Malam Jumaat lalu 28 Julai 2011 bersamaan 26 Sya'ban 1432, saya menerima satu sms yang bertanyakan;
‘Tolong terangkan maksud ayat atau cerita secara keseluruhan surah Yasin dari ayat 21-40, saya kurang memahaminya.’
Untuk menjawab soalan tersebut lewat sms saya fikir merupakan sesuatu yang mustahil, lalu medium ini digunakan untuk memberikan penjelasan sekadar pengetahuan yang diberikan-NYA kepada diri ini.
Pertama:
Memang tidak dapat dinafikan Surah Yasin merupakan antara surah yang ada fadhilatnya yang tersendiri, Baginda Nabi Muhammad SAW mewartakan lewat sabdanya ‘Bacakan kepada saudaramu yang hampir mati itu dengan surah Yasin” atau “Yasin itu qalbu al-Qur’an”
Kedua;
Ayat ke-21 itu, cerita tentang hal tersebut sebetulnya bermula dari ayat ke-13. Ayat ini AlLah SWT menerangkan satu cerita yang pernah berlaku pada zaman dahulu. Oleh sebab al-Qur’an bukan buku sejarah, lalu AlLah SWT tidak masukkan tarikh atau tahun terjadinya peristiwa ini atau di manakah lokasinya, kerana al-Qur’an diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada manusia. Untuk mendapat petunjuk, pengajaran daripada kisah itu lebih mempengaruhi, bukan tarikh atau lokasinya. Kisah ini juga boleh berlaku pada zaman kita ini ataupun pada zaman akan datang. Kalau berlaku pada zaman ini, maka kitalah yang akan menjadi pelakunya; sama ada mendokong para dakwah atau kita lebih memilih untuk menetang kebenaran yang datangnya dan diprogramkan dari AlLah SWT.
Ketiga;
Adapun maksud daripada ayat-ayat tersebut hanya ALLah SWT yang Maha Mengetahui, sementara kita bolehlah cuba memahami sekadar sititis ilmu yang ada di bumi.
13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
AlLah SWT dalam memastikan cara hidup yang dikehendaki-NYA (Islam) ini terus diamalkan di bumi ini walaupun dibenci oleh semua orang kafir atau munafik atau orang musyrik, AlLah SWT telah menguruskan para rasul. Ada masa-masa DIA mengutus seorang rasul untuk berdakwah di sesuatu tempat, ada waktu-waktunya AlLah SWT menghantar 2 rasul serentak untuk tujuan itu. Jadi untuk tempat yang dinyatakan dalam ayat ini DIA telah mengutuskan 2 rasul serentak. Sesetengah ulama menyebut negeri tersebut bernama Antokiyah, sebuah tempat dalam negeri Turki tetapi selepas Perang Dunia Pertama Antokiyyah ini telah dimasukkan ke dalam negara Syiria, letaknya di utara Syiria. Jangan pelik sebab AlLah SWT juga pernah mengutuskan Nabi Musa AS & Nabi Harun AS untuk berdakwah kepada Fir’aun. Kemungkinan tahap ketololan raja di Antokiyyah itu sama dengan Fir’aun. Wallah a’lam
14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.
Walaupun AlLah SWT mengutuskan 2 rasul-NYA untuk mengajak manusia agar beriman kepada-NYA sahaja, tetapi sebahagian besar penduduk Antokiyyah tidak mahu beriman dengan ALLah SWT. Mengikut sesetengah riwayat hanya seorang penduduk Antokiyyah yang beriman, dan dialah yang dimaksudkan dalam ayat Kami kuatkan kedua Rasul itu dengan yang ketiga. Lelaki yang beriman kepada ajakan Rasul ini dikenali sebagai Sohibul Yasin, dia juga dikenali dengan gelaran Habib an- Najjar RA.
15. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".
Walaupun sekarang sudah ada 3 pendakwah, salah seorangnya penduduk Antokiyyah sendiri yang dikenali sebagai orang yang paling jujur & dipercayai, tetapi penduduk yang lain tidak beriman, dan mempersoalkan para nabi kerana para nabi tersebut manusia biasa seperti mereka. Fahaman jahiliyyah yang ada beranggapan para nabi atau rasul ini mestilah terdiri daripada makhluk asing, yang tidak sama dengan manusia, baru power! . Kalaulah AlLah SWT mengutuskan para rasul atau nabi ini terdiri daripada makhluk asing, nescaya mereka akan berdalih pula, kenapa AlLah SWT tidak mengutuskan manusia. Dia makhluk asing bagaimana mungkin kita dapat mengikutinya. Mereka juga menuduh para nabi atau rasul yang diutus sebagi pendusta atau sekadar hendak mencari populariti.
16. Rasul-rasul berkata: Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,
Para Rasul menegaskan biasanya melalui wahyu tertentu untuk menguatkan dakwaan mereka bahawa mereka benar-benar rasul utusan AlLah SWT.
17. "Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata".
Para Rasul di sepanjang zaman menegaskan bahawa tugas mereka hanyalah menyampaikan perintah AlLah SWT sahaja, iaitu mengajak mereka menyembah & meminta pertolongan hanya kepada-NYA. Di samping memberitahu kita akan dihidupkan kembali pada suatu hari, selepas itu kita akan dikumpulkan pada suatu hari yang bernama Hari Qiamat. Tujuan AlLah SWT menghidupkan kembali manusia ini mempunyai suatu agenda yang maha besar iaitu; untuk diberikan balasan yang setimpal kepada semua aksi yang sempat dibuat oleh manusia secara sukarela. Tanggungjawab menyampaikan ajaran Islam ini pada hari ini terpikul di bahu setiap kita sebagai penganut Islam.
18. Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".
Sebaliknya penduduk Antokiyyah pula berasa ajaran para rasul itu merimaskan mereka, dengan sebab adanya pembalasan pada Hari Qiamat, kerana mereka sudah tidak bebas lagi untuk berbuat sesuatu jika mengikut ajaran para rasul. Ajaran para rasul tentunya tidak terlepas daripada halal & haram ataupun dosa & pahala. Adanya gejala haram & dosa ini merimaskan manusia yang jahat di dunia. Implikasi daripada itu mereka mengugut & mengancam para rasul, seandainya para rasul ini masih menyampaikan ajaran tentang Islam ini, mereka akan mengupah pemuda & belia mereka untuk merejam para rasul dengan batu, ataupun mereka akan memenjarakan para rasul ini, semasa berada dalam penjara meraka akan menyiksa para rasul ini dengan pelbagai siksa yang tidak apat digambarkan sakitnya.
19. Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".
Para rasul menjelaskan bahawa keserabutan & kerimasan yang dirasai mereka sebenarnya disebabkan dosa-dosa yang mereka perbuat dengan bangganya. Sementara dosa yang paling besar ialah kufurkan AlLah SWT sedangkan DIA yang menjadikan kita, DIA juga telah jadikan bumi ini terhampar buat kita berdiri & berlari. DIA juga menyediakan pelbagai warna buah-buahan dengan pelbagai rasa untuk kita jadikan rezeki. DIA juga menyediakan oksigen untuk kita bernafas. Sepatutnya penduduk Antokiyyah berterima kasih kepada tazkiran para rasul itu, kerana mereka telah terlalu lalai, sebaliknya mereka mengancam para rasul. Para rasul menjelaskan mereka telah menjadi pelampau, apabila diberi tazkirah tidak mahu menerimanya.
20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu –
Sewaktu kedua rasul itu hendak ditangkap, datanglah Sohibul Yasin dari hujung bandar sambil berlari sekuat hatinya. Tujuan Sohibul Yasin ini datang semata-mata untuk memberikan bantuan moral kepada kedua rasul itu di samping membenarkan ajaran para rasul. Sohibul Yasin mengambil tanggungjawab untuk tampil ke muka membela kebenaran, walaupun dia menyedari bahaya yang menanti. Sohibul Yasin ini dengan tegas mengajak penduduk negerinya supaya mengikut ajaran yang dibawa para rasul ini.
21. "Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk".
Sohibul Yasin terus berhujah supaya penduduk Antokiyyah mengikut ajaran para rasul ini, kerana para rasul ini tidak meminta sebarang upah terhadap ajarannya. Mereka (para rasul) ini golongan yang ikhlas mengajak manusia agar mengikuti jalan Allah SWT, sedangkan para rasul ini kedua-duanya mendapat wahyu, hidayah, petunjukm bimbingan langsung dari AlLah SWT.
22. Dan (apabila ditanya: sudahkah engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): "Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan yang kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
Belaan Sohibul Yasin ini telah mendatangkan rasa hairan kepada penduduk Antokiyyah. Mereka mendapatkan kepastian Sohibul Yasin, adakah Sohibul Yasin menerima cara hidup (dakwah) yang dibawa oleh kedua-dua rasul itu? Sohibul Yasin dengan tenang & tegas menjelaskan, kenapa dia tidak boleh menyembah hanya kepada ALLah SWT, kerana AlLah SWT telah menciptakan dia daripada dahulunya dia tidak ada kemudian AlLah SWT menciptanya menjadi ada. Bukan sahaja AlLah SWT menciptakan kita, malah dibentukkan-NYA wajah kita tidak pernah & tidak akan sama dengan sesiapa di dunia ini; dulu, kini, dan selamanya. Sohibul Yasin terus berhujah yang dia tetap yakin apabila kita mati kita sebenarnya kembali untuk berjumpa AlLah SWT.
23. "Patutkah aku menyembah beberapa Tuhan yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
Sohibul Yasin terus menambahkan hujahnya, dia tidak layak & tidak patut untuk menyembah Tuhan lain selain AlLah SWT. Kerana tuhan-tuhan lain itu hanyalah dibuat, diukir, dibentuk oleh tangan manusia. Yang tentunya tidak boleh menjaga keselamatan dirinya sendiri, apalagi untuk menyelamatkan penyembah-penyembahnya. Sohibul Yasin terus berdakwah, segala kuasa & takdir hanya ada pada ALLah SWT. Jika AlLah SWT telah menakdirkan sesuatu untuk kita, tidak ada satu kuasa pun yang mampu melawan atau menyekatnya. Di samping itu, Sohibul Yasin juga memberitahu kuasa yang ada pada manusia yang dipinjamkan-NYA ini, tidak mampu untuk menyelamatkan sesiapa tanpa izin-NYA.
24. "Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
Sohibul Yasin menjelaskan dahulu dia juga pernah bersyirik kepada Allah SWT & pada masa itu dia berada dalam kesesatan yang nyata. Tapi dengan kedatangan kedua-dua rasul ini, menyebabkan dia telah beriman kepada Sang Pencipta.
25. "Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.
Sohibul Yasin mengisytiharkan segala terbuka keimanannya kepada kedua-dua rasul itu & meminta penduduk Antokiyyah yang lain juga turut beriman.
26. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam syurga". ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui –
Mendengar pengakuan Sohibul Yasin yang berani & berterus-terang itu, menyebabkan askar, polis,& tentera Antokiyyah serentak menerkamnya, kemudian merebahkannya, selepas itu mereka memijaknya beramai-ramai sehingga memecahkan perut Sohibul Yasin & mengeluarkan segala isi perutnya. Sohibul Yasin syahid di depan kedua-dua rasul itu. Sebaik sahaja rohnya keluar meninggalkan jasad, AlLah SWT berfirman kepada Sohibul Yasin, masuklah ke dalam syurga! Apabila kedua-dua belah kakinya memijak rerumput syurga, Sohibul Yasin berkata, alangkah baiknya jika semua penduduk Antokiyyah mengetahui tentang balasan AlLah kepada sesiapa yang beriman; iaitu janji surga.
27. "Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan".
Sohibul Yasin terus berkata-kata sewaktu dalam syurga, alangkah baiknya jika penduduk Antikoyyah tahu, apakah senarai perbuatan atau amalan yang menyebabkan AlLah SWT akan mengampunkan dosa-dosa kita & apakah pula senarai perbuatan atau amalan yang akan menjadikan seseorang iitu dimuliakan.
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
AlLah SWT menegaskan bahawa DIA tidak payah mengerah tentera yang terdiri daripada malaikat atau angin puting beliung, atau banjir kilat, untuk membinasakan negara Antokiyyah. Sebagai balasan kerana membunuh Sohibul Yasin yang menegakkan dakwah Islam.
29. (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.
Sebaliknya AlLah SWT membinasakan semua penduduk Antokiyyah yang zalim itu hanya dengan satu suara. Ya hanya satu suara pekikan yang menyebabkan telinga-telinga mereka pecah & mereka terus menggelepar serta mati dalam keadaan yang amat hina. Penduduk atau baka mereka penduduk Antokiyyah itu sudah pupus & tidak wujud lagi di bumi ini.
30. Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.
AlLah SWT pula bertegas menyatakan, sesiapa yang pernah hidup di bumi ini tetapi tidak mengikut ajaran yang dibawa oleh para nabi, di akhirat kelak mereka akan kaum yang paling menyesal kecewa. Kerana pada setiap zaman ajaran para rasul ini wajib kita sokong & dokong sepenuh hati! Jangan sesekali mempermain-main, atau merpesenda-senda apa jua suruh & larang yang pernah diajar para rasul. Peribahasa melayu ada menyebut; sesal dahulu pendapatan, sesat di akhirat satu sen puntak guna.
31. Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada kami, untuk menerima balasan).
AlLah SWT bertanya kepada kita, adakah kita pernah belajar sejarah yang menyebutkan kehancuran & kemusnahan umat-umat zaman dahulu. Terlalu banyak umat pada zaman silam yang AlLah SWT binasakan sehingga baka atau keturunan mereka terus pupus dari sejarah, dengan maksud umat tersebut tidak ada lagi pada hari ini. lenyap ditelan bumi. Misalnya; kaum Nabi Nuh, kaum Thamut, kaum Add, kaum Nabi Lut, kaum Nabi Soleh, kaun Fir’aun dan banyak lagi tidak lagi wujud kini. Orang melayu juga boleh pupus bakanya dari bumi ini, jika mereka semakin galak dehaka kepada AlLah SWT.
32. Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
Walau apapun cara mereka mati @ dimatikan, semua manusia yang pernah menerima subsidi pinjaman nyawa-NYA ini akan dihimpunkan kembali pada satu tempat, satu padang luas saujana padang, ya Padang Mahsyar, tempat untuk kita dibicarakan. Pada waktu itu AlLah SWT hakimnya, malaikat sebagai pendakwarayanya, komitmen kepada al-Qur’an akan bertindak sebagai peguambelanya, semua anggota badan kita(dari hujung kaki ke hujung rambut) sebagai saksinya.
33. Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan ia serta Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
Sebagai perbandingan untuk manusia faham bagaimana kelak dia akan dihidupkan kembali, AlLah SWT meminta kita melihat kepada bumi yang mati (setelah berlaku kemarau, semua akan menjadi kering, bahkan tanah-tanah menjadi berdebu. Yang anehnya apabila turun sahaja hujan, keesokannya hari dapat kita lihat rumput-rumput mula menghijau, dahan-dahan kering menumbuhkan tunas, dan daripadanya pula AlLah SWT mengeluarkan pelbagai sumber makanan untuk kita. Semudah itu juga sebetulnya kita akan dihidupkan AlLah SWT setelah kita mati. Dengan hanya satu tiupan sangkakala dari Israfel kita semua akan hidup kembali sebagaimana rumput menghijau setelah ditimpa setitis hujan.
34. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa matair,
AlLah SWT mempersilakan kita untuk melihat kepada kurma & anggur, bagaimana unik & berkhasiatnya kedua tumbuhan ini. Ya, AlLah SWT memancarkan mata air kepada ladang kurma walaupun tumbuhnya di kawasan yang paling kering dalam dunia, padang pasir. SubhanalLah.
35. Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka Patutkah mereka tidak bersyukur?
Buahan kurma @ anggur yang banyak zat & khasiat itu, AlLah SWT mempelawa kita supaya dijadikan makanan. Dijadikan-NYA baik untuk kesihatan. Kalau DIA takdirkan kedua-dua buah itu beracun, apakah yang mampu kita buat? Buat yang banyak zat & khasiat tetapi beracun. Justeru syukurlah. Dah la dapat makan buah yang cukup berzat & berkhasiat, sedap & lazat pula, dalam pada itu tidak ada racun pula di dalamnya. AlLah Akbar.
36. Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
Untuk berkembang biak, AlLah SWT telah menjadikan makhluk-NYA semuanya berpasangan, sama ada makhluk itu paling mulia iaitu manusia, ataupun binatang yang dikategorikan sebagai najis berat pun (babi) ada pasangannya. Bahkan atom, nukleas, parasit, ion-ion pun ada lelaki-perempuannya. SubhanalLah
37. Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
AlLah SWT meminta kita berfikit tentang kejadian siang & malam, bagaimana seninya Allah SWT melakukan proses perubahan malam kepada siang atau siang kepada malam. Cubalah lihat sendiri, luangkanlah masa satu malam. Insya-AlLah kita akan lebih mengerti & mengenali Allah SWT.
38. Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
AlLah SWT menjelaskan bagaimana hamba-NYA antara yang hebat iaitu matahari yang turut berpusing& beredar pada trek atau landasannya. Ayat ini menolak teori geografi yang dipopularkan orang kufur yang menyatakan matahari tidak berpusing, matahari duduk tetap pada tempatnya. Sebetulnya ALLah SWT yang Maha Benar! Ayat-ayat rekaan manusia belum dapat melihat bagaimana uniknya matahari bergerak, berpusing, & mengelilingi orbit yang ditentukan Allah SWT kepadanya setiap saat..
39. Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
Berbeza dengan matahar, bulan akan mengalami beberapa peringkat kewujudannya. subhanalLah dapat kita lihat dengan jelas, bagaaimana bulan yang berusia sehari, dua hari, tiga hari, empat hari, lima hari, enam hari, tujuh hari, bulan purnama & sebagaimana. Tidak seperti matahari yang sama sahaja setiap hari.
40. (dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
Oleh sebab matahari bergerak pada landasan yang ditentukan kepadanya, bulan juga bergerak & beredar & berpusing pada landasan yang ditentukan kepadanya, maka bulan & matahari tidak dapat untuk bermain berkejar-kejaran. Bulan AlLah SWT perintahkan kepadanya agar keluar malam, sementara matahari diperintah agar menyinari & memanasi siang.
41. Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;
AlLaah SWT dalam ayat ini mempelawa kita agar belayar di lautan. Kita akan cepat berasa keberadaan AlLah SWT benar-benar dekat bila pelayaran yang kita jalani itu berlaku semasa lautan bergelora.
42. Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.
AlLah SWT telah sekian lama memberitahu kita, DIA mengizinkan kita mencipta pelbagai jenis kenderaan untuk kita naiki. Lalu tak payah rasa heran jika pada tahun-tahun akan datang ini, muncul kenderaan yang tidak pernah kita fikirkan. Itu janji Allah SWT yang Maha Benar.
43. Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, -
Semua jenis kenderaan yang kita naiki sama ada di laut, di darat, atau di udara semuanya bergantung 100% kepada belas ihsan AlLah SWT. Hanya AlLah SWT yang boleh menyelamatkan perjalanan kita, justeru sebelum memulakan perjalanan, berdoalah memohon kepada=NYA agar perjalanan kita selamat.
Terima kasih ustaz
ReplyDeleteAssalamualaikum ustaz terima kasih atas perkongsian. Semoga Allah merahmati kamu. Sy mohon kebenaran ustaz utk save perkongsian ini sbgai rujukan sy.
ReplyDeleteAssalamualaikum ustaz terima kasih atas perkongsian. Semoga Allah merahmati kamu. Sy mohon kebenaran ustaz utk save perkongsian ini sbgai rujukan sy.
ReplyDeleteassalamualaiku, ustaz. izinkan saya copy tafsiran ini untk rujukn.. terime kaseh
ReplyDeleteSaya mohon utk jadikan tafsiran ustaz sebagai rujukan
ReplyDeleteassalamualaikum ustaaz saya minta izin untuk dijadikan rujukan. terima kasih .
ReplyDelete