About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, July 11, 2010

Rejab & Kalut Ribut ESQ

Setelah kunjungan Rejab hampir ke penghujung kalendar, sehari dua ini, meletus satu perkhabaran, yang memuatkan di muka depan sebahagian akhbar harian, iaitu pengharaman ESQ yang diberita dan difatwakan haram oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Setakat ini, itulah dia satu-satunya mufti yang dengan beraninya keluar daripada kepompong anutan para mufti lain, yang seakan menjadi penyambung lidah kepada program tersebut. Ya masing-masing ada gugusan dalil dan rantaian dalih yang tersendiri. Gugusan dalil itu boleh dimaksudkan sejumlah fakta yang diambil daripada al-Qur’an dan perjalanan Baginda Rasul SAW dan para sahabat RA tentunya. Ya, perjalanan hidup insan terpilih, yang terbaik antara yang terbaik, yang dipandu naungan wahyu setiap waktu. Sementara rantaian dalih pula dapat dirujuk kepada pandangan yang menjadikan lojik akal semata untuk menentukan benar atau tidak. Penulis tetap berkeyakinan penuh bahawa semua belitan fenomena yang berlaku pada hari ini, semuanya ada rujukannya dalam itab mukjizat terbesar itu(al-Qur’an), yang menjaadi masalahnya Cuma kita lupa atau tidak ada masa untuk merujuk kepadanya. Seperti insan lain yang bergelar guru, penulis juga, walaupun daif, ditanyai pelajar berhubung ESQ ini, ok ke atau ko ke kalau kita menyertainya.

Oleh sebab kekalutan ini timbul pada bulan Rejab, eloklah kita jadikan pedoman Isra’ Mikraj sebagai landasan untuk menetukan atau membetulkan situasi dan kondisi. Indah dan damainya dapat kita hayati bila mana suruhan untuk menyempurnakan Rukun Islam yang berjenama Solat ini, AlLah SWT menjemput Baginda SAW menghadap-Nya, tidak sama dengan muatan ibadat lain, walaupun ibadat lain memerlukan atau diperlukan bekalan duit atau mata wang yang lain untuk menyempurnakannya (ibadat haji atau zakat), namun kewajipannya disampaikan oleh ketua para malaikat, iaitu Jibril. Tetapi terapi solat ini, walaupun perlaksanaannya tidak payah berhabis ribuan ringgit untuk mneyempurnanya, AlLah SWT mewajibkannya dengan cara lain. Seolah-olah terapi solat ini sebagai ‘buah tangan’ daripada AlLah SWT. Buah tangan untuk disampaikan kepada umat setelah kepulangannya dari wisata yang melangkahi sempadan geografi. Justeru, apa juga pancaran progam dengan pelbagai percikan namanya, cuba kita lihat bagaimana bersungguhnya penganjur menitik-beratkan persoalan solat ini. adakah isian program tersebut ada menyediakan slot untuk solat berjemaah tepat pada waktunya, adakah ada slot untuk solat Dhuha, adalah ada slot untuk solat Tahajud, dan pelbagai jemana solat yang lain? Seandainya sebarang program itu membelakangkan keperluan solat, tapi memasukkan beberapa serpihan yang semacam agama, seharusnya program sebegini, tidak layak dikatakan program Islam. Hal ini dapat dirujuk dengan kesungguhan yang ditunjuk para nabi, bagaimana bersungguh-sunggguhnya mereka dengan terapi solat ini. Baginda Nabi Ibrahim KhalilulLah memanjatkan rangkaian doa, sebagaimana terpahat kejab dalam Surah Ibrahim, ayat 41, agar dirinya dan anak cucunya seronok untuk bersolat. Baginda Nabi Akhir Zaman SAW, walaupun dalam keadaan dijajah keuzuran yang melampau, walaupun terpaksa dipapah, tetap menunaikan keperluan solat secara berjemaah!. Adakah kita lebih makrifatnya tentang keperluan terhadap agama lebih daripada para nabi sehingga kita menjadikan solat hanyalah keperluan tempelan semata-mata. Amat pelik lagi ajaiblah, jika kita berasa solat itu hanya ibadat peribadi, sendiri-sendiri. Apapun program yang kita terjun ke dasar pelasanaannya, seandainya program tersebut mengabaikan rangkaian solat, maka sedarlah program tersebut, bukan menambah dekat anda dengan agama, sebaliknya semakin menjauh dari posisi IlLahi.

Sebagaimana yang kita ketahui dulu, kini, dan selama-lamanya, Islam merupakan cara hidup yang amat lengkap, semua panduan untuk hidup, mati, hidup dalam alam barzah, hidup di Mahsyar, hidup abadi dalam lautan nikmat yang bernama syurga atau hidup terseksa buat selamanya berenang jurang neraka, semuanya sudah ada garis panduan dalam al-Qur’an. Kita tak payah penat-penat memerah otak kita untuk berfikir dan merungkai kembali apa yang sudah diprogramkan oleh-Nya. Kita hanya perlu menjadi hamba dengan-Nya, bukan pekerja, bukan rakan sekerja, bukan rakyat, bukan penduduk, bukan segala jenis yang lain. Kita tetap hamba-Nya. Dalam setiap denyut nadi, dulu, kini, dan selamanya. Tirai batasan hubungan antara jejaka dan dara, ada dinyatakan. Hamparan dunia perniagaan, antara keinginan mengaut keuntungan dan kebelasehsanan tidak pernah ditingggalkan. Keperluan kepada teman yang berlainan jantina untuk dijadikan pasangan guna mewarnakan ketenagan dalam kehidupan tidak pernah diabaikan. Bagi memastikan kehidupan yang tenteram, aman, dan berharmonian pada tiap siang dan malam, lalu tatacara menghukum pesalah sama ada yang tidak tersengajakan atau yang sememangnya diniatkan, tidak pernah dikesampingkan. Ya, sungguh sempurna Islam ini, kesempurnaanya itu kerana datangnya daripada AlLah yang Maha Sempurna.

Baginda Junjungan Akhir Zaman SAW telah memetakan sabda ‘Telah kutingggalkan kepada 2 pusaka, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, jika kamu beramal dengannya iaitu Al-Qur’an dan Sunnahku’

Jom, mulai sekarang kita curi-curi masa untuk membaca al-Qur’an, seterusnya kita curi-curi masa untuk memahami maksud ayat-ayat al-Qur’an, berikutnya kita curi-curi masa untuk mengamalkan semua perintah yang ada dalam al-Qur’an, sama ada perintah yang berupa suruhan atau perintah yang berwajah larangan. Pastikan di rumah-rumah kita ada sekurang-kurangnya sebuah/senaskah tafsir al-Qur’an, Tafsir Pimpinan ar-Rahman, misalnya.
Jom, mulai sekarang kita curi-curi masa untuk membaca hadis RasullulLah SAW, seterusnya kita curi-curi masa untuk memahami hadis RasullulLah SAW, berikutnya kita curi-curi masa untuk mengamalkan semua perintah yang ada dalam hadis RasullulLah SAW, sama ada perintah yang berupa suruhan atau perintah yang berwajah larangan.
Jom, mulai sekarang kita curi-curi masa untuk membaca sirah RasullulLah SAW, seterusnya kita curi-curi masa untuk memahami sirah RasullulLah SAW, berikutnya kita curi-curi masa untuk menjejaki apa yang pernah dilalui Nabi SAW.
Penulis menggunakan kalimah curi-curi masa kerana, kita terlalu sibuk dan disibukkan pada setiap masa, jadi cubalah kita curi-curi sedikit masa yang kita sibuk itu.
Ya, selagi hidup belum sudah, inilah masa yang kita ada. Jangan tunggu lagi. Kerana masa tidak pernah kenal kita dan menanti kita di mana-mana.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters