah perjanjian Camp
David, beliau sekali lagi dilucutkan jawatan dan hidup dalam buangan di
Algeria.
Bagaimanakah mungkin Anwar Sadat berdabik dada dengan kemenangan Perang
Oktober seolah ia milik beliau sedangkan akitek kemenangan tersebut
dipecat dengan hina bahkan kerana tindakan Sadatlah yang mengubah
kemenangan tentera Mesir kepada kekalahan demi kekalahan dalam hari-hari
seterusnya.
Sebenarnya perkara yang sama juga berlaku di pihak Israel. Sebaik saja
Israel mendapat maklumat Mesir dan Syria akan menyerang, General Moshe
Dayan meminta kebenaran untuk melancarkan serangan udara mengejut
(pre-emptive strike) sebelum perang bermula.
Tapi permintaan itu ditolak oleh Perdana Menteri Israel Golda Meyer atas
alasan Israel akan dilihat sebagai yang memulakan perang seperti 1967.
Senario perang mungkin berubah jika Israel yang memulakan serangan udara
atau mungkin saja tidak kerana pertahan udara Mesir telah siap
menunggu.
ditulis pada 6 Oktober 2013 oleh Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
Pengerusi J/k Pembelaan Ummah Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor. disebar
oleh-
remajacintadakwah
Berikut pula adalah tulisan Tulisan : Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Hari ini genaplah ulang tahun Perang Ramadhan 1393H (Perang Oktober
1973) yang ke 40. Peperangan yang bermula pada 6 hingga 24 Oktober ini
mempunyai implikasi yang sangat besar. Perang yang juga dikenali sebagai
perang Ramadhan kerana bermula pada 10 Ramadhan dan Perang Yom Kippur
kerana jatuh pada hari kebesaran orang Yahudi ini telah merubah lanskap
politik timur tengah seperti hari ini.
Peperangan ini adalah sebahagian dari usaha Mesir dan Syria untuk
merebut kembali wilayah mereka yang dijajah oleh Israel dalam Perang
enam hari pada tahun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi
Golan. Perang 6 hari juga menyebabkan Jalur Gaza, Baitul Maqdis timur
dan Tebing Barat di kuasai oleh Israel sepenuhnya. Mengambil peluang
dari Hari kebesaran orang Yahudi iaitu Yom Kippur, di mana sebahagian
besar tentera Israel sedang bercuti, Mesir telah mengatur serangan
mengejut. Keupayaan tentera Mesir untuk menembusi garisan Barlev yang
dianggap kebal oleh pertahanan Israel benar-benar menjadi kejutan.
Dalam masa yang sama tentera Syria megambil semula sebahagian dari Tanah
tinggi Golan yang dikuasai Israel. Kejayaan tentera Mesir dan Syria
tidak kekal lama kerana mereka terpaksa berundur ekoran serangan balas
oleh Israel. Bahkan ketumbukan tentera ke tiga Mesir terkepung
sepenuhnya dan bakal menghadapi kemusnahan. Israel juga mengalami
kemusnahan yang besar dengan hampir 3,000 tenteranya terbunuh dan 9,000
mengalami kecederaan. Buat pertama kalinya dalam sejarah Israel menerima
hakikat bahawa ia sedang menghadapi satu peperangan yang sebenar,
sedangkan konflik yang berlaku dengan negara-negara Arab sebelumnya
hanyalah sebuah pertempuran. Di samping itu hampir 500 kereta kebal dan
200 pesawat udara tentera Israel berjaya dimusnahkan oleh tentera Mesir
dan Syria. Mesir dan Syria menerima kemusnahan yang jauh lebih besar,
namun kejayaan pada peringkat awal peperangan memberi satu suntikan
kepada seluruh dunia Arab dan negara Islam terhadap kemampuan berhadapan
dengan rejim Zionis di medan peperangan.
Amerika Syarikat telah bersetuju sepenuhnya dalam Majlis Keselamatan
Bangsa-Bangsa Bersatu supaya resolusi 338 dilaksanakan iaitu gencatan
senjata antara kedua pihak. Ini adalah suatu yang jarang berlaku kerana
Amerika telah terbukti sepanjang konflik timur tengah tidak akan memihak
kepada keputusan Majlis Keselamatan atau Persidangan Agung PBB jika ia
dilihat merugikan Israel. Bahkan acapkali AS akan menggunakan kuasa
vetonya untuk membatalkan mana-mana resolusi yang diputuskan jika
dianggap tidak memenuhi kepentingan strategik Israel. Dalam Perang
Oktober 1973, AS mengambil pendirian yang sebaliknya. Ini adalah
berdasarkan kepada congakan bahawa Israel mungkin mengalami kekalahan
dan terpaksa membuat beberapa konsesi yang menjejas kelangsungan negara
zionis tersebut.
Gencatan senjata ini bagaimanapun dicabuli oleh Israel yang terus mara
sehingga ke Terusan Suez. Ini memaksa Majlis Keselamatan bersidang
sehari selepas Resolusi 338 diluluskan. Resolusi 339 diluluskan untuk
menguatkuasakan Resolusi 338. Motif sebenar Amerika terbongkar apabila
pada 18 Oktober Presiden Nixon meluluskan peruntukan senjata tambahan
kepada Israel disamping bantuan kewangan sebanyak USD 2.2 bilion.
Keadaan ini telah menyebabkan Arab Saudi melakukan reaksi balas dengan
mengurangkan pengeluaran petroluem sebanyak 5% sebulan kepada AS.
Embargo ini kemudiannya di lanjutkan ke atas Netherland dan
negara-negara lain mencetuskan krisis tenaga pada tahun 1973 yang
menyaksikan ekonomi Amerika terjejas teruk. Ini adalah satu contoh
bahawa negara-negara Arab mampu untuk menggunakan kuasa petrodollar
untuk mencabar hegemoni politik AS di timur tengah.
Dalam masa yang sama AS telah menggunakan situasi perang Oktober untuk
menghapuskan ancaman Mesir ke atas Israel. Oleh kerana objektif Mesir
ialah untuk mendapatkan semula Semenanjung Sinai yang dikuasai oleh
Israel, AS telah menjadikan ia sebagai umpan supaya Mesir bersetuju
untuk berdamai dengan Israel.
Presiden Sadat telah menyatakan persetujuannya untuk datang ke Baitul
Maqdis dan mencari jalan perdamaian. Kehadiran Presiden Sadat ke Baitul
Maqdis yang dikuasai Israel adalah satu isyarat pengiktirafan ke atas
negara haram Israel. Perdana Menteri Israel, Menachem Begin telah
mengambil peluang ini untuk memalukan Sadat dengan menyebut dalam
ucapannya mengalu-alukan kedatangan Sadat ke Baitul Maqdis, ibu negara
Israel ’yang abadi’. Ucapan ini adalah merupakan satu tamparan kepada
perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. Ia adalah
sesuatu yang mencalar maruah dunia Islam seluruhnya.
Hasil dari rundingan diplomatik antara Mesir dan Israel yang di’broker’
oleh AS akhirnya membuahkan Perjanjian Camp David pada tahun 1978.
Perjanjian ini telah mengeluarkan Mesir dari persamaan (equation) yang
menentukan hala tuju konflik di Timur Tengah khususnya yang berkaitan
dengan pembebasan Bumi Palestin. Sehingga hari ini Mesir adalah terikat
dengan perjanjian untuk tidak menjejaskan keselamatan Israel. Tindakan
Mesir pada hari ini yang menutup sempadan di Rafah dan tidak membenarkan
bantuan menyeberang ke Gaza yang dikepung Israel, bahkan menghalang
rakyat Gaza masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan adalah sebahagian dari
memenuhi syarat Perjanjian Camp David tersebut.
6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya
sebagai tarikh untuk menyambut hari kebangsaan kedua negara. Mesir
turut memilih 6 Oktober sebagai hari angkatan Tentera Mesir. Pada 6
Oktober 1981, dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun perang
Oktober, Presiden Sadat mati ditembak kerana tindakannya berdamai dengan
Israel dan mengiktiraf entiti haram tersebut dianggap suatu
pengkhianatan kepada umat Islam dan agamanya.