About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, August 15, 2010

Antara Sambutan Merdeka & Lailatul Qadar ; Di Mana Kita?

Al-HamdullilLah segala rupa puja, segala susuk puji, segala wajah syukur, dirapat & diangkat ke-Hadrat AlLah SWT, yang masih menumpahkan sisa-sisa simpati-Nya kepada kita, lalu disambung-Nya pinjaman nyawa ini walaupun tiada penjamin, sama ada dari kalangan manusia, malaikat, atau jin. Lantaran kemahapemurahan-Nya itulah, kita sempat lagi menghirup udara dan sambungan nyawa hingga kita berjumpa dengan Ramadhan, bulanhyper mulia yang pernah tercipta dalam kalendar kehidupan. Trek perjalanan Ramadhan yang berpusing dan beredar mengikut kiraan pusingan bulan, sementara roda Ogos yang beredar mengikut pusingan perjalanan matahari, yang membezakan 5 hari antara keduanya, menjadi penyebab kalendar tahun Hijrah dapat mengejar perjalanan tahun Masehi. Ya, pada tahun ini, kertas di kalendar menjadi saksi, Ramadhan bulan kesembilan mengikut kiraan bulan, dan Ogos bulan kelapan mengikut pusingan hitungan matahari telah menyatu. Penyatuan antara Ogos yang menyediakan janji kemerdekaan pada bumi Malaysia lewat 1957 dengan jaminan Ramadhan dengan kehadiran Lailatul Qadar tentunya cukup menarik untuk dijadikan teladan sepanjang perjalanan zaman slagi hayat maih sudi dikandung badan. Merdeka yang dirayakan dengan pelbagai acara dan sambutan tentunya punyai bermacam-macam signifkan yang terpendam. Tentunya wap dan bau aroma merdeka tidak lama pada hidung seseorang yang turut serta kudrat tenaganya untuk menghalau penjajah dengan kita generasi hari ini yang apabila celik mata memandang maya, negara sudahpun merdeka. Erti dan makna merdeka yang kita rasa sebagai generasi muda tidak sedalam dan senikmat mereka yang bertungkus-lumus memikir pelbagai strategi untuk menghalau penjajah dari terus menghuni bumi bertuah. Itu sebahagian hakikat dan relaiti yang kita hari ini tidak dapat untuk menipu diri. Bagaimanapun jazakalLahu khairan kasira buat semua pejuang silam yang sanggup meletakkan nyawanya menjadi taruhan untuk melihat zuriatnya tidak terus dijajah penjajah ganas. Tok Janggut, Tok Kenali, Syed Tahir Jalaluddin, Ab Rahman Limbong, Tok Gajah, Dol Said, Dato Bahaman, Mat Kilau, Rosli Dhobi, dan sahabatnya telah menempa sejarah dengan tinta emas. Nama mereka tetap hidup tidak pernah mati-mati, meskipun jasad mereka sudah terlalu lama bersemadi di bumi.

Bulan ini, iaitu Ogos tentunya pelbagai acara dirangka dan dirancang untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan tanah air buat yang kesekian kalinya. Ada tema tertentu dirangka dan diperkenal guna untuk dihayat bersama-sama, demi untuk menambah rasa sayang akan negara dan dari situ akan tumpah taat setia, rela menumbahkan pula segala kudrat iradat yang ada guna mempertahankan negara kita dari sebarang anasir yang tidak berguna, sama ada serangan yang datang dari dalam atau luar sana. Kata orang tua-tua; biar putih tulang jangan putih mata. Demi mejayakan agenda merdeka, 31 Ogos dijadikan cuti umum, agar rakyat tidak pernah akan lupa tarikh keramat negara merdeka. Dikhabarkan jika ada syarikat swasta yang menyuruh pekerjanya bekerja pada hari cuti umum, maka syarikat berkenaan kena bayar gaji kepada pekerjanya itu 3 kali ganda. Sehari bekerja pada hari cuti umum dibayar 3 kali ganda gaji untuk hari itu sahaja. Misalnya jika gaji pekerjanya RM 100 sehari, maka hari cuti umum dibayar RM 300 sehari. Hebat kan?

Fenomena ini amat jauh bezanya jika kita berpeluang menghidupkan Lailatul Qadar. AlLah SWT berkenan untuk memberikan ganjaran berupa bonus lebih daripada 1000 bulan kepada sesiapa yang sudi mengurangkan sedikit masa tidurnya. Lihatlah betapa besarnya beza antara kekayaan AlLah SWT Yang Maha Sempurna dengan kemampuan sesebuah syarikat yang terhad pelbagai sumber yang ada. Sesebuah syarikat sesekali tidak akan mampu untuk membayar gaji semua pekerjanya dengan gandaan 3 kali ganda jika semua pekerjanya bekerja pada cuti umum, hanya pekerja terpilih sahaja boleh berbuat demikian. Hal ini tentunya amat berbeza dengan AlLah SWT yang akan membayar ganjaran 1000 bulan kepada semua hamba-Nya yang berjumlah 2-3 billion ini, jika semua mereka mampu menghidupkan Lailatul Qadar dengan pelbagai resipi dan menu pengabdian. Jadi kenapa kita masih lengah, kenapa kita masih diulit ragu, untuk menjadi hamba yang setia. Kalaulah ada mana-mana syarikat yang ada di dunia ini sanggup membayar gaji atau bonus untuk 1000 bulan, biarpun kita hanya berkerja hanya sebulan, bermakna kita hanya perlu bekerja hanya sebulan, gaji yang kita terima sudah cukup untuk menyara seumur hidup hayat yang diberi. Kenapa Allah menawari kita dengan ganjaran yang terlalu lumayan itu? Ganjaran ini dikeranakan kita akan dihidupkan semula setelah kita diberehatkan sekejap dalam pusara. Perjalanan hidup di sana kelak, di sebuah penempatan yang bernama akhirat, berupa satu kehidupan yang selama-lamanya, tidak akan mati-mati kerana mati sewaktu itu sudah mati! Kemahaperkasaan Allah telah menjadikan kita daripada tidak ada kepada ada. Kemahaperkasaan Allah itu jugalah yang akan menghidupkan kita semula untuk selama-lamanya. Ya, keberadaan kita yang menghuni dunia di penghujung usianya ini, rata-ratanya berumur kurang daripada 100 tahun. Jadi himpunan amal soleh yang mampu kita garap dalam usia begitu singkat tidaklah sebanyak mana, lalu AlLah SWT yang Maha Mengetahui telah menumpahkan kemurahannya buat umat ini, dengan menganugerahkan satu malam yang teristimewa bernama Lailatul Qadar. Istimewanya malam ini bukan kerana namanya, tetapi kerana mampu menghidup dan mewarnakan kedatangan malam tersebut dengan pelbagai menu amal soleh. Malam ini sengaja AlLah datangkan pada malam-malam terakhir pada penghujung Ramadhan, dikhaskan lagi pada malam-malam ganjil. Jika ada sebahagian umat ini sanggup berjaga malam untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang hanya berebut sebuah bola dan piala, kenapa umat ini tidak sanggup berjaga malam untuk meraikan kedatangan Lailatul Qadar. Jom kita mulakan agenda menjaring Lailatul Qadar mulai 30 Ogos hingga ke malam hari raya, kita mula jaga mulai jam 2 atau jam 1 atau jam 12 untuk menanti kunjungan hormat Lailatul Qadar. Masih terlalu banyak makna ayat al-Qur’an yang masih belum kita faham, masih terlalu banyak hadis Rasul SAW yang belum kita telaah, masih terlalu banyak kitab fekah yang belum kita tatap, masih terlalu banyak kitab tauhid yang belum kita baca, masih terlalu banyak kitab sirah yang belum kita santap, selawat dan salam yang kita kumpulkan di album hidup ini tidaklah terlalu banyak, kita sebetulnya masih terlalu gersang dari rahmat-Nya, mudah-mudahan Ramadhan 1431 ini lebih menjanjikan. Insya-AlLah.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters