About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, October 31, 2010

Seorang Yang Dipanggil Ayah Din

Di kampung tempat tumpah darahku, kampung tempat kumula menghayun katih, kampung tempat kumula mengenal makna warna flora dan makna spesis fauna, ada sebuah keluarga yang anak-anaknya dipanggil dengan gelar ayah, walaupun usia mereka masih terlalu dini sekitar belasan tahun. Masih segar berlari pada ingatan ini, gelar-gelar seperti Ayah Ziz, Ayah Din, Ayah Zi, Ayah Zin, Ayah Sin, dan Ayah Ajun begitu mesra dengan kami penduduk sekampung. Dalam kalangan mereka itu, Ayah Ziz dikira abang yang sulung dan Ayah Ajun, kalau tak silap hitungan matematikku merupakan anak bungsu, kepada pasangan ikon di kampung kami yang pada pandanganku cukup hebat! Bayangkan bagaimana hebatnya bapa kepada ayah-ayah itu yang mempunyai 4 orang isteri, dan dikurniai 16 orang anak. Masih jelas dapat kugambarkan detik-detik lalu, bagaimana dengan tarbiyyah daripada bapanya, setiap dini pagi Ayah Din akan ke masjid membacakan ayat-ayat suci al-Qur’an, di sekitar satu jam sebelum dikumandangkan azan Subuh, untuk mengejutkan warga kampung kami agar turut menyempurnakan solat Subuh secara berjemaah. Begitulah figura seorang insan yang dipanggil Ayah Din mewarnai pagi kami sekampung. AlhamdullilLah, di kampung yang sebegitulah diri ini dilahir dan dibesarkan. Tidak terhenti di situ, diriku apabila menjejak ke usia yang lebih remaja, di sekitar usia 15 tahun mula menjadi pengunjung tetap masjid di kampung kami dan sekali sekala turut menyumbangkan suara buat melafazkan alunan azan sewaktu ketiadaan bilal, walaupun dengan suara yang tidak sedap. Cinta kasih & sayangnya diriku pada masjid yang terpacak di kampungku tambah membekas, apabila Ayah Ziz mencurahkan gugusan ilmunya pada setiap malam Khamis, Jumaat, dan juga kuliah Hadis pada petang Jumaat. Ayah Ziz juga tidak kedekut ilmunya untuk dicurahkan ada setiap kali selepas solat Subuh dengan menyampaikan butiran tazkirah-tazkirah tertentu. Aku juga tidak pernah melepas peluang untuk menjadi penumpang kereta Ayah Ziz pada setiap malam Sabtu untuk mengikuti kuliahnya di Masjid Kedai Buluh.

Begitulah salah satu siri dari episod kisah silam yang terlalu mahal dan manis yang kejap kusimpan dalam album ingatan. Setelah usiaku menginjak lebih dewasa, demi keperluan kerjaya, demi keperluan ilmu, dan demi keperluan peribadi yang lain, kampung tempat tumpah darah kutinggalkan buat beberapa dekad. Pengalaman di bumi Perak Darul Ridwan, pengalaman di bumi Pulau Pinang Pulau Mutiara menembahkan lagi zat dan sari warna pada catatan pengalaman. Pusingan hari yang silih berganti, hari menjadi minggu, minggu bertukar bulan, bulan menjelma tahun demi tahun, rupa-rupanya sudah lebih 25 tahun diriku tidak berinteraksi dengan Ayah Din. MasyaAlLah. Dulu kami boleh dikira amat rapat dan dekat. Dalam satu NGO di kampung kami Ayah Din menjadi Ketuanya, sementara diriku pula sebagai Setiausaha, tentunya hubungan ketua-setiausaha tidak dapat dinafikan keeratannya. Semalam tanggal 23 Zulkaedah 1431 bersamaan 31 Okt 2010, dikeranakan negeri Kelantan cuti peristiwa, ekoran daripada berjaya menjadi Juara Bola Sepak Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarahnya, kami sekeluarga bertandang ke rumah Ayah Din. Sebelum memijak tapak ke rumah Ayah Din, kami singgah dahulu di Hospital USM menziarah 2 orang ayah kawan anak-anak yang dirawat di sana. Renyai hujan yang turun mewajahkan negeri sejak dini pagi, menyebabkan perjalanan menjadi perlahan, sesampainya di kampung lama, jemaah masjid baharu sahaja memberikan salam keduanya buat menyempurnakan solat Zuhur.

Setelah menyempurnakan hutang Zuhurku dengan bermakmumkan anak lelaki bungsuku Ahmad Fathul Fushshilat, kami menyusun tapak dan jejak menuju ke kediaman Ayah Din. Rupa-rupanya Ayah Din sekeluarga telah menduduki rumah baharunya yang begitu cantik sekira-kira 100 meter daripada rumah lamanya. Sudah lebih sedekad Ayah Din menghuni rumah baharunya itu. Kedatanganku ke rumah Ayah Din kerana sampai ke pendengaran telingaku yang Ayah Din akan beraya di Mesir bersama anak dan menantunya. Ya, nama bumi anbiya’ Mesir menggamit untuk menemudan menyambungkan kembali perbincangan 2 mata antara diriku dengan Ayah Din. Anak menantu Ayah Din sedang menyempurnakan pengajiannya dalam bidang perubatan di Zehreb, Mesir, sementara anak-anakku pula sedang menyelesaikan kuliahnya masing-masing di Shouba untuk anak sulung, Ahmad Huzaifah Badiuzzaman, di Tanta anak kedua, Ahmad Abu Ubaidah Qurratul A’yun, sementara puteri keempat kami pula sedang menyesuaikan diri di Kaherah, Ikrimah Zulhijjah Fathan Husna. Musim sejuk yang akan menyapa bumi Mesir dalam jangka terdekat ini mengikut pusingan rutinnya di kalendar, menghadirkan iklim sejuk, tentunya memberi sedkit julukan masalah buat sang anak yang baru tahun pertama berdepan dengan menggigitnya kesejukan yang dihadirkan oleh musim sejuk. Lantas Husna meminta agar dikirimkan kepadanya beberapa liter minyak panas bagi membantunya berdepan dengan keadaan iklim yang melampau sejuknya itu. AlHamdullilLah, Ayah Din & isterinya Ustazah Aminah tidak keberatan untuk menerima dan membawa barangan kirimanku, malah Ayah Din mengalu-alukan, apa sahaja barangan kiriman untuk anak-anak di bumi anbiya’, di samping itu Ayah Din juga mengajak kami agar turut serta bersama dengannya ke sana.

Dengan deretan iringan turunnya hujan sebagai rezeki daripada Rabb, kami berbicara dalam suasana penuh ukhuwah dan belaian kasih sayang. Perkara yang pertama disentuh Ayah Din sewaktu berbicara 4 mata itu ialah, bagaimana khabarnya ayah & bondaku, yang juga merupakan kawan lamanya. Apabila kututurkan bait-bait kata ayah bondaku berada di Pasir Mas sana, dan untuk mereka kuperuntukan masa setiap Jumaat untuk kuziarahi mereka, kulihat manik-manik jernih secara tiba-tiba membanjiri lautan mata Ayah Din. Dengan getar suara yang menahan sebak & terharu di jiwa, Ayah Din menguntumkan kata, Ayah Din gembira Zie, masih ada anak muda yang sanggup melawat ayah bondanya secara tetap di tengah-tengah banyak orang muda sekarang yang bersikap kurang ajar dengan ayah bondanya. Ada kalangan mereka yang menghantar ayah bonda ke rumah orang tua. Kulihat ketulusan terwajah pada pesan Ayah Din, Zie, berbaktilah pada ayah bonda sementara mereka masih disambung sisa-sisa usia, Ayah Din tak sempat berbakti pada orang tua Ayah Din sebab mereka pergi dahulu. Bertuahlah Zie. Berbaktilah pada ayah bonda merupakan 50% penyempurnaan jalan menuju syurga.

Siri wawasan Ayah Din turut mewarnai perbincangan kami pada kedinginan bayu yang menyapa bersama titis jernih mutiara yang AlLah SWT turunkan dari khazanah-Nya. Rupa-rupanya kesemua akan Ayah Din dimestikan belajar sehingga mengungguli peringkat master, barulah dibenarkan @ boleh mendirikan rumahtangga. Mereka juga digalakkan untuk menyelesaikan kuliah mereka hingga ke PhD. Insya-AlLah, wajah wawasan Ayah Din, ingin turut kujejak. Ya AlLah SWT mampukan aku meyakinkan zuriat keturunanku, punyai ilmu bercahaya, miliki & menternak jahil itu bahaya, dulu, kini, dan selamanya!

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters