About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, September 8, 2010

isi kutbah raya 1431

Kutbah Idil Fitri 1431
Lokasi; Masjid Pohon Tal, Kubang Mas, Tumpat, Kelantan

Hari ini 1 Syawal 1431 Hijrah. Hari ini merupakan hari besar, hari raya, Idil Fitri. Kita berhari raya pada hari ini bukan disuruh oleh sesiapa, raya pada hari ini tidak dianjurkan oleh oleh badan mana-mana, kita beraya pada hari ini, bukan ditaja oleh kerajaan mana-mana, tetapi kita beraya pada hari ini, kerana diminta dan disuruh oleh AlLah SWT , Pencipta, Pentadbir, Penyempurna, Penguasa alam maya ini. AlLah SWT yang tidak ada tuhan lain, tidak ada kerajaan yang lain yang mampu dan boleh menandingi-Nya, dulu kini dan selamanya. AlLah SWT sahajalah yang boleh menghidupkan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya pada bila-bila masa yang disukai-Nya dan DIA juga boleh mematikan sesiapa yang disukai-Nya, pada bila-bila masa yang DIA mahu dengan cara-Nya, walaupun bercanggah dengan kehendak dan kemahuan semua manusia. Oleh sebab raya kita pada hari ini merupakan perintah AlLah SWT, maka atur cara dan susunan perjalanan raya ini semuanya sudah ditentukan-Nya. Dengan makna apa yang kita perlu buat, apa yang perlu kita kata, ke mana yang kita harus pergi, makanan apa yang harus kita makan, semuanya sudah AlLah SWT tentukan sama ada melalui firman atau melalui apa yang disebut sunnah Rasul-Nya. Oleh sebab itu, seandainya apa yang kita buat pada hari ini kena dan sesuai dengan ketetapan yang diprogramkan-Nya, kita akan diberi pahala dan sekiranya kita buat ikut suka nafsu dan hati kita tanpa melihat kepada atur cara yang sudah ditentukan AlLah SWT kita akan diberi dosa.

185. Hendaklah kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan bertakbir (mengagungkan Allah) atas hidayah-Nya yang diberikan kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.

Muslimin muslimat sidang raya yang berbahagia,

Kita berpuasa kerana disuruh oleh AlLah SWT, kita berhari raya kerana disuruh AlLah SWT juga maka kita akan mendapat pahala. Sekiranya kita berpuasa ikut cara kita, sekiranya jika berhari raya ikut cara kita, AlLah SWT tidak pelahap untuk memberikan pahala-Nya. Bagaimana puasa yang disuruh ALLah SWT itu? Puasa yang dikehendaki AlLah SWT bukan hanya tidak makan, bukan hanya tidak minum, dan bukan hanya tidak melakukan aktiviti bersuami isteri pada siang hari, tetapi jauh lebih daripada itu. Puasa itu perisai atau kubu sebetulnya. AlLah SWT mahukan puasa yang kita jalani mampu menjadi kubu atau perisai iman kita daripada godaan dan pujukan iblis yang tidak berkesudahan. AlLah SWT mahu supaya puasa kita mampu menjadi kubu atau perisai daripada keinginan makan atau minum yang berlebihan dengan makna makan atau minum yang melebihi keperluan badan, AlLah SWT mahu supaya puasa kita mampu menjadi kubu atau perisai kepada mata kita daripada melihat kepada sesuatu yang mengghairahkan nafsu syahwat, AlLah SWT mahu supaya puasa kita mampu menjadi kubu atau perisai kepada telinga kita daripada mendengar sesuatu yang ada unsur-unsur dosa, AlLah SWT mahu supaya puasa kita mampu menjadi kubu atau perisai kepada kaki kita daripada bergerak menuju tempat-tempat yang membiakkan maksiat atau paksiat, AlLah SWT mahu supaya puasa kita mampu menjadi kubu atau perisai kepada tangan kita daripada menyentuh sesuatu yang boleh menyebabkan mala petaka, AlLah SWT mahu supaya puasa kita mampu menjadi kubu atau perisai kepada hati kita daripada berburuk sangka kepada-Nya. Sementara raya yang kita sedang jalani sekarang merupakan hari untuk kita membesarkan AlLah SWT bermula sebaik sahaja matahari terakhir Ramadhan mula menjauh dari pelabuhan diri dan sinar bulan Syawal mula memancar di muara.
Sepatutnya tidak ada bunyi mercun dan percikan bunga api pada malam atau hari raya, kerana AlLah SWT tidak pernah menetap dan mewajibkan adanya bunyi mercun dan percikan bunga api pada hari raya ini. Kalau kita berasa bermain mercun dan percikan bunga api itu sebagai sebahagian daripada perkara agama, bermakna tidak telah memasukkan perkara baru dalam agama kita, perkara yang tidak pernah disuruh dan perkara ini dikenal dalam agama sebagai bid’ah, sementara setiap yang diada-adakan itu dalam agama merupakan kesesatan, sementara kesesatan ini mengundang pelakunya ke neraka. Sekiranya kita bermain mercun dan percikan bunga api kerana saja-saja nak bersuka ria, kita telah melakukan pembaziran yang nyata dan ketahuilah pembaziran ini perkara yang terlarang dalam agama kita sementara AlLah SWT dengan tegas menggolongkan sesiapa yang suka membazir ini sebagai sebagai saudara-mara syaiton sebagaimana firman-Nya; Inna mubazziriin kana ikhwanul syayaatin. AlLah SWT meminta kita bersuka-ria pada hari ini, kesungguhan AlLah SWT itu dapat kita ketahui apabila DIA mengharamkan kita berpuasa pada hari ini.

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

Muslimin muslimat yang terhormat, hari ini kita beraya Idil Fitri atau Hari Raya Fitrah. Idil Fitri mengundang makna kembali kepada fitrah diri. Apakah yang dapat kita faham tentang fitrah diri itu? Fitrah yang bagaimanakah yang dikehendaki di sini? Hal ini dapat kita petik dan faham daripada Sabda Junjungan Akhir Zaman SAW; Setiap bayi yang dilahirkan lahir bersama fitrah(dalam keadaan fitrah), kedua ibu bapanyalah yang akan mendidiknya untuk membesar sama ada menjadi yahudi, nasroni, atau majusi. Sebelum kita menjamah situasi hari raya, kita diminta berpuasa selama sebulan. Puasa kita yang sebulan serta qiam kita yang juga berusia selama sebulan itu sebetulnya memampukan kita kembali kepada fitrah. Hal ini dapat kita sandarkan kepada sabda Yang Mulia Nabi Kita Muhammad SAW ; sesiapa yang berpuasa kerana iman dan berkira-kira mengharapkan redha-Nya akan diampunkan semua dosanya yang telah lalu; sesiapa yang berqiam malam kerana iman dan berkira-kira mengharapkan redha-Nya akan diampunkan semua dosanya yang telah lalu. Di samping lain juga terdapat ancaman yang dituturkan oleh lisan yang sama dari Baginda Rasul SAW melalui satu sabdanya yang mencetak makna; celakalah kepada sesiapa yang berada pada bulan Ramadhan sehingga berakhir Ramadhan tetapi dosanya tidak diampun oleh AlLah. Demikianlah kehebatan kudrat dan iradat Ramadhan yang AlLah SWT izinkan kepadanya, sekarang cuba kita bertanya iman kita, di manakah kita selepas sebulan kunjungan Ramadhan ini? adakah semua belitan dosa kita telah terungkai dan hancur lebur dipanaskan iklim Ramadhan? Atau kita hanya seperti biasa-biasa sahaja, seperti kata orang tua-tua, masuk angin keluar asap! Kalau kita biasa-biasa sahaja, bermakna rugilah kita, kerana unjuran usia kita semakin bertambah, sementara jumlah amal soleh kita masih lekat dan melekat pada tahap lama.


AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar
Walaupun hari raya merupakan hari untuk kita bersuka ria, hari untuk kita bergembira, tetapi kita tetap diingatkan AlLah SWT bahawa kita ada musuh yang sentiasa menunggu peluang. Dalam takbir raya kita dingatkan dengan musuh yang bergelar ‘ahzab’, ahzab bermakna gabungan kumpulan, gabungan persatuan, atau gabungan parti. Ahzab yang kita sebut merupakan gabungan bukan di peringkat nasional, tetapi gabungan musuh di peringkat antarabangsa. Musuh-musuh Islam bersatu membentuk satu barisan, bukan hanya barisan di peringkat kebangsaan, tapi barisan internasional. Musuh yang dihadapi umat Islam pada Perang Ahzab terdiri daripada musuh dalam negara yang terdiri daripada suku kaum Yahudi yang menghuni Madinah pada masa itu yang terdiri daripda Bani Nadir, Yahudi Bani Quraizoh, dan Yahudi Qainuqo’ malah musuh dari luar tanah air yang terdiri daripada sebuah kerajaan, Kerajaan Kuffar Quraisy dengan kekuatan bala tentera yang tidak terhingga di bawah kepimpinan Abu Jahal, Abu Lahab, dan juga Abu Sufian. Dalam pada itu juga Baginda Rasul SAW turut menghadapi musuh dari dalam selimut yang merupakan duri dalam daging, mereka terdiri daripda manusia yang menampakkan iman pada permukaan muka manusia tetapi tetap kufur dalam hatinya, golongan ini cukup terkenal dalam sirah dipimpin oleh AbdulLah bin Ubaiy bin Salul. AlLah SWT sebagai tuan punya Islam ini tidak akan membiarkan agama-Nya disendatemehkan, AlLah SWT tidak akan membiarkan cahaya agama-Nya lenyap dari muka bumi yang bertuah ini. Saban masa saban waktu, AlLah SWT boleh memerintah dan menurunkan tentera-tentera-Nya untuk menjaga kelestarian agama ini, apabila kudrat dan tenaga manusia sudah tidak berdaya menghadapi cubaan yang melanda. Surah al-Fil menjadi saksi bagaimana AlLah SWT menyuruh makhluknya yang terlalu kecil berupa sekawan burung yang dipanggil Ababil untuk memporakperandakan tentera Abrahah yang angkuh itu, setelah tiada kekuatan di bumi ini yang mampu menahan serangan tentera bergajah. Allah SWT yang sama juga memerintahkan kepada angin yang selama ini cukup lembut dan dikenal lemah untuk bertindak agrasif sebagai tentera mengkucar-kacirkan kekuatan dan keangkuhan tentera Ahzab. AlLah SWT yang menurunkan burung Ababil itu, dengan AlLah SWT yang mengarahkan angin pada Perang Ahzab merupakan AlLah SWT yang sama dengan AlLah SWT yang kita sembah pada hari ini. Kuasa kudrat dan iradat-Mya tidak pernah berkurangan walaupun sedikit. Kerana AlLah SWT itu bukan sahaja tidak mati, malah mengantuk pun tidak pernah. Dia hayyun laa yamut.


AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar
Puasa sebagai lambang kemerdekaan hakiki. Puasa yang kita jalaninya selama sebuah mampu mengangkat darjat kita menggapai anugerah taqwa. Taqwalah merupakan kemerdekaan hakiki diri. Dengan berpuasa kita telah meletakkan haq AlLah mengatasi segala-galanya. Makan minum walaupun merupakan antara perkara asasi pada siang hari tetapi puasa menghendaki kita agar menahannya, dengan lonjakan rasa taqwa kita sedia untuk tidak makan minum pada siang hari bukan untuk sejam dua malah berbelas-belas jam, bukan sahaja tidak makan di hadapan manusia, ayah atau bonda atau tetangga, malah sewaktu keseoranganpun kita tetap setia dengan tegahan Yang Maha Esa. Kita menjadi hamba AlLah SWT yang hakiki. Bukan sekadar tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa, lebih daripada itu, kita berusaha untuk menghindari dan menjauhi perkara-perkara yang boleh menyebabkan hilangnya pahala puasa, kita seboleh-bolehnya tidak mahu puasa kita hanya layak meraih anugerah lapar dan dahaga sahaja dari sisi AlLah SWT. Dengan berpuasa sebetulnya kita dilatih saban saat dan detik agar meletakkan perintah AlLah mengatasi kemahuan kita. Setelah kita berjaya meletakkan perintah AlLah SWT di atas segala-gala, maka dari satu sisi kita telah menuju ke daerah taqwa. Kerana antara definisi taqwa itu sebagaimana yang dijelaskan oleh AbdulLah bin Mas’ud RA; perintah ALLah SWT itu sama ada yang berupa suruhan atau berwajah larangan hendaklah didengari jangan diingkari, perintah ALLah SWT itu sama ada yang berupa suruhan atau berwajah larangan hendaklah ditaati janganlah dimaksiati, perintah ALLah SWT itu sama ada yang berupa suruhan atau berwajah larangan henaklah disyukuri jangan dikufuri. Justeru peri penting atau mahapentingnya taqwa dalam kehidupan ini, AlLah SWT telah menggariskan dan menetapkan taqwa wajib disebut setiap minggu menjadi salah satu rukun ktutbah Jumaat. Secara mudah yang dapat kita tangkap, perkara yang paling penting dalam hidup ini ialah taqwa. Tidaklah menjadi dosa yang tidak terampun jika kita menyimpulkan bahawa puasa merupakan lebuh raya menuju taqwa.

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar
Merdeka dalam pandangan Islam. Kita boleh jadi berasa satu kebetulan pusingan hari di kalendar pada tahun ini yang mana bulan Ramadhan juga adanya hari ulang tahun kemerdekaan bagi negara kita yang ke-53 dengan tema yang kita sedia ketahui bersama. Pada sisi AlLah SWT perkara ini bukan terjadi secara kebetulan tetapi merupakan perancangan yang rapi untuk memberikan kita pengertian dan pedoman. Definisi merdeka pada padangan Islam memerdekankan aqidah daripada menganut fahaman yang boleh membawa ke neraka. Semua fahaman yang membawa ke neraka ini diideakan dan dipimpin oleh setan and the gang. Penjajah yang sebenarnya ialah setan bukan inggeris, bukan belanda, bukan pertugis, bukan perancis, bukan sepanyol tetapi setan yang ada dalam kepala mereka ini sehingga sanggup berbuat sesuatu yang melanggar perintah AlLah SWT. Mereka semua itu hanyalah alat atau wahana setan sahaja untuk menjayakan cita-citanya. Yang perlu dilawan bukan manusia-manusia itu tetapi sifat syaiton dan iblis yang ada dalam dada mereka. Sifat mereka yang cuba menjadi Tuhan itulah yang mesti dilawan. Sifat mereka yang sesuka hati mentadbir bumi ini dengan cara dan undang-undang atau peraturan sendiri, yang membelakangkan ALLah SWT seolah-olah tidak ada AlLah SWT itulah yang ditentang. Sebab itulah timbul pejuang-pejuang jihad dari dalam tanah air ini menentang penjajah, yang cuba menerapkan ideologi setan di bumi. Sebetulnya hanya ulama’ yang memulakan penentangan terhadap penjajah di bumi ini, kerana mereka faham, manusia dilahirkan mereka dengan bebas berabdi hanya kepada AlLah SWT dalam semua aspek kehidupan. Apabila hendak menyembah, mestilah menyembah AlLah, apabila hendak meminta mestilah meminta hanya kepada AlLah SWT, apabila hendak berhukum mesti berhukum dengan hukum AlLah SWT, apabila hendak berperang mesti berperang dengan peraturan yang digariskan oleh AlLah SWT, apabila hendak berkawan mestilah berkawan mengikut ketentuan AlLah SWT. Sejumlah nama seperti Tok Janggut (Hasan bin Munas), Dato’ Bahaman (Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh), Tok Ku Paloh, Tok Ku Pulau Manis, Tok Kenali, Mat Kilau antara ulama’ yang memulakan perjuangan menghalau penjajah dari bumi bertuah, Ajakan menghayati makna dan erti merdeka sebetulnya berpijak kepada 3 kasus utama sebagaimana yang pernah dituturi oleh Rub’i bin Amir: “AlLah yang mengutuskan kami, untuk mengajak sesiapa yang sudi memerdekakan diri daripada berabdi kepada sesama hamba kepada menjadi hamba hanya kepada AlLah, memerdekakan diri daripada berada di bawah kezaliman pelbagai sistem kepada keadilan Islam, memerdeka diri daripada hidup di dunia yang begitu sempit kepada hidup di akhirat yang keluasan akhirat”
Jadi dapat kita ambil kesimpulan bahawa kemerdekaan yang hakiki itu hanya terjadi setelah; 1)kita benar-benar bersedia menjadi hamba AlLah SWT sahaja
2) kita berjaya dan bersedia keluar daripada kepompong kezaliman sistem ciptaan manusia dan megambil Islam sebagai teras keadilan
3) kita telah, sedang, dan akan terus membanyakkan bekal untuk kehidupan yang kekal abadi selamanya iaitu kehidupan di sebuah alam bernama akhirat


AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar
Teras Islam menuntut ilmu. Lalu ayat pertama diturunkan merupakan ayat yang mewajibkan menuntut ilmu dan antara jalan untuk mendapat ilmu ialah melalui pembacaan. AlLah SWT secara tersirat tidak mahu hamba-Nya terus-menerus berada dalam kebodohan, sama ada kebodohan di dunia, lebih-lebih lagi kebodohan untuk menepatkan posisi diri di akhirat. Di dunia ini kita telah diprogramkan untuk menjadi khalifah, bagaimana mungkin untuk menjadi khalifah jika kita dibelenggu kebodohan? Khalifah dengan maksud sebagai pentadbir hidup dan kehidupan. Sayangnya banyak dari kalangan umat Islam hari ini yang tidak menyedari bahawasanya dia telah diprogamkan oleh Yang Maha Kuasa AlLah SWT untuk menjadi khalifah-Nya di bumi. Tugas kita di bumi sebagai pengganti AlLah SWT dalam menegakkan segala titah perintah agama dan mentadbir kehidupan dengan kehendak agama-Nya iaitu Islam. Islam merupakan rantaian dan rangkaian rahmat-Nya di bumi yang diperlukan oleh semua kehidupan. Langit bumi laut gunung-ganang bukit-bukau haiwan tumbuhan batu-batuan semuanya amat memerlukan Islam. Lalu untuk memartabatkan Islam secara bijaksana memerlukan ilmu, dan ilmu itulah yang dituntut kita mencarinya dalam awal-awal wahyu yang diturunkan. Lalu apakah bahan yang patut kita baca untuk menjadikan kita umat yang berilmu sekaligus berjaya membebaskan diri daripada penjajah kebodohan? Bagaimana piramid bacaan yang patut kita ikut? 1- Bahan bacaan yang paling banyak kita kena baca dan faham dalam sehari ialah al-Qur’an, kerana kita perlu jadikan al-Qur’an sebagai panduan untuk memantau segala tindakan dan tingkah aksi kita. Untuk ini seharusnya dalam setiap isi rumah umat Islam perlu ada sekurang-kurang sebuah terjemahan al-Qur’an, kerana al-Qur’an itu bukan hanya untuk dibaca dan dilagukan sahaja kemudian ditinggalkan di dalam almari kehidupan. Kalau kita lihat kepada kehidupan para sahabat RasullulLah SAW, tidak semua sahabat menjadi penghafal al-Qur’an, tidak semua sahabat pandai bertaranum dengan membawakan lagu soba, nahuwan, jiharkah, sikah, bayati, atau lain-lainnya, begitu juga tidak semua sahabat dapat membaca al-Qur’an dengan 7 qiraat seperti qiraat Hafs, Warsh, Qalun, al-Bazzi, Ibnu Zakuan, Susi, atau lain-lainnya, tetapi para sahabat berebut-rebut untuk menjadi orang yang paling awal mengamalkan ajaran yang termuat dan tertuang dalam al-Qur’an.
2- bahan bacaan kedua yang patut dibaca selepas al-Qur’an ialah hadis-hadis RasullulLah SAW yang merupakan tafsiran langsung kepada ajaran yang terpahat dalam al-Qur’an. Sepatutnya juga dalam isi rumah umat Islam paling kurang perlu ada Terjemahan Hadis Bukhari dan Terjemahan Hadis Muslim kalaupun tidak ada hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi, Ibnu Majah, Nasai, Imam Ahmad, atau Muwatta’ Imam malik.
3- bahan baca yang ketiga patut berada dalam isi rumah umat Islam pula ialah bahan ensklopedia yang menyentuh berhubung dengan ilmu Fikh, ilmu Tauhid, sirah, motivasi
4- seterusnya bahan-bahan pengetahuan umum yang lain seperti buku bahasa, geografi, astronomi, matematik, fizik, kimia, ekonomi
5- berada pada tingkat paling bawah dalam piramid bacaan pula ialah bahan yang santai seperti majalah atau buku-buku puisi yang mampu memaju diri ke arah jalan-Nya.

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar
Amat malanglah bagi umat Islam, apabila mereka tidak memiliki dan mengamalkan piramid bacaan yang betul, umat hanya berminat membaca buku-buku hantu dan tahyul, umat Islam hanya menjadi pembaca setia kepada cerita-certa hiburan yang termuat dalam surat khabar dan majalah picisan, menjadikan umat Islam tetap berenang dengan renangan yang tidak bertepi dan lemas di lautan jahil biarpun sudah lebih 50 tahun merdeka. Antara kesan daripada lemah dan dilemaskan oleh kejahilan ini ialah menganggap Islam hak mutlak orang Melayu, sampai kalau ada orang masuk Islam pun dikatakan masuk Melayu. Sedangkan antara Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang jauh bezanya. Islam merupakan agama AlLah SWT yang diturnkan ke dunia melalui sebaran para Nabi dan Rasul ASW, bermula dengan Nabi Adam AS hingga nabi Akhir Zaman Nabi Muhammad SAW. Untuk memudahkan rujukan kepada Islam, AlLah SWT menurunkan sama ada suhuf atau kita kepada setiap para anbiya’. Kitab atau suhuf inilah digunakan untuk memacu umat ke jalan kebenaran. Kitab atau suhuf ini diturunkan melalui perantaraan malaikat yang bernama Jibril AS. Hanya kitab Taurat yang diturunkan kepada KalamulLah Nabi Musa AS sahaja tidak melalui perantaraan Jibril, malah langsung dari AlLah SWT sewaktu Nabi Musa AS bermunajat di Bukit Tursina. Melayu pula hanyalah satu bangsa asalnya di Malaysia, kini bukan lagi suatu bangsa tetapi Melayu kini hanyalah satu kaum yang berada di bawah bangsa Malaysia, sejarah asal-usul orang Melayu tidak mutawatir, samar-samar, tidak ada pengkaji sejarah yang dapat menyebut dengan tepat bilakah atau tahun berapakah orang Melayu ini ada dan kenapa dinamakan Melayu, hanyalah dipercayai Melayu itu merupakan cucu-cicit Demang Lebar Daun yang berkahwin dengan keturunan Raja Suran. Siapa tuan kepada orang Melayu ini, apakah kitab untuk memandu orang Melayu mencapai cita-citanya?
Dan yang lebih teruk lagi terdapat dalam kalangan kita yang nak faham Islam tapi tak rujuk perjalanan hidup Baginda Rasul SAW, lalu menjadi kalut ributlah dunia ini bila ada orang yang belum Islam juga menyatakan Tuhan mereka AlLah atau mereka menggunakan AlLah untuk agama mereka. Sedangkan dalam al-Qur’an dengan jelas memberitahu kita satu pengistiharan, jika kita bertanyakan kepada penyembah berhala itu siapakah yang mencipta langit dan bumi, mereka semua serentak akan menjawab AlLah SWT. Lalu apakah yang membezakan antara kita dengan peganut berhala, jika mereka juga mengakui AlLah SWT sebagai Ilah? Bezanya amat mencolok dan jelas, kerana bagi kita sebagai orang yang beriman meyakini AlLah SWTlah segala-galanya. Tetapi bagi orang yang belum Islam walaupun mereka dengan penuh mulut mendakwa tuhan mereka AlLah SWT, tetapi dalam masa yang sama mereka bersyirik kepada-Nya. Mereka dakwa tuhan mereka AlLah SWT tapi mereka menyembah berhala, pokok-pokok, kubur dan seumpamanya, mereka tidak sanggup melutut sujud kepada AlLah SWT walaupun untuk sesaat, mereka mendakwa tuhan mereka AlLah SWT tapi semasa berjual beli mereka menggunakan kaedah riba, mereka mendakwa tuhan mereka AlLah SWT tapi semasa mentadbir mereka memakai peraturan yang bercanggah 100% dengan apa yang ditetapkan oleh AlLah SWT, mereka mendakwa tuhan mereka AlLah SWT tapi semasa bersosial mereka menolak sistem sosial yang diperkenalkan AlLah SWT. Ada sesetengah orang berasa orang tak boleh membaca al-Qur’an, kalau ada orang yang belum atau bukan Islam cuba membaca al-Qur’an maka dirasakan seolah-olah Islam sedang dihina. Yang pelik dan ajaibnya umat Islam sendiri malas untuk baca al-Qur’an. Kalau kita belek-belek perjalanan dakwah RasullulLah SAW, antara cara Nabi SAW berdakwah ialah dengan cara mengutus surat kepada pembesar atau ketua-ketua negara atau pemerintah negara yang masih kafir untuk menyeru mereka kepada agama AlLah SWT. Isi surat Baginda SAW itu ialah Baginda SAW menulis beberapa ayat al-Qur’an untuk dijadikan hujah mengajak mereka kepada Islam, jadi secara automatiknya orang kafir pada masa itu turut bukan sahaja membaca ayat-ayat al-Qur’an malah mereka memegang ayat-ayat al-Qur’an, kalaulah sekiranya orang yang belum Islam tidak boleh membaca ayat al-Qur’an, tentu Baginda SAW tidak berbuat demikian. Jadi dapatlah kita faham daripada kejadian ini bahawa orang yang masih kafir boleh membaca al-Qur’an, kerana kalau mereka tidak membaca sendiri al-Qur’an, bagaimana mereka nak faham ajaran dan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam.
Kemudian kita dihebohkan dengan orang bukan Islam masuk masjid. Geger keseluruh dunia orang jahil dengan agama mengulas isu ini dengan ulasan yang begitu dan begini. Sekali lagi mari kita buka almari sirah, sewaktu Baginda SAW hidup dahulu, pada penghujung usianya, AlLah SWT telah menjadikan Nabi SAW sebagai ketua negara atau pemerintah tertinggi kepada Daulah Islam di Madinah al-Munawwarah. Dalam sirah menyebut bahawa Baginda SAW telah menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan, bukan tempat bersolat sahaja seperti kebanyakan masjid yang ada di negara kita pada hari ini. Antara fungsi pada waktu itu ialah Baginda Nabi SAW menjadikan masjid sebagai pejabatnya untuk menerima tetamu yang juga merupakan ketua-ketua negara asing dan banyak ketua negara asing itu yang datang terdiri daripada mereka yang belum Islam.

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar
Apabila kita bersolat dihanya diwajibkan membaca al-Fatihah, semua jenis dan nama solat, hatta solat jenazah yang tidak ada rukuk dan sujudpun diwajibkan membaca al-fatihah. Dalam al-Fatihah kita diminta memohon dan meminta dijauhi daripada sesuatu.

6. Tunjukilah kami jalan yang lurus. 7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai(Yahudi), dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat(Nasoro).

Kita pohon daripada AlLah SWT agar ditunjuki-Nya kepada kita jalan yang lurus. Jalan yang lurus ditafsirkan dengan cara atau perjalanan hidup yang pernah dilalui oleh semua para Nabi, sidiqqin, orang soleh, syuhada, dan mereka yang mengikuti perjalanan para Nabi, sidiqqin, orang soleh, syuhada. Kita juga memohon kepada AlLah SWT agar kita dijauhkan daripada terpengaruh dengan cara hidup mereka yang dimurkai-Nya.
Kita diminta menjauhi dan tidak meniru perangai yahudi dan nasoro, kita dipaksa baca sekurang-kurangnya 17 kali sehari ikrar atau doa ini sebagai ingatan bertapa hinanya yahudi dan nasoro ini.
Nabi, sidiqqin, orang soleh, syuhada merupakan mereka yang meletakkan diri atas landasan yang ditentukan AlLah SWT. Apa yang dihalalkan AlLah SWT dihalalkannya walaupun banyak manusia tidak bersetuju. Apa yang diharamkan AlLah SWT akan tetap diharamkannya walaupun kebanyakan manusia dengan angkuh.

Sifat Yahudi ialah suka menyembunyikan dan menetang kebenaran yang sudah nyata di depan mata. Sebelum Baginda SAW diutuskan menjadi rahmat buat semua alam, Yahudilah yang memberitahu dan mengajarkan manusia di Yastrib pada masa itu bahawa akan lahir Nabi Akhir Zaman dengan tanda-tanda sekali. Manusia yang menjadi medan dakwah mereka pada masa itu ialah orang Aus dan Khazraj. Yang peliknya apabila Baginda Junjungan Akhir Zaman SAW terpacak di depan mata mereka berhijrah ke Madinah, Yahudilah yang berlumus-tungkus menjadi penetang ulung kepada ajaran yang dibawa Nabi Akhir Zaman SAW. Sementara orang Aus dan Khazraj berebut-rebut menjadi pembela Nabi SAW sehingga sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai cagarannya. Kalau kita pada hari ini menentang kebenaran, bermakna kita telah mengambil perangai Yahudi untuk menghuni dalam diri.

Sementara Nasoro dikira sesat kerana suka melebih-lebihkan manusia hingga menyamai darjat AlLah SWT. Mereka mengangkat Nabi Isa AS yang sengaja AlLah SWT jadikan tanpa bapa sebagai anak tuhan, atau sebagai tuhan. Walhal Nabi Isa AS sendiri tetap menyatakan dirinya hamaba AlLah SWT. Manusia tetap harus dinilai sebagai manusia yang lemah, kalau pun ada saguhati pemberian hikmat padanya, dia tetap manusia, bukan tuhan atau anak tuhan atau kawan tuhan atau sebagainya. Manusia yang mengetahui apa yang diberitahu AlLah SWT padanya, apa-apa yang tidak diberitahu-Nya, manusia tidak sekali-kali mengetahui. Antara perkara yang tidak diberitahu AlLah SWT kepada manusia ialah tentang perkara yang ghaib. Kalau kita pada hari ini berasa ada bomoh tertentu, ada pawang tertentu, ada sesiapa yang tertentu, yang boleh mengetahui perkara yang bakal berlaku esok lusa, boleh melihat barang yang hilang, boleh membaca untung nasib seseorang pada masa depannya, bermakna kita telah mengambil perangai nasoro untuk diletakkan dalam jiwa,

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters