Baginda Nabi Muhammad SAW, sebagaimana difotokan dalam perjalanan sirah, apabila Baginda SAW berada pada bulan Rejab, seuntai doa Baginda SAW angkat merapat ke hadrat Rabb Sekelian Alam (AlLah SWT) yang berbunyi sekira-kira;
‘AlLahhumma baariklana fi Rejab wa Sya’ban waballighna Ramadhan’
Ya AlLah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikan (panjangkan umur kami) ke dalam Ramadhan.
Sya’ban merupakan bulan yang kelapan dalam mata rantai pada kalendar tahun Hijrah; Muharam, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Sani, Jamadil Awal, Jamadil Sani, Rejab, Sya’ban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah, dan Zulhijjah. Sya’ban merupakan bulan yang mendapat tempat yang istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu selain daripada bulan Syawal. Apa tidaknya, kerana pada bulan-bulan ini ada upacara-upacara yang tertentu yang dibuat. Masyarakat Melayu sanggup berhabis-habisan kononnya untuk menyambut Syawal sehingga melupakan atau memadamkan terus jutaan kelebihan yang sengaja AlLah SWT selitkan pada bulan Ramadhan.
Justeru, dapat diperhatikan di mana-mana sahaja masjid, balaisah, surau, atau musolla akan semakin kekeringan para jemaah pada 10 malam terakhir dari malam-malam Ramadhan, mereka (perempuan)sibuk menyiapan pelbagai nama juadah untuk dimakan atau memasang lampu (lelaki)di keliling halaman agar nampak indah kelihatan, sedangkan di situlah terselit Lailatul Qadar yang didamba dan dinanti oleh para pencandu redha-NYA. Begitu jugalah halnya dengan kedatangan Sya’ban, masyarakat akan melakukan upacara tertentu sama ada yang bersifat kemasyarakatan atau ritual-ritual tertentu; dengan bacaannya, dengan solatnya, dan seumpamanya.
Walau apapun situasi dan kondisinya, keberadaan Sya’ban pada helai-helai kalendar tidak dapat sesiapa menafikan keunikan yang terselia dan tersedia dalamnya. Kalau tidak ada apa-apa, masakan Baginda Nabi SAW yang perjalanan hidupnya dipandu wahyu Rabb itu berdoa untuk memohon keberkatan; iaitu keberkatan yang tersedia pada bulan Rejab dan keberkatan yang tersedia pada bulan Sya’ban.
Bolehlah kita fahami bahawa bulan Rejab dan Ramadhan ini ada berkatnya yang hanya AlLah SWT yang Maha Mengetahuinya. Tidak payahlah kita bersusah payah untuk ke mana-mana makmal untuk ujikaji agar kita nampak melihat keberkatan yang ada itu. Cukuplah kita beriman sahaja dengan apa yang diberitahu Baginda Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah berbohong dalam hidupnya; ada berkat dalam Rejab jua Sya’ban. Kalau tiada apa-apa tak kanlah Baginda SAW begitu serius berdoa memohon ke hadrat AlLah akan berkat itu.
Dalam satu catatan hadis yang lain juga ada menyebut tentang kelebihan Malam Nisfu Sya’ban iaitu;
‘Barangsiapa yang menghidupan dua malam hari raya (idil fitri & idil adha) dan menghidupkan malam nisfu Sya’ban, hatinya akan sentiasa hidup sewaktu hati-hati insan lain semuanya mati’
Menghidupkan malam yang dimaksudkan melalui hadis tersebut pastinya dengan kepelbagaian ibadat atau amal soleh yang pernah dibuat oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Yang pasti sekiranya kita hidupkan malam tersebut sama ada malam dua hari raya atau nisfu Sya’ban dengan menonton perlawanan bola sepak, atau menyaksi siaran dari tv sama ada yang free atau berbayar, atau kita ke pub-pub/berhibur di kelab-kelab malam, cara menghidupkan malam seperti itu TIDAK PERNAH DIBUAT BAGINDA NABI MUHAMMAD SAW WALAUPUN SEKALI.
Sya’ban Medan Latihan Penyempurnaan Ramadhan
Ramadhan sebetulnya bulan untuk kita berlawan. Perlawanan pada bulan Ramadhan berlangsung selama sebulan secara terus-menerus; 24 jam sehari, siang dan malam. Sesiapa yang memenangi perlawanan itu akan dianugerahi AlLah SWT dengan sebuah piala bernama ‘TAQWA’. Pada bulan Ramadhan kita kena berlawan dengan segala macam ancaman nafsu diri. Nafsu nak makan banyak, kita kena lawan. Nafsu nak tidur banyak siang hari atau malam kita kena lawan. Nafsu malas nak solat terawih kita kena lawan.
Nafsu malas bangun pagi-pagi(untuk bersahur) kita kena lawan. Nafsu nak menonton siaran yang melalaikan di saluran tv kita kena lawan. Nafsu nak bercakap yang sia-sia apa lagi yang berbohong kita kena lawan. Nafsu kedekut nak sedekah harta kita kena lawan sebab itu ada kewajipan zakat. Pendek kata banyak perlawanan yang kita kena tempohi pada bulan Ramadhan. Tanpa latihan yang cukup dan bersistematik amat mustahil kita dapat memenangi perlawanan yang amat sengit itu.
Jika kita ibaratkan perlawanan yang bakal kita lalui dan tempohi pada bulan Ramadhan ini seperti perlawanan dalam permainan bola sepak, sesebuah pasukan itu mestilah cukup latihannya, cukup taktiknya, cukup tipu muslihatnya agar rancangan atau serangan untuk menjaringkan terhasil. Mudah-mudahan pada hujung saingan kita akan mendapat sebuah piala. Apa pun nama piala itu sebenarnya sama sahaja situasinya iaitu; satu pasukan akan menerima satu piala sahaja, iaitu piala pusingan. Untuk saingan tahun berikutnya piala itu akan diserahkan kemabli kepada pihak penganjur.
Piala yang dimenangi itu juga tidak boleh dikerat-kerat kepada 30 bahagian untuk dibahagi-bahagikan kepada pemain dan pegawai pasukan. Yang uniknya piala yang seumpama inilah menjadi rebutan pelbagai pasukan, dan untuk merebut piala tersebut sesebuah pasukan itu akan berlatih habis-habisan sama ada di dalam atau di luar negara. Berjuta ringgit dihabiskan untuk menyempurnakan latihan tersebut.
Apa salahnya apa dosanya kita kita jadikan bulan Sya’ban ini sebagai bulan latihan ruh kita untuk berdepan dengan perlawanan yang tersedia menanti dalam bulan Ramadhan. Kita cuba berlatih puasa dengan sesempurna mungkin, bukan sahaja tidak makan dan minum serta melakukan aktiviti bersuami isteri pada siang hari tetapi menjauhkan diri dari segala perkara yang boleh mengurangkan kualiti puasa diri. Pada malamnya kita berlatih berdiri malam untuk qiamullail sebagai pesiapan untuk Lailatul Qadar. Kita biasakan diri untuk latihan solat wuduk, solat dhuha, solat tahajud, solat witir, dan sebagainya. Dalam pada itu juga kita juga boleh cuba-cuba berlatih untuk beriktikaf di masjid. Kita berlatihlah slow-slow untuk menderma.
Impikasi dan signifi daripada latihan yang kita jalani itu, Insya-AlLah SWT perlawanan yang bakal kita tempohi nanti akan terjadilah satu perlawanan sengit yang mana kita mampu beraksi dengan cemerlang selama sebulan. Yang mana kesan ersiapan dan latihan yang gigih kita jalani tidak mustahil piala TAQWA mampu kita raih pada tahun ini. Piala tersebut tidak payah dihantar kembali kepada penganjur (ALLAH SWT).
Piala tersebut akan kekal menjadi milik kita yang abadi. AlLAH SWT yang MahaKaya menyediakan untuk setiap hamba-NYA satu piala yang bernama TAQWA ini untuk diberikan kepada semua para hamba; kerana DIA MahaKaya. Tidak sama dengan pengajur yang ada di dunia ini yang selamanya tidak akan mampu untuk menyediakan untuk semua pemain dengan satu piala, kerana manusia ini terlalu miskin.
No comments:
Post a Comment