About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Saturday, December 17, 2011

Hijrah Rasul Dari 2 Buku Sirah

SEERAH NABAWIYYAH
Al-Raheeq al-Makhtum
Syeikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriyy
India
Pemenang Hadiah Pertama
Pertandingan Seerah Rabitah Alam Islam, Mekkah



DI BAWAH NAUNGAN AL- NUBUWAH DAN AL-RISALAH Dl GUA HIRA

Bila usia Baginda meningkat 40 tahun, renungan dan pengamatan Baginda di masanya yang silam, membawa Baginda semakin jauh lagi jurang dan cara pemikiran Baginda dari kaumnya, membawa Baginda gemar untuk mengasingkan diri berikhtila', untuk itu Baginda membawa bekalan dan air untuk maksud ke gua Hira di bukit al-Nur dengan jarak dua batu ke bandar Makkah, ianya adalah sebuah gua yang selesa (panjangnya empat hasta). Turut bersama, keluarga Baginda, di sana Baginda tinggal selama sebulan Ramadhan. Baginda memberi jamuan kepada fakir miskin yang menziarahinya, di samping Baginda menghabiskan masanya di sana untuk beribadat dan berfikir mengenai alam semesta sekelilingnya, kudrat di sebalik penciptaan-NYA, Baginda tidak senang dengan akidah pegangan syirik kaumnya, yang terlalu rapuh dan reput itu, serta tasawurnya yang tidak bertunjang.

Baginda mempunyai satu jalan keluar yang jelas, atau satu program yang padu dan haluan arah-tuju yang boleh Baginda berpuas hati dengannya. Pemilihan Baginda untuk beruzlah itu merupakan sebahagian dari program yang disusun oleh Allah s.w.t untuk Baginda sebagai persiapan untuk menangani persoalan agung. Malah ianya suatu yang tidak dapat tidak bagi mana-manajiwa agung untuk berperanan membentuk perjalanan hidup manusia. Jiwa seperti ini hams berikhtila' dan beruzlah untuk beberapa ketika memutus hubungan dari kesibukan bumi, kebisingan hidup dan kegawatan manusia yang memilih perjalanan hidup duniawi.

Demikian Allah menyusun program untuk Muhammad sebagai persiapan untuk memikul amanah agung di muka bumi ini, dalam rangka untuk merombak dan merubah sistem yang sedemikian lama bermaharaja di bumi ini dan demi untuk membetulkan landasan sejarah yang diselewengkan. Allah menyusun program al-Uzlah ini, tiga tahun sebelum Baginda memikul amanah dan risalah Ilahi ini, dalam beruzlah ini Baginda mengambil masa selama beberapa bulan, menghayati kehadiran bayu maya pada yang serba bebas dan merdeka. Di sampingnya Baginda mengamati alam di sebalik maya pada ini, sehingga tiba masanya untuk bermuamalah dan berinteraksi dengan alam ghaib itu, iaitu pada ketika yang dikehendaki Allah.


PENANGGUHAN WAHYU

Adapun tempoh penangguhan wahyu, mengikut riwayat Ibn Saad daripada Ibn Abbas yang bermaksud bahawa penangguhan itu adalah beberapa hari, pendapat yang rajih (berat) malah itulah pendapat yang tepat, iaitu setelah dilihat dari beberapa aspek. Manakala pendapat yang masyhur mengatakan yang ianya berlarutan hingga tiga tahun atau dua tahun setengah, ini bukan pendapat yang sahih dari mana-mana sudut pun. Namun bukan di sini ruang untuk kita perlihatkan pendapat tersebut.

Di hari-hari penangguhan wahyu Rasulullah hidup dalam keadaan muram dan berduka, Baginda dilanda kehairanan dan kebimbangan, hal ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam bahagian kitab al-Tabir dengan nasnya yang bermaksud: Dan Wahyu pun tertangguh beberapa ketika menyebabkan Baginda berduka, mengikut maklumat yang sampai kepada kita, bahawa Baginda tersangat berdukacita, hingga mendorong Baginda berkejar, berkali-kali ke kemuncak bukit, hendak menghumban diri, namun apabila sampai ke kemuncak sana untuk mencampak dirinya, Jibril pun menampilkan diri sambil berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya engkau adalah utusan Allah yang sebenar. Dengan itu gelora dalam hatinya pun kembali tenang danjiwa kembali tenteram, dengan itu Baginda pulang semula ke rumah, sekali lagi bila wahyu tertangguh kembali pula Baginda dilanda perasaan gundah dan dukacita, berulang pula Baginda ke kemuncak bukit dan sekali lagi Jibril menampakkan dirinya seraya melaung ungkapan yang sama kepada Rasulullah.


JIBRIL MEMBAWA WAHYU DI KALI KEDUA

Ibnu Hajar menceritakan penangguhan wahyu pun sudah berlalu, itu adalah dengan tujuan untuk membuang perasaan gerun dari hati Baginda dan untuk membangkit perasaan merindukan wahyu, setelah mana perasaan kehairanan sudah tiada lagi, disebaliknya tertegak pula tunggak hakikat. Kini Rasulullah sudah arif dengan penuh keyakinan bahawa Baginda adalah nabi utusan Allah s.w.t, yang datang menemui itu adalah duta wahyu membekal Baginda warta dan perkhabaran langit, hingga dengan itu Baginda sudah kepinginan dengan Jibril dan wahyu Ilahi, sikap inilah yang membawa Baginda cekal dan sanggup menerima dan memikul tugas dakwah, ketika Jibril kembali datang menemui Baginda iaitu pada kali kedua. Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah bahawa beliau telah mendengar Rasulullah
menceritakan mengenai penangguhan wahyu dengan sabdanya yang bermaksud:
"Di ketika daku sedang berjalan tiba-tibaku terdengar satu suara dari langit maka ku pun mengangkat pandanganku ke arah langit, tiba-tiba malaikat yang mendatangi daku di gua Hira dahulu sekali lagi ku lihatnya sedang duduk di atas kursi di antara langit dan bumi, daku terkejut
dan tergamam hingga terjatuh ke bumi, kemudian aku segera pulang menemui keluarga dengan meminta:
Selimutkanlah daku, selimutkanlah daku, selimutkanlah daku", disusuli dengan turunnya ayat Allah:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
(al-Muddadstsir: 1-5)


PENJELASAN LANJUT MENGENAI JENIS-JENIS WAHYU

Sebelum kita menghuraikan secara terperinci mengenai penghidupan sebagai seorang rasul dan nabi, kita berpendapat ada baiknya terlebih dahulu kita mengenali jenis-jenis wahyu yang merupakan sumber risalah dan bekalan dakwah, Ibnu al-Qayyim telah menyebut peringkat-peringkat wahyu:

Pertama: Mimpi benar, ianya adalah permulan wahyu kepada Rasulullah.

Kedua: Sesuatu yang dicampakkan oleh Malaikat ke dalam dadanya dan hati naluri Rasulullah tanpa melihatnya, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah (s.a.w): Sesungguhnya Jibril telah mencampak ke dalam hatiku bahawa: Sesuatu jiwa itu tidak akan mati kecuali setelah genap rezekinya, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan berusahalah dengan baik dalam usaha mencari rezeki, dan jangan sekali-kali dek kelewatan rezeki itu ianya mendesak kamu berusaha secara memaksiati Allah, kerana sesungguhnya sesuatu di sisi Allah itu tidak boleh diperolehi kecuali dengan mentaatinya.

Ketiga: Rasulullah didatangi Jibril yang menjelma dirinya sebagai seorang lelaki, dan berblcara dengan Baginda di mana Rasulullah menyedari dan mengingati segala apa yang diperkatakan kepadanya, di dalam peringkat ini para sahabat pun turut dapat melihat Jibril pada ketika-ketikanya.

Keempat: Rasulullah didatangi melalui bunyian seperti deringan loceng, cara ini yang paling berat bagi Rasulullah untuk menerimanya, melaluinya Jibril turut menyertainya, hinggakan dahi Baginda mencucur keringat walaupun di hari yang terlalu dingin, malah tunggangannya sekali turut bersimpuh ke bumi. Di suatu ketika wahyu dalam bentuk ini turun kepada Rasulullah (s.a.w) sedang pahanya di atas paha Zaid bin Thabit, Zaid terasa berat bagaikan nak pecah.

Kelima: Baginda melihat malaikat Jibril dalam bentuk parasnya yang diciptakan, lalu diwahyukan kepadanya sekehendak Allah, cara ini terjadi kepada Baginda dua kali, seperti mana Allah menyebutnya dalam surah al-Najm.

Keenam: Tanpa hijab: sebagaimana yang diwahyukan kepada Baginda semasa Baginda berada di petala langit di malam Mikraj, Baginda menerima perintah solat dan sebagainya.

Ketujuh: Percakapan Allah secara langsung kepadanya tanpa perantaraan Malaikat seperti mana Allah berbicara dengan Musa bin Imran, jenis ini sabit kepada Musa a.s dalam al-Quran, juga sabit kepada Rasulullah di dalam peristiwa al-Isra'.

Sesetengah ulama menambahkan peringkat kelapan iaitu percakapan Allah bersemuka dengan rasulnya tanpa hijab, ini adalah masalah khilafiah antara salaf dan khalaf.' Berakhir sudah, dengan ringkasan singkat mengenai peringkat permulaan hingga kelapan penurunan wahyu.


SELEPAS KERASULAN

Kemunculan dakwah Rasulullah S.A.W. di tengah kegelapan jahiliyah, mendorong dakwah itu dilaksanakan secara berhati-hati dan berperingkat. Permulaan dakwah nabi secara rahsia, sebagai strategi dakwah nabi yang sangat cermat. Ia mengambil masa yang panjang dan penuh berhati-hati kerana apa yang hendak disampaikan adalah bercanggah secara total dengan kepercayaan dan amalan harian kaum jahiliyah Arab.


PERINGKAT-PERINGKAT DAKWAH DAN TAHAP-TAHAPNYA

Tempoh dakwah Rasulullah s.a.w boleh dibahagikan kepada dua peringkat, kedua-duanya itu berbeza antara satu sama lain:
1. Peringkat Makkah selama 13 tahun.
2. Peringkat Madinah selama 10 tahun genap.

Setiap peringkat ini ada ciri-cirinya yang tersendiri, ciri-ciri ini dapat dilihat dengan jelas pada setiap zuruf dan persekitaran yang dilaluinya.
Peringkat Makkah boleh dibahagikan kepada tahap-tahap berikut:
1. Tahap dakwah secara rahsia tiga tahun.
2 .Tahap iklan dan keterbukaan dakwah penduduk Makkah. Bermula dari tahun keempat tarikh kebangkitan hinggalah ke kemuncak tahun kesepuluh.
3. Tahap ketiga keluar ke kota Makkah dan penyebaran di kalangan mereka, bermula dari penghujung tahun kesepuluh hingga ke hijrah Rasulullah.
Manakala tahap-tahap diperingkat Madinah akan kita jelaskan di tempatnya nanti.


TAHAP PERTAMA: JIHAD MELALUI DAKWAH

Tiga tahun berdakwah secara rahsia.

Seperti yang diketahui, Makkah merupakan pusat agama bangsa Arab dan kecergasannya, pegawai dan pengumpul agama bertempat di Kota Makkah. Mereka juga penyelia dan pengawal, berhala-berhala seluruh bangsa Arab di masa itu, untuk sampai kepada sasaran pengislahan amat sukar sekiranya jauh dari Makkah itu sendiri, kerja ini memerlukan kepada kecekalan hati dan ketabahan yang tidak boleh digugat oleh dugaan dan bencana. Adalah bijak dan hikmah dakwah di masa ini secara rahsia, supaya tidak mengejutkan penduduk Makkah dengan suatu yang boleh membangkitkan kemarahan mereka.


GENERASI PERTAMA

Suatu hal yang biasa dan tabi'i di mana Rasulullah cuba memperkenalkan Islam untuk kali pertama kepada orang-orang yang terdekat dengan Baginda, keluarga dan kawan-kawan Baginda. Mereka inilah yang paling awal didakwahkan, didakwahkan juga orang-orang yang dikenali dengan kebaikan mereka, dikenali mereka sebagai golongan mencintai kebenaran dan kebaikan dan sebaliknya mereka pula mengenal Rasulullah sebagai individu yang mengutamakan kebenaran dan kebaikan. Antara mereka memang ada yang menyahut seruan Baginda itu tanpa meragui sesuatu pun mengenai peribadi Rasulullah dan mengenal maksud dan tujuan Rasulullah berdakwah dengan risalahnya itu, golongan ini dikenal dalam sejarah Islam sebagai generasi al-Sabiqun al-Awwalun. Mereka ini terdiri dari isteri Baginda Saidah Khadijah r.anha, Ummu al-Mukminin sebagai orang yang terawal menganut Islam. Orang suruhannya Zaid bin Harithah bin Syurahbil al-Kalabi, anak bapa saudaranya Ali Ibni Abu Talib yang masih kanak-kanak lagi, di bawahjagaan Rasulullah, kawannya yang terdekat Abu Bakr al-Siddiq, kesemua mereka ini mengucap Kalimah Syahadah di hari pertama Rasulullah memperkenalkan dakwahnya.

Abu Bakr menyusul pula sebagai penggerak dan pendakwah yang aktif, beliau merupakan tokoh yang disenangi dan mudah berkomunikasi dengan orang ramai lagi berakhlak mulia. Anggota kaumnya sentiasa mendatangi beliau dan berdamping dengannya, kerana ilmu pengetahuan, perniagaan dan mulia pergaulannya. Beliau bertugas mengajak orang yang dipercayai yang sentiasa berhubungan dengannya, mereka itu seperti Uthman bin Affan al-Umawi, al-Zubair bin al-Awam al-Usdi, Abdul Rahman bin Auf al-Zuhri, Sa'd Ibn Abi Waqqas al-Zuhri dan Talhah bin Abdullah al-Tayyimi. Mereka ini seramai lapan orang adalah generasi peneroka dan terawal menganut Islam.

PELBAGAI CARA MENENTANG DAKWAH RASULULLAH

Setelah mana kafir Quraisy mendapat tidak ada sesuatu pun yang boleh memaling atau melemahkan Muhammad dari usaha dakwahnya, mereka pun terus memikir lagi dan mencari jalan untuk mencegah dakwahnya itu, dalam bentuk dan cara-cara yang boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Memperolok-olok, memperlekeh-lekehkan, mempermain-mainkan, mendusta dan mempersendanya. Semuanya ini bertujuan untuk melemahkan kaum muslimin serta meruntuhkan kekuatan semangat mereka. Mereka lemparkan Rasulullah dengan berbagai tuduhan yang nakal, maki hamun dan memanggil Rasulullah sebagai orang gila. Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad):
"Wahai orang yang kepadanya. diturunkan Al-Qur'an, sesungguhnya engkau adalah orang gila".
(al-Hijr: 6)

Mereka melabelkan Baginda sebagai sihir dan dusta. Dan mereka (yang mengingkar kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendm. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. (Shaad: 4)

Mereka mengawasi Baginda dan memerhati Rasul dengan pandangan penuh kebencian dan rasa penuh jijik. Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: "Sebenamya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh gila ". (al-Qalam: 51)

Apabila Baginda duduk dilingkungi golongan lemah "al-Mustadh'afin", Quraisy mempersenda-sendakannya dengan berkata; "Itulah dia sahabat-sahabat yang dikurniakan Allah ke atasnya"Maka Allah menjawab untuk Rasul-Nya:
"Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang yang bersyukur? (al-An'aam: 53)

Hal mereka ini sama seperti yang diceritakan oleh Allah kepada kita:
Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!" Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang beriman itu". (al-Muthaffifiin: 29-33)
2. Mencacatkan imej ajaran Islam dan menimbulkan kekeliruan, meluaskan dakyah palsu, mereka cerita-cerita palsu mengenai ajaran-ajaran Islam dan peribadi Rasulullah itu sendiri, menyebar luas semua dakyah ini supaya tidak memberi peluang kepada orang ramai memikir mengenai dakwah Rasulullah, mereka terus menggembar-gemburkan tuduhan mengenai al-Quran yang ianya sebagai dongeng rekaan orang kuno.
Dan mereka berkata lagi:
"Al-Qur'an itu adalah cerita-cerita dongeng orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu. Dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafalnya)". (al-Furqaan: 5)

Dan mereka menyifatkan Rasulullah sebagai manusia biasa ang tidak mempunyai sebarang keistimewaan apa pun. Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain) ? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya). (al-Furqaan: 7)

Contoh kecaman mereka boleh dilihat banyak sekali disebutkan di dalam al-Quran.

3. Menyaingi al-Quran dengan dongeng-dongeng silam, menyogok orang ramai dengan dongeng-dongeng supaya mereka sibuk dengannya. Sebagaimana yang diceritakan, di mana al-Nadr bin al-Haris telah menyaran kepada Quraisy dengan katanya: Wahai kalian Quraisy, demi Allah sebenarnya kamu ini telah ditimpa dukacita hingga hari ini kamu belum mampu mengatasinya, Muhammad (s.a.w) ini pada permulaannya seorang kanak-kanak muda, antara kamu, yang kamu meredhai dengannya, bercakap benar, sangat beramanah, sehingga apabila kamu dapati di dua hujung pipitnya "pelipis" beruban dan beliau membawa kepada kamu sesuatu yang telah dikemukakan itu, lalu kamu kata: Dia seorang ahli sihir.
Demi Allah dia bukan ahli sihir, kerana semua kita pernah menyaksikan ahli sihir dengan kerja-kerja dan pukauan mereka, lalu kamu kata: Dia telah menjadi sami, demi Allah dia bukan sami, kerana semua kita pernah malah biasa dengan sami dan ungkapan-ungkapan sami melalui gurindam mereka, kemudian kamu kata dia adalah penyair, demi Allah dia bukan penyair kerana kita sudah biasa mendengar syair dengan jenis-jenisnya sama ada rajaz atau hazaj, setelah itu kamu kata yang ianya gila, demi Allah, beliau tidak gila kerana kita juga pernah berhadapan dengan orang gila, cakapnya itu bukan rapuan si gila atau sasaunya, wahai kalian Quraisy, uruslah persoalan yang kamu sedang hadapi ini, demi Allah kamu sudah ditimpa bala yang
berat.

Setelah itu al-Nadhr pergi ke al-Hirah, di sana beliau mempelajari perbualan raja-raja Parsi, perbualan Rustam dan Aspandiar, bila beliau pulang dan mendapati Muhammad sedang mengadakan majlis zikirullah dan peringatan penyiksaan di akhirat, al-Nadhr pun bertindak membuat majlis yang sama dengan katanya: Demi Allah sesungguhnya perbualan Muhammad itu taklah sehebat perbicaraanku, dengan itu beliau pun menselokakan hikayat raja-raja Parsi, Rustam dan Aspandiar. Di akhiri dengan bidasan katanya: Dengan apakah yang kamu katakan Muhammad itu lebih baik dari bicaraku.

Terdapat riwayat dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa al-Nadhr telah membeli beberapa abdi perempuan, kerana apabila beliau mengetahui di sana terdapat seorang lelaki yang tertarik dengan Rasulullah maka beliau mengirim salah seorang hamba perempuannya tadi untuk mempersonakannya dengan minuman keras dan makanan-makanan yang dibekalkan, buat menghiburkannya dengan nyanyian-nyanyian, hingga dengan itu kecenderungannya kepada Islam terhakis dan pupus dari hati nalurinya. Mengenai hal ini Allah telah menurun ayat-ayat-Nya:
Dan ada antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah.. (Luqman: 6)

Melalui tawaran pihak Quraisy cuba mempertemukan Islam dengan Jahiliah di suatu persimpangan, di mana pihak musyrikin akan meninggalkan sebahagian dari kepercayaan mereka dengan syarat Rasulullah akan meninggalkan sebahagian dari kepercayaannya. Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah lembut (pada zahirnya terhadapmu). (al-Qalam: 9)

Terdapat riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Jarir dan al-Tabrani yang bermaksud: Bahawa pihak musyrikin telah mengemukakan kepada Rasulullah tawaran iaitu supaya Baginda menyembah tuhan-tuhan mereka untuk selama setahun, kemudian pihak mereka akan menyembah tuhannya setahun dengan cara bergilir-gilir. Dalam satu riwayat lain oleh Abd bin Hamid yang bermaksud: Bahawa pihak Quraisy telah menawarkan Rasulullah permintaan mereka dengan katanya: Sekiranya kamu mengiktiraf berhala-berhala kami sebagai tuhan, maka kami akan menyembah tuhan kamu.

Ibnu Ishak telah meriwayatkan sebuah hadith dengan sanadnya, katanya: Semasa Rasulullah sedang bertawaf di Kaabah, Baginda telah dipintas oleh al-Aswad bin al-Mutalib bin Asad bin Abd al-Uzza, al-Walid bin al-Mughirah, Umaiyyah bin Khalaf dan al-'Aas bin Wail al-Sahmi, mereka berempat ini, kiranya antara tokoh yang berpengaruh di kalangan kaum mereka, kemudian kata mereka: Wahai Muhammad, ayuh kita bersetuju untuk kami menyembah apa yang kamu sembah dan kamu sembah apa yang kami sembah, dengan itu bererti kita sudah berkongsi sesuatu perkara, sekiranya apa yang kau sembah itu ada kebaikan melebihi dari apa yang kami sembah maka kami turut mendapat habuan dari kebaikan itu dan sekiranya yang kami sembah ini ada kebaikan yang lebih dari apa yang kamu sembah itu maka kamu juga akan mengaut kebaikan itu bersama dengan kami, dengan itu turunlah ayat:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! "Aku tidak dkan menyembah apa yang kamu sembah. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. "Bagi kamu ugama kamu. dan bagiku ugamaku ". (al-Kafiruun: 1-6)

Demikianlah kehendak Allah dengan membuat kata putus yang tegas terhadap tawaran mereka yang lucu itu. Berlakunya periwayatan yang berbagai ini, mungkin kerana mereka telah membuat beberapa percubaan satu demi satu.


PENYIKSAAN

Pihak musyrikin telah menggunakan berbagai cara seperti yang telah kami sebutkan satu demi satu dengan tujuan untuk menghalang kelancaran dakwah sejak dari kelahirannya di permulaan tahun keempat. Semua cara mereka telah mereka usahakan untuk beberapa bulan dan beberapa minggu tanpa melewati batas-batasnya, kini berpindah kepada cara-cara penyiksaan dan penindasan, tapi setelah mereka dapati cara mereka itu tidak memberi kesan untuk menghalang perjalanan dakwah Islamiah, maka mereka sekali lagi berkumpul. Di sini mereka telah membentuk satu lujnah yang anggotanya terdiri dari dua puluh lima orang tokoh dari pemuka Quraisy. Lujnah ini diketuai oleh Abu Lahab bapa saudara Rasulullah, dan setelah bermesyuarat dan bertukar pendapat, lujnah ini membuat keputusan yang tegas terhadap Rasulullah (s.a.w) dan sahabat Baginda. Lujnah ini bersetuju untuk tidak meninggal sebarang cara pun untuk memerangi Islam samada menyakiti Rasulullah, menyiksa penganut-penganutnya malah mereka akan menggunakan segala bentuk kekerasan, penyiksaan dan penindasan.

Kali ini mereka bertegas untuk melaksanakan keputusan yang mereka sepakati. Tindakannya terhadap kaum muslimin terutama yang lemah dan daif adalah senang sahaja, tidak banyak halangan, tetapi terhadap Rasulullah adalah suatu hal yang sukar, kerana Rasulullah seorang yang tangkas, disegani dan berperibadi unggul, jiwa yang dikagumi lawan dan kawan, pasti yang berdepan dengannya akan mengagungi dan menyanjunginya. Tiada siapa yang berani melakukan kejahatan dan keburukan terhadapnya, kecuali jenis manusia bodoh dan nakal sahaja. Namun demikian Baginda masih tetap di bawah jagaan Abu Talib. Di mana Abu Talib di antara tokoh Makkah yang terbilang, beliau disanjung dari turun temurun di kalangan semua orang, tak siapa pun berani memperkecil statusnya dan mencabar maruahnya, kedudukan inilah menggugat pihak Quraisy dan membingungkan mereka. Justeru sampai ke mana kesabaran itu dapat bertahan, ketika berhadapan dengan dakwah yang beriya-iya untuk membenteras kepimpinan agama yang mereka sandang selama ini dan ketrampilan mereka di arena keduniaan.

Mereka melancarkan pencerobohan dan keganasan terhadap Rasulullah terutama oleh Abu Lahab sendiri, malah beliau ini telahpun mengganas terhadap Rasul di hari pertama dakwahnya, sebelum pihak Quraisy membuat apa-apa sikap. Telahpun kita sebut sebelum ini tindakan terhadap Rasulullah di majlis Bani Hashim, di atas bukit Safa beliau telah cuba memukul Rasulullah dengan ketul batu. Sebelum kebangkitan Rasulullah Abu Lahab telah mengahwinkan anak lelakinya iaitu Utbah dan Utaibah dengan dua puteri Rasulullah, iaitu Ruqaiyah dan Ummi Kalthum.

Tetapi bila Rasulullah diutus dan Baginda menyeru orang ramai kepada Islam, Abu Lahab telah membuat tindakan membabi buta dengan memaksa kedua-dua anaknya supaya menceraikan dua puteri Rasulullah itu. Dengan kekerasan lalu mereka pun menceraikan. Dan apabila Abdullah anak lelaki Rasulullah meninggal dunia, Abu Lahab melompat kegembiraan, meluru beliau pergi menemui kawan-kawan menceritakan kepada mereka berita baik baginya iaitu Rasul kematian anak keturunannya, Muhammad (s.a.w) menjadi kudung bererti terputus zuriat di dunia ini.

Sebagaimana yang telah kita ceritakan sebelum ini, di mana Abu Lahab bertugas mengekori Rasulullah di belakang Baginda di musim haji ke mana sahaja Baginda pergi di pasar-pasar Makkah, untuk mendusta dan membohong Baginda, dalam hal ini Tariq bin Abdullah al-Majari meriwayatkan hadith yang memberi makna bahawa Abu Lahab ini bukan sekadar membohongi Baginda sahaja malah lebih dari itu dengan melontar Baginda dengan ketul-ketul batu hingga pecah berdarah tumit mulia Baginda itu.

Isteri Abu Lahab, bergelar Ummu Jamil bernama Urwa binti Harb bin Umaiyah kakak Abu Sufian tidak kurang kafir dari suaminya memusuhi Rasulullah (s.a.w). Beliau membawa batang-batang duri untuk menjerangkap samar dijalan-jalan yang dilalui Rasulullah, malah di malam hari beliau datang ke hadapan rumah Rasulullah dengan meletakkan batang-batang duri di hadapan pintu rumah Rasulullah (s.a.w). Selain dari itu lidahnya juga tidak kurang bisanya memaki hamun Baginda, mulutnya lucah membuat fitnah dan penipuan terhadap Baginda, memarakkan api fitnah, beliau adalah batu api menimbulkan perkelahian terhadap Rasulullah, untuk itu maka al-Quran menyifatkannya sebagai pembawa kayu api neraka. Sebaik sahaja beliau mendengar ayat-ayat al-Quran turun mengenai dirinya dan suaminya, terus beliau menemui Rasulullah sedang Baginda bersama-sama Abu Bakr sedang duduk di masjid al-Haram, beliau membawa segenggam anak batu, dengan takdir Allah, beliau telah di butakan penglihatan, sehingga tidak nampak lagi Rasulullah (s.a.w), hingga terpaksa beliau bertanya dengan katanya: Wahai Abu Bakr mana dia kawanmu itu, telah pun sampai kepengetahuanku yang dia telah memperbodoh dan mencelakakan aku? Demi Allah kalau dia ada di sini aku hendak sumpat anak batu ini ke dalam mulutnya, demi Allah tidak tahukah kamu yang aku ini penyair yang boleh bermadah mencelanya:

Dia yang dibenci kami menentangnya. Urusannya mentah-mentah kami tolak. Agama pegangannya kami ketepikan. Setelah beliau beredar dari situ Abu Bakr bertanya Baginda: Wahai Rasulullah tidak nampakkah beliau yang tuan hamba berada di sini, jawab Rasulullah, beliau tidak dapat melihat daku, sebenarnya Allah telah pun membutakan matanya hingga tidak melihat daku. Ibn Ishak membilang mereka yang menyakiti Rasulullah (s.a.w): Mereka yang menyakiti Rasulullah di rumahnya ialah Abu Lahab(1), al-Hakim bin Abu al-'Aas bin Umaiyah(2), Uqbah bin Abi Mui't(3), 'Adi bin Hambra'(4) dan al-Thaqafi Ibn al-Asda' al-Huzali(5), mereka ini semua adalah jiran Baginda. Semua mereka mati sebagai kafir kecuali al-Hakim bin Abi Al-'Aas sahaja yang memeluk Islam. Ada antara mereka yang mengheret pundi najis biri-biri dan menghumban ke atas kepala Rasulullah semasa Baginda bersembahyang, malah ada yang sanggup melontar pundi tadi ke dalam periuk Rasulullah bila diangkat ke dapur untuk memasak. Rasulullah pernah terpaksa berselindung di sebalik batu untuk bersembahyang.
.
Dalam peristiwa seperti ini di mana apabila Rasulullah dicampak ke atasnya dengan najis itu. Baginda akan terus keluar menemui pembantunya dengan berkata di hadapan pembantunya: Wahai bani Abdul Manaf! Di manakah hubungan kejiranan? Lalu dibuangnya najis tadi ke tepi jalan. Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud (r.a.): Bahawa Uqbah bin Abi Mu'it semakin jahat dan bertambah nakal, semasa Rasulullah bersembahyang di Kaabah, dan Abu Jahal pula sedang beristirehat bersama-sama kuncu-kuncunya, maka berkata sesetengah dari mereka, sesiapa di antara kamu yang sanggup mengambil uncang najis sembelihan terbuang itu dan meletakkan ke atas belakang Muhammad semasa beliau sedang sujud itu, maka bangun yang ternakal di antara mereka iaitu Uqbah bin Abi Muit beliau membawa uncang najis itu dan beliau tunggu hingga apabila Rasulullah (s.a.w) sujud maka beliau meletakkannya ke atas belakang Rasulullah di antara dua bahunya.

Daku pada masa itu sedang menyaksi tindakan nakal itu. Daku tak boleh berbuat apa-apa, kalauku boleh menahannya nescaya ku lakukan, kata Ibnu Mas'ud lagi: Dengan itu mereka tertawa sesama mereka dan menghayun badan mereka ke kiri dan ke kanan kerana terlalu suka, dan Rasulullah masih dengan sujudnya, Baginda tidak mengangkatkannya hinggalah Baginda didatangi anak perempuannya Fatimah, mencampak buang benda itu dari belakang Baginda, kemudian barulah Baginda mengangkat kepalanya dan terus berdoa: Ya Allah Ya Tuhanku, binasakanlah Quraisy sebanyak tiga kali, pihak Quraisy terasa berat dengan doa Rasulullah tadi, kata Ibnu Mas'ud: Mereka terasa begini kerana mereka mengetahui bahawa doa di tempat ini adalah mustajab dan makbul. Setelah itu Baginda menyebut dengan katanya: Binasalah Abu Jahal, Utbah bin Rabi'ah, Shaibah bin Rabiah, Al-Walid bin Utbah, Umaiah bin Khalaf dan Utbah bin Abi Muit, (yang ketujuh itu beliau tidak mengingatinya) demi Allah yang jiwaku ditangan-Nya daku telah menyaksi orang yang disebutkan Rasulullah di dalam doanya itu terbunuh dan dicampak ke dalam parit penanaman mayat, iaitu parit Badar. Umaiyyah bin Khalaf ini bila-bila sahaja melihat Rasulullah, beliau pasti mencela dan memaki hamun Baginda, mengenai ini Allah menyebut dalam firman-Nya:
"Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji"(al-Humazah: 1)

Kata Ibnu Hisham: al-Humazah: ialah memaki seseorang itu dengan terang-terangan, sambil memejam sedikit matanya dan menjeling. Manakala al-Lumazah ialah mencela seseorang dengan cara berselindung dan menyakitinya. Manakala saudaranya Ubai bin Khilaf berkawan rapat dengan Uqbah bin Abi al-'Aas. Suatu hari Uqbah telah menghampiri Rasulullah dan mendengar dari Baginda kata-katanya, tapi bila di ketahuinya Ubai, beliau memarahi Uqbah dan mengkritik tindakan itu. Seterusnya Ubai meminta supaya Uqbah meludah ke muka Rasulullah dan beliau lakukannya, di suatu ketika Ibnu Khalaf sendiri telah menghancurkan tulang-tulang reput lalu ditiupnya di angin yang lalu ke muka Rasulullah (s.a.w). Al-Akhnas Ibn Syuraiq al-Thaqafi juga adalah di antara tokoh musyrikin yang menyakiti Rasulullah. al-Quran telah menyifatkannya dengan tujuh gelaran sebagaimana firman Allah:
Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), Yang sangat-sangat menghalangi amalan-amalan kebajikan, agama, lagi yang sangat-sangat berdosa, Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya. (al-Qalam: 10-13)

Abu Jahal di suatu masa beliau pernah mendatangi Rasulullah (s.a.w) dan mendengar ayat-ayat al-Quran, kemudian beredar dari situ, tanpa mempercayai atau menyahutnya, malah penuh biadab dan tidak takut menyakiti Rasulullah dengan kata-katanya, menghalang Rasulullah dan merasa sombong dengan tindakannya yang biadab itu, berasa bangga dengan kemungkarannya, seolah-olah beliau melakukan sesuatu yang patut disanjung, perangainya ini telah disebut oleh Allah di dalam firmannya:
Maka ia tidak mengakui kebenaran dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardukan mengerjakannya) (al-Qiyaamah: 31)

Dan beliau telah menghalang Rasulullah dari bersembahyang, di hari pertama beliau melihat Rasulullah bersembahyang di Kaabah. Suatu ketika beliau melintasi di situ dan terlihat Rasulullah bersembahyang di makam Ibrahim, maka beliau berkata kepada Muhammad (s.a.w): Wahai Muhammad (s.a.w) bukankah aku telah larang kau bersembahyang di sini. Beliau bertindak keras dan mengutuk Baginda penuh herdik dan menggertak: Wahai Muhammad dengan apa yang kau maksud hendak mengutuk daku? Demi Allah sesungguhnya akulah orang terbanyak penyokong di lembah ini, dengan itu Allah menurunkan firman-Nya:
Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), (al-'Alaq: 17)

Dalam satu riwayat menceritakan bahawa Rasulullah telah memegang leher bajunya dan menggoncang-goncangnya sambil berkata: (Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat! Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak. (al-Qiyaamah: 34-35)

Maka jawab musuh Allah itu: Wahai Muhammad, kau hendak mengugut daku? Demi Allah, tidak kau dan tuhan kau berbuat apa-apa pun dengan daku, akulah orang yang termulia yang bergerak di antara bukit bukau bumi ini. Abu Jahal masih tidak sedar lagi dari keruntuhan dan kejatuhan maruahnya tadi, malah semakin menjadi-jadi kenakalannya. Al-Imam Muslim telah mengeluarkan hadith dari Abu Hurairah: Abu Jahal telah berkata: Muhammad boleh bersujud mukanya ke tanah di hadapan kamu? Jawab mereka! Ya! kata Abu Jahal: Demi al-Lata dan al-Uzza sekali ini akan ku lanyak tengkoknya sekiranya aku lihat dia sedang sujud. Allah izinkan beliau masuk ke perkarangan Kaabah, beliau terlihat Rasulullah sedang bersembahyang, ianya terus meluru ke hadapan dengan sangkaan beliau dapat memijak tengkok Rasulullah semasa
bersembahyang dan mengemparkan suasana, tapi tiba-tiba beliau berpatah balik dengan mengangkat kedua-dua tangannya seperti mempertahankan dirinya, bila ditanya! Kenapa wahai Abu al-Hakim? Jawab Abu Jahal: Sebenarnya terhalang di antara daku dan Muhammad satu parit api, dan yang itu pula dengan sayap-sayapnya. Ulas Rasulullah: Kalau dia hampiri daku nescaya para lalaikat itu akan mengoyak-ngoyaknya sendi demi sendi. Ini adalah pencerobohan ke atas diri Rasulullah yang keperibadian unggul itu, warak dan disegani orang ramai di samping kekebalan penjagaan Abu Talib tokoh yang hormati di Makkah.
Adapun kaum muslimin yang lain terutamanya golongan mah dan daif, pencerobohan ke atas mereka memang mengganas, malah setiap qabilah telah membentuk barisan menyiksanya yang tersendiri bertujuan untuk mendera dan menyiksa anggota qabilahnya yang memeluk Islam dan orang yang tidak mempunyai qabilah, pihak musyrikin telah mengerah agar golongan awam dan pemukanya untuk membelasah mereka dengan berbagai penyiksaan-penyiksaan yang ngeri ceritanya lagi menggerunkan.

Sekiranya Abu Jahal mendapat tahu ada seorang bangsawan memeluk Islam beliau mencemuh dan mengkritiknya seterusnya mengugut untuk menjadikan beliau seorang yang muflis dan hilang dudukannya, tapi kalau yang memeluk itu lemah dan daif beliau akan memukul-mukul dan memperdayakannya.
Bapa saudara Uthman bin Affan pernah membungkus beliau ke dalam tikar daun kurma kemudian melayurkannya dengan asap dari bawah. Ketika Ibu Mus'ab bin Umair mengetahui penganutannya dengan Islam, beliau menahan dan menghalaunya keluar dari rumah sedang sebelum ini beliau adalah antara orang yang mewah, namun setelah menganut Islam kerana penyiksaan kulit beliau menjadi kerutu dan bersisik seperti kulit.

Bilal bin Rabah adalah hamba Umaiyah bin Khalaf Jumahi, Umaiyah bertindak di luar batasan kemanusiaan, menambat Bilal dengan tali ditengkoknya dan menyuruh budak-budak menariknya seperti menarik seekor binatang tali berikat dileher. Budak-budak ini menyeretnya mengelilingi merata kampung dan mengelilingi bukit-bukit Makkah, hingga berparut lehernya kesan dari jerutan tali. Umaiyah merentap tali di leher Bilal ke hadapan sekuat-kuat dan memukulnya dengan tongkat, memaksanya duduk di tengah panas matahari terik, menahan makanan dan yang dahsyat dari itu Umaiyah membawa Bilal di tengah hari yang terik ke padang pasir Makkah dan membaringkannya di sana dengan meletakkan ketulan batu besar ke atas dadanya sambil berkata, aku akan angkat ketulan ini kecuali setelah kau mati atau kau kufur dengan agama Muhammad ini dan kembali menyembah al-Lata dan al-Uzza. Dalam keadaan begini Bilal tetap mengucap: Ahad, Ahad (Yang Esa, Yang Esa) dengan kehendak Allah di masa itu Abu Bakr lalu di situ sambil Bilal dengan keadaannya yang terbaring. Abu Bakr pun membeli Bilal di mana satu riwayat mengatakan dengan nilai seorang budak hamba lain, dan diriwayat lain mengatakan dengan harga tujuh Auqouaj atau lima perak. Kemudian beliau
membebaskan Bilal.

Ammar bin Yasir (r.a) adalah hamba kepada Bani Makhzum, beliau memeluk Islam bersama-sama bapa dan ibunya, kafir musyrikin membawa mereka semua ke tengah padang pasir semasa tengahari panas membakar, di sana mereka disiksa, di suatu ketika semasa mereka sedang menghadapi penyiksaan, Rasulullah berlalu di situ dan Baginda berkata: Bersabarlah wahai keluarga Yasir janji kamu adalah syurga. Yasir mati kerana penyiksaan, ibunya Sumaiyah adalah Syahidah Pertama meninggal dunia, beliau telah dibunuh oleh Abu Jahal dengan menyula tombaknya melalui farajnya. Mereka menyiksa Ammar dengan berbagai cara yang ada pada mereka di ketika itu, sesekali menjemurnya di tengah panas matahari dan diketika yang lain dengan meletakkan batu-batu pejal ke atas dadanya. Sekali yang lain dengan mencampakkannya ke dalam air. Mereka berkata: Kami tidak akan melepaskan kamu kecuali setelah kau caci Muhammad atau kau puji sanjung al-Lata dan al-Uzza, akhirnya beliau bersetuju untuk berbuat demikian dengan terpaksa tapi setelah itu beliau datang menemui Rasulullah (s.a.w) menangis dan meminta maaf di atas perbuatannya itu, untuk itu Allah menurunkan firman-Nya:
"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipciksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman" (an-Nahl: 106)

Abu Fakihah, nama sebenarnya Aflah seorang hamba Bani Abdu al-Dar, beliau telah disiksa oleh tuannya dengan memberkas kakinya dengan seutas tali kemudian menyeretnya ke atas tanah.

Manakala Khabab bin al-Arat hamba Ummu Anmar binti Siba' al-Khuza'iyah, pihak musyrikin menyiksanya dengan berbagai cara penyiksaan, sesekali mereka merentap rambut sekuat-kuatnya, memulas-mulas tengkoknya sehabis-habisnya, membaringkannya di atas batu-batu panas dan menghempas dengan batu-batu lain ke atasnya, hingga tidak terdaya untuk beliau bangun.

Nasib Zinnirah Ummu 'Ais al-Nahdiyah dan anaknya adalah hamba-hamba yang memeluk Islam, tidak kurang dari nasib orang lain. Kaum musyrikun menyiksa mereka dengan berbagai-bagai cara sepertimana yang diperbuat ke atas orang-orang lain.

Seorang lagi ialah hamba perempuan Bani Mu'ammil dari Qabilah Bani 'Adi. Umar bin al-Khattab semasa kufurya bertanggungjawab menyebatnya sampai jemu beliau memukulnya, dan berkata aku tak akan tinggalnya kecuali setelah berasa jemu. Kesemua hamba-hamba ini telah dibeli dan dibebaskan mereka oleh Abu Bakr sebagaimana beliau memerdekakan Bilal dan Amir bin Fahirah. Sesetengah sahabat yang lain yang baru memeluk Islam di siksa oleh musyrikin dengan membalutkan mereka ke dalam belulang lembu dan unta untuk dijemur dipanas matahari terik, yang lain disarungkan ke dalam baju besi dijemur di atas batu-batu yang membakar di padang pasir.

Senarai mereka yang disiksa kerana mentauhidkan Allah panjang dan menyayat hati, tak seorang pun bila diketahui kelslamannya akan terlepas dari siksaan musyrikin.


PEMBOIKOTAN RAMAI

Dalam tempoh empat minggu terjadi empat peristiwa besar mengenai kaum musyrikin. Pertama, Hamzah memeluk Islam, kedua Umar memeluk Islam, ketiga penolakan Rasulullah terhadap tawaran yang diajukan kepadanya, keempat persetujuan Banu al-Muttalib dan Banu Hasyim, muslim dan kafirnya secara bersama untuk memberi perlindungan dan pertahanan terhadap Muhammad, peristiwa-peristiwa ini menjadikan kaum musyrikin kebingungan dan memang sewajarnya mereka kebingungan. Mereka tahu bahawa jika sekiranya mereka bertindak membunuh Muhammad akibatnya buruk di mana lembah Makkah akan mengalir dengan darah-darah mereka sendiri, malah mungkin akan membawa kepada kemusnahan mereka ke akar umbi, mereka pasti kesemuanya ini, untuk itu mereka bertindak menindas dan bukan membunuh, namun ianya lebih berat dan perit dari masa-masa yang lalu.


PIAGAM PENYIKSAAN DAN KEZALIMAN

Musyrikin Quraisy dan penyokong-penyokongnya berkumpul dan bermesyuarat di halaman Banu Kinanah di Lembah al-Makhsab, mereka bersumpah setia untuk memusuhi Banu Hasyim dan Banu al-Muttalib, untuk tidak berkahwin, bermesyuarat, berkomunikasi, berziarah dan mencampuri mereka, kecuali setelah mereka menyerah Muhammad untuk dibunuh. Supaya piagam yang mereka sepakati itu direalisasikan maka mereka buktikannya sekeping watikah yang membawa maksud:
"Supaya mereka tidak menerima dari Banu Hasyim sebarang perdamaian selama-lamanya dan tidak akan berkasihan belas dengan mereka kecuali apabila mereka menyerah Muhammad untuk dibunuh"

Mengenai perkara ini Ibnu al-Qayyim menyebut: Piagam ini telah ditulis oleh Mansur bin Ikramah bin Amir bin Hasyim, tapi ada pendapat mengatakan tulisan itu dibuat oleh Nadhr bin al-Harith, namun pendapat yang sahih ialah Baghidh bin Amir bin Hasyim di mana Rasulullah berdoa dan bersumpah ke atasnya dengan takdir Allah tangannya yang menulis piagam itu lumpuh.

Piagam selesai ditulis, kemudian dibawa ke dalam Kaabah dan digantung di dalamnya. Dengan itu Bani Hasyim dan Banu al-Muttalib muslim dan kafirnya kecuali Abu Lahab sahaja, kesemua mereka terkurung di lorong Abi Talib mulai malam awal Muharam tahun ke tujuh kebangkitan Rasulullah.


TIGA TAHUN DI LORONG ABU TALIB

Pengepungan semakin ketat, makanan dan bekalan semuanya terputus, mana-mana makanan yang masuk ke Makkah pihak musyrikin Quraisy tidak memberi lalu langsung untuk sampai ke tangan kaum muslimm. Mereka membeli kesemuanya, kaum muslimin mengalami kemuncak kesengsaraan, hingga terpaksa memakan daun-daun dan belulang-belulang kering, hingga boleh didengar keluhan, nada tangisan, jeritan wanita-wanita dan anak-anak yang kelaparan, kalau pun sampai itu pun secara rahsia mereka tidak keluar dari lorong itu untuk membeli keperluan kecuali di bulan Haram sahaja. Itu pun mereka membeli makanan yang datang dari luar Makkah dan pihak musyrikin terus menindas lagi, dengan menaikkan harga barang-barang keperluan berlipat ganda supaya kaum muslimin tidak terdaya membelinya.
Di suatu ketika Hakim bin Hizam membawa gandum untuk emak saudaranya iaitu Khadijah (r.a), antaranya telah dihalang oleh Abu Jahal, beliau melarang dan mencegah hingga terpaksa pula Abu al-Bukhturi Tnasuk campurtangan dan membiarkan Hakim menyampaikan juga gandum berkenaan kepada Khadijah emak saudaranya itu.
Abu Talib amat prihatin tehadap Rasulullah, hinggakan apabila orang semua hendak tidur beliau menyuruh Rasulullah tidur di tempatnya, supaya dapat pula beliau melihat sesiapa sahaja yang cuba membunuh Rasulullah, dan apabila semua orang nyenyak tidur, sekali lagi Abu Talib menyuruh salah seorang anaknya atau saudaranya atau anak saudaranya tidur di tempat Rasulullah di samping menyuruh membawa kelengkapan tidur mereka. Rasulullah bersama kaum muslimin akan keluar dari situ di musim haji, untuk menyeru orang ramai kepada Islam. Gelagat dan tindakan nakal Abu Lahab telahpun kita perkatakan sebelum ini.


PELANGGARAN PIAGAM

Tiga tahun berlalu keadaan tetap seperti itu juga, walau macam manapun pada bulan Muharam tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah berlaku pelanggaran dan pencerobohan ke atas piagam perjanjian musyrikin kerana di kalangan Quraisy sendiri ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju dengan piagam itu malah membangkangnya, lantaran itulah antara mereka ada yang berusaha mencerobohi dan melanggar piagam berkenaan.

Orang pertama yang berusaha ke arah itu ialah Hisyam bin Amru dari qabilah Banu Amir bin Luai, beliau sering berhubung secara rahsia di malam hari dengan Banu Hasyim dengan membawa makanan, beliau selalunya menemui Zuhair bin Abi Umaiyah al-Makhzumi, sedang ibunya adalah Atikah binti Abdul al-Muttalib, suatu hari beliau telah bercakap dengan Zuhair bin Abi Umaiyah katanya: Wahai Zuhair! Kamu boleh rela hati untuk memakan dan meminum sedang bapa-bapa saudara kamu, seperti kau tahulah. Jawab Zuhair: Baiklah, apa aku boleh buat, aku seorang sahaja, demi Allah kalau ada orang lain bersama ku, dah lama ku langgar piagam itu. Kata Hisham: Aku ada orang kedua? Tanya Zuhair: Siapa orangnnya? Jawab Hisham: Aku! kata Zuhair: Kita perlu orang ketiga.

Dengan itu beliau terus pergi menemui al-Mut'am bin 'Adi, beliau menyebut kepada al-Mut'am mengenai anak cucu Banu Hasyim dan Banu al-Muttalib. Kedua-duanya adalah keturunan Abdul Manaf, dan beliau mengecamnya di atas persetujuannya dengan Quraisy dan dengan piagam yang zaiim lagi menindas itu. Kata al-Mut'am: Baiklah, apa aku nak buat, kan aku ini seorang diri sahaja. Kata Hasyim: Aku dah ketemu dengan orang kedua. Kata Mut'am: Siapa? Jawab Hasyim: Aku sendiri. Kata al-Mut'am: Kita perlu orang ketiga. Kata Hasyim: Pun sudah aku ketemuinya. Kata al-Mut'am; Siapa orangnya? Jawab Hasyim: Zuhair bin Abi Umaiyah.

Kata al-Mut'am: Kita perlukan orang keempat. Kali ini Hasyim pergi bertemu Abi al-Bukhturi bin Hisyam, beliau menyuarakan pendapatnya seperti dikemukakan kepada al-Mufam, kata al-Mut'am: Ada tak orang lain yang boleh membantu usaha kita ini, jawab Hasyim, Tanya al-Bukhturi; Siapa-siapa, mereka itu, jawab Hisyam: Zuhair bin Abi Umaiyah, al-Mutam bin Adi dan aku tetap bersama kau, kata al-Bukhturi aku orang kelima.

Hisyam berkejar ke rumah Zama'ah bin al-Aswad bin al-Muttalib bin Asad, beliau mengemukakkan cadangannya itu kepada Zum'ah: Ada tak orang lain yang menyetujui perkara ini? kata Hisyam: memanglah ada orangnya, kemudian beliau membilang dengan menyebut nama-nama mereka, kemudian mereka semua bermesyuarat di al-Hujun, di mana mereka berjanji untuk memecah dan melanggar piagam yang zaiim itu, kata Zuhair: Biar aku orang yang pertama menyuarakan perkara ini. Sebaik sahaja subuh menjelang mereka pun segera ke kelab pertemuan, Zuhair dengan pakaian istimewanya, bertawaf mengelilingi Kaabah tujuh kali kemudian beliau terus berhadapan orang ramai di situ dan melaung dengan katanya: Wahai penduduk Makkah, apakah kita memakan makanan dan memakai pakaian, sedang Banu Hasyim susah kelaparan, tidak dibenar berjual beli dengan mereka? Demi Allah aku tidak akan berdiam diri aku pecah dan langgar piagam yang zalim itu.

Kata Abu Jahal yang sedang berada di penjuru masjid. Itu adalah dusta dari mu, demi Allah kau tidak akan melanggar piagam yang kita persetujui itu. Kata Zam'ah: Kerana kami tidak setuju piagam yang amat berdusta, kerana kami tidak setuju piagam itu dituliskan cuma kamu yang beria-ia sangat seperti yang tertulis itu, kata Abu al-Bukhturi: Memang kau benar wahai Zam'ah, sesungguhnya kami tidak rela dengan penulisannya itu dan kami tidak mengakuinya. Kata al-Mut’am bin 'Adi pula: Kamu berdua memang benar yang lain-lain itu dusta belaka, kami adalah bebas dihadapan Allah dengan segala apa yang tertulis. Hisyam pun berkata pula, sama seperti yang dibicarakan oleh kawannya yang lain. Kata Abu Jahal: perkara ini sudah diatur dalam satu malam, di mana kamu bermesyuarat bukan di tempat ini. Ketika perdebatan sedang berlaku, Abu Talib berada di suatu penjuru masjid, beliau datang ke sini kerana Allah telah memberi tahu kepada Rasul-Nya mengenai piagam yang mereka tulisnya itu, di mana Allah telah memusnahkannya dengan menghantar anai-anai memakannya, segala yang tertulis habis digeritnya, mana-mana sebutan zaiim, penganiayaan dan penindasan dimakannya, kecuali sebutan nama Allah sahaja yang ditinggalkannya, hal ini diceritakan kepada bapa saudaranya, untuk itu Abu Talib keluar menemui Quraisy, dan terus beliau menceritakan kepada mereka seperti apa yang telah dikisahkan oleh anak saudaranya Muhammad (s.a.w), sekiranya beliau berdusta aku beri laluan untuk kamu bertindak terhadapnya, tapi kalau beliau benar hendaklah kamu tarik balik tindakan kamu itu. Kata mereka: Ya! itulah yang adil dan wajar.

Setelah berlaku perbicaraan hangat antara orang ramai dan Abu Jahal, akhirnya al-Mut'am bangun dan pergi mengambil lambaran piagam untuk dimusnahkannya, tiba-tiba didapati anai-anai telahpun menggeritnya kecuali lafaz Bismika Allahhumma dan mana-mana lafaz yang tersebut nama Allah sahaja yang tidak dimakannya.

Dengan itu selesai pemecahan dan pelanggaran ke atas piagam, dengannya Rasulullah dan orang-orang yang bersama-samanya keluar dari lorong penempatan mereka, dengan itu juga pihak musyrikin dapat menyaksi sebahagian tanda keagungan kenabian, walaupun demikian mereka tetap sebagaimana yang dikisahkan Allah mengenainya: Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata
"(Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku". (al-Qamar: 2)

Malah mereka terus berpaling tadah dari tanda-tanda dan ayat-ayat Allah ini dan mereka semakin kufur.


PERWAKILAN QURAISY MENEMUI ABU TALIB UNTUK KALI TERAKHIR

Rasulullah telahpun keluar dari lorong Abu Talib namun baginda tetap menjalankan tugasnya seperti biasa, dan Quraisy pula walaupun telah meninggal pemboikotan namun mereka masih juga dengan sikap penindasan ke atas orang-orang Islam dan menghalang kerja-kerja dakwah kejalan Allah, sedemikian dengan Abu Talib dengan sikapnya yang amat prihatin dan penjagaan rapi terhadap diri Rasulullah, usia Abu Talib kini sudah pun melewati lapan puluh tahun, kesengsaraan dan peristiwa-peristiwa besar yang silih berganti itu, terutamanya pemulauan ekonomi telah menyebabkan sendi-sendi tulangnya semakin lemah, tulang belakangnya bagai terpatah, tidak selang berapa bulan selepas mereka keluar dari pengurungan tiba-tiba beliau telah diserang penyakit yang berat dan menekan, pihak musyrikin pun curiga akan terjejas nama baik mereka di kalangan bangsa Arab, sekiranya suatu yang buruk tidak diingini akan terjadi ke atas anak saudaranya itu, selepas kematiannya nanti, untuk itu mereka mencuba sekali lagi untuk berbincang dengan Muhammad dengan kehadirannya sekali, dan mereka akan bertolak ansur dengan syarat yang mereka berkeras dengannya dimasa-masa yang lalu, dengan itu Quraisy telah mengutus perwakilannya menemui Abu Talib. Ibnu Ishak dan yang lain-lain meriwayatkan dengan katanya: Setelah Abu Talib mengadu hal kesakitannya, dan beritanya ini telah sampai kepengetahuan Quraisy, maka mereka bermesyuarat sesama mereka.

Kini Hamzah dan Umar sudah pun menganut Islam, cerita mengenai Muhammad dan usahanya semakin berkembang di kalangan kabilah-kabilah Quraisy, kata mereka: Ayuh kita menemui Abu Talib, kita pinta supaya beliau menekan anak saudaranya itu untuk menerima syarat-syarat kita, demi Allah kita curiga mereka (kaum muslimin) akan menguasai kita. Riwayat dalam lafaz lain berbunyi: Sebenarnya kita takut, nanti orang tua itu akan mati dan Muhammad pula dapat menguasai suasana, habislah kewibawaan kita, hingga seluruh bangsa Arab memperlecehkan kita, dan mereka akan mengatakan: Dulu mereka membiarkannya hingga apabila bapa saudaranya mati baru mereka kerjakannya. Dengan itu mereka pergi menemui Abu Talib dan berbincang dengannya, mereka semua adalah pemuka-pemuka kaum yang terdiri dari: Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Abu Jahal bin Hisyam, Umaiyah bin Khalaf dan Abu Sufian bin Harb adalah tokoh yang mengepalai rombongan seramai dua puluh lima orang ini, kata mereka: Wahai Abu Talib kau sebenarnya adalah sebahagian dari kami, sebagaimana yang diketahui, kita semua sudah pun lanjut usia, kami pun takut juga hal yang akan menemui kau itu, sebagaimana yang kau tahu hal yang terjadi di antara kami dan anak saudaramu itu, cuba kau pinta kepadanya, dan beliau boleh membuat syarat kepada kami dan beliau pula harus menerima sesuatu dari kami, supaya beliau berhenti mengecam kami dan kami pun boleh berhenti menentangnya, dan hendaklah beliau membiarkan kami dengan agama kami, dan disebaliknya kami akan membiarkan beliau dengan agamanya. Lalu Abu Talib menjemput Rasulullah, dan Rasulullah pun segera tiba, terus beliau berkata: Wahai anak saudaraku ini semua adalah pembesar-pembesar kaum kau, mereka berkumpul kemari, semata-mata untuk kau untuk menawarkan kau sesuatu dan untuk menerima sesuatu darimu.

Kemudian Abu Talib menyampaikan hal yang dikemukakan oleh mereka tadi, iaitu untuk sama-sama tidak mengganggu pihak yang lain. Jawab Rasulullah: Apa pendapat kamu sekiranya aku kemukakan kepada kamu satu perkataan yang apabila kamu ucapkannya kamu akan menguasai seluruh bangsa Arab, dan bangsa-bangsa lain akan tunduk kepada kamu. Dalam perkataan yang lain pula bahawa, Baginda berbicara kepada Abu Talib dengan katanya: Daku mahu, semua mereka berada dalam kalimah yang satu, yang apabila mereka ucapkan kalimah itu seluruh bangsa Arab akan tunduk kepada mereka dan bangsa asing akan membayar ufti kepada mereka. Dan dalam lafaz yang lain pula, kata Baginda: Wahai bapa saudaraku, boleh tak ayahnda serukan mereka kepada suatu yang lebih baik untuk mereka, kata Abu Talib: Sebutlah apa yang hendak kau serukan mereka itu? Jawab Baginda: Aku mengajak mereka untuk melafazkan satu kalimah yang apabila mereka lakukan seluruh bangsa Arab akan tunduk akur kepada mereka, malah mereka akan menguasai seluruh bangsa-bangsa asing. Manakala lafaz dari riwayat Ibnu Ishak berbunyi: Hanya satu kalimah sahaja, kamu ucapkannya nescaya kamu akan menguasai bangsa Arab, dan bangsa asing pula akan tunduk kepada
kamu. Setelah mana Rasulullah menyebut kata-katanya ini mereka semua berhenti dan kebingungan, dan bagaimana hendak menolak tawaran hanya satu kalimah yang amat berfaedah sekali bagi mereka, lantas Abu Jahal pun berkata: Apa dia perkataan itu? demi bapa engkau, mudah sangat, kami boleh ucapkannya dan sepuluh yang lain pun tidak mengapa, jawab Rasulullah: Ucaplah "lailahaillallah " di samping kamu menolak seluruh penyembahan-penyembahan yang lain. Dengan itu mereka semua menepuk-nepuk tangan mereka dan berkata: Wahai Muhammad, kamu hendak kami jadikan tuhan-tuhan yang banyak itu satu tuhan sahaja? Ini tidak boleh jadi, ini perkara yang menghairankan. Selepas itu mereka berkata sesama mereka: Demi Allah sesungguhnya orang ini (iaitu Muhammad), tidak akan memberi suatu pun kepada kamu, ayuh beredar dari sini, dan teruskan dengan agama nenek moyang kita dahulu, hingga Allah sahaja yang menghukumkan di antara kita dan dia. Dengan itu mereka semua bersurai.

Mengenai mereka ini Allah menurunkan wahyunya:
Saad; demi Al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran. (Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu - wahai Muhammad – tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran. (Tidakkah mereka menyedari) berapa banyak umat-umat (yang ingkar) yang terdahulu dari mereka, Kami binasakan? Lalu mereka meminta pertolongan, padahal saat itu bukanlah saat meminta pertolongan melepaskan diri dari azab. Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. " Patutkah ia menafikan tuhantuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!" Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): "Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki. " Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata".
(Shaad: 1-7)


TAHUN PERKABUNGAN

Kematian Abu Talib
Kegeringan Abu Talib semakin menekan, tidak berapa lama beliau pun meninggal dunia, kematian beliau adalah di bulan Rejab' tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah, iaitu enam bulan selepas keluar dari pengepungan di lorong Abi Talib, ada pendapat yang menyebut beliau meninggal di bulan Ramadhan tiga hari sebelum kewafatan Khadijah (r.a).
Dalam sahih Bukhari hadis yang diriwayatkan dari al-Musayyab: Bahawa Abu Talib ketika hampir kewafatannya beliau telah dihadiri oleh Rasulullah di sampingnya juga Abu Jahal, di sini Baginda menyeru Abu Talib: Wahai ayahanda sebutlah "lailahaillallah" satu kalimah yang boleh kuberhujah dengannya di hadapan Allah esok. Kata Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah: Wahai Abu Talib: Mahu kau tinggal agama bapa kau Abdul Muttalib? Beginilah keadaan mereka berdua, tarik menarik Abu Talib ke pihaknya, akhirnya Abu Talib menyebut: Aku dalam agama Abdul Muttalib bersama dengan hembusan nafas terakhir, di ketika itu Rasulullah berkata: Sesungguhnya akan ku beristighfar untuk kau selagi mana aku tidak ditegah berbuat sesuatu untuk kau. Di masa itu turunlah wahyu Allah: yang bermaksud:
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang yang beriman, meminta ampun bagi orang yang musyrik, sekali pun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang musyrik itu adalah ahli neraka.
(at-Taubah: 113)
Dan turun juga ayat:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam),(al-Qashas: 56)

Tidak perlu untuk menjelaskan lagi bagaimana Abu Talib ini merupakan penjaga dan benteng kepada Rasulullah, hingga dakwah Islamiah boleh bertahan di sebaliknya, dari serangan kaum sufaha dan elit, tetapi beliau tetap dengan agama datuk moyangnya, sesungguhnya beliau gagal di sisi Allah. Di dalam sahih al-Bukhari satu riwayat dari al-Abbas bin Abdul al-Muttalib yang berkata kepada Rasulullah: Kau tidak boleh memanfaatkan bapa saudara mu itu, beliau mempertahankan dan membela kau, kata Rasulullah: Beliau di hujung api neraka, kalau tidak kerana aku, sudah pasti di lapisan terbawah api neraka.
Dari Abi Said al-Khudri, meriwayatkan, bahawa beliau mendengar Rasulullah menyebut tentang bapa saudaranya, dengan sabdanya yang bermaksud:
"Semoga syafaat ku boleh memanafaatkan beliau di hari Qiamat nanti, beliau diletakkan di
hujung api neraka sampai membakar dua tumitnya "

KHADIJAH KEMBALI KE RAHMATULLAH

Lebih kurang dua atau tiga bulan selepas kematian Abu Talib, Khadijah pula kembali ke rahmatullah, kewafatan beliau ialah di dalam bulan Ramadhan tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah, dalam lingkungan usia lima puluh enam tahun manakala Rasulullah berusia lima puluh tahun.Sesungguhnya Khadijah adalah ni'mat dan anugerah yang teragung kepada Rasulullah, beliau bersama-sama Rasulullah untuk selama suku abad mencucuri Baginda dengan belai kasih sayang terhadap Baginda, di saat-saat genting dan meruncing, menyokong Baginda di waktu-waktu kegawatan yang diperlukan kepada sokongan dan bantuan, malah beliau menolong Baginda menyebar ajaran dan risalahnya, bersama-sama Rasulullah ke medan jihad suci,
berkongsi kemewahan dan kesusahan dengan harta dan keringatnya pernah Rasulullah menyebut-nyebut kelebihan Khadijah dengan sabdanya yang bermaksud:
Beliau beriman denganku ketika manusia kufur denganku, membenarkan daku ketika manusia mendustai daku, berkongsikan daku haita-hartanya ketika manusia lain enggan memberi daku, dan Allah mengurniakan darinya anak-anak dan tidak mengumiakan anak dari yang lain.

Al-Bukhari dalam sahihnya meriwayatkan hadith dari Abi Hurairah dengan katanya: Jibril (a.s.), telah mendatangi Nabi Muhammad (s.a.w) dan berkata; Wahai Rasulullah itu dia Khadijah (r.a.) telah datang bersama-samanya satu bekas, di dalamnya hidangan atau makanan atau minuman, bila beliau tiba ke hadapanmu, sampaikan kepadanya salam dari Tuhannya dan beritahu kepadanya berita gembira di mana tersedia untuk beliau sebuah rumah di dalam syurga, diperbuat dari permata baiduri tiada bising dan gangguan di dalamnya.


DUKACITA YANG SILIH BERGANTI

Dua peristiwa sedih yang menekan, berturut mengoncang perasaan Baginda dan menyayat hati naluri Rasulullah, dari situ musibah kaumnya bertubi-tubi menimpa Rasulullah, mereka lebih berani lagi dari masa yang lampau, terang-terangan mengancam Baginda dengan kenakalan dan penyiksaan. Selepas kematian Abu Talib, Baginda semakin bertambah duka nestapa, hingga terasa berputus asa dengan mereka, lalu Baginda keluar ke Taif dengan harapan di sana penduduknya akan menyahut seruannya dan membantu menghadapi kaum Quraisy, malang di sana tiada siapa yang mahu menyokong dan membantu, malah yang didapati penentangan yang lebih pahit lagi, Baginda mengalami lebih teruk lagi, dari apa yang diharap
dari kaumnya.
Sebagaimana tekanan semakin hebat ke atas Rasulullah semakin hebat juga penyiksaan ke atas sahabatnya, hinggakan sahabatnya yang tersayang, Abu Bakr al-Siddiq mengambil langkah untuk berhijrah keluar dari Makkah, beliau keluar hingga sampai ke Birk al-Ghamad untuk pergi ke Habsyah, namun beliau telah di bawa pulang oleh Ibnu al-Dughnah dan meletak di bawah suakanya. Ibnu Ishak meriwayatkan: Setelah Abu Talib-meninggal dunia, pihak Quraisy mengancam Rasulullah dengan berbagai penyiksaan yang belum pernah dialami semasa hayat Abu Talib, malah golongan bodoh pun berani juga, pernah di suatu hari seorang lelaki bodoh berani menabur pasir ke atas kepala Rasulullah, Baginda memasuki rumahnya dengan tanah dan pasir bertaburan di kepala Baginda, salah seorang puterinya membasuh kepalanya sambil menangis, namun Rasulullah masih menenangkannya: Tak usah kau tangis wahai anakku, sesungguhnya Allah melindungi ayahmu ini. Quraisy tidak melakukan seberat ini, yang paling ku benci, melainkan selepas kematian Abu Talib.
Oleh kerana bertubi-tubi penyiksaan di tahun ini maka Baginda menamakan tahun berkenaan dengan tahun perkabungan dan dukacita, dan penamaan ini memang terkenal di dalam sejarah Islam.


Petikan
SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W.
PENGAJARAN & PEDOMAN

Dr. Mustafa as-Syibaie


PERMULAAN WAHYU SEHINGGA HIJRAH KE HABSYAH

A) Peristiwa-peristiwa Sejarah
Dalam tempoh ini, peristiwa-peristiwa sejarah berikut terbukti berlaku:
1. Wahyu diturunkan kepada Rasul s.a.w.: Apabila Nabi s.a.w. berusia genap 40 tahun,
Jibril turun membawa wahyu kepada Baginda.Berlaku pada hari Isnin, 17 Ramadhan.

Imam al-Bukhari r.hm. meriwayatkan kepada kita tentang cara penurunan wahyu dalam
Kitab Sahihnya dengan sanad yang bersambung kepada Aishah, kata beliau: Perkara pertama yang mula-mula berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ialah mimpi baik semasa tidur. Baginda hanya bermimpi melihat ia datang seperti cahaya subuh. Kemudian ditimbulkan kepada Baginda rasa cinta untuk berkhulwah (bersendirian). Baginda berkhulwah di Gua Hira. Baginda beribadat di dalamnya untuk beberapa malam sebelum pulang menemui keluarganya bagi mengambil bekalan untuk khulwah seterusnya. Kemudian Baginda kembali menemui Khadijah, mengambil bekalan yang seumpamanya.

Sehinggalah wahyu kebenaran diturunkan kepada Baginda ketika berada di
Gua Hira. Malaikat (Jibril) datang menemui Baginda seraya berkata:
Bacalah. Baginda berkata: Aku tidak tahu membaca. Baginda menceritakan:
Maka dia memegang dan menutupi aku sehingga aku merasa kepenatan.
Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata lagi: Bacalah. Maka aku berkata:
Aku tidak tahu membaca. Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali
kedua sehingga aku merasa penat. Kemudian dia melepaskan aku. Dia
berkata kembali: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca. Maka
dia memegang dan menutupi aku untuk kali ketiga. Kemudian dia melepaskan
aku seraya berkata:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan
(sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia
melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya. (Al-Alaq: 1-5)

Setelah itu, Rasulullah s.a.w. pulang dalam keadaan gementar. Baginda mendapatkan
Khadijah binti Khuwailid r.ha. seraya berkata: "Selimutkan aku, selimutkan aku." Khadijah segera menyelimutkan Baginda sehingga hilang rasa takut. Baginda menceritakan apa yang berlaku dan berkata: "Aku bimbangkan diriku."
Lantas Khadijah berkata: "Tak mungkin. Demi Allah, Allah tidak sekali-kali akan
menghina kamu. Kamu menyambung silaturrahim, menanggung pihak yang lemah, memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang hak."

Setelah itu, Khadijah bersama Rasulullah s.a.w. berangkat menemui Waraqah bin
Naufal bin Asad bin 'Abdul 'Uzza. Waraqah merupakan sepupu Khadijah. Beliau seorang lelaki yang menganut agama Nasrani semasa jahiliyah. Beliau juga boleh menulis dalam bahasa Ibrani. Beliau telah menulis Injil dengan bahasa Ibrani setakat yang dikehendaki Allah. Ketika pertemuan ini, dia telah tua dan buta. Khadijah berkata: "Wahai sepupuku, dengarlah (kisah) daripada anak sahabatmu." Maka Waraqah bertanya kepada Baginda:
"Wahai anak sahabatku, apa yang kamu lihat?" Lantas Rasulullah s.a.w. menceritakan apa yang telah dilihatnya. Waraqah berkata: "Ia adalah Namus (pembawa wahyu, iaitu Jibril) yang pernah turun kepada nabi Musa a.s.. Alangkah baiknya kalau aku masih muda remaja dan kuat. Semoga aku masih hidup ketika kaum kamu mengusirmu keluar." Lantas Rasulullah s.a.w. bertanya: "Adakah mereka akan mengusir aku keluar?" Dia berkata: "Ya. Tiada seorang lelaki yang datang membawa seperti apa yang kamu bawa, pasti akan dimusuhi. Sekiranya aku sempat dengan hari itu, aku akan menolong kamu semampuku."

Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. Sementara wahyu pula telah terhenti
sementara waktu.

Dalam riwayat Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq disebut: Jibril datang menemui
Rasulullah s.a.w. ketika Baginda sedang tidur di Gua Hira. Dia datang dengan membawa sejenis bekas daripada sutera yang diletakkan kitab di dalamnya.
Jibril berkata: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5).

Baginda berkata: "Maka aku membacanya. Kemudian, setelah selesai dia beredar, lalu aku terjaga daripada tidur. Seolah-olah tertulis dalam hatiku satu tulisan." Baginda berkata: "Maka aku keluar (daripada gua itu) sehingga aku berada di tengah-tengah bukit. Aku dengar satu suara daripada langit berkata: "Wahai Muhammad, kamu adalah utusan Allah, aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Lantas aku mendongak kepalaku ke langit untuk melihat. Tiba-tiba (muncul) Jibril dalam bentuk seorang lelaki yang
menyandarkan kedua-dua kakinya di ufuq langit.

Dia berkata: "Wahai Muhammad, kamu adalah utusan Allah dan aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Aku tercegat melihatnya, tidak mara mahupun berundur. Aku memalingkan mukaku daripadanya di ufuq langit. Namun apabila aku memandang ke arah langit yang lain, aku tetap melihatnya juga. Aku terus tercegat berdiri, tidak ke depan mahupun ke belakang sehinggalah Khadijah mengutuskan utusan-utusannya mencariku.... (hingga akhir riwayat).

2. Orang pertama yang beriman dengan Baginda dan memeluk Islam ialah isteri
Baginda, Khadijah r.ha., kemudian sepupu Baginda, Ali r.a.. Ketika itu Ali masih kanak-kanak berumur 10 tahun. Kemudian diikuti pula oleh bekas hamba Baginda, Zaid bin
Harithah. Kemudiannya Abu Bakar as-Siddiq r.a.. Hamba sahaya yang mula-mula sekali memeluk Islam ialah Bilal bin Rabah al-Habsyi. Oleh itu, Khadijah merupakan orang yang pertama beriman dengan Baginda secara mutlak. Rasulullah s.a.w. telah bersembahyang bersamanya pada petang hari Isnin. la merupakan hari pertama Baginda bersembahyang.
Solat ketika itu dilakukan dua rakaat di waktu subuh dan dua rakaat di waktu petang.

3. Kemudian wahyu terhenti untuk seketika. Berlaku perselisihan riwayat tentang
tempohnya. Yang paling lama ialah tiga tahun dan paling singkat ialah enam bulan. Riwayat enam bulan itulah yang sahih. Ketika tempoh terputusnya wahyu, Rasulullah s.a.w. merasa susah hati dan amat dukacita, sehingga Baginda hampir-hampir keluar ke kawasan bukit dan ingin menghumbankan diri daripada puncaknya2. Baginda menyangka Allah telah membencinya setelah memilihnya untuk tugas risalah yang mulia. Selepas itu, wahyu kembali turun kepada Baginda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Jabir bin Abdullah al-Ansori, daripada Nabi s.a.w.:
Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara daripada langit. Aku mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepada aku di Gua Hira'. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Aku merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata: Selimutkan aku. Maka Allah Taala
telah menurunkan:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan
amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah
kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan
segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. (Al-Muddathir: 1-5)

Setelah itu wahyu turun berterusan.

(2 Ayat: "hampir-hampir menghumbankan diri daripada kemuncak bukit kerana dukacita wahyu terhenti
sekalipun terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhah, ia adalah daripada retorika az-Zuhri. Ia tidak bersambung kait dengan riwayat asal. Sebagaimana yang disebut oleh pengarang kitab Fathul Bah. Lihat Fathul Bah 12/316.)


4. Selepas itu, Rasulullah s.a w. mula berdakwah kepada Islam di kalangan orang yang
dipercayai (kerasionalan) akalnya selama tiga tahun cukup. Hasilnya, beberapa orang lelaki dan wanita yang terkenal dengan pemikiran yang matang dan jiwa yang sejahtera, telah memeluk Islam.
Setelah bilangan mereka yang memeluk Islam mencapai kira-kira 30 orang, Allah
memerintahkan Rasul-Nya s.a.w. untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Ini dinyatakan dalam firman-Nya:
Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan
kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan
dan tentangan kaum kafir musyrik itu. (Al-Hijr: 94)

5. Ekoran dakwah secara terang-terangan itu, bermulalah peringkat menyakiti orang-orang mukmin yang baru memeluk Islam. Bahkan Rasulullah s.a.w. turut disakiti. Orang
musyrik merasa bimbang apabila Rasul memperbodohkan pemikiran mereka, membongkar kecacatan tuhan-tuhan mereka dan mengemukakan agama baru kepada mereka. Agama itu mengajak kepada Tuhan yang Esa. Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh mata dan pandangan, sedangkan Dia yang mengetahui hakikat pandangan mata. Dia juga Tuhan yang Maha Lemah Lembut lagi Maha Mengetahui apa yang telah dan akan berlaku.

6. Dalam tempoh ini Rasul s.a.w. bersama orang-orang mukmin berhimpun secara sulit
di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Al-Arqam bin Abi al-Arqam ketika itu telah memeluk Islam. Baginda membacakan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang diterimanya kepada mereka di samping mengajar mereka hukum-hakam dan syariat agama yang telah diturunkan ketika itu.

7. Pada suatu hari, Rasul s.a.w. diperintahkan untuk memberi amaran kepada kaum
keluarganya yang terdekat. Maka Baginda berdiri di bukit Sofa, menyeru satu persatu
keluarga Quraisy. Baginda mengajak mereka kepada Islam dan meninggalkan penyembahan berhala. Baginda memotivasi mereka kepada syurga dan memberi amaran tentang neraka. Ekoran dakwah itu, Abu Lahab menengking Baginda: "Celaka kamu, adakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?"

8. Quraisy ingin bertindak ke atas Rasul s.a.w., namun bapa saudara Baginda, Abu Tolib melindunginya. Beliau enggan menyerahkan Baginda kepada mereka. Setelah Quraisy beredar, Abu Tolib meminta Baginda untuk mengendur-kan dakwahnya. Baginda menyangka bapa saudaranya tidak lagi mahu membantunya, maka Baginda mengucapkan kata-katanya yang masyhur:

"Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Kalau mereka meletakkan matahari di
sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya, sehinggalah Allah
memenangkannya atau aku binasa kerananya".

9. Selepas peristiwa tersebut, orang musyrik semakin hebat menyakiti Rasul s.a.w. dan
para sahabat. Sehingga ada yang mati diseksa dan ada yang buta.

10. Apabila Quraisy melihat orang-orang mukmin tetap teguh dengan aqidah mereka
(sekalipun diseksa dan disakiti), mereka membuat keputusan untuk berunding dengan Rasul s.a.w.. Mereka menawarkan harta sebanyak mana yang Baginda mahu, atau melantik Baginda sebagai raja mereka. Namun Baginda menolak semua tawaran itu.

11. Melihatkan kedegilan dan penyiksaan berterusan Quraisy terhadap para sahabat,
Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabatnya: "(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar ke bumi Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar kepada kesulitan kamu ini."

Oleh itu, para sahabat berhijrah ke sana untuk kali pertama seramai 12 orang lelaki
dan 4 wanita. Namun, selepas menerima khabar pengislaman Umar dan kejayaan Islam, mereka pulang kembali ke Makkah. Akan tetapi, tak lama kemudian mereka pergi semula ke Habsyah bersama orang-orang mukmin yang lain. Bilangan mereka dalam hijrah kali kedua ke Habsyah ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita.

12. Selanjutnya, orang-orang musyrik bertindak memboikot Rasulullah s.a.w., Bani
Hasyim dan Bani Muttolib. Orang musyrik tidak lagi berjual beli, bernikah dan bergaul
dengan mereka. Orang musyrik juga tidak menerima sebarang perdamaian daripada mereka. Pemboikotan itu berlanjutan selama dua atau tiga tahun. Rasul s.a.w. dan orang yang bersamanya berhadapan dengan kesulitan yang teruk kesan pemboikotan tersebut. Ia berakhir hasil usaha tokoh-tokoh Quraisy yang rasional.

B) Pengajaran dan Pedoman
1. Apabila Allah ingin mendorong seseorang hamba berdakwah kepada kebaikan dan
pengislahan, Dia akan mencampakkan ke dalam hatinya, rasa benci kepada kese-satan dan kerosakan yang dilakukan oleh masyarakatnya.

2. Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercita-cita menjawat tugas kenabian dan tidak
pernah mengimpikannya. Apa yang Allah ilhamkan kepada Baginda hanyalah rasa cinta
untuk berkhulwah melakukan ibadat. Allah mengilhamkan perasaan tersebut sebagai proses pembersihan dan persediaan rohani untuk memikul bebanan risalah. Sekiranya Baginda s.a.w. bercita-cita memperolehi kenabian, nescaya Baginda tidak takut ketika wahyu diturunkan kepadanya. Baginda juga tidak akan menemui Khadijah meminta penerangan tentang rahsia kejadian yang dilihatnya dalam Gua Hira itu. Rasul s.a.w. mendapat kepastian bahawa Baginda adalah Rasul, hanya setelah melihat Jibril. Begitu juga setelah Waraqah bin Naufal menegaskan perkara itu kepada Baginda. Waraqah memberitahu Baginda, apa yang dialami Baginda di dalam gua tersebut adalah wahyu yang pernah diturunkan kepada nabi Musa a.s..

3. Jika dakwah islah merupakan satu perkara yang janggal kepada kepercayaan dan
mentaliti kebanyakan orang ramai, pendakwah tidak perlu menyampaikannya secara lantang. Dia perlu menangguh langkah dakwah secara terang-terangan sehinggalah sebilangan manusia telah mengimani dakwah tersebut dan sanggup berkorban apa sahaja, mahal mahupun murah, demi jalan dakwah. Langkah ini dilakukan supaya jika pelopor dakwah disakiti, para pengikut yang beriman dengan dakwahnya akan bangkit melakukan kewajipan dakwah (menggantikan beliau). Dengan itu, kesinambungan dakwah akan terjamin.

4. Rasulullah s.a.w. telah mengejutkan Arab dengan perkara yang asing bagi mereka.
Oleh itu, mereka menyanggah keras dakwah Baginda. Cita-cita mereka hanya untuk
menghapuskan Baginda dan para sahabat. Penentangan ini merupakan jawapan dalam bentuk sejarah terhadap dakwaan pejuang perkauman. Mereka mendakwa nabi Muhammad s.a.w. dan risalah Baginda mewakili cita-cita dan aspirasi Arab ketika itu. Ini adalah dakwaan yang melucukan. la ditolak oleh fakta-fakta sejarah yang diperakui, sebagaimana yang kita dapati. Sebab yang mendorong mereka membuat dakwaan sebegini hanyalah berpunca daripada sikap ekstrim dalam mendokong seruan perkauman. Dakwaan ini juga didorong oleh keinginan mereka menjadikan Islam sebagai urusan yang lahir daripada keperibadian dan pemikiran Arab. la juga merupakan keingkaran yang nyata terhadap kenabian Rasul s.a.w. di
samping merendahkan-rendahkan risalah Islam.

5. Walaupun setelah golongan jahat dan sesat mengenakan seksaan dan penindasan ke atas orang-orang mukmin, mereka tetap berpegang dengan akidah mereka. Ini menjadi bukti kejujuran iman dan keikhlasan pegangan akidah mereka. la juga menunjukkan ketinggian jiwa dan rohani mereka. Mereka menganggap kesakitan yang menimpa hanyalah sebagai satu kerehatan perasaan, juga ketenangan jiwa dan akal. Mereka lebih mendambakan keredhaan Allah Jalla Sya'nuh berbanding penyeksaan, halangan dan penindasan yang dialami oleh jasad mereka.

Penguasaan hakiki bagi orang-orang mukmin yang jujur dan pendakwah yang ikhlas
adalah kepada roh-roh mereka, bukan kepada tubuh badan mereka. Mereka segera menyahut tuntutan rohani tanpa menghiraukan kerehatan, kekenyangan dan kelazatan yang dituntut oleh jasad mereka. Dengan sikap inilah, dakwah telah menang dan kebanyakan orang ramai ber-jaya dibebaskan daripada kegelapan kesesatan dan kejahilan.

6. Sabda Rasul s.a.w. kepada bapa saudara Baginda Abu Tolib dan keengganan Baginda menerima tawaran harta dan takhta yang ditawarkan oleh Quraisy menjadi bukti kebenaran dakwaan kerasulan Baginda. la juga menjadi bukti kesungguhan Baginda membawa petunjuk kepada manusia. Demikian juga, seseorang pendakwah sepatutnya tekad meneruskan dakwahnya walau bagaimana golongan batil berhimpun menentangnya. Dia perlu mengalih pandangannya daripada godaan mereka yang menawarkan kemegahan dan pangkat. Bagi orang-orang mukmin, susah payah di jalan kebenaran merupa-kan kerehatan jiwa dan hati mereka. Pada mereka, redha Allah dan syurga-Nya lebih mulia dan lebih berharga daripada segala pangkat, kemegahan dan harta dunia.

7. Pendakwah mestilah berada bersama-sama para penyokongnya untuk tempoh tertentu pada setiap hari atau setiap minggu. la bertujuan untuk mempertingkat-kan keimanan mereka terhadap dakwah, mengajar mereka tentang jalan, cara dan adab dakwah. Dia wajib menjadikan perhimpunan mereka rahsia apabila bimbang keselamatan diri dan jamaahnya terancam ekoran perhim-punan terang-terangan. Langkah ini agar golongan batil tidak berkomporomi menghapuskan mereka atau mening-katkan penyeksaan dan penindasan ke atas mereka.

8. Seorang pendakwah mestilah mengambil berat tentang kaum kerabatnya. Dia perlu
menyampaikan dakwah islah kepada mereka. Namun sekiranya mereka menolak, dia akan mempunyai alasan di hadapan Allah dan manusia terhadap kerosakan dan kesesatan kaum kerabatnya itu.

9. Apabila pendakwah mendapati jamaahnya dalam bahaya, sama ada kepada nyawa
atau berbentuk ancaman fitnah kepada pegangan akidah, dia mestilah menyediakan tempat yang selamat untuk penyokongnya daripada pencerobohan golongan batil tersebut. Usaha ini tidak menafikan kewajipan para pendakwah kebenaran untuk berkorban. Namun jika bilangan mereka sedikit, golongan batil akan berjaya menghapuskan mereka dan melenyapkan dakwah sekaligus. Sementara kewujudan mereka di tempat yang selamat, menjadi jaminan kepada kesinambungan dakwah dan penyebarannya.

10. Perintah Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (walaupun berbeza agama mereka) adalah lebih kuat dan kukuh. Ini berbanding ikatan mereka dengan penyembah berhala dan golongan atheis. Agama-agama Samawi dari segi sumber dan asas-asasnya yang sahih, sepakat dalam objektif utama sosial. la juga sepakat dalam persoalan keimanan kepada Allah, rasul-rasul-Nya dan hari Akhirat. Kebersamaan ini menjadikan jalinan kekerabatan antara agama ini lebih kukuh berbanding mana-mana jalinan lain; Sama ada ikatan kaum kerabat, hubungan darah ataupun tempat tinggal yang berpasakkan pegangan atheism, keberhalaan dan kekufuran terhadap syariat Allah.

11. Golongan batil tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap
kali usaha pembasmian dakwah yang digunakan gagal mencapai objektifnya, mereka akan mencipta cara dan medium yang lain. Demikianlah penentangan ini akan berterusan sehinggalah kebenaran benar-benar mencapai kemenangan yang muktamad dan kebatilan menghembus nafasnya yang terakhir.


Bahagian 3

SELEPAS HIJRAH KE HABSYAH HINGGA HIJRAH KE MADINAH
A) Peristiwa-peristiwa Sejarah

Fasa ini lebih istimewa berbanding fasa-fasa yang lain ekoran berlaku beberapa peristiwa yang terkenal:
1. Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w. telah meninggal dunia pada tahun ke-10
kerasulan. Abu Talib semasa hayatnya, kuat mempertahankan anak saudaranya, iaitu
Rasulullah s.a.w.. Quraisy tidak berjaya menyakiti diri Nabi s.a.w. sepanjang hayat Abu Talib kerana mereka hormat dan gerun kepadanya. Apabila beliau meninggal dunia, Quraisy mula berani bertindak kasar terhadap Nabi s.a.w.. Lantaran itu, kematian beliau menimbulkan rasa sugul yang mendalam kepada Nabis.a.w..Nabi bersungguh-sungguh mendesak Abu Talib untuk mengucap kalimah syahadah ketika beliau terbaring nazak pada saat-saat akhir kematiannya. Namun Abu Talib enggan kerana bimbang beliau akan mendapat malu daripada kaumnya.

2. Khadijah r.ha. juga meninggal dunia pada tahun yang sama. Sebelum itu, Khadijah
berperanan meringankan kerungsingan dan kesedihan Rasul s.a.w. lantaran permusuhan Quraisy yang dihadapi Baginda. Apabila beliau meninggal dunia, Baginda merasa terlalu dukacita. Tahun kematian bapa saudara Baginda, Abu Tolib dan isterinya, Khadijah dinamakan sebagai "Tahun Dukacita".

3. Apabila tipu daya dan perbuatan menyakiti Rasul s.a.w. yang dilakukan oleh Quraisy
semakin hebat, iaitu selepas kematian bapa saudara dan isteri Baginda, Baginda menuju ke Taif. Baginda ke sana dengan harapan akan mendapat sambutan yang baik dan sokongan kepada dakwahnya di kalangan Bani Thaqif. Namun mereka menolak dakwah Baginda secara kasar. Mereka menghasut kanak-kanak untuk menyakiti Baginda. Kanak-kanak tersebut telah melontar batu ke arah Baginda sehingga darah mengalir daripada kedua kaki Baginda yang suci. Baginda telah berlindung di sebuah kebun. Baginda memanjatkan doa kepada Allah dengan penuh khusyuk:
“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya
kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan
Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga
Tuhanku. Kepada siapa Kamu serahkan aku ? Kepada orang jauh yang
memandangku dengan wajah bengis3 atau kepada musuh yang menguasai
urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang
menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku
berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta
memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada
kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk
mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan
melainkan dengan-Mu.”
3 iaitu melihat dengan pandangan benci. Ia adalah kiasan kepada permusuhan dan kebencian.

4. Rasulullah s.a.w. pulang dari Taif dalam keadaan dakwah-nya tidak mendapat
sebarang sambutan daripada kaum Thaqif. Yang ada hanyalah keislaman Addas, hamba kepada Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah. Addas merupakan seorang hamba beragama Nasrani. Kedua-dua tuannya meminta beliau menghidangkan setangkai anggur kepada Rasul s.a.w. semasa Baginda sedang berlindung dalam sebuah kebun. Mereka memerintah beliau berbuat demikian setelah melihat Rasulullah kepenatan dan layanan buruk Thaqif kepada Baginda. Apabila Addas menghidangkan anggur itu kepada Raaul s.a.w., Baginda mula memakannya seraya berkata: Bismillah (Dengan nama Allah). Ucapan basmalah itu menarik perhatian Addas, kerana tiada sesiapa di kalangan kaum itu mengucapkan kalimah seperti itu. Beliau memeluk Islam setelah berdialog dengan Nabi s.a.w..

5. Berlaku mukjizat Isra' dan Mi'raj. Terdapat perselisihan berkenaan tarikh peristiwa ini
berlaku. Secara pasti ia berlaku sebelum hijrah pada tahun ke-10 kenabian atau selepasnya. Pendapat sahih yang dipegang oleh jumhur ulama, Isra' dan Mi'raj berlaku pada suatu malam secara jaga melibatkan jasad dan roh Nabi s.a.w.. Baginda diisra'kan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian Baginda dimi'rajkan ke langit yang tinggi. Seterusnya pulang kembali kerumah Baginda di Makkah pada malam itu juga. Baginda memberitahu Quraisy tentang mukjizat itu. Mereka mempersenda dan memperlekehkan Baginda. Namun Abu Bakar dan mereka yang kuat imannya telah membenarkan Baginda.

6. Pada malam Isra' dan Mi'raj tersebut, sembahyang lima waktu difardhukan ke atas
setiap orang Islam yang baligh dan berakal.

7. Rasul s.a.w. menemui kabilah-kabilah Arab yang datang semasa musim haji
(sebagaimana kebiasaan Baginda setiap tahun). Baginda mengajak mereka kepada Islam dan menyeru mereka meninggalkan penyembahan berhala. Ketika Baginda berada di Aqabah, salah satu tempat melontar jamrah, Baginda telah menemui satu rombongan kaum Aus dan Khazraj. Lantas Baginda mengajak mereka kepada Islam dan mereka menerimanya. Bilangan mereka ketika itu ialah tujuh orang. Setelah itu mereka pulang ke Madinah, lalu menceritakan kepada kaum mereka tentang pertemuan tersebut dan Islam yang mereka anuti.

8. Pada tahun berikutnya, tahun ke-12 kerasulan, ketika musim haji, 12 orang lelaki
Ansar telah datang ke Makkah. Mereka berhimpun dan berbaiah dengan Nabi s.a.w.. Mereka pulang ke Madinah bersama utusan khas Nabi s.a.w., Musab bin Umair. Baginda mengutuskan beliau untuk membacakan al-Quran dan mengajarkan Islam kepada orang Islam di sana. Dengan itu Islam berkembang luas di Madinah.

9. Pada tahun seterusnya (tahun ke-13 kerasulan), sekumpulan Ansar telah datang pada musim haji. Mereka berhimpun dengan Nabi s.a.w. secara sembunyi. Bilangan mereka seramai 70 orang lelaki dan dua orang wanita. Mereka berbaiah untuk menolong dan menyokong Baginda, mempertahankan Baginda sebagaimana mereka mempertahankan wanita dan anak-anak mereka sendiri. Mereka pulang ke Madinah setelah Baginda memilih 12 orang ketua kalangan mereka sebagai wakil kepada kaum mereka.

B) Pengajaran dan Pedoman
1. Kadang-kadang ada kaum kerabat pendakwah yang tidak bersama dengan dakwahnya tetapi bertindak melindunginya. Situasi ini memberi faedah kepada dakwah ketika ia masih lemah. Kerana dia akan bertindak menghalang golongan jahat membunuh atau menyakiatinya. Oleh yang demikian, sentimen kabilah dan kekeluargaan kadang-kadang boleh digunakan oleh pendakwah untuk melindungi dakwahnya selama mana beliau tidak seiringan (turut serta) melakukan kemungkaran bersama kaumnya.

2. Isteri solehah yang beriman dengan dakwah kebenaran akan mempermudahkan
banyak kesulitan yang dialami oleh suami yang berdakwah. Ini akan berlaku jika si isteri
turut serta berkongsi kerungsingan dan penderitaan suami. Dengan perkongsian tersebut, si isteri akan meringankan bebanan kerungsingan suami. Ia juga akan membangkitkan dalam diri suami rasa untuk meneruskan dakwah dan tetap teguh di atas jalannya. Oleh itu, si isteri dapat memberi kesan kepada kejayaan dan kemenangan dakwah. Sikap Khadijah r.ha. terhadap Rasulullah s.a.w. merupakan contoh paling mithali yang boleh dilakukan oleh seorang isteri yang beriman dengan dakwah kebaikan. Dia berperanan besar terhadap kejayaan suaminya sebagai pendakwah. Begitu juga keteguhan dan istiqomah beliau dalam dakwah. Kehilangan isteri seperti ini merupakan kerugian besar semasa pertempuran pengislahan sedang berlaku sengit. Kerugian ini menyebabkan suami yang berdakwah tidak dapat mengawal perasaannya, bahkan merasa sugul dan putus asa.

3. Kesedihan kerana kehilangan seorang kerabat yang berperanan melindungi dakwah
walaupun dia tidak beriman merupakan kesedihan yang terbit daripada keikhlasan
berdakwah. Sementara kesedihan terhadap kehilangan seorang isteri yang beriman dan ikhlas terbit daripada rasa setia kepada isteri yang telah menjadi contoh dalam pengorbanan dan sokongan. Oleh kerana itu, ketika Abu Talib meninggal dunia, Rasul s.a.w. bersabda: "Semoga Allah merahmati dan mengampun kamu. Aku akan tetap memohon ampun untuk kamu sehinggalah Allah menegah aku." Oleh yang demikian, orang Islam ketika itu telah mencontohi Rasul mereka. Mereka turut memohon ampun untuk keluarga mereka yang mati dalam keadaan musyrik. Sehinggalah turun firman Allah Tabarak wa Taala:
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta
ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri,
sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli
neraka. (At-Taubah: 113)

Dengan turunnya ayat tersebut, Nabi s.a.w. tidak lagi memohon ampun untuk Abu
Talib. Begitu juga orang Islam tidak lagi memohon ampun kepada keluarga musyrik yang mati, Oleh kerana sebab-sebab di atas, sepanjang hayat Rasul s.a.w., Baginda terus mengingati kelebihan. Khadijah, memohon rahmat untuknya dan berbuat kebajikan kepada teman-temannya. Sikap Rasulullah ini membuatkan Aishah r.ha. merasa cemburu dengan Khadijah (padahal Khadijah telah meninggal dunia). Ini kerana Aishah sering mendengar pujian Nabi s.a.w. kepada Khadijah. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aishah r.ha, katanya:
Aku tidak merasa cemburu kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. sebagaimana aku
cemburu kepada Khadijah. Aku tidak melihat Khadijah, namun Nabi s.a. w.
sering menyebut-nyebutnya. Ada masanya Baginda menyembelih kambing,
kemudian Baginda memotongnya lalu Baginda mengirimkan kepada teman-teman
Khadijah. Ada masanya aku berkata kepada Baginda: Seolah-olah
tiada wanita di dunia ini melainkan Khadijah. Baginda bersabda: "Dia
sekian-sekian... dia sekian-sekian... (menyebut jasa dan kebaikan Khadijah).
Aku juga mendapat anak daripadanya (Khadijah)."

3. Pemergian Rasul s.a.w. ke Taif setelah penduduk Makkah menolak dakwahnya
merupakan bukti kepada tekad yang kental dalam jiwa Rasul untuk meneruskan dakwahnya. la juga merupakan bukti sikap tidak putus asa Nabi s.a. w. terhadap penerimaan orang ramai kepada dakwah. Baginda mencari medan baru untuk dakwah setelah terdapat halangan-halangan yang menyekat dakwah di medan pertamanya (kota Makkah). Sementara hasutan Bani Thaqif kepada kanak-kanak dan golongan bodoh daripada kaum mereka supaya menyakiti Rasul s.a.w., menjadi bukti bahawa kejahatan sama sahaja walau di mana ia berada. Kejahatan bergantung harap kepada golongan bodoh untuk menyakiti para pendakwah. Peristiwa kaki Nabi s.a.w. luka mengalirkan darah padahal Baginda adalah Nabi yang mulia, menjadi contoh penting kesakitan dan penindasan yang akan ditanggung oleh pendakwah di jalan Allah. Manakala doa abadi Nabi s.a.w. semasa berada di kebun menjadi
penegasan kepada kejujuran Rasul dalam dakwah dan keazamannya untuk terus
melaksanakan tugas dakwah meskipun berhadapan dengan berbagai kesulitan. Perkara yang penting bagi Baginda hanyalah redha Allah semata-mata. Baginda tidak menghiraukan redha para pembesar, pemimpin, orang awam dan kebanyakan.

"Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa)."

Dalam doa Baginda terkandung cara-cara memperolehi bekalan kekuatan daripada
Allah. Iaitu dengan cara kembali dan meminta pertolongan-Nya ketika kesengsaraan yang dipikul pendakwah semakin berat. Doa ini juga menunjukkan perkara yang paling ditakuti oleh pendakwah ialah kemurkaan dan kemarahan Allah ke atas beliau. Bukannya kemurkaan makhluk selain-Nya.

5. Mukjizat lsra' dan Mi'raj mempunyai banyak rahsia. Kami hanya sebutkan tiga sahaja:

Pertama: Menghubungkait isu Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan isu
Dunia Islam. Ini kerana Makkah selepas perutusan Rasul s.a.w. telah menjadi pusat
perhimpunan Dunia Islam dan kesatuan visinya. Peristiwa Isra' Mi'raj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya. Kecuaian mempertahan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap Islam. la merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.

Kedua: Isra' Mi'raj menjadi simbol kepada ketinggian kedudukan orang Islam dan
lambang kepada kewajipan mengangkat dirinya mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar dalum lingkungan nilai-nilai yang mithali untuk selama-lamanya.
Ketiga: Isra' Mi'raj juga menunjukkan penerokaan angkasa dan keluar daripada
tarikan graviti bumi boleh diusahakan. Dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj, Rasul kita
merupakan angkasawan pertama dalam sejarah dunia seluruhnya. Meneroka angkasa
seterusnya pulang ke bumi dengan selamat adalah perkara yang boleh berlaku. Sekalipun ia berlaku kepada Rasulullah s.a.w. secara mukjizat pada zaman Baginda, namun ia boleh terjadi kepada manusia biasa melalui ilmu dan idea.

6. Kefardhuan solat pada malam Isra' dan Mi'raj menunjukkan hikmah kenapa solat
disyariatkan. Allah seolah-olah berfirman kepada hamba-hamba-Nya yang beriman:
Sekiranya Mi'raj Rasul kamu dengan jasad dan roh ke langit merupakan mukjizat, kamu pula diperuntukkan solat lima waktu setiap hari, sebagai mi'raj (anak tangga) untuk kamu naik menemui-Ku dengan roh dan hati kamu. Jadikan solat lima kali sehari sebagai peningkatan roh yang boleh mengangkat kamu daripada tenggelam dalam hawa dan syahwat kamu, serta memperlihatkan kamu kebesaran, kekuasaan dan keesaan Aku. Ini mendorong kamu untuk memimpin muka bumi ini, bukan dengan cara memperhamba, menguasai dan menakluki (orang lain). Bahkan melalui jalan kebaikan dan ketinggian, juga dengan cara kesucian dan peningkatan roh menerusi jalan solat.

7. Proses memperkenal diri yang dilakukan oleh Rasulullah kepada kabilah-kabilah pada musim haji menjadi bukti bahawa seseorang pendakwah tidak sepatutnya membataskan dakwah mengajak manusia kepada kebaikan dalam lingkungan majlis dan persekitaran dirinya sahaja. Bahkan dia mestilah pergi ke setiap tempat manusia berhimpun atau lokasi yang berkemungkinan mereka berhimpun. Dia juga tidak sepatutnya berputus asa dengan penolakan mereka daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang Allah menyediakan untuk beliau, penyokong-penyokong yang beriman dengan dakwahnya yang baik, padahal dia tidak pernah terfikir dan menjangkakannya. Kadang-kadang kelompok kecil yang mendapat hidayah hasil usaha beliau dalam beberapa sempena akan memainkan peranan besar terhadap penyebaran dakwah. Kelompok kecil itu juga berperanan dalam merealisasikan kemenangan
akhir dakwah terhadap kejahatan dan konco-konconya. Keimanan tujuh orang pertama Ansar yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w. untuk kali pertama, telah menyebabkan kemasukan Islam ke Madinah. perkara itu memberi kesan kepada penyebaran Islam dan penguasaannya di sana. la membuka jalan kepada orang-orang mukmin yang tertindas di Makkah untuk menjadikan Madinah sebagai destinasi hijrah dan
pusat mereka berhimpun. Rasulullah pula memperolehi tempat yang aman untuk
membangunkan negara dan menyebarkan dakwah. Dari negara itu, para sahabat Baginda melancarkan penentangan kepada syirik dan orang musyrik. Mereka melancarkan perang dan pertempuran yang berakhir dengan kemenangan berkekalan di pihak iman dan kekalahan abadi di pihak syirik. Semoga Allah meredhai kaum Ansor, yang terdiri daripada Aus dan Khazraj. Mereka mempunyai jasa yang tidak putus-putus kepada Islam, orang Islam dan seluruh alam. Semoga Allah juga meredhai saudara mereka, kaum muhajirin yang terlebih dahulu beriman sebelum mereka, serta yang telah berkorban di jalan Allah dengan segala yang berharga, baik harta mahupun kampung halaman. Semoga Allah turut memasukkan kita bersama mereka semua ke dalam syurga Ridhwan.


Bahagian 4

HIJRAH SEHINGGA NABI STABIL DI MADINAH

A) Peristiwa-peristiwa Sejarah
1. Quraisy mendapat tahu tentang keislaman sekumpulan penduduk Yathrib. Lantaran
itu, mereka meningkatkan penyeksaan kepada orang-orang mukmin di Makkah. Lalu Nabi s.a.w. mengarahkan orang-orang mukmin berhijrah ke Madinah. Mereka berhijrah secara sembunyi kecuali Umar r.a.. Beliau telah memberitahu orang musyrik Quraisy tentang penghijrahannya seraya berkata: "Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya, esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya.

2. Apabila Quraisy merasa yakin bahawa orang Islam telah memperolehi kekuatan dan
perlindungan di Madinah, mereka mengadakan satu persidangan di Dar an-Nadwah. Mereka bersidang untuk memikirkan langkah menghapuskan Rasul s.a.w. sendiri. Mereka memutuskan untuk memilih seorang pemuda yang gagah daripada setiap kabilah. Kemudian kesemua pemuda tersebut membunuh Baginda serentak. Justeru itu, tuntutan darah Baginda akan teragih kepada setiap kabilah menyebabkan Bani Manaf (keluarga Rasulullah) tidak upaya memerangi mereka semua dan terpaksa menerima bayarun diat sahaja. Setelah itu pemuda-pemuda yang diwakilkan untuk membunuh Rasul s.a.w. berhimpun di muka pintu rumah Baginda pada malam Hijrah. Mereka menunggu Baginda keluar untuk membunuhnya.

3. Pada malam tersebut Rasulullah s.a.w. tidak tidur di tempat tidurnya. Baginda telah
meminta Ali r.a. untuk tidur di tempatnya itu. Baginda juga memerintahkan beliau agar
memulangkan barang-barang amanah yang disimpan oleh orang kafir Quraisy kepada
Baginda pada keesokan harinya kepada pemiliknya. Rasul s.a.w. telah meninggalkan
rumahnya tanpa disedari oleh pemuda-pemuda yang diwakilkan untuk membunuhnya.
Baginda pergi ke rumah Abu Bakar. Sebelum itu, Abu Bakar telah menyiapkan dua
kenderaan untuknya dan Rasul s.a.w.. Mereka berdua memutuskan untuk keluar dari Makkah. Abu Bakar mengupah Abdullah bin Uraiqit ad-Daili, seorang musyrik untuk menjadi penunjuk jalari ke Madinah. Dengan syarat dia mengelakkan jalan yang biasa diketahui dan menggunakan jalan lain yang tidak diketahui oleh kafir Quraisy.

4. Rasulullah s.a.w. dan sahabat Baginda, Abu Bakar keluar berhijrah pada hari Khamis, 1 Rabiul Awal, tahun ke-53 kelahiran Baginda s.a.w.. Hanya Ali r.a. dan keluarga Abu Bakar r.a. yang mengetahui tentang hijrah Baginda tersebut. Anak-anak perempuan Abu Bakar, Aishah dan Asma' berperanan menyediakan bekalan untuk mereka berdua. Asma' telah memotong sebahagian daripada tali ikat pinggangnya, lalu mengikat mulut karung makanan tersebut. Daripada peristiwa itu, dia digelar: "Zat an-Nitoqain" (Perempuan yang mempunyai dua tali ikat pinggang). Dengan bantuan Abdullah bin Uraiqit, Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar menghala ke Yaman sehingga sampai ke Gua Thur. Mereka bersembunyi di dalamnya selama tiga malam. Turut bermalam bersama mereka, Abdullah bin Abu Bakar yang masih remaja. Beliau seorang pemuda yang berpengetahuan, mahir, peka dan cepat memahami.
Beliau akan keluar meninggalkan mereka pada waktu sahur lalu berpagi-pagian bersama Quraisy Makkah seolah-olah beliau tidur di Makkah. Apa-apa rancangan jahat terhadap Rasulullah dan Abu Bakar yang beliau dengar daripada Quraisy, akan diingat sehinggalah beliau menyampaikannya kepada mereka berdua pada waktu petangnya.

5. Kiamat seolah-olah berlaku kepada Quraisy setelah Rasulullah s.a.w. terlepas
daripada usaha membunuhnya. Mereka keluar mengejar Baginda mengikut jalan Makkah yang biasa tetapi gagal menemui Baginda. Mereka menghala menuju jalan ke Yaman sehingga sampai di muka Gua Thur. Sebahagian daripada mereka berkata: "Boleh jadi Muhammad dan temannya ada di dalam gua ini." Namun sebahagian yang lain menjawab:
"Kamu tidak nampakkah apa yang ada di muka gua ini. Bagaimana labah-labah menganyam sarangnya dan burung-burung bersarang di sini? Ini menunjukkan tiada seorangpun yang memasuki gua ini sejak sekian lama.
" Abu Bakar r.a. melihat kaki-kaki mereka ketika mereka sedang berdiri di muka gua itu. Beliau menggeletar bimbangkan nyawa Rasul s.a.w., seraya berkata: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, kalau salah seorang daripada mereka melihat ke tempat letak kakinya, nescaya dia akan melihat kita." Rasul s.a.w. mententeramkannya
dengan bersabda:
"Wahai Abu Bakar, kamu sangka kita berdua, sedangkan Allah adalah yang ketiga"

6. Quraisy mengutuskan utusan menemui kabilah-kabilah dengan membawa tawaran
sejumlah besar harta yang cukup menggoda sesiapa yang tamak. Tawaran ini ditujukan
kepada sesiapa yang menemui Rasul s.a.w. dan teman Baginda, membunuhnya, atau
menawannya. Oleh itu, Suraqah bin Ja'syam menyahut tawaran itu. Dia bertekad dalam
dirinya untuk mencari Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar demi membolot sendiri hadiah
tersebut.

7. Setelah usaha memburu dan mencari Rasulullah s.a.w. dan temannya, Abu Bakar
terhenti, mereka berdua keluar daripada gua tersebut bersama-sama penunjuk jalan mereka. Mereka melalui jalan pantai (pantai Laut Merah) merentasi jarak yang jauh. Namun Suraqah telah berjaya menjejaki mereka. Apabila Suraqah mendekati mereka berdua, kaki-kaki kudanya terbenam ke dalam pasir dan tidak berupaya untuk berjalan. Dia mencuba sebanyak tiga kali supaya kudanya menuju ke arah Rasul s.a.w., namun kudanya tetap enggan. Pada ketika itu, dia yakin bahawa di hadapannya ialah seorang Rasul yang mulia. Lantas dia meminta supaya Rasul s.a.w. berjanji memberikannya sesuatu, jika dia menolong Baginda. Baginda menjanjikan untuknya dua gelang tangan yang dipakai oleh Kisra. Suraqah kemudiannya pulang ke Makkah dan berlakon seolah-olah dia tidak menemui sesiapa.

8. Rasul s.a.w. dan teman Baginda (Abu Bakar) telah sampai ke Madinah pada 12
Rabiul Awal. Baginda sampai ke sana setelah para sahabat lama menanti. Mereka keluar setiap pagi ke pinggir Madinah dan hanya pulang setelah matahari memancar terik pada waktu tengah hari. Apabila mereka melihat Baginda, mereka merasa amat gembira. Kanak-kanak mula mendendangkan nasyid diiringi dengan gendang-gendang:
Bulan purnama telah terbit kepada kami,
dari jalan-jalan bukit ul-Wada.
Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
terhadap seruan penyeru kepada Allah.
Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,
Kami datang bersama perkara yang dipatuhi.

9. Dalam perjalanan Baginda s.a.w. ke Madinah, Baginda singgah di Quba, sebuah
kampung di selatan Madinah. Kira-kira dua batu dari Madinah. Baginda telah mengasaskan masjid pertama yang dibina dalam Islam dan tinggal di sana selama empat hari. Kemudian Baginda bertolak ke Madinah pada pagi Jumaat. Ketika Baginda di perkampungan Bani Salim bin 'Auf, waktu solat Jumaat telah masuk. Lalu Baginda membina sebuah masjid di situ dan menunaikan solat Jumaat pertama dalam Islam. Baginda s.a.w. menyampaikan khutbah pertama dalam Islam. Seterusnya Baginda menyambung perjalanan menuju ke Madinah.
Apabila sampai di sana, tindakan pertama yang dilakukan ialah memilih tempat unta Baginda berhenti duduk, untuk dijadikan sebagai masjid. Tempat tersebut adalah milik dua orang kanak-kanak Ansor yang yatim. Baginda tawar menawar harga tanah tersebut dengan mereka berdua. Kedua-dua kanak-kanak itu berkata: "Kami berikannya kepada kamu, wahai Rasulullah." Namun Baginda berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar. Kemudian Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid. Mereka segera melakukannya. Rasul s.a.w. turut terlibat bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut. Dinding masjid itu dibina daripada batu bata dan bumbungnya daripada pelepah-pelepah kurma yang diletakkan pada batang-batang kurma.

10. Kemudian Baginda s.a.w. mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansor. Baginda menjadikan untuk setiap Ansor seorang saudara daripada Muhajirin. Ada seorang Ansor telah membawa saudara Muhajirinnya ke rumahnya. Beliau menawarkan kepada saudara Muhajirinnya untuk membahagi sama rata semua barang yang terdapat di dalam rumahnya.

11. Kemudian Rasulullah s.a.w. menulis satu piagam bertulis antara Muhajirin dan Ansor. Di dalamnya Baginda berjanji untuk berbaik-baik dengan Yahudi di samping mengakui hak mereka dalam agama dan harta. Ibnu Hisyam telah menyatakan piagam tersebut dengan panjang lebar dalam kitab sirahnya. Ia mengandungi prinsip-prinsip yang menjadi dasar asas kepada negara Islam yang pertama. Di dalamnya dinyatakan prinsip kemanusiaan, keadilan sosial, toleransi agama dan kerjasama demi kemaslahatan masyarakat yang patut dirujuk, difahami dan dihafal oleh setiap pelajar.
Kami sebutkan beberapa prinsip am yang terkandung dalam piagam bersejarah yang
abadi ini:
1. Kesatuan umat Islam tanpa sebarang diskriminasi antara mereka.
2. Persamaan warga-warga umat Islam dari segi hak dan kemuliaan.
3. Umat Islam perlu saling bahu membahu kecuali dalam kezaliman, dosa dan permusuhan.
4. Penyertaan umat dalam menentukan bentuk hubungan dengan musuh-musuh mereka. Seluruh orang Islam perlu mempunyai satu pendirian terhadap musuh mereka.
5. Penubuhan masyarakat di atas sistem yang terbaik dan teguh.
6. Membenteras pemberontak negara dan pengganggu gugat sistem awam di samping
kewajipan agar tidak membantu mereka.
7. Hak perlindungan kepada sesiapa yang ingin hidup bersama orang Islam apabila dia
menjalinkan hubungan baik, bekerjasama, tidak menzalimi dan mencerobohi hak orang
Islam.
8. Bukan Islam mempunyai hak dalam agama dan harta mereka. Mereka tidak dipaksa
memeluk agama Islam dun harta mereka tidak boleh dirampas.
9. Bukun Islam mestilah memberi sumbangan kepada pembiayaan negara sebagaimana orang Islam memberi sumbangan.
10. Bukan Islam mestilah bekerjasama dengan orang Islam untuk menghalang bahaya yang menggugat entiti negara melalui penentangan terhadap setiap pencerobohan.
11. Bukan Islam juga mestilah turut serta menanggung kos peperungan selagi mana negara berada dalam keadaan perang.
12. Negara mestilah membantu bukan Islam yang dizalimi sebagaimana ia menolong setiap orang Islam yang dicerobohi.
13. Orang Islam dan bukan Islam tidak boleh sama sekali melindungi musuh-musuh negara dan konco-konco mereka.
14. Sekiranya kemaslahatan umat terletak pada per-damaian, semua warga wajib menerima perdamaian. Sama ada orang Islam mahupun bukan Islam.
15. Seseorang tidak dihukum dengan sebab dosa atau kesalahan orang lain. Seorang
penjenayah sebenarnya melakukan jenayah terhadap diri dan keluarganya sendiri.
16. Kebebasan bergerak dalam negara dan kebebasan untuk keluar negara adalah terpelihara di bawah perlindungan negara.
17. Tiada perlindungan kepada orang yang berdosa dan orang yang zalim.
18. Masyarakat ditegakkan di atas dasar kerjasama dalam kebajikan dan taqwa, bukan dalam dosa dan permusuhan.
19. Prinsip-prinsip di atas diperlihara oleh dua kekuatan:
- Kekuatan maknawi (spiritual) iaitu: Keimanan rakyat kepada Allah, merasakan
muraqabah-Nya (pemerhatian Allah) terhadap mereka dan penjagaan-Nya kepada sesiapa yang berbuat baik dan setia.
- Kekuatan maddiyyah (material) iaitu: Kepimpinan negara yang diwakili oleh Nabi
Muhammad s.a.w..

B) Pengajaran dan Pedoman
1. Jika seorang mukmin yakin dengan kekuatannya, dia tidak diminta menyembunyikan
tindakannya. Bahkan dia hendaklah menyatakan secara lantang tanpa menghiraukan musuh-musuh dakwahnya selagi mana dia percaya boleh menewaskan mereka. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Umar r.a. ketika beliau ingin berhijrah. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa pendirian yang tegas akan menggerunkan musuh-musuh Allah dan mencampakkan rasa takut ke dalam diri rnereka. Tidak diragukan, sekiranya mereka mahu berkumpul untuk membunuh Umar, mereka mampu melakukan. Namun, pendirian Umar yang berani telah mencampakkan rasa kecut ke dalam diri setiap mereka. Mereka bimbang sekiranya Umar dihalang, ibunya akan kehilangannya. Pendukung kejahatan amat kedekut (tak sanggup kehilangan) nyawa dan amat mencintainya.

2. Ketika golongan batil berputus asa untuk menyekat dakwah kebenaran dan islah; Dan ketika orang-orang mukmin terlepas daripada genggaman dan berada di tempat yang selamat, mereka akan mengambil tindakan terakhir dengan membunuh pendakwah yang melakukan pengislahan tersebut. Mereka menyangka jika mereka membunuhnya, mereka bebas daripada gangguan dan dakwahnya terkubur. Demikian cara fikir golongan jahat dan musuh pengislahan pada setiap zaman. Kami telah saksikan dan lihat kejadian seperti ini dalam hidup kami.

3. Seorang kader yang jujur dan ikhlas kepada dakwah islah sanggup mengorbankan
nyawanya untuk pemimpinnya. Kerana keselamatan dakwah bergantung kepada keselamatan pemimpin. Dan jika pemimpin terkorban, dakwah akan terbiar dan lemah. Tindakan Ali r.a. tidur di tempat tidur Rasul s.a.w. pada malam Hijrah merupakan pengorbanan nyawa untuk menyelamatkan nyawa Rasulullah s.a.w.. Ini kerana ada kemungkinan pedang pemuda-pemuda Quraisy akan dihayunkan ke kepala Ali r.a. sebagai membalas dendam, ekoran beliaulah yang memudahkan Rasulullah s.a.w. menyelamatkan diri. Namun Ali r.a. tidak menghiraukan perkara tersebut. Cukuplah bagi beliau, jika Rasulullah s.a.w., Nabi umat dan pemimpin dakwah terselamat.

4. Orang musyrik menyerahkan barang milik mereka untuk disimpan oleh Rasulullah
s.a.w., sedangkan pada ketika yang sama mereka memerangi dan bertekad untuk membunuh Baginda. Tindakan ini menjadi bukti bahawa dalam diri musuh-musuh islah terdapat keyakinan terhadap kejujuran, amanah dan ketulusan jiwa pendakwah. Mereka juga yakin perjalanan hidup pendakwah lebih baik berbanding mereka. Pendakwah mempunyai sanubari yang lebih murni. Namun buta hati, sikap keras kepala dan pendirian konservatif untuk terus berpegang dengan adat resam dan aqidah sesat telah mendorong mereka memerangi dan memasang tipu daya. Bahkan jika berkesempatan, mereka melakukan komplot untuk membunuhnya.

5. Pemimpin dakwah, ketua negara atau ketua gerakan islah tidak dianggap pengecut
atau lari daripada mati jika berfikir untuk menyelamatkan diri daripada konspirasi pihak yang menunggu-nunggu saat untuk membunuhnya. Mereka juga bukan kedekut untuk
mengorbankan nyawa dan roh. Mereka bertindak sedemikian lantaran untuk menjayakan semula gerakan islah dengan lebih agresif dan aktif di medan yang lain.

6. Peranan yang dipikul oleh Abdullah bin Abu Bakar membuktikan pengaruh pemuda
terhadap kejayaan dakwah. Mereka merupakan tiang kepada dakwah islah. Kesan keberanian mereka untuk berkorban dan menggadaikan diri menyebabkan dakwah mara dengan laju ke arah kemenangan. Kita dapati semua orang mukmin pada awal Islam adalah pemuda. Rasulullah s.a.w. berusia 40 tahun ketika diutuskan sebagai Rasul. Abu Bakar r.a. pula lebih muda tiga tahun daripada Baginda. Sementara Umar lebih muda daripada mereka berdua. Ali r.a. pula paling muda antara mereka semua. Manakala Othman r.a. juga lebih muda daripada Rasulullah s.a.w.. Demikian juga Abdullah bin Masud, Abdul Rahman bin Auf, al-Arqam bin Abi al-Arqam, Said bin Zaid, Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir r.a. dan lain-lain lagi.
Semuanya adalah pemuda. Mereka memikul beban dakwah di atas pundak mereka. Mereka sanggup menanggung pelbagai pengorbanan di jalannya, merasa riang dengan siksaaan, kesakitan dan kematian demi kerananya. Melalui mereka, Islam telah menang. Di atas usaha mereka dan saudara-saudara mereka, negara Khulafa ar-Rasyidin tertegak dan berlaku pembukaan Islam yang indah. Dengan jasa mereka, Islam telah sampai kepada kita dan Allah telah membebaskan kita daripada kejahilan, kesesatan, keberhalaan, kekufuran dan kefasikan.

7. Peranan Aishah dan Asma r.ha. ketika Hijrah Rasul s.a.w. membuktikan wanita
diperlukan dalam dakwah islah. Emosi mereka lebih halus dan lebih kuat desakannya. Jiwa mereka lebih toleransi dan hati mereka lebih baik. Apabila wanita beriman dengan sesuatu perkara, mereka tidak lagi menghiraukan segala kesusahan untuk menyebarkan keimanannya. Mereka berusaha meyakinkan suami, adik beradik dan anak-anak tentang perkara tersebut. Jihad wanita untuk Islam pada zaman Rasul s.a.w. merupakan lembaran-lembaran putih berseri. Ini menegaskan kepada kita hari ini, gerakan pengislahan Islam akan terus melangkah perlahan dan kurang efektif dalam masyarakat sehinggalah wanita menyertainya. Mereka membina generasi pemudi di atas asas iman, akhlak, kesucian dan kemurnian. Selain menjadi isteri dan ibu, mereka lebih mampu menyebarkan nilai-nilai yang diperlukan oleh masyarakat kita hari ini di kalangan wanita berbanding lelaki. Wanita Islam berjasa besar dalam mendidik generasi sahabat yang masih kanak-kanak, begitu juga generasi tabiun. Wanita
Islamlah yang telah berperanan membentuk generasi-generasi ini di atas dasar akhlak dan adab Islam. Mereka juga berperanan membina generasi-generasi ini atas asas kecintaan kepada Islam dan Rasulhya. Generasi tersebut merupakan generasi yang paling agung diketahui oleh sejarah dari segi tekad, juga kemurnian perjalanan hidup serta kebaikan agama dan dunia.
Hari ini kita wajib memahami hakikat ini. Lantas kita berusaha agar para pemudi dan para isteri membawa panji-panji dakwah islah ke tengah-tengah masyarakat wanita. Mereka melebihi separuh daripada umat. Justeru itu kita dituntut memberi perangsang kepada anak-anak dan adik-beradik perempuan kita untuk mempelajari syariah di sekolah-sekolah yang dipercayai pengajaran Islamnya, seperti Kuliah Syariah di universiti kita.

Roda pengislahan Islam mampu kita tolak ke depan lebih kuat setiap kali bertambah
bilangan pemudi-pemudi yang alim tentang agama, faqih tentang syariat, mahir dengan
sejarah Islam, mengasihi Rasulullah s.a.w., berakhlak dengan akhlak Baginda dan akhlak Ummahat al-Mukminin. Kita juga semakin menghampiri hari masyarakat Islam akan tunduk kepada hukum hakam Islam dan syariatnya. Perkara ini akan menjadi realiti, insya- Allah.

8. Penglihatan orang musyrik telah disekat daripada melihat RasuluUah s.a.w. dan
sahabat Baginda (Abu Bakar) di Gua Thur. Sedangkan mereka berada di situ. Terdapat juga riwayat-riwayat yang menceritakan tentang sarang labah-labah dan anak-anak burung menetas di mulut gua tersebut. Semua kejadian ini adalah antara contoh yang menjadikan hati-hati merasa tunduk khusyuk terhadap penjagaan Tuhan kepada para rasul, para pendakwah dan kekasih-Nya. Allah yang merahmati hamba-Nya tidak akan mengizinkan Rasul s.a.w. jatuh ke dalam genggaman orang musyrik, kemudian mereka menghapuskan Baginda dan dakwahnya. Dia mengutuskan Baginda sebagai rahmat untuk seluruh alam.
Demikianlah Allah bersikap belas kepada hamba-hamba-Nya yang berdakwah dan ikhlas pada saat-saat genting. Dia juga menyelamatkan mereka daripada situasi yang kritikal. (Dalam banyak kejadian), Allah menutup pandangan golongan yang mahu melakukan kejahatan dan pengkhianatan terhadap para pendakwah. Peristiwa Rasul dan Abu Bakar terselamat selepas orang musyrik mengepung mereka berdua di Gua Thur membenarkan firman Allah Tabarak wa Taala;
Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami
dan orang-orangyang beriman - dalam kehidupan dunia ini daripada saat
bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat). (Ghafir: 51)

Dan firman Allah Tabaraka wa Taala:
Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman. (Al-Hajj: 38)

9. Semasa di Gua Thur, Abu Bakar takut kalau-kalau orang musyrik melihat beliau dan
Rasul s.a.w.. Ia menjadi sikap yang patut dimiliki oleh kader dakwah yang jujur bersama
pemimpinnya yang amanah pada saat bahaya mengeli-linginya. Beliau merasa bimbang dan simpati terhadap keselamatan nyawa pemimpinnya. Abu Bakar pada ketika itu tidak bimbangkan keselamatan dirinya sendiri. Jika beliau bimbangkan keselamatan dirinya, nescaya beliau tidak akan menemani Rasulullah s.a.w. dalam hijrah yang bahaya itu. Beliau mengetahui balasan paling minima adalah bunuh jika orang musyrik dapat menangkapnya bersama Rasulullah s.a.w.. Namun behau bimbangkan nyawa Rasul yung mulia dan masa depan Islam sekiranya Rasul s.a.w. jatuh ke dalam genggaman orang musyrik.

10. Dalam jawapan Rasul s.a.w. kepada Abu Bakar untuk meredakan kebimbangannya:
"Wahai Abu Bakar, kamu sangka (kita) berdua,
sedangkan Allah adalah yang ketiga"

Ini menjadi contoh keyakinan benar terhadap Allah, rasa tenang dengan pertolongan-
Nya dan bertawakkal kepada-Nya ketika susah. la juga menjadi bukti jelas tentang kebenaran dakwaan Rasul s.a.w. sehagai Nabi. Walaupun Baginda berada dalam situasi paling gawat, namun jelas tanda-tanda ketenangan pada diri Baginda. Baginda s.a.w. yakin bahawa Allah yang mengutuskannya membawa petunjuk dan rahmat kepada manusia paeti tidak akan membiarkannya pada saat-saat itu. Adakah kamu lihat ketenangan seperti ini terbit daripada orang yang berlagak sebagai nabi dan meniru sifat kerasulan?
Pada situasi-situasi sebegini, akan tampak perbezaan jelas antara pendakwah islah dengan orang yang sekadar mendakwa dan menyamar. Hati-hati pendokong dakwah ini sentiasa dan selama-lamanya melimpahkan rasa redha dengan Allah dan yakin dengan pertolongan-Nya. Sementara mereka yang hanya berlagak, keberaniannya akan luntur ketika berhadapan dengan perkara yang menakutkan dan
kecundang ketika susah. Mereka juga tidak mendapati Allah sebagai pelindung mahupun pembantu.

11. Jelas kepada kita, peristiwa Suraqah menemui Rasul s.a.w., namun tidak berupaya
menangkap Baginda menjadi satu bukti kenabian Rasul s.a.w.. Kaki kudanya telah terbenam ke dalam tanah ketika ia menuju ke arah Rasul s.a.w. Apabila Suraqah turun dan menghalakannya ke arah Makkah, kuda itu kembali bangun daripada tersungkur. Apabila dia ingin menghalakan kembali ke arah Rasul s.a.w., kudanya kembali lemah dan tidak bermaya.

Pada pandangan kamu adakah perkara ini berlaku kepada sesiapa sahaja? Atau ia hanya berlaku pada nabi yang diutus dan disokong oleh Allah dengan kemenangan dan
pertolongan? Sekali-kali tidak. Inilah yang difahami oleh Suraqah. Lantas dia memanggil Rasul s.a w. untuk meminta keamanan. Dia mengetahui Rasul s.a.w. mempunyai penjagaan Tuhan yang tidak mampu diketahui oleh keupayaan manusia. Oleh itu, dia rela menanggung kerugian terlepas habuan hadiah daripada Quraisy, sebaliknya memenangi janji Rasulullah s.a.w. untuknya.

12. Janji Rasul s.a.w. kepada Suraqah untuk memberikan dua gelang Kisra kepadanya
merupakan satu lagi mukjizat. Manusia yang kelihatan lari daripada kaumnya tidak akan
memberi harapan untuk membuka Parsi dan menguasai harta perbendaharaan Kisra kecuali dia seorang nabi yang diutuskan. Janji Rasulullah s.a.w. kepada Suraqah ini benar-benar terjadi. Suraqah meminta Umar bin al-Khattab untuk menunaikan janji Rasul s.a.w. kepadanya apabila dia terlihat kedua-dua gelang Kisra adalah antara harta rampasan perang.
Oleh itu, Umar memakaikannya kepada Suraqah di hadapan sekumpulan sahabat, seraya berkata: "Segala puji bagi Allah yang merampas gelang daripada Kisra dan memakaikannya kepada Suraqah bin Jasyam al-Arabi."

Demikianlah mukjizat berlaku berturut-turut dalam hijrah ini. Kejadian demi kejadian
adalah untuk menambahkan keimanan orang-orang mukmin. Ia juga bertujuan agar
menimbulkan keyakinan kepada ahli Kitab yang ragu atau ingkar bahawa Baginda adalah rasul daripada Tuhan sekelian alam.

13. Penduduk Yathrib yang beriman di kalangan Ansor dan Muhajirin merasa gembira
kerana Rasulullah s.a.w. tiba dengan selamat. Kegembiraan ini telah menyebabkan kaum wanita dan kanak-kanak turut keluar dari rumah-rumah mereka. Manakala kaum lelaki pula meninggalkan kerja-kerja mereka. Secara zahir, Yahudi juga turut mengambil sikap menyertai penduduk Madinah meraikan kegembiraan mereka. Namun batin, mereka merasa sakit hati ekoran wujud persaingan kepimpinan baru. Kegembiraan orang-orang mukmin bertemu dengan Rasul mereka tiduk pelik. Lantaran Bagindalah (dengan izin Tuhan) yang menyelamatkan mereka daripada kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran dan menuju jalan Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Sementara sikap Yahudi juga tiada keganjilan. Mereka memang dikenali dengan sikap mengampu (bermulut manis) dan nifaq (bermuka-muka) kepada masyarakat yang sudah hilang penguasaan mereka. Mereka juga
terkenal dengan sikap marah dan dengki terhadap sesiapa yang merampas hak ketuanan mereka ke atas bangsa lain. Begitu juga kepada sesiapa yang menghalang mereka daripada merampas harta orang di atas nama hutang (melalui amalan riba), atau menghalang mereka menumpahkan darah orang di atas nama nasihat dan cadangan pendapat.
Yahudi masih terus berdendam terhadap setiap orang yang membebaskan bangsa lain daripada penguasaan mereka. Dendam ini diakhiri dengan tipu daya dan konspirasi, seterusnya pembunuhan jika mereka mampu. Inilah perangai dan sifat semulajadi mereka. Mereka telah melakukan tindakan seperti itu terhadap Rasulullah s.a.w. setelah Baginda menetap di Madinah. Sekalipun piagam yang dibuat antara Baginda dengan mereka bertujuan untuk bekerjasama dan saling hidup dengan aman, namun Yahudi merupakan satu kaum yang sentiasa dan selama-lamanya menyalakan api peperangan:
Tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya. (Al-Maidah: 64)

14. Daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika Hijrah ke Madinah, jelas kepada
kita Nabi s.a.w. tidak singgah di satu-satu tempat melainkan perkara pertama yang dilakukan ialah membina masjid sebagai tempat orang-orang mukmin berhimpun. Baginda telah membina Masjid Quba ketika bermukim di situ selama empat hari. Baginda juga telah membina sebuah masjid di pertengahan jalan antara Quba dan Madinah, apabila tiba waktu solat Jumaat di perkampungan Bani Salim bin Auf di tengah-tengah wadi tersebut, Wadi Ranuna.
Apabila Baginda sampai ke Madinah, kerja pertama yang dilakukan ialah membina masjid di situ. Ini menunjukkan kepada kita, kepentingan masjid dalam Islam. Semua ibadat dalam Islam berperanan membersihkan jiwa, menyucikan akhlak dan menguatkan ikatan tolong-menolong sesama orang Islam. Solat berjamaah, solat Jumaat dan solat dua Hari Raya merupakan lambang zahir yang cukup kuat kepada perpaduan orang Islam. Ia menjadi lambang kesatuan perjuangan dan matlamat, juga lambang kerjasama dalam kebajikan dan taqwa. Tidak ragu lagi, masjid membawa mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang agung kedudukannya dalam kehidupan orang Islam. Ia berperanan menyatukan saf-saf, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah serta mempamerkan kekuatan dan kekukuhan mereka.

Sejarah masjid dalam Islam membuktikan ketumbukan-ketumbukan tentera Islam
dilancarkan dari masjid untuk meliputi muka bumi dengan hidayah Allah. Dari masjid juga terpancar sinaran cahaya kebenaran dan hidayah kepada orang Islam dan bukan orang Islam. Di dalamnya juga benih-benih tamadun Islam tumbuh subur dan berkembang. Bukankah Abu Bakar, Umar, Othman, Ali, Khalid, Saad, Abu Ubaidah dan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang lain merupakan anak-anak murid sekolah Muhammad yang berpusat di Masjid an-Nabawi?!

Keistimewaan lain bagi masjid dalam Islam ialah, pada setiap minggu akan berkumandang dan bergenia kalimah kebenaran melalui lidah khatibnya. Khatib-khatib
berkhutbah mengingkari kemungkaran, menyuruh makruf, menyedarkan kelalaian, menyeru agar bersatu, menentang si zalim, atau memberi amaran kepada thaghut. Kami dapat saksikan semasa zaman kanak-kanak, bagaimana masjid menjadi pusat pelancaran gerakan-gerakan nasionalis melawan penjajah Perancis. Para pemimpin jihad juga berpaut pada masjid untuk menentang penjajahan dan Zionis.

Pada hari ini kita lihat masjid tergendala daripada melaksanakan tugas terbesarnya. Fenomena ini tidak lain merupakan dosa sesetengah khatib di kalangan pegawai-pegawai upahan atau orang-orang jahil yang alpa. Pada hari para pendakwah yang tegas berpegang dengan kebenaran, alim dengan syariat, ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya, penasihat kepada pemimpin-pemimpin orang Islam dan rakyatnya
menaiki mimbar masjid dan mengimamkan pengunjungnya, masjid akan kembali ke tempat kepimpinan dalam organisasi kemasyarakatan kita. Pada ketika itu masjid kembali berperanan mendidik ramai tokoh, mengeluarkan sebilangan wira, mengislah kefasadan, memerangi mungkar juga membina masyarakat di atas asas ketaqwaan kepada Allah dan mengejar keredhaan-Nya.

Kami berharap masjid dapat berfungsi sedemikian (insya Allah) apabila golongan
perintis yang suci murni menduduki mimbar-mimbar dan seluruh ruangnya. Mereka dari
kalangan pemuda-pemuda yang beriman, berpengetahuan tentang agama Allah dan berakhlak dengan akhlak Rasulullah s.a.w..

15. Proses persaudaraan antara Muhajirin dan Ansor yang dilakukan oleh Rasul s.a.w.
merupakan tanda-tanda zahir paling jelas tentang keadilan kemanusiaan dan akhlak membina dalam Islam. Muhajirin merupakan golongan yang meninggalkan harta dan tanah mereka demi jalan Allah. Mereka datang ke Madinah tanpa memiliki apa-apa saki baki dunia . Ansor pula merupakan kaum yang kaya dengan hasil tanaman, harta dan perusahaan mereka. Oleh itu, seseorang saudara perlu menanggung saudaranya. Dia berkongsi dengan saudaranya kesenangan dan kesusahan hidup. Dia juga menempatkan saudaranya di rumahnya selagimana rumahnya lapang untuk mereka berdua. Dia memberi separuh hartanya kepada saudaranya selagi mana dia tidak memerlukannya dan serba eukup. Apakah ada keadilan sosial di dunia ini yang menyamai kedudukan persaudaraan ini?!

Mereka yang tidak mengakui dalam Islam ada keadilan sosial, merupakan golongan
yang tidak mahu cahaya Islam mengejutkan pandangan orang ramai dan menguasai hati mereka. Boleh jadi mereka merupakan golongan yang berpemikiran rigid dan membenci setiap perkataan baru walaupun ia disukai oleh manusia. Dalam Islam terdapat bukti keadilan sosial ini. Bagaimana keadilan sosial dalam Islam dapat dinalikan sedangkan peristiwa persaudaraan yang unik ini terdapat dalam lipatan sejarah? Persaudaraan ini dilakukan oleh pendokong syariah, nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Baginda sendiri yang menyelia persaudaraan tersebut. Di atas asas-asas persaudaraan inilah Baginda menegakkan masyarakat dan negara Islam pertama. Maha suci, ya Allah. Penafian hakikat ini adalah penipuan yang besar!

16. Dalam piagam bertulis yang dimateraikan oleh Rasul s.a.w., terkandung dasar
persaudaraan antara Muhajirin dan Ansor. Terdapat juga dasar kerjasama antara orang Islam dan bukan orang Islam. Ini merupakan bukti yang tidak boleh disangkal. Bukti bahawa dasar keadilan sosial adalah asas tertegaknya negara Islam. Sementara asas hubungan orang Islam dengan bukan Islam adalah hidup aman damai selagi mana mereka berbaik-baik dan tidak mengancam ketenteraman negara. Prinsip kebenaran, keadilan, kerjasama dalam kebajikan dan taqwa, bekerja untuk kebaikan manusia serta menolak penindasan golongan jahat daripada masyarakat pula merupakan slogan-slogan yang paling tertonjol dilaungkan oleh negara Islam. Demikianlah prinsip negara Islam di mana sahaja ia tertegak, juga pada mana-mana zaman ia terbentuk. la tertegak di atas prinsip-prinsip paling unggul dan paling adil.
Pada hari ini, prinsip-prinsip tersebut bertepatan dengan prinsip paling mulia yang membentuk negara juga menaungi manusia. Pada zaman kita ini, usaha untuk menegakkan negara dalam masyarakat Islam yang berpandu-kan prinsip-prinsip Islam merupakan usaha yang seiring dengan perkembangan pemikiran manusia berkenaan definisi negara. Selain itu umat Islam akan berjaya merealisasikan pembinaan masyarakat yang paling kuat, paling sempurna, paling bahagia dan paling progresif.
Walau apapun situasi yang berlaku, adalah menjadi maslahah kepada kita untuk
memastikan negara dibina di atas asas-asas Islam. Mengabaikan kemaslahatan ini bererti kita berhadapan dengan kerosakan dan kebinasaan. Islam. tidak menyakiti orang bukan Islam dalam negara Islam. Ia tidak menindas akidah mereka, juga tidak mengurangkan hak-hak mereka, Kenapakah wujud kebimbangan jika ada negara Islam ingin melaksanakan syariat Islam dan menegakkan hukum hakamnya, padahal keseluruhan syariat dan hukum hakam Islam mengandungi keadilan, kebenaran, kekuatan, persaudaraan dan jaminan sosial yang menyeluruh di atas asas persaudaraan, kasih sayang dan kerjasama yang mulia? Kita tidak akan dapat membebaskan diri daripada penjajahan melainkan dengan seruan Islam. Oleh itu,
orang-orang yang berjuang hendaklah berjuang di atas jalan ini:
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan)
yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. (Al-Araf: 96)

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus,
maka hendaklah kamu menurut-nya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan
(yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan
kamu dari jalan Allah. (Al-An'am: 153)

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya
dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya
jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya
rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa
berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk
menolong dan menyelamat-kannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan
segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan
masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Tolaq: 2-3)
Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah
memudahkan baginya segala urusannya. (At-Tolaq: 4)
Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan
kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya. (At-Tolaq: 5)

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters