Setakad hari ini 02 Safar 1432 bersamaan 06 Jan 2011, dan tentunya hingga ke akhir umur dunia ini (kiamat), hanya AlLah SWT satu-satunya kuasa, satu-satunya zat, satu-satunya kerajaan, satu-satunya super/hyperpower, yang berani mendakwa sebagai pencipta langit, bumi, dan segala isi yang ada di antara keduanya. Secanggih mana pun kekuatan ketenteraan, seunik mana pun pusingan teknologi yang dimiliki oleh Amerika misalnya, mereka tentunya berasa malu yang tidak dapat dihinggakan untuk mendakwa kepada dunia bahawa kerajaan Amerikalah yang mencipta langit dan bumi. Hal dan kasus ini disebabkan sebelum penempatan yang bernama Amerika ditemui, langit dan bumi sudah lama ada, atau dengan erti makna lain, negara Ameriak itu pun salah satu entiti yang bertenggek di bumi ini. Bukan itu sahaja uniknya langit dan bumi ini, malah sehingga kepada hari ini tidak ada seorangpun dapat mengira dengan tepat bilakah langit dan bumi ini mula wujud dan berpusing pada paksinya dan berjalan-jalan dengan selesa di relnya(galaksi).
Sebagai penganut atau pencandu cara hidup(agama) Islam, kita diberitakan atau diberitahukan dengan satu fakta yang tidak dapat dinafikan kewujudan iaitu semenjak lama dahulu lagi, sebelum manusia pertama dihantar ke bumi untuk menjadi penguasa (khalifah), langit dan bumi ini sudah tersedia adanya. AlLah SWT sebagai zat yang mendakwa DIA yang merekabentukkan langit dan bumi ini dari tiada kepada ada, dan adanya langit dan bumi ini pula tidak ada yang serupa dengannya sama ada dari segi muatan yang ada di dalamnya, atau besar kecilnya, rupanya, iklimnya, hidupan yang mendiaminya, atau udara dan air yang mendominasinya, telah mengutuskan manusia pertama Adam AS sebagai khalifah-NYA di bumi ini. Khalifah dengan makna sebagai duta AlLah SWT di bumi. Khalifah dengan tugas menegakkan segala perintah agama dan mentadbir dunia dengan perintah yang termuat dalam agama. Oleh sebab dunia ini AlLah SWT yang punya, disusun-NYA segala macam dan jenis peraturan yang perlu dan wajar diikuti manusia selama manusia itu masih menerima subsidi nyawa di bumi ini. Tanpa mengira apakah warna bangsanya, tanpa mengira dari pecahan iklim manakah berasalnya dia, tanpa mengira hitam atau putih kulitnya, tanpa mengira di belahan geografi manakah berpijaknya dia, manusia semuanya berasal yakni diciptakan daripada Adam, dan Adam direkabentukkan daripada tanah. Peraturan atau tatacara untuk hidup sebagaimana kehendak empunya langit dan bumi ini, dijelaskan secara terperinci oleh para nabi dan rasul AS. Justeru Baginda Adam AS merupakan anbiya’ yang pertama menjelaskan kepada kehidupan, apakah yang patut dilakukan apa pula yang patut dihindari, dulu, kini, dan selamanya. Lalu ada dalam kalangan anak cucu Adam AS yang taatkan dan akur pada segala titah serta rela menerima segala perintah. Dalam pada itu ramai pula anak cucunya yang engkar dan melanggar kehendak dari AlLah SWT. Dalam sirah mencatatkan Pak Long Qabil merupakan manusia pertama yang cuba merubah ketentuan dan ketetapan AlLah SWT. Keputusan Pak Long Qabil menyertai barisan pembangkang terhadap titah perintah AlLah SWT ini termakan madah berhelah yang didendangkan sang iblis and the gang.
Suara dakwah mengajak manusia agar sudi dan bersedia untuk kembali menjadi pencandu kepada ajaran Islam diteruskan oleh para nabi dan rasul yang lain. Diperkirakan ada 124 ribu para nabi telah AlLah SWT munculkan di semua belahan bumi ini untuk memberitahu manusia mana satu jalan yang diredhai-NYA dan mana pula jalan yang dimurka-NYA. Daripada 124 ribu nabi itu, ada yang dilebihkan dengan anugerah gelaran rasul seramai 313 orang, walaupun 313 rasul itu berdepan dengan pelbagai tribulasi dalam perjalanan dakwahnya untuk mengajak manusia kembali kepada redha AlLah SWT, hanya 25 rasul sahaja yang wajar kita ingati namanya, AlLah SWT memilih 5 orang daripada kalangan 25 rasul itu dan dinobat-NYA dengan gelar Ulul Azmi ( Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS, dan Nabi Muhammad SAW). Kesemua anbiya yang dikirakan 124 ribu tadi berketuakan Nabi Muhammad SAW.
Apabila kita meneliti perjalanan dakwah kesemua para nabi, laluan dakwah mereka penuh berliku. Ada dalam kalangan anbiya yang dibunuh seumpama Nabi Zakaria AS dan anaknya Nabi Yahya AS. Ada anbiya yang dikepung rumahnya untuk dihabisi nyawanya seumpama Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Pendek kata ejekan, cercaan, hinaan, sendaan, dipermainkan, disakiti, dipulaukan, diancam, diugut, cuba dirasuahkan, dan lain-lain seumpamanya mewarnai tribulasi dakwah para anbiya. Bertapa cekalnya para nabi, bertapa sabarnya para rasul, bertapa berhemahnya para nabi, bertapa berhikmatnya para rasul dalam menjalankan misi dan visi dakwahnya. Siang, malam, pagi, petang, digunakan untuk mengajak manusia agar hanya menjadikan AlLah SWT sebagai sembahan. Memujuk manusia agar berhijrah daripada yang selama ini mengabdikan diri kepada sesama hamba yang verylemah agar bersedia menjadi hamba hanya kepada AlLah SWT. Mengajak manusia meninggalkan segala sistem ciptaan manusia yang penuh dengan kepentingan sesetengah pihak(yang mencipta peraturan itu) kepada keadilan dan kerahmatan yang ditawarkan oleh Islam. Meyakinkan manusia bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan dunia ini pun sempit pula supaya mempersiapkan diri untuk bersedia hidup di akhirat sana yang kekal selamanya (tidak mati-mati) dan luas pula. Para nabi dan rasul menjelaskan; AlLah SWT yang mendakwa DIA yang mencipta langit dan bumi itulah juga yang mengisytiharkan adanya satu alam lain yang bernama akhirat. AlLah SWT yang menjadikan langit dan bumi yang penuh dengan keajaiban ini jugalah yang telah pun menyiapkan syurga untuk para manusia yang bersedia menundukkan hawa dan nafsunya mengikut kehendak Islam. AlLah SWT juga telah menyiapkan api yang menjulang tinggi untuk membakar manusia dan jin yang berasa dunia ini merekalah yang punya, lalu mereka pun berbuat sesuka hatinya tanpa mempedulikan suruhan dan tegahan agama. Ada orang kata jika kita masuk ke syurga, kehidupan di syurga tidak mencabar sedikitpun kerana dalam syurga apabila kita terniat sahaja untuk makan burung, maka burung tadi akan terus dan segera didatangkan di hadapan kita dalam keadaan yang sudah masak dan tersaji dalam pelbagai resipi yang diingini. Apabila kita makan di syurga pula, makan kita itu hanya untuk berseronok-seronok sahaja, bukan untuk mengenyangkan. Berbeza dengan kehidupan di neraka yang penuh dengan cabaran. Jadi sesiapa yang suka akan cabaran, bolehlah memilih neraka sebagai tempat kediamannya. Hal ini kerana apabila seseorang itu dimasukkan ke neraka, dia akan berasa amat haus dan amat lapar, lalu mereka akan dihidangkan dengan air yang mendidih dan buah zaqqum yang berduri. Ya bertapa mencabarnya untuk meminum air yang mendidih dalam keadaan yang hyperdahaga dan seksanya untuk memasukkan buah yang berduri lagi panas ke dalam mulut untuk dikunyah, dan apabila menelannya akan memutuskan segala urat yang ada dalam perut.
Penulis mula berjinak-jinak dengan dunia dakwah seawal tahun 1984 dengan menyampaikan tazkirah, kuliah, ceramah, dan kutbah secara percuma, dan AlHamdulilLah sehingga saat ini kegiatan itu masih terus berlangsung. Entah kenapa tadi selepas menyampaikan kuliah tafsir mingguan (Surah an-Nahl) di Masjid Abu Bakar, penulis ditanya pasal pengalaman di jalan dakwah ini oleh salah seorang ahli jemaah, semasa bersembang-sembang sambil menikmati rezeki AlLah SWT yang bernama nasi kerabu. Penulis memberitahu pengalaman yang menghinggapi perjalanan dakwah diri terlalu kecil dan kerdil untuk diceritakan. Adalah dua tiga peristiwa yang lucu dan menyentuh hati untuk dikongsi.
Peristiwa yang lucu 1;
penulis dijemput melalui telefon untuk menyampaikan kuliah Maghrib di salah sebuah masjid dalam daerah Kota Bharu. Penganjurnya memberikan alamat kediamnanya dan meminta penulis datang ke rumahnya dahulu, kerana dia yang akan membawa penulis ke masjid berkenaan. Penulis memberitahu penulis akan sampai ke rumahnya 30 minit sebelum masuk waktu Maghrib, seperti yang dijanjikan penulis sampailah di rumah penganjur Mr XX, malangnya rumahnya berkunci. Penulis bertanya kepada jiran di sebelah rumahnya, jirannya memberitahu Mr XX sudah 2 hari tiada di rumah.
Peristiwa yang lucu 2;
Suatu hari, tanpa dirancang tanpa diduga penulis diketemukan dengan kawan sekolah semasa bersekolah rendah dahulu yang kini menjadi imam di sebuah masjid mukim dalam daerah Bachok. Kami diketemukan AlLah SWT dalam majlis penutup Membina Generasi Solat (MGS). Kami sebetulnya sama-sama menjadi tenaga/fasilitator untuk program tersebut yang berjalan sehingga 3 bulan, cuma yang membezakan kami hanyalah mukim, tempat letaknya masjid. Alangkah seronoknya dapat bertemu kawan lama setelah 32 tahun tidak bertemu. Kali terakhir kami bersama semasa darjah 6 dahulu pada tahun 1978- 2010. Dalam pertemuan itu, penulis meminta izinnya sebagai Imam 1, untuk menyampaikan tazkirah di masjid yang mana dia menjadi imam. Akhirnya persetujuan dicapai, iaitu penulis dibenarkan memberikan tazkirah 2 minggu yang akan datang. Hati ini berdetik gembira, hanya AlLah SWT yang tahu. Dua minggu kemudian penulis pun menghayunkan kateh ini menuju masjid berkenaan. Setibanya di masjid berkenaan, sebelum azan berkumandang. Penulis sempat menyempurnakan solat Tahiyatul Masjid. Setelah muazzin mengumandangkan azan, sang imam 1 tidak datang, sehingga jemaah tertunggu-tunggu. Setelah 20 minit barulah iqomat dilafazkan, oleh sebab imam 1 tidak datang, tempatnya diisi oleh jemaah yang lain.
Peristiwa yang menyentuh hati
Selepas menyampaikan kuliah maghrib di sebuah masjid mukim dalam daerah Kota Bharu, tuan Imam 1 datang bersalam dengan penulis dan menghulurkan sampul berwarna coklat kepada penulis. Penulis menjelaskan kuliah yang disampaikan adalah percuma, dan penulis berharap itulah yang bakal tercatat dalam kantung amal penulis sebagai amalan yang soleh. Apabila jawapan itu singgah di telinga tuan Imam tadi, penulis melihat gugur dari matanya manik-manik jernih, sambil sopan lidahnya menyusun kata; kami tahu ustaz ikhlas, tapi izinkan kami di sini untuk berkongsi pahala dakwah dengan membiayai sedikit harga minyak yang diisi dalam tangki kenderaan ustaz.
Kepada semua yang sudi membaca bloq saya, sekiranya ada yang difikirkan sesuai untuk disebarluaskan, silalah berbuat demikian, saya mengizinkannya dulu, kini, dan selamanya.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment