TUNISIA
Rakyatnya Ditindas Hanya Disebabkan
Keimanan
Afrika Utara adalah satu lagi kawasan yang
dilanda kekacauan selepas berlalunya zaman Turki Uthmaniyyah. Empayar Turki
Uthmaniyyah telah menguasai kawasan Afrika Utara pada abad ke-16 dan telah
membina sebuah pentadbiran yang stabil di situ. Namun demikian, kolonialisme
telah memusnahkan kedamaian dan keselamatan di situ, termasuklah pentadbiran
Uthmaniyyah. Proses kolonialisasi di Afrika bermula dengan kemasukan Belanda
pada abad ke-17. Portugis, Inggeris dan Perancis kemudian membina empayar
mereka di pelbagai wilayah di kawasan tersebut. Namun demikian, untuk merampas
teritori-teritori yang dimiliki oleh Turki Uthmaniyyah di Afrika Utara, mereka
terpaksa menunggu sehingga kurun ke-19. Tunisia adalah salah sebuah negara yang
telah melalui proses tersebut.
Pertembungan Tunisia dengan dunia Islam
berlaku apabila pihak tentera Islam yang dipimpin oleh Abdallah ibnu Abi Sarh
melakukan penaklukan pada tahun 648. Dalam jangka masa yang singkat, negara ini
telah menjadi sebuah negara Islam, dan di penghujung abad ke-7, seluruh
populasinya adalah terdiri daripada orang-orang Islam. Selepas itu, para
pemerintah telah silih-berganti, tetapi kedamaian dan keselamatan yang
sebenar di Tunisia bermula pada tahun 1547 apabila Turki Uthmaniyyah mula
memerintah. Tunisia menjadi wilayah Turki Uthmaniyyah dan ia terus kekal di
bawah status tersebut sehinggalah tahun 1881. Berbeza dengan corak pemerintahan
diktator yang diamalkan di Barat, Turki Uthmaniyyah diperintah dengan
berlandaskan kedamaian dan toleransi, yang mana kedua-duanya adalah ciri-ciri
Islam. Di samping umat Islam Arab yang menjadi populasi majoriti di situ, pelbagai
jenis kumpulan-kumpulan agama dan etnik seperti Berbers dan Yahudi, telah hidup
dalam keadaan aman damai sewaktu zaman penuh kesejahteraan di Tunisia. Era aman
damai ini berterusan sehinggalah berlakunya penaklukan oleh Perancis pada tahun
1881.
Sejarah Berdarah Kolonialisme Perancis
Perancis memerintah Tunisia dengan
menggunakan gabenor-gabenor yang dipanggil “komissar senior.” Seperti juga di
Algeria, polisi yang penuh dengan kekejaman pun bermula. Semua pergerakan dan
aktiviti penentangan yang menuntut kemerdekaan telah ditekan sehebat-hebatnya.
Para pemimpin pergerakan Islam yang cenderung kepada kemerdekaan, dan juga
mereka yang memberikan sokongan, telah ditindas dengan kejam. Ramai di antara
mereka yang ditahan dan kemudiannya didera.
Perancis mendapati agak sukar untuk
menyekat protes-protes dan juga untuk menghalang pemberontakan rakyat Tunisia
yang dilengkapi dengan kesedaran Islam yang kuat. Seperti mana yang berlaku ke
atas negara-negara lain yang sudah dijajah, sebuah kerajaan boneka pasti dibentuk.
Perancis menggunakan Parti Destour, yang mana pada asalnya ditubuhkan untuk
mendapatkan kemerdekaan. Kemudian Perancis melantik seorang lelaki yang boleh
dipercayai bagi mengetuai kerajaan boneka itu: Habib Bourgiba.
Pada mulanya, Bourgiba, yang telah mendapat
pendidikan di Perancis sejak kecil lagi, telah menurut peraturan-peraturan
Islam untuk menarik penyokong-penyokong popular. Sewaktu zaman mudanya, beliau
menentang pentadbiran kolonialis Perancis dan bercadang untuk mendapatkan
populariti dengan cara tersebut. Beliau malah telah memasuki penjara selama
beberapa kali, dan cuba untuk menonjolkan imej sebagai seorang hero popular
dengan melarikan diri dari Tunisia ke Kaherah.
Sekembalinya ke Tunisia, beliau cuba untuk
mempengaruhi rakyat supaya memberontak tanpa ada sebarang sebab, dengan itu
menyediakan peluang kepada campur tangan Perancis yang berdarah. Apabila
pendudukan Perancis berakhir pada 1956, beliau menjadi wakil Perancis di negara
tersebut. Apabila Perancis meninggalkan negara tersebut, ia meninggalkan
kumpulan-kumpulan pentadbiran yang sangat setia kepada Perancis.
Kumpulan-kumpulan ini adalah sebahagian daripada pentadbiran Bourgiba, dan
mereka mempertahankan kepentingan Perancis dan malah sangat kejam kepada
penduduk tempatan berbanding apa yang telah dilakukan oleh Perancis.
Bourgiba yang memiliki kuasa mutlak dan
tidak terbatas di negara tersebut pada 1959, kemudian mengisytiharkan dirinya
sebagai “Presiden seumur hidup.” Beliau telah memerintah Tunisia dengan
kuasanya sendiri selama 31 tahun, sehinggalah 7 November 1987 apabila beliau
disingkirkan oleh Perdana Menteri Zein Al-Abidin. Sebab penyingkirannya adalah
kerana beliau dikatakan mempunyai mental yang tidak stabil. Sepanjang tempoh beliau
berkuasa, beliau telah menjadikan Tunisia bergantung kepada Perancis dari segi
budaya, ekonomi dan politik. Malah kekayaan Tunisia turut dipindahkan ke
Perancis.
Salah satu ciri diktator anti-Islam ini
ialah seperti mana kebanyakan tokoh-tokoh lain yang serupa, beliau adalah
seorang ahli Freemason senior.36 (Pent: Freemason adalah sebuah pertubuhan
yang bencikan Islam. Untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya, anda bolehlah
membaca buku Global Freemasonry, yang juga merupakan hasil tulisan Harun
Yahya). Bagi Bourgiba, menjadi ahli Freemason adalah lebih penting dari Islam
atau menjadi orang Tunisia. Beliau tidak memberikan keutamaan kepada umat Islam
Tunisia, sebaliknya memberikan keutamaan tersebut kepada French Great Lodge.
Beliau telah membuktikannya melalui peperangan yang dilancarkan olehnya
terhadap agama Islam di negara tersebut.
Tindakan pertama Bourgiba adalah menukar
sistem pendidikan dan undang-undang yang serupa dengan Perancis. Ciri utama
sistem tersebut ialah ia dibentuk berdasarkan kebencian terhadap Islam. Beliau
telah menjadikan masjid berada di bawah perhatian yang sangat rapi dan melarang
melakukan solat di luar waktu-waktu yang tertentu. Beliau telah menangkap dan
mendera dengan kejam umat Islam yang menentang rejimnya kerana mereka mahukan
sebuah masyarakat Islam. Beliau juga telah menutup institusi-institusi
pendidikan, bermula dengan Universiti Zaytuna yang menjadi simbol Tunisia
selama ini. Zaytuna adalah sebuah pusat yang penting, seperti juga Universiti
Al-Azhar di Kaherah, yang menjadikan Islam terus hidup di Afrika Utara dan
telah banyak melahirkan tokoh-tokoh agama yang memberikan sebuah sinar kepada
masyarakat. Tekanan dari Bourgiba semakin menjadi-jadi sewaktu bulan Ramadan
yang mulia. Ketika itu, beliau telah muncul di kaca televisyen dengan segelas
minuman di tangannya dan telah menghalang rakyat dari berpuasa, dengan alasan
“ia melembapkan perkembangan negara dan kemajuan pekerjaan.” Malah, beliau
mahukan jemaah haji pergi ke Kairawan, iaitu bandar suci Maghribi, dan tidak
pergi ke Makkah, kerana perjalanan ke Makkah melibatkan kos yang lebih tinggi.
Pentadbiran Tunisia dengan bodoh mengikut
sahaja polisi tersebut yang bertentangan dengan negara-negara Islam yang lain.
Tunisia menggantungkan hubungannya dengan Sudan, menyokong Perancis yang
menentang Algeria, dan melarang rakyat Tunisia dari melakukan solat untuk
rakyat Palestin yang mati syahid, ataupun membincangkan tentang Intifada.
Malah hari ini juga, Tunisia dan Algeria
masih melakukan penindasan yang lebih hebat dan lebih kejam terhadap umat Islam
yang tinggal di negara-negara tersebut. Padahal ketika zaman kolonialis,
penindasan yang dilakukan adalah tidak sekejam sekarang. Pengalaman umat Islam
di kedua-dua negara tersebut mengingatkan kita terhadap metod kekejaman yang
dilakukan oleh mereka yang menafikan kebenaran seperti mana yang telah
diwahyukan di dalam al-Quran. Salah satunya adalah pemusnahan kawasan suci bagi
menghalang manusia hidup dengan berlandaskan agama yang dianuti. Allah telah
memberitahu kedudukan di dunia dan di akhirat bagi mereka yang cuba menghalang
manusia dari mengingati Allah:
Dan siapakah yang lebih aniaya daripada
orang-orang yang menghalang menyebut nama-nama Allah di dalam
masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak
sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada
Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang
berat. (Al-Baqarah, 2:114)
Azab pedih yang dijanjikan dalam ayat di
atas sedang menanti para pemerintah zalim yang cuba mengahapuskan Islam di
tanah airnya sendiri. Umat Islam mesti sedar tentang hal ini, mempertimbangkan
keadaan para penindas di akhirat nanti atas segala penganiyaan yang telah
dilakukan, dan mengetahui umat Islamlah pada akhirnya yang akan menjadi
pemenang.
Tiada Perubahan Selepas Bourgiba
Selepas Bourgiba hilang kredibilitinya di
Tunisia, Perancis cuba untuk meningkatkan pengaruhnya ke atas negara tersebut
dengan melantik Duta Tunisia ke Paris, Hadi Mebruk, sebagai Menteri Luar. Pada
masa yang sama, Perdana Menteri Zein Al-Abidin Bin Ali menjanjikan kebebasan
kepada umat Islam, yang mana mereka telah bertahun-tahun menderita disebabkan
oleh penindasan politik sewaktu berada di bawah rejim Bourgiba, sebagai cara
untuk memancing hati mereka. Rejim Bin Ali, yang berjaya menyingkirkan Bourgiba
dari tampuk kekuasaannya melalui sebuah rampasan kuasa, telah membebaskan
beberapa orang tahanan politik. Mereka yang diusir telah dibenarkan pulang.
Namun apa yang menyedihkan, rejim yang baru itu, yang mana menjadi harapan
kepada umat Islam, terbukti tidak berbeza jika dibandingkan dengan pemerintahan
Bourgiba. Bin Ali mula berjanji bahawa beliau akan memulakan proses perubahan
di negara tersebut, tetapi setelah berjaya mengukuhkan kekuasaannya, beliau
mula mengimplementasikan polisi-polisi menindas yang serupa seperti Bourgiba
untuk menekan umat Islam.
Satu-satunya perkara yang berubah di
Tunisia selepas era Bourgiba ialah bertambahnya bilangan polisi-polisi menindas
yang telah lama dideritai oleh umat Islam. Bin Ali lebih dahsyat berbanding Bourgiba,
dan tindakan terkininya menjadikan Bourgiba lebih pasif jika perbandingan di
antara mereka dibuat. Pada hari ini, Tunisia masih memiliki struktur
antidemokratik di seluruh kawasan tersebut. Ini semua adalah angkara Bin Ali.37 Umat Islam yang mewakili spektrum masyarakat yang luas, sedang menunggu
untuk memerintah negara tersebut dengan jalan demokrasi, tanpa membawa sebarang
musibah kepada negara-negara Islam lain ataupun rakyat mereka sendiri.
ERITREA – ETHIOPIA
Umat Islam Mahukan
Kedamaian dan Keselamatan
Peperangan dan kekacauan telah lama
berterusan di benua Afrika selama bertahun-tahun. Keganasan yang berlaku amat
sukar untuk dihapuskan. Selepas kuasa-kuasa kolonial seperti Britain, Perancis
dan Belandas keluar pada tahun 1950-an dan 60-an, kebanyakan negara-negara
Afrika jatuh ke dalam tangan diktator-diktator komunis atau pun fasis. Hampir
kesemua rejim-rejim pasca-kolonial ini mengikut polisi pencerobahan sistematik
ke atas umat Islam, dan mereka masih terus melakukannya. Salah satu daripada
negara-negara tersebut yang mana peperangan dan kekacauannya tidak pernah reda
gara-gara polisi tersebut adalah Eritrea, yang telah berada di bawah
pemerintahan Turki Uthmaniyyah selama dua abad yang bermula pada pertengahan
abad ke-16.
Eritrea: Lokasi Strategik Afrika
Eritrea terletak di utara Ethiopia, di
sepanjang selat di mana benua Afrika menjadi semakin rapat dengan benua Asia.
Ia telah menjadi sebuah lokasi penting selama beribu-ribu tahun, sama ada dari
segi komersial atau ketenteraan. Seperti mana kebanyakan negara-negara lain
yang terdapat di Afrika, negara ini juga muncul akibat proses pembahagian yang
dilakukan oleh kuasa kolonial Eropah, yang mana ia dilakukan tanpa memikirkan
kehendak dan hasrat penduduk tempatan.
Sesiapa sahaja yang menguasai Eritrea akan
mengawal pintu masuk selatan ke Laut Merah, dan dengan demikian segala trafik
di antara Mediterranean dan Lautan Hindi. Di samping itu, Eritrea mewakili
pelabuhan untuk Ethiopia.
Setelah menilai kepentingan strategik
Eritrea, British telah menyewakannya kepada Amerika sebagai pengkalan
komunikasi sewaktu Perang Dunia II, dan Amerika seterusnya telah menggunakannya
selama 25 tahun yang berikutnya, dengan berdasarkan kepada perjanjian
pertahanan di antara Amerika dan Ethiopia. Ia adalah di antara pengkalan paling
utama di dunia dan telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan informasi
kepada Washington sewaktu Perang Korea.
Di samping kepentingan strategiknya,
Eritrea menjadi semakin bernilai kepada kuasa-kuasa yang berminat terhadap
kawasan tersebut disebabkan kekayaan simpanan emas dan mineralnya. Malah
dijangka juga terdapat simpanan minyak dan gas di kawasan tersebut.
Sebelum Perang Dunia II, populasi di
Eritrea adalah kira-kira 1 juta orang. Berdasarkan kepada sumber Barat, sekarang
ia menjadi 2.5 juta orang, walaupun menurut pertubuhan penentang aktif di
kawasan tersebut, 3.5 juta orang adalah angka yang lebih tepat. Majoriti
populasi terdiri dari umat Islam.
Perjuangan Umat Islam Eritrea
Selepas berakhirnya pemerintahan Turki
Uthmaniyyah, Eritrea telah dijajah oleh Itali, dan melalui keputusan PBB pada
tahun 1952 ia telah menjadi sebuah negeri persekutuan yang dihubungkan dengan
Ethiopia. Walau bagaimanapun, rakyat enggan menerimanya. Akhirnya tercetuslah
kebangkitan rakyat yang meluas. Pada 14 November 1962, Maharaja Haile Selassie
telah mengumumkan bahawa beliau telah mengasimilasikan Eritrea, dengan
menggunakan kekacauan dalaman di Ethiopia sebagai alasan. Semasa zaman
Selassie, bermulalah polisi penindasan dan penderaan ke atas umat Islam.
Ramai di antara mereka yang menentang pemerintahan rejim Ethiopia telah
dibunuh.
Kesan daripada kempen kekejaman dan
keganasan Ethiopia, beratus-ratus ribu rakyat Eritrea telah dipaksa keluar
daripada tanah mereka di antara tahun 1967 dan awal 1970-an. Wanita,
kanak-kanak dan orang tua, yang membentuk salah satu daripada kumpulan pelarian
paling besar sepanjang sejarah, telah ditinggalkan begitu sahaja dan dibiarkan
mati. Kesannya, kira-kira 200,000 orang mati akibat kebuluran. Ini
berlaku gara-gara polisi pertanian yang salah.
Akhirnya, rejim Haile Selassie telah
ditumbangkan melalui satu rampasan kuasa pada 1947. Pentadbiran kemudiannya
diambil-alih oleh junta yang memiliki pandangan-pandangan Marxis. Tiada
perubahan yang berlaku ke atas umat Islam. Sistem diktator bercorak Marxis
ditubuhkan untuk menggantikan sistem fasis. Umat Islam terus menderita akibat
penindasan, penderaan, penahanan dan kepayahan hidup.
Pemimpin selepas Haile Selassie, iaitu
Haile Mariam yang memimpin rejim Mengistu Marxis, telah menjalankan
polisi-polisi yang penuh dengan keganasan sewaktu zaman pemerintahannya. Beliau
tidak mengehadkan jumlah mereka yang dibunuh kerana memiliki pandangan yang
berbeza, sebaliknya telah menghapuskan sebahagian populasi secara besar-besaran
sewaktu kekuasaannya selama 17 tahun. Gerakan anti-Islam di negara tersebut
telah disokong oleh Mengistu, yang telah menyebarkan ketakutan di seluruh
negara. Sewaktu pemerintahan Mengistu, 10,000 buah masjid telah hancur
dimusnahkan, dan setengah juta umat Islam terpaksa mencari perlindungan di
negara jiran Sudan. Sebilangan kecil telah mencari perlindungan di Somalia.
Pada bulan Mei 1991, perubahan kuasa sekali lagi berlaku di Ethiopia, walaupun
Mengistu telah meninggalkan sebuah kedahsyatan di waktu kebangkitannya:
- 60,000
kanak-kanak menjadi lumpuh dan 45,000 menjadi anak yatim.
- Kira-kira
750,000 orang menjadi pelarian, yang mana seramai 500,000 orang masih hidup
dalam kelaparan di Sudan.
- Kira-kira
80 peratus daripada populasi hidup tanpa zat makanan yang cukup atau hampir
kebuluran, mereka memerlukan bantuan makanan.
- Hanya
1 doktor bagi setiap 48,000 penduduk, dan jangka hayat purata rakyat adalah 46
tahun.
Sokongan Israel Terhadap Rejim Anti-Islam
Salah satu sebab berlakunya konflik yang
tidak berkesudahan, kacau-bilau dan peperangan di Eritrea, yang merupakan salah
satu kawasan termiskin di dunia walaupun ia memiliki kepentingan sosioekonomi
dan geostrategik, adalah kerana wujudnya beberapa buah negara yang mendominasi
polisi-polisi di kawasan tersebut, yang dilakukan untuk kepentingan diri mereka
sendiri, dengan mengabaikan kemahuan dan kehendak rakyat yang tinggal di
kawasan tersebut. Israel adalah negara yang memainkan peranan utama.
Rejim-rejim Ethiopia dan Eritrea terdahulu
memiliki satu perkara yang serupa seperti Israel: sifat anti-Islamik. Seperti
yang telah kita lihat di awal buku ini, Israel melihat Islam sebagai ancaman
paling bahaya terhadap dominasinya di Timur Tengah, maka Israel mengenakan
kekejaman, kezaliman dan penindasan. Inilah sebabnya mengapa Israel sering
hadir di kawasan-kawasan yang mana umat Islam sedang ditindas dan mengalami
kepupusan, dari Bosnia hingga ke Filipina, dari Turkestan Timur ke Eritrea. Di
dalam buku yang ditulis oleh Profesor Benjamin Beit-Hallahmi dari Universiti
Haifa Israel, iaitu The Israeli Connection: Who Arms Israel and Why?,
beliau telah menyifatkan segala aktiviti yang dilakukan oleh negaranya di
seluruh dunia sebagai “Perang Dunia Israel.” Seperti yang diutarakan
oleh seorang kolumnis terkenal akhbar Israel, Nahum Barnea, “Israel akan
menjadi pelopor Barat dalam peperangan untuk menentang Islam.”38
Israel masih memiliki dua pengkalan yang
sangat strategik di Eritrea. Satu terdapat di Pulau Dahlak, dan satu lagi
terletak di kawasan pergunungan Mahel Agar berhampiran sempadan Sudan. Hubungan
rapat Israel dengan Ethiopia bermula pada tahun 1950-an. Perikatan
Israel-Ethiopia bermula pada tahun 1952 bermula dengan hubungan perdagangan,
dan seterusnya membawa kepada dialog kelas atasan apabila wakil Israel
bermesyuarat dengan Maharaja Haile Selassie dan pegawai-pegawai atasannya pada
tahun 1956. Israel mula memberikan bantuan militari, kepintaran dan latihan
kepada rejim Selassie dan pasukan askarnya. Ia bertujuan untuk meredakan
pergerakan-pergerakan radikal dan umat Islam yang bangkit dan menyerang
orang-orang Kristian Ethiopia. Profesor Hallahmi telah menggambarkan asas-asas
ideologi perikatan Ethiopia-Israel seperti berikut:
Asas ideologi perikatan ini adalah persepsi
Israel “sebagai manusia berani yang dikelilingi oleh kuasa-kuasa Islam yang
memusuhi mereka kerana cuba merampas tanah air bersejarah milik Israel, sebuah
situasi serupa terhadap orang-orang Kristian Ethiopia yang menganggap ia adalah
satu analogi kepada sejarah mereka yang mana mereka kini berada di
tengah-tengah ancaman umat Islam.”39
Berdasarkan kepada buku tulisan Hallahmi,
sebuah kumpulan penentang-pemberontakan yang dianggotai seramai 3,100 orang,
dikenali sebagai “Polis Kecemasan,” telah ditubuhkan oleh Selassie untuk
mematahkan arus kebangkitan di Eritrea. Kumpulan ini mendapat latihan
khas daripada pakar-pakar Israel.
Berikutan dengan lawatan militari ke
Ethiopia yang dipimpin oleh Jeneral Bar-Lev pada tahun 1971, Halep dan Fatima
yang memiliki kepentingan strategik di pulau Ethiopia, telah dibuka untuk
kegunaan Tentera Laut Israel.
Umat Islam Eritrea sedar akan kewujudan
perikatan yang sedang mereka hadapi itu. Abu Halid, pemimpin pergerakan umat
Islam Eritrea, telah membincangkan tentangnya dalam sebuah temuramah pada tahun
1970 yang dilindungi oleh wartawan Turki:
Ethiopia dan Israel telah menyatukan
matlamat mereka. Para pegawai Israel telah melatih askar-askar Ethiopia yang
mengelar leher-leher umat Islam... Perang pada 5 Jun 1967 tercetus akibat
alasan penutupan Teluk Aqaba oleh Mesir. Israel mahu melihat Pelabuhan Eilat
dan teluk tersebut terus dibuka, kerana ia menjadi pintu perdagangan di antara
Israel dan dunia Timur. Jika kita di Eritrea berjaya mendapatkan kemerdekaan,
kita dapat menutup jalan air Israel yang menjalinkan kerjasama dengan Yaman
Selatan di bahagian selatan Laut Merah. Inilah sebabnya mengapa Israel membantu
Ethiopia. Enam juta Yahudi di Amerika Syarikat menyokong tesis tersebut.
Terdapat 400 orang pegawai Israel di dalam pasukan askar Ethiopia. Tiga musuh
utama kita ialah Ethiopia, Israel dan juga Amerika Syarikat.40
Para pegawai Israel yang melatih
komando-komando Ethiopia dan kumpulan-kumpulan antipengganas turut memainkan
peranan penting dalam menjaga kekuasaan Haile Selassie. Menurut Jeneral Matityahu
Peled, yang merupakan bekas pegawai kanan di dalam pasukan askar Israel,
Selassie telah diselamatkan sebanyak tiga kali dalam cubaan rampasan kuasa. Itu
semua adalah bantuan dari ejen-ejen Israel terutamanya yang mempunyai pengaruh
kuat dalam pasukan polis rahsia Addis Ababa.
Ejen-ejen Israel hanya melakukan sedikit
campur tangan dalam menentang rampasan kuasa Marxis untuk menyingkirkan
Selassie pada tahun 1974. Ini adalah kerana rejim baru itu akan selari
sepenuhnya mengikut taraf dan kehendak Israel, dan akan terus menjadi
anti-Islam dan seterusnya melancarkan peperangan ke atas umat Islam Eritrea.
Seperti yang dijelaskan oleh Profesor Hallahmi, “Ikatan yang berterusan dengan
Israel dijelaskan melalui pendiriaan serupa kedua-dua buah negara tersebut dalam
menentang kumpulan-kumpulan Islam di kawasan tersebut.”41
Usaha-usaha oleh kumpulan pakar Israel di
Ethiopia diteruskan dengan lebih cepat di bawah rejim Mengistu Marxis. Mereka
terus melatih kumpulan-kumpulan anti-pemberontakan Ethiopia dan menyediakan
bekalan senjata kepada puak rejim terbabit. Perikatan ini, yang diasaskan
kerana permusuhan terhadap Islam, semakin mendapat kekuatan pada tahun 1990
apabila Israel menghantar bom-bom fragmentasi kepada rejim itu untuk digunakan
ketika menentang “militan pemisah.”
Kemerdekaan Eritrea Gagal Menamatkan
Penindasan
Kejatuhan blok Timur menunjukkan bahawa
rejim komunis Mengistu di Ethiopia turut mengalami nasib yang sama. Pada tahun
1991, penentangan yang dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Isaias Afeworki dan Meles
Zenawi telah berjaya menyingkirkan kerajaan komunis. Zenawi yang telah mendapat
kuasa masih gagal untuk berdiri menentang kemahuan rakyat Eritrea yang
dahagakan kemerdekaan. Kemudian, satu referendum bertarikh 25 April 1993,
menjadikan Eritrea bebas dari Ethiopia dan berjaya mendapatkan kemerdekaan.
Afeworki muncul sebagai pemimpin Eritrea
baru setelah kemerdekaannya, walaupun masalah-masalah baru berkaitan polisi
luar dan dalaman muncul pada waktu yang sama. Afeworki mula bertindak seperti
rejim ganas Mengistu apabila beliau memulakan gelombang keganasan untuk
menentang mereka yang beriman. Tekanan dari Afeworki, yang mengidam jawatan
sebagai ketua negara dan speaker parlimen, membuatkan para penentangnya
mengangkat senjata. Konflik berdarah tercetus di antara pasukan askar Eritrea
dan kuasa-kuasa penentang, terutama sekali di kawasan pergunungan.
Kedahsyatan penindasan, terutamanya ke atas
umat Islam, memasuki dimensi yang lebih mengerikan sewaktu zaman Afeworki.
Penahanan dan pembunuhan tanpa sebab semakin berleluasa. Sekolah-sekolah Islam
ditutup dan masjid-masjid dimusnahkan. Bahasa Arab dihentikan dari menjadi
bahasa rasmi, dan beratus-ratus ribu rakyat melarikan diri dan mendapatkan
perlindungan di Sudan. Sesiapa yang mengkritik rejim Afeworki akan merasakan
akibatnya.
Polisi-polisi menindas Afeworki bukan
sahaja dikenakan ke atas rakyatnya, malah beliau turut memusuhi negara-negara
jirannya. Beliau membawa Eritrea ke dalam kanncah peperangan dengan jirannya
Yaman dan Djibouti, dan juga turut memusuhi Sudan, iaitu satu lagi negara
jirannya. Beliau malah menunjukkan sikap yang sama ke atas Ethiopia, yang
berkongsi banyak polisi-polisi strategi dan politik yang sama. Akhirnya beliau
menawan Ethiopia. Sehinggalah berlakunya genjatan senjata pada 18 Jun 2000,
pencerobohan ke atas Ethiopia telah menyaksikan beratus-ratus ribu rakyat
kehilangan tempat tinggal, berpuluh-puluh ribu mati, dan beribu-ribu rakyat
hidup dalam kebuluran disebabkan oleh embargo (sekatan) ekonomi.
Keadaan Mutakhir di Eritrea
Konflik sempadan di antara Eritrea dan
Ethiopia yang bermula pada 1999 berakhir dengan genjatan senjata setahun
kemudian dengan campur tangan Pertubuhan Kesatuan Afrika. Walau bagaimanapun,
walaupun sudah jelas bahawa kedua-dua pihak berada dalam kesukaran ekonomi yang
tenat dan rakyatnya pula sudah hampir kebuluran, agak memeranjatkan apabila
mereka masih membelanjakan berjuta-juta dolar untuk membeli kelengkapan
senjata. Elemen-elemen infrastruktur penting seperti pelabuhan, stesen
janakuasa elektrik dan lapangan terbang telah teruk dimusnahkan, berjuta-juta
rakyat terpaksa berpindah, kerugian berjuta-juta dolar berlaku dalam
pergaduhan-pergaduhan yang tercetus. Berjuta-juta dolar, yang sangat-sangat
diperlukan untuk membantu mereka yang memerlukan di kawasan tersebut, telah
dikorbankan untuk membeli senjata. Dengan cara ini, kedua-dua pihak, yang
merupakan sekutu Israel, telah menjadi pasaran menguntungkan kepada pengeluar
senjata Amerika dan Israel. Malah mereka berjaya mengalihkan pandangan penduduk
dunia tentang penindasan ke atas umat Islam kepada kisah peperangan.
Kezaliman berterusan sehingga ke hari ini.
Umat Islam di Eritrea masih terus ditahan tanpa sebarang sebab, dihukum mati
oleh mahkamah yang tidak adil, dibunuh oleh skuad-skuad pembunuh, dan segala
macam bentuk penentangan diharamkan. Umat Islam dengan itu tidak dapat hidup
berlandaskan kepada agama mereka, kebebasan untuk beribadah disekat, mereka
yang tertindas meningkat hari demi hari, dan polisi-polisi penindasan,
ketakutan dan pencerobohan tidak pernah reda. Sekolah-sekolah yang mungkin
mengajar kanak-kanak Islam tentang agama mereka ditutup, dan masjid tempat
bersolat diruntuhkan. Berpuluh-puluh ribu umat Islam terpaksa berpindah, dan
berjuta-juta pelarian yang lari dari penganiyaan rejim tersebut sedang berusaha
untuk terus hidup dalam keadaan lapar dan kebuluran.
Tindakan-tindakan zalim ini mengingatkan
kita tentang ketidakadilan dan yang dikenakan ke atas umat Islam sepanjang
sejarah. Al-Quran telah mendedahkan sifat-sifat pemerintah zalim adalah sama
sahaja sepanjang zaman. Mereka ini, yang memiliki sifat-sifat keji, dan
penganiayaan yang dikenakan ke atas wanita, kanak-kanak dan orang tua tidak
pernah berubah sama sekali. Seperti yang telah diterangkan oleh al-Quran, “Dan
berapa banyakkah umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, yang mana
mereka itu memiliki kekuatan yang lebih besar dari mereka ini...?” (Qaaf,
50: 36), dengan jelas memberitahu kita bahawa mereka yang hidup di zaman dahulu
adalah lebih kejam sewaktu melakukan kekejaman tersebut jika dibandingkan
dengan mereka yang hidup pada hari ini. Salah seorang pemerintah zalim yang
dikisahkan di dalam al-Quran ialah Firaun:
Sesungguhnya Firaun telah membuat berbuat
sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah,
dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak lelaki dan membiarkan
anak perempuan mereka hidup. Sesungguhnya Firaun termasuk dari kalangan
orang-orang yang melakukan kerosakan. (Al-Qashash, 28: 4)
Seperti yang diterangkan oleh ayat
tersebut, Firaun menindas dan mengenakan seksaan ke atas rakyatnya. Namun,
harus diingat bahawa al-Quran menerangkan sesiapa yang terus menerus angkuh,
melakukan kezaliman, akan mendapat kehinaan di dunia ini dan azab yang pedih
akan menanti di hari akhirat kelak. Dengan cara yang sama, apa yang bakal
diterimanya nanti di atas kezaliman yang dilakukannya dahulu adalah seksaan
pedih di hadapan mahkamah Allah. Allah telah memberitahu tentang nasib mereka
yang menafikan-Nya:
Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang
melakukan kezaliman kepada manusia dan yang melampaui batas di muka bumi tanpa
hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih. (Asy Syuura, 42: 42)
CHAD
Negara Islam Cuba Dihancurkan Pentadbiran Kolonialis Perancis
Dalam bab awal buku ini, kita telah
menekankan bagaimana “rompakan” yang dilakukan oleh kuasa-kuasa kolonialis
telah mengeringkan sumber-sumber asli di kesemua kawasan di Afrika dan
seterusnya membawa mereka ke dalam lubuk kemiskinan yang amat dahsyat. Bangsa
Barat yang melihat orang-orang Afrika sebagai “bangsa primitif yang masih belum
tamat proses evolusi” dan menganggap mereka yang tinggal di sana boleh
dieksploitasikan, sebenarnya melakukan penindasan terhadap umat Islam.
Penindasan tersebut dilakukan secara terbuka di antara abad ke-15 dan ke-19,
selepas itu dilakukan secara tersembunyi pada abad ke-20.
Kuasa-kuasa kolonialis seperti Britain dan
Perancis meninggalkan kawasan tersebut selepas mereka tidak lagi boleh berkuasa
di Afrika. Namun demikian, mereka meninggalkan rejim-rejim boneka yang
mempunyai hubungan erat dengan kuasa-kuasa kolonialis tersebut. Polisi ini
membolehkan sebuah sistem kolonialis beroperasi di bawah kepura-puraan yang
baru. Kerajaan-kerajaan yang mempunyai rangkaian erat dengan bekas kuasa-kuasa
kolonialis masih memerintah beberapa buah negara di Afrika sehingga ke hari
ini, dan mereka telah melakukan kekejaman yang melampau.
Pentadbiran-pentadbiran boneka ini secara lazimnya adalah beragama Kristian
atau pun golongan-golongan minoriti di negara-negara Islam. Dengan sokongan
Barat yang diberikan kepada kerajaan-kerajaan minoriti ini, mereka berupaya
melakukan penindasan yang berterusan terhadap umat Islam. Kesannya, peperangan
saudara yang besar telah meletus di antara umat Islam majoriti dengan pentadbiran-pentadbiran
minoriti, dan mereka akhirnya terjebak ke dalam kawah peperangan.
Konflik-konflik ini masih berterusan di kebanyakan negara sehingga hari ini.
Cara lain yang digunakan oleh kuasa-kuasa
kolonialis adalah dengan memperkenalkan pemimpin-pemimpin berpengaruh yang
berjaya mendapat simpati masyarakat. Barat memakaikan mereka topeng keagamaan,
namun sebenarnya mereka adalah seorang yang antiagama. Tidak kira bagaimana
kerajaan-kerajaan ini mengaku Islamik, namun mereka sebenarnya menindas umat
Islam dan menghalang mereka dari menunaikan kewajipan agama. Contoh paling
jelas yang dapat dilihat adalah seperti di Algeria dan Tunisia.
Sejarah Chad juga hampir serupa seperti
Algeria dan Tunisia. Chad berjaya mendapatkan kemerdekaan selepas bertahun-tahun
lamanya dijajah, selepas perang saudara yang panjang dan kekacauan yang tidak
pernah reda.
Sejarah Kolonialisme di Chad
Chad menjadi sebuah negara Islam apabila
Raja Kanem memeluk Islam pada tahun 1086, dan pada abad ke-16 ia merupakan
salah satu dari negara terkaya dan terkuat di wilayah tersebut. Namun demikian,
kerajaan tersebut telah dilemahkan oleh satu pembahagian dalaman pada abad
ke-19, ditakluki oleh Perancis pada tahun 1900, dan kemudian diikat dengan
koloni-koloni milik Perancis yang lain.
Sejak dari itu, kolonialis Perancis telah
melancarkan peperangan menentang umat Islam dan agama Islam itu sendiri.
Peperangan tersebut telah menyaksikan amalan-amalan yang sangat tidak
berperikemanusiaan, kezaliman, penindasan dan kekejaman. Matlamat utama adalah
untuk memusnahkan identiti umat Islam Chad dan kemudian menggantikannya dengan
fahaman-fahaman yang lebih bercorak materialistik dan tidak beragama.
Bagi mencapai hasrat ini, semua
masjid-masjid, pengajaran al-Quran, pusat-pusat pendidikan keagamaan dan
perpustakaan-perpustakaan sama ada telah ditutup atau diruntuhkan. Perancis
menghalang umat Islam dari memahami agama mereka sendiri dengan mengharamkan
pendidikan Islam. Mereka telah menutup kesemua pusat-pusat dan
institusi-institusi keagamaan. Kebanyakan guru, imam dan pelajar dituduh
terlibat dengan jenayah. Ada yang telah dibunuh sewaktu penindasan, dan ada
juga terpaksa melarikan diri ke kawasan padang pasir dan pergunungan.
Tokoh-tokoh agama yang ditahan sama ada dicekik atau diseksa sehingga mati.
Hanya anak-anak askar Perancis yang dibenarkan belajar di sekolah-sekolah yang
dibuka. Di samping itu, pusat-pusat rekreasi dan kesihatan turut dibina untuk
mereka. Tiada sesiapa pun yang memberikan perhatian walau sedikit kepada
masalah kesihatan penduduk tempatan.
Golongan intelektual Islam di Chad dan
mereka yang berhasrat untuk lari daripada penganiyaan yang berlaku terpaksa
bergerak dari satu negara ke satu negara. Beberapa orang tokoh agama telah
diarak dalam keadaan bogel di sekitar bandar, kehormatan wanita dicabuli, dan
mereka kemudiannya dijatuhkan hukuman mati. Segala macam bentuk ibadat dan
perjumpaan keagamaan dianggap sebagai jenayah di negara tersebut. Pada tahun
1917, pentadbiran Perancis di Chad telah melakukan satu penbunuhan beramai-ramai
yang amat besar. Dengan mengumumkan bahawa satu konferens akan diadakan untuk
membina kembali kehidupan keagamaan di Chad, Perancis telah menjemput para
ulama yang masih berada di Chad. Hal ini merupakan satu kejadian yang sungguh
tidak diduga. Walau bagaimanapun, para Pesuruhjaya Perancis telah dibawa masuk
dan beratus-ratus orang pembunuh yang dilengkapi dengan pisau dan kerambit
telah disediakan. Kawasan persekitaran telah pun dibersihkan daripada penduduk
awamnya, dan unit-unit militari telah bersedia dan berada dalam kedudukan
masing-masing. Ketika setiap orang mula menyedari terdapat plot yang dirancang
oleh Perancis, ia sudah pun terlambat. Pada akhirnya, di sana sini terdapat
jasad-jasad kaku. Berek-berek dibasahi dengan darah manusia. Setelah selesai
kesemuanya, mereka yang melakukan pembunuhan itu melambai-lambaikan pisau
mereka dan menjerit kegirangan.
Konflik di antara penduduk tempatan dan
askar-askar Perancis berlaku selama bertahun-tahun. Pada 1960, Chad akhirnya
berjaya mendapatkan kemerdekaan. Namun, seperti kebanyakan negara-negara Afrika
yang lain, kemerdekaan tidak semestinya membawa kedamaian dan keselamatan
kepada rakyat. Ini kerana orang-orang Kristian dari Parti Progresif, yang
memiliki rangkaian erat dengan bekas kolonialis Perancis, telah menjadi tunjang
pemerintahan negara yang memiliki umat Islam sebagi majoriti.
Mereka menurut jejak langkah Perancis dalam
melakukan kezaliman dan penindasan. Berlaku tentangan hebat dari umat Islam
terhadap François Tombalbaye yang memegang jawatan Presiden dan Pedana Menteri.
Dan apabila para intelektual Chad yang menyuarakan protes dibunuh, berlakulah
kebangkitan di seluruh negara. Berikutan itu, tercetuslah serangan balas hebat
yang ditujukan kepada umat Islam Chad. Seorang penulis Iraq, Imaduddin Khalil
telah menggambarkan kejadian tersebut di dalam bukunya Afrika Dramy
(Drama di Afrika):
Pada 22 Mac 1963, kabinet Chad telah
disusun semula, dengan menyaksikan kesemua umat Islam disingkirkan dari
kedudukan mereka, dan umat bukan Islam telah dibawa masuk bagi menggantikan
mereka. Menteri Luar sebelumnya disingkirkan, dan pada hari yang sama, presiden
telah memberikan arahan menangkap ketua keadilan, menteri keadilan, pemimpin
Persatuan Tanah air dan banyak lagi tokoh-tokoh terkenal. Mereka telah dibawa
ke mahkamah 35 hari kemudian. Mahkamah memutuskan bahawa ketua keadilan mesti
disingkirkan daripada jawatannya dan diusir keluar dengan alasan dia bukannya
rakyat negara tersebut. Hartanya turut dirampas. Para tahanan yang lain ditahan
di dalam penjara. Presiden kemudiannya menggunakan kekerasan dan tekanan dalam
menentang pergerakan-pergerakan Islam. Ini membawa kepada tercetusnya
pemberontakan yang menyaksikan seramai kira-kira seribu orang terbunuh dan
ribuan yang lain cedera. Mahkamah yang kononnya didakwa sebagai mahkamah khas
telah ditubuhkan, dan para pemimpin pergerakan Islam dan bekas-bekas menteri
telah dibicarakan di dalamnya. Hukuman yang bermula dari penjara 15 tahun
sehinggalah kepada seumur hidup telah diputuskan. Keadaan kekacauan dan tidak
bertoleransi di Chad terus berlaku sehingga kini.42
Peranan Anti-Islam Israel Dalam Perang Saudara Chad
Ketidakstabilan politik di negara tersebut
semakin bertambah apabila François Tombalbaye, ketua negara, menjadi mangsa
dalam rampasan kuasa ketenteraan pada 1975, dan perang saudara yang bermula
pada 1980 memasuki dimensi baru yang lebih serius. Terdapat dua bahagian dalam
konflik yang berlaku: umat Islam di bahagian utara Chad, dan orang-orang
Kristian dan puak-puak lain dengan agama mereka masing-masing di kawasan Bantu
yang terletak di bahagian selatan. Namun demikian, seperti mana dalam
negara-negara Dunia Ketiga, ini sebenarnya bukanlah peperangan “saudara” sama
sekali. Kuasa-kuasa asing dengan aktif memberikan sokongan kepada para pejuang.
Israel yang sudah semestinya menentang Islam, mendahului senarai kuasa-kuasa
asing tersebut dengan mempertahankan Bantu di kawasan selatan.
Pemimpin umat Islam di bahagian utara ialah
Goukouni Ouedde. Perkara menarik ialah pemimpin perikatan Kristian-Animise
adalah seorang yang kononnya Islam, atau pun seorang lelaki yang mempunyai
asal-usul Islam: Hissène Habré.
Israel bersama-sama dengan CIA, menyokong
Habré dan memberikan kepada mereka senjata-senjata yang dibuat di Soviet. Pada
tahun 1983, muncul beberapa sumber mengatakan bahawa Israel memiliki penasihat
ketenteraan di Chad, dan mereka telah pergi ke sana pada bulan Ogos tahun
tersebut bersama-sama dengan 2,500 orang kelompok tentera Zairois untuk
memberikan sokongan kepada Habré. Ariel Sharon, “Butcher of Lebanon” dan
salah seorang perancang utama penindasan di Palestin, juga telah memainkan
peranan penting dalam peperangan di Chad. Beliau telah mengadakan lawatan ke
Chad pada bulan Januari 1983 sebelum meninggalkan jawatannya sebagai Menteri
Pertahanan. Berdasarkan kepada Hallahmi, lawatan Sharon ini adalah satu petanda
bahawa Israel sudah bersedia untuk memainkan peranan penting di Chad.
Seperti yang telah kita lihat, Israel
sekali lagi berusaha untuk menghalang kemunculan sebuah negara Islam, dan melakukan
sedaya-upaya dari segi ketenteraan dan sokongan politik bagi menghalang umat
Islam menjadi lebih kuat.
Masih tiada keamanan dan keselamatan di
Chad selepas perang saudara. Campur tangan asing oleh Perancis dan juga Israel
telah meningkatkan lagi kezaliman yang berlaku setiap hari, dan Chad terbentuk
melalui rampasan kuasa ketenteraan. Kerajaan memerintah telah mengakibatkan
ribuan nyawa terkorban dan berpuluh-puluh ribu orang menjadi pelarian dalam
pembunuhan yang dilakukan bagi menghapuskan golongan-golongan penentang.
Situasi di Chad pada hari ini adalah salah
satu contoh paling jelas tentang apa yang musuh-musuh Islam boleh lakukan ke
atas negara tersebut. Segala kekayaannya telah dimusnahkan, kestabilan hanyalah
satu impian, masyarakat yang pernah hidup dalam keadaan aman damai selama
bertahun-tahun kini berpecah-belah akibat permusuhan, dan Chad kini menjadi
papa kedana.
Namun demikian, apa yang harus kita ingat
ialah tiada sebab untuk kita berputus asa. Terdapat penyelesaian mudah bagi
situasi negatif yang sedang berlaku. Ia merangkumi pengamalan ajaran moral
Islam yang sebenar-benarnya. Apabila ini berlaku, segala masalah tersebut yang
terbukti tidak dapat diselesaikan selama berkurun-kurun akan dapat diselesaikan
satu demi satu. Kemudian, keamanan dan keselamatan akan menggantikan peperangan
dan konflik. Dalam persekitaran yang dikuasai oleh ajaran moral Islam,
ketidakadilan dan berat sebelah tidak dapat wujud di mana-mana.
Segala kekejaman yang berlaku di Chad
sekali lagi mendedahkan bahawa dunia Islam sedang ditindas. Peperangan ideologi
adalah sesuatu yang segera dan penting bagi menjernihkan semula keadaan. Umat
Islam di Afrika ditindas semata-mata kerana mereka beragama Islam, dan ia
adalah sesuatu yang membimbangkan setiap umat Islam di serata dunia.
Kita harus sedar bahawa para pemimpin korup
yang telah menindas umat Islam selama bertahun-tahun, berserta dengan para
penyokongnya, sebenarnya tidak memperolehi apa-apa. Walaupun mereka mati dengan
memiliki kekuasaan dunia yang paling hebat, mereka pasti jua akan menerima azab
yang sangat pedih di hari akhirat nanti. Keadilan Allah akan berlaku ke atas
mereka, dan setiap individu akan dipanggil untuk diperhitungkan segala amal
mereka. Inilah janji Allah kepada orang-orang yang beriman, dan pada masa yang
sama ia adalah sebuah janji yang sangat menggembirakan. Allah telah berfirman
di dalam Al-Quran:
Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan
cubaan (menyeksa, mendatangkan bencana, membunuh dan sebagainya) kepada
orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka
bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.
(Al-Buruuj, 85:10)
Dan kalau setiap diri yang zalim itu
memiliki segala apa yang ada di bumi ini, pasti dia akan menebus dirinya dengan
itu, dan mereka menyembunyikan penyesalannya ketika mereka telah menyaksikan
azab itu. Dia telah diberi keputusan di antara mereka dengan adil, sedang
mereka tidak dianiaya. (Yunus, 10:54)
SOMALIA
Negara Miskin di Tengah-Tengah Perang
Saudara
Apabila nama Somalia disebut, kebanyakan
manusia memikirkan tentang musibah-musibah dahsyat yang dipetik dari
laporan-laporan akhbar dan juga televisyen: kebuluran yang dideritai oleh
jutaan rakyatnya, penyakit epidemik seperti kolera, kemarau, konflik saudara,
peperangan suku kaum, ketidakstabilan politik – kesemuanya ini adalah
penyakit-penyakit yang menjadi sebahagian daripada kehidupan orang-orang
Somalia. Bantuan dari badan-badan kemanusiaan masih tidak dapat menyelesaikan
situasi getir yang sedang menimpa penduduk di situ, dan ia hanya dapat
melegakan masalah dalam jangka masa pendek. Campur tangan politik yang
beralasan untuk membina semula kedamaian dan keselamatan, sebenarnya hanya
meningkatkan lagi kekacauan dan konflik yang sedia ada.
Faktor asas yang membawa kepada kekacauan
di Somalia bermula sejak detik pertama era kolonialisme. Somalia mula bertemu
dengan dunia Islam apabila umat Islam bermigrasi ke Abyssinia bertujuan untuk
lari dari para penyembah berhala di Mekah. Ia telah dijajah oleh British pada abad
ke-19. Selepas tempoh tersebut, Somalia menjadi sebuah medan peperangan yang
tidak pernah tamat, kebuluran dan juga penyakit. Pada tahun 1884, pihak British
menakluk utara Somalia, dan Itali pula menakluk bahagian selatan pada 1887, dan
seperti mana yang telah berlaku di kebanyakan negara Islam lain, ia membawa
kepada zaman yang penuh dengan
kezaliman dan penindasan.
Setelah melalui zaman kolonialisme yang
panjang, Somalia akhirnya merdeka pada tahun 1960, dan Aden Abdullah dilantik
menjadi presiden. Walau bagaimanapun, penubuhan sebuah sistem pentadbiran yang
adil dan stabil tidak dibenarkan. Jeneral Mohammed Siad Barre mengambil alih
negara tersebut dalam satu siri rampasan kuasa ketenteraan pada tahun 1969, dan
semua parti politik dihapuskan. Barre melihat Islam sebagai halangan utama
kepada sistem sosialis yang mahu dilaksanakannya. Oleh yang demikian, Barre
telah mengharamkan segala buku-buku, majalah-majalah dan akhbar-akhbar yang
Islamik. Ramai golongan-golongan intelek dan ulama Islam yang menentang polisi
tersebut telah dihukum di bawah arahan Barre.
Barre lari meninggalkan Somalia apabila
pergaduhan tercetus pada 1991, dan terjadilah
perang saudara yang besar. Kira-kira sejuta orang yang kebanyakannya umat Islam
Somalia terpaksa berpindah ke beberapa buah negara-negara Afrika yang lain.
Di bawah resolusi Perhimpunan Umum PBB
1992, 30,000 orang dari pasukan askar PBB di bawah arahan Amerika Syarikat
telah diletakkan di situ. PBB memasuki negara tersebut disebabkan protes yang
meningkat dari masyarakat tempatan, dan telah meninggalkan negara tersebut pada
1994. Mereka menyebabkan lebih 7,000 orang mati, dan juga menjadikan kekacauan
yang lebih teruk di Somalia.
Pada hari ini, peperangan saudara yang
berlaku di antara pelbagai suku kaum diteruskan dengan pelbagai cara, dan
bilangan mereka yang mati setiap hari semakin bertambah. Masalah kritikal yang
sedang dihadapi negara ini ialah kira-kira 8 juta penduduk berada dalam
kelaparan dan kemiskinan. Berdasarkan laporan Pertubuhan Pertanian dan Makanan
PBB (FAO) tahun 2000, 75 peratus rakyat Somalia mengalami kekurangan zat, dan
banjir berterusan mempengaruhi negara tersebut dengan membawanya ke arah
kebuluran yang sangat dahsyat.
Harus diingat bahawa berbeza dengan
pandangan umum masyarakat dunia, masalah kelaparan sebenarnya boleh diatasi.
Pembahagian secara adil sumber-sumber kekayaan bumi, sumber-sumber teknologi
negara-negara kaya yang digunakan di serata dunia, dan menghalang penggunaan
lebihan hasil keluaran dan sebaliknya menggunakannya untuk tujuan membantu,
adalah beberapa langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menolong mereka di
Somalia. Walau bagaimanapun, apa yang terselindung di sebalik kegagalan dalam
usaha menyelesaikan masalah seperti kebuluran dan wabak penyakit pada hari ini
ialah kebejatan masalah moral seperti pentingkan diri sendiri, tamak dan tidak
peduli.
Budaya tidak beragama yang sedang
mendominasi dunia hari ini memandu manusia ke arah sikap pentingkan diri
sendiri. Akibatnya mereka enggan berkorban dan berusaha untuk menolong insan
yang memerlukan. Budaya ini secara umumnya mencipta dua buah masyarakat yang
berbeza: terlampau kaya dan terlampau miskin. Al-Quran telah menerangkan kisah
mereka yang enggan memberikan makan kepada orang-orang yang lapar dan
memerlukan seperti berikut:
Tahukah kamu orang yang mendustakan agama?
Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan
kepada orang miskin. (Al-Maa’uun, 107:1-3)
Atas sebab itulah, usaha menyelamatkan
dunia ini tidak terletak pada bahu orang-orang yang mendustakan agama, tetapi
terletak pada bahu kerajaan yang sangat patuh kepada agama dan memerintah
dengan adil. Jika Islam boleh menjadi lebih kuat dan seterusnya menguasai dunia
ini, ia akan menjadi penyelamat bukan sahaja kepada umat Islam yang ditindas,
tetapi juga kepada seluruh manusia yang ditindas di serata dunia.
DJIBOUTI
Penindasan di Sebuah Negara Terkecil di
Afrika
Djibouti adalah sebuah negara kecil yang
berdekatan dengan beberapa buah negara yang kurang dikenali ramai iaitu
Somalia, Ethiopia dan Eritrea. Peperangan dan pembunuhan beramai-ramai sudah
berlaku di sana selama beratus-ratus tahun, dan masyarakat Islam sudah berada
di dalam kancah konflik sejak zaman kolonialis sehinggalah ke hari ini.
Islam datang ke Djibouti pada kurun ke-7
dan ke-8. Sehingga permulaan abad ke-16, umat Islam menjadi kuasa tunggal di
kawasan tersebut, yang kemudiannya berada di bawah pengaruh Portugal, sebuah
kuasa perdagangan dan politik utama pada waktu itu. Apabila Mesir berada di
bawah kekuasaan Turki Uthmaniyyah, Horn of Africa yang mana di situlah
terletaknya Djibouti, turut menjadi sebahagian daripada empayar Turki
Uthmaniyyah.
Sejarah berdarah Djibouti sebenarnya
bermula apabila Terusan Suez dibuka kepada laluan maritim antarabangsa dan
negara-negara Eropah mula bersaing untuk mengjajah negara-negara di benua Asia
dan Afrika. Mereka mahu mendominasi negara-negara tersebut dari aspek ekonomi,
politik, ketenteraan dan keagamaan. Sebagai salah sebuah negara yang berkuasa
pada abad ke-19, Britain dan Perancis telah bersaing hebat dalam kerja-kerja
penjajahan dan perluasan kuasa. Britain memasuki Aden pada 1839 dan Somalia
pada tahun 1869, dan dengan itu berupaya mengawal aktiviti perdagangan di Laut
Merah. Djibouti menjadi sebuah negara penting disebabkan oleh kedudukannya yang
strategik. Ia berkait rapat dengan Terusan Suez. Bagi menyeimbangi kejayaan
Britain, pihak Perancis telah membina dermaga di pantai Djibouti. Pada tahun
1884, Perancis berjaya mendominasi keseluruhan kawasan melalui perjanjian dan
ikatan yang dimetrai.
Tahun-tahun yang berikutnya menjadi titik
hitam kepada rakyat Djibouti. Masyarakat Islam Djibouti mempunyai pandangan
yang berbeza-beza tentang nasib masa depan negara mereka. Keturunan Isha Somali
berpendapat bahawa mereka patut bersatu dengan Republik Somalia. Komuniti etnik
kedua terbesar di sana pula, iaitu Afar,
berpendapat bahawa Djibouti mesti menyokong kebergantungan mereka dengan
pihak Perancis. Kedua-dua pandangan yang berbeza ini, ditambah pula dengan
sokongan Perancis, membuatkan persengketaan menjadi lebih ganas. Walaupun
jumlah umat Islam yang menyokong penyatuan dengan Somalia adalah jauh lebih
ramai, namun referendum pada 16 Mac 1967 telah memutuskan bahawa Djibouti mesti
terus bergantung kepada Perancis. Namun, terjadi konflik berterusan selepas
referendum tersebut. Ini disebabkan oleh tekanan dari Perancis dan penipuan
sewaktu pengundian. Pasukan askar Perancis kemudiannya menakluk negara
tersebut, dengan menggunakan alasan untuk campur tangan dalam insiden berdarah
di antara dua kumpulan etnik di dalam negara tersebut; majoriti penduduk
tempatan telah dibunuh dan ratusan ribu yang lain telah diusir keluar. Kaum
Isha telah dilemahkan sewaktu operasi tersebut dan kaum Afar telah
mengambil-alih pemerintahan negara.
Djibouti mendapat kemerdekaannya pada tahun
1977, dengan 97 peratus daripada keseluruhan populasinya memilih untuk
mendapatkan kemerdekaan. Semenjak itu Djibouti menjadi sebuah negara yang
terkenal dengan rampasan kuasa ketenteraan. Di antara tahun 1977 dan 1991, 2,000
orang umat Islam telah dilayan tanpa sifat kemanusiaan. Laporan Amnesti
Antarabangsa menerangkan tentang bentuk-bentuk penderaan dan penghinaan yang
dikenakan ke atas rakyat Djibouti. Kira-kira 7,000 orang telah ditahan tanpa
sebab dan didera oleh negara terbabit.43
Kira-kira 3,500 orang askar Perancis masih
diletakkan di Djibouti, yang mana terus berada di bawah dominasi politik dan
ketenteraan Perancis.44 Djibouti tidak memiliki sebarang pasukan
askar kebangsaannya sendiri dan ia sekadar bergantung kepada kehadiran pasukan
askar Perancis. Perancis bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri
selama bertahun-tahun semenjak Djibouti mendapat kemerdekaan. Di samping itu,
terdapat ramai penasihat-penasihat dan pegawai-pegawai Perancis dalam
pentadbiran negara tersebut. Kerajaan berada di ambang kemuflisan. Ia masih
berdiri kerana sokongan yang diberikan oleh negara-negara Eropah.
Sebagai tambahan kepada pemerintahan
kolonialis yang panjang ini, Djibouti kini sedang berhadapan dengan masalah
kemiskinan yang sangat teruk. Kemarau telah menyebabkan kematian sejumlah besar
haiwan ternakan. Rakyat kini sedang menderita disebabkan oleh kekurangan zat
makanan.
SUDAN
Sebuah Negara Yang Cuba Lari Dari Pergaduhan dan
Perang Saudara
Sudan, sebuah negara yang betul-betul
terletak di bahagian selatan Mesir, turut menyebabkan kuasa-kuasa anti-Islam
berasa tidak senang dan tidak selesa disebabkan oleh identiti keislamannya.
Salah satu masalah paling utama yang melanda Mesir ialah konflik berpanjangan
di antara penduduk di bahagian utara dan selatan. Konflik ini adalah
pertembungan di antara agama dan etnik yang berbeza. Umat Islam tinggal di
bahagian utara, manakala Kristian Afrika membentuk masyarakat di bahagian
selatan. Pemecahan etnik dan agama ini adalah satu legasi ataupun warisan
British yang telah membentuk satu sempadan di negara tersebut. Legasi ini
menuntut korban nyawa. Semenjak tahun 1960-an, penduduk di bahagian selatan
(yang beragama Kristian) membentuk sebuah pemberontakan terancang bagi
menentang pemerintahan Khartoum oleh umat Islam Arab di bahagian utara.
Pemberontakan ini diuruskan oleh Pertubuhan Kristian yang menggelarkan diri
mereka sebagai “Anya-Nya.”
Pada tahun 1989, pemberontakan di bahagian
selatan menjadi lebih agresif berikutan penubuhan rejim Islam di negara
tersebut. Ini kerana terdapat “sesetengah pihak” yang sering mengapi-apikan
pemberontakan menentang pentadbiran Khartoum.
Seperti yang boleh dibayangkan, Israel
menjadi ketua yang menyokong kebangkitan Anya-Nya. Di dalam buku The Israeli
Connection (Perhubungan Israel) tulisan Benjamin Beit-Hallahmi, beliau
mendedahkan bahawa Israel telah menyokong pemberontakan di bahagian selatan
semenjak 1960-an lagi. Semenjak itu, Israel telah memberikan kepada
pergerakan Anya-Nya pelbagai senjata api dan latihan ketenteraan. Mossad, iaitu
sebuah agensi pakar milik Israel, telah membina hubungan dengan pemberontak di
bahagian selatan melalui stesen-stesennya yang terletak di Uganda, Chad,
Ethiopia dan Congo, dan kira-kira 30 gerila Anya-Nya telah diberi latihan khas
di ibu pejabat Mossad yang terletak di bandar Torit. Pada tahun 1970, Israel
membuat perjanjian dengan Uganda, yang terletak di selatan Sudan, dan dengan
itu meningkatkan kebolehannya untuk mengeksploitasi sempadan Uganda-Sudan dan
juga untuk memberikan sokongan kepada Anya-Nya.
Berdasarkan maklumat
Rolf-Steiner, seorang askar upahan, yang bertarung dengan Anya-Nya, Israel
menjadi pelindung utama pihak pemberontak di bahagian selatan.45
Sudan melalui era pergolakan politik
sehingga tahun 1989, apabila Pertubuhan Persaudaraan Islam yang dipimpin oleh
Hasan al-Turabi mengambil-alih sistem pemerintahan negara. Semenjak itu,
wujudlah sebuah kerajaan Islam yang dipimpin oleh al-Turabi. Berikutan dengan
pengenalan undang-undang Islam oleh Parlimen Sudan, Anya-Nya memulakan
kebangkitan barunya. Kali ini mereka bergerak di bawah nama Tentera Pembebasan
Rakyat Sudan (SPLA). Sebelum duduk semeja untuk berunding dengan pihak
pemerintah, pemimpin SPLA iaitu John Garang mahukan pembatalan undang-undang Islam
sebagai satu pra-syarat. Apabila parlimen enggan menerima pra-syarat tersebut,
kezaliman mula meningkat. Kebangkitan ini yang menentang rejim Islam telah
mendapat sokongan daripada pelbagai negara.
Israel sekali lagi menjadi penyokong utama.
Dr Ahmed Abdul Halim, Duta Sudan ke Mesir memberitahu kepada Al-Ahram Weekly
yang diterbitkan di Mesir bahawa, “(SPLA) mendapat sokongan ketenteraan
terutama sekali dari Israel dan pembantu-pembantu militari Eritrea.”46
Fakta-fakta yang muncul hari demi hari mendedahkan bahawa Israel menjadi
dalang utama kepada pemberontakan bersenjata Kristian.
Helah Kebuluran dan Penipuan “Negara
Pengganas”
Ketika ini sedang berlaku peperangan bagi
menentang rejim Islam di Sudan. Perang ini mempunyai dua dimensi yang
berasingan. Satu adalah helah kebuluran dan satu lagi adalah konsep “negara
pengganas.”
Jika dilihat menerusi sumber-sumber
alamnya, Sudan boleh dikatakan sebuah negara yang kaya. Terdapat uranium, emas
dan juga simpanan minyak, malah tanahnya juga subur. Namun disebabkan oleh
perang saudara yang berlaku sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Sudan kini
dilihat sebagai sebuah negara yang sangat miskin.
Walaupun dihantui dengan pelbagai jenis
musibah, Sudan telah mengambil langkah serius bagi membangunkan semula negara
tersebut dengan berkuasanya pihak rejim Islam pada tahun 1989. Pentadbiran
tersebut, yang dipimpin oleh mahasiswa Sorbonne iaitu Hasan al-Turabi yang
berslogankan “Agama adalah enjin sebenar kemajuan,” telah menjadikan
beribu-ribu hektar tanah sesuai digunakan untuk tujuan pertanian. Dua buah
projek empangan terbesar di Sungai Nil telah dimulakan bagi menggunakan sumber
air Sudan yang melimpah-ruah. Ia digunakan untuk mengairi tanah seluas
kira-kira 1.5 juta ekar di sepanjang sungai tersebut dan juga bagi menjadikan
Sudan sebagai negara penghasil tenaga elektrik terbesar. Namun demikian, Sudan
gagal untuk memasarkan produk keluarannya kerana ia telah dilabel sebagai
sebuah “negara pengganas,” di samping sekatan ekonomi yang dikenakan ke
atasnya.
Dengan cara ini, proses kemajuan di Sudan
sedang dihalang. Di sebalik semua ini, para wartawan Barat sering melaporkan
berita-berita tentang kes-kes kelaparan di Sudan. Satu-satunya kawasan di
negara tersebut yang dilanda kelaparan sebenarnya adalah di bahagian selatan,
yang memberontak menentang pemerintahan pusat.
Matlamat utama di sebalik laporan-laporan
sedemikian ialah: Pertama sekali untuk menggambarkan bahawa kerajaan sebagai
bertanggungjawab dengan menyebarkan propaganda tentang “kebuluran di Sudan,”
dan kemudian cuba untuk meraih pengaruh di negara tersebut dengan mengatakan
bahawa bantuan kemanusian sedang dihulurkan kepada mereka yang kelaparan di
negara tersebut. Sudah tentu bahawa penghantaran bantuan kemanusiaan kepada
rakyat Sudan adalah satu tugas kemanusiaan yang sangat penting, dan mereka
harus disokong. Namun, apa yang sering berlaku ialah bantuan-bantuan tersebut
tidak sampai ke destinasi yang ditetapkan atau pun intensif-intensif sedemikian
tidak dilakukan dengan niat untuk menolong. Hakikatnya bantuan yang diberikan
tidak mempunyai kualiti yang bagus dan tidak sesuai. Hal ini menjadi petanda
penting terhadap niat sebenar penghantaran bantuan terbabit. Mereka yang pernah
melihat bantuan tersebut di tempatnya pasti mengatakan bahawa makanan yang
diberikan tidak berkualiti dan hanya sesuai diberikan kepada haiwan. Seorang
pemerhati telah melaporkan seperti berikut:
Saya melihat dengan mata saya sendiri
bantuan makanan gandum yang dihantar ke Sudan. Kerajaan Sudan bercadang untuk
menjadikan gandum tersebut makanan kepada haiwan ternakan kerana ia sudah
melebihi tarikh luputnya dan mempunyai kualiti yang sangat teruk. Saya berasa
hairan apa...akan...terjadi kepada gandum ini jika ia tidak dihantar ke Sudan?
Saya percaya mereka (Pent: iaitu yang menghantar gandum ke Sudan) akan
memusnahkannya atau pun menjadikannya sebagai makanan kepada haiwan mereka
sendiri. Inilah kebenaran di sebalik bantuan yang diberikan
oleh...negara-negara Barat yang lain, bantuan yang dipergunakan sebagai
propaganda. Kerajaan baru Sudan kini tidak lagi mengetuk pintu negara-negara
penindas dan meminta bantuan makanan dari mereka.47
Di sebaliknya, propaganda yang mengatakan
Sudan sebagai sebuah “negara pengganas” dan menyokong keganasan masih terus
berlaku. Ini pastinya satu tuduhan serius yang perlu disiasat. Adalah sesuatu
yang semula jadi bahawa hal-hal seperti keganasan mesti diberikan perhatian
mendalam kerana ia melibatkan keselamatan rakyat. Namun, tiada usaha yang
dijalankan bagi menghalang terorisme yang boleh menyebabkan mereka yang tiada
sangkut-paut dengannya berada di ambang bahaya. Usaha-usaha yang diambil hanya
boleh berjaya jika kedamaian dan keadilan berjaya diwujudkan. Jadi kita tidak
seharusnya bersikap acuh tak acuh dalam hal ini.
Seperti yang telah ditekankan berulang-kali
dalam buku ini, punca utama terhadap apa yang sedang berlaku di Sudan kini
adalah disebabkan oleh identiti Islamnya yang kuat. Namun demikian, sebenarnya
kerajaan Omar Hassan al-Bashir yang memegang kuasa selepas al-Turabi, sedang
melakukan konsesi atau pun penyerahan ke atas garis-garis panduan Islam negara
tersebut dan mengambil beberapa langkah bagi memenuhi hasrat Barat. Hakikatnya
al-Bashir, yang dituduh membawa semangat nasionalisme Arab ke Sudan, yang
berhasrat mahu menangkap tokoh-tokoh seperti al-Turabi yang mendapat sokongan
dari banyak negara Islam, telah memberikan petanda kepada kita semua bahawa
sebuah perkembangan yang tidak diundang sedang berlaku di negara tersebut.
UZBEKISTAN
Bekas Komunis Terus Menindas Umat Islam
Caucasus baru-baru ini telah menjadi
tumpuan utama dalam perkembangan dunia Islam. Republik Islam Turki yang mula
berjuang untuk kemerdekaan selepas tumbangnya Kesatuan Soviet, mendapati bahawa
mereka sedang menentang dasar perluasan kuasa oleh Rusia. Rusia masih diperintah
oleh mereka yang berfahaman komunis yang masih memiliki mentaliti yang sama,
dan negara tersebut terus menganggap negara-negara di Asia Tengah sebagai
miliknya. Oleh itu, untuk menjadikan negara-negara di Asia Tengah tunduk
kepadanya, Rusia telah memilih untuk membentuk perikatan dengan
pentadbiran-pentadbiran anti-Islam di kawasan tersebut.
Hari ini, umat Islam di Caucasus dan Asia
Tengah hidup dalam ancaman perluasan kuasa Rusia dan pentadbiran mereka sendiri
yang dengan aktif bersubahat dengan Moscow. Ketika peperangan di Chechnya
sedang berterusan, Persekutuan Rusia dengan aktif terlibat dalam penindasan dan
pencerobohan ke atas umat Islam di beberapa republik yang memiliki umat Islam
sebagai penduduk majoriti. Rusia kadang-kala melakukannya secara
terang-terangan, dan sekali-sekala melalui pentadbiran tempatan yang pro-Rusia.
Uzbekistan telah mengikuti jejak langkah negara-negara yang telah pun mengalami
kesengsaraan seperti Azerbaijan, Dagestan, Chechnya dan juga Tadjikstan.
Tekanan Anti-Islam di Uzbekistan
Uzbekistan sedang bergelut dengan masalah
domestiknya selama bertahun-tahun. Ekonomi negara itu betul-betul meleset dan
penduduk awam sedang menderita teruk. Pemerintahan Kerimov yang enggan
membenarkan wujudnya walau satu puak penentang yang bersifat sangat
bersederhana, terus menambahkan masalah yang sedia ada, dan tidak pula mahu
menyelesaikannya.48
Sekiranya Kerimov membenarkan polisi
sederhana dengan memberi laluan kepada berbagai-bagai pendapat disuarakan,
tanpa ragu lagi ia akan menuju ke jalan kebaikan, bukan sahaja kepada rakyat
Uzbekistan, tetapi juga kepada pemerintahannya sendiri. Namun, beliau lebih
suka mengambil tindakan terburu-buru. Negara tersebut telah memenjarakan lebih
dari 50,000 orang baru-baru ini kesan dari polisi menindas yang dijalankan.
Selepas bom-bom meletup di pusat-pusat bandar, pentadbiran Uzbekistan telah
menahan beribu-ribu orang di seluruh dunia, mengenal pasti mereka yang memiliki
kecenderungan beragama sebagai teroris, dan menubuhkan sebuah sistem pemerintahan
yang secara total menafikan hak-hak kemanusiaan dan juga kebebasan. Namun,
polisi menindas itu sebenarnya lebih mengajak kepada persengketaan berbanding
pencegahannya, dan berakhir dengan menjadikan puak penentang lebih kuat lagi.
Untuk menjadikan Uzbekistan aman dan stabil, adalah penting untuk mengadakan
dialog di antara pemerintahan Kerimov dan puak penentang. Dialog juga dapat
menjadikan puak penentang mengambil sikap lebih sederhana di masa hadapan.
Sikap Tidak Senang Rusia Terhadap
Kebangkitan Islam di Asia Tengah
Kebangkitan agama yang bermula di Turki
telah mengejutkan Kremlin. Kerajaan Mikhail Gorbachev terutamanya, sangat
bimbang dengan angin perubahan itu. Perkara ini sering-kali mendapat tempat di
dada-dada akhbar waktu itu, dan Kremlin mula merancang tindakan-tindakan yang
patut dilakukan. Menurut akhbar harian Uzbekistan, Pravda Vostoka,
Gorbachev telah berucap kepada para pegawai parti tempatan yang dipanggilnya
untuk “perjuangan penuh tegas dan tanpa kompromi menentang fenomena beragama.” Kemudian
beliau berkata, “Kita mesti tegas terhadap semua pegawai-pegawai kanan dan
komunis, terutama sekali terhadap mereka yang mendakwa mempertahankan idea dan
moral kita, tetapi sebenarnya mereka memiliki pandangan yang berbeza dan
menghadiri pula upacara-upacara keagamaan.”49
Berkenaan dengan ketegasan Gorbachev dalam
menentang agama, majalah Times melaporkan:
Sesungguhnya amatlah jarang bagi Sekretari
Awam Soviet untuk menentang agama dengan cara yang sangat jelas; tugas yang
biasanya dilakukan oleh orang-orang bawahan. Di sebalik semua itu, Kremlin
sedang bimbang kalau-kalau tindakan menentang agama itu tidak mencapai sasaran
sebenar. Akhir sekali, hakikat bahawa Gorbachev memilih Tashkent sebagai tempat
untuk melakukan serangan agama menandakan bahawa kepimpinan Soviet sangat takut
dengan perkembangan terkini...menyapu bersih dunia Islam, yang mana mungkin
pada akhirnya menyebabkan kebangkitan semangat Islam di Asia Tengah Soviet.
[Semenjak 1918], rejim tersebut telah
meletakkan syarat-syarat ketat ke atas gereja, synagogues dan masjid,
dan seterusnya melancarkan kempen penindasan menentang mereka yang beriman.
Latihan ke atas pemimpin-pemimpin agama sangat dilarang, dan pendidikan
keagamaan ke atas mereka yang berusia bawah 18 tahun telah diharamkan. Pada
masa yang sama, semua kanak-kanak sekolah didoktrinkan dengan fahaman ateisme.
Islam mendapat masalah besar, dan perhatian
khusus. Umat Islam Soviet ditempatkan di kawasan sempadan strategik U.S.S.R dan
mereka meneruskan perhubungan dengan umat Islam di negara-negara jiran....
Tiada sebarang statistik yang boleh dipercayai tentang berapa ramai umat Islam
Soviet yang mengamalkan agama mereka. Namun, berdasarkan kepada laporan politik
tahun lepas yang diterima oleh Kongres Parti Komunis Kazakhstan ke-16
melaporkan bahawa Islam “masih kuat dan terus berkemabang”... Perjumpaan tidak
rasmi menganggarkan bahawa jumlah mereka yang beriman adalah jauh melepasi
kapasiti masjid-masjid yang didaftarkan secara sah, iaitu dalam 300 ke 500 buah
(Terdapat kira-kira 24,000 masjid sebelum Komunis mengambil alih).50
Apa yang sedihnya, mentaliti ini yang
ditinggalkan sejak zaman Soviet, terus mempengaruhi di satu kawasan birokrasi
Rusia dan beberapa badan di Republik Turki. Ketegangan terjadi di antara
kawasan yang memiliki penduduk yang beriman dan pusat autoriti. Contoh paling
jelas yang dapat membuktikan semua ini ialah 1 dalam 500 penduduk Uzbekistan
berada di dalam penjara disebabkan oleh identiti Islam mereka.
Ketegangan di Uzbekistan meningkat setiap
hari, menunjukkan bahawa kekacauan akan terus berlaku buat masa yang lama jika
polisi yang bersifat sederhana tidak dilaksanakan. Apabila kita melihat
fenomena-fenomena seperti keganasan, kekurangan bekalan air, kekacauan dalaman,
kepayahan ekonomi, bermacam-macam peraturan dan kezaliman terhadap hak-hak
asasi manusia secara keseluruhannya, jelaslah bahawa situasi sedemikian hanya
dapat diubah secara radikal. Antaranya, puak penentang di negara terbabit
mestilah diberikan peluang untuk melontarkan pandangan, menghentikan penahanan
politik dan pemenjaraan, dan mereda ketegangan dengan mewujudkan atmosfera yang
saling bertoleransi.
Sebab Penindasan: Sistem
Pemerintahan yang Lari Dari
Nilai-Nilai Islam
Tidak wujud keselamatan dan keamanan di
tempat-tempat yang hilang nilai-nilai agamanya. Namun demikian, di kebanyakan
negara-negara Islam, kerajaan yang mendakwa memiliki nilai-nilai Islamik lupa
bahawa dengan menolak moral-moral al-Quran, ia membawa negara ke dalam kancah
kekacauan. Inilah sebabnya mengapa sesetengah negara di Asia Tengah, yang
setiap hari semakin jauh dari nilai-nilai Islam, gagal untuk mencapai
kestabilan yang diidam-idamkan. Dalam masyarakat yang mana ideologi kosong
komunis dan materialis bermaharajalela, ia pasti akan menemui kegagalan,
seperti yang telah kita lihat dalam contoh-contoh yang lepas. Ini kerana di
dalam persekitaran yang tiada moral keagamaan, para pemerintah hanya
mementingkan diri mereka sendiri, zalim, suka menindas, bencikan keamanan dan
tidak suka menolong orang. Al-Quran telah menarik perhatian kita tentang bahaya
yang datang dari mereka yang terpesong jauh itu:
Dan apabila dia berpaling (dari kamu), dia
berjalan di muka bumi untuk melakukan kerosakan padanya, dan merosak
tanam-tanaman dan haiwan ternakan, dan Allah bencikan kerosakan. (Ali-Imran,
2:205)
Seperti yang telah kita lihat, sikap mereka
yang disebutkan di dalam ayat di atas akan terus wujud selagi ajaran-ajaran
Allah tidak ditegakkan. Apabila sesebuah negara ditadbir oleh mereka yang
takutkan Allah, maka akan wujudlah kerjasama, keadilan, dan sikap
tolong-menolong. Tiada seorang pun yang akan dibenarkan untuk melakukan
ketidakadilan. Kehendak semua orang akan dipenuhi, perkhidmatan-perkhidmatan
dan juga penyelesaian-penyelasaian baru akan ditemui. Segala kemungkinan akan
membawa kepada keamanan dan kesejahteraan kepada rakyat. Mereka yang hidup
dengan berlandaskan ajaran Islam akan melakukan semua kebaikan tanpa
mengharapakan balasan di dunia, tetapi adalah untuk mendapatkan keredaan Allah
dan ganjaran di Hari Akhirat kelak.
Contoh terbaik ialah para pesuruh Allah
telah diutuskan kepada seluruh manusia sepanjang sejarah dunia. Allah
mewahyukan ayat-ayat-Nya tentang bagaimana mereka mengingatkan manusia supaya
menyembah Allah dan hidup berdasarkan ajaran-Nya:
Wahai kaumku, aku tidak meminta upah darimu
bagi seruan yang aku lakukan. Upahku tidak lain hanya dari Allah yang telah
menciptakanku. Maka apakah kamu tidak berfikir? (Huud, 11:51)
AFGHANISTAN
Perang Saudara yang Tidak Berkesudahan Disebabkan Oleh Kebuasan Komunis
Sembilan puluh sembilan peratus daripada
populasi Afghanistan beragama Islam. Negara ini bertemu dengan agama Islam
ketika zaman khalifah Uthman. Ia kemudian jatuh ke tangan Samanids pada penggal
kedua abad ke-9, seterusnya diperintah oleh Ghaznavids. Wilayah Afghanistan
kemudian dikuasai oleh Moghul India, dan selepas itu sering-kali bertukar
tangan sehinggalah menjelang aba ke-18.
Nadir Shah, yang menaiki takhta Iran pada
tahun 1736, telah memasukkan Afghanistan ke dalam wilayah miliknya dalam masa
beberapa tahun sahaja. Selepas beliau dibunuh dalam satu siri kebangkitan,
empayar yang ditubuhkannya dengan cepat dimusnahkan oleh konflik dalamannya
sendiri. Komander Pengawal, Ahmad Abdali kemudian dipilih oleh pelbagai suku
kaum sebagai Shah, dan akhirnya berupaya menjadikan seluruh negara berada di
bawah kekuasaannya. Beliau memerintah dengan menggunakan nama Ahmad Shah
Durrani. Wilaya-wilayah miliknya bermula dari Kashmir ke Delhi, dan dari Sungai
Amu Darya (Oxus) ke Oman, dan ia menjadi sangat ekstensif yang mana Empayar
Afghanistan adalah kerajaan Islam kedua terbesar di dunia pada penggal kedua
abad ke-18, selepas Empayar Turki Uthmaniyyah.
Usia empayar tersebut tidak lama, ia
kemudiannya terjebak dalam kancah perang saudara. Kuasa British mengambil peluang
sewaktu kebingungan sedang melanda Afghanistan. Selepas itu, negara ini gagal
membentuk sebuah kerajaan yang kekal lama disebabkan oleh campur tangan Britain
dan Rusia, dan menderita akibat konflik-konflik dalaman yang berlaku. Muhammad
Nadir Khan, yang mula berkuasa pada 1929, berjaya menstabilkan keadaan buat
beberapa ketika, namun Rusia terus menjaga tepi kain Afghanistan dan cuba untuk
mendominasi pentadbirannya. Perhubungan kedua-dua negara ini sangat rapat,
sehinggakan Afghanistan menjadi negara pertama yang mengiktiraf rejim komunis
Bolshevik di Rusia.
Pada 1973, Kesatuan Soviet telah melakukan
rampasan kuasa di Afghanistan. Zahir Shah yang pro-Barat telah disingkirkan dan
Daud Khan (Muhammad Daud) telah mengambil alih tampuk pemerintahan. Selepas
itu, para pegawai Marxis mula mempengaruhi sistem pentadbiran Afghanistan dan
mereka menjawat jawatan-jawatan penting. Daud Khan berharap untuk melepaskan
diri dari pengaruh Rusia dan mahu mewujudkan sebuah negara Islam. Perjanjian
yang dibuat olehnya dengan Pakistan telah membuatkan pertubuhan-pertubuhan
komunis domestik melakukan kekerasan. Adalah sesuatu yang jelas bahawa polisi
yang mirip kepada sebuah negara Islam akan mencetuskan provokasi kepada Rusia.
Pada 1978, para jeneral Marxis dalam pasukan tentera dan beberapa penduduk awam
komunis telah melakukan rampasan kuasa oleh Rusia. Kesemua ahli keluarga Daud
Khan dan mereka yang terdekat telah dihapuskan. Perancang rampasan kuasa itu
telah mengumumkan bahawa mereka akan memerintah Afghanistan dengan sebuah rejim
komunis, dan mereka akan memulakan perang habis-habisan menentang agama. Buku
Hitam Komunisme (The Black Book of Communism) telah menceritakan tentang
kebencian komunis terhadap amalan beragama:
Tidak berapa lama selepas itu, kerajaan
memulakan kempen menentang agama. Al-Quran telah dibakar di hadapan umum, para
imam dan pemimpin agama telah ditangkap dan dibunuh. Pada malam 6 Januari 1979,
kesemua 130 orang lelaki dari suku Mojaddedi, kumpulan peneraju Syiah, telah
dibunuh secara beramai-ramai. Kesemua amalan-amalan keagamaan telah diharamkan.51
Kumpulan komunis Afghanistan adalah alat
yang dipergunakan oleh Kesatuan Soviet. Mereka bertindak di bawah arahan
“penasihat” dari Moscow, dan menjalankan pembunuhan beramai-ramai ke atas
bangsa mereka sendiri, seperti yang ditunjukkan oleh angka di bawah. Mereka
telah melakukan kedahsyatan walaupun hanya berkuasa dalam masa yang singkat:
[Cendekiawan Afghanistan] Michael Barry
telah menceritakan satu insiden berikut: “Pada Mac 1979...1,700 orang dewasa
dan kanak-kanak, keseluruhan populasi lelaki di perkampungan [Kerala], telah
dikumpulkan di bandar dan ditembak dengan senjata mesin-gun. Mereka yang mati
dan yang hampir mati dicampakkan ke dalam tiga buah kubur besar dan ditimbus
dengan menggunakan buldozer. Buat beberapa ketika selepas itu, wanita-wanita
masih boleh melihat tanah bergerak sedikit kerana mereka yang cedera cuba untuk
melepaskan diri, namun tidak lama selepas itu tidak wujud lagi sebarang
pergerakan. Semua wanita lari ke Pakistan...” Pada masa yang sama, keganasan
berlaku di Kabul. Penjara Pol-e-Charki, di bahagian timur pinggir bandar,
dijadikan pusat tahanan. Seperti yang diterangkan oleh Sayyed Abdullah, seorang
pengarah penjara, menerangkan kepada mereka yang dipenjara seperti berikut:
“Kamu semua yang berada di sini akan ditukar menjadi satu longgokan sampah.”52
Dalam bukunya Le Résistance Afghane (Penentangan
Afghanistan), Micheal Barry telah menerangkan praktis-praktis lain yang
dikenakan ke atas para tahanan:
Penderaan adalah sesuatu yang lazim; bentuk
yang paling ngeri termasuklah ditanam hidup-hidup di dalam tandas. Beratus
tahanan dibunuh setiap malam, dan mereka yang mati dan hampir mati ditanam
dengan menggunakan buldozer. Kaedah Stalin yang menghukum keseluruhan etnik disebabkan oleh kesalahan sebilangan kecil ahlinya telah
diguna pakai. Ia membawa kepada penahanan 300 orang dari kumpulan etnik Hazaras
pada 15 Ogos 1979. Mereka didakwa menyokong tindakan penentangan. “150 orang
daripada mereka telah ditanam hidup-hidup oleh buldozer, dan yang bakinya telah
disimbah dengan gasolin dan kemudiannya dibakar hidup-hidup.” Pada September
1979, pihak berkuasa penjara mengaku bahawa kira-kira 12,000 orang tahanan
telah dihapuskan. Pengarah Pol-e-Charki memberitahu kepada sesiapa sahaja yang
mahu dengar: “Kami akan meninggalkan 1 juta rakyat Afghanistan sahaja – yang
kami perlukan untuk membangunkan sosialisme.”53
Kesemua yang dilakukan itu adalah
berdasarkan arahan yang diterima dari Moscow. Sebenarnya, segala kekacauan di
Afghanistan sudah dirancang terlebih dahulu oleh Kesatuan Soviet. Rejim Soviet
telah memutuskan untuk menubuhkan komunis di Afghanistan melalui rampasan kuasa
dan kemudian menguasai keseluruhan negara dengan alasan untuk mempertahankan
sebuah rejim yang kononnya didakwa sebagai “demokratik.” Seperti yang telah
dipersetujui oleh ramai sejarawan, adalah satu hakikat bahawa komunis melihat
kebangkitan pantas Islam sebagai satu ancaman yang membuatkan Moscow tidak
teragak-agak mengambil langkah sedemikian rupa.
Akhirnya pada 27 Disember 1979, pasukan Red
Army menjadikan tentangan dari pasukan mujahidin Islam terhadap rejim
komunis di Afghanistan sebagai alasan yang membolehkan mereka menakluki negara
tersebut. Kebuasan yang dilakukan ke atas penduduk Afghanistan bertambah setiap
hari.
Pasukan Red Army terus berada di
negara tersebut selama 10 hari genap. Ia cuba untuk tidak mempedulikan
tentangan berjustifikasi oleh puak mujahidin dengan melakukan kekejaman dan
kebuasan yang sangat kejam dan dahsyat. Seorang pejuang Afghanistan
menggambarkan cara yang dilakukan oleh pihak Red Army:
Pihak Soviet telah menyerang setiap rumah,
merampas dan merogol wanita. Barbarisme adalah lebih teruk berbanding yang
disangka, dan kelihatan seperti telah dirancang. Mereka tahu bahawa dengan
berbuat demikian, mereka memusnahkan asas-asas kemasyarakatan kita.54
Pasukan Tentera Soviet telah menggunakan
cara paling keji dalam usaha menghapuskan umat Islam Afghanistan: periuk api
direka seperti bentuk mainan supaya kanak-kanak Afghanistan mengambilnya dengan
tidak sengaja, kumpulan gerila yang ditahan didera dengan sekejam-kejamnya, dan
penduduk awam dibom dengan sengaja. Mereka lebih gemar melakukan pembunuhan
beramai-ramai terhadap keseluruhan kampung, berbanding membunuh mereka satu
demi satu.
Dalam satu temu bual, Felix Ermacora,
seorang pelapor khas di Afghanistan untuk Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB,
menegaskan bahawa PBB sedang mengawal kebuasan Rusia di Afghanistan. Dengan
merujuk kepada peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Laghman yang dilakukan
oleh Rusia, Ermacora memberitahu bahawa kesemua kampung di bandar tersebut yang
terletak di bahagian Timur Laut Kabul, telah hilang dari peta. Di daerah Karga
sahaja, 1,500 penduduk telah dibunuh, terutamanya kanak-kanak dan wanita. Kesemua
haiwan dibunuh, termasuklah anjing. Kesemua rumah kediaman telah dirompak, dan
teh serta gula di bahagian dapur telah diambil. Tentera Red Army telah
melanggar rumah-rumah dengan menggunakan kereta kebal, yang mana mereka
mengetahui terdapat kanak-kanak dan wanita yang sedang berlindung di dalamnya.
Beberapa bahagian badan dapat dilihat di celah-celah tayar kereta kebal.55
Di akhir penjajahan Soviet selama sedekad
itu, berpuluh-puluh ribu orang telah dibunuh, dan ramai juga yang mendapat
kecacatan. Afghanistan menjadi negara pengimport utama anggota badan palsu
berbanding negara-negara lain di dunia ini. Periuk api askar Red Army
telah merampas berpuluh-puluh ribu anggota badan seperti tangan dan kaki rakyat
Afghanistan.
Selepas Soviet berundur, Afghanistan
menjadi kacau-bilau dan perang saudara bermula.
Taliban yang mula memegang tampuk kuasa
pada tahun 1998 sebenarnya telah meningkatkan lagi ketegangan sosial dan
kemiskinan di negara tersebut dengan mewujudkan sebuah rejim yang sangat tegas
dan ketat. Kami berharap agar rejim baru yang dibentuk selepas tumbangnya
Taliban dapat menghentikan kezaliman dan kemiskinan yang semakin menjadi-jadi
berikutan provokasi Moscow pada tahun 1970-an, diikuti pula dengan penjajahan
Soviet.
IRAQ
Fasisme Timur Tengah, Saddam Hussein
Kepelbagaian ras agama dan kumpulan etnik
telah membentuk populasi Iraq seramai 25 juta orang. 95 peratus beragama Islam,
dan mereka mengalami penindasan, penderaan dan ketakutan selama bertahun-tahun.
Faktor terpenting yang membawa kepada pembunuhan dan kemiskinan umat Islam
adalah Saddam Hussein yang merupakan seorang diktator “fasis.”
Saddam Hussein mula berkuasa pada tahun
1979, dan semenjak itu beliau enggan membenarkan sebarang kumpulan agama
menceburkan diri dalam arena politik dan sosial Iraq. Saddam Hussein menjadi
arkitek peristiwa pembunuhan beramai-ramai 5,000 umat Islam Kurdish dengan
menggunakan senjata kimia di Halabja, mendera rakyatnya sendiri, memulakan
perang Iran-Iraq, dan cuba untuk menawan Kuwait pada tahun 1990. Walaupun
beliau kadang-kala bercakap hal-hal agama untuk memenangi hati umat Islam,
namun ia hanyalah sebuah sandiwara.
Jika kita mengkaji secara ringkas sejarah
Saddam Hussein, kita dapat memahami asas-asas rejim yang dibinanya.
Peristiwa yang membuatkan Saddam berkuasa
di Iraq bermula dengan sebuah rampasan kuasa. Pada bulan Februari 1963,
sekumpulan pegawai askar dan aktivis jalanan yang menggelarkan diri mereka
sebagai Parti Baath (Parti Pemulihan) telah menyingkirkan Jeneral Abdul Karim
Kassem yang berkuasa ketika itu. Di antara militan-militan tersebut, seorang
ahli daripada enam orang yang bertanggungjawab membunuh Kassem, mendapat
perhatian: Saddam Hussein al-Takriti, dengan kata lain beliau ialah Saddam
Hussein dari Takrit. Walaupun Saddam bukanlah seorang askar, namun beliau
sering dilihat berpakaian uniform dan serta-merta selepas berlakunya rampasan
kuasa, beliau telah dimasukkan ke dalam rejim Baath dan ditugaskan untuk
melakukan keganasan dan pembunuhan. Tindakan pertamanya adalah mencipta
kaedah baru penderaan yang lebih efektif semasa menyoal-siasat mereka yang
menentang sewaktu rampasan kuasa. Pemerintahan Baath yang bermula dengan
rampasan kuasa istana berakhir pada bulan November tahun yang sama. Pusat
penderaan Saddam kemudian menjadi lebih ringan, penuh dengan
peralatan-peralatan menyakitkan yang direkanya sendiri.
Pentadbiran Baath yang berusia kurang 10
bulan juga berakhir dengan sebuah rampasan kuasa. Walau bagaimanapun, parti itu
kemudiannya melancarkan lagi rampasan kuasa pada 17 Julai 1968, dan kali ini
adalah yang terakhir. Naib pemimpin rampasan kuasa kedua ini tidak lain adalah
pakar pendera Saddam Hussein sendiri. Dengan melantik saudara-mara terdekatnya
menjawat jawatan-jawatan penting dan menyingkirkan musuh-musuh politiknya,
beliau kemudiannya berjaya menguasai kekuatan politik yang diidam-idamkan
olehnya. Pendera yang tidak berperikemanusiaan itu kemudiannya menjadi diktator
Iraq.
Di sebalik kekejaman dan kebuasannya itu,
salah satu faktor yang menjadikan beliau terus berkuasa ialah sokongan yang
diterimanya dari luar. Saddam telah membentuk sekutu-sekutu untuk menjadikannya
terus berkuasa. Mossad, iaitu sebuah kumpulan gelap paling pintar di dunia
milik Israel mendahului sekutu-sekutu yang dibentuk oleh Saddam. Mossad
menganggap Saddam sebagai buah catur penting strategi Israel di Timur Tengah,
dan kadang-kala menggunakan Saddam untuk menghalang perkara-perkara yang
mungkin membahayakan kepentingan Israel.
Dalam bukunya yang kedua, ditulis selepas
Perang Teluk, Victor Ostrovsky yang merupakan bekas ejen Mossad menulis perkara
yang menarik tentang Saddam dari kaca mata Israel. Israel berharap agar
diktator Iraq itu terus berkuasa kerana beliau betul-betul kurang rasional
dalam polisi antarabangsa dan mungkin melakukan kebodohan yang boleh
dipergunakan oleh Israel.
Ini menjelaskan kepada kita maklumat
penting tentang wajah sebenar Saddam Hussein. Saddam tidak pernah mewujudkan
polisi yang membawa kebaikan kepada umat Islam dan tidak juga pernah
mempertahankan kepentingan rakyatnya. Kesemua tindakan yang dilakukan olehnya
sehingga hari ini, yang diarahkan oleh beberapa buah kumpulan yang anti-agama,
bermatlamat untuk menghancurkan Islam dan rakyat Iraq. Sebenarnya sepanjang
Saddam berkuasa, nyawa penduduk Iraq dipenuhi dengan peperangan dan konflik.
Hakikat bahawa semua itu dilancarkan terhadap negara-negara Islam membuktikan
kepada kita bahawa terdapat kumpulan-kumpulan yang tidak mahu Islam wujud di
muka bumi ini.
Setelah berjaya mengukuhkan kekuasaan,
Saddam sering mewujudkan peperangan dan konflik. Pada tahun 1980, Saddam dengan sengaja menceroboh Iran tanpa sebab, dengan
itu mencetuskan peperangan selama 8 tahun yang menyaksikan kematian ratusan
ribu rakyat Iraq dan Iran. Dua tahun selepas peperangan tersebut berakhir,
Saddam kemudian menyerang Kuwait tanpa sebab dan seterusnya membawa Perang
Teluk pada 1991. Namun, kezaliman Saddam tidak terhad kepada negara-negara
jiran, malah kepada rakyatnya juga. Sepanjang beliau berkuasa, mereka yang
dilihat sebagai penentang dari kalangan rejim, kepelbagaian parti politik dan
kumpulan etnik telah dikenakan pelbagai jenis azab. Pada tahun 1990, Newsweek
telah membawa kisah tentang karekter fasis Saddam:
Para pengkritik memanggilnya raja zalim
yang dahagakan darah – Penyembelih Baghdad. Saddam Hussein memerintah Iraq
dengan sarung tangan besi, dibantu oleh pasukan askar yang berjuta-juta orang
dan legion sebagai penyampai maklumat, pembunuh upahan, dan pendera. Saddam
yang dikenali di seluruh Timur Tengah, sesungguhnya sangat kejam dalam usahanya
mengejar kemasyhuran untuk dirinya dan juga negaranya. Beliau tidak
teragak-agak untuk menggunakan gas beracun terhadap musuh dalaman dan luar.56
Saddam telah menumpahkan darah ramai rakyat
Iraq. Di akhir peperangan dengan Iran, 1 juta daripada 17 juta rakyat Iraq
telah dibunuh atau cedera. Lebih sejuta rakyat lari dari negara itu
disebabkan oleh faktor politik atau ekonomi. Pertubuhan hak asasi manusia yang
berasaskan Washington, Pemerhati Timur Tengah menyatakan bahawa pengusiran
paksa, penahanan dan hukuman tanpa sebarang sebab jenayah termasuklah penderaan
dan pembunuhan “misteri” adalah di antara cara yang sering digunakan. Menurut
Amnesti Antarabangsa, penderaan, termasuklah yang dilakukan ke atas
kanak-kanak, melibatkan cara-cara seperti memanggang mangsa di atas api,
mengerat hidung, peha, payudara dan alat kelamin, serta memaku badan.57
Saddam menunjukkan sifat fasisnya ke atas
rakyat dari pelbagai etnik pada tahun 1988 dalam pembunuhan beramai-ramai
Halabja. Gas saraf telah digunakan bagi menentang penduduk awam Kurdish, dan
ramai rakyat yang tidak bersalah mati dalam keadaan azab, tanpa ada perbezaan
di antara bayi, orang tua, lelaki dan wanita. Amnesti Antarabangsa melaporkan
bahawa 5,000 penduduk Kurdish mati dalam peristiwa itu, dan beberapa ribu
lagi dalam serangan sama yang dijalankan di tempat-tempat lain di negara itu.58
Penderaan yang dikenakan ke atas tahanan
politik oleh rejim fasis Iraq adalah jauh lebih mengerikan. Seorang doktor yang
lari dari negara itu telah menceritakan seperti berikut:
Saya adalah seorang doktor pelatih di
sebuah hospital di bahagian selatan. Hanya doktor yang dapat melihat mereka
yang dibawa dari penjara. Kebanyakan mereka hanyalah selonggok daging dan akan
mati tidak lama lagi. Tiada seorang pun tahanan politik yang dapat hidup
setelah melalui penderaan itu. Saya lari setelah saya menyedari saya akan
ditangkap.59
Malah, keluarga Saddam sendiri dan rakan
sekerjanya juga tidak terlepas dari kekejamannya. Saudara tiri lelaki Saddam,
Barzan Takriti dan anak lelakinya Uday telah lari ke Emiriah Arab Bersatu
kerana takut dibunuh oleh Saddam. Dua orang anak menantu lelakinya, Hussein dan
Saddam Kamel, melarikan diri ke Jordan pada 1995 juga kerana takutkan Saddam.
Saddam kemudian memberi jaminan bahawa mereka tidak akan diancam dan memanggil
mereka supaya kembali. Namun, apabila mereka kembali ke Baghdad, mereka telah
dibunuh dengan segera, termasuklah bapa mereka sekali. Jasad ibu mereka yang
dibunuh telah dijumpai kemudian.
Pemimpin Iraq ini menggertak para penentang
rejim yang lari dari negara itu dengan menggunakan cara paling mengerikan.
Sebagai contoh, Jeneral Najib Salihi lari ke Jordan pada 1995. Beliau
mendedahkan bahawa rakaman video keluarga dan rakannya yang dirogol telah
dihantar kepadanya, dan ini telah berlaku kepada ramai tokoh-tokoh penentang
yang lain.
Seperti yang telah kita lihat dengan jelas
melalui contoh-contoh tersebut, kekuasaan Saddam ke atas rakyat Iraq adalah
berasaskan kepada gertakan, keganasan, penindasan dan penderaan. Rakyatnya
sangat miskin dan menganggur disebabkan oleh polisi luar Iraq yang bersifat
agresif dan bermusuhan. Polisi tersebut dicipta hanya untuk memenuhi ego Saddam
semata-mata. Bayi-bayi mati disebabkan oleh kelaparan dan kekurangan
ubat-ubatan. Walaupun Iraq kaya dengan sumber alamnya, namun ia sedang menuju
ke arah kematian dan kepupusan.
Namun, di sini harus ditekankan bahawa
keganasan bukanlah cara terbaik untuk menghalang mereka yang tidak bersalah
dari terus berada di bawah kebuasan Saddam. Dalam peristiwa yang menggunakan polisi
tersebut, rakyat Iraq yang tidak bersalah menderita lebih teruk berbanding
Saddam. Tanpa ragu lagi bahawa rakyat yang tidak bersalah (kanak-kanak, wanita,
orang tua, orang sakit) akan lebih menderita dalam mana-mana peperangan dan
konflik. Mereka yang mempertahankan kenyataan bahawa kezaliman adalah penting
bagi membebaskan rakyat Iraq harus lebih berhati-hati supaya tidak melakukan
kesilapan yang serupa seperti Saddam sendiri. Dengan kata lain, mereka mesti
mengelak sebarang cara yang mampu merosakkan negara dan membahayakan nyawa
ribuan yang tidak bersalah.
Rayuan Hipokrit Saddam Terhadap Agama
Satu ciri penting yang dilakukan Saddam ke
atas rakyat Iraq ialah beliau bertindak dengan menggunakan topeng agama yang
palsu. Saddam sering menggunakan stail keagamaan, yang ditujukan kepada
rakyatnya, di dalam polisi-polisi dalaman dan luarnya, dan dalam tindakan yang
direka untuk menipu seseorang. Inilah sebabnya mengapa beliau sering melakukan
perkara-perkara yang dapat menunjukkan dirinya sebagai seorang yang
mempertahankan dunia Islam, dan berusaha untuk mengambil peluang dalam
sensitiviti keagamaan rakyat, seperti mana penambahan kalimah “Allahu Akbar”
(Allah Maha Besar) ke dalam bendera Iraq sewaktu berlakunya Perang Teluk.
Melihat kepada kekejaman yang dilakukan
olehnya sudah jelas memberitahu kita bahawa apa yang dilakukan oleh Saddam itu
bukannya untuk agama Islam ataupun nilai-nilai Al-Quran. Allah telah
memberitahu situasi sedemikian tentang mereka yang bersifat demikian di dalam
ayat yang berikut:
Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah
dengan (nama) Allah, bahawa mereka sesungguhnya termasuk dari golonganmu;
padahal mereka bukanlah dari golonganmu... (At-Taubah, 9:56)
Jelaslah bahawa Saddam bukanlah seorang
pemimpin Islam sejati. Jelas bahawa segala tindakannya ditegah dalam Islam, dan
sangat-sangat dikutuk. Sebagai contoh, rasisme memainkan peranan penting dalam
tindak-tanduk Saddam di Iraq. Ramai rakyat yang tidak bersalah dibunuh dengan
kejam, hanya disebabkan oleh asal-usul etnik mereka. Dalam pembunuhan
beramai-ramai Halabja, Saddam mencatat sejarah apabila membunuh kira-kira 5,000
orang. Seperti para pemimpin fasis yang lain, Saddam mendakwa keturunan
etniknya adalah jauh lebih hebat. Al-Quran walau bagaimanapun sudah menjelaskan
bahawa kehebatan tidak terletak pada bangsa, warna kulit atau pun ciri-ciri
yang lain. Ia sebenarnya terletak pada ketaatan dan keimanan seseorang kepada
Allah. Rasisme di sebaliknya, telah diterangkan di dalam ayat yang berikut:
Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam
hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan Jahiliah, lalu Allah menurunkan
ketenangan kepada rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan
kepada mereka kalimat takwa, dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu
dan patut memilikinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (Al-Fath,
48:26)
Allah telah menjadikan manusia dalam
pelbagai jenis bangsa dan warna kulit. Manusia adalah makhluk yang lemah,
sangat bergantung kepada Allah. Jadi tiada seorang pun yang boleh mendakwa mereka
lebih hebat berbanding orang lain atau bangsa lain. Di saat-saat kematian, di
waktu Hari Pengadilan ataupun di Hari Akhirat kelak, perkara-perkara seperti
bangsa tidak berguna sama sekali. Pada waktu itu, tiada seorang pun yang boleh
meminta bantuan orang lain tentang bangsa atau asal-usulnya. Mereka yang
sekarang bertindak dengan buas disebabkan oleh faktor bangsa, membunuh dan
membakar manusia hidup-hidup, akan menyedari pada hari itu bahawa diri mereka
sebenarnya sangat lemah dan tidak berdaya, tanpa mengira apakah bangsa mereka.
Satu ayat telah menerangkan tentangnya ketika Hari Pengadilan kelak:
Apabila sangkakala ditiup, maka tiada lagi
pertalian saudara di antara mereka pada hari itu, dan tidak pula mereka saling
bertanya. (Al-Mukminun, 23:101)
Di samping rasisme, Saddam turut
mempercayai fasisme. Beliau mengenakan penindasan fasis terhadap rakyatnya
sendiri, dan seperti juga Hitler dan Mussolini, Saddam mendakwa peperangan
adalah satu sifat yang suci. Padahal ia sangat berjauhan dengan kehendak al-Quran.
Memulakan peperangan tanpa sebab adalah sangat dikeji oleh al-Quran dan ia
adalah berdosa besar. Apa yang telah Allah firmankan kepada kaum Bani Israel
yang enggan mempercayai kewujudan-Nya dapat ditujukan kepada semua mereka yang
jahat dan keji:
“... setiap kali mereka menyalakan api
peperangan, Allah memadamkannya dan mereka melakukan kerosakan di muka bumi.
Dan Allah tidak menyukai mereka yang melakukan kerosakan.” (Al-Maaidah, 5:64)
Secara ringkas sejak tahun 1970-an, umat
Islam Iraq sudah berada di bawah kepimpinan kejam seorang diktator yang sudah
jauh dari nilai ajaran moral yang terdapat di dalam al-Quran. Saddam adalah
seorang yang bersifat perkauman dan taksub kepada keturunan. Beliau tidak
teragak-agak untuk membunuh ratusan ribu nyawa yang tidak bersalah semata-mata
untuk memenuhi nafsunya, dan beliau seronok melihat kekejaman dan penderaan. Di
samping itu, kebanyakan dari mereka tidak menyedari apa yang sedang berlaku,
disebabkan oleh propaganda berterusan yang dilancarkan. Tindakan menyelamatkan
umat Islam dari tangan Saddam, atau dari mana-mana diktator yang mungkin
memerintah Baghdad selepasnya, bergantung kepada kekuatan ideologi dan material
dunia Islam, iaitu mengamalkan ajaran al-Quran dengan sepenuhnya, dan dengan
memusnahkan ideologi fasis yang cuba beroperasi di bawah topeng Islam.
SYRIA
Sejarah Ngeri Penindasan yang
Disembunyikan Dari Mata Dunia
Umat Islam di Syria, sebuah negara yang
diperintah oleh Parti Baath yang merupakan nasionalis Arab sejak tahun 1963,
telah mengalami penderitaan dan penindasan sejak tahun 1920-an lagi.
Syria yang memiliki 75 peratus umat Islam,
11 peratus Syiah, dan 9 peratus Kristian, memiliki sejarah Islam yang panjang
dan warisan budaya yang sangat dalam. Ramai para ulama Islam lahir di bumi ini.
Syria ditakluk ketika zaman Khalifah Umar,
dan kemudian diperintah oleh Umaiyyah, Abbassiyah, Seljuk dan Ayyub. Tanah
Syria menjadi sebahagian daripada wilayah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1517,
dan mereka hidup dalam keadaan aman damai sehingga penggal pertama abad ke-19.
Pada tahun 1831, Syria jatuh ke tangan Muhammad Ali Pasha, yang menjadi
penentang kerajaan Turki Uthmaniyyah dan kemudian menubuhkan kerajaannya
sendiri. Syria kemudian berada di bawah kekuasaan Turki Uthmaniyyah semula
sehinggalah ia dijajah Perancis pada tahun 1920. Penaklukan oleh Perancis telah
menjadi detik permulaan kekacauan dan kezaliman ke atas rakyat Syria. Perancis
telah merobek Syria dari Lubnan, yang mana Lubnan pada zaman dahulu adalah
sebahagian dari Syria, kemudian ia telah dipisahkan daripadanya.
Polisi penindasan selama 26 tahun yang
berakhir dengan kemerdekaan pada tahun 1946 adalah serupa dengan apa yang
dikenakan oleh Perancis ke atas Algeria, Tunisia, dan banyak lagi negara-negara
Islam yang lain. Rakyat Syria telah memulakan kempen menentang selepas
penaklukan Perancis. Perancis dengan kejamnya telah membunuh puluhan ribu
rakyat dan mengebom banyak bandar-bandar besar. Kebangkitan yang berlaku telah
dihapuskan dengan kejam, namun Perancis menyedari bahawa hari-hari mereka
berada di Syria sedang dihitung.
Perancis terpaksa berundur dari Syria
selepas Perang Dunia II, dan ia akhirnya menerima kemerdekaan Syria pada tahun
1946. Namun demikian, mereka meninggalkan Syria dalam keadaan yang tidak stabil
dan sering terdedah kepada konflik. Mandat Perancis yang dikenakan ke atas
Syria selepas Perang Dunia I telah memberikan lebih manfaat kepada puak Syiah
berbanding kumpulan-kumpulan lain (Puak Syiah percaya kepada kesucian Saidina
Ali r.a. Ia hampir mirip kepada pendewaan yang dilakukan oleh orang-orang
Kristian ke atas Nabi Isa a.s.).
Pentadbiran Perancis telah meletakkan minoriti
Syiah dalam jawatan-jawatan penting kerajaan, lalu menimbulkan rasa tidak
senang kepada umat Islam dari kalangan ahli sunnah wal jama’ah. Ini seterusnya
membenihkan bibit-bibit permusuhan di antara dua golongan tersebut. Ramai pakar
di Timur Tengah berpendapat bahawa puak Syiah berjaya mencapai kedudukan
politik dan militari yang tinggi semenjak deklarasi kemerdekaan Syria pada
tahun 1946. Berikutan dengan kemerdekaan tersebut, perkara penting yang berlaku
ialah puak Syiah berjaya mengambil alih pemerintahan negara dengan meminggirkan
kedudukan golongan ahli sunnah wal jama’ah yang telah lama menerajui
perkembangan politik dan ekonomi tanah air.
Selepas kemerdekaan, Syria menjadi sebuah
negara yang sering berlaku rampasan kuasa. Mereka bermula pada tahun 1949 dan
terus melakukannya sehingga tahun 1970 yang pada waktu itu dipimpin oleh
diktator Hafez Al-Assad. Rejimnya telah menamatkan rampasan kuasa tetapi telah
mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang bersifat menekan. Kerajaan Baath
telah menambah lagi kesusahan kepada umat Islam Syria. Negara itu telah jatuh
ke tangan puak minoriti Syiah, yang hanya terdiri daripada 11 peratus sahaja
dari keseluruhan populasi. Kesemua ras-ras yang lain telah kehilangan pengaruh.
Dalam masa yang singkat sahaja, rejim Assad, yang menggelarkan diri mereka
sebagai “Demokrasi Rakyat Sosialis,” telah mengenakan pemerintahan yang zalim
di negara itu. Kesemua parti politik telah ditutup, dan sokongan terhadap
pandangan parti politik lain selain dari ideologi sosialis yang disokong oleh
Parti Baath diharamkan. Kesemua pergerakan Islam dihalang. Para pemimpin
gerakan-gerakan tersebut telah ditangkap dan didera dengan kejam sehingga mati.
Pertubuhan hak-hak asasi manusia antarabangsa telah melaporkan bagaimana umat
Islam Syria dikenakan penindasan yang sangat teruk dan telah menderita
sepanjang era Assad, dan bagaimana wanita Islam diperkosa dan penderaan yang
tersangat zalim telah dikenakan ke atas lelaki.
Kekejaman dan Penindasan, Simbol
Era Assad
Matlamat utama rejim Baath adalah untuk
memadamkan identiti Islam Syria. Bagi mencapai hasrat ini, berpuluh-puluh ribu
umat Islam telah ditahan tanpa sebab dan kemudiannya didera. Kebanyakannya
telah dikenakan hukuman, dan yang lain hilang begitu sahaja. Rejim Assad telah
melakukan tindakan-tindakan seperti merogol wanita, memukul mereka sehingga
mati dan menggantung mereka pada bahagian kaki. Rejim ini juga cuba untuk
memusnahkan masyarakat Islam dengan menyerang rumah-rumah, masjid dan melakukan
penghinaan dan kekacauan yang tidak pernah putus, dan sesungguhnya mereka amat
gembira melakukannya.
Contoh paling ngeri kebuasan rejim Assad
ialah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di bandar Hama. Satu-satunya
sebab yang membawa kepada penghancuran bandar itu ialah pergerakan-pergerakan
Islam amat berkuasa di sana. Rifaat Assad, adik kepada Hafez dan juga merupakan
ketua Staf Jeneral, telah mengarahkan satu siri serangan darat dan udara ke
atas bandar Hama pada satu malam Februari 1982. Majoriti askar yang enggan
menurut perintah telah dibunuh serta-merta. Bandar tersebut telah musnah teruk.
Kira-kira 40,000 umat Islam kehilangan nyawa kesan daripada kebuasan rejim
Assad selama 27 hari itu.
Terdapat banyak lagi pembunuhan yang
dilakukan oleh Assad selama 3 dekad sebagai seorang diktator. Ramai umat Islam
Syria yang melarikan diri dari Assad masih hidup di perantauan sebagai seorang
pelarian. Terdapat kira-kira 1 juta umat Islam Syria di Arab Saudi sahaja.
Di sebalik semua ini, polisi Bashar Assad,
yang mengambil alih pemerintahan negara selepas kematian bapanya, telah
menghantar signal yang lebih positif tentang sikapnya terhadap komuniti agama
di Syria. Kami berharap signal ini akan membawa kepada satu perubahan positif
dan seterusnya membolehkan Syria bebas, aman dan menjadi sebuah negara yang
adil. Tiada seorang pun yang ditekan disebabkan oleh kepercayaan dan asal-usul
keturunannya.
Namun demikian, kita harus ingat bahawa
tiada satu pun masalah sosial di Timur Tengah dan di kawasan-kawasan Islam lain
yang tidak memiliki jalan penyelesaian. Sekali pandang, memanglah masalah yang
berlaku di kawasan tersebut sangat kompleks dan tidak dapat diselesaikan sama
sekali. Namun demikian, jalan penyelesaiannya di cari selama beratus-ratus
tahun di tempat yang salah. Jawapan kepada permasalahan itu ialah dengan hidup
berlandaskan ajaran Al-Quran yang telah Allah turunkan kepada seluruh manusia.
Menjadi lemah dalam menghadapi situasi sedemikian adalah tidak patut bagi diri
umat Islam. Ini kerana Allah, yang telah menciptakan segala-galanya, yang
membina sebuah sistem yang membolehkan manusia hidup di dalamnya dalam aman,
sejahtera dan selamat, dan telah mewahyukan semua itu kepada manusia melalui al-Quran.
al-Quran telah menunjukkan kepada kita jalan yang sebenar bagi setiap perkara,
seperti yang diterangkan dalam ayat berikut, “... Kami turunkan kepada kamu
Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat
dan khabar gembira bagi Muslimin.” (An-Nahl, 16:89)
Sekiranya ajaran moral terbaik yang
diberitahu di dalam al-Quran dapat difahami dan seterusnya diamalkan, maka
segala masalah yang sedang berlaku di dunia ini akan dapat diselesaikan dengan
mudah. Memandangkan jalan penyelesaiannya adalah hidup berdasarkan ajaran
al-Quran, maka mereka yang memiliki kesedaran adalah bertanggungjawab untuk
menerangkan al-Quran kepada orang lain. Di dalam al-Quran, para utusan Allah
telah menerangkan tanggungjawab mereka seperti berikut:
Kami hanya bertanggungjawab untuk
menyampaikan dengan jelas. (Yaasin, 36:17)
No comments:
Post a Comment