Tiada siapa, sama ada daripada kalangan jin, haiwan, atau manusia ini; sama ada yang masih mati atau telah hidup mengaku dialah arkited yang merekabentuk dan seterusnya menciptakan langit dan bumi ini, daripada tiada kepada ada. Tiada siapa pula yang berani mengaku setakat ini (Safar 1432 bersamaan Januari 2011), sama ada kuasa besar dunia atau mana-mana manusia yang mengaku dialah yang mengurustadbirkan perjalanan apa yang ada di langit dan apa yang berlaku di bumi. Demikian juga, tiada siapa yang berani mengaku dialah yang menjadikan manusia ini, sama ada manusia itu lelaki atau perempuan. Sama ada manusia itu kecil atau besar, sama ada manusia itu berwarna kulitnya putih atau koko. Satu-satunya ZAT yang mengaku bahawa langit dan bumi ini dicipta-NYA, perjalanan apa yang ada di langit dan di bumi ini diatur-NYA, manusia yang seramai ini menjadi penghuni bumi yang tidak seorangpun antara mereka sama (lihat sahaja cap jari yang begitu seni jalinannya; tidak ada yang sama) DIA lah mewajahkan; hanyalah AlLah SWT.
AlLah SWT yang hyperhebat ini, jika DIA memuji sesuatu tentulah pujian-NYA itu pujian yang nombor satu. Begitu juga apabila sesuatu itu dibenci-NYA, tentulah hal tersebut sememangnya tidak bermutu. Tertinta dalam muatan surah al-Qalam agenda pujian dan ayat yang berupa agenda pujian ini telah dibaca, dilagukan, direnung, diseminarkan, sejak zaman-berzaman. Ya, surah al-Qalam yang merupakan surah yang mengikut posisinya berada pada giliran yang ke-68 dalam susunan al-Qur’an. Pada ayat 4, kejap terpahat jauh daripada sebarang cacat ; ‘WAIIN NAKA LAALAAA KHULUQIN AZIIM’ DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU ATAS AKHLAK YANG MENGKAGUMKAN’
Ilmuan, cendekiawan Islam telah menafsirkan ‘engkau’ yang tertera dalam pautan ayat tersebut ialah merujuk kepada seorang insan yang dilahirkan setelah ayahnya meninggal dunia, tidak lama selepas baginda dapat menghirup segar-bugar udara, bondanya pula dipanggil menghadap kepangkuan perkasa AlLah SWT. Nendanya yang dikenal sebagai Abdul Muttalib pula mengambil gilir sebagai pengasuhnya selepas itu. Menumpang kasih, menumpang sayang, menumpang manja dengan nendanya juga tidak lama masanya, kerana nendanya juga terpaksa pergi meninggalkan baginda buat selamanya. Bapa saudara yang bernama Abu Talib tidak rela melepas ruang dan peluang untuk turut sama membela dan mengasuh atau menjaganya buat sekian lama. Insan tersebut telah dinamakan oleh nendanya dengan nama yang belum pernah ada dalam masyarakat Mekah pada masa itu, iaitu Muhammad. Pengurniaan nama yang begitu pelik buat masyarakat Arab itu telah mengundang pertanyaan khalayak. Bertalu-talu datang ke telinga Abdul Mutalib pertanyaan, kenapa dia menamakan cucunya dengan nama yang sedemikian. Dengan senyum keyakinan Abdul Mutalib menghamparkan jawapan, dia mahu cucunya dipuji sepanjang perjalanan zaman. Ya, Muhammad anak yatim inilah yang kemudiannya membesar dan membesar seterusnya mendapat sanjungan, bukan sebarang sanjungan, tetapi berupa anugerah dari AlLah SWT. Yang tentunya anugarah tersebut berbilion-bilion kali lebih tinggi daripada apa-apa gelaran yang diberi dan dipakai manusia semasa di dunia ini, yang berupa pingat yang hanya dipakai di dada pada masa-masa tertentu sahaja untuk perayaaan tertentu dan dipakai di tempat-tempat tertentu sahaja. Kata sesetengah orang yang bijaksana dan bijaksini pada hari ini, gelaran pingat kebesaran yang diberikan manusia ini, tentunya tidak disematkan di bajunya sewaktu menyertai acara sukan, atau sewaktu dikuburkan setelah rohnya berpisah dengan badan.
AlLah SWT memuji Nabi Muhammad SAW tetapi pujian itu bukan pada rambutnya yang dikhabarkan begian-begian, pujian AlLah SWT itu bukan pada putih atau kokonya warna badan, pujian AlLah SWT itu bukan pada bulat atau lepernya wajah muka yang dapat dipandang, pujian AlLah SWT itu bukan pada dadanya sama ada tidak atau bidang, pujian AlLah SWT itu bukan tinggi atau rendahnya saiz badan, tetapi pujian AlLah SWT kepada anak yatim yang bernama Muhammad bin AbdulLah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushay bin Kilab bin Murrah binKa’ab bin Luay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas binMudhar bin Nazar bin Ma’ad bin Adnan itu ditonjolkan pada perangai atau akhlaknya!
Bagaimanakah akhlak Nabi Muhammad SAW yang mendapat sanjungan dan pujian daripada AlLah SWT itu? Untuk itu, salah seorang bonda kita Saidatina Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq pernah ditanya orang bagaimanakah akhlak nabi? Bonda kita itu telah menjawab dengan jawapan yang sederhana tapi cukup memakna, iaitu akhlak baginda ialah al-Qur’an. Dengan makna Baginda SAW menterjemahkan semua ayat al-Qur’an yang sebanyak 6236 itu dalam bentuk amali. Setiap nafas dan gerak Baginda SAW ialah terjemahan langsung daripada ajaran atau titah perintah AlLah SWT. Oleh sebab AlLah SWT memuji Baginda SAW merujuk kepada perangai, maka tawaran itu menjadi terbuka luas buat manusia, kerana perangai atau akhlak itu merupakan sesuatu yang boleh diusahakan. Kalaulah AlLah SWT memuji Baginda SAW kerana bentuk mukanya yang begini dan begini, tentunya orang yang mempunyai bentukan wajah yang begitu dan begitu sampai mati pun tidak dapat untuk meniru Baginda SAW. Lalu apa jua akhlak Baginda SAW kita dapat menirunya jika kita mahu. Misalnya Baginda SAW seorang yang benar semasa bercakapnya. Semua manusia boleh berusaha untuk bercakap benar, tidak mengira siapa dia, sama ada dia seorang yang kurus atau gemuk, sama ada berkulit koko atau putih, sama ada dia tinggi atau rendah, sama ada dia tinggal di Amerika atau Afrika, sama ada dia tinggal di Malaysia atau Jepun sana. Semua manusia yang pernah merasa pinjaman nyawa ini boleh bersaing secara adil untuk bercakap benar.
Apakah yang perlu dibuat dengan al-Qur’an untuk menjadikan kita mempunyai perangai atau akhlak yang unggul sebagaimana nabi Muhammad SAW? Tentunya yang pertama ialah kita mesti membaca al-Qur’an,
kedua kita perlu memahami isi kandungan al-Qur’an,
ketiga kita mesti menghayati muatan firman dalam al-Qur’an,
keempat kita wajar mengamal apa yang ada dalam al-Qur’an setakad kemampuan yang ada,
kelima kita mesti meninggalkan secara total segala tegahan al-Qur’an,
keenam kita mesti menyebarkan ajaran-ajaran al-Qur’an,
ketujuh kita mesti mempertahankan kesucian ajaran al-Qur’an sama ada secara lisan, sama ada secara tulisan, dan kalau diperlukan dengan nyawa!
Boleh jadi setakat hari ini kerajinan kita membaca al-Qur’an pun masih boleh dipertikaikan. Kalaulah kedudukan kita dengan al-Qur’an masih berada pada tahap pertama, kita perlu membuat satu perancangan jangka panjang, misalnya dalam masa 10 tahun kita mampu menyempurna ketujuh-tujuh tahapan yang diperlukan. Sehingga hari ini, berapa jamkah masa yang sudi kita laburkan untuk menatap al-Qur’an dalam sehari? Adakah masa yang kita gunakan untuk menonton sinetron menipu atau menonton filem-filem hindu atau menonton siri kartun di tv lebih lama daripada menatap kalam AlLah SWT? Apakah masa yang kita luang dan laburkan di hyper-hyper atau super-supermarket lebih lama daripada kita beriktikaf di masjid? Adakah masa yang kita gunakan untuk bersembang dengan kawan di kedai-kedai atau cafe-cafe lebih lama daripada masa yang kita peruntukkan untuk sujud kepada AlLah SWT dalam solat sunat? Adakah rak-rak atau almari-almari di rumah kita hanya dipenuhi dengan pinggan mangkuk atau vcd dan dvd hiburan sahaja berbanding dengan buku-buku untuk menolong kita memahami ajaran agama? Lebih malang lagi jika vcd atau dvd yang ada tersimpan itu merupakan yang porno. Kesemua faktor di atas merupakan penanda lantai sama ada kita ini merupakan pembaca al-Qur’an yang tegar atau sebaliknya. Jom kita cuba lakarkan kanvas usia kita pada tahun baru ini dengan gelombang baru, iaitu menjadi pembaca setia al-Quran, sekurang-kurangnya sejuzuk sehari! Sebenarnya kita mampu melakukannya!
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment