About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Tuesday, November 16, 2010

Kutbah Eidil Adha 1431- 2010

Tarikh : 10 Zulhijjah 1431 bersamaan 17 Nov 2010
Tempat : Masjid Pak Dir, Telok Kemunting Timur, Bachok, Kelantan
Masa : 08:15 pagi
Khatib : Abdan Syakuura Fauzi Amir Gus

AlLah Akbar, AlLah Akbar, AlLah Akbar,
AlLah Akbar, AlLah Akbar. AlLah Akbar,
AlLah Akbar, AlLah Akbar, AlLah Akbar


Bersyukur kita kehadrat IlLahi dengan rupa kesyukuran yang tidak terperi dan susuk kesyukuran yang tidak terjumlah, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya juga kita dapat berhimpun, pada pagi ini, di bawah satu bumbung, Masjid Pak Dir. Masjid merupakan tempat yang paling disukai-NYA di hamparan bumi ini. tanpa mengira di mana lokasi masjid itu, di bandar kah atau di pedalaman, besarkah saiznya atau kecil, mahalkah kos pembinaannya atau murah. Kerana masjidlah tempat berkumpulnya rahmat & maghfirah AlLah SWT. Semurah manapun kos pembinaan masjid itu, sedaif manapun kondisi masjid itu, kita tetap diberi pahala jika solat tahayatul masjid di dalamnya & kita boleh jadikan masjid tersebut untuk beriktikaf. Rumah kita walau semahal manapun kos mendirikannya, berjuta-juta ringgit atau puluhan juta ringgit, kita tidak boleh menajdikannya tempat untuk beriktikaf, manakala apabila kita memasukinya kita tidak disunahkan untuk bersolat tahayatul rumah.
Demi untuk menggarap restu, rahmat, dan berkat IlLahi di bumi ini, tidak lupa untuk kita memintal berselawat dan mengayam salam buat Nabi Akhir Zaman Muhammad SAW, insan yang paling benar dalam pernyataan hidupnya, yang telah menumpahkan segala kudrat diri untuk menyakinkan tentang keberadaan dan kehebatan agama AlLah SWT ini, di hamparan bumi ini, iaitu Islam yang sedang megah kita anut ini, agar menjadi cara untuk kita lestarikan di dunia ini, mempertahankan Islam ini daripada dinodai dengan seluruh kudrat yang ada dalam diri, walau terpaksa terpisah dari nyawa yang kita sayangi. Kerana Baginda SAW diutuskan bersama Islam untuk menjadi rahmat buat sekalian alam. Seperti yang termaktub dalam ketentuan firman Wama arsal na ka illa rahmatan lil alamin.

Saya pada pagi yang mulia dan berbahagia ini suka berpesan untuk diri sendiri & muslimin juga muslimat agar bertaqwa kepada AlLah SWT dengan memperbanyak cetakan amal soleh pada peta & atlas diri, dalam masa yang sama juga kita mengurangkan seterusnya berazam untuk menjadikan slogan Sifar Dosa mesra dengan diri kita, Insya-AlLah.

AlLahu Akbar, AlLahu Akbar, AlLahu Akbar

Hari ini 10 Zulhijjah 1431 hijrah bersamaan 17 november 2010 masihi pada catatan kalendar, merupakan hari kurniaan AlLah kepada umat Islam ini. AlLah SWT sengaja mengurniakan 10 Zulhijjah ini kepada kita agar kita bergembira menuju dan dalam rangka pengabdian diri kepada-NYA. Kita berhari raya dengan nama Hari Raya Adha (Korban) atau disebut juga Hari Raya Haji. Kerana pada hari ini umat Islam yang berkesempatan & berkemampuan melakukan dwiibadat dalam satu masa; iaitu mengerjakan ibadat haji sekaligus turut mewarnai iklim ibadat haji itu bertambah seri dengan ibadah korban. Pada pagi ini, kita berhimpun di salah sebuah daripada rumah AlLah SWT yang ada di bumi yang kita panggil masjid. Datang dan berhimpunnya kita di rumah AlLah SWT ini, pada dingin dini pagi ini, kita dengan rela meninggalkan segala aktiviti biasa yang biasa kita lakukan seharian. Walaupun kita seorang pengetua atau guru besar, kita tinggalkan sekolah, kita datang berhimpun di masjid, walaupun kita ketua jabatan atau pejabat, kita ketepikan urusan pejabat, kita datang berhimpun di masjid, walaupun kita petani atau pekebun, kita tinggalkan ladang, kebun, atau sawah, kita datang berhimpun di masjid, walaupun kita mekanik, kita tinggalkan bengkel, kita datang berhimpun di masjid, walaupun kita peniaga atau saudagar, kita tingggalkan urusan jual beli biarpun melibatkan transaksi berbilion ringgit, kita datang berhimpun di masjid, walaupun kita menteri besar atau perdana menteri kita tinggalkan urusan dengan para menteri atau exco, kita datang berhimpun di masjid, walaupun kita sultan atau yang dipertuan agung, kita ketepikan dahulu urusan pentadbiran dengan rakyat, kita datang berhimpun di masjid. Pendek kata siapapun kita, di mana kita berdiri dan berlari, selagi kita bernama dan menggabungkan diri dalam Islam, kita datang berhimpun di masjid, walaupun tidak ada sesiapa yang membayar gaji kepada kita, kita datang berhimpun di masjid walaupun kita sesiapa yang membayar elaun kepada kita, kita datang berhimpun di masjid walaupun tiada tuntutan elaun perjalanan kepada kita. Datangnya kita dan menggabungkan diri kita dengan jemaah masjid, kerana kita dihinggapi rasa yakin, ada satu fenomena yang tidak kelihatan tapi amat menentukan sedang menantikan; iaitu ada gugusan pahala yang siap sedia tersedia, ada slot pengampunan dosa yang siap siaga untuk memainkan peranannya, untuk beraksi dengan penuh ceria bagi menambah catatan soleh & solehah pada kanvas usia.


AlLahu Akbar, AlLahu Akbar, AlLahu Akbar

Muslimin & muslimat sidang raya yang berbahagia,

Apapun jua jenama raya yang kita cuba popularkan sama ada Hari Raya Adha (Korban) atau Hari Raya Haji & kita rentangkan di perkebunan masa dan dirapatkan di halaman usia, kedua-duanya telah mencatat serta menyimpan rakaman sirah yang benar. Tanpa sebarang percikan imaginasi, tanpa sebarang semburan rekonsktruksi, tanpa sebarang pantulan halusinasi, dan bergeraknya tanpa sebarang demoralisasi sebagai refleksi. Kerana rakaman sirah tersebut dicatat & diceritakan oleh AlLah SWT Yang Maha Benar, yang tiada sebarang kepentingan duniawi yang ingin dikejari. Di sinilah berbezanya dengan sejarah yang dicatat oleh tangan-tangan manusia yang penuh dengan warna kepentingan sama ada kepentingan berupa fizikal seperti tambunan wang ringgit atau kepentingan jiwa berupa sanjungan & kedudukan tinggi dalam masyarakat. Selayaknyalah AlLah SWT mempelawa kita agar berkorban seperti tertinta dalam Surah al-Kautsar;
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad SAW dan umat) kebaikan yang tersangat banyak (di dunia dan di Akhirat).
2. Oleh sebab itu, sempurnakanlah solat kerana-NYA semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).
3. Sesungguhnya orang yang membencimu(Wahai Muhammad SAW & umat Islam), dialah yang abtar (terputus)(dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
Memang benar, tidak ada sesiapa yang mampu menafikannya, himpunan kebaikan yang AlLah SWT telah, sedang, akan terus diberikan kepada kita terlalu banyak dan tidak pernah putus, 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, dan 360 hari setahun.
Tak usah pergi jauh, cuba kita kira berapa juta tong oksigen yang yang sedut setiap hari? Berapakah kos agaknya yang perlu kita belanja atau bayar andainya kita bernafaspada hari ini menggunakan oksigen daripada tong seperti yang digunakan oleh penyelam?
Agak-agaknya mampukan kita membayarnya? AlLah SWT meminta kita mengorbankan sedikit daripada kurniaan-NYA yang terlalu banyak itu, untuk diinfak bagi memberi kemaslahatan orang lain. Pelawaan berinfak ini termuat pada awal surah al-Baqoroh;
1. Alif, Laam, Miim.
2. Kitab Al-Quran ini, haram syak padanya (datangnya dari AlLah SWT dan maha sempurna); telah menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa;
3. Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan menyempurnakan solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad SAW), dan Kitab-kitab Yang diturunkan sebelum daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Rabb mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Ibadat korban dipercayai merupakan antara ibadat paling awal berada dalam carta pengabdian kepada AlLah SWT. Lalu tidak terheret di daerah peliklah jika manusia pertama menghuni dunia ini menjadi generasi pertama yang mempelopori ibadat yang hebat ini. Al-Qur’an yang terbukti benar, yang datangnya dari AlLah SWT yang Maha Benar, yang menjanjikan hari akhirat itu sesuatu yang benar, telah merakamkan siri sejarah pengorbanan yang pertama ini. Sila kita semak Surah al-Maidah mulai ayat 27;
27. Dan bacakanlah (Wahai Muhammad SAW) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) dengan benar (tanpa tokok tambah & imaginasi), iaitu ketika mereka berduanya mempersembahkan ibadat korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang darinya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). berkata (Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya AlLah SWT menerima (korban) dari orang-orang bertaqwa;
28. "Demi sesungguhnya! jika Engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, Aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. kerana sesungguhnya aku takut kepada AlLah SWT, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
29. "Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan disitulah tempat balasan orang-orang yang zalim".
30. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. oleh sebab itu menjadilah Qabil daripada golongan yang rugi.
31. Kemudian AlLah hantarkan seekor gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.

Sejarah pengorbanan manusia generasi pertama yang penuh seni dan berwarna-warni itu menyuntik satu inspirasi yang perlu diyakini iaitu, apa juga yang kita korbankan pada jalan AlLah SWT, apa yang menjadi penilaian di sisi ALLah SWT ialah panahan taqwa yang terbit dari busur hati, bukan merujuk kondisi produk yang kita huluri. Qabil apabila menerima perintah untuk berkorban ini, menerima dengan perasaan yang berbuku di hati atau dengan hati yang berat atau tidak ikhlas. Ketidakikhlasan ini dijelmakan lewat tindakannya yang menyediakan gandum yang tidak berkualiti sama sekali untuk dijadikan wahana pengorbanannya. Lalu gandum yang buruk dan busuk menjadi pilihan Qabil. Berbeza dengan adiknya Habil, apabila menerima tugasan korban ini, hatinya melonjak riang yang tidak dapat digambarkan dengan indahnya lukisan. Bertitiktolak dari ketundukan hati dan kegembiraan yang bersarang itulah menjadikan Habil memilih kibasnya yang paling tinggi kualitinya untuk dijadikan sarana pengorbanannya. Apabila kedua-dua produk pengorbanan ini diletakkan pada tempat yang ditetapkan, datanglah cahaya yang cukup terang membawa kibas Habil untuk disimpan dan dibela di syurga, sebagai balasan terhadap keikhlasan Habil dalam masa menyempurnakan syiar ibadat semasa.


AlLahu Akbar, AlLahu Akbar, AlLahu Akbar

Muslimin & muslimat sidang raya yang berbahagia,

Selang beberapa dekad setelah 2 anak Nabi Adam AS mempersembahkan ibadat korban. Muncul pula di relung sejarah satu catatan yang tidak terpadamkan, iaitu sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh seorang manusia yang telah lanjut usianya, pada saat & ketika dirinya amat memerlukan anak berada di sisi, membantunya melastari agenda yang masih berbaki, tapi diwahyu AlLah SWT hanya melalui mimpi memintanya agar menyembelih satu-satu anaknya. Dari satu sisi tentunya naluri kebapaan seorang yang bernama Ibrahim terlalu berat untuk melaksanakan perintah menyembelih anak kesayangan. Namun dari sisi yang lain Ibrahim faham situasi dan kondisi dirinya sebagai seorang nabi, yang mesti meletakkan perintah AlLah SWT berada di atas segala kepentingan diri atau naluri. Justeru kasih, sayang, dan cinta kepada anak dikesampingkan jauh ke tepi apabila bertembung dengan suruhan dan perintah IlLahi. Dunia tempat kita berpijak, berdiri, dan berlari ini, AlLah SWT yang menciptakan, kita sebagai manusia juga AlLah SWT yang menciptakan, peraturan siang malam, pagi petang, siang malam, perjalanan bulan bintang, semuanya AlLah SWT yang susun aturkan. Manusia tidak pernah diberi hak untuk campur tangan walaupun sesaat bagi menetukan perjalanan alam ini. AlLah SWT berhak mengubah peraturan atau sunnah alamnya ini, pada bila-bila masa, tanpa perlu memberitahu sesiapa! Begitu juga dengan peraturan pisau boleh melukakan, telah tidak diizinkan AlLah SWT pada hari itu untuk melukakan leher seorang budak yang bernama Ismail. Walaupun tajamnya pisau tersebut tidak sesiapa dapat menafikannya. Tetapi AlLah SWT telah mengizinkan pada masa yang sama ketajaman pisau tersebut untuk melukakan leher seekor kibas yang didatangkan dari dalam syurga, itulah dia kibas Habil yang ikhlas. Peristiwa agung ini disimpan rakamannya dalam Surah Ash-Shaafat mulai ayat 99.
99. Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Rabbku, ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).
100. " Wahai Rabbku! kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang yang soleh!"
101. Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyantun.
102. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
103. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah SWT itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),
104. Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.



AlLahu Akbar, AlLahu Akbar, AlLahu Akbar

Muslimin & muslimat sidang raya yang berbahagia,

Sambutan yang sedang kita raikan ini pada hari ini, dikenali dan dinamakan juga dengan Hari Raya Haji. Mengambil sempena muktamar terbesar & terhebat umat Islam yang diberi keizinan & rezeki oleh AlLah SWT untuk berhimpun di Padang Arafah. Puluhan, malah ratusan juta umat Islam dari setiap inci bumi datang dengan penuh rasa gembira, datang dengan penuh rasa syukur untuk menyempurnakan kehendak Rukun Islam kelima iaitu menyempurnakan ibadat haji. Tidak pernah ada catatan alam dunia ini, satu perhimpunan yang dihadiri jutaan manusia, melainkan perhimpunan umat Islam di Mekah. Umat Islam datang ke bumi Mekah hanya dengan satu matlamat; mendapat keampunan AlLah SWT. Jika kita selak al-Qur’an, AlLah SWT telah menamakan salah satu surah yang ada dalamnya iaitu surah yang ke-22 mengikut susunan dengan nama Surah al-Haj. Walaupun surah tersebut dinamakan dengan nama Surah al-Haj, tetapi AlLah SWT memulakan perbicaraan surah ini dengan ingatan supaya semua manusia yang ada ini membuat persiapan untuk berhadapan dengan situasi & kondisi yang bakal kita lalui pada hari kiamat. Inilah agenda AlLah SWT, jauh berbeza dengan apa yang mampu kita jangka dengan agakan kita. Agenda perdana yang AlLah SWT mahukan kita bersedia menghadapi dan sejahtera melaluinya kelak pada suatu masa, iaitu keberadaan kita pada hari kiamat. Ya, kemunculan hari kiamat yang pasti ada, yang pasti tiba dengan tiba-tiba untuk mempersilakan kita berada di bawah jajahan takluknya, agar kita bersedia membuat persiapan semampunya, agak kita tidak membazirkan sisa-sisa usia yang masih ada. Mari kita semak apa yang tertinta pada surah tersebut. AlLah SWT telah memahatkan firman-NYA:

1. Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Rabb kamu! Sesungguhnya gempa-gempita hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.
2. Pada hari kamu melihat (pelbagai peristiwa yang mengerikan lagi tidak terduga) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan keguguran anak yang dikandungnya; dan Engkau akan melihat manusia seakan mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi tumpahan azab AlLah SWT amatlah berat, lagi mengerikan.
3. Dan ada dalam kalangan manusia yang membantah ketetapan AlLah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, kerana ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.
4. Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) Syaitan itu, Bahawa sesiapa Yang berketuakan Dia, maka Sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.

AlLah SWT yang Maha Hebat ilmunya amat mengerti ketololan manusia untuk beriman dengan kewujudan hari kiamat, lalu DIA telah membuat satu analogi agar dengan misalan itu dapat menambahkan zat keyakinan kepada keberadaan hari kiamat, dengan sebait ayat yang juga termuat dalam Surah al-Haj ayat 5;

5. Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan ada yang tidak sempurna kejadiannya; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami menetapkanmu dalam rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi sesuatu yang telah diketahui-Nya dahulu. dan (ingatlah satu bukti lagi); engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.


Kemahaperkasaan AlLah SWTlah yang telah menjadikan kita daripada tiada langsung kepada ada dan tidak serupa atau sama dengan mana-mana spesis yang ada di dunia ini, sama ada pokok, haiwan, batu-batan, udara, angin , ataupun sesama manusia, walaupun 2 saudara kembar. Untuk menghidupkan manusia kali kedua jauh lebih mudah, kerana pabila manusia mati, dia tetap ada, Cuma keberadaannnya tersembunyi di sebalik timbunan tanah sahaja atau manusia hanya disorokkan buat sementara dan apabila tiba masanya Allah SWT akan memanggil dengan satu panggilan yang Maha Hebat yang akan menjadikan sesiapa sahaja yang mendengar panggilan itu akan bersegera menuju AlLah SWT dalam masa yang tidak sampai sekelip mata. SubhanalLah.


AlLahu Akbar, AlLahu Akbar, AlLahu Akbar

Muslimin & muslimat sidang raya yang berbahagia,

Baginda Rasul SAW telah memetakan sabda ; Dibina asas Islam atas lima, mengiktiraf tiada ilah melainkan AlLah SWT, menyempurnakan solat, mengeluarkan zakat, menyampaikan jejak kaki mengelilingi BaitillLah buat sesiapa yang mampu, & berpuasa pada bulan Ramadhan. Memperjelas kepada kita 5 perkara yang tertera itu merupakan ajaran tunjang & asas dalam Islam yang dibawa & didakwa serta didakwahkan oleh para anbiya’ AS bermula dengan Nabi Adam AS sehinggalah ke hari kiamat. Datuk kita Nabi Adam AS merupakan orang pertama daripada kalangan manusia yang diperintahkan AlLah SWT agar memijakkan kakinya di bumi Mekah sekaligus merupakan orang yang pertama atau arkited pertama yang mereka bangunan Ka’bah. Pusingan hari-hari yang berlalu meninggalkan catatan di kalendar, manusia semakin sibuk mengurus & mencari tuntan kehidupan yang berupa keperluan fizikal, telah menjadikan manusia terpenjara di daerah alpa & menjauh daripada suruhan AlLah SWT. Sudah menjadi tabiat perkembangan agama Islam ini, AlLah SWT sebagai pemilik tunggal agama ini, akan memastikan dalam setiap kurun & zaman, munculnya manusia yang sanggup memikul iman, walaupun nyawa yang satu menjadi taruhan atau cagaran. Biarpun kesemua para anbiya datang ke Mekah mengunjungi BaitillLah dan menyempurnakan bilangan pusingan mengerjakan tawaf, tetapi dalam garapan al-Qur’an, AlLah SWT hanya mencatatkan kunjungan, permautautinan KhalillulLah Ibrahim AS bersama isterinya Hajar dan Ismail sahaja. Keberadaan KhalilulLah Ibrahim AS bersama keluarganya di bumi Mekah untuk menyempurnakan misi & visi AlLah SWT buat para hamba. Baginda Ibrahim bersama anaknya Ismail menyahut cabaran menggendong & menggalas misi serta visi IlLahi ini dengan membangunkan semula binaan Ka’bah di atas tapak yang sama, di mana Ka’bah itu yang pernah dibina asasnya oleh Saidina Adam AS. Apa yang menjadi perbezaan yang ketara antar kedua-dua jenis pembinaan ini seperti yang termuat dalam catatan al-Qur’an ialah adanya perintah tambahan dari AlLah SWT kepada KhalilulLah Ibrahim agar mengumandangkan pengumuman agar memanggil manusia agar datang ke bumi gerbang Mekah untuk menyempurnakan kefardhuan haji atau umrah. Kasus ini jelas termuat dalam al-Qur’an Surah al-Haj:

27. "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, atau dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
28. "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama AlLah SWT, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
29. "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu".
30. Itulah Yang wajib dipatuhi; dan sesiapa Yang menghormati hukum-hukum Allah maka Yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, -

Oleb sebab KhalilulLah Ibrahim AS bersama keluarganya benar-benar ikhlas dalam menyempurnkan setiap inci perintah IlLahi, maka berkat & karamah daripada ajakannya biarpun sudah ribuan tahun dikumadangkan, bairpun tanpa pembesar suara yang memungkin suara itu pergi lebih jauh, biarpun tanpa sokongan alatan yang dibanggai pada zaman ini, teknologi komunikasi tanpa wajar, tetapi seruan yang dikumandangkan oleh datuk kita KhalilulLah Ibrahim AS, telah masih berupaya memasuki halaman hati kita dan melekat kejap pada hari ini. Lantaran itu saban tahun dapat kita lihat ribuan juta manusia yang sempat hidup pada akhir zaman ini bercita-cita untuk ke sana. Yang sudah melihat Ka’bah dari dekat untuk kali pertama, akan menyatakan haratnya untuk kembali ke tanah suci buat kali yang kedua.



AlLahu Akbar, AlLahu Akbar, AlLahu Akbar

Muslimin & muslimat sidang raya yang berbahagia,

Setiap kali menjelmanya 10 Zulhijjah, apabila kita diberikan sedikit kemampuan, nescaya kita akan melakukan ibadat korban, iaitu menyembelih kambing, atau biri-biri, atau berkongsi daripada satu bahagian untuk seekor lembu atau kerbau. Awal-awal lagi AlLah SWT telah menetapkan atau menjelaskan, apakah binatang yang kita korbankan itu diterima-NYA atau tidak, bahagian manakah pada seekor binatang korban yang disukai-NYA, binatang ternak manakah yang digemari-NYA lewat pautan firman, Surah al-Haj ayat 37;
37. Tidak sampai yakni tidak diterima AlLah SWT daging dan darah binatang korban atau hadiah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan AlLah SWT kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan pelbagai syurga) kepada orang-orang Yang berusaha supaya baik amalnya.
AlLah SWT menetapkan skima untuk menerima ibadat korban yang dilakukan ialah ikhlas dan taqwa. Binatang apakah yang kita korbankan, bagaimanakah bentuk fizikal binatang korban yang kita sembelih itu, tidak menjadi persoalan yang besar. Yang dipandang & dinilai AlLah SWT ialah hati manusia yang melakukan ibadat korban itu, adakah penyembelihan yang dilakukan itu dilonjakkan oleh rasa ketaqwaan kepadanya atau penyembelihan itu dibuat kerana adat semata-mata. Waktu atau jangkamasa untuk kita melakukan ibadat kurban itu ialah dimulai sejak tanggal 10 Zulhijjah yakni hari ini sampailah 13 Zulhijjah. Masa memotong qurban pada tanggal 10 disebut “Yaumul Nahar”yaitu hari untuk menyembelih kurban. Sedangkan tanggal 11, 12, dan 13 Zulhijjah pula dinamakan “Yaumul Tasyriq”. Seandainya kita menyembelih haiwan di luar daripada tarikh yang ditetapkan, penyembelihan kita itu tidak dikira sebagai berkorban tetapi dinamakan sedekah. Dengan makna binantang yang kita sembelih di luar daripada tempohnya 10- 13 Zulhijjah, tidak akan bertukar dan ditukar ALLah SWT menjadi kenderaan kita buat menyeberangi Titian Sirat yang terbentang. Maka kalau niatnya untuk berkurban harus dilakukan padan waktu-waktu tersebut, yakni pada tanggal 10,11,12, dan 13 Dzulhijjah

Hukumnya berkurban ada dua pendapat: Pertama, wajib bagi orang yang mampu (kalau dibelikan kambing tidak akan mengurangi kewajiban memberi nafkah kepada keluarga). Sementara pendapat yang kedua berpandangan sebagai hukumnya Sunnah Mu’akadah. Adapun berkorban menjadi wajib secara mutlak iaitu apabila seseorang itu bernazar, sekiranya hajatnya tercapai. Misalnya seseorang bernazar sekiranya anaknya mendapat 5A UPSR, dia akan menyembelih seekor lembu.
Dasar kewajiban ibadah kurban juga berdasarkan hadis Baginda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa mempunyai kesanggupan dan kemampuan (untuk berkorban) tapi tidak melaksanakan korban maka janganlah dia mendekati musholla kami”.
Ada 3 cara untuk kita mengagihkan daging binatang yang kita korbankan itu; yang pertama kita bahagi-bahagikan semua sekali. Seperti yang dilakukan oleh sebahagian sahabat kita yang menyertai ibadat korban di Kamboja, sedangkan dia berada di negara kita. Yang keduanya, kita agihkan semua daging korban kecuali anggota dalaman seperti hati, limpa, paru-paru dan seumapamanya. Yang ketiganya kita bahagikan daging korban kita kepada 3 bahagian. Satu bahagian kita makan sementara 2 bahagian kita agih-agihkan. Daging yang diagihkan itu sama ada bernama sedekah atau hadiah. Dinamakan sedekah untuk fakir miskin atau untuk mereka yang lebih rendah taraf sosialnya berbanding dengan kita. Adapun disebut hadiah pula ialah untuk diberikan kepada mereka yang sama taraf sosialnya atau lebih taraf sosialnya daripada kita.
Apa hikmah yang tersimpan dalam ibadah korban itu? Hikmahnya antara lain ialah dapat menggembirakan fakir miskin. Sebab tidak semua orang mampu makan dengan daging walau tinggal di kota besar, masih banyak kawan kita, saudara kita, tetangga kita yang makan daging sebulan sekali. Sehari-harinya hanya makan alakadarnya. Maka dianjurkan sekali bagi orang yang mampu untuk berkorban dengan niat ikhlas, kelak pada hari akhirat binatang yang kita korbankan akan bertukar menjadi kenderaan yang bakal mengantarkan kita menuju surga.
Dalam hadis yang lain Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda : “Tiap-tiap rambut yang dikurbankan adalah merupakan “Khair”. Ungkapan “Khair” ini mengandung arti keselamatan, kesejahteraan, kebahagiaan, kemurahan AlLah SAW dan kalau orang sudah mendapatkan khair maka berarti dia telah memperoleh segala-galanya dari Allah. Itulah hikmah daripada ibadah qurban.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters