Setiap kali perjalanan Rabiul Awal singgah dan menetap selama sebulan di kalendar, rata-rata umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan sambutan untuk memperingat Maulidul Rasul, iaitu ulang tahun lahirnya Nabi Akhir Zaman, Muhammad bin AbdulLah SAW. Hebat dan agungnya Baginda, walaupun Baginda sendiri tidak pernah meniup lilin sebagaimana lazimnya manusia hari ini memperingat hari lahir, Baginda SAW sendiri tidak pernah meminta apalagi menyuruh kita walaupun sekali untuk turut menyambut atau memperingat hari kelahirannya, para isterinya juga tidak pernah berbuat demikian, para sahabat dekatnya juga tidak pernah memperingat hari lahir Baginda SAW, tetapi kita seakan berasa berkewajipan menyambut dan memperingat Maulidul Rasul. Sehingga sebahagian daripada umat Islam merasakan berarak pada 12 Rabiul Awal itu sebagai sebahagian suruhan agama.
Semua kita tahu, Baginda SAW dilahirkan ibunya pada bulan Rabiul Awal Tahun Gajah, walaupun tarikhnya diperselisihkan sama ada 9 atau 12 hari bulan. Tahun Gajah diambil sempena peristiwa tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah yang datang dari Yaman untuk meruntuhkan Ka’bah. Khabarnya Abrahah merasa iri apabila melihat pada setiap tahun berduyun-duyun manusia daripada seluruh pelusok alam datang berziarah ke Mekah. Mengikut laporan pengitip-pengitipnya Abrahah membuat kesimpulan, faktor primer manusia berkunjung ke Mekah kerana di sana ada Ka’bah. Maka terfikirlah dalam benak Abrahah untuk membina gereja yang jauh lebih cantik dalam usahanya mengalih pandangan manusia yang selama ini ke Mekah kini datang pula ke Sana’, ibu negera Yaman. Setelah siap gerejanya yang mempunyai reka bentuk yang menarik itu, Abrahah mula melancarkan perang sarafnya untuk mengajak manusia ke gerejanya pula. Gerak saraf yang dilancarkannya itu tentulah memakan sejumlah belanja yang besar, tetapi masih gagal untuk mengalih pandangan manusia ke negaranya. Tambah memilukan Abrahah dan dirasakan penghinaan yang tidak bertepi apabila sebahagian mereka yang nakal telah menjadikan gerejanya senagai tempat untuk melepaskan najis. Nyalaan api kemarahan yang marak inilah telah mendorong Abrahah mengambil keputusan drastik untuk meruntuhkan Ka’bah, dengan dibantu oleh gajah yang bernama Mahmudi.
Setibanya di sebuah tempat yang berhampiran Mekah, Abrahah telah mencuri 200 ekor Abdul Muttalib, datuk Nabi Muhammad SAW. Pada waktu ini bonda Nabi SAW , Aminah sedang dalam bulan terakhir mengandungkannya. Setelah itu Abrahah menghantar wakilnya berjumpa dengan Abdul Muttalib untuk menjemput datuk Nabi SAW itu datang berunding. Kedatangan Abdul Muttalib itu sememangnya sdang ditunggu-tunggu Abrahah. Tanpa mensia-siakan sisa-sisa masa, Abrahah menjelaskan tujuan kedatangnya ke Mekah; untuk meruntuhkan Ka’bah bukan untuk berperang dengan orang-orang Mekah. Dalam pada itu Abrahah menjelaskan dia telah merampas unta milik Abdul Muttalib seramai 200 ekor. Tanpa banyak soal Abdul Muttalib meminta Abrahah agar membebaskan atau mengembalikan unta yang dicurinya itu. Dalam keadaan ini Abrahah mempersenda Abdul Muttalib sebagai pemimpin yang mementingkan diri dan tidak mementingkan keselamatan negara dan tidak sayang akan Ka’bah. Dengan tegas dan mantap serta bertanggungjawab Abdul muttalib menjawab ‘unta itu kepunyaanku, sementara Ka’bah itu ada pemiliknya, pemiliknya tidak akan membiarkan sesiapa yang akan merosakkannya. Setelah mendapatkan kembali untanya, Abdul Muttalib kembali ke Mekah dan meminta semua penduduk Mekah agar meninggalkan rumah masing-masing kerana projek meruntuhkan masjid Mekah (Ka’bah) akan bermula sekejap masa lagi. Akhirnya semua penduduk Mekah memerhatikan dari jauh bagaimana kesudahan Ka’bah yang selama ini menjadi mercu tanda Mekah.
Abrahah pula dengan angkuh dan bangganya mengarahkan gajahnya agar berlari ke arah Ka’bah. Yang peliknya gajah-gajah tersebut tidak mahu bergerak ke arah Ka’bah. Sebaliknya seakan mahu berlari segera ke Yaman. Dalam situasi dan kondisi inilah, AlLah SWT telah mengirimkan sekawan burung yang kecil yang disebut Ababil untuk berdepan dengan tentera Abrahah. Pada kaki burung Ababil yang kecil itu ada pasir yang kecil sebagai peluru yang dijatuhkan ke atas tentera Abrahah. Yang peliknya apabila terkena sahaja pasir tadi tentera Abrahah menjadi seperti daun kayu yang dimamah oleh ulat. Semua peristiwa ini boleh kita ikut secara terperinci dalam surah al-Fil.
Kelihatan dari jauh ada seorang bonda yang sedang sarat mengandung anak sulung sekaligus merupakan anak tunggal, tanpa suami yang tersayang di sisi, kerana suaminya telah terlebih dahulu dijemput mengadap AlLah SWT untuk selamanya. Bonda tersebut tercatat namanya Aminah bt Wahab, sementara suaminya yang meninggal dikenal sebagai AbdulLah bin Abdul Muttalib. Seakan Abdul Muttalib mendapat idea yang unik, biarpun dikurnia dengan 10 anak, tetapi untuk anak bungsu diberinya nama AbdulLah (Hamba AlLah) satu nama yang belum pernah digunakan di mekah pada masa tersebut. Sedangkan nama-nama anaknya yang lain ada yang bernama Abdul Uzza- hamba berhala yang bernama Uzza yang kemudiannya lebih dikenali dengan nama jolokannya Abu Lahab, ada yang bernama Abbas, ada yang bernama Abu Talib, ada yang bernama Hamzah dan sebagainya. Benarlah seperti sabda Junjungan SAW yang meminta para ibu bapa menamakan anak-anaknya dengan nama-mana yang mempunyai nama yang optimis, kerana nama itu merupakan doa, iaitu apabila nama seseorang itu dipanggil bernama dia mendapat satu doa.
Setelah kembalinya tentera Abrahah ke bumi Yaman dan mati di sana, Aminah yang sarat mengandung pula selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang menyenangkan pandangan. Bayi lelaki itu kemudiannya dibawa berjumpa datuknya, Abdul Muttalib. Tak siapa yang dapat menafikan tempias gembira tentunya menghujani seorang datuk, apabila mendapat cucu, lebih-lebih lagi mendapat cucu lelaki. Ya seorang datuk tentunya akan menumpahkan sepenuh kasih sayang kepada cucunya, lebih-lebih lagi apabila cucu yang baru dilahirkan itu sudah ketiadaan ayah kandung. Sebagai seorang datuk yang bertanggungjawab, cucunya itu diberikan nama. Nama yang diilhamkan kepada seorang datuk untuk cucunya itu Muhammad. Apabila diajukan soalan kenapa nama Muhammad dipilih, sedangkan nama Muhammad tidak dikenali dalam kalangan masyarakat Mekah? Dengan penuh keyakinan Abdul Muttalib menjawab; aku mahu cucuku dipuji dan menjadi terpuji di sepanjang hayat. Hal ini bertepatan seperti yang termaktub dalam al-Qur’an apabila Allah SWT mewartakan warafa’na laka zikrak – ayat 4 surah Alam Nasroh yang menyimpan maksud dan Kami telah meninggikan sebutan namamu (Wahai Muhammad SAW).
Memang maha benar janji AlLah SWT, dari dahulu, kini, dan selamanya sebutan nama Nabi Muhammad SAW sentiasa tinggi dan terpuji. Ya, ada beberapa tempat nama Nabi Muhammad kita akan tinggikan kerana menjunjung perintah AlLah SWT;
1.Apabila seseorang ingin menggabungkan dirinya ke dalam agama AlLah SWT ini-Islam, sewaktu mengucap 2 kalimah syahadah, dia diwajibkan meyebut nama nabi Muhammad SAW barulah sah Islamnya.
2. Apabila seseorang itu bersolat, apa juga jenis solat itu, sama ada solat wajib atau sunat hata solat jenazah pun yang tak perlu rukuk dan sujud, wajib baginya menyebut nama Nabi Muhammad SAW dalam tahiyyatnya.
3. Apabila seseorang imam berkhutbah sama khutbah Jumaat atau kutbah dua hari raya, atau khutbah untuk solat gerhana sama ada gerhana matahari atau gerhana bulan, atau khutbah untuk mempelai yang akan mendirikan masjid (rumahtangga) wajib baginya menyebut nama Nabi Muhammad SAW
4. Apabila seorang muazzin melafazkan azan sama ada untuk mengumpul khalayak untuk datang bersolat jemaah atau melafazkan azan kepada bayi yang baru lahir, atau melafazkan azan untuk meredhakan kemaraan api sewaktu kebakaran, atau lafaz yang dikumandangkan dalam kes merawat pesakit, perlulah baginya menyebut nama Nabi Muhammad SAW
5. Apabila lafaz iqomat ingin dilafazkan sama ada untuk segera bersolat atau melafazkannya kepada telinga kiri bayi yang baru lahir kita juga perlu menyebut nama Nabi Muhammad SAW
6. Apabila seseorag itu ingin berdoa kehadrat Allah SWT memohon segala hajatnya dipenuhi atau derita yang menghujaninya dikurangi, dia juga wajar berselawat menyebut nama Nabi Muhammad SAW pada awal doanya setelah memuji AlLah SWT.
7. Sekarang ini banyak majlis tahlil yang dianjurkan di mana-mana yang dengan harapan dapat mengirim pahala bacaan zikir untuk si mati (yang lawaknya sewaktu hidup, si mati tak pernah pun berzikir) nama Nabi Muhammad SAW turut disebut pada awal-awal penyebutan.
Yang Paling Hebat Antara Yang Hebat
Diringkaskan kisah, dipendekkan cerita, Nabi Muhammad SAWlah manusia yang paling hebat antara yang hebat. Hakikat ini bukan sahaja diakui oleh sahabat, malah musuh-musuh Islam di sepanjang perjalanan zaman; sama ada sewaktu Baginda SAW masih menyampaikan dakwah atau selepas Baginda SAW dipanggil mengadap AlLah SWT. Kalau pada zaman penetangan tegar dari kuffar Quraisy dahulu, Abu Suffian bin Harb telah mengaku kehebatan Nabi Muhammad SAW di hadapan Kaisar Rom serta dilihat dan didengari oleh pelbagai lapisan serta warna khalayak yang hadir. Sehingga ke hari ini, apabila kajian dibuat biarpun oleh sang orientalis sama ada yang berada di timur atau barat, mereka tetap meletakkan nama Nabi Muhammad SAW di tempat tertinggi. Lalu amat malang benarlah jika kita umat Islam tidak menyedari dan tidak sudi mengikuti manusia yang sehebat ini. Dengan erti kata lain amat bodoh dan beballah jika ada umat Islam yang tidak mengenali siapa nabi Muhammad SAW ini!
Oleh sebab kita sebagai umat Islam diyakini adanya Hari Qiamat, adanya Mahkamah di Padang Mahsyar, adanya syurga dan neraka, adanya timbangan amal dan seumpamanya, maka kita wajib tanamkan dalam benak hati kalbu sanubari kita, suatu hari kita pasti akan berada dan jumpa di sana. Soalnya siapakah manusia VVIP di sana kelak? Dalam banyak-banyak VVIP itu, hanya ada seorang sahaja yang dikira ‘super VVIP’, yang tanpa permohonan daripadanya perjalanan agenda di Padang Mahsyar tidak akan berlangsung. Manusia itu ialah seorang anak yatim sewaktu dilahirkan, seorang yang sewaktu wafatnya tidak meninggalkan apa-apa harta untuk kesenangan dunia, walaupun wafatnya sebagai Ketua Negara Islam yang pertama yang diperuntukkan AlLah SWT 1/5 khazanah negara dari hasil al-anfal kepadanya. Seorang ketua negara yang memilih untuk sehari berlapar dan sehari untuk menikmati makanan dari rezeki AlLah SWT, yang menurut hematnya; apabila Baginda lapar, dia akan bersabar, dan apabila dapat menikmati rezeki AlLah SWT dia akan bersyukur. Baginda ialah Muhammad bin AbdulLah bin Abdul Muttalib.
Seakan masih jelas dapat kuingat suara Tuan Guru kecil di kampung menuturkan ajaran aqidah Islam; ‘ anak-anak, ada satu malaikat tu yang dijadikan daripada nur, AlLah SWT tugaskannya untuk meniup Sangkakala sebanyak 2 kali. Tiupan kali pertamanya akan mematian semua makhlut yang bernyawa, sementara tiupan kali keduanya akan menghidupkan semua yang pernah bernyawa semenjak zaman Nabi Adam AS. Kita semua akan dikumpulkan dan dibicarakan baik dan jahat yang kita buat’. Setelah usia diri bertambah pada kanvas masa, lewat pembacaan dan kuliah yang didengar di surau, madrasah/balaisah, masjid, musolla dari Tuan-tuan Guru yang amanah( rahmatullah alaihi), diri mendapat dapatan ilmu tambahan, AlhamdulilLah SWT. Rupa-rupanya bila semua manusia berkumpul di Padang Mahsyar, manusia menjadi tidak larat dengan bahang panas sama ada dari teriknya matahari atau suhu badan manusia. Akhirnya manusia berpakat untuk mencari dan merayu kepada para nabi agar memohon kepada AlLah SWT supaya membuka mahkamahnya agar perbicaraan dapat berlangsung dengan jayanya. Masing-masing ingin mendapat balasan kerana masing-masing menjangka mereka bakal mendapat syurga yang tak ternilai harga. Nabi pertama yang dicari ialah Baginda Adam AS sebagai Bapa Manusia, Nabi Adam AS menjelaskan dia tidak layak untuk memohon kepada AlLah SWT, lalu kita pada hari itu pergi mencari Nabi Nuh AS kerana Baginda Nuh AS Rasul Ulul Azmi yang gigih berdakwah; 950 tahun siang dan malam menyeru manusia kepada alan AlLah SWT. Nabi Nuh AS juga merendah diri dia tidak layak untuk tujuan itu, lalu dicadangkan untuk berjumpa KalamulLah Musa AS. Nabi Musa AS pula mencadangkan agar dicari RuhulLah Isa AS, demikian juga Nabi Isa AS dicadangnya agar dicari KhalililLah Ibrahim AS. Nabi Ibrahim AS juga berasa dirinya tidak layak berbuat demikian, lalu dicadangnya agar kita menemui ‘hamba-Nya’, Muhammad SAW. Apabila melihat umatnya dari jauh untuk mendatanginya; Baginda Nabi Muhammad SAW berlari mendapatkan umatnya dengan berkata ‘ummati, ummati, ummati’. Setelah dinyatakan hajat kepada Baginda SAW agar memohon kepada AlLah SWT supaya dipercepat kiraan amal, Baginda SAW terus melutut dan sujud kepada-Nya dengan sujud yang paling indah, sujud yang paling sempurna, sujud yang paling cantik dan Baginda SAW terus-menerus memuji AlLah SAW dengan pujian yang maha agung, pujian yang maha hebat, iaitu pujian yang tidak pernah diucapkan Baginda SAW sewaktu di dunia. Terlalu lama baginda SAW sujud dan memuji Rabb AlLah SWT sehingga AlLah SWT meminta Baginda SAW mengangkat kepadanya, dan mohonlah apa yang diingininya itu. Setelah Baginda Rasul SAW menyatakan hajat umat agar dipercepat kiraan amalan atau dengan kata lain agar AlLah SWT membukakan pintu mahkamah-Nya supaya umat dapat masuk untuk dibicarakan. Dapatlah dengan ini kita faham maksud tersiratnya bahawa; Nabi Muhammad SAW merupakan pemegang kunci Mahkamah AlLah SWT di Padang Mahsyar. Maha hebatkan nabi kita! Lalu tepuklah dada tanyalah iman yang tersimpan padanya, kenapa kita masih tidak mahu bersyukur punyai nabi yang sebegitu hebat itu?
Setelah selesai semua perbicaraan, yang tolol-tolol sewaktu di dunia semuanya menuju ke neraka dan yang baik-baik menuju ke syurga dengan gembiranya. Apabila tiba di pintu syurga, ke semua pintu syurga tidak terbuka sehinggalah Baginda Nabi Muhammad SAW meminta Penjaga Syurga; Malik Ridwan membukanya. Dialog antara Penjaga Syurga dengan Baginda SAW boleh kita baca dalam hadis-hadis sahih. Malik Ridwan memberitahu kepada bakal-bakal penghuni syurga bahawa dia diperintahkan AlLah SWT dengan perintah pintu syurga jangan dibuka kecuali setelah Baginda Nabi Muhammad tiba dan masuk dahulu ke sana. Dengan erti kata lain Baginda SAWlah orang pertama yang akan menjejakkan kaki ke syurga. Seolah-olah Baginda SAWlah yang memegang kunci syurga. Nah, sekarang mari kita berbaik-baik dengan orang yang ada kunci syurga dengan membanyakkan selawat kepadanya dengan selawat yang selalu kita baca dalam tahiyyat kita ; AlLahhuma solli ala Muhammad waalihi Muhammad.... di samping kita cuba terapkan sunnah Baginda SAW dalam setiap sudut kehidupan diri. Insya-AlLah.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment