Rejab ialah bulan yang ketujuh dalam kitaran tahun mengikut kiraan perjalanan bulan berpusing dan beredar pada paksinya mengelilingi glaksi. Mendahuluinya Jamadil Sani dan yang mengekorinya Sya’ban. Setiap kali perjalanan Rejab mengelilingi orbit singgah di pelabuhan kalendar, rata-rata masyarakat Islam akan menumpahkan rasa gembira dan akan cuba meraikan kedatangan Rejab yang hanya sekejap itu dengan mengadakan pelbagai program keilmuan seperti ceramah, kuliah, diskusi, forum, tazkirah, dan yang seumpamanya untuk mengajak kembali masyarakat dan khalayak memperingat, seterusnya menghayat, akhirnya mempraktik apa yang ditimbanya lewat kisah dan sirah Isra’ dan Mikraj. Ya, sebuah pengalaman mukjizat yang maha hebat telah tersurat buat Paduka Akhir Zaman, Nabi Muhammad SAW. Walaupun muatan yang terdapat dalam episod Isra’ dan Mikraj ini sarat dengan teladan yang menjanjikan, AlLah SWT pula hanya menyentuh kembara isra ini dalam satu ayat sahaja yang tertuang dalam Surah al-Isra’ atau Surah Bani Israel. Sementara ekspedisi Mikraj yang lebih jauh jumlah kilometernya dan lebih unit pula penemuan-penemuan yang diteroka Baginda SAW, hanya disinggung dalam beberapa ayat dari Surah an-Najm, iaitu ayat 13 hingga 18 daripada muatan surah tersebut. Biar siapapun mederatornya, biar siapa juga ahli panel atau pembicaranya, tanpa melihat kepada siapa khalayak yang sudi menadah kedua telinga untuk menjadi pendengar setianya, tanpa mengira apa latar dan warna budaya yang menggarami penontonnya, kupasan isinya tentunya berpijak pada catatan firman:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada satu malam dari Masjid Al-Haraam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati di sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya (Muhammad SAW) sebahagian daripada tanda (keperkasaan, kekuasaan, dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah sahajalah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Isra ayat 1)
Pada skrin paparan atas di atas, ada beberapa perkara yang harus kita tumpahkan sedikit perhatian, antara lain:
1. AlLah memulakan ayat yang akan menghidang dan menyajikan episod Isra’ dan Mikraj ini dengan lafaz pembicara Subhana= Maha Suci AlLah. Kalam AlLah yang dinamai al-Qur’an ini kejab dan kukuh dengan 114 surah, daripada jumlah surah yang terpelihara itu, 7 daripadanya atau 6.14% dimulai dengan kalimah sinonim, ada pun kalimah tersebut ialah; subhana untuk surah Isra’, sabbaha untuk surah-surah al-Hadid, al-Hasr, dan surah as-Soff, sabbihi untuk surah al-A’la, dan yusabbihu untuk surah-surah al-Jumaat dan al-Munafiquun.
Lafaz atau kalimah Subhana ini mengundang dan menggamit makna keimanan. Sejauh mana atau sedekat mana kita sebagai hamba ini meyakini kemahaperkasaan AlLah SWT. Sebelum berlangsungnya rentetan ekspedisi Isra’ dan Mikraj ini, AlLah SWT yang Maha Suci daripada sebarang kelemahan, yang tidak tersentuh langsung untuk-Nya sebarang kedaifan, telah menghamparkan pada artifak kehidupan ini beberapa kejadian yang menyalahi hukum alam, antaranya; AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan Adam AS daripada segumpal zat tanah lalu ditiup masuk ruh-Nya, tanpa perantaraan ayah dan bonda, di samping tiada reka bentuk untuk dirujuk, daripada tiada langsung walau sebesar debu yang berterbangan kepada manusia yang agam. AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan daripada sela-sela batu yang tumpat lagi keras seekor unta untuk Nabi Salleh AS. AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan gugusan api yang menjulang ke awan sejuk dan selesa sewaktu Nabi Ibrahim KhalilulLah dicampakkan ke dalamnya. AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan tongkat kayu Nabi Musa KalamulLah ada waktu-waktunya bertukar menjadi ular yang besar, ada waktu-waktunya pula boleh membelah air laut yang lembut, ada waktu dan masanya apabila dipukulkan ke batu boleh mengeluarkan dan mengalirkan 12 pancutan mata air. AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan daripada bawahan telapak kaki Ismail AS yang masih terlalu kecil, yang masih tidak mengerti huruf, angka, dan carta mata air yang dikenali zam-zam hinggga kini tak pernah kering-kering dan disifatkan air yang paling baik di dunia dari segi kandungan dan kebersihannya. AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan pada ruang mihrab Maryam penuh dengan muatan buah-buahan, sedang bilik itu dikunci dari luar, sehingga menerbitkan rasa hairan yang tidak berpengkalan kepada bapa saudaranya Nabi Zakaria AS, lalu menumpahkan pertanyaan, dari manakah ini? AlLah mengurnia dan melimpahkan rezeki-Nya kepada sesiapa sahaja, melampaui batasan yang mampu dikira manusia. AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan anak Mashitah yang masih menyusu dapat menasihati bonda agar segera terjun ke dalam kawah air panas yang disediakan Fir’aun sebagai balasan untuk penganut tauhid pada zamannya kerana tidak tunduk kepada “ketuhanan” Fir’aun. Walaupun Mashitah merupakan kakitangan awam yang menjawat jawatan kanan dalam istana Fir’aun, tetapi dia, suami, dan anaknya tidak pernah walupun sedetik menjadikan alasan mencari makan, untuk membenarkan merebaknya kemungkaran dan seterusnya menugukan rasa kesyirikan pada AlLah SWT. AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikan Nabi Isa RuhulLah dapat meyembuhkan sesiapa sahaja yang buta sejak lahir, bukan setakad itu sahaja, AlLah SWT Yang Maha Suci itulah pernah menjadikannya dapat menghidupkan manusia yang sudah meninggal dunia, sama ada mati baru atau mati lama. Sirah mencatatkan bagaimana anak Nabi Nuh AS, Sam dihidupkan kembali oleh Nabi Isa RuhulLah dengan izin-Nya. Justeru tidak terlalu pelik dan anehlah jika
AlLah yang bersifat dengan sifat kesempurnaan Yang Maha Suci itu memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW). Batasan jauh dekat, lama atau sekejap, sempadan geografi tidak pernah ada dalam perkiraan ilmu AlLah. Lalu apa yang hendak dihairan dan diajaibkan!
2. Allah juga menggunakan kalimah biabdihi, bukan dinabiyihi, bukan birasulihi, bukan bimuhammadi. Memperjelas kepada akal dan minda kita, makam atau darjat yang paling tinggi di sisi AlLah yang mampu kita sandang, yang mampu kita gapai, yang mampu kita cipta ialah sebagai hamba. Perebutan untuk menjadi hamba kepada Allah ini merupakan satu peluang keemasan yang terbuka, dan tidak pernah tertutup sehinggalah mata kita yang lebih dahulu tertutup! Untuk menggondol piala sebagai hamba di sisi-Nya, tidaklah sepayah mana, mana-mana yang disuruh-Nya, kita perbuatkan sekadar yang terdaya tenaga, mana-mana yang dilarang-Nya dijauhi dan dikuburkan dalam-dalam tanpa sebarang soal itu dan ini, kenapa dan mengapa. Misalnya DIA mempelawa kita bangun malam, kita bangunlah sekadar mampu sebelum azan Subuh singgah di telinga. Kita mampu bangun jam 5 pagi silakan, kita mampu bangun jam 445 pagi silakan, kita mampu bangkit jam 430 pagi boleh, kita larat bangun sepertiga malam sialakan, kita mampu dan larat membangunkan diri kita separuh malam, teruskan. Yang perlu diingat janganlah ayam boleh bangun awal, tuan ayam tidak larat untuk mengangkat selimut apabila dikumandangkan muazzin assolaatu khairuun minanaum walaupun dirinya sihat dan kuat, diperkuat dengan pelbagai jenama makanan kesihatan. Misalnya DIA mengharamkan kita meminum khamar, kita tinggalkanlah secara total, tanpa alasan kononnya untuk dijadikan ubatan. Jadikan kita sebagai YES Man dan YES women dengan AlLah!
3. pada satu malam dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin). AlLah memperjelas dengan tegas wisata yang berlaku dalam perkebunan Isra’ dan Mikraj ini berlaku hanya dalam satu malam dan dalam beberapa sahaja. Memulakan misi perjalanan selepas datangnya waktu Isya’ dan kembali semula mendiami Mekah sebelum hadirnya waktu Subuh. Perjalanan biasa memakan dan menelan sehingga puluhan hari memandangkan jarak jauh geografinya tidak dapat dihitung dengan jari (dikatakan 30-40 hari). AlLah telah lama menganugerahkan malam dan siang buat kegunaan manusia mencari hidup dan kehidupan, sementara di kesementaraan ini, memakmur halaman umur. Oleh sebab manusia dicipta memiliki 2 komponen yang bersebati dengannya, iaitu bentuk fizikal (yang dapat dilihat mata) dan spritual (sesuatu yang berbentuk kejiwaan), lalu manusia harus memenuhi keperluan antara kedua-duanya. Setiap pagi dan hari, biasanya sang suria sudi muncul serta memancar dan menghadiahi manusia cahayanya, bumi yang tadinya gelita malam segera bertukar mewajah siang. Manusia pun segera ikut sibuk untuk mengumpul sebanyak mungkin keperluan fizikalnya, bermula dengan sedikit senaman, sedikit sarapan, kemudian bergegas memecut kenderaan, secara mudahnya dikatakan untuk mengumpulkan wang. Belitan hiruk-pikuk sibuk pada siangnya tidak siapa yang menafikan, dan semua itu ada dalam pengetahuan Tuhan Serwa Alam (AlLah SWT). Lalu pergunakanlah sedikit dari anugerah keajaiban malam untuk ‘berbicara dengan Tuan Punya Alam’ dengan mempelbagaikan menu dan resipi peribadatan. Insya-AlLah selepas itu jiwa semakin menunduk tenteram dan tenang dalam menghadapi serta melayan mata rantai godaan yang datang.
4. Suatu hal yang perlu diberi perhatian oleh kita dalam menjalani kehidupan ini ialah adanya satu anugerah yang tidak kelihatan tapi amat menentukan, yang bernama berkat dan keberkatan. Malam yang diperjalankan Rasul SAW malam yang di sekelilingnya diberkatkan. Kosa kata berkat ini hanyalah ada dalam pengajian yang bersumberkan wahyu semata-mata. Adapun subjek atau sistem yang cambah daripada pemikiran otak manusia yang jauh daripada petunjuk wahyu, tidak akan ada kalimah berkat yang boleh kita temui dalam sukatannya. Adakah kita akan temui mufradat berkat ini, bukalah buku-buku bertemakan komunisme, libralisme, kapitalisme, sosialisme, demokrasisme, rasisme, maxisme, dan apa-apa isme lagi yang diilhamkan iblisme ini? sambil-sambil merujuk tu, tepuklah dada, tanyalah muatan iman yang gah di dalamnya. Secara kita sedar atau tidak, bagi kita yang bermazhabkan Imam Shafie, kita diminta berqunut untuk menyempurnakan Solat Subuh. Dalam bacaan qunut, kita mengangkat dua tangan memohon kepada DIA pada dini pagi sebelum kita berbicara itu dan ini dengan manusia. Isian yang diminta dalam qunut itu merujuk kepada mohon anugerah yang tidak memungkin manusia mampu memberinya walaupun amat sedikit kepada kita meliputi; hidayat atau petunjuk, kesihatan yang terbaik (afiat), kepimpinan, dan juga berkat, di samping membabaskan atau menjauhkan kita daripada gigitan kejahatan.
5. untuk diperlihatkan kepadanya (Muhammad SAW) sebahagian daripada tanda (keperkasaan, kekuasaan, dan kebesaran) Kami (AlLah SAW). Sebahagian tanda kehebatan dan kemahaperkasaan AlLah itu adalah dengan menunjukkan kepada Baginda Rasul SAW ilmu masa hadapan ataupun memberitahu awal-awal lagi apa bentuk peristiwa dan kejadian yang bakal ditempuhi pada masa akan datang, di samping itu juga Baginda SAW dinampakkan dengan kejadian yang telah lama berlaku, dalam masa yang sama juga Baginda SAW diperlihatkan dengan fenomena yang sedang berlaku. Diperlihatkan perkara yang akan berlaku sebagai persiapan jiwa untuk berdepan dan melayani dengan penuh santun apa yang bakal terjadi, misalnya ditunjukkan Thaibah dan diberitahu bumi itulah yang bakal menjadi tapak dan jejak medan dakwah yang akan tiba. Peristiwa terkini yang sedang dihadapi dinampakkan pula antara lain ialah, perempuan tua yang amat bongkok, yang mewakili umur jangka hayat alam yang kita huni ini. Sementara perkara lalu yang dipertontonkan pula merujuk kepada balasan terhadap setiap amal baik dan buruk yang sempat diusahakan manusia. Hal ini untuk menjadikan pengukuhan kepada jiwa bahawa hidup ini bukan sesuatu yang kaku dan sia-sia, tetapi ada perhintungan yang perlu dipertanggungjawabkan. Adanya golongan yang memukul-mukul kepala sendiri sehingga pecah, menceritakan bagaimana kesilapan daripada peristiwa lalu bakal merugikan diri pada masa hadapan. Jadi belitan kesilapan lalu jangan terus dibiar terus menjajah diri sebaliknya carilah luang, gunakanlah peluang yang terhidang, rebutlah sebarang rupa bentuk kesempatan untuk menghindari diri dari mengulangi episod-episod ngeri.
6. Allah sahajalah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Rangkaian ayat yang sebegini harus menjadi teman dalam ingatan bagi para dai, iaitu tuan punya kepada hala tuju dakwah ini, AlLah SWT 24 jam sehari tanpa henti walau sedetik atau sesaat, daripada ‘melihat dan mendengar’ suara keluhan, rintihan aduan, dan yang seumpamanya dari semua para dai yang telus, tulus, dan ikhlas. Semua yang berlangsung walau sesulit manapun, walau tersembunyi mana sekalipun tak pernah lekang dari ilmu-Nya.
Isra’ Mikraj Hiburan dari AlLah
Apabila kita membuka almari pustaka sirah, di sana terdapat catatan yang tidak bisa dinafikan, iaitu berlakunya Isra’ dan Mikraj ini ialah setelah Baginda SAW bergelut dalam medan dakwah ini melewati satu dekad. Bergelut secara langsung dalam medan dakwah untuk mengajak manusia yang selama ini memperhambakan dirinya kepada ratusan kehendak berhala yang direka oleh tangan mereka kepada penyembahan AlLah yang tunggal bukan kerja mudah. Tentu banyak onak duri dan tribulasi yang dialami dan ditempuhi. Himpunan tribulasi yang terjadi tentunya sesekali menyayatkan hati. Sebagai manusia biasa tentunya kegundahan hati perlu sedikit dirawati. Antara gugusan ancaman yang menyayat hati pernah ditempuhi Nabi SAW ialah;
Baginda SAW pernah cuba dibunuh oleh Abu Jahal dengan cara menghempapkan batu besar ke kepalanya, Abu Jahal seringkali mengupah pemuda tahan lasak Quraisy agar melemparkan perut unta semasa Baginda SAW melalui jalan-jalan tertentu, Abu Jahal juga pernah menggali lubang yang dalam di depan rumahnya kemudian dia pura-pura sakit, dengan harapan Baginda SAW datang melawat kemudian terjatuh ke dalam lubang tersebut dan dapatlah dia menimbusnya.
Baginda SAW dan Bani Hashim serta Bani Mutalib dipulau dan dipencilkan selama 3 tahun, yang mana selepas itu menyaksikan 2 orang pembantu dakwah dipanggil mengadap AlLah, Saidatina Khadijah RA dan Abu Talib. Untuk tahun itu Baginda SAW namakan ‘Tahun Dukacita’. Walau bagaimanapun kewafatan mereka berdua menyimpan hikmat yang tersendiri, agar tidak dijaja cerita bahawa kesuksesan dakwah ini kerana bantuan dan dokongan daripada mereka berdua.
Setelah dakwah di Mekah kurang menyerlah sambutannya daripada khalayak yang ada, Baginda SAW bersama anak angkatnya Zaid bin Harithah meneroka medan baharu untuk dakwah. Untuk itu mereka memilih bumi Taif sebagai pengkalan dakwah yang baharu. Tapi malang pembesar Taif menyambut ketibaan Utusan AlLah itu dengan mengupah pemuda-pemuda liar agar membaling batu dan pasir kepada Nabi SAW. Ekoran daripada gejala yang tidak bertamadun itu, Zaid terpaksa memapah dan melindungi Baginda SAW untuk berteduh di salah sebatang pokok yang bertuah. Sebagai Utusan AlLah yang menyedari AlLah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat, Baginda SAW menghantar pengaduan penuh syahdu kepada Rabbnya dengan munajat yang amat mengesankan jiwa dan perasaan. ‘Ya AlLah pada-Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku, kurangnga kesanggupanku berdepan dengan manusia, Engkaulah Rabb musta’ afin dan Engkaulah jua pelindungku, kepada siapakah Engkau hendak serahkan aku ini?, kepada orang jauh yang berwajah suram kepadaku atau kepada musuh yang akan menguasaiku, jika di sana tiada murka-Mu aku tidak peduli, kerana sungguh besar nikmat yang Kau-kurniakan kepadaku, aku berlindung dengan sinar wajah-Mu yang menerangi kegelapan dan mendatangkan kebaikan di dunia dan akhiirat, dari murka-Mu yang hendak Kau-timpakan padaku, hanya Engkaulah yang berhak mempersalahkan diriku, dan Engkau sahaja yang berhak meredhaiku, tiada sebarang daya upaya dan kekuatan apapun ke atasku kecuali kekuatan yang Engkau anugerahkan kepadaku’
Situasi dan kondisi Baginda SAW yang parah berdarah itu mengundang sedikit rasa simpati Utbah dan Syaibah bin Rabiah, walaupun pada peringkat awal merekalah yang mengupah pemuda-pemuda yang membaling Baginda SAW. Bertolak dari rasa simpati itulah, kedua-dua adik-beradik itu menyuruh pembantu mereka, Addas untuk membawakan secangkir anggur buat Baginda SAW berdua. Sewaktu hendak memasukkan rezeki ke mulut Baginda SAW membacakan BismilLah. Addas menjelaskan apa yang Baginda SAW ucap itu sama dengan gurunya di Ninawa. Seterusnya Addas menyatakan kalimat syahadat kemudian memeluk Baginda SAW seraya menciumnya berkali-kali. Setelah kembali kepada majikannya dia memberitahu, tidak ada manusia yang lebih baik daripada orang itu (Nabi Muhammad SAW) dan tiada ajaran yang lebih baik dartipada apa yang diserunya.
Setelah itu Baginda SAW kembali dan terpaksa memohon perlindungan untuk menjejakkan kakinya ke Mekah.
Setelah gaulan pengalaman yang sebegitu mengerikan hati dan perasaan itulah, AlLah mengundang Baginda untuk menjadi tetamu-Nya.
Setelah berlaku peristiwa-peristiwa tersebutlah AlLah SWT mengundang Baginda SAW ‘bertemu-Nya’ dalam satu program yang dinamakan Isra’ dan Mikraj. Sebagai persiapan jiwa untuk bertemu-Nya, AlLah menitahkan Jibril dan para malaikat pengiring agar melakukan pembedahan ke atas dada Baginda SAW bagi membuang segala macam sifat mazmumah yang tersisa dan diganti serta diisi dengan wangian iman dan nur kebenaran. Pembedahan dada Baginda Rasul SAW inilah dipercayai menjadi kayu pengukur dan papan pedoman buat para tabib pada zaman kini untuk membedah pesakit. Dikatakan jika tiadanya peristiwa pmbedahan dada ini, nescaya tidak ada sesispapun yang berbuat demikian.
Berikutnya Baginda SAW dipersilakan untuk mengenderai Buraq yang memiliki kepantasan perjalanan cahaya untuk diterbangkan ke Baitul Maqdis. Biarpun AlLah SWT boleh dan berkuasa untuk berfirman ‘kun = fayakun’ tetapi setiap sesuatu itu hanya akan terjadi mengikut sebab dan akibat, semakin cepat arah sebab yang ditempat semakin cepat pula musabab yang tiba. Sepanjang perjalanan Baginda SAW tidak putus-putus didatangi pelbagai tanda kemahaperkasaan IlLahi, antaranya, Baginda SAW tercium bau yang sangat harum, Jibril memberitahu itulah bau dari makam Mashitah tukang sisir anak Fir’aun. Baginda SAW diperlihatkan segolongan manusia yang mengetam gandun, setiap kali diketam, timbuh tangkai yang baharu dengan lebih banyak, Jibril memberitahu itulah balsan untuk mereka yang gemar berinfak pada jalan AlLah. Baginda SAW juga melihat ada segolongan manusia yang mengambil batu yang memukul-mukul kepada sehingga pecah berkecai lalu diberitahu itulah balasan kepada sesiapa yang malas untuk menyempurnakan solat. Baginda SAW juga melihat ada hidangan dari daging yang baik-baik tapi kurang dikerumuni manusia sebaliknya kaunter daging yang busuk lagi berulat menjadi tumpuan ramai, bersesak-sesak, berebut-rebut manusia untuk mendapatkannya. Saidina Jibril memberitahu itulah gambaran umat manusia yang gemar memakan yang haram dan sengaja meningggalkan makanan atau sumber yang halal.
Setelah Buraq memijakkan kakinya di perkarangan Masjid Aqsa, segera Baginda SAW menambat/parking kenderaan tersebut pada tempatnya. Menjelaskan kepada kita bahawa sebarang harta kita perlu dijaga dengan cermat jangan dibiarkan sebarangan, nanti kecurian, susah nanti bila kecurian. Seterusnya Baginda SAW dipersila memasuki Masjid Aqsa setelah diperdengarkan azan, berikutnya suara iqomat dikumandangkan, Baginda SAW melihat setiap inci ruang masjid itu dipenuhi dengan pelbagai lapisan warna khalayak manusia. Jibril memimpin tangan Baginda SAW ke saf paling hadapan untuk mengimamkan mereka semua. Menjelaskan bahawa Baginda SAW merupakan ketua para manusia. Setelah memberi salam kesemua mereka menghilang dan tidak dapat dikesan sama ada jejak atau bayang. Baginda SAW mengusulkan pertanyaan siapa mereka itu kepada malaikat Jibril, itulah sof semua para nabi dan semua para rasul yang pernah terlibat dalam seru dakwah mengajak manusia ke jalan AlLah, mentaati-Nya dan memperhambakan diri kepada-Nya.
. bersambung
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment