Al-Fatihah,
Al-Fatihah buat mereka yang telah berpulang ke Hadrat AlLah SWT tuan punya sekalian alam dan telah ditinggalkannya (mereka berdua) pelbagai ilmu yang bermanfaat untuk umah guna diamalkan juga disebarluaskan. Nama mereka berdua terlalu kecil untuk diisi dalam peta Malaysia atau dalam buku Rekod Malaysia, apatah lagi untuk dicatat dalam Rekod Dunia. Apa yang pastinya para Malaikat AS cukup akrab mengenali mereka berdua. Biarpun nama mereka agak terpencil di sudut dunia, tetapi sumbangan ilmu yang pernah dicurah melalui lisan, mengajak manusia berabdi hanya kepada AlLah SWT, belahan bumi sebelah sini (kg Kenali, kg Pasir Tok Kambing, tertinta kediaman mereka ) tidak dapat menafikan. Kedua-dua mereka juga merupakan guruku, secara tidak formal. Kedua-dua mereka pernah menjadi Mudir di Sek Men Ugama Darul Anwar (SMUDA) di kampungku, Cuma yang menjarakkan hanyalah latar masa menjadi Mudir sahaja. Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Mawardi Ahmad menjadi Mudir SMUDA di sekitar tahun 1980-an sementara Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Ab Rahman Ismail lebih awal di sekitar 1970-an.
Di kampung kelahiran atau tempat tumpah darah bonda yang melahirkanku, seawal tahun 1960-an sudah terdiri megah sebuah institusi pendidikan yang menyediakan peluang belajar kepada anak-anak sewaktu berumur di bawah 7 tahun, yang dikenali sebagai Sekolah Kanak-kanak dan SMUDA pula menawarkan peluang belajar dari tingkatan peralihan hingga tingkatan 3. Masih jelas dapat kuingat dan aku tidak pernah belajar untuk melupainya apatah lagi untuk melupainya dari pita ingatanku, sewaktu usiaku 8-9 tahun, setiap kali aku bersua wajah dengan Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Ab Rahman Ismail, dia akan bertanyaku, bila anta nak belajar di sekolah Arabnya? Aku dengan senyum sahaja menelorkan jawapan ana baru darjah 2, nanti bila ana naik sekolah menengahla. Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Ab Rahman Ismail di samping bertugas sebagai Mudir, beliau juga Imam di masjid mukim yang terletak di sebelah kampungku. Masjid mukim tempat beliau menjadi Imam memuatkan beberapa buah kampung; kg Tok Ku, kg Padang Dalam, kg Kedai Lalat (kini bertukar nama kepada Kota Jembal), kg Pasir Tok Kambing, kg Wakaf Tanjong, kg Babong, kg Surau, kg Kedondong, dan kampungku. Masjid mukim terletak di kg Kedai Lalat sepagar dengan SK Kota Jembal sekarang. Sebagai Imam masjid mukim, pastinya 2 kali sebulan, beliau akan memberikan Kutbah Jumaatnya kepada anak-anak jemaah.
Menjadi guru atau disebut ustaz dalam bahasa Arab, digelar cikgu dalam bahasa Melayu, disebut teacher dalam bahasa Mat Putih sebenarnya tidak pernah tercatat dalam senarai cita-citaku. Sedini darjah 6, apabila diminta menulis 3 cita-cita dalam Rekod Peribadi, kerjaya guru tidak pernah mengundang minatku. Kerjaya yang mengundang minatku dan telah kutulis dalam buku ialah Juruterbang, Jurutera, dan Penyiasat Persendirian. Antara ketiga-tiga kerjaya yang kunyatakan itu, Penyiasat Persendirianlah yang lebih kuminat. Lonjakan cita-cita itulah telah mendorongku untuk membaca buku-buku penyiasatan dan memilih untuk menonton siri penyiasatan yang ditayangkan di tv. Masih kuingat pada waktu itu, siaran tv masih hitam putih. Buku-buku Hardy Boys, Nancy Drew, Alfred Hilcot, menjadi pilihan utamaku. Sementara siri tv yang gemar kotonton pula ialah The Saint, Return of The Saint, Bionic Woman, Six Million Dollar Man, Sharlek Homes, The Rockford Files, Barreta, Hawai Five 0, Barnaby Jones.
Memang benar kata orang-orang tua, kita hanya bia merancang tapi Tuhan yang menentukan. Ketentuan AlLah SWT Yang Maha Penakdir tiada sesiapa yang mampu atau berupaya untuk menolaknya. Segala ketentuan-NYA diterima penuh redha. Betapa manusia ini, kita sebetulnya memang tiada daya, memang tiada upaya untuk memenuhi kehendak sendiri. Begitulah dengan takdir yang melingkari diri ini. pada suatu pagi yang hening, seperti kata dalam sebuah lirik lagu – Pepatah Pujangga, nyanyian A. Ramlee; burung-burung berterbangan, angin pagi bertiupan, sang suria mula memancar, menyinari alam yang indah, indan di dunia mula tersedar, sehari lagi umur meningkat, yang dah pergi akan diganti, yang masih hidup terus berbakti,jangan takut pada mati, kalau beriman yangsuci, kubur bukan perhemtian rohani, tapi perhentian jasmani, wahai orang-orang beriman, inilah pepatah pujangga, patah yangtelah diberikan, oleh insan bijaksana, mari insaf, mari semua, kau dan aku menadah tangan, memohon doa pada IlLahi, agar selamat hidup dan mati. Sewaktu sedang kuikat tali kasut untuk pergi ke Sek Men Kubang Kerian, bagi melaporkan diri untuk belajar di tingkatan 6, pada awal Ogos 1984, ada satu suara singgah dan bertamu di penjuru telingaku, suara itu kukenal benar, suara sepupuku; G, ustaz Mawardi suruh pergi sekolah dia sebentar. Tanpa basa basi, tanpa bertanya itu dan ini, kuhayunkan katih ini cepat-cepat ke SMUDA kerana selepas itu aku akan ke SM Kubang Kerian pula. Sesampainya langkahku di SMUDA, Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Mawardi Ahmad mempersila kududuk dan memberikan padaku pen dan sehelai kertas, beliau meminta kucatat apa yang akan diberitahunya. Sangkaku apa yang bakal diberitahunya ialah jadual kuliah Maghrib atau jadual ceramahnya. Kerana aku selalu menumpang keretanya untuk ke majlis-majlis ilmu yang dimederatorinya, sama ada dalam Kelantan atau di luar Kelantan. Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Mawardi Ahmad ajap kali benar mengajakku untuk menemaninya, menjadi rakan bersembang semasa dalam perjalanan keluar daripada Kelantan. Suatu waktu setelah bertolak balik dari Batu Rakit kerana satu ceramah yang diberinya, jam sudah melebihi 12 malam, untuk mengelakkan kami mengantuk, Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Mawardi Ahmad mengajakku bersama-samanya membilang jumlah selekoh yang ada di sepanjang Sungai Tong. Justeru bila beliau menyuruhku mencatat, aku hanya turus akur. Setelah selesai mencatat yang yang diberitahunya, beliau bangun dan berkata padamu, jom, ikut ana. Pada pusingan sangkaku, beliau ingin mengajakku ke kantin, rupanya salah jangka pada sangka, beliau rupanya membawaku berjalan menuju ke satu kelas, setelah sampai di pintu kelas tersebut, anta masuk mengajarle, jadual ana beri dah tadi tu. Seperti lembu yang tercucuk hidung, aku terus menuju kelas tersebut, tingkatan 1 meminta buku teks daripada pelajar dan bertanya setakat mana yang sudah dipelajarinya dan setakat mana yang belum dipelajari lagi. Lalu bermulalah satu catatan baru dalam lembaran hidupku, mulai jadi guru sedini usia 18 tahun. Apa yang anehnya, tapi itu semua merupa kehendak-NYA yang tidak apat dinafi dan ditolak sesiapa, apabila diminta masuk ke kelas, kolam hajatku yang tersimpan hasrat untuk melapor diri belajar di tingatan 6, tertimbus total dan tuntas. Apabila mula mengajar, aku dihinggapi rasa amat seronok dan seronok. Ya, memang satu rekod pada catatan keluarga besarku, kerana akulah orang pertama dalam keluargaku yang menjadi guru. Oleh sebab usiaku 18 tahun sewaktu mengajar di SMUDA, aku dipanggil oleh rakan guru dengan panggilan Guru Walaad. Hari ini usiaku sudah memanjat tangga di kalendar menjadi 44 tahun, bermakna sifir mudah sudah 26 tahun, kerjaya guru ini kugeluti, tanpa sebarang pinta hati pada permulaan kamus hari.
Thank You, AlLah SWT. Dulu, Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Ab Rahman Ismail mengajak kusungguh-sungguh di sekitar tahun 1970-an supaya menjadi salah seorang pelajar yang merangkak dan bertatih belajar SMUDA, takdir AlLah SWT pula menghendaki aku lewat Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Mawardi Ahmad menjadi salah seorang yang bakal diingat sebagai salah seorang guru yang telah memahatkan sedikit jasa buat SMUDA.
Sekumanpun pun kutak kecil hati dengan hidup yang kulalui, Tuhan adil dan saksama memberikan seribu rahmat,sebahagian kecil lirik lagu dendangan Sharifah Aini.
Oh AlLah tak pernah terjelma kesal pada pusingan hari dalam hidup ini, menjadi seorang yang dengan panggilan guru digelari, malah kubentangkan penuh dan tepu rasa syukur ini, kerana KAU telah, sedang, dan Insa-AlLah akan terus memilihku, sebagai salah seorang yang meneruskan kerja para anbiya-MU di bumi ini, mengajar, mengajar, mengajar, mengajar dan terus mengajar, sama ada, ada orang yang mendengar atau sebahagian mereka akan ingkar.
Al-Fatihah buat Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Mawardi Ahmad &
Gemulah (Al-Marhum) Tuan Guru Hj Ab Rahman Ismail
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment