Kepada-NYA (ilmu pengetahuan Allah SWT) jualah kembalinya ilmu (masa terjadinya) hari kiamat; dan tidak akan terbit/keluar sebiji buah-buahanpun daripada kelopak/bunganya, dan tidak ada seorang pun perempuan akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan dalam pengetahuan-NYA(izin-NYA). dan pada hari kiamat kelak AlLah SWT akan bertanya " di mana sekutu-sekutu-KU (yang kamu puja selain-KU)? mereka menjawab: "Kami mengakui kepadamu (Wahai Tuhan kami), Bahawa tidak ada di antara Kami seorang pun Yang mahu menjadi saksi (kerana anggapan Kami dahulu telah nyata salahnya)!"- surah Fushshilat ayat 47.
Ajaran pokok atau agenda perdana atau isu primer yang didakwahkan Baginda Nabi Muhammad SAW yang mendominasikan ajaran Islam ialah keberadaan kita dengan makna dihidupkan kembali untuk menjalani kehidupan pada hari kiamat atau hari akhirat. Isu ini menjadi sesuatu yang pelik dan asing kepada masyarakat jahiliyyah yang dimotori kaum Quraisy di Mekah. Lalu mereka mengerumuni Baginda Nabi SAW untuk mengasak Baginda SAW dengan pertanyaan bilakah tarikh menjelmanya hari kiamat itu? AlLah SWT menurunkan penjelasan lewat ayat 47 surah Fushshilat ini dengan menyatakan bahawa hari kiamat itu termasuk dalam perkara yang ghaib yang mana pengetahuan tentangnya (hari kiamat itu) hanyalah ada dalam ilmu-NYA dan DIA tidak akan memberitahukan kepada sesiapa sahaja termasuklah kepada hamba yang paling mulia dan paling disayangi-NYA (Nabi Muhammad SAW).
Hal atau kondisi ini untuk menjawab kepada persoalan kiamat yang bakal diperdebatkan manusia dari semasa ke semasa, dan untuk menafikan ramakan manusia yang kononnya dengan kecanggihan yang ada, mampu meramalkan bilakah hari kiamat bakal menjelma dan tiba. Kalaulah kepada hamba yang paling mulia dan paling disayangi-NYA pun AlLah SWT tidak menjelaskan bilakah tarikh akan berlaku kiamat dengan tepat, bagaimana pula dengan manusia pada hari ini yang nabi pun bukan, rasul pun bukan, ulama pun bukan, lepas tu kafir pula!
Baginda Yang Mulia Nabi Muhammad SAW hanya diizinkan-NYA untuk memberitahukan tanda-tanda hampirnya kita dengan hari kiamat; antaranya Baginda SAW menjelaskan dalam sebuah hadisnya yang popular “tidak akan berlakunya kiamat, sehinggalah orang Muslim akan memerangi dan membunuh yahudi, pada masa itu yahudi akan bersembunyi di sebalik tembok dan pokok, tetapi tembok dan pokok akan memberitahu ‘Wahai Muslim ini ada yahudi bersembunyi di sebalikku, bunuhlah dia’ kecuali pokok ghar-ghar, sebab itu pokok yahudi”
Hari kiamat hanya akan berlaku dengan pengetahuan dan izin-NYA sahaja. Tanpa izin-NYA tidak akan berlaku sesuatu perkara sama hal itu kecil atau besar, kerana kecil besar hanya perkiraan di sisi kita sahaja, diukur dengan kemampuan kita yang amat terhad dan terbatas sahaja, sedang di sisi-NYA, semua perkara sama sahaja, tidak ada yang terkecil, kecil, sedehana, besar atau terbesar.
Bukan sahaja hari kiamat AlLah SWT tidak memberi izin untuk manusia mengetahuinya, bilakah tarikhnya, tahun mana, malah perkara yang selalu ada di depan mata pun, ada yang AlLah SWT tidak mengizinkan kita mengetahuinya, misalnya berapa biji buahkan yang akan keluar daripada setangkai bunga pada sebatang pokok. Katakan pokok mangga kita sedang mengeluarkan bunga, berapa biji buahkah yang akan terhasil daripada bunga itu, pun AlLah SWT tidak pernah dan tidak akan memberitahukan kepada manusia. Sebanyak buah mangga yang kan terhasil semuanya sudah ada dalam pengetahuan-NYA dan hanya akan berbuah dengan izin-NYA sahaja.
Samalah halnya dengan manusia yang berkahwin, siapakah yang bakal mengandung hanya AlLah SWT yang mengetahuinya dan seseorang itu hanya boleh mengandungkan bayi pula hanya dengan izin-NYA. Setelah diizinkan-NYA mengandungkan bayi, siapa pula yang diizin-NYA untuk melahirkan, hanya DIA yang mengetahuinya. Tiada sesiapapun yang mampu menjamin, tidak ada mana-mana kerajaan yang berani memberi jaminan, setiap ibu yang mengandung pasti boleh melahirkan. Begitu juga dengan kandungan yang terjadi kepada haiwan, berapa juta ekor ikankah yang bakal ditetaskan daripada telurnya, hanya AlLah SWT yang Maha Tahu.
Antara agenda tersurat yang ada pada hari kiamat ialah AlLah SWT akan mengumpulkan semua manusia yang pernah menerima subsidi nyawa dari-NYA, bermula semenjak manusia yang pertama Adam AS sehinggalah manusia yang terakhir dapat menyedut dan menghempus nafas. Pada hari itu AlLah SWT akan bertanyakan kepada manusia yang liat dan segan untuk tunduk dan patuh kepada perintah-NYA (Islam), di manakah sekutu-sekutu-NYA (yang dipuja dan dipuji manusia, yang dipohon pertolongan dan diminta perlindungan, sesuatu yang diyakini dapat memakmurkan selain Allah SWT)? Sama ada yang berupa berhala, kubur-kubur keramat, pokok-pokok tertentu, binatang-binatang tertentu, falsafah-falsafah tertentu, ideologi-ideologi tertentu, undang-undang-tertentu, dan lain-lain lagi, semua ini akan diminta oleh AlLah SWT supaya dipanggil oleh orang yang memujanya sewaktu di dunia untuk berhadapan dengan-NYA pada hari akhirat, untuk diadakan sesi soal siasat.
Apa yang mendukacitakan ialah, pada hari tersebut tidak ada seorang pun manusia yang berani untuk untuk mengajak atau memanggil apa yang dipujanya sewaktu di dunia bagi berdepan dengan keperkasaan AlLah SWT. Justeru, kenapa kita perlu menyerabutkan kepala kita dengan sembahan-sembahan selain daripada AlLah SWT. Jom mari kita kembalikan seluruh denyut nadi kita sesuai dengan kehendak AlLah SWT. Semua kehendak AlLah SWT ini termaktub dengan stabil, dulu, kini, dan selamanya dalam al-Qur’an, tidak terubah walaupun setitik, sama ada penambahan atau pengurangan. Al-Quran yang ada di hadapan kita pada hari ini, itulah al-Qur’an yang diturunkan dan dibaca Baginda Nabi SAW dan para sahabat. Al-Qur’an yang meletakkan mereka menguasai satu pertiga daripada belahan dunia melalui pengamalan apa yang tertera padanya, sama ada yang bersifat suruhan atau yang berupa larangan.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment