About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Monday, July 12, 2010

Isra’ Mikraj, Solat, dan Perjuangan Tauhid 2

Setelah selesai menyajikan resepi pengabdian sudut sejadah menyembah AlLah dalam satu syiar yang bernama solat, Baginda SAW didatangi dengan rasa dahaga yang amat mencengkam. Untuk membebaskan kerongkong daripada siksaan dahaga, Baginda SAW dihidangkan dengan 2 jenis cecair yang bisa menghilangkan dahaga, satunya bernama susu, yang selebihnya digelar khamar. Sebagai seorang insan yang bisa berfikir secara rasional sejak sekian lama, sudah tahu membeza antara jahil itu bahaya, ilmu itu cahaya walau hidupnya dalam lautan jahiliyyah, tentu sahaja Baginda SAW memilih susu sebagai santapan menghalau dahaga. Jibril menumpahkan rasa kagumnya atas pilihan Baginda Rasul SAW, kerana susu merupakan minuman fitrah yang berasal daripada dalam diri manusia, sementara khamar minuman yang datangnya dari luar, yang dijeruk dan diperam manusia untuk sekian lama.

Sejenak kemudian dinampakkan Mikraj (berupa semacam tangga) yang bakal digunakan untuk meneroka ke angkasa. Mikraj ini diguna pakai oleh roh orang beriman yang naik untuk menemui Rabbnya, sama ada setelah matinya atau sewaktu tidurnya. Tanpa membazirkan masa yang tersisa, Baginda SAW menaiki Mikraj tersebut sehinggalah melewati segala planet yang ada. Setelah itu Baginda SAW tiba di pintu langit yang pertama. Malaikat Jibril memohon keizinan daripada malaikat penjaga langit agar pintunya dibukakan. Malaikat penjaga langit bertanya siapakah gerangan yang berani menyuruhnya membukakan pintu. Lalu malaikat Jibril memberitahu bahawasanya dia ialah Jibril. Ditanya lagi siapa bersamamu? Jibril memberitahu bersamanya Muhammad SAW. Adakah dia telah diutus menjadi rasul? Setelah diberitahu Nabi Muhammad SAW memang telah diutus menjadi rasul. Malaikat penjaga pintu membuka pintu langit. Begitulah yang terjadi pada setiap pintu langit. Setelah berada di setiap langit, Baginda Rasul SAW telah dipertemukan dengan Nabi Adam AS di langit pertama, Nabi Yahya dan Nabi Isa AS di langit yang kedua. Nabi Yusuff di langit yang ketiga, Nabi Idris AS di langit keempat, Nabi Harun AS di langit kelima, Nabi Musa KalamulLah di langit keenam, dan Nabi Ibrahim KhalillulLah di langit ketujuh.

Semasa berada di langit pertama Nabi Muhammad SAW melihat Nabi Adam AS dalam rupa wajahnya yang asal, tingginya 6o hasta, sedang berdiri. Apabila Baginda AS melihat ke jurus kanannya, Baginda AS melemparkan manis senyum yang melambangkan kepuasan dan kegembiraan. Baginda AS kemudian mengalihkan pandangannya ke sisi kirinya, serentak dengan itu Baginda AS menumpahkan air mata sedihnya. Episod perubahan sikap Nabi Adam AS itu telah menerbitkan lontaran sebuah pertanyaan yang melonjak keluar daripada dalam jiwa Nabi Muhammad SAW kepada Jibril AS. Dengan cermat Jibril AS menjelaskan dan mendefinisikan kelakuan Nabi Adam AS itu sebagai gambaran Nabi Adam AS iaitu apabila Baginda AS melihat ke kanan, tertumpah rasa gembira kerana, Baginda SAW diperlihatkan jumlah anak-cucunya yang beramal dengan gugusan amal soleh dan bakal dimasukkan ke syurga. Setelah Baginda AS melihat pula ke jurus kiri, mencurah manik-manik jernih dari kolam matanya kerana Baginda AS diperlihatkan jumlah anak-cucnya yang berbuat dan sedang mengumpul amal yang negatif lalu bakal diheret ke jurang neraka. Sementara di langit ketujuh Baginda SAW diperlihatkan Nabi Ibrahim KhalillulLah sedang bersandar di Baitul Makmur. Setiap hari terdapat 70 000 malaikat yang datang bertawaf padanya, dan setiap malaikat hanya sekali sahaja ke sana.

Visi wisata Baginda SAW diiring malaikat Jibril AS menemui titik perpisahan apabila tiba di Sidratul Muntaha, kerana di situlah tempat terakhir yang boleh dijejak malaikat. Adapun untuk meneruskan sisa-sisa kembara yang masih ada, Baginda SAW terpaksa menempuhinya secara personal, tanpa ditemani sesiapa sama ada daripada kalangan manusia ataupun sesiapa daripada kalangan malaikat. Perjalanan ke Mustawa dan Aras untuk menunaikan jemputan Rabbnya ditempuhi dengan penuh rasa kesyukuran oleh Baginda SAW. Maka terjadilah dialog antara Baginda SAW dengan Rabbnya seperti yang kita lafazkan dalam bacaan tahiyat. Pada tahap tertinggi inilah, AlLah SWT ‘menghadiahkan’ solat 50 waktu sehari semalam. Baginda SAW menerimanya dengan penuh redha dan ikhlas.

Sewaktu melewati perjalanan pulang, Baginda SAW ditanya oleh Nabi Ibrahim KhalillulLah, apakah yang difardhukan AlLah kepada umat ini. Baginda SAW memberitahu solat 50 waktu sehari semalam. Tiada sebarang komentar yang melompat keluar daripada mulut KhalillulLah Ibrahim AS. Apa yang dipesan Baginda KhalillulLah AS ialah, tanah di syurga cukup subur untuk tujuan penanaman. Untuk menjadikan tanaman di syurga hendaklah bermula daripada sekarang kita hendaklah bertasbih, bertahmid, bertakbir kepada-Nya. Seterusnya Baginda SAW tiba di tempat Buraq, kemudian terus bertolak ke Mekah. Sebelum fajar Baginda SAW sudah memantapkan jejaknya di bumi Mekah. Pagi-pagi hari lagi sebelum sempat sang fajar memancarkan jernih sinarnya, Abu Jahal sudah menyapa Baginda SAW dan bertanya sama ada apa-apa fenomena yang berlaku padanya. Baginda SAW sejujurnya memberitahu malam tadi Baginda telah diperjalankan ke Masjid Aqsa di Palestin, sementara pada pagi ini Baginda SAW sudah kembali dengan selamatnya ke Mekah. Walaupun Abu Jahal dikirakan sebagai musuh no wahid kepada dakwah, tetapi dia tidak berani menyatakan Baginda SAW telah berbohong, kerana dia tahu figure manusia yang bernama Muhammad ini telah dikenal al-Amin, satu-satunya manusia yang tidak pernah berbohong. Dalam masa yang sama bergerak otak jahat Abu Jahal dan mengemukakan satu tawaran yang cukup menarik. Ya menarik pada zahirnya tapi bermaksud amat jahat pada satu sisi lainnya. Abu Jahal menawarkan khidmat untuk mengumpul orang Mekah agar mendengar cerita yang telah diceritakan Nabi SAW kepadanya; iaitu perjalanan ke Masjid Aqsa selepas waktu Isya’ malam tadi dan kembali semula ke Mekah sebelum Subuh. Tentunya kita dicengkam rasa pelik, hal ini wajar sahaja kerana selama ini Abu Jahallah yang banyak dan selalu menyekat orang ramai darippada mendengar ceramah dan dakwah Nabi SAW. Pernah berlaku Abu Jahal mengupah artis tertentu agar mengadakan persembahannya sewaktu Baginda SAW berdakwah untuk menarik khalayak agar mengubah haluan, agar telinga manusia Mekah tidak dimasuki seruan ikhlas dakwah Rasul SAW. Tapi untuk mendengar ceramah atau dakwah Isra’ dan Mikraj ini, Abu Jahal sanggup ke hulu dan ke hilir, ke timur dan barat, ke tenggara dan barat daya, ke barat laut dan timur laut, untuk mengumpul manusia. Jadi tercatatlah dalam lipatan dan pustaka sirah, Abu Jahallah orang yang pertama mengumpul manusia untuk mendengar ceramah Isra’ Mikraj.

Memang menjadi dasar manusia yang tidak gemar mendekatkan dirinya untuk menilai dan merenung hebatnya kuasa AlLah, melalui Isra’ Mikraj, apa yang ditanya hanyalah berbentuk soalan luaran yang menyangkut soal-soal fizikal Masjid Aqsa, seperti berapa jumlah tiangnya, pintunya dan sebagainya. Mereka semua tahu benar Nabi SAW tidak pernah memijak kakinya ke bumi Palestin. Rangkaian soalan berkenaan diharap dapat memerangkap Baginda SAW, dan untuk itu mereka akan bersorak keriangan, dn akan menjajanya ke segenap pelusuk dengan kata ‘Muhammad bohong’. Tetapi perancangan dari Yang Maha Penakdir melewati sempadan warna geografi dan alam. Dibawa-Nya gambaran Masjid Aqsa berada di depan pandangan Baginda SAW. Apabila semua soalan yang dikemukakan dapat dijawab dengan tepat, mereka sepakat menyatakan, Muhammad seorang tukang sihir teragung. Apa yang amat menarik di sini ialah bagaimana sikap dan komitmen Abu Bakar apabila diberitahu, wahai Abu Bakar kawanmu memberitahu dia ke Baitul Maqdis malam tadi dan balik semula ke sini sebelum Subuh, Abu Bakar terus membenarkannya tanpa sedikitpun dolak dalik. Justeru Abu Bakar dijuluki As-Siddiq.


Isra’ Mikraj & Solat

Peri pentingnya solat dalam kehidupan beragama bagi seorang muslim pada setiap hari tidak dapat dinafikan sesiapa. Lantaran itulah AlLah telah menjemput Baginda SAW untuk menerima kefardhuan solat.

Solat menjadi dialog antara seorang hamba dengan Rabb-Nya. Semakin banyak kita bersolat semakin banyak pula masa yang kita laburkan untuk mengadu kepada-Nya. Hal ini dikeranakan setiap patah bacaan kita dalam solat akan dijawab-Nya secara langsung.

Perlunya kepada kita agar berusaha mencapai tahap berasa seronok dan manis apabila kita bersolat.

Alangkah baiknya sebagai insan yang beragama Islam menjadi solat-solat sunat sebagai satu hobi yang menjanjikan.


Walau apapun tanggapan awam dan umum, perjuangan untuk menegakkan kelimah AlLah di bumi sentiasa mendapat perhatian dan nilaian tertinggi pada sisi-Nya. Walaupun tidak atau dipulau dalam kalangan manusia, tapi amat mulia di sisi-Nya

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters