Hudaibiyyah, sebuah lokasi yang kurang dikenali dalam artifak sejarah, walaupun jarak kondisinya tidak terlalu jauh dengan Mekah. Hudaibiyyah hanya mendapat tempat dalam posisi sejarah dan sirah setelah padanya Baginda Nabi Muhammad SAW singgah. Lebih menambah episod dramatik kepada latar yang bernama Hudaibiyyah ini, dengan persinggahan RasullulLah SAW turut mengundang kaum Quraisy untuk bersama turut berkongsi catatan pada warna sejarah. Setelah kaum Quraisy berusaha menyekat jalan-jalan biasa yang boleh digunakan untuk memasuki Mekah dengan bala tenteranya dengan megah. Setelah dikeluarkan arahan kepada jeneral Khalid al-Walid membawa tentera yang gagah-gagah. Baginda Rasul SAW yang bersih hatinya daripada niat untuk bertumpah darah, apabila mengetahui jalan-jalan untuk ke Mekah disekat sudah, Baginda Rasul SAW mengupah seseorang agar mencari jalan lain untuk ke Mekah, biarpun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan susah dan payah. Yang peliknya, jalan baru yang dirintis Baginda Rasul SAW, turut mengundang mahu kaum Quraisy untuk turut sama mendahului arah, akhirnya mereka (kaum Muslimin dan kaum Quraisy)bersua dan bersemuka di satu medan yang bernama Hudaibiyyah. Ya, pada tahun keenam setelah hijrah, pada bulan yang diliputi berkat, yang bernama Zulkaedah, tertuntaslah sebuah perdamaian, yang kelak dikira sebagai kunci kemenangan total kepada umat yang menjunjung serta mendaulatkan tauhid hanya kepada AlLah SWT; Perdamaian atau Perjanjian Hudaibiyyah.
Semua babak dan episod yang tertinta di Hudaibiyyah sebetulnya memaknakan dan menterjemah siri kemenangan total kepada umat Islam dan penganut dakwah. Kenapa tidak? Selama ini, selama 13 tahun bergelut dengan muatan dakwah semasa masih berada di bumi Mekah, kaum Quraisy dan sekutunya tidak pernah mengakui penganut Islam sebagai satu umah, seakan umat Islam tidak pernah wujud dan ingin dihapuskan dalam catatan sejarah dan sirah. Lalu pelbagai rantai kisah penyiksaan dirakam apabila ada antara khalayak yang menyatakan penyerahan dirinya kepada AlLah SWT. Apa yang dinukilkan berlaku dan menimpa Bilal bin Rabah serta keluarga Yasir, yang memperlihatkan isterinya, Sumayyah gugur sebagai syahidah, yang memperlihatkan anaknya Ammar dipaksa melafazkan kalimah kufur sebagai syarat melepaskan diri daripada siksaan yang memamah. Gugusan siksa yang ditimpakan kepada penganut-penganut tauhid ini, berjaya menjauh dan menangguhkan hajat sebahagian lagi warga Mekah yang memiliki keyakinan diri yang lemah, buat mereka menyata dan menzahirkan tauhid hanya kepada AlLah SWT.
Penganut tauhid yang ditimpakan dengan deretan siksa dan tidak diakui entiti kewujudannya suatu masa, kini dipelawa untuk mengadakan perdamaian atau perdamaian dengan satu kuasa yang perkasa pada masa itu, merupakan satu kemenangan. Sebelum tertuntasnya perjanjian lewat Suhail bin Amru yang mewakili kelompok Quraisy dengan Baginda Rasul SAW yang mewakili umat tauhid kepada AlLah SWT, Quraisy telah menghantar 4 wakilnya daripada pelbagai latar kepakaran untuk berunding dengan Baginda Rasul SAW. Sejarah sudi mencatatkan nama-nama mereka dalam lipatan sebagai Budail Ibn Warga al Khuzai , Urwah Ibn Mas’ud as-Tsaqafi, Hulais Ibn Alqamah al-Kinani, dan Markaz Ibn Hafash. Kedatangan keempat-empat wakil Quraisy itu bolehlah dikatakan sebagai rundingan praperjanjian, sebelum hadirnya tokoh dan pakar perunding Quraisy, yang selalu berunding dan rundingan yang diusahakan Suhail membuahkan pelbagai keuntungan kepada pihak Quraisy selama ini. bertitik tolak daripada situasi inilah Quraisy tidak keberatan malah berbesar hati dapat mengirim Suhail sekali lagi untuk meneruskan legasi rundingan di medan Hudaibiyyah. Memang benar Suhail cukup cekap dan bijak berunding dan memberi pelbagai keberuntungan kepada Quraisy selama ini melalui perundingan yang dijalankan. Hal itu disebabkan selama ini Suhail hanya berunding dan melunaskan perjanjian dengan sesama manusia yang terhad ilmu dan pandangan mata serta dangkal menganalisa data atau angka. Tapi di medah Hudaibiyyah suasana tidak menjanjikan sesuatu yang sama dengan yang pernah dilaluinya. Ya, di medan Hudaibiyyah Suhail berdepan dengan Baginda Rasul SAW yang diberi atau menerima wahyu terus dari AlLah SWT yang Maha Mengetahui dulu, kini, dan selamanya. Yang Maha Mengetahui ada sudah berlaku, apa yang sedang berlaku, dan apa-apa yang akan berlaku. Ya, pengetahuan atau ilmu yang ada pada Suhail hanyalah seperti embun di hujung rumput, tidak mampu untuk dibandingkan dengan lautan ilmu yang dikurniakan AlLah SWT kepada hamba-NYA (Nabi Muhammad SAW) yang menjadi rahmat buat semua alam ini.
Muatan atau isi yang tertinta dalam Perjanjian Hudaibiyyah ini, dari sisi yang tersuratnya menampakkan kerugian yang bakal dideritai oleh kaum Muslimin.
1. Tidak boleh ditulis BismilLahi ar Rahman- ar Rahim tetapi hanya dicatat BismikalLahumma sahaja.
2. Dihapuskan kalimah RasullulLah SAW setelah nama Baginda Nabi SAW menjadi Perjanjian ini antara Suhail bin Amru mewakili Quraisy dengan Muhammad bin AbdulLah mewakili kaum Muslimin.
3. Orang Islam tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun tersebut (6 H) & boleh mengerjakan pada tahun berikutnya. Mereka boleh membawa pedang yang tersarung & berada di Mekah tidak melebihi 3 hari
4. Gencatan senjata selama 10 tahun. Dalam tempoh itu kedua pihak tidak boleh mencuri, mengugut, menyiksa, mengkhianati, memaksa, & memungkir janji
5. Orang kafir Quraisy yang masuk ke Madinah , (walaupun telah memeluk agama Islam), hendaklah dipulang semula ke Mekah
6. Orang Islam Madinah yang masuk ke Mekah, tidak perlu dihantar pulang ke Madinah
7. Pihak Musyrikin Mekah & Islam Madinah boleh / bebas membuat perjanjian dengan mana-mana pihak yang mereka sukai
Benarlah seperti yang terdapat dalam satu lirik lagu kumpulan Hijaz ‘Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih, hati kalau sudah bersih, pandangannya kan menembus hijab, tapi hati kalau dikotori sinarnya bukan lagi kebenaran, hati tempat jatuhnya pandangan AlLah, tubuh zahir pandangan manusia’
Memang tepat, pandangan hati Baginda Rasul SAW dapat menembus hijab, kerana Baginda Rasul SAW memiliki hati yang paling bersih di sepanjang sejarah umat manusia, dulu, kini, dan selamanya. Baginda Rasul SAW tidak pernah disentuh apa-apa juga deburan dosa yang kecil apatah lagi kalau dosa itu yang berat atau besar. Pernah disirahkan bagaimana semasa Baginda Rasul sebelum dinobatkan sebagai rasul, sewaktu usianya sidini di bangku sekolah rendah, Baginda SAW mengambil upah mengembala kambing. Suatu masa pada zaman itu, ada satu program semacam ‘Jom Heboh” di Mekah yang dihadiri para karyawan seni tersohor, dengan artis paling popularnya, dengan pelakon lelaki terbaik dan perempuan terbaiknya, dan yang lain-lain seumpamanya. Oleh sebab program ini memakan masa yang lama, semua kawan sepergembalaan kambing sudah menontonnya, lalu kawan-kawan Baginda SAW menyuruhnya pada suatu malam agar turut berhibur menikmati pelbagai alunan muzik daripada para artis handalam Mekah pada masa itu. Sebagai menunaikan permintaan para kawannya, Baginda SAW pada suatu malam pun berangkatlah ke Mekah untuk turut memeriahkan pesta tersebut. Sebaik sahaja Baginda SAW duduk dalam program itu, Baginda SAW terus tertidur hingga keesokan paginya setelah matahari memanaskan mukanya hinggalah Baginda SAW tersedar. Selama 3 malam Baginda SAW cuba menikmati alunan muzik-muzik itu, selama 3 malam itu juga Baginda SAW lena dalam mimpi-mimpi. Cuba bandingkan kita dengan Baginda Nabi SAW, masa itu baginda belum dinobatkan sebagai pesuruh AlLah SWT lagi tu, baru pada peringkat umur kanak-kanak. Dengar aje muzik lena turus, kita pula, walLahu a’lam.
Walaupun 5 pasal yang tercatat dalam perjanjian nampaknya merugikan kaum Muslimin pada pandangan mata yang selalu menipu tu, tetapi sebetulnya perkara itu tidak berlaku sama sekali. Cuba kita lihat dan analisa sedikit dengan kemampuan pengetahuan yang AlLah SWT pinjamkan kepada kita, Insa-AlLah.
1. Tidak boleh ditulis BismilLahi ar Rahman- ar Rahim tetapi hanya dicatat BismikalLahumma sahaja. Frasa BismilLahi ar Rahman- ar Rahim dengan BismikalLahumma sebenarnya merujuk kepada AlLah SWT yang sama. Apabila Quraisy bersumpah atau menyebut BismikalLahumma, kalimah ini dikembalikan kepada AlLah SWT bukannya merujuk kepada salah satu daripada 360 ekor berhala yang ada di sekeliling Mekah pada masa itu. Baginda SAW tidak membuang prinsip asas Islam dan kepercayaan kepada AlLah SWT demi untuk menjayakan rundingan ini. Sebetulnya aqidah umat Islam tidak rugi atau terjejas apabila tidak menyebut sifat kepada AlLah SWT yang paling disukainya iaitu ar Rahman- ar Rahim. Tidak salah dan tidak dikira berdosa jika kita pada hari ini hanya membaca BismilLah sahaja tanpa menyebut ar Rahman- ar Rahim sewaktu ingin memulakan sesuatu pekerjaan.
2. Dihapuskan kalimah RasullulLah SAW setelah nama Baginda Nabi SAW menjadi Perjanjian ini antara Suhail bin Amru mewakili Quraisy dengan Muhammad bin AbdulLah mewakili kaum Muslimin. Demikian juga penyebutan Muhammad bin AbdulLah dengan Muhammad bin AbdulLah RasulLulLah. Pada masa itu satu-satunya insan yang bernama Muhammad bin AbdulLah di Mekah hanyalah RasulLulLah SAW. Tidak ada lagi atau belum ada lagi insan lain yang bernama seperti Baginda SAW. Lalu Muhammad bin AbdulLah dengan Muhammad RasullulLah merujuk kepada orang yang sama, iaitu Nabi Akhir Zaman, penutup dan ketua segala anbiya’.
3. Orang Islam tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun tersebut (6 H) & boleh mengerjakan pada tahun berikutnya. Mereka boleh membawa pedang yang tersarung & berada di Mekah tidak melebihi 3 hari. Ya, antara kewajipan umat Islam, sebagai rukun Islam yang kelima, ke Mekah untuk mengerjakan Haji & umrah kerana AlLah SWT. Satu ibadat yang cukup unik sifatnya, iaitu jika berhalangan mengerjakannya, kita tidak wajib atau difardhukan lagi untuk menyempurnakannya. Hal ini berlangsung hinggalah ke hari ini. wujudnya aneka gangguan di tengah jalan, akan mengangkat kewajipan itu dari dalam diri. Walaupun umat Islam tidak diizinkan ke Mekah pada 6 hijrah, tetapi mereka diberi sepenuhnya kebebasan melaksanakan iabadat tersebut pada tahun 7 hijrah, tanpa sebarang sekatan dan gangguan dariada pihak Quraisy, kerana Quraisy berjanji akan mengosongkan Mekah buat umat Islam pada tahun tersebut. Mereka akan keluar dari kota Mekah semasa umat Islam sedang seronoh beribadat kepada AlLah SWT. Sementara umat Islam dapat menyempurnakan ibadat semasa di Mekah tanpa rasa was-was dan curiga diganggui pelampau-pelampau Quraisy jahiliyyah.
4. Orang kafir Quraisy yang masuk ke Madinah , (walaupun telah memeluk agama Islam), hendaklah dipulang semula ke Mekah. Telah terbukti mereka yang memeluk Islam ini disebabkan kefahaman ataupun ilmu yang diyakinkan kepada mereka. Bukan kerana paksaan atau desakan sesiapa. Apabila mereka dikembalikan semula ke Mekah, tentunya mereka akan menyebarkan dakwah itu dalam kalangan masyarakat di Mekah tentang anutan mereka yang lebih mulia. Umat Islam tidak akan mendiamkan diri, kerana antara kewajipan kita sebagai umat Islam ialah kewajipan menyampaikan apa yang kita tahu perkara tersebut daripada Baginda Nabi SAW. Kita dituntut menyampaikan walaupun sekadar sepatah kata. Tentunya kondisi ini menjadi ‘duri dalam daging’ untuk Quraisy. Mereka tidak boleh lagi menyiksa orang Islam kerana adanya pasal perjanjian yang menuntut gencatan senjata selama 10 tahun.
5. Orang Islam Madinah yang masuk ke Mekah, tidak perlu dihantar pulang ke Madinah. Kalaulah orang Islam Madinah ke Mekah untuk menyebarkan dakwah, tetapi mereka tidak perlu dikembalikan ke Madinah, maka tujuan dakwah akan mencapai sasarannya. Sekaligus merupakan dokongan juga atau sokongan secara tidak langsung daripada kaum Quraisy. Hal ini sudah pasti akan mendatangkan masalah kepada Quraisy dan memberi kelebihan kepada dakwah Islam itu sendiri. Kalaulah ada umat Islam yang kembali ke Mekah kerana murtad atau ingin bertukar agama, balik menjadi penyembah berhala, hal ini tidak akan pernah berlaku sama sekali, kerana sewaktu mereka berada di Mekah dengan pelbagai tekanan yang diberikan pun tidak ada seorang pun yang menukarkan akidahnya. Inikan pula setelah berada dalam zon yang agak selesa di Madinah dengan pelbagai keseronokan mengerjakan ibadat tanpa ganggu gugat. Kondisi ini lagilah memustahilkan untuk umat Islam kembali kepada akar jahiliyyah dengan meninggalkan penyembahan dan ketergantungan kepada AlLah SWT bahkan menyembah patung atau berhala yang diukir dengan tangan masing-masing. Tambahan pula mereka yang berada di bawah lindungan akidah tauhid kepada AlLah SWT diibaratkan berada dalam timbunan duit emas, sementara menyembah patung atau berhala itu berada dalam himpunan duit plastik sahaja. Terlalu aamat mustahil, kita yang ada mempunyai duit emas ini membuangnya dan menerkam dengan lahapnya untuk mengumpul duit plastik ke dalam kantung usia.
6. Pihak Musyrikin Mekah & Islam Madinah boleh/bebas membuat perjanjian dengan mana-mana pihak yang mereka sukai. Selama ini selama 19 tahun Quraisy melarang sesiapa sahaja, sama ada diri perseorangan atau kaum atau kabilah mana-mana daripada bergabung atau menyertai orang Islam. Kini peluang itu dibuka sendiri oleh Quraisy, menyebabkan Bani Khuzaah tanpa segan silu mengistytiharkan mereka bergabung dan menjadi sekutu kepada orang Islam. Kalau selama ini Baginda Rasul SAW bergerak secara ‘solo’ dalam menyebarkan dakwah, kini sudah ada kabilah yang bersedia susah, senang bersama.
7. Gencatan senjata selama 10 tahun. Dalam tempoh itu kedua pihak tidak boleh mencuri, mengugut, menyiksa, mengkhianati, memaksa, & memungkir janji. Fasal inilah merupakan kunci besar kepada kemenangan Islam. Sama ada kita sedar atau tidak, kekuatan Islam ini terletak kepada dakwah, sama ada dulu, kini, dan selamanya. Bagi tujuan pengsuksesan dakwah, suasana yang kondusif amat perlu, sementara situasi perang yang terjadi akan merencatkan sedikit kelancaran dan kesinambungan roh dakwah. Walaupun tidak dapat dinafikan ada waktu-waktunya perang juga sebagai salah satu wahana dakwah.
Fasal gencatan senjata ini memberikan kelebihan 100% kepada umat Islam dan memberikan kerugian 100% kepada Quraisy. Dalam masa gencatan senjata ini, hanya umat Islam melalui Baginda Rasul SAW sebagai ketuanya, meneruskan siri dakwah dengan lebih lancar. Kalau selama ini perjalanan dakwah sedikit terlewat sebab sekatan atau tekanan tertentu daripada Quraisy, kini sekatan itu dibuka sendiri oleh Quraisy melalui fasal Perjanjian Hudaibiyyah ini.
Selama ini jika ada kabilah dari luar ingin bertemu Baginda Nabi SAW untuk mendapatkan penerangan tentang Islam, kabilah ini tentunya akan dihalang dan disekat Quraisy di tengah-tengah perjalanannya. Kabilah tersebut akan diberi gambaran yang tidak wajar tentang Baginda Nabi SAW. Pernah dan selalu benar terjadi kaum Quraisy apabila tahu ada kabilah atau rombongan luar yang ingin menemui RasulLulLah SAW, mereka akan menunggu di semua laluan menuju ke tempat RasullullLah SAW dan mereka meyakinkan kabilah itu bahawa Muhammad itu bukan nabi tapi hanyalah tukang sihir, atau tukang tenung, ataupun seorang penyair (artis) sahaja. Kini kondisi seperti di atas tidak lagi berlaku, kerana mereka tidak boleh lagi menyekat sesiapa atau kabilah mana daripada menemui Baginda Nabi SAW.
Baginda Nabi SAW juga bebas bertemu dengan sesiapa sahaja, kabilah mana sahaja, kaum mana sahaja tanpa sekatan untuk menjelaskan dakwahnya mentauhidkan AlLah SWT semata-mata dengan hujah sama ada hujah aqli atau hujah naqli. Hujah yang dikemukan Baginda Nabi SAW diterima baik oleh sasaran dakwah Baginda SAW, dan tidak kurang daripada mereka yang sudi melafazkan ucapan dua kalimah syahadah. Awal tahun 7 H setelah gencatan senjata, beberapa tokoh hebat dan ternama Quraisy menyatakan diri mereka untuk turut sujud kepada AlLah SWT seperti Khalid bin Al-Walid, Amr bin Al-Ash, dan Utsman bin Thalhah.
Pada masa yang sama Quraisy tidak mampu untuk memperhebat gerakan dakwahnya, mengajak khalayak kepada keseriusan penyembahan berhala atau patung. Atau untuk meyakinkan khalayak agar menjadi hamba kepada patung-patung yang patuh, sedia berkorban untuk patung berhala, kerana mereka tidak ada hujah, mereka tidak ada kitab untuk dijadikan sandaran kenapa harus menyembah kepada patung? Mereka juga tidak akan berjaya mempertahankan kehormatan patung berhala mereka jika diasak dengan pelbagai soalan. Mereka yang boleh berhujah ini sembahan datuk nenek kita yang terdahulu.
Sedang Baginda Nabi SAW memperluas cakupan dakwahnya, bukan sahaja meliputi daerah lokal tetapi medan dakwah bagina Rasul SAW telah melangkau sempadan geografi atau sempadan warna alam. Untuk itu Baginda Rasul telah menjadikan pentingnya peranan tinta dan warkah dalam bidang penyebaran dakwah. Sahabat dihantar keseluruh pelusuk alam untuk menyampaikan dakwah Islam, mengajak manusia berabdi hanya kepada AlLah SWT Rabb kita. Warna dakwah mula menyebar keluar daripada kepompong dunia Arab dan mula menggarami dunia sama ada di sebelah timur, barat, tenggara, timur laut, barat daya, barat laut, utara, atau selatan.
Begitulah peri hebatnya impak dan dampak daripada tertunainya Perjanjian Hudaibiyyah. Begitulah hebatnya kehendak, kudrat, dan iradat AlLah SWT. Telah dijadikannya sunnah alam, bersama kepayahan itu ada kesenangan. Kepayahan yang ditempuh di Hudaibiyyah membuahkan ranum buah kemenangan kepada Islam.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment