About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Saturday, October 23, 2010

Hudaibiyyah, Kunci Pembuka Pintu Dakwah

Perjalanan episod dakwah RasullullLah SAW, mengajak dan mempelawa warga manusia meninggalkan segala bentuk sembahan, permohonan, pintaan yang selama ini difokuskan kepada sesama hamba sama ada batu yang diukir menjadi berhala, pokok-pokok yang dikatakan memberi kuasa spritual, kubur-kubur manusia yang dikatakan pernah berjasa, nyalaan api yang mampu mengubah suasana, kerdipan bebintang yang mencerah maya yang berjalan lewat relnya, binatang tertentu yang kononnya yang mendatang pelbagai guna kepada keperluan hidup manusia, kepada hanya menyembah AlLah SWT pencipta, penjaga, pengatur, pengwarna segala, dari sekecil-kecilnya(mungkin anak kuman yang kurus kering) hinggalah yang terbesar antara yang ada (langit dan bumi yang mampu dilihat mata). Iklim dakwah telah bertapak di bumi Mekah selama 13 tahun sementara di bumi Madinah menyempurnakan misi dan visinya selama satu dekad lagi. Menjumlahkan secara total mudah babak-babak dakwah ini tuntas dalam masa 23 tahun. Tidak ada sesiapa yang mampu membohongi diri, iklim pengalaman yang dikumpul dalam jangka masa 23 tahun tentulah pelbagai warnanya. Demikianlah juga dengan warna dakwah yang dilalui oleh Junjungan Akhir Zaman, insan termulia Nabi Muhammad SAW. Antara anugerah pengalaman berskala besar yang dilayani dengan penuh bijaksana oleh Baginda SAW ialah satu peristiwa yang tidak pernah dirancang, berlakunya di sebuah tempat yang jarang dilewati manusia, di sebuah tempat yang tidak pernah ada glamornya, telah berlaku dan mencatatkan episod baru dalam rangkaian mata rantai dakwah iaitu di Hudaibiyyah. Kelahiran Baginda Nabi SAW tanpa ayah di sisi, penobatannya sebagai salah seorang Utusan AlLah, 3 siri hijrah (ke Habsyah, Taif, dan Yastrib), Perang Badar al-Kubra, Perang Uhud, Perang Ahzab, Perdamaian di Hudaibiyyah, Fath Mekah, dan yang peristiwa-peristiwa yang lain seumpamanya, merupakan peristiwa perdana yang tidak harus lekang dari pita ingatan. Dengan mengundang maksud, sebagai umat yang telah menggabungkan diri dalam Islam, muatan peristiwa yang tercatat di atas seharusnya ada dan melekat dalam minda, di samping dapat menceritakan kembali kepada manusia yang lain dengan penuh izzah mendasari rasa syukur yang melimpah kerana telah dianugerahi dan kita pula sudi bernabi dengan Baginda Nabi Muhammad SAW.


Perdamaian yang tertuntas di Hudaibiyyah, yang dikenal oleh sejarawan sebagai Perjanjian Hudaibiyyah atau Perdamaian Hudaibiyyah lewat tahun 6 hijrah pada catatan kalendar, dipersetujui secara konsesi oleh Baginda Nabi Muhammad SAW mewakili kaum Muslimin dengan Suhail bin Amr yang membawa mandat penuh harap daripada kaum musyrikin Quraisy dari Mekah. Sebahagian kecil para sahabat berasa isi kandung perjanjian ini daripada sudut tersuratnya merugikan umat Islam, mereka terasa terkalahkan. Berbeza dengan pandangan hati RasullulLah SAW yang dipenuhi cahaya AlLah SWT, yang menganalisa daripada sudut tersiratnya, umat Islam telah dihadiahkan kunci oleh kaum musyrikin Quraisy sebagai pembuka kepada kemenangan Islam pada masa-masa mendatang. Muatan isi Perdamaian Hudaibiyyah ini antara lain;
1- Baginda Rasul SAW bersetuju dengan pintaan Suhail untuk ditulis dengan BismikalLahuma, bukan BismilLahi Rahmani Rahim pada kepala perdamaian.
2- Baginda Rasul SAW sekali lagi bersetuju dengan suara hati Suhail agar ditulis perdamian ini dipersetujui antara Muhammad bin AbdulLah dengan Suhail bin Amr, bukan Muhammad bin AbdulLah RasullullLah.
3- Baginda Rasul SAW juga bersetuju dengan pendirian musyrikin Quraisy yang kaum Muslimin hanya boleh memasuki Mekah pada tahun hadapan.
4- Baginda Rasul SAW dengan permintaan Suhail, bila ada warga Mekah datang menemui RasullulLah SAW untuk masuk Islam mereka hendaklah dikembalikan kepada kaum musyrikin Quraisy.
5- Baginda Rasul SAW bersetuju dengan usul Suhail mana-mana orang Islam yang datang ke Mekah, kaum Quraisy tidak perlu mengembalikan mereka ke Madinah.
6- Baginda Rasul SAW ternyata amat gembira dengan cadangan Suhail agar diadakan perdamaian atau gencatan senjata antara kaum Muslimin dengan musyrikin Quraisy selama 10 tahun.
7- Baginda Rasul SAW bersetuju dengan usul mana-mana kabilah berhak untuk memilih sama ada untuk bergabung dengan kaum Muslimin atau kaum musyrik Quraisy.




Kenapa Hudaibiyyah Dikira Kunci Pembuka Pintu Dakwah

Wajar saja, jika dilihat pada pandangan mata kasar dan secara tersurat, muatan yang mewarnai Perdamaiaan Hudaibiyyah ini memberikan kelebihan kepada kaum musyrikin Quraisy dan seolah-oleh menekan terhadap kaum Muslimin. Bayangkanlah daripada 7 hal yang terdapat dalam isinya, hanya 2 hal yang nampaknya setara untuk kaum Muslimin dan musrikin Quraisy, sedangkan 5 lagi hal, seakan-akan memberikan keberuntungan kepada musyrikin Quraisy. Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy menulis dalam Fiqh Sunnahnya, kaum Muslimin bertanya kepada Baginda Rasul SAW, apakah kita akan menulis butir ini ya RasullulLah? Baginda SAW dengan tenang dan yakin menjawab kejap Ya. Sesungguhnya sesiapa sahaja antara kita yang pergi kepada mereka semoga AlLah SWT menjauhkannya, dan barang siapa antara mereka yang datang kepada kita maka AlLah SWT akan memberikan jalan baginya. 2 hal yang dikira pada perkiraan muka yang setara ialah gencatan senjata selama 10 tahun dan mana-mana kabilah boleh menjadi sekutu kepada kaum Muslimin atau musyrik Quraisy, adapun fasal lain yang terkandung dalam perdamaiaan ini dikira merugikan Islam.

Islam sejak disebarluaskan melalui kebijaksanaan dan keterbukaan dakwah sejak daripada zaman Nabi Adam AS lagi. Tidak pernah tercatat dalam mana-mana sirah, para anbiya’ ini memaksa umat yang dihadapinya untuk menganut agama yang diredhai AlLah SWT ini. Sirah tak pernah segan dan silu merakamkan bagaimana para anbiya’ ini menjadi korban kerana dakwah yang disebarkannya. Nabi Zakaria AS dan anaknya Nabi Yahya AS dirakam oleh setia oleh Al-Qur’an menjadi mangsa pembunuhan umatnya yang tidak sebulu dengan haluan dakwah yang disampaikan. Lalu dengan cara yang amat tragis mereka menghantar utusan AlLah SWT menemui-Nya. Kesuksesan dakwah tentunya memerlukan situasi dan kondisi yang kondusif. Iklim yang kondusif untuk melatari dan mendasari peta dakwah inilah yang ditawarkan lewat Perdamaian Hudaibiyyah ini, apabila wujudnya fasal gencatan senjata selama 10 tahun. Tentunya kita dapat membayangkan bagaimana kesuksesan dakwah yang berlaku dalam suasana aman, bebas, serta kondusif ini. selama ini untuk menyebarkan suara dakwah ini Baginda Rasul SAW terpaksa melewati pelbagai tekanan, ini tekanan itu sudahpun dibuang sendiri oleh kaum musyrikin. Hebatnya dakwah untuk agama AlLah SWT ini. seakan terlihat bagaimana pihak musuh yang terdiri daripada kaum musrikin telah berputus asa untuk menjadi penghalang dakwah setelah 19 tahun mereka mencuba (13 tahun sewaktu Baginda Rasul SAW berada di Mekah dan 6 tahun sewaktu Baginda bertapak di Madinah). Keberhasilan kaum musyrikin sebenarnya tidak ada, kerana setiap masa jumlah penganut bertambah jumlahnya dari sehari seminggu, dari seminggu ke sebulan, dari sebulan ke setahun. Sirah juga merakamkan bagaimana tokoh-tokoh kepala penentang kepada dakwah Islam ini akhirnya sujud di bawah bendera tauhid hanya kepada AlLah SAW. Umar al-Khattab misalnya pada awalnya muncul sebagai susuk yang begitu sengit menentang dakwah yang dibawa dan disebarkan Baginda Rasul SAW tetapi kemudiannya apabila mendapat informasi yang sebenar tentang Islam dariapda sumber yang autentik dalam Islam iaitu al-Qur’an, setelah membaca beberapa ayat pada awal surah Tooha, ketakburan tugu dan kota jahiliyyah yang membekas dalam diri Umar berkecai satu demi satu, akhirnya beliau dengan penuh rela bersujud hanya kepada Rabb AlLah SWT, bukan lagi kepada berhala-berhala yang selama ini dipuja dengan bangga. Umar menggabungkan dirinya ke dalam saf Islam sewaktu hujan ancaman tidak pernah mereda terhadap sesiapa yang sudi begabung dengan Islam. Bagaimana pula sikap warga masyarakat apabila diajak kepada Islam semasa situasi aman dan damai ini, semasa bebas dari ancaman, siksaan, ugutan dan peerkara negatif yang lain? Sudah tentu ajakan dakwah semasa aman ini lebih memberi bekas dan kesan ke dalam jiwa manusia.

Ya, gencatan senjata ini selama sedekad telah dipergunakan sebaik mungkin oleh Baginda Rasul SAW untuk menyebarluaskan iklim dakwah tauhidnya. Sudah tiada lagi sekatan berupa sekatan fizikal untuk Baginda Rasul SAW berjumpa dengan pelbagai kabilah yang ada untuk mempelawa mereka kepada bertauhid hanya kepada AlLah SWT. Sedang pada piihak musyrikin Quraisy selama tempoh gencatan senjata ini, mereka tidak dapat untuk menyebarkan dakwah iaitu mengajak manusia agar lebih komited dalam penyembahan berhala. Hal ini tidak mungkin terjadi selamanya, kerana daripada segi lojik pun manusia boleh berfikir, segala berhala yang ada itu pun diukir atau dibuat manusia daripada pelbagai bahan. Sebelum terukir sebagai berhala, berhala tadi hanyalah mungkin batu, mungkin kayu, mungkin tamar dsbnya. Sedangkan dakwah kepada Islam antara lain mengajak manusia mengenal pencipta alam dan pencipta diri sendiri. Tambahan pula semua yang diajarkan Islam sesuai dengan fitrah asal manusia. Tidak ada sekerat pun mana-mana ajaran Islam yang bercangggah dengan fitrah manusia. Misalnya menjadi fitrah manusia mahu mempunyai keturunan yang hebat dan jelas daripada siapa bakanya. Justeru Islam melarang umatnya daripada mendekati zina, apatah lagi berzina, kerana anak yang terproduk dengan zina tidak akan diakui oleh sang lelaki pasangan yang berzina tadi. Tambahan pula status anak zina hanyalah anak kepada ibunya sahaja. Bukan anak kepada pasangan zinanya. Sekiranya anak zina itu perempuan, anak itu boleh berkahwin dengan ayah yang menzinai ibunya. Kerana mereka tidak atau belum mempunyai ikatan.

Gencatan senjata ini juga memberikan peluang yang amat cerah untuk Baginda Rasul SAW melebar dan mempelbagaikan wahana dakwahnya. Antara cara baru yang digunakan Baginda Rasul SWT ialah dengan menghantar surat kepada semua pembesar atau pemimpin negara yang ada pada masa itu. Lantaran itulah kita dapati sewaktu tempoh gencatan senjata ini, Baginda Rasul SAW menulus surat kepada Kisra Parsi, Kaisar Rom, Najashi Habsyah, Mauqauqis Mesir, serta raja atau pembesar lain yang ada. Pengiriman surat telah memberikan impak dan dampak kepada perkembangan baru dunia Islam. Setelah menerima dan membaca warkah Baginda Rasul SAW yang mengajak kepada agama AlLah SWT, ada antara penguasa itu yang menerima dan menyatakan dirinya juga sebagai Muslim, ada antara penguasa yang tidak berani untuk memproklamirkan dirinya sebagai Muslim, ada yang memarahi utusan dan sebagainya lagi yang melambangkan kepelbagaian perangai manusia. Antara sahabat yang bertuah menjadi wakil sebagai pembawa surat Baginda Rasul SAW ialah;
a) Amru Ibn Umayyah Adh-Dhamiri kepada Najashi Habsyah, Najashi menerima baik ajaran Baginda Rasul SAW, dan dia segera mengucapkan dua kalimah syahadah.
b) AbdulLah Ibn Huzaifah As-Sahmi kepada Kisra Parsi. Kisra Parsi amat marah dengan wakah RasullulLah SAW, lalu dirobek-robeknya warkah tersebut. Baginda Rasul SAW mendoakan agar kerajaannya dihancurkan sebagaimana dia menghancurkan surat ajakan kepada Islam.
c) Dihyah Ibn Khalifah Al-Kilabi kepada Kaisar Rom. Untuk memastikan kesahihan dakwah kepada agama AlLah SWT, Herakla sebagai Kaisar Rom pada pada itu telah memanggil rombongan Quraisy yang berada di negerinya pada masa itu yang diketuai oleh Abu Sufyan. Beberapa soalan dilontarkan kepada Abu Sufyan, sebagai soal siasat terhadap dakwaan manusia yang bernama Muhammad SAW yang mengaku menjadi nabi. Setelah Herakla berpuas hati dengan jawapan yang meyakinkan hatinya, hatinya benar-benar percaya terhadap kandungan surat Baginda Rasul SAW. Hatinya benar-benar ingin ikut serta mengggabungkan dirinya ke dalam Islam, tetapi beliau risau akan hilang kuasa dan tahtanya, kerana keengganan mereka yang berada di sekeliling untuk turut serta menjadi Islam. Akhirnya Herakla membatalkan niatnya untuk menggabungkan diri kepada Islam.
d) Syu’ja Ibn Wahab kepada Raja Ghassan, Haris Ibn Abi Syummar al-Ghassani. Setelah selesai membaca warkah Nabi SAW ini, Haris menjadi pitam dan setelah sedar dari pitamnya dia mengacam untuk menyerang Madinah. Yang menariknya setiausaha Raja Haris yang bernama Mery telah menganut Islam setelah mendengar surat yang dibaca.
e) Haudzah Ibn Ali Al-Hanafi kepada Penguasa Yamamah. Haudzah meminta beberapa syarat (keistimewaan di dunia) agar Baginda Rasul SAW penuhi sebagai pertukaran untuk dia memeluk Islam. Baginda Rasul SAW menolak permintaan Haudzah.
f) Hathib Ibn Abi Balta’ah kepada Mauqauqis Mesir, Raja Alexander. Meskipun dia tidak bersedia menerima dan menganut Islam sebagai cara hidupnya, Raja Alexander menyambut baik utusan Baginda Rasul SAW dan mengirimkan hadiah kepada Baginda SAW.
g) Abu Ala’ Al-Hadhrami kepada Penguasa Baharin, Munzdir Ibn Sawa Al-Abdi. Penguasa Baharin ini membalas surat Baginda Rasul SAW dan menyatakan bahawa dia dan penduduk Baharin dengan senang hatinya menerima Islam dan menganutnya dengan sukarela.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters