About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Tuesday, June 28, 2011

Secangkir Kisah Isra’ & Mikraj: Tanda Kebesaran AlLah

Tiba sahaja bulan Rejab, umat Islam sibuk memperingati peristiwa agung yang berlaku ke atas Junjungan Akhir Zaman. AlhamdulLilLah. Tanda hati-hati kita masih hidup dan sudi untuk mendengar sirah di tengah-tengah lautan pelbagai cerita yang melalikan, sama ada cerita yang ada dalam negara kita ataupun cerita-cerita yang kita import dari negara asing. Sebelum Baginda SAW dijemput menjadi tetamu AlLah pada malam Isra’ dan Mikraj ini, ada 5 peristiwa besar yang tidak harus kita lupakan yang telah mewarnai dakwah dengan warna yang mendukacitakan. Peristiwa tersebut ialah;
1. Umat Islam telah dipulaukan oleh kafir Quraisy selama 3 tahun. Umat Islam telah didera fizikal dan mentalnya dalam tempoh itu.
2. AlLah SWT telah mewafatkan Abu Talib, pembantu dan penolong dakwah dari luar rumah.
3. AlLah SWT juga telah mewafatkan isteri tercinta, Syaidatina Khadijah ra, pendokong setia dakwah dari dalam rumah, penghibur dan penenang hati Baginda SAW.
4. Baginda Rasul SAW mencari pula hala dan sasaran dakwah yang baru, Taif. Bertemankan anak angkatnya Zaid bin Harithah, mereka berjalan ke Taif yang jauhnya selama 50 batu dari Mekah. Tetapi kedatangan dakwah ke Taif telah disambut dengan lontaran batu oleh pemuda tahan lasak Taif.
5.Apabila dakwah ditolak di Taif, Baginda SAW balik semula ke Mekah, tapi untuk kembali Baginda SAW terpaksa meminta perlindungan jaminan keselamatan dari Mut’im bin Adi untuk bergerak di Mekah, setelah Ahnas bin Syurih, dan Suhail bin Amru menolak untuk memberikan perlindungan kepada Baginda Nabi SAW.

Peristiwa Isra dan Mi'raj Nabi Muhammad SAW terjadi pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas dari masa kenabian beliau, ialah sebuah mukjizat, untuk diperlihatkan sebahagian tanda kebesaran AlLah SWT. Selepas Jibril melakukan pembedahan ke atas Nabi, maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah. Nabi Muhammad dibawa oleh Malaikat Jibril ke telaga zam-zam. Di sana Nabi Muhammad menjalani proses pembedahan. Hatinya dicuci dengan air zam-zam dan kemudian dimasukkan semula bersama dengan iman dan hikmah.

Setelah tamat peringkat penyucian ini, barulah perjalanan israk dan mikraj dimulakan. Sepanjang perjalanan Israk, Nabi menempuh pelbagai pengalaman penuh misteri yang kesemuanya dilaluinya dengan jaya sehinggalah berlaku pertemuan dengan jemaah Nabi dari Adam hinggalah ke akhirnya. Nabi diiktiraf sebagai penghulu segala Nabi apabila beliau terpilih sebagai imam dalam solat jemaah yang didirikan di Baitul Maqdis.

Sebentar kemudian, Nabi pun sampai di Kota Thaibah yang sekarang dipanggil Madinah. Di sini baginda bersama Jibril turun untuk melakukan solat sunat dua rakaat. Jibril menerangkan bahawa di sinilah tempat Nabi Muhammad akan berhijrah. Seterusnya baginda berhenti di Madain, tempat Nabi Musa mendengar kalam Allah yang qadim. Selepas itu Nabi Muhammad berhenti di Baitul Laham, tempat Nabi Isa dilahirkan.

Tanda Kebesaran AlLah; Gambaran di Syurga & di Neraka
Gambaran di Syurga
Rasulullah ternampak beberapa kubah lu’lu’ yang ternganga dan Baginda SAW terlihat pada pintu syurga tertulis ayat berbunyi: “Sedekah itu 10 kali ganda, memberi hutang itu 18 kali ganda.”
Rasulullah hairan mengapakah memberi hutang itu lebih besar daripada bersedekah, lantas Baginda SAW pun bertanya kepada Jibril mengenai perkara itu.
Kata Jibril: “Orang yang meminta itu kadang-kadang dia sudah pun mempunyai barang itu, sedangkan orang yang berhutang itu tiada mempunyai apa-apa, maka terpaksa berhutang untuk mendapatkannya atau dengan kata lain dia berhutang kerana
benar-benar berhajat.”

Kemudian Rasulullah SAW berjumpa sebatang sungai susu yang tiada berubah rasanya dan sebatang sungai arak yang lazat dan sebatang sungai madu yang jernih. Di situ ada juga buah delima dan segala macam buah kayu. Kemudian keluar daripadanya
pakaian penghuni syurga dan kemudian keluar burung yang bentuknya seperti unta.

Rasulullah SAW terlihat pula telaga Al-Kausar. Dalamnya ada 70,000 fursah yang airnya mengalir di atas batu yakut dan zabarjad. Di tepinya ada lu`lu’ yang besar, airnya mengalir masuk ke hudh (kolah) Rasulullah SAW. Bejananya (timba) seperti bintang di langit dijadikan daripada emas dan perak serta tanahnya daripada kasturi yang amat harum. Kemudian keluarlah Rasulullah dari syurga itu.


Gambaran di Neraka

Nabi Muhammad SAW kemudian diperlihatkan keadaan neraka. Dalamnya ada ghadaballah (kemarahan Allah) terhadap musuh-Nya dan yang ingkar perintah-Nya. Jika dijatuhkan batu atau besi ke dalam neraka itu, nescaya hancur lebur ia di dalamnya.

Tiba-tiba Rasulullah SAW ternampak beberapa kaum memakan bangkai. Bertanya Baginda SAW kepada Jibril: “Siapa ini, wahai Jibril?”
Jawab Jibril: “Inilah mereka yang makan daging saudaranya dengan mengumpat.”

Baginda SAW juga dapat melihat malaikat Malik penjaga pintu neraka, lalu ia memberi salam kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menjawab salam Malik. Malik ialah malaikat yang boleh diketahui kemarahannya menerusi mukanya yang sangat masam. Sesungguhnya neraka itu terletak di bawah tujuh petala bumi. Ia mempunyai tujuh jenis, iaitu:

• Neraka Jahannam. • Neraka Lazha. • Neraka Khutamah. • Neraka Saeir.

• Neraka Saqar. • Neraka Jahim. • Neraka Hawiyah .

Rasulullah SAW kemudian diangkat ke Sidaratul Muntaha dan ditutupi awan. Jibril tertinggal, lalu Rasulullah SAW berhenti menunggu. Di sini Jibril pun memasukkan Baginda SAW ke dalam nur sambil berkata: “Engkau dan Tuhan engkau saja.”
Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW bersabda kepada Jibril bermaksud:
“Adakah di sini sahabat hendak meninggalkan sahabatnya?”
Berkata Jibril: “Inilah saja tempatku, jika aku melintasi kawasan ini nescaya terbakar aku dengan nur.”
Rasulullah SAW pun melalui 70,000 hijab daripada nur hingga sampai ke Mustawa, tempat Kalam menulis, yakni Kalam catatan di Luh Mahfuz. Di situ Rasulullah melihat seorang lelaki yang ghaib dalam Nur Arasy.
Bertanya Rasulullah SAW: “Siapa ini? Adakah malaikat?”
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah nabi?” soal Rasulullah SAW lagi.
“Tidak. Sesungguhnya aku seorang lelaki yang hidup di dunia, basah dengan menyebut nama Allah yakni berzikir dan hatiku sentiasa terpaut kepada masjid dan aku juga tidak memaki kedua-dua ibu bapaku.”(anak yang soleh)


10 Seksaan Wanita Diperlihatkan Semasa Iraq Mikraj

SEPULUH jenis seksaan yang menimpa wanita yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika melalui peristiwa Israk dan Mikraj, membuatkan Rasulullah SAW menangis setiap kali mengenangkannya.
Dalam perjalanan itu, antaranya Baginda diperlihatkan (1) perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi auratnya daripada dilihat lelaki yang halal nikah dengannya.
.
Seksaan lain yang diperlihatkan Baginda ialah (2) perempuan yang digantung dengan lidahnya
(3) tangannya dikeluarkan daripada punggung
(4) minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.
Baginda juga melihat bagaimana (5) perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.
Ada pula (6) perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking . Mereka adalah perempuan yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu
mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.
Selain itu, Baginda melihat (7) perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala . Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.
Baginda juga melihat (8)perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.
Seksaan lain yang dilihat Baginda ialah (9) perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai . Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

Ada pula perempuan yang Baginda nampak yang (10) rupanya berbentuk anjing dan beberapa ekor ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.


Beberapa Pengajaran Isra’ Mikraj
1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan atau di kala mendapat kesenangan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.
2. Menjauhi segala atau semua versi & misi yang berunsur mungkar dan maksiat.
3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail.
4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia.
5. Anjuran memberi salam. sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui.
6. Usia dunia yang sudah tua,dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua, umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat.
7. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters