About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Tuesday, December 27, 2011


Tazkirah Bulanan Masjid Kg Aur, Budi, Bachok, Kelantan
Minggu keempat


Surah al-Kahf Ayat 27-29




27. Dan baca, kaji, serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari Kitab Rabbmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah Kalimah-kalimah-Nya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripada-NYA.
- AlLah SWT mempelawa semua manusia agar membaca kitab-NYA, untuk umat Nabi AlLah Musa AS mereka diminta membaca Taurat. Sementara kepada umat Nabi AlLah Daud AS mereka diminta membaca Zabur. Berbeza pula dengan umat Nabi AlLah Isa AS, mereka semua diminta membaca Injil.

Kita pula sebagai umat akhir zaman ini dipelawa membaca al-Qur’an. Suruhan AlLah SWT bukan hanya sekadar membaca kitab yang diturunkan, tetapi untuk difahami, dihayati(diamalkan 100%), disebarkan & dipertahankan. Tidak cukup untuk kita sebagai umat Nabi Akhir Zaman ini sekadar mengenal nama-nama huruf dalam al-Qur’an & cuba membetulkan tempat keluar huruf semasa membacanya. Tidak cukup untuk kita sekadar memperelok bacaannya dengan kepelbagaian taranum yang ada.

Al-Qur’an itu sebagai pekeliling rasmi dari AlLah SWT untuk diamalkan dalam kehidupan; 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, & 12 bulan setahun. Untuk memastikan manusia akur kepada arahan & titah dari AlLah SWT yang terdapat dalam al-Qur’an; 2 malaikat ditugaskan yang paling setia, tidak boleh dirasuahkan, untuk merakam & menulis apa sahaja yang kita buat bermula kita membuka mata pada dini pagi sehinggalah kita menutup mata; sama ada menutup mata kerana tidur atau menutup mata untuk kembali ke rahmat-NYA. Apa sahaja yang kita perbuatkan secara sukarela tanpa dipaksa yang melibatkan kehilangan nyawa akan dicacatnya. Apa-apa aksi yang kita lakari seandainya bertepatan dengan kehendak AlLah SWT seperti yang terdapat dalam al-Qur’an kita akan dicatatkan pahala oleh Raqib. Sementara itu juga aksi yang sempat kita garapi sepanjang hari akan dicacat dosa oleh Atiq apabila yang kita buat itu bercanggah dengan arahan AlLah SWT.

Seterusnya AlLah SWT menyatakan kekudusan al-Qur’an, tidak akan ada sesiapa sahaja dalam dunia ini sama ada yang telah hidup, yang sedang hidup. Atau yang bakal hidup mampu untuk pandai-pandai menukar kalimah AlLah SWT yang tertera dalam al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan ciptaan AlLah SWT yang paling hebat, kerana DIA memberi jaminan akan menjaga al-Qur’an. Seperti yang dinukil-NYA dalam Surah al-Hijr ayat 9.
9. Sesungguhnya KAMI yang menurunkan zikr ini (Al-Quran), dan KAMI yang akan sentiasa memelihara dan menjaganya.

-Hebatnya AlLah SWT, DIA menjaga & memelihara al-Qur’an dengan manusia. Ditumbuhkan dalam hati manusia kemahuan untuk mempelajari al-Qur’an, menghafal ayat-ayat al-Qur’an, untuk mengajar maksud al-Qur’an, untuk beramal dengan suruh & tegah al-Qur’an, untuk menyebarkan ilmu-ilmu al-Qur’an; sama menyebarkan kepada manusia yang belum Islam atau menyebar kepada manusia yang sudah Islam.
Al-Qur’an juga akan menjadi peguambela kita sewaktu berdepan dengan soalan 2 malaikat dalam pusara; Mungkar & Nakir. Seterusnya al-Qur’an juga akan menjadi peguambela kita semasa berdepan dengan kepelbagaian soalan di Padang Mahsyar.

Sememangnya kita tidak bisa memperoleh perlindungan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat tanpa keizinan-NYA. Gugusan pertolongan yang mutlak hanya datang daripada AlLah SWT tuan punya (pemilik) dunia & akhirat. Manusia tak bisa untuk menolong dirinya sendiri apalagi untuk memberikan pertolongan kepada orang lain. Misalnya apabila kita sakit, mampukan kita menolong diri kita untuk sembuh? Kesembuhan hanya datang dari AlLah SWT.


28. Dan sabarkanlah nafsumu untuk berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Rabb mereka pada waktu pagi dan petang, yang mereka harapkan hanyalah keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran KAMI dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

-AlLah SWT mengajar kita agar mempunyai akhlak & sifat setiawan yang luhur. Oleh sebab yang menjadi pendokong & penyokong dakwah Islam ini terdiri daripada golongan yang daif pada peringkat awalnya, dan mood dakwah ini memakan masa yang panjang, para dai diingatkan agar jangan mudah terpedaya dengan tipu & helah yang datangnya dari golongan yang kaya & berada yang kononnya mereka ingin kembali kepada suruhan agama. Untuk itu seringkali mereka ini akan meminta para dai agar mengadakan satu majlis penerangan yang berasingan yang tidak disertai oleh golongan yang daif selama ini. para dai diminta mengabaikan permintaan yang sekarut ini, malah tetaplah bersama dengan golongan pendokong dakwah yang daif tadi.

Golongan yang berada kebanyakannya lalai & dilalaikan dengan sedikit limpahan wang ringgit atau harta benda yang mereka miliki. Mungkin mereka berasakan dengan wang yang mereka ada mereka boleh membeli segalanya, mereka lupa nyawa tidak ada dijual di mana-mana. Mungkin mereka merasakan dengan sedikit timbunan saham yang mereka miliki memampukan mereka menghalang apa sahaja. Mereka sengaja lupa datangnya Izrael tak siapa mampu melewatkannya apa lagi untuk menangguhnya.

AlLah SWT seterusnya menjelaskan sebanyak mana kelakukan kita yang bercanggah dengan apa yang ada tersurat dalam al-Qur’an, dikira mengikut hawa & nafsu. Atau dalam maksud kata yang lain bertuhankan hawa nafsu. Misalnya AlLah SWT mewajibkan kita menutup aurat, kita tidak menutupnya, kira dikira mengikut hawa nafsu. AlLah SWT mewajibkan pemerintah menjalankan hukum pidana / jenayah seperti yang terdapat jelas dalam al-Qur’an, pemerintah tersebut tidak melaksanakannya, pemerintah tersebut dikira mengikut hawa nafsu. Keadaan menjadi lebih teruk jika kita menjadi penghalang kepada berjalannya syariat AlLah SWT di bumi ini.


29. Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kebenaran itu dari Rabb kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". kerana KAMI telah sediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

- AlLah SWT mempelawa para dai agar menyampaikan apa yang ada dalam al-Qur’an. Para dai tidak diminta memaksa golongan pendengar untuk menerima ajakan kepada agama AlLah SWT. Seandainya mereka ingin beriman kepada AlLah SWT setelah mendengar penjelasan tentang kewajipan yang perlu dilakukan bila seseorang itu menggabungkan dirinya dalam; dipersilakan.

Seandainya golongan sasaran dakwah berfikir bahawa cara hidup jahiliyyah yang mereka warisi selama ini lebih baik, teruskanlah dengan kekufuran mereka itu.

Tanggungjawab para dai hanyalah menyampaikan. Menyampaikan segala titah perintah AlLah SWT yang termuat dalam al-Qur’an. AlLaah SWT menyifatkan sesiapa sahaja yang menolak kebenaran(Islam) itu sebagai golongan yang menzalimkan diri mereka sendiri. Perlu diingat kita semua(manusia) ini berasal dari dalam syurga & kita diminta kembali ke tempat asal kita. Kita dihantar ke dunia sebagai musafir untuk mencari bekal bagi menghadapi kehidupan yang kekal abadi. Amat zalimlah kita jika susuk badan & wajah yang begini cantik, tampan, jelita, ini kita jadikan sebagai bahan bakar dalam neraka.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters