About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, October 31, 2010

Seorang Yang Dipanggil Ayah Din

Di kampung tempat tumpah darahku, kampung tempat kumula menghayun katih, kampung tempat kumula mengenal makna warna flora dan makna spesis fauna, ada sebuah keluarga yang anak-anaknya dipanggil dengan gelar ayah, walaupun usia mereka masih terlalu dini sekitar belasan tahun. Masih segar berlari pada ingatan ini, gelar-gelar seperti Ayah Ziz, Ayah Din, Ayah Zi, Ayah Zin, Ayah Sin, dan Ayah Ajun begitu mesra dengan kami penduduk sekampung. Dalam kalangan mereka itu, Ayah Ziz dikira abang yang sulung dan Ayah Ajun, kalau tak silap hitungan matematikku merupakan anak bungsu, kepada pasangan ikon di kampung kami yang pada pandanganku cukup hebat! Bayangkan bagaimana hebatnya bapa kepada ayah-ayah itu yang mempunyai 4 orang isteri, dan dikurniai 16 orang anak. Masih jelas dapat kugambarkan detik-detik lalu, bagaimana dengan tarbiyyah daripada bapanya, setiap dini pagi Ayah Din akan ke masjid membacakan ayat-ayat suci al-Qur’an, di sekitar satu jam sebelum dikumandangkan azan Subuh, untuk mengejutkan warga kampung kami agar turut menyempurnakan solat Subuh secara berjemaah. Begitulah figura seorang insan yang dipanggil Ayah Din mewarnai pagi kami sekampung. AlhamdullilLah, di kampung yang sebegitulah diri ini dilahir dan dibesarkan. Tidak terhenti di situ, diriku apabila menjejak ke usia yang lebih remaja, di sekitar usia 15 tahun mula menjadi pengunjung tetap masjid di kampung kami dan sekali sekala turut menyumbangkan suara buat melafazkan alunan azan sewaktu ketiadaan bilal, walaupun dengan suara yang tidak sedap. Cinta kasih & sayangnya diriku pada masjid yang terpacak di kampungku tambah membekas, apabila Ayah Ziz mencurahkan gugusan ilmunya pada setiap malam Khamis, Jumaat, dan juga kuliah Hadis pada petang Jumaat. Ayah Ziz juga tidak kedekut ilmunya untuk dicurahkan ada setiap kali selepas solat Subuh dengan menyampaikan butiran tazkirah-tazkirah tertentu. Aku juga tidak pernah melepas peluang untuk menjadi penumpang kereta Ayah Ziz pada setiap malam Sabtu untuk mengikuti kuliahnya di Masjid Kedai Buluh.

Begitulah salah satu siri dari episod kisah silam yang terlalu mahal dan manis yang kejap kusimpan dalam album ingatan. Setelah usiaku menginjak lebih dewasa, demi keperluan kerjaya, demi keperluan ilmu, dan demi keperluan peribadi yang lain, kampung tempat tumpah darah kutinggalkan buat beberapa dekad. Pengalaman di bumi Perak Darul Ridwan, pengalaman di bumi Pulau Pinang Pulau Mutiara menembahkan lagi zat dan sari warna pada catatan pengalaman. Pusingan hari yang silih berganti, hari menjadi minggu, minggu bertukar bulan, bulan menjelma tahun demi tahun, rupa-rupanya sudah lebih 25 tahun diriku tidak berinteraksi dengan Ayah Din. MasyaAlLah. Dulu kami boleh dikira amat rapat dan dekat. Dalam satu NGO di kampung kami Ayah Din menjadi Ketuanya, sementara diriku pula sebagai Setiausaha, tentunya hubungan ketua-setiausaha tidak dapat dinafikan keeratannya. Semalam tanggal 23 Zulkaedah 1431 bersamaan 31 Okt 2010, dikeranakan negeri Kelantan cuti peristiwa, ekoran daripada berjaya menjadi Juara Bola Sepak Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarahnya, kami sekeluarga bertandang ke rumah Ayah Din. Sebelum memijak tapak ke rumah Ayah Din, kami singgah dahulu di Hospital USM menziarah 2 orang ayah kawan anak-anak yang dirawat di sana. Renyai hujan yang turun mewajahkan negeri sejak dini pagi, menyebabkan perjalanan menjadi perlahan, sesampainya di kampung lama, jemaah masjid baharu sahaja memberikan salam keduanya buat menyempurnakan solat Zuhur.

Setelah menyempurnakan hutang Zuhurku dengan bermakmumkan anak lelaki bungsuku Ahmad Fathul Fushshilat, kami menyusun tapak dan jejak menuju ke kediaman Ayah Din. Rupa-rupanya Ayah Din sekeluarga telah menduduki rumah baharunya yang begitu cantik sekira-kira 100 meter daripada rumah lamanya. Sudah lebih sedekad Ayah Din menghuni rumah baharunya itu. Kedatanganku ke rumah Ayah Din kerana sampai ke pendengaran telingaku yang Ayah Din akan beraya di Mesir bersama anak dan menantunya. Ya, nama bumi anbiya’ Mesir menggamit untuk menemudan menyambungkan kembali perbincangan 2 mata antara diriku dengan Ayah Din. Anak menantu Ayah Din sedang menyempurnakan pengajiannya dalam bidang perubatan di Zehreb, Mesir, sementara anak-anakku pula sedang menyelesaikan kuliahnya masing-masing di Shouba untuk anak sulung, Ahmad Huzaifah Badiuzzaman, di Tanta anak kedua, Ahmad Abu Ubaidah Qurratul A’yun, sementara puteri keempat kami pula sedang menyesuaikan diri di Kaherah, Ikrimah Zulhijjah Fathan Husna. Musim sejuk yang akan menyapa bumi Mesir dalam jangka terdekat ini mengikut pusingan rutinnya di kalendar, menghadirkan iklim sejuk, tentunya memberi sedkit julukan masalah buat sang anak yang baru tahun pertama berdepan dengan menggigitnya kesejukan yang dihadirkan oleh musim sejuk. Lantas Husna meminta agar dikirimkan kepadanya beberapa liter minyak panas bagi membantunya berdepan dengan keadaan iklim yang melampau sejuknya itu. AlHamdullilLah, Ayah Din & isterinya Ustazah Aminah tidak keberatan untuk menerima dan membawa barangan kirimanku, malah Ayah Din mengalu-alukan, apa sahaja barangan kiriman untuk anak-anak di bumi anbiya’, di samping itu Ayah Din juga mengajak kami agar turut serta bersama dengannya ke sana.

Dengan deretan iringan turunnya hujan sebagai rezeki daripada Rabb, kami berbicara dalam suasana penuh ukhuwah dan belaian kasih sayang. Perkara yang pertama disentuh Ayah Din sewaktu berbicara 4 mata itu ialah, bagaimana khabarnya ayah & bondaku, yang juga merupakan kawan lamanya. Apabila kututurkan bait-bait kata ayah bondaku berada di Pasir Mas sana, dan untuk mereka kuperuntukan masa setiap Jumaat untuk kuziarahi mereka, kulihat manik-manik jernih secara tiba-tiba membanjiri lautan mata Ayah Din. Dengan getar suara yang menahan sebak & terharu di jiwa, Ayah Din menguntumkan kata, Ayah Din gembira Zie, masih ada anak muda yang sanggup melawat ayah bondanya secara tetap di tengah-tengah banyak orang muda sekarang yang bersikap kurang ajar dengan ayah bondanya. Ada kalangan mereka yang menghantar ayah bonda ke rumah orang tua. Kulihat ketulusan terwajah pada pesan Ayah Din, Zie, berbaktilah pada ayah bonda sementara mereka masih disambung sisa-sisa usia, Ayah Din tak sempat berbakti pada orang tua Ayah Din sebab mereka pergi dahulu. Bertuahlah Zie. Berbaktilah pada ayah bonda merupakan 50% penyempurnaan jalan menuju syurga.

Siri wawasan Ayah Din turut mewarnai perbincangan kami pada kedinginan bayu yang menyapa bersama titis jernih mutiara yang AlLah SWT turunkan dari khazanah-Nya. Rupa-rupanya kesemua akan Ayah Din dimestikan belajar sehingga mengungguli peringkat master, barulah dibenarkan @ boleh mendirikan rumahtangga. Mereka juga digalakkan untuk menyelesaikan kuliah mereka hingga ke PhD. Insya-AlLah, wajah wawasan Ayah Din, ingin turut kujejak. Ya AlLah SWT mampukan aku meyakinkan zuriat keturunanku, punyai ilmu bercahaya, miliki & menternak jahil itu bahaya, dulu, kini, dan selamanya!

Friday, October 29, 2010

Hudaibiyyah Kemenangan Total Umat Islam

Hudaibiyyah, sebuah lokasi yang kurang dikenali dalam artifak sejarah, walaupun jarak kondisinya tidak terlalu jauh dengan Mekah. Hudaibiyyah hanya mendapat tempat dalam posisi sejarah dan sirah setelah padanya Baginda Nabi Muhammad SAW singgah. Lebih menambah episod dramatik kepada latar yang bernama Hudaibiyyah ini, dengan persinggahan RasullulLah SAW turut mengundang kaum Quraisy untuk bersama turut berkongsi catatan pada warna sejarah. Setelah kaum Quraisy berusaha menyekat jalan-jalan biasa yang boleh digunakan untuk memasuki Mekah dengan bala tenteranya dengan megah. Setelah dikeluarkan arahan kepada jeneral Khalid al-Walid membawa tentera yang gagah-gagah. Baginda Rasul SAW yang bersih hatinya daripada niat untuk bertumpah darah, apabila mengetahui jalan-jalan untuk ke Mekah disekat sudah, Baginda Rasul SAW mengupah seseorang agar mencari jalan lain untuk ke Mekah, biarpun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan susah dan payah. Yang peliknya, jalan baru yang dirintis Baginda Rasul SAW, turut mengundang mahu kaum Quraisy untuk turut sama mendahului arah, akhirnya mereka (kaum Muslimin dan kaum Quraisy)bersua dan bersemuka di satu medan yang bernama Hudaibiyyah. Ya, pada tahun keenam setelah hijrah, pada bulan yang diliputi berkat, yang bernama Zulkaedah, tertuntaslah sebuah perdamaian, yang kelak dikira sebagai kunci kemenangan total kepada umat yang menjunjung serta mendaulatkan tauhid hanya kepada AlLah SWT; Perdamaian atau Perjanjian Hudaibiyyah.

Semua babak dan episod yang tertinta di Hudaibiyyah sebetulnya memaknakan dan menterjemah siri kemenangan total kepada umat Islam dan penganut dakwah. Kenapa tidak? Selama ini, selama 13 tahun bergelut dengan muatan dakwah semasa masih berada di bumi Mekah, kaum Quraisy dan sekutunya tidak pernah mengakui penganut Islam sebagai satu umah, seakan umat Islam tidak pernah wujud dan ingin dihapuskan dalam catatan sejarah dan sirah. Lalu pelbagai rantai kisah penyiksaan dirakam apabila ada antara khalayak yang menyatakan penyerahan dirinya kepada AlLah SWT. Apa yang dinukilkan berlaku dan menimpa Bilal bin Rabah serta keluarga Yasir, yang memperlihatkan isterinya, Sumayyah gugur sebagai syahidah, yang memperlihatkan anaknya Ammar dipaksa melafazkan kalimah kufur sebagai syarat melepaskan diri daripada siksaan yang memamah. Gugusan siksa yang ditimpakan kepada penganut-penganut tauhid ini, berjaya menjauh dan menangguhkan hajat sebahagian lagi warga Mekah yang memiliki keyakinan diri yang lemah, buat mereka menyata dan menzahirkan tauhid hanya kepada AlLah SWT.

Penganut tauhid yang ditimpakan dengan deretan siksa dan tidak diakui entiti kewujudannya suatu masa, kini dipelawa untuk mengadakan perdamaian atau perdamaian dengan satu kuasa yang perkasa pada masa itu, merupakan satu kemenangan. Sebelum tertuntasnya perjanjian lewat Suhail bin Amru yang mewakili kelompok Quraisy dengan Baginda Rasul SAW yang mewakili umat tauhid kepada AlLah SWT, Quraisy telah menghantar 4 wakilnya daripada pelbagai latar kepakaran untuk berunding dengan Baginda Rasul SAW. Sejarah sudi mencatatkan nama-nama mereka dalam lipatan sebagai Budail Ibn Warga al Khuzai , Urwah Ibn Mas’ud as-Tsaqafi, Hulais Ibn Alqamah al-Kinani, dan Markaz Ibn Hafash. Kedatangan keempat-empat wakil Quraisy itu bolehlah dikatakan sebagai rundingan praperjanjian, sebelum hadirnya tokoh dan pakar perunding Quraisy, yang selalu berunding dan rundingan yang diusahakan Suhail membuahkan pelbagai keuntungan kepada pihak Quraisy selama ini. bertitik tolak daripada situasi inilah Quraisy tidak keberatan malah berbesar hati dapat mengirim Suhail sekali lagi untuk meneruskan legasi rundingan di medan Hudaibiyyah. Memang benar Suhail cukup cekap dan bijak berunding dan memberi pelbagai keberuntungan kepada Quraisy selama ini melalui perundingan yang dijalankan. Hal itu disebabkan selama ini Suhail hanya berunding dan melunaskan perjanjian dengan sesama manusia yang terhad ilmu dan pandangan mata serta dangkal menganalisa data atau angka. Tapi di medah Hudaibiyyah suasana tidak menjanjikan sesuatu yang sama dengan yang pernah dilaluinya. Ya, di medan Hudaibiyyah Suhail berdepan dengan Baginda Rasul SAW yang diberi atau menerima wahyu terus dari AlLah SWT yang Maha Mengetahui dulu, kini, dan selamanya. Yang Maha Mengetahui ada sudah berlaku, apa yang sedang berlaku, dan apa-apa yang akan berlaku. Ya, pengetahuan atau ilmu yang ada pada Suhail hanyalah seperti embun di hujung rumput, tidak mampu untuk dibandingkan dengan lautan ilmu yang dikurniakan AlLah SWT kepada hamba-NYA (Nabi Muhammad SAW) yang menjadi rahmat buat semua alam ini.

Muatan atau isi yang tertinta dalam Perjanjian Hudaibiyyah ini, dari sisi yang tersuratnya menampakkan kerugian yang bakal dideritai oleh kaum Muslimin.
1. Tidak boleh ditulis BismilLahi ar Rahman- ar Rahim tetapi hanya dicatat BismikalLahumma sahaja.
2. Dihapuskan kalimah RasullulLah SAW setelah nama Baginda Nabi SAW menjadi Perjanjian ini antara Suhail bin Amru mewakili Quraisy dengan Muhammad bin AbdulLah mewakili kaum Muslimin.
3. Orang Islam tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun tersebut (6 H) & boleh mengerjakan pada tahun berikutnya. Mereka boleh membawa pedang yang tersarung & berada di Mekah tidak melebihi 3 hari
4. Gencatan senjata selama 10 tahun. Dalam tempoh itu kedua pihak tidak boleh mencuri, mengugut, menyiksa, mengkhianati, memaksa, & memungkir janji
5. Orang kafir Quraisy yang masuk ke Madinah , (walaupun telah memeluk agama Islam), hendaklah dipulang semula ke Mekah
6. Orang Islam Madinah yang masuk ke Mekah, tidak perlu dihantar pulang ke Madinah
7. Pihak Musyrikin Mekah & Islam Madinah boleh / bebas membuat perjanjian dengan mana-mana pihak yang mereka sukai

Benarlah seperti yang terdapat dalam satu lirik lagu kumpulan Hijaz ‘Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih, hati kalau sudah bersih, pandangannya kan menembus hijab, tapi hati kalau dikotori sinarnya bukan lagi kebenaran, hati tempat jatuhnya pandangan AlLah, tubuh zahir pandangan manusia’

Memang tepat, pandangan hati Baginda Rasul SAW dapat menembus hijab, kerana Baginda Rasul SAW memiliki hati yang paling bersih di sepanjang sejarah umat manusia, dulu, kini, dan selamanya. Baginda Rasul SAW tidak pernah disentuh apa-apa juga deburan dosa yang kecil apatah lagi kalau dosa itu yang berat atau besar. Pernah disirahkan bagaimana semasa Baginda Rasul sebelum dinobatkan sebagai rasul, sewaktu usianya sidini di bangku sekolah rendah, Baginda SAW mengambil upah mengembala kambing. Suatu masa pada zaman itu, ada satu program semacam ‘Jom Heboh” di Mekah yang dihadiri para karyawan seni tersohor, dengan artis paling popularnya, dengan pelakon lelaki terbaik dan perempuan terbaiknya, dan yang lain-lain seumpamanya. Oleh sebab program ini memakan masa yang lama, semua kawan sepergembalaan kambing sudah menontonnya, lalu kawan-kawan Baginda SAW menyuruhnya pada suatu malam agar turut berhibur menikmati pelbagai alunan muzik daripada para artis handalam Mekah pada masa itu. Sebagai menunaikan permintaan para kawannya, Baginda SAW pada suatu malam pun berangkatlah ke Mekah untuk turut memeriahkan pesta tersebut. Sebaik sahaja Baginda SAW duduk dalam program itu, Baginda SAW terus tertidur hingga keesokan paginya setelah matahari memanaskan mukanya hinggalah Baginda SAW tersedar. Selama 3 malam Baginda SAW cuba menikmati alunan muzik-muzik itu, selama 3 malam itu juga Baginda SAW lena dalam mimpi-mimpi. Cuba bandingkan kita dengan Baginda Nabi SAW, masa itu baginda belum dinobatkan sebagai pesuruh AlLah SWT lagi tu, baru pada peringkat umur kanak-kanak. Dengar aje muzik lena turus, kita pula, walLahu a’lam.

Walaupun 5 pasal yang tercatat dalam perjanjian nampaknya merugikan kaum Muslimin pada pandangan mata yang selalu menipu tu, tetapi sebetulnya perkara itu tidak berlaku sama sekali. Cuba kita lihat dan analisa sedikit dengan kemampuan pengetahuan yang AlLah SWT pinjamkan kepada kita, Insa-AlLah.
1. Tidak boleh ditulis BismilLahi ar Rahman- ar Rahim tetapi hanya dicatat BismikalLahumma sahaja. Frasa BismilLahi ar Rahman- ar Rahim dengan BismikalLahumma sebenarnya merujuk kepada AlLah SWT yang sama. Apabila Quraisy bersumpah atau menyebut BismikalLahumma, kalimah ini dikembalikan kepada AlLah SWT bukannya merujuk kepada salah satu daripada 360 ekor berhala yang ada di sekeliling Mekah pada masa itu. Baginda SAW tidak membuang prinsip asas Islam dan kepercayaan kepada AlLah SWT demi untuk menjayakan rundingan ini. Sebetulnya aqidah umat Islam tidak rugi atau terjejas apabila tidak menyebut sifat kepada AlLah SWT yang paling disukainya iaitu ar Rahman- ar Rahim. Tidak salah dan tidak dikira berdosa jika kita pada hari ini hanya membaca BismilLah sahaja tanpa menyebut ar Rahman- ar Rahim sewaktu ingin memulakan sesuatu pekerjaan.
2. Dihapuskan kalimah RasullulLah SAW setelah nama Baginda Nabi SAW menjadi Perjanjian ini antara Suhail bin Amru mewakili Quraisy dengan Muhammad bin AbdulLah mewakili kaum Muslimin. Demikian juga penyebutan Muhammad bin AbdulLah dengan Muhammad bin AbdulLah RasulLulLah. Pada masa itu satu-satunya insan yang bernama Muhammad bin AbdulLah di Mekah hanyalah RasulLulLah SAW. Tidak ada lagi atau belum ada lagi insan lain yang bernama seperti Baginda SAW. Lalu Muhammad bin AbdulLah dengan Muhammad RasullulLah merujuk kepada orang yang sama, iaitu Nabi Akhir Zaman, penutup dan ketua segala anbiya’.
3. Orang Islam tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun tersebut (6 H) & boleh mengerjakan pada tahun berikutnya. Mereka boleh membawa pedang yang tersarung & berada di Mekah tidak melebihi 3 hari. Ya, antara kewajipan umat Islam, sebagai rukun Islam yang kelima, ke Mekah untuk mengerjakan Haji & umrah kerana AlLah SWT. Satu ibadat yang cukup unik sifatnya, iaitu jika berhalangan mengerjakannya, kita tidak wajib atau difardhukan lagi untuk menyempurnakannya. Hal ini berlangsung hinggalah ke hari ini. wujudnya aneka gangguan di tengah jalan, akan mengangkat kewajipan itu dari dalam diri. Walaupun umat Islam tidak diizinkan ke Mekah pada 6 hijrah, tetapi mereka diberi sepenuhnya kebebasan melaksanakan iabadat tersebut pada tahun 7 hijrah, tanpa sebarang sekatan dan gangguan dariada pihak Quraisy, kerana Quraisy berjanji akan mengosongkan Mekah buat umat Islam pada tahun tersebut. Mereka akan keluar dari kota Mekah semasa umat Islam sedang seronoh beribadat kepada AlLah SWT. Sementara umat Islam dapat menyempurnakan ibadat semasa di Mekah tanpa rasa was-was dan curiga diganggui pelampau-pelampau Quraisy jahiliyyah.
4. Orang kafir Quraisy yang masuk ke Madinah , (walaupun telah memeluk agama Islam), hendaklah dipulang semula ke Mekah. Telah terbukti mereka yang memeluk Islam ini disebabkan kefahaman ataupun ilmu yang diyakinkan kepada mereka. Bukan kerana paksaan atau desakan sesiapa. Apabila mereka dikembalikan semula ke Mekah, tentunya mereka akan menyebarkan dakwah itu dalam kalangan masyarakat di Mekah tentang anutan mereka yang lebih mulia. Umat Islam tidak akan mendiamkan diri, kerana antara kewajipan kita sebagai umat Islam ialah kewajipan menyampaikan apa yang kita tahu perkara tersebut daripada Baginda Nabi SAW. Kita dituntut menyampaikan walaupun sekadar sepatah kata. Tentunya kondisi ini menjadi ‘duri dalam daging’ untuk Quraisy. Mereka tidak boleh lagi menyiksa orang Islam kerana adanya pasal perjanjian yang menuntut gencatan senjata selama 10 tahun.
5. Orang Islam Madinah yang masuk ke Mekah, tidak perlu dihantar pulang ke Madinah. Kalaulah orang Islam Madinah ke Mekah untuk menyebarkan dakwah, tetapi mereka tidak perlu dikembalikan ke Madinah, maka tujuan dakwah akan mencapai sasarannya. Sekaligus merupakan dokongan juga atau sokongan secara tidak langsung daripada kaum Quraisy. Hal ini sudah pasti akan mendatangkan masalah kepada Quraisy dan memberi kelebihan kepada dakwah Islam itu sendiri. Kalaulah ada umat Islam yang kembali ke Mekah kerana murtad atau ingin bertukar agama, balik menjadi penyembah berhala, hal ini tidak akan pernah berlaku sama sekali, kerana sewaktu mereka berada di Mekah dengan pelbagai tekanan yang diberikan pun tidak ada seorang pun yang menukarkan akidahnya. Inikan pula setelah berada dalam zon yang agak selesa di Madinah dengan pelbagai keseronokan mengerjakan ibadat tanpa ganggu gugat. Kondisi ini lagilah memustahilkan untuk umat Islam kembali kepada akar jahiliyyah dengan meninggalkan penyembahan dan ketergantungan kepada AlLah SWT bahkan menyembah patung atau berhala yang diukir dengan tangan masing-masing. Tambahan pula mereka yang berada di bawah lindungan akidah tauhid kepada AlLah SWT diibaratkan berada dalam timbunan duit emas, sementara menyembah patung atau berhala itu berada dalam himpunan duit plastik sahaja. Terlalu aamat mustahil, kita yang ada mempunyai duit emas ini membuangnya dan menerkam dengan lahapnya untuk mengumpul duit plastik ke dalam kantung usia.
6. Pihak Musyrikin Mekah & Islam Madinah boleh/bebas membuat perjanjian dengan mana-mana pihak yang mereka sukai. Selama ini selama 19 tahun Quraisy melarang sesiapa sahaja, sama ada diri perseorangan atau kaum atau kabilah mana-mana daripada bergabung atau menyertai orang Islam. Kini peluang itu dibuka sendiri oleh Quraisy, menyebabkan Bani Khuzaah tanpa segan silu mengistytiharkan mereka bergabung dan menjadi sekutu kepada orang Islam. Kalau selama ini Baginda Rasul SAW bergerak secara ‘solo’ dalam menyebarkan dakwah, kini sudah ada kabilah yang bersedia susah, senang bersama.
7. Gencatan senjata selama 10 tahun. Dalam tempoh itu kedua pihak tidak boleh mencuri, mengugut, menyiksa, mengkhianati, memaksa, & memungkir janji. Fasal inilah merupakan kunci besar kepada kemenangan Islam. Sama ada kita sedar atau tidak, kekuatan Islam ini terletak kepada dakwah, sama ada dulu, kini, dan selamanya. Bagi tujuan pengsuksesan dakwah, suasana yang kondusif amat perlu, sementara situasi perang yang terjadi akan merencatkan sedikit kelancaran dan kesinambungan roh dakwah. Walaupun tidak dapat dinafikan ada waktu-waktunya perang juga sebagai salah satu wahana dakwah.
Fasal gencatan senjata ini memberikan kelebihan 100% kepada umat Islam dan memberikan kerugian 100% kepada Quraisy. Dalam masa gencatan senjata ini, hanya umat Islam melalui Baginda Rasul SAW sebagai ketuanya, meneruskan siri dakwah dengan lebih lancar. Kalau selama ini perjalanan dakwah sedikit terlewat sebab sekatan atau tekanan tertentu daripada Quraisy, kini sekatan itu dibuka sendiri oleh Quraisy melalui fasal Perjanjian Hudaibiyyah ini.

Selama ini jika ada kabilah dari luar ingin bertemu Baginda Nabi SAW untuk mendapatkan penerangan tentang Islam, kabilah ini tentunya akan dihalang dan disekat Quraisy di tengah-tengah perjalanannya. Kabilah tersebut akan diberi gambaran yang tidak wajar tentang Baginda Nabi SAW. Pernah dan selalu benar terjadi kaum Quraisy apabila tahu ada kabilah atau rombongan luar yang ingin menemui RasulLulLah SAW, mereka akan menunggu di semua laluan menuju ke tempat RasullullLah SAW dan mereka meyakinkan kabilah itu bahawa Muhammad itu bukan nabi tapi hanyalah tukang sihir, atau tukang tenung, ataupun seorang penyair (artis) sahaja. Kini kondisi seperti di atas tidak lagi berlaku, kerana mereka tidak boleh lagi menyekat sesiapa atau kabilah mana daripada menemui Baginda Nabi SAW.

Baginda Nabi SAW juga bebas bertemu dengan sesiapa sahaja, kabilah mana sahaja, kaum mana sahaja tanpa sekatan untuk menjelaskan dakwahnya mentauhidkan AlLah SWT semata-mata dengan hujah sama ada hujah aqli atau hujah naqli. Hujah yang dikemukan Baginda Nabi SAW diterima baik oleh sasaran dakwah Baginda SAW, dan tidak kurang daripada mereka yang sudi melafazkan ucapan dua kalimah syahadah. Awal tahun 7 H setelah gencatan senjata, beberapa tokoh hebat dan ternama Quraisy menyatakan diri mereka untuk turut sujud kepada AlLah SWT seperti Khalid bin Al-Walid, Amr bin Al-Ash, dan Utsman bin Thalhah.

Pada masa yang sama Quraisy tidak mampu untuk memperhebat gerakan dakwahnya, mengajak khalayak kepada keseriusan penyembahan berhala atau patung. Atau untuk meyakinkan khalayak agar menjadi hamba kepada patung-patung yang patuh, sedia berkorban untuk patung berhala, kerana mereka tidak ada hujah, mereka tidak ada kitab untuk dijadikan sandaran kenapa harus menyembah kepada patung? Mereka juga tidak akan berjaya mempertahankan kehormatan patung berhala mereka jika diasak dengan pelbagai soalan. Mereka yang boleh berhujah ini sembahan datuk nenek kita yang terdahulu.

Sedang Baginda Nabi SAW memperluas cakupan dakwahnya, bukan sahaja meliputi daerah lokal tetapi medan dakwah bagina Rasul SAW telah melangkau sempadan geografi atau sempadan warna alam. Untuk itu Baginda Rasul telah menjadikan pentingnya peranan tinta dan warkah dalam bidang penyebaran dakwah. Sahabat dihantar keseluruh pelusuk alam untuk menyampaikan dakwah Islam, mengajak manusia berabdi hanya kepada AlLah SWT Rabb kita. Warna dakwah mula menyebar keluar daripada kepompong dunia Arab dan mula menggarami dunia sama ada di sebelah timur, barat, tenggara, timur laut, barat daya, barat laut, utara, atau selatan.

Begitulah peri hebatnya impak dan dampak daripada tertunainya Perjanjian Hudaibiyyah. Begitulah hebatnya kehendak, kudrat, dan iradat AlLah SWT. Telah dijadikannya sunnah alam, bersama kepayahan itu ada kesenangan. Kepayahan yang ditempuh di Hudaibiyyah membuahkan ranum buah kemenangan kepada Islam.

Saturday, October 23, 2010

Hudaibiyyah, Kunci Pembuka Pintu Dakwah

Perjalanan episod dakwah RasullullLah SAW, mengajak dan mempelawa warga manusia meninggalkan segala bentuk sembahan, permohonan, pintaan yang selama ini difokuskan kepada sesama hamba sama ada batu yang diukir menjadi berhala, pokok-pokok yang dikatakan memberi kuasa spritual, kubur-kubur manusia yang dikatakan pernah berjasa, nyalaan api yang mampu mengubah suasana, kerdipan bebintang yang mencerah maya yang berjalan lewat relnya, binatang tertentu yang kononnya yang mendatang pelbagai guna kepada keperluan hidup manusia, kepada hanya menyembah AlLah SWT pencipta, penjaga, pengatur, pengwarna segala, dari sekecil-kecilnya(mungkin anak kuman yang kurus kering) hinggalah yang terbesar antara yang ada (langit dan bumi yang mampu dilihat mata). Iklim dakwah telah bertapak di bumi Mekah selama 13 tahun sementara di bumi Madinah menyempurnakan misi dan visinya selama satu dekad lagi. Menjumlahkan secara total mudah babak-babak dakwah ini tuntas dalam masa 23 tahun. Tidak ada sesiapa yang mampu membohongi diri, iklim pengalaman yang dikumpul dalam jangka masa 23 tahun tentulah pelbagai warnanya. Demikianlah juga dengan warna dakwah yang dilalui oleh Junjungan Akhir Zaman, insan termulia Nabi Muhammad SAW. Antara anugerah pengalaman berskala besar yang dilayani dengan penuh bijaksana oleh Baginda SAW ialah satu peristiwa yang tidak pernah dirancang, berlakunya di sebuah tempat yang jarang dilewati manusia, di sebuah tempat yang tidak pernah ada glamornya, telah berlaku dan mencatatkan episod baru dalam rangkaian mata rantai dakwah iaitu di Hudaibiyyah. Kelahiran Baginda Nabi SAW tanpa ayah di sisi, penobatannya sebagai salah seorang Utusan AlLah, 3 siri hijrah (ke Habsyah, Taif, dan Yastrib), Perang Badar al-Kubra, Perang Uhud, Perang Ahzab, Perdamaian di Hudaibiyyah, Fath Mekah, dan yang peristiwa-peristiwa yang lain seumpamanya, merupakan peristiwa perdana yang tidak harus lekang dari pita ingatan. Dengan mengundang maksud, sebagai umat yang telah menggabungkan diri dalam Islam, muatan peristiwa yang tercatat di atas seharusnya ada dan melekat dalam minda, di samping dapat menceritakan kembali kepada manusia yang lain dengan penuh izzah mendasari rasa syukur yang melimpah kerana telah dianugerahi dan kita pula sudi bernabi dengan Baginda Nabi Muhammad SAW.


Perdamaian yang tertuntas di Hudaibiyyah, yang dikenal oleh sejarawan sebagai Perjanjian Hudaibiyyah atau Perdamaian Hudaibiyyah lewat tahun 6 hijrah pada catatan kalendar, dipersetujui secara konsesi oleh Baginda Nabi Muhammad SAW mewakili kaum Muslimin dengan Suhail bin Amr yang membawa mandat penuh harap daripada kaum musyrikin Quraisy dari Mekah. Sebahagian kecil para sahabat berasa isi kandung perjanjian ini daripada sudut tersuratnya merugikan umat Islam, mereka terasa terkalahkan. Berbeza dengan pandangan hati RasullulLah SAW yang dipenuhi cahaya AlLah SWT, yang menganalisa daripada sudut tersiratnya, umat Islam telah dihadiahkan kunci oleh kaum musyrikin Quraisy sebagai pembuka kepada kemenangan Islam pada masa-masa mendatang. Muatan isi Perdamaian Hudaibiyyah ini antara lain;
1- Baginda Rasul SAW bersetuju dengan pintaan Suhail untuk ditulis dengan BismikalLahuma, bukan BismilLahi Rahmani Rahim pada kepala perdamaian.
2- Baginda Rasul SAW sekali lagi bersetuju dengan suara hati Suhail agar ditulis perdamian ini dipersetujui antara Muhammad bin AbdulLah dengan Suhail bin Amr, bukan Muhammad bin AbdulLah RasullullLah.
3- Baginda Rasul SAW juga bersetuju dengan pendirian musyrikin Quraisy yang kaum Muslimin hanya boleh memasuki Mekah pada tahun hadapan.
4- Baginda Rasul SAW dengan permintaan Suhail, bila ada warga Mekah datang menemui RasullulLah SAW untuk masuk Islam mereka hendaklah dikembalikan kepada kaum musyrikin Quraisy.
5- Baginda Rasul SAW bersetuju dengan usul Suhail mana-mana orang Islam yang datang ke Mekah, kaum Quraisy tidak perlu mengembalikan mereka ke Madinah.
6- Baginda Rasul SAW ternyata amat gembira dengan cadangan Suhail agar diadakan perdamaian atau gencatan senjata antara kaum Muslimin dengan musyrikin Quraisy selama 10 tahun.
7- Baginda Rasul SAW bersetuju dengan usul mana-mana kabilah berhak untuk memilih sama ada untuk bergabung dengan kaum Muslimin atau kaum musyrik Quraisy.




Kenapa Hudaibiyyah Dikira Kunci Pembuka Pintu Dakwah

Wajar saja, jika dilihat pada pandangan mata kasar dan secara tersurat, muatan yang mewarnai Perdamaiaan Hudaibiyyah ini memberikan kelebihan kepada kaum musyrikin Quraisy dan seolah-oleh menekan terhadap kaum Muslimin. Bayangkanlah daripada 7 hal yang terdapat dalam isinya, hanya 2 hal yang nampaknya setara untuk kaum Muslimin dan musrikin Quraisy, sedangkan 5 lagi hal, seakan-akan memberikan keberuntungan kepada musyrikin Quraisy. Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy menulis dalam Fiqh Sunnahnya, kaum Muslimin bertanya kepada Baginda Rasul SAW, apakah kita akan menulis butir ini ya RasullulLah? Baginda SAW dengan tenang dan yakin menjawab kejap Ya. Sesungguhnya sesiapa sahaja antara kita yang pergi kepada mereka semoga AlLah SWT menjauhkannya, dan barang siapa antara mereka yang datang kepada kita maka AlLah SWT akan memberikan jalan baginya. 2 hal yang dikira pada perkiraan muka yang setara ialah gencatan senjata selama 10 tahun dan mana-mana kabilah boleh menjadi sekutu kepada kaum Muslimin atau musyrik Quraisy, adapun fasal lain yang terkandung dalam perdamaiaan ini dikira merugikan Islam.

Islam sejak disebarluaskan melalui kebijaksanaan dan keterbukaan dakwah sejak daripada zaman Nabi Adam AS lagi. Tidak pernah tercatat dalam mana-mana sirah, para anbiya’ ini memaksa umat yang dihadapinya untuk menganut agama yang diredhai AlLah SWT ini. Sirah tak pernah segan dan silu merakamkan bagaimana para anbiya’ ini menjadi korban kerana dakwah yang disebarkannya. Nabi Zakaria AS dan anaknya Nabi Yahya AS dirakam oleh setia oleh Al-Qur’an menjadi mangsa pembunuhan umatnya yang tidak sebulu dengan haluan dakwah yang disampaikan. Lalu dengan cara yang amat tragis mereka menghantar utusan AlLah SWT menemui-Nya. Kesuksesan dakwah tentunya memerlukan situasi dan kondisi yang kondusif. Iklim yang kondusif untuk melatari dan mendasari peta dakwah inilah yang ditawarkan lewat Perdamaian Hudaibiyyah ini, apabila wujudnya fasal gencatan senjata selama 10 tahun. Tentunya kita dapat membayangkan bagaimana kesuksesan dakwah yang berlaku dalam suasana aman, bebas, serta kondusif ini. selama ini untuk menyebarkan suara dakwah ini Baginda Rasul SAW terpaksa melewati pelbagai tekanan, ini tekanan itu sudahpun dibuang sendiri oleh kaum musyrikin. Hebatnya dakwah untuk agama AlLah SWT ini. seakan terlihat bagaimana pihak musuh yang terdiri daripada kaum musrikin telah berputus asa untuk menjadi penghalang dakwah setelah 19 tahun mereka mencuba (13 tahun sewaktu Baginda Rasul SAW berada di Mekah dan 6 tahun sewaktu Baginda bertapak di Madinah). Keberhasilan kaum musyrikin sebenarnya tidak ada, kerana setiap masa jumlah penganut bertambah jumlahnya dari sehari seminggu, dari seminggu ke sebulan, dari sebulan ke setahun. Sirah juga merakamkan bagaimana tokoh-tokoh kepala penentang kepada dakwah Islam ini akhirnya sujud di bawah bendera tauhid hanya kepada AlLah SAW. Umar al-Khattab misalnya pada awalnya muncul sebagai susuk yang begitu sengit menentang dakwah yang dibawa dan disebarkan Baginda Rasul SAW tetapi kemudiannya apabila mendapat informasi yang sebenar tentang Islam dariapda sumber yang autentik dalam Islam iaitu al-Qur’an, setelah membaca beberapa ayat pada awal surah Tooha, ketakburan tugu dan kota jahiliyyah yang membekas dalam diri Umar berkecai satu demi satu, akhirnya beliau dengan penuh rela bersujud hanya kepada Rabb AlLah SWT, bukan lagi kepada berhala-berhala yang selama ini dipuja dengan bangga. Umar menggabungkan dirinya ke dalam saf Islam sewaktu hujan ancaman tidak pernah mereda terhadap sesiapa yang sudi begabung dengan Islam. Bagaimana pula sikap warga masyarakat apabila diajak kepada Islam semasa situasi aman dan damai ini, semasa bebas dari ancaman, siksaan, ugutan dan peerkara negatif yang lain? Sudah tentu ajakan dakwah semasa aman ini lebih memberi bekas dan kesan ke dalam jiwa manusia.

Ya, gencatan senjata ini selama sedekad telah dipergunakan sebaik mungkin oleh Baginda Rasul SAW untuk menyebarluaskan iklim dakwah tauhidnya. Sudah tiada lagi sekatan berupa sekatan fizikal untuk Baginda Rasul SAW berjumpa dengan pelbagai kabilah yang ada untuk mempelawa mereka kepada bertauhid hanya kepada AlLah SWT. Sedang pada piihak musyrikin Quraisy selama tempoh gencatan senjata ini, mereka tidak dapat untuk menyebarkan dakwah iaitu mengajak manusia agar lebih komited dalam penyembahan berhala. Hal ini tidak mungkin terjadi selamanya, kerana daripada segi lojik pun manusia boleh berfikir, segala berhala yang ada itu pun diukir atau dibuat manusia daripada pelbagai bahan. Sebelum terukir sebagai berhala, berhala tadi hanyalah mungkin batu, mungkin kayu, mungkin tamar dsbnya. Sedangkan dakwah kepada Islam antara lain mengajak manusia mengenal pencipta alam dan pencipta diri sendiri. Tambahan pula semua yang diajarkan Islam sesuai dengan fitrah asal manusia. Tidak ada sekerat pun mana-mana ajaran Islam yang bercangggah dengan fitrah manusia. Misalnya menjadi fitrah manusia mahu mempunyai keturunan yang hebat dan jelas daripada siapa bakanya. Justeru Islam melarang umatnya daripada mendekati zina, apatah lagi berzina, kerana anak yang terproduk dengan zina tidak akan diakui oleh sang lelaki pasangan yang berzina tadi. Tambahan pula status anak zina hanyalah anak kepada ibunya sahaja. Bukan anak kepada pasangan zinanya. Sekiranya anak zina itu perempuan, anak itu boleh berkahwin dengan ayah yang menzinai ibunya. Kerana mereka tidak atau belum mempunyai ikatan.

Gencatan senjata ini juga memberikan peluang yang amat cerah untuk Baginda Rasul SAW melebar dan mempelbagaikan wahana dakwahnya. Antara cara baru yang digunakan Baginda Rasul SWT ialah dengan menghantar surat kepada semua pembesar atau pemimpin negara yang ada pada masa itu. Lantaran itulah kita dapati sewaktu tempoh gencatan senjata ini, Baginda Rasul SAW menulus surat kepada Kisra Parsi, Kaisar Rom, Najashi Habsyah, Mauqauqis Mesir, serta raja atau pembesar lain yang ada. Pengiriman surat telah memberikan impak dan dampak kepada perkembangan baru dunia Islam. Setelah menerima dan membaca warkah Baginda Rasul SAW yang mengajak kepada agama AlLah SWT, ada antara penguasa itu yang menerima dan menyatakan dirinya juga sebagai Muslim, ada antara penguasa yang tidak berani untuk memproklamirkan dirinya sebagai Muslim, ada yang memarahi utusan dan sebagainya lagi yang melambangkan kepelbagaian perangai manusia. Antara sahabat yang bertuah menjadi wakil sebagai pembawa surat Baginda Rasul SAW ialah;
a) Amru Ibn Umayyah Adh-Dhamiri kepada Najashi Habsyah, Najashi menerima baik ajaran Baginda Rasul SAW, dan dia segera mengucapkan dua kalimah syahadah.
b) AbdulLah Ibn Huzaifah As-Sahmi kepada Kisra Parsi. Kisra Parsi amat marah dengan wakah RasullulLah SAW, lalu dirobek-robeknya warkah tersebut. Baginda Rasul SAW mendoakan agar kerajaannya dihancurkan sebagaimana dia menghancurkan surat ajakan kepada Islam.
c) Dihyah Ibn Khalifah Al-Kilabi kepada Kaisar Rom. Untuk memastikan kesahihan dakwah kepada agama AlLah SWT, Herakla sebagai Kaisar Rom pada pada itu telah memanggil rombongan Quraisy yang berada di negerinya pada masa itu yang diketuai oleh Abu Sufyan. Beberapa soalan dilontarkan kepada Abu Sufyan, sebagai soal siasat terhadap dakwaan manusia yang bernama Muhammad SAW yang mengaku menjadi nabi. Setelah Herakla berpuas hati dengan jawapan yang meyakinkan hatinya, hatinya benar-benar percaya terhadap kandungan surat Baginda Rasul SAW. Hatinya benar-benar ingin ikut serta mengggabungkan dirinya ke dalam Islam, tetapi beliau risau akan hilang kuasa dan tahtanya, kerana keengganan mereka yang berada di sekeliling untuk turut serta menjadi Islam. Akhirnya Herakla membatalkan niatnya untuk menggabungkan diri kepada Islam.
d) Syu’ja Ibn Wahab kepada Raja Ghassan, Haris Ibn Abi Syummar al-Ghassani. Setelah selesai membaca warkah Nabi SAW ini, Haris menjadi pitam dan setelah sedar dari pitamnya dia mengacam untuk menyerang Madinah. Yang menariknya setiausaha Raja Haris yang bernama Mery telah menganut Islam setelah mendengar surat yang dibaca.
e) Haudzah Ibn Ali Al-Hanafi kepada Penguasa Yamamah. Haudzah meminta beberapa syarat (keistimewaan di dunia) agar Baginda Rasul SAW penuhi sebagai pertukaran untuk dia memeluk Islam. Baginda Rasul SAW menolak permintaan Haudzah.
f) Hathib Ibn Abi Balta’ah kepada Mauqauqis Mesir, Raja Alexander. Meskipun dia tidak bersedia menerima dan menganut Islam sebagai cara hidupnya, Raja Alexander menyambut baik utusan Baginda Rasul SAW dan mengirimkan hadiah kepada Baginda SAW.
g) Abu Ala’ Al-Hadhrami kepada Penguasa Baharin, Munzdir Ibn Sawa Al-Abdi. Penguasa Baharin ini membalas surat Baginda Rasul SAW dan menyatakan bahawa dia dan penduduk Baharin dengan senang hatinya menerima Islam dan menganutnya dengan sukarela.

Saturday, October 16, 2010

Perjanjian Hudaibiyyah-

Pada bulan Zulqaedah tahun 6 hijrah, Baginda Rasul SAW bercadang ke Mekah untuk mengerjakan umrah dengan berziarah ke Kaabah. Untuk membuktikan kesungguhan kedatangan Baginda SAW bukan untuk menjajah, diajaknya orang-orang musyrik dan orang Arab pedalaman yang ada di pinggir Madinah untuk turut serta. Golongan Arab yang dimaksudkan ialah Kabilah Juhainah, Kabilah Muzayyanah, dan Bani Bakar, yang mana mereka ini belum Islam. Tapi malangnya kedua-dua puak tersebut menolak ajakan Baginda Nabi SAW. Lalu Baginda SAW berangkat ke menuju Mekah bersama 1400 sahabat yang juga turut membawa senjata yang biasa digunakkan untuk mempertahankan diri tetapi bukan senjata untuk berperang.

Setelah sampai perjalanan di Zul Hulaifah, rombongan RasullulLah SAW bersolat dan mengenakan pakaian ihram. Untuk membuktian kesunggguhan RasullulLah SAW meminta para sahabat memakaikan pada leher unta mereka kalung yang menandakan unta-unta tersebut untuk dikorbankan. Diriwayatkan sebanyak 70 ekor unta berserta Baginda Rasul SAW. Sebelum meneruskan hajat yang masih belum langsai iaitu perjalanan menuju Mekah, Baginda SAW terlebih dahulu mengutuskan Basyar Ibn Sufyan al-Khuzai al-Ka’bi untuk mendapatkan maklum balas tentang sikap dan langkah orang Quraisy terhadap rombongan Nabi SAW untuk mengerjakan umrah. Baginda SAW meneruskan perjalanan hinggga tiba di Rauha dan mendapat maklumat musuh sedang menanti di pertengahan jalan untuk menyerang. Setibanya di Usfan, rombongan Baginda SAW telah bertemu dengan Basyar yang baru balik dari menyelidik. Basyar memaklumkan kedatangan rombongan Baginda SAW tidak disenangi Quraisy, lantas mereka telah bertolak dari Mekah bersama anak isteri masing-masing dan menanti orang Islam di Zi Thuwa, sementara mereka menugaskan panglima hebat mereka Khalid al-Walid supaya mengerahkan tenteranya menuju Qura’ al- Ghamim.

RasullulLah SAW sedaya mungkin cuba mengelakkan daripada berlakunya perang, untuk itu Baginda SAW memilih jalan lain untuk ke Mekah dengan melalui Tsaniya al-Mirar, iaitu satu laluan yang sukar kerana laluan tersebut curam dan terjal untuk transit ke Hudaibiyyah terlebih dahulu. Apa yang dilakukan Baginda Nabi SAW rupanya dapat dihidu oleh Quraisy, lantas tanpa mensia-siakan sisa-sisa masa, Quraisy juga mengubah hala untuk menghalang orang Muslim dengan mereka menuju ke Baldah.

Apabila Baginda Nabi SAW menghampiri Hudaibiyyah, unta Nabi SAW yang bernama al-Qushwa mematikan langkahnya. Unta inilah yang pada masa hijrah Nabi SAW telah menamatkan jejaknya di rumah Abu Ayyub al-Ansori. Baginda Nabi SAW menjelaskan pada rombongan Muslim bahawa al-Qushwa diberhentikan langkahnya oleh Pencipta Langit dan Bumi ini.

Baginda Rasul SAW berusaha meyakinkan Quraisy yang tujuan kedatangannya ke Mekah bukan untuk menyerang tapi untuk mengunjungi dan mengagungkan Ka’bah, kerana kaum Muslimin juga berhak berkunjung ke Mekah sebagaimana kaum lain. Bagaimanapun Quraisy tetap dengan pendiriannya yang asal tidak akansama sekali membenarkan rombongan Muslimin daripada menjejakkan kakinya ke bumi Mekah. Paling tidak pun mereka ingin menangguhkan kedatangan rombongan Muslim itu. Untuk menampakkan diplomasi mereka, Quraisy mengutuskan Budail Ibn Warga mendatangi RasullulLah SAW untuk menyampaikan sikap Quraisy itu. Dengan penuh kebijaksanaan RasullulLah SAW menawarkan perjanjian dengan Quraisy melalui Budail, dan Budail diminta memberitahu tentang keadaan kaum Muslim yang datang bukan untuk berperang. Budail amanah dengan apa yang diliihatnya dalam kalangan kaum Muslim, tapi penjelasan Budail tentang keadaan kaum Muslim yang tidak inginkan suasana perang itu, tidak disukai Quraisy.

Dalam padaitu RasullulLah SAW juga menghantarHirasy Ibn Umayyah al-Khuzai untuk berjupa Quraisy bagi meyakinkan kaum Quraisy akan tujuan kaum Muslimin ke Mekah. Hirasy pergi dengan menunggang unta RasulLulLah SAW yang bernama Tsa’lab. Baginda SAW juga memanggil Umar al-Khatab untk dihantar bertemu dengan pemuka Quraisy, tapi Umar mencadangkan agar Baginda Nabi SAW mengutus Usman al-Affan memandangkan Usman lebih disegani di Mekah. Baginda NabiSAW menerima baik saranan untuk menghantar Usman bagi meneruskan misi berunding dan meyakinkan Quraisy.

Usman meneruskan misi keamanan dengan berjumpa Aban Ibn Said Ibn Ash al-Umawi, sebagi tanda penghormatan kepada Usman kaum Quraisy mempelawa Usman untuk bertawaf tapi Usman menolaknya kerana Baginda Rasul SAW belum berbuat demikian. Usman menegaskan selagi Baginda Rasul SAW tidak dapat tawaf, dia tidak akan mendahuli Baginda SAW, jawapan tersebut mengundangkan rasa marah Quraisy kepada Usman. Oleh sebab masa Usman berada di Mekah terlalu lama, menyebabkan timbulnya spekulasi Usman telah dibunuh. Sebagai tindak balas daripada spekulasi tersebut, Baginda Rasul SAW telah mengumpulkan sahabat dan melakukan baiah untuk menuntut balas atas pembunuhan Usman, kerana utusan untuk berunding tidak wajar dibunuh. Baiah ini dibuat di bawah sebatang pohon yang dinamakan Samuroh, tapi sayangnya terdapat seorang pembelot dalam baiah ini yang dikenali sebagai Jaddu Ibn Qais. Sementara sahabat yang pertama berbaiah bernama Abu Sanan Abdullah Ibn Wahab al-Asadi. Baiah ini juga dinamakan Baiatul Ridwan kerana AlLah SWT meredhai kesemua peserta yang mengambil bahagian dalam baiah.

Bagi pihak Quraisy mereka juga tetap menghantar wakil untuk berunding dengan kaun Muslim. Selepas mereka mengutuskan Budail Ibn Warga, mereka memilih Urwah Ibn Mas’ud as-Tsaqafi. Memandangkan dia tidak mahu menerima nasib seperti Budail, Urwah sebelum dihantar meminta jaminan yang dia akan dipercayai 100% apabial menyampaikan laporannya nanti. Setelah mendapatkan jaminan tersebut barulah Urwah bertolak untuk menemui Baginda Rasul SAW. Sewaktu bersama Baginda Rasul SAW, Urwah memerhatikan satu fenomena yang tidak pernah dilihatnya di tempat-tempat lain. Urwah dapat memerhati dan merasakan bagaimana kasihnya umat terhadap Baginda Rasul SAW. Urwah tidak pernah terlihat pancaran kasih sayang ini ada pada pembesar negara yang lain, sama raja-raja, kaisar, kisra(khosrow), mauqauqis, ataupun najasi. Urwah menyampaikan laporannya sebagaimana Budail dan ditambah dengan kehebatan kasih sayang para sahabat terhadap Bagida Rasul SAW. Quraisy mendengar sahaja laporan itu sebagaimana janjinya.

Quraisy tetap tidak berpuas hati dengan kedua-dua utusannya yang bertemu Baginda Rasul SAW (Budail & Urwah), kali ini mereka mencari orang yang lebih alim untuk pergi berunding. Hulais Ibn Alqamah al-Kinani pemimpin kabilah Ahabisy pula yang dipilih. Apabila melihat Hulais dari jauh, Baginda Rasul SAW menggunakan diplomasinya dengan melepaskan haiwan yang hendak dikorbankan. Apabila Hulais melihat haiwan yang dipakaikan kalung sebagai tanda untuk dikorbankan, Hulais membatalkan hasratnya untuk menemui RasullulLah SAW malah terus balik dan berjumpa Quraisy dan membenarkan tujuan dan kedatangan Baginda Rasul SAW sememangnya untuk ibadat umrah dan bukan untuk tujuan yang lain.

Markaz Ibn Hafash pula dihantar sebagai utusan Quraisy yang keempat untuk berbincang dengan Baginda Rasul SAW. Sedang asyik berbincang wakil Quraisy yang kelima pula hadir bernama Suhail bin Amru, yang merupakan pakar perunding dalam masyarakat Quraisy. Kedatangan Suhail Ibn Amru ini memberikan satu sinar perundingan bagi Baginda Rasul SAW. Untuk menyempurnakan perjanjian ini Baginda Nabi SAW melantik Ali Ibn Abi Talib sebagai jurucatat. Suhail keberatan dengan kalimah ar-Rahman selepas BismilLah dan meminta agar BismikalLahhuma sahaja dicacat kerana kalimah itu dikenali dan difahami seluruh masyarakat Quraisy. Sebahagian kaum Muslim tidak bersetuju , tapi Baginda Rasul SAW menyepakati keberatan Suhail. Suhail juga keberatan dengan kalimah RasullulLah selepas Muhammad, sebaliknya mau ditulisnya Muhammad bin AbdulLah. Baginda Rasul SAW juga bersetuju dengan keberatan Suhail. Baginda Rasul SAW menyuruh Ali memadamkan kalimah RasullulLah, tapi Ali keberatan untuk memadamkannya, sehingga Baginda Rasul SAW sendiri dengan tangannya yang mulia memadamkan kalimah RasullulLah itu. Sememangnya hanya Baginda Nabi SAW yang berhak untuk memadamkan perkataan RasullulLah itu, bukan Ali atau sesiapa sahaja.
Seterusnya Baginda Rasul SAW meminta agar kaum Muslim dibenarkan bertawaf, tapi sekali lagi Suhail keberatan untuk membenarkannya pada tahun ini tapi kaum Muslim berhak untuk bertawaf pada tahun depan selama 3 hari tanpa gangguan bila mana Quraisy akan keluar dari Mekah pada tarikh tersebut untuk memberikan keluasan buat umat Islam beribadat, di samping itu kaum Muslim juga dibolehkan membawa senjata iaitu pedang yang disarungkan. Baginda Rasul SAW bersetuju.

Pasal seterusnya Suhail menyebutkan, bila ada warga Mekah yang datang ke Madinah sekalipun telah memeluk Islam, orang itu mesti dikembalikan ke Mekah. Sementara warga Madinah yang pergi ke Mekah mereka tidak akan dikembalikan. Mendengar pasal ini kaum Muslim serentak membantah, mana mungkin kita akan membiarkan atau mengembalikan orang tersebut kepada musyrik sedang ia telah Islam. Semasa sedang rancak berunding datanglah anak Suhail (Abu Jandal) yang telah memeluk Islam untuk bergabung dengan Baginda Nabi SAW. Suhail meminta Baginda Nabi SAW memulangkan Abu Jandal walaupun perjanjian belum ditandatangani. Baginda Rasul SAW berusaha menjadikan Abu Jandal sebagai kekecualian, tetapi Suhail tetap berkeras walaupun Makraz setuju dengan pandangan baginda Nabi SAW. Demi untuk menjayakan misi dan visi yang lebih besar Baginda Rasul SAW bersetuju mengembalikan Abu Jandal.

Pasal berikut kedua-dua pihak bersetuju melakukan gencatan senjata selam 10 tahun. Buat tempoh itu setiap orang dari kedua-dua pihak terjamin keselamatannya dari sebarang tekanan, ugutan, pencurian, gangguan, pengkhianatan,dan rasuah-merasuahkan.

Pasal seterusnya masarakat Arab bebas untuk bersekutu sama ada dengan Quraisy atau dengan kaum Muslim. Mendengar pasal terakhir ini Bani Khuzaah dan Bani Bakar meloncat kegembiraan. Bani Khuzaah mengambil pendirian untuk bergabung dengan Baginda Nabi SAW sementara Bani Bakar sudi dan bersuka hati dapat bergabung dengan Quraisy.

Banyak kalangan sahabat yang terasa keberatan dengan perjanjian ini, antaranya Ali KW seperti yang terlihat pada awal perjanjian yang memperlihatkan keengganannya memadam kalimah RasullulLah.

Kaum Muslimin sangat marah dengan pasal Quraisy yang datang ke Madinah mesti dikembalikan sementara Muslim yang ke Mekah disenyapkan. Baginda Rasul SAW menjelaskan sesungguhnya orang Muslim yang pergi ke Mekah, akan dijauhkan AlLah SWT. Sementara Quraisy yang datang ke Madinah akan diberi kemudahan dan jalan keluar oleh AlLah SWT.

Umar al-Khattab berasakan isi perjanjian tersebut merupakan penghinaan terhadap kaum Muslim dan dia mendatangi Baginda Nabi SAW dan bertanya kenapa kita rela dihina dalam persoalan agama kita. Baginda Nabi SAW menjawab, aku hanyakah seorang utusan-Nya dan aku tidak pernah melanggar perintah-Nya dan Dialah penolongku. Umar seakan tidak berpuas hati dan terus mengasak soalan, bukankah RasullulLah SAW berkata bahawa kita akan mengunjungi BaitulLah dan bertawaf padanya? Baginda Nabi SAW menjawab benar, tapi adakah aku mengkhabarkannya pada tahun ini? Umar menjawab tidak. Baginda Rasul SAW bersabda. Demi sesungguhnya engkau pasti akan mendatanginya dan bertawaf di sekelilingnya.

Selepas itu Baginda Rasul SAW memerintahkan kaum Muslim untuk mencukur rambut dan menyembelih binatang yang sememanya dibawa untuk dikorbankan. Tapi malangnya tiada seorang pun sahabat yang melakukannya sebagai tanda protes secara diam kerana mereka tidak dapat mengerjakan umrah pada tahun itu, walaupun setelah 3 kali Baginda bersuara demikian. Baginda Rasul SAW mengadukan dan bermesyuarat dengan isteri Baginda SAW, Ummu Salamah. Ummu Salamah mencadangkan agar Baginda Rasul SAW yang mulakan dahulu, sama ada bercukur atau menyembelih unta. Setelah kaum Muslim melihat Baginda Rasul SAW telah bercukur, kesemua mereka turut ikut bercukur. Kemudian mereka menyembelih 70 ekor unta, Baginda Nabi SAW menyembelih unta milik mendiang Abu Jahal yang menjadi harta perang semasa Perang Badar. Tukang sembelih bernama Najiyah Ibn Jundub.

Sebenarnya Quraisy sejak dari awal cuba menggagalkan perjanjian ini, semasa perundingan sedang rancak berjalan, secara tiba-tiba ada 80 gerombolan Quraisy menyerang kaum Muslim, tapi serangan mereka dapat digagalkan dengan izin AlLah SWT, bukan setakat itu sahaja mereka semua berjaya ditawan. Sebagai Nabi SAW yang membawa rahmat untuk alam, Baginda SAW memaaf dan membebaskan mereka. Mereka tiak dijadikan sebagai tebusan atau tawanan perang. Peristiwa penyerangan ini berlaku sebanyak 3 kali, 30 orang terlibat dalam operasi Quraisy kali kedua, sementara 70 orang lagi terlibat dalam misi jahat kali ketiga. Kesemua perancangan jahat ini telah digagalkan AlLah SWT, kesemua petualang itu dapat ditangkap. Kaum Muslim seterusnya bertolak balik ke Madinah, dan semasa dalam perjalanan balik inilah turunnya al-Qur’an surah Fath yang menjanjikan pembukaan yang nyata kepada umat Islam.

Beberapa waktu berada di Madinah, datanglah Ummu Kalthum bin Aqobah Ibn Abi Mu’ith memohon perlindungan Baginda Rasul SAW dan Ummu Kalthum tidak dikembalikan semula ke Mekah walaupun dipinta Quraisy berbuat demikian. Hal ini dikeranakan pasal orang perempuan tidak disebut semasa Perjanjian Hudaibiyyah.


Beberapa Hikmat & Pengajaran Perjanjian Hudaibiyyah

1- Apabila kaum Muslim telah memakai ihram tetapi terhalang untuk mengerjakan umrah, mereka disunnahkan bertahallul dan tidak wajib diqadha umrah tersebut.
2- Baginda Nabi SAW pernah mengizinkan sahabat Ka’ab Ibn Ujrah mencukur rambut semasa ihran kerana penyakit dan mewajibkannya menyembelih seekor unta, tau berpuasa 3 hari, atau memberi makan kepada 6 orang sebagai fidyah.
3- RasullulLah SAW mengizinkan sahabat bersolat di rumah ketika hujan lebat turun.
4- Baginda Rasul SAW akan menerima pendapat yang baik walaupun dari perempuan.
5- Batas waktu paling maksima untuk gencatan senjata 10 tahun.
6- Dibolehkan berdamai dengan orang kafir dan menerima syor mereka selagi tidak mengancam aqidah.
7- Tidak salah memaafkan musuh yang berbuat onar atau kekacauan.
8- Setiap Muslim mesti optimis dalam setiap sesuatu yang dilakukannya akan mendapat pertolongan AlLah SWT.
9- Dibolehkan mengambil berkat dari RasullulLah SAW sahaja seperti mengambil air sisa-sisa wuduk Baginda Rasul SAW tetapi tidak boleh untuk orang soleh yang lain.
10- Disunnahkan bagi seseorang yang tertinggal solat kerana tertidur atau terlupa, melaksanakan solat di luar waktu.
11- Perjanjian Hudaibiyyah sebenarnya merupakan pengikhtirafan Quraisy kepada kedaulatan umat Islam. Kaum Muslim mula dipandang sebagai satu kuasa besar dan mesti berunding dengannya.
12- Perjanjian Hudaibiyyah juga menghilangkan wibawa Quraisy apabila bani Khuzaah secara terang-terang menyokong Baginda Nabi SAW.
13- Perjanjian Hudaibiyyah membuka dan memberikan ruang dan peluang yang cukup luas kepada kaun Muslim untuk menyelesaikan pengkhianatan yang dilakukan oleh orang Yahudi di Khaibar, Taima, dan Fadak.
14- Perjanjian Hudaibiyyah menjadikan arena dan medan dakwah Islam aman dan selamat dari gangguan Quraisy.
15- Pengembalian Abu Jandal memberikan masalah yang besar kepada Quraisy apabila Abu Jandal bersatu dengan Abu Bashir di Mekah untuk mereka pergi ke tepi laut dan meyekat rombongan dagang Quraisy yang melalui tempat mereka.
16- Abu Jandal, Abu Bashir, dan kelompok Islam lain yang berada di Mekah membuktian iman yang utuh tidak apat diganggu gugat oleh sesiapa dan pada bila-bila masa.


Petikan Daripada Buku Biografi RasullulLah SAW karya Dr. Mahdi RiqulLah terbitan Qisthi Press 2006

Monday, October 11, 2010

Carta Faham Baca Maksud Ayat Al-Qur’an

Ayat Al-Qur’an mengandung
6236 ayat mengikut satu pandangan dan
6666 ayat mengikut pendapat yang popular

Sehari Seminggu Sebulan Setahun
1 7 30 360
2 14 60 720
3 21 90 1080
4 28 120 1440
5 35 150 1800
6 42 180 2160
7 49 210 2520
8 56 240 2880
9 63 270 3240
10 70 300 3600
11 77 330 3960
12 84 360 4320
13 91 390 4680
14 98 420 5040
15 105 450 5400
16 112 480 5760
17 119 510 6120
18 126 540 6480
19 133 570 6840
20 140 600 7200


Bila kita umat Islam cuba faham makna satu ayat al-Qur’an sehari, bermakna dalam masa kurang lebih 19 tahun, kita sudah membaca atau memahami keseluruhan isi kandungan kitab suci itu. Katakan akhir baliq kita, sewaktu berumur 10 tahun seharusnya apabila berumur 30 tahun kita sudah khatam & faham makna dan kehendak AlLah SWT yang ada tertera dalam al-Qur’an.


Bila kita memahami 19 ayat daripada al-Qur’an sehari, Insya-AlLah SWT dalam masa setahun, kita boleh fahami maksudnya.

apa yang paling penting sekarang ialah cuba kita target, misalnya pada tahun 2020 nanti kita mesti selesai membaca makna ayat al-Qur'an, kerana kita pada hari ini bukan sekadar perlu membaca al-Qur'an tetapi perlu memahami maksud sekali gus memahami apa kehendak AlLah SWT yang termuat di dalamnya.

Secara mudahnya ialah kita ada tanggungjawab yang signifi dengan adanya al-Qur'an ini, yang tentunya terbeban kepada kita untuk menyelesaikan tuntutan itu. tuntuan itu ialah;
1- membaca al-Qur'an
2- memahami isi kandungannya
3- menghayati & merasai keberadaan al-Qur'an dalam kehidupan kita
4- mengamalkan semua suruhan yang termuat di dalamnya sekadar termampu & meninggalkan larangannya secara tuntas & total.
5- mempertahan semua ajaran yang ada di dalam al-Qur'an dengan sepuh daya
6- menyebarluaskan keindahan yang ada di dalamnya
7- menyintai al-Qur'an

Saturday, October 9, 2010

Inilah al-Qur’anku

Kiriman Allah guna memuliakan kita kitab terbaik pernah terjelma di maya, al-Quran namanya
sebaik-baik rasul mulia Muhammad SAW sebagai pembawa
limpahan bertuah menghujani kita kerana
satu-satunya umat punyai perutusan istimewa terpelihara
sengatan penyelewangan patukan kebatilan
sentuhan ubah suaian selamanya terjaga ia
terpahat kejap melatari & mendiami pada hijir 9 adanya
kalau mentari diperlu cahayanya menyinari alam buana
Al-Quranku diperlu guna menerangi hati manusia
agar manusia bisa menjadi pembeza mana satu hanyir dari bau-bau dosa
mana pula percikan dari wangian pahala
mana satu wilayah jajahan neraka mana pula empayar dari rahmat syurga

Al-Quranku adalah himpunan cahaya bisa terangi hati manusia
gugusan istimewa yang tumbuh & mekar bercambah darinya
tak siapa dapat menolak & menafi atau memadam selamanya
siapakah manusia celaka yang tegar menafi kitab Ilahi ini
dari Allah yang tak mampu diragu padanya diturunkan lewat Malaikat Jibrail yang mulia sebagai kitab yang tersusun rapi gaulan ayatnya dijelaskan teperinci pula segala rangkaian datangnya
dari sisi Allah Yang Amat Mengetahui lagi Maha Bijaksana
seperti terperam pada Hud ayat mula-mula
al-Quranku amat unik adanya ia, terpelihara
begitu ramai yang menghafalnya
termasuk kanak-kanak yang belum kenal huruf
& angka atau carta Allah sudi mudahkan untuk mengingat & menghafalnya terpelihara tulisannya dari campuran zat cacat cela rapi dijaga saf sahabat selepas nuzulnya dibuku pada era khulafa’ al-Rasyidin dengan ceria


al-Quranku itu gugus mukjizat terhebat buat nabi Muhammad & umat
mencabar kekuatan& pemikiran manusia jahat
yang sentiasa memikir untuk berbuat onar & khianat
untuk mengeluar manusia dari nur memasuki zon gelap zulumat
dengan satu cabaran yang hebat & keramat

Manusia sampai bila-bila & selamanya tidak termampu saingi & tandingi isi al-Quran kita
sama ada dari segi bahasa, makna & cerita terkandung di dalamnya
sudilah rujuk al-Baqarah 23-24 untuk alibinya


al-Quranku mudah difahami & jelas maksudnya
bukan kitab falsafah dengan teori yang memening
al-Quran diturunkan kepada manusia sebagai rahmat dari-Nya
untuk dibaca difahami diparkatik tiap masa & sasarannya adalah manusia tanpa mengira kulit & warna rambutnya
tanpa mengira dari pecahan iklim warna budaya mana ia berada tanpa mengira apa makanan yang disantapnya
tanpa mengira apa makanan yang disuapnya sungguh rmudah al-Quran untuk difaham & dibaca
sungguh mudah al-Quran untuk diingati untuk diamal dalam hidup sehari-hari lalu kenapa masih ada jiwa yang sengaja tidak mengerti
rujuklah al-Qamar 17 sebagai bukti peribadi & abadi
al-Quranku mengandung segala yang dimahu & diperlu manusia
siapa mahu fahami akidah betul benar & suci maka hendaklah ia menggali dari al-Quran Al-Quran memuat dalil keesaan Allah yang tidak terperi
kalaulah betul ada di langit & di bumi tuhan-tuhan selain Dia
tentulah kedua-duanya telah lama
berantakan rosak & binasa Maha Suci Allah daripada apa yang orang bodoh wara-wara
renunglah dengan saksama al-Anbiya’ 22 sana
al-Quranku tersimpan segala syariat & peraturan kehidupan manusia
untuk individu keluarga masyarakat ekonomi politik & hubungan antarabangsa
al-Quranku menyedia binaan akhlak lewat penghayatan sifat mulia
sabar tekun bertawakkal redha ketentuan Ilahi di sisi gigih berusaha

al-Quranku sesuai diamal sepanjang zaman bukan terhad untuk zaman tertentu masa ia dinuzulkan al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi ke akhir zaman
tidak harus ada dakwaan al-Quran untuk nabi sezaman
& tidak sesuai lagi pada zaman moden sekaran sedang al-Quranku adalah kitab kemanusiaan & kehidupan untuk manusia
jadikan petunjuk kepada alam & semua manusia al-Baqarah 185 mari kita tatap bersama
istimewanya al-Quranku berbeza kitab lain untuk umat mengimani penuh keyakinan isi & misinya
resapan sifat mukmin sejati tidak sama sekali ragu tentang kandungan al-Quran dari yang Maha Kuasa & Perkasa
Nabi Muhammad saw hanya menterjemahnya untuk kita
Ramadhan Baginda & Jibril tadarus bersama rumah yang sentiasa diterangi al-Quran akan dilimpahi rahmat & berkat-Nya
nuzul al-Quran nikmat terbesar pernah dikurniakan-Nya
mari kita hamparkan syukur dengan mengamalnya patuh & taat segala perintah jauhi daerah larangan di dalamnya
menjadikan kita sebagai ahli & pencinta al-Quran mari kita jadikan membaca al-Quran sebagai hobi & kegemaran
mari kita baca al-Quran sehari sejuzuk sebagai amalan
mari kita cuba menafsir maksud dari al-Quran mari kita cuba amal semua tanpa kompromi ajaran al-Quran selagi kedua hidung masih sudi bernafas
selagi nyawa & nafas masih sudi menghuni dalam badan

fauzi amir gus – 29 jamadil akhir 1430/ 23 jun 2009- 010101 tengah hari- smka tok bachok



Sebutan Namamu Tak Pernah Padam

Sekian lama namamu dirakam cemerlang dalam al-Qur’an

‘Dan telah Kami (AlLah SWT) selamanya mengangkat dan
terus mengangkat bagimu (Muhammad SAW) sebutan namamu.’
telah benarlah janji dan puji Yang Maha Agung nama nabi kita tetap ulung
tiap saat tiap masa tiap hari tiap minggu tiap bulan tiap tahun
sebutan namamu (Muhammad) ada di mana-mana ada bila-bila masa ada pada tiap saat jam menyusun jejak
ada di merata-rata tak pernah padam makin hari makin banyak makin hari makin bercambah & makin subur bertambah & menambah sebutan namamu disekalikan nama AlLah tika manusia bersyahadah
menyata keimanan hanya untuk Maha Esa meninggalkan segala puaka jahiliyyah yang sekian lama menjajah
sebutan namamu disekalikan nama AlLah tika manusia mengumandangkan merdu azan mengajak manusia mengerjakan solat lima kali seharian sebutan namamu disekalikan nama AlLah tika manusia melafazkan iqamah
memberi tahu manusia masa sujud kepada-Nya sudah tiba
sebutan namamu disekalikan nama AlLah tika manusia (imam) mendepani makmun guna untuk menyampai pesan lewat dua khutbah pengganti nisbah & kadar dua rakaat solat zohor pada belaian penghulu hari; hari jumaat sebutan namamu disekalikan nama AlLah tika manusia menadah harap
memohon ampunan dosa
atau tibanya banjir rahmat lewat
keramat doa yang tak jemu diucap
sebutan namamu disekalikan nama AlLah
tika manusia dengan sedar melafazkan dua sayap tahiyyat :
tahiyyat awal & tahiyyat akhir di penghujung solat sebutan namamu disekalikan nama AlLah
tika manusia melafaz janji setia & ikrar penuh sedar terlontarlah setangkai gembira dari lubuk hati sana pada sebuah kata penuh memakna ‘aku terimalah nikahnya... bersulam mas kahwin sebanyak mana yang tersebut sebutan namamu disekalikan nama AlLah
tika manusia disolatkan di depan imam & para makmum solat yang tanpa rukuk solat yang tanpa sujud sesudah izrael datang memanggil
sesudah roh tak lagi sudi bermadu
dengan kacak atau jelitannya jasad
sebutan namamu disekalikan nama AlLah
tika manusia diselimuti gembira seisi keluarga
bila dikurnia anugerah penuh makna: cahaya mata kedua telinga bayi yang belum mengerti apa
hidup & kehidupan dibisikan syahdu namamu dan nama-Nya
selagi ada manusia yang terbuka hatinya
menerima undangan mendaftar diri ke dalam agama AlLah ini
selagi ada manusia sudi melafazkan azan
selagi ada manusia yang beriqomat
selagi ada manusia( imam) yang mendepani makmum dari mimbar
selagi ada manusia yang sudi berdoa
selagi ada manusia yang pergi bertemu Rab-Nya selagi ada pasangan manusia
memula kembara di alam rumahtangga
selagi ada bayi lahir untuk mengenal flora & fauna selagi itulah sebutan namamu
wahai Rasulku tak akan pernah padam

jumaat 06 jamadil awal 1430-01 mei 2009- 083435 pg-telok kemunting tengah

Monday, October 4, 2010

Peperiksaan : Antara Belitan Soalan & Gugusan Jawapan

Sejak pendidikan negara menerima gelombang sistem yang dibawa oleh penjajah barat, pada penghujung saingan pengajian akan diadakan peperiksaan bertulis untuk menguji tahap keberkesanan ilmu yang diterima sepanjang pengajaiannya. Berjaya atau gagalnya sesorang pelajar akan dinilai hanya degan beberapa set soalan terpilih. UPSR, PMR, SPM, dan STPM serta peperiksaan di IPT merupakan antara deretan jenama peperiksaan yang harus dilalui oleh seseorang. Agak melucukan juga sebetulnya, 6 tahun masa dilabur untk belajar di sekolah rendah, seseorang itu dikira berjaya atau pandai dengan hanya merujuk kepada jumlah A yang bakal atau mampu ditempanya sewaktu berdepan UPSR. Begitu juga setelah 3 tahun bertungkus-lumus di sekolah menengah rendah, beberapa biji A yang mampu digondol pelajar sewaktu melayan kedatangan PMR akan menjadi kayu ukur, pandai atau tidaknya seseorang itu, untuk dipilih dan diletakkan di sekolah-sekolah yang lebih prestijnya. Setelah itu pelajar terpaksa bersekang mata selama 2 tahun untuk menyambut kedatangan SPM. Seperti pada detik-detik UPSR ataupun PMR, banyak sedikitnya A juga tetap menjadi pilihan untuk menentukan cemerlang atau tidaknya anak-anak bagi meneruskan pengajian. Sesiapa yang memampukan dirinya untuk meraih & menggondol sebanyak A yang terhimpun, maka semakin besarlah peluangnya untuk menjejak kaki di universiti, sama adaa yang berada nun jauh di luar negara atau pilihlah mana-mana universiti yang tersedia di negara sendiri. Perlumbaan untuk mengumpulkan siapa paling banyak dapat mengumpulkan A tidak terhenti di tahap SPM sahaja, malah fenomena dan gejala ini turut mewarnai alam peperiksaan STPM, seterusnya tetap kejap mendominasi peperiksaan di universiti-universiti. Makhluk yang bergelar A ini tetap menjadi buruan nombor wahid, lebih-lebih lagi jika A+, atau A+++ jika ada.

Oleh sebab buruan kepada A semacam menjadi agenda & rahsia yang diketahui umum peri pentingnya, maka ibu bapa sedini anak untuk melayani UPSR sudah kalut mencari kelas tuisyen sama ada free atau berbayar, untuk dihantar anaknya agar bertekun di sana, mempelajari skill & teknik tambahan, agar kilauan cahaya A semakin jelas & tidak terlepas daripada genggaman tangan. Pagi, petang, siang, malam, berpanas, berhujan, hari pesekolahan biasa atau hari kelepasan awam, kelas tambahan tetap menjadi tumpuan, apa yang mahapenting A mesti ada dalam genggaman ingatan. Pelbagai cara diusaha untuk menggondol A ini, wang & ringgit rela dihabisi, gugusan tenaga rela dilaburi, pelbagai bengkel rela dihadiri, pelbagai petua rela diamali, yang penting A tetap dekat di hati. Tidak cukup dengan cara yang dihalalkan oleh agama dan undang-undang, ada sesetengahnya sanggup menggunakan jalan yang terlarang. Ada sesetengahnya sanggup mencari penggubal-penggubal soalan kononnya untuk berbincang, walhal untuk mengorek kalau-kalau terkeluar bayangan soalan yang meyakinkan. Terlalu tidak menghairankan kalau ada segelintir siswi di IPT yang sanggup menjadi isteri muda pensyarah tertentu untuk mendapat lebih banyak A dalam studinya. Ada dalam kuantiti yang lebih kecil lagi wujud satu entiti siswi yang bersedia untuk ditiduri pensyarah untuk tujuan mengumpul A ini. Penulis merujuk situasi & kondisi ini kepada suasana pembelajaran sendiri sewaktu menuntuk di salah sebuah IPTA di negara ini. Seperti yang dirancang & dijangkakan siswi yang tersebut berjaya menggondol banyak A dalam transkripsinya.
Walau bagaimanapun, masih tersisa mungkin 2 set soalan & 2 set jawapan yang terlupa kita nak siapkannya. Yang pertamanya soalan Mungkar & Nakir sewaktu-waktu disemadikan di kuburan. Yang hanya berupa beberapa set soalan yang sudah dimaklumkan, yang memerlukan kejap & konsistennya jawapan. Apa yang mengundang rasa uniknya, walaupun soalan tersebut dimaklumi bersama, tetapi rangka jawapannya tidak bisa dihafali, disimpan dalam ingatan, atau dibantu oleh orang lain. Seseorang itu hanya mampuu menjawabnya dengan kesolehan amalnya sewaktu hidup di dunia. Rangkaian soalan sewaktu di kuburan hanya mampu dijawab dengan penelitian dan kajian pada sabda-sabda Junjungan Akhir Zaman SAW, gugus soalan tersebut hanya mampu dilunasi hanya dengan membaca,menghayati, mengamati firman Rabb Alamin. Gugus soalan siapa Rabb kamu, siapa nabimu, mana kiblatmu, siapa saudaramu, merupakan soalan yang sudah lama diketahui, tetapi belum tentu dapat dijawab, tanpa amal soleh di sisi.

Sama halnya di Mahsyar kelak, masih terdapat set soalan subjektif yang wajib dijawab. Soalan yang ditanya kesemuanya soalan yang wajib dijawab. Tiada soalan pilihan. Kegagalan menjawabnya akan menyebabkan hujanan siksa & azab yang datang mengenai badan. Bagaimana kita dikhabarkan sebelum tapak & jejak dapat bergerak, ada 4 soalan yang akan mendesak. Umurmu ke mana kauhabiskan, masa mudamu di mana kaulaburkan, timbunan hartamu dari mana datangnya & ke mana kaubelanjakan. Memang nampak cukup mudah & senang sahaja soalan yang bakal ditanyai, tapi di sana kelak (akhirat), lincah lidah tidak akan lagi diberi izin untuk bercakap & berucap, sebaliknya peranan atau jurucakap akan diambil alih 100% oleh kesemua anggota lain, bermula daripada hujung rambut hingga ke penghujung kaki. Rambut, kepala, telinga, mata, hidung, pipi, kening, kelopak mata, leher, dagu, pendeknya semua anggota yang kita ada (kecuali lidah) akan menjadi saksi dan berucap & bercakap dengan fasihnya, akan menjadi saksi sama ada membela atau mendakwa kita. Tidak ada yang pelik & mustahilnya, kerana pada hari ini AlLah SWTlah yang mengizinkan lidah kita untuk bercakap, lubang telinga kita untuk mendengar, lubang hidung untuk menyedut bau, AlLah SWT yang Maha Berkuasa itulah juga yang akan mengadakan Hari Qiamat, AlLah SWT yang Maha Berkuasa itulah juga yang akan mengadakan Mahkamah di sana & DIA lah hakim yang Maha Agung & Adil, AlLah SWT yang Maha Berkuasa itulah juga yang telah mengadakan syurga tempat untuk menempatkan hamba-NYA yang mendengar segala kata-NYA tanpa banyak soalan, AlLah SWT yang Maha Berkuasa itulah juga yang telah mengadakan 7 tingkat neraka dengan api yang tidak terkira panasnya untuk ditempatkan manusia & jin yang semasa hidup di dunia berasa ada lagi kuasa yang lain yang setanding dengan-NYA.

L

Tetamu

free counters