About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, February 2, 2011

Antara Zaman Jahiliyyah dengan Zaman Islam, Manakah Yang Lebih Dahulu?

Dalam satu sesi kuliah di dalam kelas, seorang Tuan Guru telah bertanya kepada pelajarnya dalam sesi percambahan minda; ‘Antara Zaman Jahiliyyah dengan Zaman Islam, Zaman Manakah Yang Lebih Dahulu’? Daripada 100 responden yang ditanya 75% menjawab zaman jahiliyyah, 1% berkeyakinan zaman Islam, sementara 24 % lagi tidak pasti. Tuan Guru berkenaan bertanyakan soalan yang kedua; adakah para pelajar bersetuju, manusia pertama yang dihantar ke sini untuk memakmurkan bumi ini bernama Adam AS bersama isterinya yang tercinta Hawa? Untuk soalan ini 100% pelajarnya bersetuju dengan penuh keyakinan di jiwa bahawa Adam AS manusia pertama yang mendiami bumi. Soalan ketiga Tuan Guru itu menyusul buat difikir para pelajarnya, apakah nama atau gelaran zaman yanag didiami oleh Adam AS, adakah zaman jahiliyyah atau zaman Islam? Dengan penuh konfiden para pelajarnya menjawab, zaman Islam Tuan Guru. Kenapa anakanda pelajar menyangka demikian? Soalan keempat Tuan Guru tadi menyusul. Dengan satu suara, serentak para pelajarnya menjawab; kerana Adam AS itu seorang nabi lagi rasul yang diutus Allah SWT. Semua para nabi atau rasul hanya mengajarkan Islam. Justeru, Tuan Guru tadi menyimpulkan, kalau macam itu, zaman Islam lebih dahulu daripada zaman jahiliyyah, kesemua pelajarnya senyum dan ada yang menepuk-nepuk dahi. Soalan berikut daripada Tuan Guru itu, siapakah pelopor atau pengasas jahiliyyah ini? Dengan pantas seorang pelajar menjawab Qabil, Qabil, Qabil.

Pendekatan atau metode yang digunakan olah Tuan Guru berkenaan cukup mudah, ringkas, tepat, dan padat. Sementara dari satu sudut yang lain, memadamkan seterusnya menguburkan penipuan yang cuba dimasukkan ke dalam minda para pelajar melalui subjek-subjek tertentu. Kita tentunya masih tidak lupa sewaktu di bangku pelajaran terutamanya di peringkat menengah kita semua disogokkan dengan auta; sebelum manusia ini menjadi Islam, mereka terlebih dahulu anamisme, selepas itu datang zaman budha, kemudian mereka menganut hindu, setelah itulah barulah datang zaman Islam. Pembohongan dan auta sejarah ini masih berbaki dan menjadi daki yang berkarat dalam sebahagian manusia. Apabila telah bersebati dan menjadi daki mati, amat sukar untuk dikeluari dari anutan diri. Walau bagaimanapun kita sebagai umat Islam yang ada rujukan paling benar, al-Qur’an, yang diturunkan oleh AlLah SWT Yang Maha Benar, dan ditafsir serta diterjemahkan oleh insan yang paling benar dan diakui kebenarannya dengan gelar al-Amin, janganlah turut serta memberikan saham untuk menyebarluaskan kekarutan dan auta ini. Cukuplah dengan jumlah pencarut-pencarut yang sedia ada itu, kita jangan sekali-kali memasukkan nama ke dalam senarai panjang untuk menambahkan jumlah pencacai di hamparan bumi yang indah dan permai ini.

Seharusnya kita sebagai umat yang bernabi ini mempertahankan fakta yang jelas lagi bersuluh ini, zaman yang asal atau yang pertama wujud di dunia ini ialah zaman Islam. Qabil dikira pendiri atau pengasas zaman jahiliyah kerana dialah manusia pertama yang menyanggah ajaran AlLah SWT. Qabil enggan tunduk atau menundukkan ego nafsunya di bawah telapak perintah atau ketentuan AlLah SWT. Amat pasti sekali ayahandanya (Adam AS) atau bondanya (Hawa) tidak mengajarnya untuk menentang perintah AlLah SWT! Lalu siapakah yang mengajar Qabil menjadi sedemikian? Atau dengan siapakah Qabil berguru sehingga tingkahnya menjadi begitu? Ke bumi atau destinasi manakah agaknya Qabil merantau untuk mempelajari ilmu bagi menentang ajaran AlLah SWT? Tentunya yang mendesak Qabil bertingkah begitu ialah lambungan nafsu mazmumah yang berjaya dikembangbiakkan potensinya oleh iblis and the gang. Ya, untuk berguru dengan iblis dan rangkaian muridnya, kita tidak payah merantau ke mana-mana, kerana merekalah yang akan sentiasa datang mencari kita setiap masa dengan pelbagai strategi, pelbagai pendekatan, pelbagai program. Iblis and the gang mempunyai visi dan misi yang amat jelas, dulu, kini, dan selamanya, iaitu; membanyakkan manusia yang bersedia menjadi pembangkang kepada ajaran AlLah SWT. Sama ada membangkang secara perseorangan atau secara berkumpulan. Tidak mengira daripada lapisan manakah manusia itu berada, tidak mengira di latar geografi manakah manusia itu berdiri dan berlari, tidak mengira daripada pada pecahan warna budaya manakah manusia itu menyendiri atau menyepi. Semuanya tidak akan selamat daripada jaringan tipu muslihat iblis and the gang, kecuali manusia yang benar-benar ikhlas menjadi hamba AlLah SWT di bumi, seperti golongan para nabi, sidiqqin, syuhada, solehin, dan manusia yang sentiasa mencari jalan serta daya usaha untuk mendekatkan dirinya dengan petunjuk agama AlLah SWT.

Memang kita tidak boleh menjadi nabi dan amat mustahil untuk menjadi nabi, kerana dengan kelahiran dan penobatan Nabi Muhammad SAW, maka berakhirlah rangkaian para nabi. Tetapi untuk menjadi sidiqqin, syuhada, solehin, dan manusia yang sentiasa mencari jalan serta daya usaha untuk mendekatkan dirinya dengan petunjuk agama AlLah SWT, peluang dan ruang ini sentiasa terbuka pintunya sehinggalah dunia ini ditamatkan nyawanya (kiamat). Tambahan pula gelaran nabi atau rasul itu bukanlah sesuatu yang boleh dipohon sebagaimana kita memohon pekerjaan dengan badan-badan atau institusi-institusi tertentu. Tidak ada mana-mana pilihanraya yang boleh disertai untuk menjawat jawatan nabi ini. Senarai 25 nabi yang wajib kita ketahui itupun tak ada seorang daripada mereka yang calon untuk menyertai pilihanraya dan terpilih dengan majoriti tertentu dan akhirnya mengangkat sumpah menjadi nabi. AlLah SWT memilih dan melantik para nabi-NYA walaupun tidak ada seorang pun daripada manusia yang menjadi penyokongnya. Pada malam Isra’ Mikraj, Baginda Nabi Muhammad SAW telah dipertemukan dengan para nabi dan rasul yang pernah diutuskan untuk berdakwah kepada manusia, Baginda SAW melihat ada kalangan nabi yang mempunyai pengikut yang banyak seumpama Nabi Musa AS, ada nabi yang mempunyai pengikut yang sedikit seumpama Nabi Nuh AS, 950 tahun berdakwah hanya diikuti sekitar 80 orang sahaja, mengikut riwayat yang paling banyak. Mengikut perkiraan mudah dalam masa 4-5 tahun melebarkan dakwahnya, barulah ada seorang yang mengikut ajaran AlLah SWT yang dibawakan Nabi Nuh AS. Mudah-mudahan AlLah SWT memperpinjamkan kesabaran dan kegigihan Nabi Nuh AS dalam dakwahnya itu kepada kita pada hari ini. Anugerah nabi atau rasul merupakan anugerah dan pilihan eksekutif AlLah SWT, yang tidak mampu dipertikaikan oleh sesiapa. Itu hak mutlak AlLah SWT!

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters