Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan. Ramadhan Kariim. AlLahhu Akram.
Ya, sesiapa sahaja yang memiliki iman yang hidup dalam dirinya akan merindui kunjungan Ramadhan Kariim. Bertamunya Ramadhan yang hanya sebulan itu amat membahagiakan. Kenapa tidak awal bulannya tersedia lautan rahmat untuk diselami, pada separuh kedua adanya hujan magfirah yang bakal membasahi dan menghayutkan hanyir & kegersangan dosa-dosa, sementara pada penghujungnya merupakan bentengan ampuh dan kukuh bagi mendindingi manusia yang punyai iman, yang dengan penuh kesungguhan menghidupkan Ramadhan dengan kepelbagaian nama resipi dan menu pengabdian, yang akan menahannya dari panggilan dan gigitan bisa yang tersedia dari dalam neraka. Sebetulnya Ramadhan dinanti, ditunggu, dirindu, bulan kerana jasad atau namanya Ramadhan, tapi gugusan rahmat, saujana lautan berkat, lausnya langit keampunan AlLah yang dikandung dan terkandung dalam purnama Ramadhan itulah yang menjadi rebutan kita sebagai pencandu ketidakcukupan. Rahmat yang kita kumpul dalam masa 11 purnama belum berkecukupan, keampunan yang kita petik dalam masa 11 purnama itu belum sampai ke mana-mana, berkat yang sempat kita kumpul dalam masa 11 purnama itu belum berpadanan. Justeru, datangnya bulan yang hyper offer sama ada berkatnya, rahmatnya, ampunan dosanya amat-amatlah kita dambai.
Ramadhan, bulan kesembilan dalam mata rantai dalam perkiraan bulan tahun Hijrah. Pengkisahan tentang Ramadhan ini dapat kita kutib mulai ayat 183 surah yang kedua dalam susunan al-Qur’an, iaitu dalam Surah al-Baqorah;
183. Wahai manusia yang ada iman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang ada iman sebelum daripada kamu berpuasa, supaya kamu bertaqwa.
Ajakan dan seruan untuk berpuasa ini hanya terkhusus untuk orang yang mempunyai iman sahaja. Lantaran itu ayat yang memulakannya Yaa ayyuha llaziina aamanu.. (Wahai manusia yang ada iman). Mudah kerja mudah untuk meninggalkan perkara yang halal kerana menjunjung perintah AlLah, jika tidak lahir dari jiwa yang menyimpan bekalan iman. Bagi sesetengah manusia makan, minum, dan menyempurnakan tuntutan syahwat, bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah. Makanan yang diperoleh melalui sumber yang halal, minuman yang diperoleh dengan sumber yang halal juga, menyempurnakan tuntutan kelamin dengan pasangan hidup yang diakadkan oleh wali, tidak ada sesiapa yang menyatakan semua itu sesuatu yang haram. Semua itu halal 100%. Oleh sebab, AlLah SWT yang meminta kita meninggalkan itu semua pada waktu sang matahari masih megah melebar sinarnya, lalu kita patuh. Kenapa? Kerana di sana adanya kepatuhan yang dijelmakan oleh iman. Memang merupakan satu perjuangan juga untuk meninggalkan kebiasaan sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, dan minum petang yang menjadi rutin yang diamalkan nagi menjamin zat dan serat yang cukup bagi badan. Semua dilakukan dengan redha dan ikhlas dalam mencari maqam yang terpuji di sisi-Nya.
Puasa yang kita jalani ini, bukan hanya terhad buat umat ini, tetapi telahpun dilalui dengan jayanya oleh umat-umat ambiya terdahulu yang juga mempunyai iman. Mereka, saudara kita dalam iman itu, melalui puasa yang mereka jalani telah memungkinkan mereka menggondol anugerah yang turut dijanjikan kepada kita, iaitu taqwa. Mereka telah terlebih dahulu menikmati lazat dan berkhasiatnya sesuatu yang bernama taqwa itu yang telah singgah dan bermukim di halaman iman mereka. Kini tiba masa dan giliran kita pula untuk meraih dan menikmati situasi dan kondisi yang sama, iaitu menyandang anugerah taqwa, kerana tawaran itu tidak pernah mati-mati.
184. (Puasa yang diwajibkan itu hanyalah beberapa hari yang boleh dibilang dengan jari); maka sesiapa antara kamu yang didatangi sakit, atau sedang bermusafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia menggantikan puasa tersebut sebanyak (hari yang ia berbuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya / larat berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
Walaupun kedudukan puasa itu tergolong sesuatu yang istimewa, tapi AlLah SWT yang Maha Tahu kerana Dia-lah yang menyediakan segala fasiliti asas yang ada pada manusia, memberi kelonggaran tertentu untuk golongan tertentu. Kepada sesiapa yang dihinggapi sesuatu penyakit dan berada dalam daerah musafir, diberi sedikit kelonggaran agar berpuasa pada hari-hari yang lain, sebanyak hari yang ditinggalkannya. Separah manakah derita penyakit yang memungkinkan seseorang itu untuk berbuka. Dalam kasus ini ada 3 pendapat yang boleh diguna pakai. Pendapat yang pertama dicetuskan melalui zahir ayat ini, iaitu sakit; sebarang penyakit yang dirasa dan dideritai diharuskan berbuka, tanpa melihat darjah keparahan penyakit tersebut. Sakit tangan, pening, demam, dan seumpamanya diharuskan berbuka, kerana itu keringanan yang diberi khas oleh AlLah. AlLah telah memberi keringanan kenapa harus kita payah-payahkan diri?
Pendapat kedua, memberi sedikit tafsiran yang agak berlainan dengan pendapat yang pertama itu. Pendapat inilah yang menjadi pendapat jumhur dalam kalangan ulama. Misalnya seseorang yang diserang oleh rangkaian serangan penyakit asma atau lelah. Sekiranya pada masa tersebut sipenderita penyakit itu tidak mengambil ubat yang boleh meredakan serangan itu, nescaya asmanya menjadi lebih kronik. Lalu dalam situasi yang sebeginilah diharuskan berbuka. Tetapi tidak menjadi kemestian. Terserah kepada pesakit tersebut. Seandainya dia mampu bertahan, dan tetap redha dengan serangan penyakit tersebut, dia boleh untuk terus mengekalkan status puasanya.
Pendapat yang ketiga pula menukilkan, sama ada berbuka atau tidak bergantung ke atas individu itu untuk menggantikannya. Seandainya dia berbuka dan mudah baginya untuk menggantikan pada secepat yang mungkin, untuk orang yang semacam ini, afdal baginya berbuka. Tetapi untuk sesiapa yang terasa berat untuk berpuasa ganti, lebih-lebih lagi jika berpuasa seorang-seorang, entah bila mampu dilunasi puasa yang ditingggalkan itu, maka untuk mereka yanag seumpama ini, lebih afdal baginya untuk terus berpuasa.
Sementara batas jarak ketentuan bagi musafir pula dikategorikan kepada 3 juga; iaitu, pertama perjalanan yang memakan masa sehari semalam, kedua perjalanan yang menelan masa dua hari dua malam, sementara pendapat ketiga menyatakan perjalanan tersebut melipat masa tiga hari tiga malam. Ketiga-tiga pendapat inidapat dikumpulkan kepada perjalanan yang melebihi 100 km.
Kelonggaran bagi meninggalkan puasa kerana sakit dan musafir itu sebagai kemurahan dari-Nya, kerana AlLah tidak membebankan hamba, kecuali sekadar kemampuan dayanya. Sementara itu, di sela-sela kehidupan ini masih ada golongan yang tersisa, yang tidak dilupa agama tentangnya, iaitu kepada mereka yang melayani sakit yang tiada harapan untuk sembuh (koma misalnya), orang tua yang semakin renta (yang lupa apa yang dilakunya) bolehlah difiyahkan untuk fakir miskin hari-hari yang tidak memempukannya berpuasa itu. Tentunya 30 hari dengan kadar 30 cupak memberi makan untuk golongan yang kurang berkemampuan.
185. Pada bulan Ramadhanlah diturunkan-Nya Al-Quran, untuk menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang batil). Oleh sebab itu, sesiapa daripada kamu yang melihat (naiknya) anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa keesokan harinya; dan sesiapa yang menderita sakit atau sedang musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia menggantikan) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
Kemuliaan Ramadhan ditambah lagi serinya dengan penurunan Al-Qur’an, sebuah kalam AlLah, sebuah mukjizat yang tak terkalahkan. Melihatnya, membawanya, membacanya, beramal dengan isinya, semuanya akan diganjari pahala yang tersendiri mengikut tahap kesukaran kita melayani kitab suci itu. Bulan Ramadhan dipilih AlLah untuk menurunkan al-Qur’an dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, secara sekaligus diiringi dengan puluhan ribu malaikat. Episod peristiwa yang penuh bersejarah ini berlaku pada satu malam yang agung, diingati buat selamanya dengan nama Lailatul Qadar, yang kelak pada malam inilah jika berbetulan amalan kita lakukan pada malamnya, akan diganjari dengan pahala seolah-olah sedang mengerjakan gugusan amal soleh seperti 1000 bulan. Bulan Ramadhan sekali lagi menjadi pilihan AlLah untuk mengutuskan Malaikat Jibril buat pertama kalinya menziarahi Baginda SAW sewaktu sedang berada di Gua Hira, dengan menjelmakan dirinya seperti seorang lelaki. Pada masa inilah Baginda SAW disuruh iqra. Ya, al-Qur’an yang 30 juzuk inilah, yang ada 114 surah inilah, kelak bakal menghadapi putar belit dunia dan seisinya yang dicetus oleh musuh nombor satu manusia iaitu setan and the gang. Sebenarnya kandungan 30 juzuk itu sentiasa berupaya untuk mendepani dunia sehinggalah hamparannya ditukar baru (kiamat).
Oleh sebab al-Qur’an ini kalam bermukjizat, al-Qur’an mampu mendepani apa juga situasi yang bakal terjadi dengan ampuh. Semua permasalahan yang bakal terjadi di maya ini semuanya ada tersedia jawapannya dalam al-Qur’an. Lantaran itu al-Qur’an mampu dan relevan sepanjang zaman dan masa menjadi petunjuk, pemimpin, kepada manusia. Menyedari kehebatan al-Qur’an inilah, musuh-musuh Islam sedaya upaya cuba menjauhkan umat Islam daripada al-Qur’an. Biarlah umat Islam baca seluruh karya yang ada di dunia, asal sahaja umat Islam tidak membaca al-Qur’an. Apabila umat Islam tidak membaca al-Qur’an, pada masa yang sama mereka sedang dengan giatnya memundurkan pemikiran mereka. Umat Islam berfikir ke belakang bila meninggalkan al-Qur’an. Mereka membodohkan diri sindiri apabila tidak cuba membaca, seterusnya memahami, akhirnya menjadikan al-Qur’an teman di sepanjang jalan. Cubalah kita sebagai umat Islam setiap hari kita habiskan satu juzuk al-Qur’an, dalam sebulan kita berjaya khatam sekali, untuk setahun 12 kali, 10 tahun 120 kali, percayalah dalam masa 20 tahun umat Islam akan kembali gemilang, terbilang, cemerlang. Kerana mereka saban saat berbicara kalam AlLah. Kerana mereka setiap saat akan dinaungi keberkatan, kerana saban saat akan ada hubungan dengan Pencipta Alam. Daripada keinginan untuk membaca akan berubah menjadi keinginan untuk memahami kandungan, dari situ akan muncul kemahuan untuk mengamalkan apa juga yang disuruh dan meninggalkan apa juga yang dilarang oleh Kalam AlLah itu.
Pada tahap dan peringkat inilah al-Qur’an akan bertindak sebagai penyuluh dan menaungi perjalanan hamba-hamba-Nya.
Dengan dasar-dasar yang jelas termuat dan tertuang dalam al-Qur’an inilah, menjadikannya mampu bertindak sebagai moderator pada bila-bila masa sahaja yang diperlukan. Tidak ada seorang pun mahu miliknya dicuri orang, bukan sahaja orang biasa sayang akan barang yang dimilikinya, perompak dan penyamun atau pencuri pun tidak suka andainya barangannya dicuri. Sayang akan apa yang dimiliki merupakan fitrah diri, justeru al-Qur’an sedari awal memberi amaran, pencuri yang tidak faham kehendak fitrah ini perlu diasingkan dengan cara yang mendatangkan keinsafan kepada orang lain agar tidak mengulang kejahatan yang sama. Kalaulah seorang doktor akan mengesyorkan kepada pesakit agar dipotong sedikit kaki jika mahu menahan serangan penyakit kencing manis, begitulah halnya untuk kemaslahatan yang lebih besar, tangan pencuri perlu dipotong. Apa yang peliknya, ada manusia yang kesihankan pencuri tetapi tidak kesihankan tuan punya barang, lalu mereka dengan gigihnya mencanang hukum potong tangan kepada pencuri tidak sesuai dengan zaman.
Tetapi mencuri sesuai pula dengan zaman. Bertuah betul sang pencuri rupanya dalam setiap zaman ada pembelanya.
Bagi menetapkan permulaan untuk berpuasa, nampak atau tidaknya melihat kepada anak bulan diambil kira. Sesiapa yang nampak anak bulan Ramadhan, wajiblah kepadanya berpuasa pada keesokan hari. Untuk menetapkan permulaan cukuplah seorang yang melihatnya berbeza dengan untuk menentukan anak bulan Syawal (berhari raya) perlukan 2 orang.
" Ya AlLah jadikan aku hamba-Mu yang bisa mengatur petak-petak syukur bila nikmat-Mu menampakkan wajah pada halaman umur, Ya AlLah kurniakanku tembok sabar tatkala derita tak terduga berkunjung ke kebun usia'"
About Me
- fauzi amir gus
- saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com
No comments:
Post a Comment