About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Saturday, September 3, 2011

Kutbah Eidil Fitri 1432/2011


Tarikh : 01 Syawal 1432

Tempat : Masjid Pak Da Nur, Kubang Palas, Pasir Mas, Kel.

Masa : 09:00 pagi

Tajuk : Posisi Kita di Muka Bumi

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

Al-HamdullilLah........

Sidang Raya yang Menjadi Tetamu AlLah SWT sekalian

Al-HamdullilLah ala nikmatilLah, kulla yaumin wa lailah, fi rahmatilLah, kamilah, zahiiran wa baatinah

Hari ini 1 Syawal 1432 hijriyah bersamaan 30 Ogos 2011 masehi. 1 Syawal ini kita diharamkan berpuasa, diharamkan oleh AlLah SWT, lalu kitapun berbuka atau tidak berpuasa. AlLah SWT yang sama juga mengharamkan kita makan, mengharamkan kita minum, mengharamkan kita melakukan aktiviti bersuami isteri pada siang hari pada bulan Ramadhan. Sebagai seorang yang berstatus hamba, walaupun berat untuk meninggalkan makan minum pada siang hari Ramadhan, kerana 11 bulan kita makan minum dalam sehari, paling kurang 3 kali, kita cuba sungguh-sungguh melakukannya. Hari ini walaupun kita masih berasa seronok untuk terus berpuasa, kerana kita telah dapat merasai kenikmatan ibadah puasa ini, tetapi AlLah SWT mengharamkan kita dari berpuasa pada hari ini, & kita pun dengan rasa senang hati pula tidak berpuasa pada hari. Al-HamdullilLah telah kita berjaya jalani kedua-dua larangan & pengharaman tersebut. AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

Hari ini kita berhari raya Eidil Fitri bersama-sama dengan saudara semuslim kita di seluruh di dunia yang dianggarkan di sekitar 2 biliion. Alangkah hebatnya apabila 2 billion umat ini melaungkan kalimah yang satu AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar WalilLahilham......, 2 biliion umat ini mengadap ke kiblat yang satu; BaitilLah (Ka’abah), 2 biliion umat ini bernabikan dengan Nabi Akhir Zaman yang satu; Nabi Muhammad SAW, 2 biliion umat ini pada hari ini bersatu meletakkan perintah AlLah SWT yang satu; sama-sama sujud untuk solat sunat Eidil Fitri, sama-sama pula menadah telinga untuk mendengar santapan rohani Khutbah Eidil Fitri. Walaupun AlLah SWT tidak pernah & tidak akan mewajibkan solat Eidil Fitri ini untuk selama-lamanya, kita yang berstatus hamba ini bersegera memenuhi surau, balaisah, musalla, masjid atau apa jua namanya untuk bersolat hari raya. Apa yang silapnya, apa yang salahnya ialah kebanyakan kita hanya membanjiri masjid, musalla, balaisah, atau surau ini hanya setahun 2 kali, sedangkan AlLah SWT menghendaki & mempelawa kita untuk bersujud kepada-NYA di rumah-rumah-NYA(masjid, surau, musalla, balaisah) ini 5 kali sehari. 35 kali seminggu. 150 atau 155 kali sebulan. 1800 kali setahun. Malangnya daripada 1800 kali perintah AlLah SWT untuk kita hadir bersujud di rumah-NYA, sebahagian besar manusia yang berstatus hamba ini, hanya datang ke rumah-NYA 2 kali setahun, itupun untuk memenuhi pelawaan-NYA yang sunat dengan meninggalkan 1800 kali pelawaan-NYA yang dikumandangkan oleh para muazzin 5 kali sehari. Sebenarnya untuk solat sunat Eidil Fitri & solat sunat Eidil Adha kita disunatkan melaksanakannya pada tanah yang lapang atau di padang bukan di masjid, surau, balaisah, atau musalla. AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

Sidang Raya yang Berbahagia

Eidil Fitri membawa maksud kembali ke asal jadi atau kita renung sejarah silam untuk melihat di mana posisi atau kedudukan kita sebagai manusia di bumi ini. Sebagai siapakah kita semasa hidup di bumi ini, sebagai siapakah kita apabila dikuburkan nanti, sebagai siapa pulakah kita apabila dibangkitkan di Padang Mahsyar nanti. Jom mari kita semak status kita. Soalnya nak semak dengan apa? nak semak dengan akhbar hariankah? nak semak majalah popularkah? nak semak dengan tvkah? nak semak dengan buku sejarahkah? nak semak dengan tesiskah? Bukan bukan bukan. Sebagai seorang yang mengaku Islam kita kena semak dengan petunjuk atau skima yang ditetapkan oleh agama. Oleh sebab Islam ini haq mutlak atau kepunyaan AlLah SWT sahaja, tiada rakan kongsi sama ada dalam kalangan manusia, jin, setan, pelesit, atau unsur alam yang lain, DIA telah menetapkan apakah petunjuk dalan Islam ini. Petunjuk agama kita hanya ada dua sahaja iaitu; al-Qur’an & sunnah Baginda Rasul SAW. Kita cuba lari daripada petunjuk ini kita dilabelkan sesat oleh AlLah SWT. Dalam al-Qur’an AlLah SWT telah mewartakan tujuan kita dijadikan atau diciptakan melalui satu ayat pada pengakhir surah az-Zaariyat wamaa khalaktu jinna wal insaan illa liya’budu’ tidak AKU jadikan jin & manusia itu kecuali untuk menjadi hamba abdi-KU. AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

Sekarang jelaslah kepada kita posisi & status kita di bumi ini hanyalah sebagai hamba AlLah SWT. Bukan anak, bukan ayah, bukan ibu, bukan sahabat, bukan rakan kongsi, bukan rakyat, bukan penduduk tetapi sebagai hamba dulu, kini, dan selama-lamanya. Sebagai hamba kita kena berusaha 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 12 bulan setahun untuk patuh dengan rela segala apa yang diperintah kepada kita. Apa yang disuruh-NYA kita kerjakan seadanya dengan penuh rela, apa yang dilarang-NYA kita tinggalkan serta-merta dengan rasa gembira. Kerana semua perintah & larangan AlLah SWT itu untuk kebaikan kita. Apabila kita mengerjakan perintah AlLah SWT, misalnya kita berpuasa AlLah SWT tidak mendapat apa-apa untungnya daripada puasa kita itu, sebaliknya kita yang diberi AlLah SWT dengan pahala yang berganda-ganda dan seterusnya AlLah SWT akan memasukkan kita ke dalam syurga-NYA yang seluas langit & bumi. Apabila kita tidak berpuasa pula, AlLah SWT tidak rugi apa-apa, sebaliknya kita yang mendapat dosa demi dosa yang akhirnya kita akan dimasukkan ke dalam api yang bernyala-nyala untuk kekal selama-lamanya. Syurga & api yang bernyala-nyala @ neraka ini sudah ada hanya menanti kedatangan kita sahaja.

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

Muslimin & Muslimat yang Masih Sudi Berada di Rumah AlLah semua

Baginda Nabi Muhammad SAW satu-satunya manusia yang paling dekat & paling dikasihi AlLah SWT di muka dunia ini. Segala apa citarasa yang AlLah SWT ingini, AlLah SWT gunakan Nabi Muhammad SAW sebagai jurucakap-NYA, kerana AlLah SWT tidak bercakap atau bertutur terus dengan kita tetapi melalui Nabi Muhammad SAW. Perintah AlLah SWT untuk disampaikan kepada kita terbahagi kepada 3 iaitu

1- titah perintah AlLah SWT yang terkandung dalam al-Qur’an

2- titah perintah AlLah SWT yang termuat dalam hadis Qudsi

3- titah perintah AlLah SWT yang termuat dalam sabda Nabi

Apapun namanya sama ada al-Qur’an, hadis Qudsi, atau hadis Nabi semuanya merupakan wahyu AlLah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui ketua malaikat yang hebat bernama Jibril AS. Apabila malaikat Jibril datang menemui Baginda Rasul SAW, Jibril pula akan diiringi oleh jutaan malaikat lain sebagai pengiringnya untuk menunjukkan betapa hebat & agungnya wahyu AlLah SWT ini. Dalam satu hadis, Baginda Nabi SAW bersabda ‘Kullu mauludin yuuladu ala fitrah....

Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), tetapi kedua ibu bapanyalah yang akan mendidiknya menjadi yahudi, nasroni, atau majusi

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar Baginda SAW melalui tarbiyyah IlLahi atau wahyu ini meletakkan formula menjadi atau tidaknya anak, liar atau jinaknya anak kepada agama bergantung kepada didikan ibu bapa. Mungkin ramai antara kita akan berkata, kita orang Islam, kita tak pernah ajar anak-anak kita untuk jadi yahudi, kita tak pernah ajar anak-anak untuk jadi nasroni, kita tak pernah ajar anak-anak untuk jadi majusi. Tetapi kenapa Nabi Muhammad SAW menyebut ibu bapanya yang mengajar anak-anaknya untuk jadi yahudi, nasroni, atau majusi. Sekarang kita ada dua situasi; Nabi Muhammad SAW yang benarkah atau pendapat & pandangan para ibu bapa yang benar? Kita sebagai umat yang beriman dengan para nabi & rasul seperti yang terdapat dalam Rukun Iman, tetap yakin & tidak bergoyang keyakinan kita sampai bila-bila bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW dan semua para anbiya’ tidak pernah berbohong atau menipu! Sabda Nabilah yang Maha benar, pendapat kita yang selalu salah. Mendidik bukan hanya membuka kitab & mengajar isi yang terdapat dalam kitab dan menafsirkannya. Mendidik mencangkup makna yang terlalu luas.

AlLahu Akbar AlLahu Akbar AlLahu Akbar

Ibu bapa yang dimuliakan AlLah SWT dengan Islam sekalian .

Apabila anak-anak kita terbuat sesuatu kesilapan, kita sebagai ibu bapa pula tidak menegur & mencegahnya bermakna kita mengajar mereka berasa apa yang mereka buat itu betul. Misalnya mereka tidak menutup aurat, kita sebagai ibu bapa tidak menegurnya, maka mereka berasa apa yang mereka buat itu betul, sedangkan tidak menutup aurat perbuatan atau amalan yahudi, nasroni, dan majusi. Secara tidak langsung kita sebagai ibu bapa mengajar anak-anak menjauhi ajaran Islam. Hal ini bermakna tanggungjawab kita sebagai ibu bapa cukup besar & mencabar. Sekolah mana yang kita pilih akan membentuk sikap & perangai anak-anak kita. Mari kita fahami dua perbandingan ini. Adakah sama sikap, perangai, tutur kata, & kira bicara anak-anak kita yang kita hantar ke Maahad Tahfiz dengan sikap, perangai, tutur kata, & kira bicara anak-anak kita yang dihantar ke sekolah kebangsaan? Adakah sama sikap, perangai, tutur kata, & kira bicara anak-anak kita yang membaca al-Qur’an setiap hari dengan sikap, perangai, tutur kata, & kira bicara anak-anak kita yang menghafal lagu rock, atau dangdut setiap hari? Bolehkan kita menyuruh anak-anak untuk membaca al-Qur’an? Bolehkan kita melarang anak-anak dari menghafal lagu-lagu yang lagha? Jawabnya tentu boleh!

AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar

Muslimin & Muslimat yang Terhormat kerana Iman & Islam

AlLah SWT sangat sayang kepada hamba-hamba-NYA. Diciptakan-NYA kita, dibekalkan kita langit & bumi yang terhampar untuk kita berdiri & berlari, ditumbuh & disuburkan-NYA untuk kita pelbagai jenis & nama buah-buahan, sayur-sayuran, ubi-ubian, biji-bijian sebagai sumber rezeki untuk kita. Di samping itu AlLah SWT juga memberikan kita hidangan jiwa yang maha sempurna yang maha hebat & yang maha lazat, bernama al-Qur’an. Tubuh badan kita memerlukan buah-buahan, biji-bijian, ubi-ubian, atau sayur-sayuran untuk terus bertenaga untuk melakukan kerja, roh atau jiwa kita juga perlukan makanannya- makanan jiwa yang paling sempurna, makanan jiwa yang paling lazat, makanan jiwa yang paling berkhasiat, ialah al-Qur’an. Yang membezakan antara manusia dengan haiwan atau binatang ini ialah manusia ada roh binatang tidak ada roh. Binatang hanya ada nyawa tidak ada roh. Kita ada nyawa & roh. Kalau kita hanya makan buah-buahan, sayur-sayuran, ubi-ubian, dan biji-bijian sahaja & tidak mahu membaca al-Qur’an, tidak mahu memahami maksud yang terkandung dalam al-Qu’ran, tidak mahu beramal dengan titah perintah AlLah SWT yang terkandung dalam al-Qur’an, tidak mahu mempertahankan ajaran al-Qur’an, tidak mahu menyebarkan ajaran al-Qur’an, kita baru sama taraf dengan binatang atau haiwan! Orang kafir Mekah dahulu yang diketuai oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Aknas bin Surais, al-Walid bin Mughirah dan pemimpin arab lain menetang Nabi Muhammad SAW siang malam, kerana Baginda SAW mahu melaksanakan semua titah perintah AlLah SWT yang termuat dalam al-Qur’an. Abu Jahal, Abu Lahab, Aknas bin Surais, al-Walid bin Mughirah dan pemimpin arab lain tidak marah kepada Nabi SAW kalau sekadar Baginda SAW mahu membaca al-Qur’an sebab mereka juga turut mendengar al-Qur’an yang dibaca Baginda SAW pada waktu malam. Abu Jahal, Abu Lahab, Aknas bin Surais, al-Walid bin Mughirah dan pemimpin arab lain menentang Bagi Abu Jahal, Abu Lahab, Aknas bin Surais, al-Walid bin Mughirah dan pemimpin arab lain menetang Baginda Nabi SAW apabila Baginda SAW mahu melaksanakan keadilan ekonomi yang ada dalam al-Qur’an Abu Jahal, Abu Lahab, Aknas bin Surais, al-Walid bin Mughirah dan pemimpin arab lain menentang Nabi SAW kerana Baginda mahu mentadbir Mekah dengan hukum hakam yang terkandung dalam al-Qur’an. Kalau kita pada hari ini hanya membaca al-Qur’an tetapi menentang pelaksanaan hukuman yang ada dalam al-Qur’an yang dikenali sebagai hukum hudud, kita setaraf dengan Abu Jahal and the gang.

AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar

Ibu Bapa Muslimin Muslimat Sidang Raya semua

Walaupun hari ini kita berhari raya kita bersuka ria tetapi oleh sebab raya Eidil Fitri kita raya yang diatur oleh AlLah SWT Yang Maha Esa, sambil-sambil bergembira kita tetap diingatkan dengan perang, dalam takbir raya kita menyebut pasal perang, perang Ahzab. Sedangkan perang yang pertama berlaku antara Baginda Nabi Muhammad SAW dengan para kuffar Mekah ialah Perang Badar. Perang Badar dinobatkan dengan Badar al-Kubra walaupun hanya melibatkan sekitar 313 sahabat Nabi SAW menghadapi sang kuffar di sekitar 1000 jiwa. Perang Badar dinobatkan dengan Badar al-Kubra kerana perang ini berlaku pada bulan Ramadhan pada tahun pertama umat Islam mula menjalani ibadat puasa. Sementara Perang Ahzab yang kita diminta sebut-sebut semasa takbir raya merupakan perang yang tidak berlaku secara berdepan kerana tentera kuffar & Islam dipisahkan dengan khandak atau parit. Baginda SAW menerima pakai cadangan sahabat yang hebat yang berasal dari Iran, Salman al-Farisi. Kita diminta menyebut ahzab yang bermakna parti-parti yang bersekutu yang membentuk satu barisan, iaitu barisan internasional untuk menentang Islam. Tapi AlLah SWT mengalahkan, memporakperandakan barisan internasional ini dengan makhlut-NYA yang paling lembut & lembik iaitu air & angin. Air & angin bangkit menjadi tentera yang mahaganas apabila AlLah SWT menitahkannya. Angin yang selama ini lembut & membelai bertukar menjadi ribut dengan perintah AlLah SWT. Air yang lembik selama ini bertukar menjadi hujan yang menakutkan demi menjunjung perintah AlLah SWT. Hal ini menunjukkan kita sebagai pejuang Islam, jangan gentar, jangan takut, kerana tentera-tentera AlLah SWT ada di sekeliling kita. Untuk ini kita perlu menjadi seperti yang ditintakan AlLah SWT dalam al-Qur’an

minal mukminina rijalun sadaqu maa aahadullaha alai famni hum man qadaa nahbahu waminn hum...’

Daripada orang mukmin itu ada rijal yang membenarkan janjinya dengan AlLah SWT (untuk syahid) dan sebahagian mereka sedang menunggu giliran, mereka tidak pernah menukar janji untuk syahid.

Keadaan seperti inilah yang sedang dirasai & dinikmati oleh saudara-saudara seislam kita di Palestin. Mereka berbangga jika ada dalam keluarga mereka yang syahid & mereka merayakan kesyahidan anggota keluarga mereka yang syahid tersebut, kerana mereka faham, kita semua tetap akan mati. Tidak ada manusia yang boleh menongkat bumi & semulia-mulia mati sebaik-baik mati ialah mati syahid.

AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar

Pada malam-malam 10 terakhir daripada Ramadhan & untuk menyempurnakan kemuliaan Ramadhan AlLah SWT mengurniakan kepada kita dengan anugerah Lailatul Qadar, untuk kita rebut & gondol ia. Setiap tahun pasti adanya atau datngnya malam tersebut, tidak pernah miss atau tidak pernah terkecuali. Lawatan atau kunjungan Lailatul Qadar tidak sama dengan lawatan pembesar negara atau pembesar negeri. Kerana kunjungan Lailatul Qadar membawa gandaan 1000 bulan. Dengan berakhirnya Ramadhan 1432 ini pastinya sudah puluhan Lailatul Qadar yang mendatangi & mengunjungi kita.

Soalnya apa yang kita isikan atau penuhkan untuk 10 malam yang terakhir daripada Ramadhan ini? Adakah kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan tidur sahaja?

Adakah kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan menonton perlawanan bolasepak liga dunia?

Adakah kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan membakar mercun pelbagai saiz dan warna?

Adakah kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan menyiapkan biskut & kuih-kuih raya?

Adakah kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan menonton rancangan hiburan di tv sama ada tv berbayar atau tv percuma?

Adakah kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan membanyakkan amalan beragama seperti solat sunat wuduk, solat sunat hajat, solat sunat tahajud, membaca al-Qur’an, berdoa, bertasbih, bertahmid, berzikir, bertakbir dan seumpamanya?

Apapun yang kita buat yang pasti pada malam tersebut para malaikat akan mencatat apa yang kita perbuat itu seperti sedang berterus-menerus melakukannya selama 1000 bulan.

Seandainya kita tidur malaikat akan mencatat kita tidur selama 1000 bulan,

Seandainya kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan menonton perlawanan bolasepak liga dunia, malaikat akan mencatat kita menonton pelawanan bola sepak liga dunia 1000 bulan.

Seandainya kita mengisi 10 malam terakhir Ramadhan kita dengan membakar mercun pelbagai saiz dan warna sudah pasti malaikat akan mencatat dalam buku amakan, kita sedang membekar mercun pelbagai saiz & warna selama 1000 bulan.

Seandainya kita menyiapkan biskut & kuih-kuih raya nescaya malaikat akan mencatat kita menyiapkan biskut & kuih-kuih raya selama 1000 bulan

Seandainya kita menonton rancangan hiburan di tv sama ada tv berbayar atau tv percuma malaikat akan mencatat kita menonton rancangan hiburan di tv sama ada tv berbayar atau tv percuma selama 1000 bulan

Seandainya kita membanyakkan amalan beragama seperti solat sunat wuduk, solat sunat hajat, solat sunat tahajud, membaca al-Qur’an, berdoa, bertasbih, bertahmid, berzikir, bertakbir dan seumpamanya nescaya malaikat akan mencatat kita membanyakkan amalan beragama seperti solat sunat wuduk, solat sunat hajat, solat sunat tahajud, membaca al-Qur’an, berdoa, bertasbih, bertahmid, berzikir, bertakbir dan seumpamanya selama 1000 bulan.

Yang manakah satu idaman kalbu, itu kenalah kita tepuk dada tanya iman!

AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar AlLahu Akhbar

Kesimpulannya posisi & kedudukan kita di muka & perut bumi ini hanyalah hamba yang menumpang rahmat & kasihan belas AlLah SWT tidak lebih & tidak kurang daripada itu.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters