Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan, malah kitaran sejarah telah lama membuktikan, umat Islam tidak dapat ditewaskan dalam medan perang. Biarpun bilangan umat Islam yang terlibat dalam satu-satu peperangan itu jumlahnya sedikit, kemenangan mutlak tetap berpihak kepada umat Islam. Hal ini disebabkan oleh niat atau nawaitu umat Islam dengan tujuan berperang yang ada pada umat yang kufur kepada AlLah SWT. Semua umat Islam yang melangkah ke medan laga(perang), dengan hasrat dan harapan semoga diri mereka dipilih AlLah SWT untuk gugur syahid! Mereka beriman dengan janji Pencipta Alam ini, yang menyediakan layanan VVVVVIP buat sesiapa sahaja yang mati syahid kerana membela agama-NYA. Ya, nikmat syahid; antaranya titisan pertama percikan darahnya keluar meninggalkan jasad, segala bebal dosa yang tersedia dan tertera di kanvas usia, akan diampunkan-NYA. Mereka tidak mati, sebaliknya saraan hidup terus-menerus serta tidak putus-putus datangnya dari Yang Maha Perkasa ALLah SWT. Di syurga sana sedang menantinya para bidadari yang perawan di sepanjang zaman sebanyak puluhan orang, yang tidak pernah dipandang apatah lagi untuk bercakap dengan orang lain. Perlu difaham, seruan jihad untuk menuju ke medan juang yang menjanjikan syahid ini hanya ada dalam sebuah kitab yang dinamakan al-Qur’an. Istilah jihad ini tidak terdapat dalam mana-mana buku yang dikarang oleh manusia, kecuali manusia itu terdidik dengan tarbiyyah Qur’an.
Musuh-musuh Islam faham dan tahu bagaimana hebatnya pengaruh al-Qur’an terhadap pembentukan keperibadian seseorang Islam. Justeru, tidak hairanlah jika musuh-musuh dan para barua yang sanggup menjadi alat kepada musuh AlLah SWT, bertungkus-lumus memerah otak dan minda mencari jalan untuk menjauhkan umat Islam daripada mendekati dan bermesra serta menikmati kandungan al-Qur’an. Apabila kita membelek-belek lipatan sejarah, kita akan dapati sistem pelajaran umat Islam sewaktu itu ialah mengaji al-Qur’an. Mengaji dengan maksud mengkaji al-Qur’an sebenarnya. Hal ini kerana dalam uslub bahasa Melayu, apabila imbuhan awalan meN bertemu dengan suatu kata dasar yang bermula dengan huruf ‘k’, dengan sendirinya huruf ‘k’ akan digugurkan; misalnya karang, apabila diberi imbuhan meng akan membentuk kata kerja transitif mengarang bukan mengkarang. Kecil menjadi mengecil bukan mengkecil, kuat pula akan menjadi menguat bukan mengkuat. Jadi maksud mengaji al-Qur’an pada zaman silam tidak sama dengan apa yang kita faham pada hari ini; iaitu apabila disebut mengaji al-Qur’an, maka kita terbayangkan dalam kepala dan pemikiran kita apa yang dimaksudkan mengaji al-Qur’an itu hanyalah membaca al-Qur’an. Masyarakat silam dalam dunia Islam mengaji al-Quran; justeru para ulama zaman silam berebut-rebut membuka madrasah/sekolah mereka sendiri untuk mengajarkan ilmu. Mereka membuktikan kajian dan dapatan yang mereka peroleh itu dengan membuka pondok-pondok sebagai usaha merealisasikan seruan iqra’. Para ulamalah yang menjadi benteng umat dalam menghadapi kemaraan tentera penjajah di tanah air umat Islam. Institusi pengajian pondok merupakan tempat yang paling ampuh dan benteng dalam mempertahankan aqidah umat dari dicemari oleh anutan yang sesat dan menyesat.
Setelah kejatuhan Daulah Islamiyyah di bawah payung naungan Khilafah Uthmaniyyah di Turki, dunia dan bumi umat Islam mulai dijajah dengan ganas. Semasa zaman keagungan kerajaan Uthmaniyyah, daulah Islam tersebut menjaga kedaulatan negara-negara umat Islam, menyebabkan musuh-musuh AlLah SWT sama ada nasroni, majusi, yahudi, nasionalis, libralis, kominis dan yang sewaktu dengannya tidak berani untuk mengacau negara umat Islam. Tapi dengan bantuan laknatulLah kemal atatuk yang didokong dan didukung oleh musuh-musuh Islam yang giat mencanangkan idea nasionalis, kerajaan Uthmaniyyah berjaya dijatuhkan oleh kemal. Busuknya niat atatuk terhadap Islam terserah cerah apabila segala yang ada hubungan dengan Islam dihancurkan atatuk satu demi satu. Azan untuk solat dipaksakan atatuk agar dilaungkan dalam bahasa Turki, muslimat ditelanjangi tidak dibenarkan lagi oleh atatuk untuk menutup aurat dan banyak lagi.
Ekoran daripada itu, episod menjajah mula dilancarkan merapat ke negara-negara umat Islam. Pertugis datang ke Melaka dengan visi dan misi untuk menjajah dan mengkristiankan, sebab itu dalam rombongan Pertugis (datuk nenek cristiano ronaldo) ada seorang paderi besar bernama francis xavier. Belanda pula datang dengan bongkaknya di ke Indonesia dengan tujuan yang sama. Filipina didatangi penjajah Sepanyol dengan paderi besarnya bernama philip. Gigihnya paderi philip ini menjalankan visi dan misi mengkristiankan kepulauan Melayu terbukti berhasil, lalu kepulauan Melayu tersebt dinamakan philipina, mengambil sempena nama paderi yang berjasa besar memurtadkan umat Islam. Perancis pula datang ke Indochina dengan matlamat yang sama. Misi dan visi francis xavier untuk mengkristiankan Tanah Melayu, khasnya Melaka gagal kerana ditentang oleh para ulama yang mempunyai pusat pendidikan yang bernama pondok. Perjanjian inggeris-belanda 1824 telah membuka serta mencatat satu ekologi baru dalam pensejarahan negara. Yakinlah wahai saudara seislamku; datangnya pertugis bukan kerana tak cukup rempah, datangnya belanda bukan kerana tak cukup tanah, datangnya inggeris bukan kerana tak cukup timah, datang mereka kerana dendam yang parah untuk menjajah tanah air dan aqidah.
Inggeris yang menjajah bumi Melaka dari 1824 – 1957 berjaya dengan cemerlangnya menjajah dan memesong minda serta fikrah sebahagian besar anak negara yang dijajah. Dengan licik inggeris memperkenalkan sekolah-sekolah inggeris yang tidak lagi mengajarkan ilmu agama buat umah. Tapi menyediakan gulagula berupa kerja sebagai pegawai berjawatan rendah apabila mereka bersekolah di sekolah yang beraliran penjajah. Ya, bersekolah di sekolah penjajah tidaklah salah, tetapi yang malangnya apabila seseorang itu dijeruk di sekolah penjajah mereka mula liar dan liat serta malas untuk menelaah punca kehebatan mereka iaitu, al-Qur’an. Al-Qur’an mula ditingggalkan dari sehari ke seminggu, dari seminggu ke sebulan, dari sebulan ke setahun, dari setahun ke sedekad, dari sedekad ke seabad. Bertolak dari situ umat Islam semakin hari semakin jauh dengan tarbiyyah Rabbani sebaliknya mereka semakin dekat dan mesra dengan tarbiyyah inggerisi. Lalu umat Islam mula menjauhkan diri dari sistem pendidikan asal mereka, dengan itu dapat kita saksikan satu demi satu sistem pendidikan pondok yang terkubur tanpa nisan. Kita diyakinkan dengan satu mitos prajahiliyyah; orang yang belajar agama susah untuk dapat kerja. Tetapi tidak ada sesiapa yang dapat menafikan, guru-guru pondoklah antara manusia yang kaya. Cuba kita bandingan harta yang kita ada dengan harta guru-guru pondok. Walaupun para guru pondok ini hidup dengan kitab 24 jam sehari, tak ada masa untuk terjun ke bidang mencari pekerjaan, tetapi pintu segala rezeki yang AlLah SWT buka buat mereka tidak dapat dijangkau oleh kita.
Apabila umat Islam kemaruk mendokong dan mendukung sistem pelajaran barat, roh jihad mereka semakin hari semakin malap dan akhirnya padam di tengah-tengah jalan. Setelah roh jihad ini lesu dari dalam diri umat Islam, maka satu demi satu peradaban Islam diruntuhkan oleh mereka yang memakai nama Islam itu sendiri. Umat Islam semakin hilang kehebatannya. Kini atau hari ini, ibadat asasi pun, banyak umat Islam tidak sanggup mengerjakannya. Solat misalnya, cuba kita semak mana yang lebih banyak antara umat Islam yang solat dengan umat Islam yang tidak bersolat, umat Islam yang bersolat pula mana yang lebih banyak antara yang bersolat sendirian dengan solat berjemaah, yang bersolah jemaah pula mana yang lebih banyak antara yang berjemaah 5 waktu dengan yang berjemaah ikut mood dia sahaja, yang bersolat jemaah 5 waktu mana yang lebih banyak antara yang muda dengan golongan yang sudah veteran? Lebih karut dan merapu lagi bila ada umat yang berasa dan berkata; dia baik orangnya, cuma tidak solat aje.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment