2 Soalan Kreatif Jemaah Tazkirahku
Dalam satu majlis tazkirah mingguan di sebah desa terpencil daripada arus kalut dan ributnya sebuah bandar raya, ana dihujani dengan 2 soalan yang cukup kreatif dari seorang belia. Panahan soalannya menggambarkan empunya diri cukup kreatif berfikir dan membuat perbandingan.
Soalan pertama: Ustaz, kenapa AlLah SWT tidak menolong umat Islam untuk menyelamatkan diri mereka, contohnya seperti yang berlaku di Palestin? Bukankah umat Islam merupakan umat pilihan-NYA?
Soalan dua: Ustaz, kenapa umat Islam pada hari ini tidak sehebat umat Islam pada zaman silam, padahal kita membaca al-Qur’an yang sama dengan mereka, bersolat dengan solat yang sama dengan mereka, membaca hadis yang sama dengan mereka, bernabi dengan nabi yang sama?
Jawapan;
Pertama perlu disemat dalam iamn, AlLah SWT tidak pernah sesekali untuk memungkiri janji-NYA, itu yang perlu kita pegang dan yakin betul-betul. Soalnya, siapa kata yang AlLah SWT tidak menolong orang Islam di Palestin? Apa yang perlu kita faham ialah AlLah SWT menolong hamba-NYA mengikut cara-NYA yang disukai-NYA. Kita mungkin mahukan AlLah SWT menolong orang Palestin dengan cara menurunkan Malaikat misalnya seperti dalam Perang Badar, menghantar burung Ababil misalnya seperti menghadapi serangan tentera bergajah Abrahah. Kita pertolongan yang kita mahu AlLah SWT hulurkan. Tapi perlu diingat sampai bila-bila; AlLah SWT bukan ‘kuli’ kita untuk mengikut apa yang kita maukan.
Justeru AlLah SWT telah menolong umat Islam Palestin dengan cara-NYA sendiri walaupun cara tersebut tidak disukai oleh semua manusia yang bernyawa. Apa yang jelasnya AlLah SWT menolong umat Islam di Palestin dengan cara memasukkan beranke dalam jiwa mereka. Keberanian yang bukan boleh dibuat-buat. Keberanian yang dimiliki oleh umat Palestin itulah yang lebih perlu untuk mereka pada tahap ini. dapat kita lihat di layar tv, walaupun mereka hanya berbekalkan dengan lastik sahaja tapi mereka tidak pernah gentar untuk berdepan dengan deretan kereta kebal yahudi sedang kita lihat gambar kenderaan musuh-musuh AlLah SWT itupun dah kecut perut!
Selamat dalam erti kata Islam bukan bermakna tidak mati. Mati merupakan satu kewajipan, kerana semua yang bernyawa akan disentuh oleh mati dan Islam menyediakan atau menawarkan bentuk mati yang terbaik yang tidak mati di sisi-NYA; iaitu mati dalam mempertahankan Islam. Bukan semua manusia yang terpilih untuk syahid! Mereka di Palestin sana sedang terpilih.
Kepada soalan kita membaca al-Qur’an yang sama dengan mereka, bersolat dengan solat yang sama dengan mereka, membaca hadis yang sama dengan mereka, bernabi dengan nabi yang sama?-soalnya benarkan kita berbuat sama dengan mereka? Benarkah kita membaca al-Qur’an sama dengan mereka? Benarkah kita bersolat sama dengan mereka? benarkah membaca hadis yang sama dengan mereka, benarkah kita bernabi dengan nabi yang sama?
Yang tentu samanya, kita hanya baca al-Qur’an tapi berapa jam sehari? Mereka bukan setakat baca al-Qur’an tapi mereka faham kandungannya bukan itu sahaja yang penting mereka berebut-rebut siapa dahulu untuk melaksanakan ajaran yang terpeta dalam al-Qur’an. Tapi banyak dalam kalangan kita yang hanya baca al-Qur’an sekali setahun itupun kerana adanya Ramadhan. Kita pada hari ini di sesetengah tempat bermati-matian mencaci ajaran yang termuat dalam al-Qur’an.
Solat kita tidak sama dengan mereka sebetulnya, yang sama hanyalah bilangan rakaat: Subuh 2, Zohor 4, Asar 4, Maghrib 3, dan Isya 2. Mereka 5 kali sehari berjemaah, kita lebih suka solat sendirian di rumah. Mereka semasa solat berjemaah merapatkan saf; bahu sesama bahu bersentuhan, menyamakan tumit sedang kita berjemaah tapi kita enggan bersentuhan dengan saudara di sebelah walaupun sang Imam tidak pernah leka mengingatkan. Mereka datang awal pada hari Jumaat ke masjid untuk iktikaf sedang kita datang bersolat Jumaat hanya setelah mendengar azan. Sesetengah kalangan umat Islam pula yang hanya datang solat Jumaat pada minggu ketiga kerana takut jadi munafik.
Yang lain-lain tu kiaslah sendiri.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment