Yang dimuliakan Pemudahcara Majlis
Tetamu-tetamu daripada Sektor Pendidikan Islam , JPN Kelantan
Al-Fadhil Ustaz Amran Mamat, Ketua Unit Pengurusan dan Pentadbiran, Unit Pengurusan Institusi Pendidikan Agama (PIPA)
Al-Fadhil Ustaz Shamsudin Ibrahim,
Penolong Pengarah, Pengurusan Pengembangan Syiar Islam,
Unit Operasi Dakwah
Al-Fadhil Qari Jemputan adik Izairi Iznan
As-Sahabul Fadhilah guru-guru al-Qur’an
Sof Kepimpinan PIBG SMKA Tok Bachok
Sof Pengetua Sekolah seluruh Daerah Bachok
Para Jiran lapangan SMKA Tok Bachok
Yang Berusaha ayahanda Pengetua SMKA Tok Bachok
Tn Hj Othman Yusoff, Kekanda-kekanda Penolong kanan
Tn Hj Muhammad Zakaria PKP
Tn Hj Makhtar Jusoh PK HEM
En Mazilan Mohd Zain PK KO
Guru-guru Kanan Bidang
Guru-guru Cemerlang
Rakan-rakan guru
Seterusnya anakanda putera & puteri SMKA Tok Bachok sekalian. QaalalLahu Taala fi muhkamin tanzilih; ba’da,
aauzubilLahi ssamii alim minal ssyaitoni rajiim
183. Wahai orang-orang ada iman! Telah diwajibkan berpuasa kepada kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang ada iman daripada kamu, mudah-mudahan kamu mampu mencapai darjat taqwa.
184. (Puasa yang diwajibkan itu ialah hanyalah beberapa hari yang boleh dibilang jari; maka sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa (ganti) pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
185. Pada bulan Ramadhanlah diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi kita dapat membezakan antara yang haq (benar) dengan yang batil (salah). Oleh sebab itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau bermusafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan AlLah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
186. Dan sekiranya hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.
187. Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) Dengan isteri-isteri kamu. isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), Iaitu waktu fajar. kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
Pada dini kesempatan ini, marilah sama-sama kita mengangkat & merapatkan selautan syukur kehadrat AlLah, sekurang-kurangnya kerana 4 sebab;
1- Kita terus dilahirkan sebagai penganut Islam tanpa sebarang permohonan
2- Kita masih disambung nikmat hidayah, taufik & iman
3- Kita masih dapat menyedut pinjaman nyawa tanpa penjamin ini
4- Kita tahu meletakkan diri & nyawa kita dalam majlis ceramah ilmu ini
Majlis ilmu kita pada petang ini, Insya-AlLah akan menyentuh 4 perkara yang amat sinonim dan signifikan dengan situasi dan kondisi yang sedang kita lewati kini lalu digarap majlis ini dengan nama Produk Ramadhan 1431bersamaan 2010 M: Antara, Hamparan Bentengan Puasa, Ulang Tahun Merdeka Negara, Peristiwa ٌNuzul al-Qur’an & Tersisipnya Perang Badar al-Kubra
Hadirin dan hadirat yang terhormat;
Kalau dipersiskan dengan pertandingan bola sepak piala dunia, kita sekarang sedang berada dalam suasana pertandingan akhir. Oleh sebab bulan Ramadhan dibahagi 3 mengikut sebuah hadis yang popular (awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah, akhirnya iqtan minal nar) Kita mulai pertarungan pada bulan Ramadhan ini dengan peringkat suku akhir rupanya dan peringkat separuh akhir pun telah kita lalui. Dan kini sedang bertarung dalam perlawanan akhir. Bila disebut pertandingan akhir, kita tidak boleh melepas sebarang peluang untuk menjaringkan gol, setiap minit dan saat perlu difikir strategi untuk mendapatkan gol. Gol yang perlu kita jaring untuk Ramadhan ini juga ada 4: berjenama rahmat, maghfirah, iqtan minal nar, & Lailatul Qadar. Kita tidak payah berlari terkejar ke sana ke mari pada malam yang sunyi sepi dan mengeluarkan titis peluh sampai ke tumit untuk mendapatkan Lailatul Qadar. Cukup untuk kita berada dalam rumah sendiri di bawah nyamannya putaran kipas atau selesanya semburan pendingin hawa, untuk mewarnakan dengan ceria dan sempurnanya malam-malam 10 yang terakhir Ramadhan ini dengan kepelbagaian menu dan resipi amal soleh. Sama ada yang bernama solat dengan kepelbagaian versinya; tahajud, taubat, hajat, tasbih, wuduk, istikharah, witir dll, atau membuka lembaran al-Qur’an untuk ditatap, dibaca, difaham, dihayati, dan diamali suruh dan dijauhi tegahnya, sama ada untuk merapat dan membanyakkan doa dan permohonan kepada AlLah, sama ada untuk beristigfar, sama ada untuk berzikir, bertahmid, bertasbih, bertakbir dll. Terlalu amat malanglah jika pada musim piala dunia selama sebulan kita mampu berjaga malam, tetapi tidak sanggup untuk berbuat perkara yang sama untuk urusan agama. Kerana berjaga untuk menonton perlawanan bola sepak piala dunia tidak ada suruhan daripada amalan beragama, sedangkan bangun untuk memperbanyak menu dan resipi ibadat merupakan antara pelawaan dari AlLah dan menjadi amalan manusia yang paling mulia pernah ada dan memijak maya iaitu nabi Muhammad SAW. Tidak hairanlah jika ibu Nabi Sulaiman AS pernah mengingatkan anaknya dengan kudus pesanan, wahai anakku jangan kamu tidur terlalu banyak pada waktu malam, kerana yang demikian akan menyebabkan penyesalan pada hari kemudian.
Jom dengan baki Ramadhan yang masih sudi menemani diri, kita hidupkan dan warnakan perjalanan malam-malam terakhir dari Ramadhan ini dengan sesuatu yang lebih menjanjikan, kerana keberadaan Lailatul Qadar menawarkan bonos melebihi gaji seribu bulan. Dalam dua lirik nasyid ada disebut;
Di kala malam sunyi sepi, Bani insan tenggelam dalam mimpi, Musafir yang malang ini pergi membasuh diri, Untuk mengadap-Mu oh Tuhan, Lemah lututku berdiri, Di hadapan-Mu tangisanku keharuan, Hamba yang lemah serta hina, Engkau terima jua mendekati, Bersimpuh di bawah duli kebesaran-Mu
Tuhan, hamba belum pasti, Bagaimana penerimaan-Mu, Di kala mendengar pengaduanku, Kuyakin Kau tak mungkiri, Dalam wahyu yang Kau-nuzulkan
Kau-berjanji menerima pengaduanku, Dan Kau-berjanji sudi mengampunkanku,
Dari segala dosa yang kulakukan
Ampunan-Mu Tuhan, Lebih besar dari kesalahan insan, Hamba yakin pada keampunan-Mu Tuhan, Bukan tidak redha dengan ujian, Cuma hendak mengadu pada-Mu, Tempat hamba kembali nanti di sana
Rabbul Alamin Awallul Kalam, Suci Wajah (Yayadan) sepanjang hayat, Singkap dingin (Yayadan) tabir malam (Yayadan), Sujud dan berdoalah mohon hidayah
Kita Khalifah punya amanah, Luhur batin (Yayadan) sempurna jiwa, Bukan mudah (Yayadan) rindu jannah (Yayadan), Jika janji diizin ketemu jua
Biar nadi seribu tahun, Esok pulang di dalam iman, Dosa hati ampun-Nya dipohon,
Di akhirat jua yang berkekalan
Carilah ketenangan dalam diri sendiri, Munajat di sepertiga malam, Temulah keagungan Tika alam berseri, Hakikat indah mengutus salam, Segala puji hanya pada-Mu, (Yayadan Yayadan) Syukur selalu
Teguhlah Iman di dalam diri, Suci hati (Yayadan) hidup berseri, Ketaqwaan (Yayadan) keredhaan (Yayadan), Sinar penyuluh jiwa dikegelapan
Kurniakanku kasih saying-Mu, Perjalanan penuh berliku, Dunia ini hanya persinggahan
Di Akhirat jua yang berkekalan
Para tamu & Putera-puteri Tok Bachok semua
Berbetulan semalam atau kelmarin 31 ogos 2010 ulang tahun kemerdekaan negara, sampai bersantai marilah kita hayati sebuah sajak mudah, berjudul: Setanlah Penjajah Sebenar
mungkin tak pernah singgah dalam benak kita, setanlah penjajah sehingga ke akhir usia, menjajah bukan fizikal kita, tapi menjajah akal & aqidah manusia, ajakan setan menuju celaka, ajakan setan kekal ke neraka, membodohkan semua yang bernama manusia, melupakan AlLah sebagai Rabbnya, agar tunduk menyembah sesama hamba
patung berhala kubur puaka dan sebayanya, atau jadikan belitan ideologi terus dipuja
setan terus meyakinkan manusia, patung berhala kubur puaka dan sebayanya
atau belitan ideologi perahan otak manusia, ada kuasa seperti AlLah jua,
ada hajat boleh mohon pada patung & berhala, ada hajat boleh mohon pada kubur & puaka, ada masa-masa dirasa ideologi dari dangkal akal manusia, lebih perkasa dari AlLah Yang Esa!
setan tak pernah meletak jawatan dari menipu manusia, setan tak pernah akan meletak jawatannya, seandai setan mati & hidup kembali, setan tak pernah akan meletak jawatannya diyakinkannya bila niaga tanpa riba, untungnya tak banyak mana, kalau jujur bila niaga, untungnya tak seberapa, kepada pentadbir diyakinnya, jika peraturan AlLah dilaksana, negara akan dipenuhi huru-hara, hara-huru hura-hara hara-huru hura-hara, banyak tangan manusia terpotong di sini sana, akan banyaklah kilang & kedai sup kaki & tangan manusia di mana-mana, kesihanlah manusia yang terpotong tangannya, nak kerja apa pula
lahap & seronoknya manusia yang terpedaya, menelan tipu daya setan semaunya, siang malam pagi petang menelan tipuan setan, tapi terfikir siapa kita di maya, tanpa pernah terfikir pada otak kita, maya ini ada pemiliknya, hidup di maya ini harus serasi, dengan kehendak penciptanya!, kerana kita hanya penumpang ini maya, kita bukan tuan punya ini maya.
Ajakan menghayati makna dan erti merdeka sebetulnya berpijak kepada 3 kasus utama sebagaimana yang pernah dituturi oleh Rub’i bin Amir: “AlLah yang mengutuskan kami, untuk mengajak sesiapa yang sudi memerdekakan diri daripada berabdi kepada sesama hamba kepada menjadi hamba hanya kepada AlLah, memerdekakan diri daripada berada di bawah kezaliman pelbagai sistem kepada keadilan Islam, memerdeka diri daripada hidup di dunia yang begitu sempit kepada hidup di akhirat yang keluasan akhirat”
Perjuangan membawa hamba AlLah memerdekakan aqidah telah dimulai oleh para Nabi dan Rasul AMS. Para anbiya’ ini yang diriwayatkan seramai 124 ribu dengan 313 orang di antaranya dinaikkan taraf sebagai Rasul, sementara daripada jumlah itu 5 orang pula dinobatkan sebagai Rasul Ulul Azmi. Tugas kesemua anbiya’ sama sahaja mengajak manusia agar menjadi hamba kepada AlLah dan menjauhi thoghut. Rasul didefinisikan sebagai seseorang yang menerima syariat sementara para Nabi pula meneruskan syariat yang diwahyukan kepada Rasul terdahulu. Misalnya Nabi Musa KalamulLah menerima syariat yang termaktub dalam Taurat, sementara nabi-nabi yang diutus selepas kewafatan Nabi Musa KM meneruskan syariat yang ada dalam Taurat. Definisi ini diharap dapat menyekat tafsiran dan definisi yang sesat yang menyatakan para Nabi menerima wahyu lepas itu, tak payah buat apa-apa, cuma tunggu dari sehari ke sehari kedatangan Izrael untuk dimatikan sahaja dan ganti pula oleh nabi yang lain yang juga terima wayhu dan menunggu saat kematian seperti nabi-nabi sebelumnya.
Hari ini kesemua para Nabi dan Rasul sudah diwafatkan AlLah, kecuali Nabi Isa RuhulLah. AlLah tidak membiarkan pemegang teraju kemedekaan ini sepi di bumi ini, oleh sebab setan and the gang tak pernah mau mati, sebab dulu setan pernah meminta dengan AlLah agar dipanjang usianya sebaya dengan umur dunia, dan AlLah tidak keberatan untuk meluluskan permintaan itu. AlLah yang serba Maha Tahu, AlLah Yang Maha Mengerti dulu, kini, dan selamanya, telah sudi dan mengizinkan, seperti yang terpahat Ulama’ Warasatul Anbiya.
Kini Ulama’lah pemegang amanah ini, untuk memerdekakan minda & akidah manusia daripada terus dibelenggu dan dijajah dengan janji-janji setan yang tidak pernah berpengkalan. Memang nabi dan rasul tidak boleh diprogramkan, kerana itu semua berlangsung dengan pilihan AlLah, tetapi ulama’ kita boleh rancang. Kita boleh bina institusi yang boleh dan mampu melahirkan ulama’. Kita boleh hantar zuriat kita ke tempat-tempat yang diyakini boleh menjadikan anak cucu kita sebagai ulama’. Saya cukup yakin dan yakin sekali, seandainya anda yang berada di depan saya pada petang ini memasuki akademi fantasia dan yang seiklim dengannya, sampai kiamat pun anda tak akan mampu untuk jadi ulama yang bakal menjadi pewaris anbiya’. Hanya institusi yang bergelar pondok, pasentren, sekolah agama atau yang sealiran dengannya sahajalah mampu mengeluarkan ulama’. Kita sebetulnya amat terhutang budi dengan ulama’. Ajaran para ulama’lah yang memberitahu ada desah dosa, ada hamparan pahala, ada musuh tradisi bernama setan dan the gang, ada kawan yang baik bernama malaikat, di sana di kubur sana ada nikmatnya jika hidup tak bermaksiat atau berpaksiat, kubur ada azabnya jika hidup ini dipenuhi tuntutan nafsu setan yang tak terkendali.
Hidup ini tidak berakhir di sini, bila nyawa bercerai dari badan bukan bermakna tamatlah riwayat diri. Kerana di kubur sana baru bermula kehidupan sebenar. Umur dan kehidupan semasa di dunia hanyalah latihan yang agak panjang untuk kita jalani sewaktu di kubur nanti. Kita akan dapat balasan hanya daripada apa yang sempat kita usaha dan kumpulkan. Oh ya, bumi Malaysia telah merdeka lebih 50 tahun atau setengah abad. Seharusnya sehingga hari ini sudah lebih 50 amalan agama yang melekat pada diri, kerana kita sudah merdeka daripada tipu daya dan hasutan setan. Dalam pada itu juga sudah lebih 50 amalan negatif sudah mampu kita kuburkan. Jika demikian barulah merdeka yang kita sambut saban tahun untuk memaknakan sesuatu yang lebih ceria. Kalau tidak sambutan merdeka pada tahun-tahun yang akan menjelma harus dikaji semula. Satu cadangan yang harus kita fikir dan amal bersama; jom mari kita lahirkan, mari kita bina, mari kita programkan, mari kita jadikan, mari kita aktif target masa depan: sebuah rumah seorang ulama’.
Hadirin hadirat yang soleh dan solehat
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Lailatul-Qadar,
2. Dan apa kamu mengetahui apakah (kemuliaan & kebesaran) Lailatul-Qadar itu?
3. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Turun para malaikat dan roh (Jibril) padanya dengan izin Rabb untuk mengatur segala urusan
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Al-Qur’an = Qalam AlLah, karya AlLah, garapan AlLah.
AlLah sengaja – memilih Ramadhan untuk menurunkan semua Kitab dan Suhuf-Nya (al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Tafsirnya dan Usman al-Khaibawi dalam kitabnya). Hal ini menunjukkan istimewanya Ramadhan di sisi-Nya. Bayangkan biarpun dalm setahun ada 12 bulan, AlLah tidak memilih nama bulan lain untuk disebut dalam al-Qur’an. Ramadhan juga disebut sebagai satu bulan yang memampukan kita meraih darjat dan anugerah berjenama atau sebuah Piala Keagungan bernama Taqwa. Piala ini kekal bakal jadi milik kita, bukan piala pusingan yang menjadi kegilaan manusia berebut pada hari ini, yang perlu diserahkan kembali untuk jadi rebutan pada tahun akan datang. Taqwa akan menjadi milik peribadi seseorang, bukan milik pasukan mana-mana, bukan milik negeri mana-mana, bukan milik kelab & persatuan mana-mana, bukan milik negara mana-mana, dan bukan milik kampung mana-mana atau milik kerajaan mana-mana. Tapi kemahamurahan dan mahaperkasaan AlLah menyediakan anugerah taqwa dan diberikan kepada sesiapa sahaja dalam kalangan hamba-Nya yang berusaha keras untuk mendapatkannya.
Al-Qur’an diturunkan sekaligus pada Lailatul Qadar dari sisi AlLah ke Baitul Izzah di langit dunia diiringi 70 000 para malaikat. Dari Baitul Izzah disampaikan ke dada RasullulLah SAW dari semasa ke semasa mengikut keperluan dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari @ 23 tahun. 13 tahun sewaktu Baginda SAW masih berada di Mekah dan 10 tahun setelah Baginda SAW berhijrah ke Madinah.
Ayat yang diturunkan di Mekah dinamakan Ayat Makiyyah yang menekankan konsep aqidah kepada ketuhanan & kemahaperkasan AlLah SWT, demi merasakan keberadaan AlLah dan meneguhkan hubungan yang dikenal dan terkenal sebagai Hablun minalLah
menjadikan langit & bumi serta semua isinya,
menjanjikan adanya hamparan pahala dan desah dosa,
menjelaskan kubur atau alam balasungkawa itu tempat transit pertama menuju untuk bertemu-Nya dan di sana sudah siap tersedia sama ada hamparan nikmat yang terus didatangkan dari syurga atau semasa di kubur kita bergelut dan bertarung 24 jam seharian dengan rantaian azab yang terus-menerus datangnya dari neraka.
Adanya alam yang dikenali sebagai mahsyar tempat perhimpunan raya bila mana semua yang pernah menerima subsidi nyawa akan dikumpul dan dihimpun bersama, ada agenda besar menanti kita kerana semua aksi yang sempat kita buat walau sesembunyi mana sekalipun akan ditanyai, seandainya apa yang kita terokai sewaktu nyawa masih menghuni jiwa mengikut dan betul dengan apa yang diprogramkan dalam al-Qur’an, kita akan dibayar gaji atau upah yang berjenama pahala. Seandainya apa yang kita terbuat sama ada sengaja atau dirancang semasa nyawa masih dikandung badan itu berlawanan dengan petunjuk yang ada dalam skima al-Qur’an, kita akan dikira penderhaka, pengganas AlLah SWT walau semasa di dunia kita dipandang dan dinilai mulia.
Adanya alam yang kekal selamanya yang dinamakan akan dia syurga dan neraka, tidak ada tempat yang ketiga atau keempatnya. Syurga disediakan untuk semua hamba-Nya yang sanggup semasa di dunia ini meletakkan hidupnya di bawah bayangan al-Qur’an untuk segala tindak dan tanduknya. Sementara neraka pula disedia secara kekal pula kepada sesiapa yang meragui kemahaperkasaan Allah, yang merasakan dia juga sehebat AlLah seperti Fir’aun misalnya.
Bayangkan selama 13 tahun Baginda Rasul SAW mentarbiyyah mereka dengan kurikulum dan sukatan pelajaran yang sedemikian. Lalu lahirlah manusia hebat dalam almari sejarah Bilal bin Rabah umpamanya walaupun diletak batu di atas perut dijemur di bawah panahan terik panas matahari, membelakangkan padang pasir yang menggelegak panasnya, tetap mengukir senyum melantunkan kalimah Ahad, Ahad, Ahad, ucapan yang sama juga dapat kita dengar pada hari minggu di negeri-negeri pantai barat apabila dikejutkan untuk solat Subuh, mereka juga akan menjawab dengan penuh biadap ahad, ahad, ahad.
Ayat yang diturunkan selama 10 tahun di Madinah dikenali sebagai ayat Madaniyyah yang mencakup dan untuk mencukup untuk konsep Hablun Minnas- untuk merapatkan dan memesrakan interaksi dengan sesama manusia sewaktu melastari hidup di dunia, sama ada dengan manusia yang sudi menyatakan imannya kepada AlLah, sama ada interaksi dengan manusia yang menolak kemahaperkasaan Allah, atau untuk berinteraksi dengan sejumlah manusia yang berpura-pura menyatakan iman dengan hujung lidahnya sementara hatinya tersimpan segala dan semua zulumat paganisme. Segala tataperaturan untuk hidup damai antara manusia diajari dalam ayat-ayat Madaniyyah. Bagaimana untuk mencari & memilih pasangan hidup, bagaimana untuk melepaskan ikatan perkahwinan bila sudah tidak ada persefahaman, bagaimana untuk melayani anak-anak yang masih bayi, bagaimana cara untuk bertamu ke rumah teman atau taulan, bagaimana untuk berjual beli, bagaimana untuk sewa-menyewa, bagaimana untuk bersedekah, makanan dan minuman apa yang patut disuap masuk ke dalam perut, bagaimana untuk berpakaian, bagaimana dan apakah peraturan yang dapat mencegah manusia daripada yang berbuat perkara yang negatif, bagaimana untuk bersahabat, bagaimana tatacara untuk bermusuh, bumi mana yang harus kita melancong, siapa yang boleh kita jadikan ikon, siapa kita siapa kawan kita siapa musuh kita, semuanya ada siapa siaga tercetak sejak lama dulu dalam al-Qur’an. Siapa kita dalam al-Qur’an sebut Wamaa khalakna jinni wal innsani illa liyakbudu= tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk berabdi kepada-Ku. Kita hanyalah hamba menumpang di sudut dunia, ku dengan caraku yang sederhana, kita sama sahaja bezanya cuma amalan kita.
Siapa kawan kita; disebut dalam al-Hujrat; Innama mukminuma ikhwatun
Siapa musuh kita; diperjelas Yaa bani Adam laa takbudu syaiton innahu lakum adduwum mubinn, wahai anak cucu Adam janganlah kamu berabdi kepada setan & the gang, sesungguhnya setan bagi kamu musuh yang nyata (turun-menurun/tradisi)
Dalam al-Qur’an menyebut secara jelas dan tuntas, menyebut; manusia diciptakan daripada tanah, jinn, setan & yang seperangai dengannya dicipta daripada api, sementara malaikat Jibril AS dan rakannya dicipta daripada nur/cahaya. Ada sesuatu signifikannya lewat penciptaan dan apabila berlaku interaksi ini. apabila manusia bergelumang/bergaul mesra dengan setan maka terjadilah percampuran antara tanah dan api menatijahkan sesuatu keadaan yang kering, keras, begitulah apabila manusia dibentur dan diram dan diperam dengan kaedah setan, maka akan terbentuklah manusia yang keras seperti bata. Sebaliknya jika tanah ini diperam dengan cahaya dengan erti bergaul dengan para Malaikat, maka akan kekallah kelembutan sama ada pada wajah atau jiwa perangainya.
Macam-macam ada dalam al-Qur’an. Walaupun ditulis dalam bahasa Arab tapi makanan asas kita ada dalam a;-Qur’an;(Qul Aauzubirraninnasi) nasi, kalau kita berada dalam gelap kita perlukan cahaya, salah satu sumber cahaya disebut (al-Fil- fi todhlilin) lilin, bila makan, ada kalangan kita yang sukakan rasa pedas, sumber pedas ini ada terdaapat dalam al-Qur’an (al-Ikhlas: wam yuulada) lada, budak, manis, bir, dadah, fenomena handfone juga disebut dengan jelas dalam Kitab AlLah ini.
Al-Qur’an ini AlLah programkan untuk dibaca, difahami, dihayati, dan diamalkan oleh manusia sewaktu manusia itu masih bernyawa, bukan sudah mati atau ditelan bumi. Dalam al-Baqaroh 185 termuat firman; Bulan Ramadan padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
Al-Qur’an akan jadi pedoman, petunjuk, dan pembeza hanya setelah diamalkan segala suruh dan tegah yang ada dalamnya. Bukan dibacakan setelah seseorang itu mati. Kesihan yang amatlah jika semasa hidup seseorang itu tak pernah baca, faham, dan amal isi kandungan al-Qur’an, tetapi dibaca dikuburnya setelah dia mati, sebab dia tak dapat buat apa-apa. Seandai ada sesiapa yang semasa hidupnya tidak pernah membaca al-Qur’an, tetapi hanya membaca akhbar sahaja, membaca majalah sahaja, membaca tesis sahaja, disyorkan sewaktu matinya, kita bacakan akhbar, atau majalah, atau novel, atau tesis sahaja di kuburnya. Baru real kan?
Para tetamu rakan-rakan & anak-anak pelajar sekelian
Ramadhan juga telah merakam kerana berlaku dalamnya salah satu siri perjuangan menegakkan Islam, peristiwa besar, peristiwa yang menetukan hidup atau matinya kalimah AlLah di muka dunia ini, iaitu Perang Badar al-Kubra. Menghadapi seluruh kekuatan ketenteraan Quraisy di medan Badar tidak pernah dihajati atau diimpikan oleh orang Islam di bawah pimpinan Baginda Nabi Akhir Zaman SAW. Sirah menukilkan pada tahun 2 Hijrah, umat Islam mulai difardhukan dengan suruhan berpuasa. Pada tahun 2 Hijrah ini jugalah umat Islam terperangkap di medan Badar, kerana mereka keluar ke Badar bukan untuk berperang tetapi untuk menyekat kafilah pimpinan 2 bersaudara iaitu Abu Sufyan dan Sakhru bin Harb yang dalam perjalanan pulang dari Syam dengan membawa banyak keperluan dan barangan untuk orang Quraisy. Abu Sufyan membawa bersamanya 40 pengikut untuk mengiringi 1000 unta yang membawa harta orang Quraisy untuk dibawa ke Mekah. Usaha ini diperbuat untuk melumpuhkan sedikit kekuatan material kaum Quraisy, kerana sewaktu umat Islam di Mekah mahu berhijrah kaum Quraisy tidak membenarkan mereka membawa sebarang perbekalan ke Madinah, dengan erti kata lain orang Quraisy telah merampas kesemua harta milik orang Islam. Orang Islam pada masa itu diberi pilih sama ada memilih untuk meninggalkan harta bendanya dan berhijrah bersama RasulLulLah SAW ataupun kekal di Mekah bersama kekayaan yang diwarisi dan dimiliki sejak sekian lama. Pelik sungguh manifestasi iman orang Islam semasa itu sebab tidak ada seorang pun yang memilih untuk menjaga harta kekayaan mereka tetapi memilih batang tubuh seorang manusia yang memperjuangkan iman bernama Muhammad bin AbdulLah yang mereka semua nobatkan sebagai al-Amin sejak kecil.
Baginda SAW bergerak ke Badar bersama 313 sahabat yang sedang berpuasa, sama dengan jumlah tentera Thalut sewaktu berdepan dengan mustakbirin Jalut, dengan perbekalan yang amat sederhana. Seekor unta yang ditunggang dikongsi 3 orang. Bermakna semasa seorang sedang menunggang unta 3 yang lain terpaksa berjalan. Baginda Rasul SAW juga menaiki unta berkongsi dengan Saidina Ali KW, Abu Lubabah, dan al-Miqdad bin Aswad.
Perancangan manusia selama-lamanya tidak dapat mengatasi kehendak Allah. Begitu juga episod Baginda SAW yang berniat untuk menyekat kafilah tetapi AlLah berkehendakkan orang Islam berdepan dengan barisan tentera Quraisy yang berjumlah 1000 orang yang lengkap dengan pakaian perang dan diiringi dengan nyanyian patriotik nyanyian dan dendangan daripada suara lunak merdu para artis yang popular di Mekah semasa itu. Lirik lagunya direka khas untuk menghina dan mencela Islam. Tujuan dan hasrat Baginda SAW untuk menyekat kafilah dapat dihidu oleh pengintip Abu Sufyan yang bernama Abu Damdam yang berada atas gunung Abu Qubais lalu diambilnya jalan lain untuk ke Mekah.
Akhirnya meletuslah perang Badar dimulakan dengan tempur solo Hamzah bin Abdul Muttalib mewakili tentera Islam menentang al-Aswad al-Makhzumi yang berperang bagi pihak kuffar Quraisy, diikuti dengan saingan 3 lawan 3
Hamzah Abdul Muttalib, Ali Abi Talib, dan Ubaidah bin Haris mewakili kem Islam melawan Atabah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, dan al-Walid bin Atabah. Ketiga-tiga komander Quraisy menemui ajal di pedang 3 tentera Islam dan seterusnya menyaksikan kemenangan kepada kaum muslimin apabila berjaya membunuh 70 kaum kuffar Quraisy dan menawan 70 lagi sebagi tebusan. Sementara di pihak Islam 14 orang mendapat anugerah paling mulia untuk sebuah kematian, apabila mereka diambil nyawanya dengan cara syahid pada jalannya.
Salah faham berhubung Ramadhan
1- Perlu disambut dengan mercun atau bunga api. Kalau dilihat sejarah hanya manusia yang menganut paganisme sahaja yang menyambut perayaan dengan bunyi-bunyian seperti mercun ini. Tanyalah kepada oarng mengetahui apa-apa yang belum kita faham. Jangan berbuat sesuatu kerana terikut-ikut, kerana kita ada pegangan dan panduan kita sendiri. Hanya Nabi Muhammad SAW sahaja yang boleh kita ikut tanpa soal jawab, kerana apa yang dilaku Nabi SAW merupakan wahyu IlLahi. Adapun apa yang dibuat orang lain perlu diselidiki, ditanya, dan fahami, melalui soal jawab yang mantap, barulah boleh diikuti.
2- Terawih dirasa lebih besar pahala daripada solat Rawatip atau solat Subuh. Terdapat di sebahagian besar masjid, surau, balaisah, musalla yang terus melakukan solat Terawih sebaik sahaja selesai solat Isya’ dengan meninggalkan solat sunat selepas Isya’. Begitu juga banyak tempat bersujud kepada AlLah itu, semasa bersolat Terawih penuh dengan jemaah yang datang berqiam Terawih, tetapi apabila solat Subuh hanya tinggal satu sof sahaja. Ke mana mereka ini pergi ya, sedangkan solat Subuh tu fardhu sementara solat Terawih tu sunah aje.
3- Pergi atau hidupkan masjid hanya pada bulan Ramadhan. Saya melihat ada sesetengah masjid kecil ini yang hanya didatangi semasa Ramadhan untuk berterawih sahaja. Bermakna masjid atau balaisah itu hanya digunakan 30 malam sahaja dalam setahun. Ada khalayak merasakan jika tidak berterawih berdosa tetapi tidak pula berdosa meninggalkan solat berjemaah yang lain.
4- Makan dengan banyaknya waktu berbuka kerana seharian berlapar. Banyak benar kedapatan pembaziran sewaktu berbuka, sama ada berbuka di rumah atau menghadiri ke majlis berbuka puasa anjuran pihak tertentu, atau berbuka secara berbayar di hotel-hotel. Sedangkan fungsi puasa untuk menahan diri, menahan nafsu, menahan yang negatif-negatif dalam hidup. Nampaknya latihan seharian tewas di hujung selera. Itulah yang menyebabkan kos hidup dan belanja pada bulan Ramadhan melonjak tinggi. Pelik kan sepatutnya Ramadhan bulan yang melatih kita berjimat dan menjanjikan penjimatan.
5- Bertungkus lumus membaca al-Qur’an hanya bulan Ramadhan. Rata-rata kita pada bulan Ramadhan akan cuba untuk khatamkan bacaan al-Qur’an pada bulan Ramadhan. Itu sesuatu yang boleh dibanggakan. Tapi apabila masuk aje bulan Syawal, bacaan tersebut pun ditinggalkan, dan menunggu datangnya Ramadhan tahun depan untuk berbuat demikian. Sepatutnya pada buan Ramadhan kita jadikan latihan, seterusnya pada bulan Syawal lekat latihan tersebut. Misanya pada bulan Ramadhan kita mampu baca sejuzuk sehari, kita teruskan pada hari-hari yang lain, dan apabila masuk Ramadhan tahun hadapan kita tingkatkan jadi 2 juzuk sehari pula. Kemudian diikuti pada bulan berikutnya dengan 2 juzuk tersebut. Datang Ramadhan tahun berikut kita tingkatkan akepada 3 juzuk sehari, barulah hidup ini ada kemajuannya dari segi amalan beragama.
6- Bersedekah hanya pada bulan Ramadhan. Fenomena bersedekah juga sama dengan feel membaca al-Qur’an. Bulan Ramadhan banyak pihak berebut-rebut mencari anak yatim untuk disedekahi, seolah-olah tak cukup anak yatim untuk dihuluri sedekah. Tapi bila masuk bulan-bulan yang lain, anak-anak yatim kembali seperti biasa. Soalnya cukupkah amal yang dikira baik sebulan tu menutup amalan yang 11 bulan.
Setiap amal yang dikerjai itu biarlah beristiqomah biarpun sedikit. Kerana amal yang dilakukan secara bermusim dikuatiri dilakukan kerana adap dan kebiasaan bukan kerana perintah agama.
Sekian wassalam. Terima kasih atas segala perhatian, mohon maaf atas segala kelemahan.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment