Umat Islam & Ibadah Korban
Pabila singgahan hari terakhir di kalendar Zulkaedah meninggalkan jejak
awal hari daripada Zulhijjah pula mula & sudi menapak
sebagai umat yang memiliki & menyimpan sejarah/ sirah yang bergerak
seeloknya kita memasang & menjerat niat
dari 1 – 9 Zulhijjah, Insya-AlLah puasa sunat cuba diperbuat
andai kata sembilan hari itu dirasa tiada larat
berpuasa sunat 8 & 9 Zulhijjah cubalah kumpulkan sedikit kudrat
andainya puasa yang 2 hari itu pun masih tak dapat nak diharap
berpuasa pada hari wuquf mohonlah sedikit iradat
kerana DIA tak pernah jemu untuk mendengar & melihat
gugusan amal soleh yang hamba-NYA perbuat
pernahkah singgah pada pendengaran kita yang sihat
pernah Baginda Nabi Muhammad SAW berdoa & mengharap
ganjaran penghapusan & pembasmian 2 tahun dosa yang berkarat
pabila dengan tulus & ikhlas kita memperbuat
menjelmakan deretan & rangkaian malam kita punya niat
menyempurna puasa semasa mereka di Mekah berada di Arafah
takungan firman memercikkan 2 kondisi siri ibadat korban
penyempurnaan episod korban Qabil & Habil pada awal kehidupan
keduanya putera kesayangan Baginda Adam Alaihissalam
juga penyerahan total sang anak bernama Ismail agar disembelihkan
menyakini adegan mimpi ayahnya bukan mainan syaitan
malah resapan dari wangian wahyu AlLah Rabb Sekalian Alam
pabila disedari Habil yang menyuruhnya berkorban itu AlLah
dengan penuh cermat segera dicari ternaknya yang paling gagah
malu menghujaninya jika yang jelek dijadikan titipan sedekah
jauh tara beza dengan abangnya Qabil yang bermasalah
pintu gua hatinya bersarang gundah berpintal gelisah
dirasanya berserabut untuk menyambut perintah AlLah
maka dikumpulnya hasil tanaman yang kelarah-kelarah*
(* bahasa Kelantan bermakna luarnya elok tetapi dalamnya rosak (keledek, ubi kentang, dll).
Maha Suci AlLah daripada segala yang lemah
AlLah SWT hanya menerima yang ikhlas lagi indah
korban dari ternakan Habil diterima-NYA dengan mudah
sedang korban Qabil bersama belitan gelisah, gundah, & resah
hanya mereput menjadi makanan ulat & tanah
dengan penuh kesumat dendam Qabil berceramah
‘kau (Habil) akan kubunuh agar reput dalam tanah’
‘wahai abangku, hanya korban jiwa bersalut taqwa diterima AlLah’
lalu berlakulah episod julung kalinya dalam sejarah
manusia pertama dibunuh natijah desakan dengki & amarah
rupanya dalam mewarna perjalanan hidup ini ada manusia digelari KhalillulLah
bukan pingat kebesaran kurnia manusia tapi anugerah terus dari AlLah
hanya untuk seorang Ibrahim pemuda Babilon di negeri yang basah
pernah dicampak ke sarang api kerana dituduh membawa masalah
api sesekali tak pernah mahu menjamah & memamah
kerana sang api tahu Ibrahim membasmi aqidah yang salah
anutannya tak sesekali sama dengan orang Babilon beraqidah
Ibrahim meyakini yang tunggal berhak disembah hanya AlLah
bukan patung & berhala yang diletak di penjuru rumah
suatu malam Baginda Ibrahim dikunjungi mimpi indah
tapi muatannya seakan sesuatu yang resah bersulam gundah
pabila anak kecilnya bernama Ismail itu sempurna disembelih
esoknya desir bayu pagi yang dingin serta memamah
terasa seakan panas dengan pintaan pendapat yang menjamah
‘wahai anak kesayangan serta belahan penawar hati ayah
malam tadi ayah bermimpi engkau sempurna disembelih
berilah pendapatmu agar ayah tak dibanjiri rasa bersalah’
lompatan jawapan dari mulut Ismail bertakung bersama senyum cerah
‘segerakanlah wahai ayah jangan ditangguh walau sesaat perintah AlLah
ayah pasti bangga anakmu tertinta dalam kasus orang sabar Insya-AlLah’
pabila keduanya pasrah untuk menyempurna titah & perintah AlLah
dengan kibas gagah nyawa Ismail digalang-ganti dengan izin AlLah
tak pernah akan ada dalam daftar muatan kamus di sisi AlLah
sebarang hamba yang pernah dizalimi bersama perintah AlLah
tapi sang hambalah yang tak pernah sudah-sudah
menambung & menabung bebal dosa untuk menambah masalah
Eidil Adha kita tak pernah lekang dari melaku ibadat korban
empat hari diberi untuk menyempurna penyembelihan
sama ada 10, 11, 12, atau 13 Zulhijjah untuk jadi pilihan
yang diniai AlLah SWT dari deretan binatang korban
bukan banyak & beratnya daging yang dapat ditimbang
bukan banyak & merahnya darah yang dapat dialirkan
tapi tunas taqwa yang tumbuh berhijauwan
yang bakal memugar roda & warna hidup & kehidupan
menjadi hamba AlLah yang berketrampilan
atau meneruskan sisa-sisa perjuangan setan yang menyesatkan
11:02: 55 malam jumaat
01 zulhijjah 1432- 27 okt 2011
Kg telok kemunting
No comments:
Post a Comment