Ahmad Huzaifah Badiuzzaman di Shoubra,
Ahmad Abu Ubaidah Qurratul A’yun di Tonto,
Fathan Husna di Kaherah, Mesir.
Berlabuhnya Eidil Fitri di muara kalendar 1431 H, mengundang makna sebenarnya sudah 2 tahun putera abah dan umi beraya di perantauan, iaitu Mesir, bumi ambiya ASW. Semantara tahun pertama bagi puteri keempat kami. Biarpun boleh jadi sudah berliter-liter air mata tumpah disebabkan ketidakbersamaan menyambut datangnya hari lebaran, sebetulnya di mana kita memijak bumi ALLah SWT ini, kita tetap merayakan hari kurniaan-Nya, kita menumpahkan kata-kata puja dan puji yang diajar-Nya kepada kita. Kita membesarkan AlLah yang sama. Kita bersujud merapatkan dahi ke tanah untuk AlLah yang sama. Kita tetap mengadap kilat yang sama. Kita akan membuka lebaran al-Qur’an yang sama. Kita bernabi dengan para anbiya’ yang sama. Yang boleh jadi sedikit berbeza hanyalah jarak geografi. Yang boleh jadi sedikit berbeza hanyalah iklim dan kondisi. Yang boleh jadi sedikit berbeza hanyalah warna masyarakat yang menuturkan bahasa yang sebetulnya untuk menggambarkan bertapa hebatnya DIA bisa mengurnia pelbagai aneka bahasa kepada kita manusia, walaupun dari keturunan yang sama Adam AS tapi lidah kita dan warna kulit kitadijadikan-Nya berbeza. Al-HamdulLilLah. Yang boleh jadi sedikit berbeza hanyalah gugusan budaya yang ada yang kita dibiasakan dengannya sejak mula mencelik mata. Yang mana perlu disedari, diyakini, dan diingati kesemua warna perbezaan itu bukan penyebab kita menuju ke syurga atau neraka. Lalu tentunya tidak ada jawapan daripada penghuni neraka bila ditanya, apakah penyebab utama anda ke neraka, saya dimasukkan ke neraka kerana hidup di bumi yang beriklim khatulistiwa, saya masuk neraka kerana bercakap bahasa jepun, begitu juga jika ditanyai penghuni syurga nescaya kita tidak akan menjumpai jawapan, saya dimasukkan ke syurga kerana pernah hidup dan memijak bumi Mesir!
Anak-anakku,
Rata-rata masyarakat kita berasa mereka menyambut hari raya ini apabila membuat pelbagai jenama kuih-muih, membeli atau menempah pakaian baru, mengecat rumah dengan warna yang baharu, menukar langsir dengan corak atau fesyen yang baharu dan persiapan- persiapan lain yang berupaya fizikal. Jika mereka gagal menyiapkan apa yang tersebut di atas mereka akan berasa tahun ini mereka tidak beraya. Inilah antara rantaian kekarutan yang berakar dan bertunjang yang ada merata dalam masyarakat kita yang perlu diubah secara total. Menunjuk dan merubah cara mereka faham dan berfikir. Kesemua perubahan ini perlu datangnya daripada manusia yang mempunyai ilmu dan pengetahuan di samping memiliki sedikit kebijaksaan dalam komunikasi dengan masyarakat. Kepada siapakah hendak diletakkan harapan ini? Tentunya harapan ini perlu disandarkan kepada bahu anak-anak abah dan rakan-rakan yang lain yang sedang giat mengumpul dan menghimpun ilmu ini! Ya anakanda dan rakan-rakan yang lain tidak selamanya akan menghuni bumi Mesir itu, esok lusa akan kembali ke tanah air, berdepan dengan pelbagai karenah masyarakat yang saban masa, 24 jam sehari hari ini dibentuk oleh siaran tv sama ada percuma atau berbayar, akhbar-akhbar harian atau mingguan atau picisan, saluran internet yang terbuka setiap masa sama ada melalui blog atau laman sesawang tertentu, cetakan dan edaran pelbagai judul buku, majalah, komik, dan seumpamanya. Tambah memparahkan lagi suasana apabila sebahagian besar masyarakat sama ada yang berada di desa atau di bandar sudah lama membuang tanggungjawab mereka untuk sama-sama menjadi guru kepada apa yang berlaku di persekitaran. Masyarakat akan membutakan mata, memekakkan telinga sahaja apabila melihat gejala yang terjadi di depan mata. Masyarakat pura-pura meletakkan tanggungjawab mengajar kepada guru di sekolah. Hal ini jelas apabila anak-anak mereka melakukan kesalahan, mereka akan membela anak mereka habis-habisan, sehingga sanggup mengupah peguam untuk menyaman para guru. Inilah sebahagian realiti massyarakat yang bakal anakanda dan rakan-rakan dekati bila kembali ke tanah air nanti.
Anakanda sekalian
Memang untuk merubah generasi akan datang perlu bermula sekarang. Mulai sekarang anakanda dan rakan bolehlah berfikir dan merangka program untuk meletakkan masyarakat kita kembali di atas jalan yang diredhai-NYA. Pulang ke tanah air nanti, sasaran dakwah yang utama ialah kepada anak-anak yang masih belum mengenal dengan meluas warna dan erti flora dan fauna. Boleh jadi perlu di setiap kampung dibuka kelas-kelas pengajian untuk anak-anak ini dengan lebih giat. Kuliah-kuliah di masjid untuk orang dewasa yang kebanyakannya golongan RTM (Releks Tunggu Mati) ini mungkin perlu disedikitkan, manakala untuk anak-anak ini perlu perhatian lebih mendalam. Kerana generasi inilah yang perlu diberi pengisian yang sebenarnya mengikut acuan yang ada dalam al-Qur’an dan sunnah Nabi SAW. Sebenarnya anak-anak ini telah lama ditinggalkan sewaktu mereka masih putih, dan mereka terus dibiarkan tanpa ada perancangan untuk menarik mereka ke masjid bagi menjadi golongan pelapis kepada masjid. Sedangkan di luar sana, ada orang-orang tertentu yang giat menjalankan pelbagai program untuk mencari pelapis kepada anasir yang menyesatkan manusia dari jalan AlLah SWT. Program seperti akademi fantasia, mentor, bintang kecil dan banyak lagi program yang dirangka seumpamanya setakad ini tidak mampu untuk melahirkan manusia yang mampu menjadi Khalifah AlLah di bumi. Memang amat benar seperti Sabda Junjungan SAW; setiap anak yang dilahirkan berada dalam fitrah, kedua ibu bapanyalah yang menyahudikan, memajusikan atau menasronikannya. Lalu kita yang AlLah SWT pinjamkan sedikit dari kurniaan ilmunya ini, mahu mengherat anak-anak yang fitrah tadi ke mana? Tepuklah dada tanyalah iman. Di situ insya-AlLah bisa jelas jawapannya!
Selamat menyempurnakan puasa 6 hari pada bulan syawal.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment