About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 0199923418 atau fauziamirgus@gmail.com atau fauzi15766@yahoo.com

Followers

Friday, July 30, 2010

Kelebihan Yang AlLah Titipkan kepada Ramadhan

Ramadahan mendapat pelbagai anugerah yang amat istimewa dikurniakan AlLah SWT (Yang Maha Sempurna Keperkasaan-Nya) kepadanya yang tidak pernah dan tidak akan diberikan kepada kepada bulan-bulan atau hari-hari yang lainnya. Pelbagai ragam hak istimewa Ramadhan ini telah tertinta kejap dan kemas, tidak akan berganjak, dulu, kini, dan selama-lamanya. Kalam AlLah, al-Qur’an dan Sabda Junjungan SAW menjelaskan keberadaan fenomena ini. Antaranya;

a) Ramadahan bisa menguburkan bangkai-bangkai dosa yang terhimpun di kanvas usia. Hal ini dapat disaksikan lewat sebuah sabda yang menceritakan bagaimana pada suatu hari Baginda SAW menyebut amin, amin, amin. Apabila ditanya kepada Baginda SAW, apakah yang mendorongnya menyebut amin sehingga 3 kali? Baginda SAW menjelaskan ucapan amin itu dilafazkan kerana Jibril AS telah memberitahu sesuatu iaitu; Celakalah kepada sesiapa yang diberi peluang menghirup udara Ramadhan, tetapi dosanya tidak diampunkan, Baginda SAW menjawab amin. Celakalah sesiapa yang masih diberi peluang hidup bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya tapi dipersia-siakannya, tidak dilaksanakan kewajipan dan haq-haqnya, sehingga menyebabkannya ke neraka, Baginda SAW menjawab amin. Celakalah sesiapa yang mendengar namaku disebut, tapi dia tidak berselawat untukku. Baginda SAW menjawab amin.
b) Ramadhan mampu menghantar pencandunya ke syurga. Situasi dan kondisi ini dapat dirujuk dalam sebuah Sabda Baginda SAW yang mulia; Barang siapa yang dihujani rasa gembira dengan kedatangan Ramadhan, AlLah SWT mengharamkan jasadnya daripada dijilat dan digigit neraka.
c) Kelebihan dan kemuliaan Ramadhan tidak mampu dijumlahkan. Ada sebuah sabda yang mampu dijadikan sandaran; Seandainya umat-umatku tahu kebaikan, kelebihan, keistimewaan yang tersimpan dalam khazanah Ramadhan, nescaya mereka menginginkan agar semua bulan yang ada dalam setahun menjadi Ramadhan.
Deretan keistimewaan, gugusan kelebihan, lautan kebaikan yang terhidang dan tersedia dalam Ramadhan hanya dapat dilihat dengan pandangan hati, bukan melalui pandangan mata, pandangan akal, atau pandangan nafsu. Justeru, hati yang kudus dan bersih daripada sebarang pautan noda, atau daripada gangguan hanyir dosa amat diperlukan, agar hati menjadi bersih.
d) Puasa Ramadhan terlalu istimewa di sisi-Nya. Berbeza dengan semua celupan amal soleh yang lain. Uniknya puasa ini kerana pelakunya (seseorang yang sedang berpuasa) tidak dapat dikenali melalui pemerhatian fizikalnya. Orang yang sedang menjalani ibadat puasa sama sahaja dengan seseorang yang yang tidak berpuasa dari segi fizikalnya. Justeru, Baginda SAW telah menghamparkan sabda lewat hadis kursi; Semua gugus amal Anak Adam untuknya kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku sendirilah yang akan menyempurnakan balasan pahalanya.
e) Aroma yang keluar daripada mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi-Nya daripada bau wangian kasturi. Fenomena ini dikeranakan oleh, orang yang sedang tekun menjalani ibadat puasa, bukan sahaja tidak memasukkan ke dalam sarang perutnya makanan yang haram atau subhah, malah makan dan minum yang halalpun tidak akan disampaikan ke perutnya, semua ini kerana menjunjung dan meletakkan perintah AlLah SWTdi tempat yang paling tinggi.
f) Sebarang amal yang selama ini hanya dilabelkan sebagai sunat, apabila dikerjakan pada bulan Ramadhan akan dibalas dengan pahala beramal dengan amalan yang fardu, sementara amal yang dinisbahkan dengan status fardhu akan digandakan sehingga 70 kali ganda.
g) Mudah dan senangnya untuk melakukan semua amal soleh pada bulan Ramadhan, seolah-olah setan dan sekutunya dirantai atau dipenjarakan. Lantaran itu, dapat dilihat pada bulan Ramadhan masjid, surau, musalla, dan yang seumpamanya dipenuhi dengan kunjungan manusia yang selama ini tidak pernah sudi menjejak kakinya ke halaman rumah AlLah tersebut.
h) Semua pintu rahmat dan syurga dibuka, sementara semua pintu menuju ke neraka ditutup dengan kemas rapi. Walaupun semua pepintu syurga dibuka seluas mungkin, tetapi kita tidak berminat menuju ke situ, kita mengambil sikap melarikan diri sejauh-jauhnya daripada pintu yang terbuka itu. Selamanya kita tidak akan berpeluang untuk menghuni di dalam syurga itu. Oleh sebab pintu telah terbuka, kitalah sewajarnya bergegas, berlari selajunya, untuk berebut-rebut memasukinya. Sama halnyalah dengan kondisi, apabila semua pintu neraka tertutup rapat. Kita juga layak terjun ke dalamnya seandainya, kita dengan sedaya-upaya, mengumpul segala kudrat yang ada cuba memecahkan pintu tersebut. Oleh sebab itu apabila semua pintu telah tertutup, janganlah kita yang menjadi pembukanya.
i) Tersedia pada salah satu daripada malamnya kelebihan (bonos) beramal dengan ganjaran lebih daripada 1000 bulan, pada hening dan tenangnya Lailatul Qadar. Hanya Maha Suci AlLah SWT sahaja yang mampu menyediakan dan membalas amal yang sedikit yang dilaku manusia dengan balasan yang sehebat dan semulia itu. Hanya pada Lailatul Qadar adanya kelebihan itu, tersimpan di sela-sela malam di penghujung pada fasa ketiga dalam bulan Ramadhan. Apabila kita susuri perjalanan malam Baginda Nabi SAW, kita dapati Baginda SAW menghidupkan keseluruhan malamnya. Mengejutkan anak-anak dan isteri-isterinya untuk sama-sama memberi makna dan warna malam-malam terakhir daripada Ramadhan. Baginda SAW juga hanya berbuka dengan 3 biji tamar dan beberapa tegukan air sahaja dan Baginda SAW menyimpan makanannya dibawa ke waktu sahur. Hal ini dilaku Baginda SAW agar badannya menjadi lebih ringan untuk menyempurnakan kepelbagaian resepi dan menu pengabdian kepada AlLah SWT, bermula seawal malam.
j) Selamanya AlLah SWT sememangnya dekat dengan hamba, tapi dalam bulan Ramadhan AlLah SWT lebih dekat dengan kita. Lantaran hampir dan dekatnya AlLah SWT kepada kita, manusia dipersila untuk menyatakan permohonan kepada-Nya dengan jaminan semua doa akan dimakbulkan seadanya. Para ulama’ menjelaskan ada 4 cara AlLah SWT memakbulkan doa hamba; a) ditunaikan segera b) ditangguhkan untuk seketika c) dibabaskan atau dijauhkan daripada mara bahaya d) ditukar dalam bentuk pahala di akhirat
k) Puasa Ramadhan menjadi aset dan tiket untuk bertemu-Nya pada hari akhirat. Sebetulnya nikmat terbesar bagi seserang hamba di akhirat sana bukanlah dapat dan layak memasuki serta menghuni syurga Firdaus buat selama-lamanya. Tapi nikmat yang tidak mampu digambarkan oleh seluruh lukisan jiwa raga dan catatan kepuasan ialah dapat bertemu dengan AlLah. Untuk itu Baginda Rasul SAW telah menintakan sabdanya yang mengundang maksud ; Bagi sesiapa yang berpuasa itu akan tersedia 2 kegembiraan, hujan gembira menemaninya apabila mengadap santapan berbuka, dan kegembiraan yang paling agung pula menantinya apabila dapat bertemu dan menatap kehadrat AlLah SWT Yang Maha Hebat.


Jelasnya, terlalu banyak gugusan kelebihan yang tersimpan dalam kandungan Ramadhan yang sebetulnya tidak mampu kita jumlahkan. Hanya AlLah Yang Maha Mengetahuinya. Kurniaan yang tidak pernah bertepi sebetulnya. Justeru, tepuk dada tanya iman masing-masing.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali merakamkan dalam kitabnya ‘Mauizatul Mukminin’ dalam segmen Kitab Rahsia Puasa ; sebesar-besar nikmat yang pernah AlLah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya ialah dengan menjadikan puasa sebagai benteng bagi para wali dan perlindungan daripada segala rangkaian tipu daya dan belitan muslihat syaitan dan angan-angan’

Dalam usaha membina susuk dan wajah puasa yang cemerlang tentunya, Yang Dirahmati AlLah Imam al-Ghazali telah mencerakinkan puasa kepada dua bahagian, puasa zahir dan puasa batin. Huluran yang didapat daripada puasa yang memenuhi kewajipan zahir ini hanyalah gigitan lapar dan panahan dahaga sahaja, sementara puasa yang diserta dengan kewajipan batin mampu mencorak warna dan arena baru kepada pelakunya. Menurut Imam al-Ghazali menggariskan ada 6 prasyarat untuk menggondol rahsia-rahsia dan syarat kebatinannya.
i. Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan agar tidak mendarat dan singgah kepada sesutu yang tercela dan dibenci oleh agama, dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya daripada berzikir dan mengingati AlLah.
ii. Menjaga dan memelihara jeliran lidahnya daripada percakapan yang tidak bermanfaat (omong kosong), berbohong, mencaci, memaki, mengumpat, bercakap kotor, menghasut, menimbulkan permusuhan, mengadu domba, dan riya’.
iii. Memelihara telinganya daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci. Sebanyak mana yang dilarang melalui lidah kita menuturkannya, maka haramlah pula jika kita cuba menjadi pendengar setianya.
iv. Memelihara seluruh anggota lain dari sengaja berbuat dosa. Kaki dan tangan tidak diarahkan untuk berbuat dosa, menahan perut daripada memasukkan makanan yang syubhah sewaktu berbuka apalagi jika makanan yang haram. Makan sekadar keperluan badannya sahaja. Misalnya kondisi badan biasanya boleh diisi dengan sebungkus nasi, maka pada bulan puasa juga tidak selayaknya kita makan sehingga 5 atau 6 bungkus. Imam al-Ghazali memetik sebuah sabda yang bermakna; ‘Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi yang didapatinya hanyalah lapar dan dahaga semata-mata’ Siapakah mereka yang dimaksudkan melalui hadis di atas? Imam al-Ghazali menggariskan ada 3 jenis manusia iaitu; 1-orang yang berbuka dengan makanan yang haram 2- orang yang mencaci dan memaki orang lain 3- orang yang tidak memelihara anggotanya daripada berbuat dosa
v. Janganlah dia membanyakkan makan dan minum sewaktu berbuka sehingga kurang larat untuknya bagi mengerjakan solat.
vi. Hendaklah hatinya berasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tidak mengetahui apakah amalannya (puasa dalam sebulan Ramadhan) diterima AlLah ataupun tertolak.

No comments:

Post a Comment

Tetamu