Dialog Iblis Laknatullah Dengan Rasulullah S.A.W.
Untuk
renungan kita bersama tentang perintah Allah SWT kepada Iblis
Laknatullah untuk menjawab segala pertanyaan Rasulullah SAW.
Allah s.w.t.
telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa
dengan Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu segala rahsianya; samada
yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan
darjat Nabi Muhammad s.a.w. dan juga sebagai
peringatan dan perisai kepada umat manusia.
Maka
Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, “Hai Iblis! Bahawa Allah
Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat
Rasullullah s.a.w. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan
apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan
sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun,
nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta
disiksa dengan azab yang amat keras”.
Demi
mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat
ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah s.a.w. dengan
menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut
putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam,
sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah
Iblis (alaihi laknat),”Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab
salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?”
Maka
jawab Nabi dengah marah “Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau
menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau
tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya
dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan
asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara
beberapa lama, Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman
meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan
begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara
akibat hasutan engkau.
Hai
Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla,
cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan
Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis,
syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa
aku?”
Sembah
Iblis,”Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah
Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba
adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap
umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap
apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan
sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan.”
Maka
Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata “Ya Rasulullah!
Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah
badan hamba menjadi abu” Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun
tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk
menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang
ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi (1)
– “Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku
terhadap engkau?” Jawab Iblis – “Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang
paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini” Maka Nabi
pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan.
Sambung Iblis,”Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri
hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan
suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak
dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai
diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu.
Hamba
cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha
memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama
Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad
atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar
kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di
dalamnya bersama hamba”
Soalan Nabi ke 2
– “Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah” Jawab Iblis –
“Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya
kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih
yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan
sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan
dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya,
ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga
ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan
sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak.
Apabila
terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba
hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar,
datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila
terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga
menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah
mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka
supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya
menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya,
datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya.
Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat.
Demikianlah hamba goda mereka setiap saat.”
Soalan Nabi ke 3
– “Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan
pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang
besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk
Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau?
Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran
engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?” Jawab Iblis –
“Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga.
Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar
jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi
ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari
satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia
ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama.
Tiba-tiba
datang firman Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia
ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam)
lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu,
kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba
yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh.
Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga
dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian
bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya
dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah
Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka
berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang
Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut
anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba
masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari
Kiamat.
Sebelum
tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat
naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh
manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian
hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa
yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat
dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir
sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik
ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di
setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka
Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang menyala.
Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan
semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera
hamba untuk menjalankan tugas hasutan.”
Soalan Nabi ke 4 –
“Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?” Jawab Iblis –
“Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama
ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak
berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala.
Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba”
Soalan Nabi ke 5 –
“Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis – “Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan
hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh
iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya.
Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas
sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan
dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan
khusyuknya – matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya
sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain.
Setengah
Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia
tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya
sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang
pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba
sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman”
Soalan Nabi ke 6
– “Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?”
Jawab Iblis – “Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa
terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari
daripadanya.”
Soalan Nabi ke 7
– “Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?”
Jawab Iblis – “Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba
kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya”
Soalan Nabi ke 8
– “Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?” Jawab
Iblis – “Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya
kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya
Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan.
Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu
dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan
dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala
isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan
ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa.
Satu
lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari
azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu
syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy
yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari
umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian
Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin,
syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan
dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula
beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan
berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu
umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti
mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa
takut berbanding bulan biasa.”
Soalan Nabi ke 9
– “Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?” Jawab Iblis –
“Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar-besar seteru hamba.
Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk
kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang “Sekelian
sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka,
maka kamu akan mendapat petunjuk.” Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum
bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula
setelah berdamping dengan tuan.
Beliau
begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a’zam.
Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia
ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal
kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana
tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak
menghafaz Hadis tuan. Saiyidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani
hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum
syariat Islam dengan saksama.
Jika
hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba
kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah
mengatakan, “JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh
menggantikan aku” kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai
membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar ‘Al-Faruq’. Saiyidina
Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa
bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati
syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali.
Kerana
taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya
kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,”Barang
siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas
dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati
syahid” Saiyidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana
hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim
orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah
kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah
budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan
kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar ‘Ali Karamullahu Wajhahu’ –
dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga ‘Harimau Allah’ dan tuan sendiri
berkata “Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya”. Tambahan pula
dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan Nabi ke 10
– “Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?” Jawab Iblis – “Umat tuan
itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang
menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada
manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya
seperti kata Jibrail a.s “Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita
akhirat” Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar,
syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan
kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan
harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu
masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan
hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba.
Jadi
dia sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada
masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak
beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan
Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti
Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena
penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan
setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam,
benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk
jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur”
Soalan Nabi ke 11
– “Siapa yang serupa dengan engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang
meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam”
Soalan Nabi ke 12 – ” Siapa yang mencahayakan muka engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji”
Soalan Nabi ke 13
– “Apakah rahsia engkau kepada umatku?” Jawab Iblis – Jika seorang
Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan,
maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari”
Soalan Nabi ke 14
– “Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?” Jawab
Iblis – “Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca
doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba
akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba
dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar
kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana
kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa
Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan,
tiadalah rasa kenyang.”
Soalan Nabi ke 15
– “Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?” Jawab Iblis –
“Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah,
menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air
sembahyang, maka padamlah marahnya.”
Soalan Nabi ke 16
– “Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?” Jawab Iblis – “Lelaki
dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu
ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan
diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu”
Soalan Nabi ke 17 –
“Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang tidur
meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung
tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua
pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk
solat”
Soalan Nabi ke 18
– “Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?” Jawab Iblis – “Orang
yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui
orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam”
Soalan Nabi ke 19
– “Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?” Jawab Iblis – “Orang
yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya”
Soalan Nabi ke 20
– “Apa lagi yang memecahkan mata engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang
taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu
makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda,’Syurga itu di bawah tapak kaki ibu’ “
Semoga
kita mengambil ikhtibar dari segala dailog yang berlangsung diantara
Iblis laknutallah dengan Rasulullah SAW kerana sekiranya kita berpaling
daripada Sunnah-Sunnah Rasulullah SAW, maka celakalah kita. Tidakkah
hanya syafaat Rasulullah SAW sahaja yang dapat membantu kita apabila
diadili oleh Hakim Yang Maha Adil, yakni Allah SWT. Janganlah termasuk
didalam golongan yang mana Rasulullah SAW tidak mengaku umatnya. Mungkin
yang membaca lebih baik daripada yang penulis dan menulis bukan bererti
pandai tetapi sebenarnya penulis sendiri belajar dengan apa yang
ditulis ... Naunzubillah.
No comments:
Post a Comment