About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, March 13, 2011

Catatan Santai

1- AlLah SWT mencipta langit dan bumi ini dari tiada kepada ada, tanpa perlu meniru mana-mana binaan dari mana-mana, dan ciptaan itu tetap asli, tidak dapat ditiru; dulu, kini, dan selamanya, sama ada dari segi keseniaan, kekukuhan, kerapian, kekemasan, keteraturan, dan keunikannya. DIA merupakan pemilik tunggal,tidak ada sesiapa yang akan menerima langit dan bumi ini sebagai harta pusaka. DIA juga tidak mewarisi langit dan bumi ini dari tuhan-tuhan yang lain.

2- Sebagai pemilik tunggal, DIA mahu agar segala apa yang bakal terjadi dan berlangsung di sini mengikut kehendak-NYA, 100%. DIA pula sudi menjadikan kita, manusia sebagai entiti yang bergerak dan beraksi di bumi ini. al-HamdulLilLah SWT. Peluang yang diberikannya kepada kita hanya sekali. Justeru peluang hidup ini perlu diselarikan dengan kehendak-NYA.

3- Untuk memastikan keinginan-NYA dipenuhi 100%, AlLah SWT telah mengutuskan para anbiya’ (orang kanan-NYA) untuk memberitahu dan menjelaskan secara terperinci kepada kalangan jin dan manusia, apa yang perlu dilaku dan apa pula yang perlu dihindari, sewaktu diri masih bersambung pinjaman nyawa. Lalu apa-apa yang AlLah SWT berkenaan pakat-pakatlah kita buat, dan mana-mana yang dimurkai-NYA; janganlah didekati; walataqroba....

4- Bersama setiap anbiya’ ASWM dibekali kitab yang tercatat lengkap apa kehendak-NYA, Cuma kita tidak diminta untuk mengetahui serta menghafal nama-nama kitab yang pelbagai itu, cukuplah untuk kita ketahui 4 kitab paling hebat; Taurat buat KalamulLah Musa, Zabur buat Nabi AlLah Daud, Injil diturunkan untuk RahulLah Isa, dan al-Qur’an dikhususkan buat Junjungan Akhir Zaman, hamba-NYA dan rasul-NYA, Muhammad bin AbdulLah yang dilahirkan sebagai anak yatim.

5- AlLah SWT merencana dan mentakdirkan Adam AS sebagai manusia pertama menghuni bumi sebagai khalifah-NYA di sini, sebagaimana yang tertinta pada ayat 30 surah al-Baqorah. Baginda Adam AS pun melaksanakan amanah AlLah SWT dengan cemerlang mengajak anak cucunya kepada ajaran Islam.

6- Dari satu sisi lain, jin, setan and the gang;(hantu, pelesit, polong, toyol, mesra dalam masyarakat Melayu) tidak senang dengan keharmonian, kesepaduan, manusia melaksanakan ajaran Islam. Cuba diracuninya minda Adam AS, isteri, dan anak-anak dengan jalan cuba menafsir kehendak AlLah SWT, yakni segala ajaran Islam dengan kehendak atau lojik fikiran yang sebetulnya mempunyai jangkauan kemampuan yang cukup terbatas sempadan.

7- Qabil menjadi anak Adam pertama menafsir perintah AlLah SWT dengan lojik fikiran sekaligus menjadi pelopor kepada fahaman jahiliyyah untuk sepanjang zaman, kerana menyanggah perintah AlLah SWT. Seandainya hari ini kita juga cuba sanggah apa jua daripada perintah AlLah SWT, kita juga penganut jahiliyyah walaupun berada pada zaman it atau zaman ict. Kerana jahiliyyah itu bukan satu lingkup masa; dari tahun sekian hingga tahun sekian, tapi merupakan fahaman yang boleh masuk menjajah minda manusia selagi nyawa dikandung badan atau selagi hidup belum sudah.

8- Jin yang kufur kepada AlLah SWT berjaya mempedaya Qabil untuk menyertai barisannya tanpa perlu mengisi dan menandatangan borang keahlian atau kemasukan terlebih dahulu.

9- Kenapa jin yang kufur ini (iblis and the gang) tidak pernah berfikir untuk bersara, dan tidak akan bersara sampai bila-bila, daripada mempedaya manusia agar lupa kepada tujuan hidupnya di dunia? Secara mudah dapat difahami adalah disebabkan dengki dan iri hati. Dengki kerana manusia diprogramkan untuk menjadi khalifah di bumi ini. manusia mendapat hak sebagai khalifah di bumi bukan secara free, tapi melalui satu sayembara keintelektualan, sebagaimana terpahat kejap dalam surah al-Baqaroh. Manusia yang diwakili Adam sewaktu itu dapat membentangkan satu tesis ilmiah yang cukup cemerlang, sementara pembentangan yang dilakukan selain Adam tidak meyakinkan.

10- Iblis and the gang tidak dapat menerima hakikat keilmuan Adam AS, walaupun baru dijadikan, tapi mampu menyimpan dan memproduserkan ilmunya dengan penuh meyakinkan. Lantaran itu iblis tidak dapat menerima hakikat perintah AlLah SWT agar menghormati Adam AS setelah tewas total dalam sayembara ilmiah. Iblis and the gang dimurka AlLah SWT bukan bersebab tewas sayembara tapi kerana keingkaran dan kegagalannya untuk meletakkan perintah AlLah SWT di tempat yang paling tinggi. Keengganan dan keingkaran ini tentunya menyebabkan segala bentuk keistimewaannya selama ini ditarik balik serta merta.

11- Iblis tidak pernah belajar untuk berputus asa, kegigihannya mula menampakkan hasil apabila Qabil dengan penuh bangga dan rela menjadi baruanya. Lalu mereka membentuk satu barisan internasional untuk menentang semua perintah AlLah SWT, sama ada yang kecil(misalnya makan dengan tangan kanan, mereka mempromosi makan dengan tangan kiri) atau yang paling besar(misalnya melaksanakan hukum AlLah SWT di bumi, mereka mencari peraturan lain untuk diikuti).

12- Dari sehari ke sehari kasih manusia kepada iblis semakin bertambah mendalam, seakan tidak sanggup lagi untuk berpisah. Semakin lama semakin banyak jumlah manusia yang semakin tidak berminat dengan ajaran Islam yang dipelopori Adam AS. Islam dirasakan menyusahkan dan menghalang kebebasan.

13- Pada tahapan kedua, manusia mula mencari sembahan lain selain AlLah SWT, dengan sisa-sisa kudrat yang tersisa, iblis menipu serta mempedaya manusia dengan silau tipuan sihirnya.

14- Seterusnya manusia diilham dan dibisikkan dengan pembuatan patung atau berhala. Diyakinkan manusia patung yang kaku itu mampu membantu; sama ada untuk menyempurnakan hajat atau menolak musibah, walaupun akal yang sihat dapat melihat; patung usahkan nak meyempurnakan kita punya hajat, nak menjaga bodi sendiri pun tidak larat. Sepatutnya patung atau berhala itu yang berterima kasih kepada pengukirnya,(misalnya terima kasih pak cik, terima kasih lagi dan lagi) kerana menukarkan tarafnya daripada seketul batu yang tidak ada bentuk kepada satu rekaan baharu yang memiliki anggota yang cukup.

15- Apabila manusia sesat secara total, AlLah SWT mengutuskan Nabi Nuh AS, manusia terbaik pada zamannya, untuk mengembalikkan manusia kepada jalan-NYA. Kembali kepada fitrahnya iaitu Islam. Jangka masa 950 tahun diambil Nabi Nuh AS untuk mengajak manusia kembali kepada agama AlLah SWT, sama ada siang atau malam, seperti yang tercatat dalam Surah Nuh. Kegigihan Nabi Nuh AS membuahkan hasil kerana, Baginda AS telah diikuti oleh 80 pengikut. Dengan sifir mudah dakwah Nabi Nuh AS dalam masa 10-11 tahun, hanya ada seorang yang bersedia menjadi pengikut Baginda. Walaupun Nabi AlLah Nuh As hanya diikuti oleh 80 pengikut, tapi AlLah SWT tetap menyatakan golongan Islamlah yang menang dan dimenangkan oleh AlLah SWT. Kalaulah dikira mengikut sifir pilihanraya, tentulah Nabi Nuh AS hilang wang depozit. Golongan Islam dikira menang kerana mereka kenal AlLah SWT dan menunaikan titah perintah-NYA. Seterusnya mereka akan mendapat layan VVVVIP bermula semasa berada di pusara seterusnya bergerak dengan penuh bangga menuju ke syurga. Golongan yang menentang Islam ini, walaupun mereka ramai hakikatnya mereka sedang menuju dengan lajunya ke lembah kehancuran, mereka bakal tersiksa di pusara seterusnya menggelepar dalam neraka!

16- Golongan derhaka pada zaman Nabi Nuh AS telah ditenggelamkan AlLah SWT dalam banjir. Ya, air makhluk AlLah SWT antara yang paling lembik, paling lembut, tapi telah meruntuhkan keangkuhan kaum Nabi Nuh AS yang amat derhaka itu.

17- Begitulah cara AlLah SWT membangkitkan para utusannya pada setiap zaman. Ada 124 ribu para anbiya’ diutus-NYA ke bumi untuk memimpin dan mengajak manusia kepada Islam. Apabila manusia leka dan alpa daripada jalan-NYA, dibangkit para anbiya’. Anbiya’ terakhir diutus-NYA ialah Nabi Muhammad SAW; yang dilahirkan pada tahun Gajah. Seorang anak yatim; satu-satunya manusia yang digelar Al-Amin di bumi ini. gelaran Al-Amin ini diberi masyarakat Mekah kepadanya, kerana kekaguman masyarakat terhadap akhlak, budi pekerti, kira bicara, dan tingkah kelakuannya.

18- AlLah SWT mengutus para anbiya-NYA apabila manusia rosak adab dan perangainya. Apabila manusia yang mulia meletakkan taraf kemanusiaannya ke darjat yang paling hina. Manusia yang dibekal dengan warasnya akal yang lebih baik daripada batu, kayu, binatang, tapi meletakkan nilainya lebih rendah daripada kayu dan batu itu. Malangnya.

19- Legasi para anbiya’ itu sekarang diteruskan oleh para ulama’ yang sudi berbicara pasal kejinya dosa, wanginya pahala, azabnya ancaman neraka, nikmatnya berehat di syurga. Ya, ulama’ yang bersedia mengambil tugas para anbiya untuk mengajar dan membing manusia agar mengenali AlLah SWT, menganut agama-NYA (Islam), mendaulatkan agamanya, mempertahankan agama dari sebarang serangan, agar Islam ini terus-menerus dapat dinikmati oleh anak cucu, dalam bentuk seperti yang diajar BAGINDA Nabi ASW.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters