Rahsia Langit Dikawal Ketat

Dan sesungguhnya kami
telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh
dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami
dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk
mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa
yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai
panah api yang mengintai (untuk membakarnya). (al-Jin: 8-9)
![]() |
(al-Jin: 8-9) |
Kumpulan jin meneruskan
cerita mereka tentang pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai
kedudukan dan kerasulan di alam ini, seluruh pelosok langit dan bumi.
Ia bagi membersihkan
diri mereka dan segala yang tidak sesuai dengan kehendak Allah SWT yang
menurunkan risalah dan menolak segala dakwaan yang mengaku mengetahui
segala urusan ghaib.
Berkenaan dengan mukadimah ayat ini yang bermaksud kami telah mencuba mengetahui rahsia langit dengan maksud:
- Menuntut dan mendapatkannya seperti ibarat orang Arab.
- Kami menghampiri langit.
Ibn Kathir berkata:
Allah SWT mengkhabarkan tentang jin ketika Dia mengutus Rasul-Nya,
Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran kepadanya.
Antara bentuk
pemeliharaan Allah terhadap al-Quran adalah di langit dipenuhi penjaga
yang bengis yang akan mengusir semua syaitan sebelum mereka dapat
mengintip dan disampaikan melalui dukun sehingga terjadi campur aduk
yang tidak diketahui kebenarannya.
Hal tersebut adalah
salah satu kelembutan Allah terhadap makhluk-Nya, rahmat bagi hamba-Nya
serta penjagaan terhadap kitab-Nya yang mulia.
Al-Maraghi berkata:
“Maknanya adalah al-Quran al-Karim yang mengandungi dalil-dalil aqli dan
dalil alamiahnya itu merupakan para penjaga terhadap sesuatu keraguan
yang dibisikkan oleh syaitan-syaitan ke dalam hati orang yang ragu.”
Kemudian keraguan itu
dihembuskan ke dalam hati orang yang sesat untuk menghalang mereka
daripada menerima agama dan petunjuknya. Apabila timbulnya keraguan dan
waham dalam jiwa manusia, lalu mereka akan mendapatkan bukti yang akan
membasmi keraguan tersebut.
Firman Allah SWT:
Dan Sesungguhnya kami
tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang
dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki
kebaikan bagi mereka. (al-Jin: 10)
Al-Maraghi berkata: “Langit itu dijaga rapi kerana dua sebab.” Sebab-sebab tersebut ialah:
- Azab yang akan diturunkan Allah SWT kepada penghuni bumi dengan segera.
- Atau disebabkan seorang Nabi yang mursyid (memberi petunjuk) dan muslih (memperbaiki keadaan orang lain).
Firman Allah SWT:
Dan Sesungguhnya di
antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula)
yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang
berbeza-beza.
Al-Mawardi berkata:
“Orang soleh adalah orang yang beriman dan selain daripada itu adalah
orang musyrikin. Boleh jadi dengan maksud mereka ahli kebaikan bagi
orang soleh dan sepihak lagi ahli kejahatan.”
Seterusnya tafsiran jalan yang berbeza-beza dengan maksud:
- Banyaknya puak seperti pendapat as-Suddi.
- Pelbagai agama seperti pendapat ad-Dahak.
- Hawa nafsu yang pelbagai.
Al-Maraghi berkata:
“Sesungguhnya Allah SWT berkuasa ke atas kami di mana sahaja kami
berada, sehingga kami tidak akan terlepas daripada kekuasaan-Nya itu
dengan cara melarikan diri.”
Firman Allah SWT:
Dan sesungguhnya kami
mengetahui bahawa kami sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri
(dari kekuasaan) Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak (pula) dapat
melepaskan diri (daripada)-Nya dengan lari. Dan sesungguhnya kami
tatkala mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Barang
siapa beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut akan pengurangan
pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa dan kesalahan. Dan
sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula)
orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. (al-Jin: 11-14)
Ini adalah perkhabaran
daripada jin berkenaan dengan hal mereka ada yang beriman dan ada yang
fasiq. Begitu juga yang zalim, menyimpang daripada kebenaran.
Perkataan qasitin memberi maksud:
- Golongan yang rugi seperti kata Qatadah.
- Golongan yang derhaka seperti pendapat Ibn Zaid.
- Golongan yang amat lemah seperti kata ad-Dahak.
Firman Allah SWT:
Barang siapa yang
taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun
orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu
api bagi neraka jahanam. (al-Jin: 15)
Istiqamah dalam ayat ini ada dua tafsiran:
- Mereka memilih jalan kufur dan sesat seperti kata Muhammad bin Zaid, Abu Mujliz dan lainnya.
- Istiqamah atau petunjuk dan ketaatan seperti pendapat Ibn Abbas, as-Suddi, Qatadah dan Mujahid.
Al-Maraghi berkata:
“Kesuburan dan kelapangan rezeki itu akan terwujud, jika wujudnya
ketenteraman, keadilan dan tidak berlakunya kezaliman.”
Hamka berkata: “Inilah
keinsafan dari jin Islam yang mengakui nubuwwah Rasulullah SAW. Mereka
mengakui bahawa setelah mendapat petunjuk yang terdapat dalam surah
Fatihah yang dibacakan oleh Nabi SAW ketika solat Subuh.”
Firman Allah SWT:
Dan bahawasanya:
Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam),
benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki
yang banyak). (al-Jin: 16)
Al-Mawardi menyebut dua pendapat berkenaan dengan tafsiran ayat kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar:
- Dengan kami kurniakan banyaknya air sehingga membinasakan mereka seperti dibinasakan kaum Nuh dengan lemas dalam air. Inilah pendapat Muhammad bin Ka’ab.
- Kami kurniakan kepada mereka banyak air yang menyebabkan tanaman mereka subur dan harta mereka banyak.
Al-Maraghi berkata:
“Rahsia perkara ini telah kita kemukakan lebih dari sekali. Sesungguhnya
kemajuan dan kesenangan hanya akan wujud jika adanya ketenteraman dan
keadilan serta tiada kezaliman.”
Dengan demikian manusia
akan menerima keadilan yang sama tanpa sebarang kezaliman pilih bulu
atau melakukan rasuah dalam membuat sesuatu keputusan.
Firman Allah SWT:
Untuk kami beri
cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari
peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat
berat. (al-Jin: 17)
Sayid Qutub berkata:
“Allah SWT mengesahkan pandangan jin terhadap manusia iaitu andainya
manusia beriman nescaya Kami kurniakan kepada mereka bekalan yang
mencukupi untuk menguji mereka sama ada bersyukur atau tidak.”
Peralihan daripada
menceritakan perkataan jin kepada menyebut isi cerita untuk menambah
kekuatan pengertian dan janji kepada Allah SWT.
Tarikan seperti ini
banyak dalam uslub Quran untuk menghidup dan menguatkan pengertian serta
pandangan ini mengandungi beberapa hakikat dan unsur penting dalam
pembentukan akidah dan kefahaman seseorang mukmin.
Hakikat yang pertama
wujudnya hubungan kelurusan iman umat dan sekelompok manusia mengikuti
jalan Allah dengan kemewahan rezeki. Faktor yang pertama adalah
kemewahan bekalan air yang cukup. Ia selama-lamanya penting untuk
pembangunan dan kelangsungan hidup.
Hubungan antara keduanya
sangat kukuh. Contohnya orang Arab di Padang Sahara. Mereka hidup
dengan segala kepayahan dan kesulitan tetapi mereka beriman maka
dikurniakan segala kemewahan dan rezeki yang melimpah ruah.
Kemudian mereka kufur
maka segalanya ditarik kembali sehingga kembali pada keadaan asal dan
itulah tanda kekuasaan Allah SWT yang menentukan segalanya.
Al-Maraghi berkata:
“Barang siapa yang berpaling dari al-Quran dan menolak nasihatnya, tidak
menunaikan segala perintahnya serta tidak meninggalkan
larangan-larangannya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam seksaan yang
berat akan menguasainya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk
memikulnya.”
Andainya di sana
terdapat umat yang tidak berjalan di atas jalan Allah SWT kemudian
mereka mendapat kemewahan dan kekayaan, maka mereka akan diseksa dengan
pelbagai penyakit dan mala petaka yang merosakkan sifat insaniah mereka
atau mengugat keamanan dan kehormatan hidup sebagai manusia.
Semuanya itu menjadikan kemewahan dan kekayaan mereka tiada ertinya (sebagaimana yang diterangkan dalam surah Nuh).
Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya.
*Sumber dari irfanirsyad.wordpress.com
http://detikislam.blogspot.com/2014/02/rahsia-langit-dikawal-ketat.html
No comments:
Post a Comment