About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, December 28, 2011

Surah al-Isra’


Malam ini Rabu Malam Khamis
Tazkirah Mingguan
Masjid Abu Bakar, Kg Pintu Gerbang

Surah Isra’ ayat 80-85


80. Dan katakanlah (Wahai Muhammad SAW & umat, dengan berdoa): "Wahai RABBku! masukkanlah daku ke tempat yang benar lagi mulia (Islam), serta keluarkanlah daku daripadanya (kubur) dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan jadikanlah (berikanlah) untukku dari sisi-MU kekuatan yang mampu menolongku",

- Begitulah gambaran AlLah SWT yang terlalu sayang akan semua Hamba-NYA. Dihidangkan makanan terlazat untuk jiwa & fizikal kita. Untuk keutuhan & kekuatan fizikal pelbagai makanan & minuman disediakan-NYA. Yang boleh kita dapatinya di mana-mana sahaja di atas dunia. Makanan & minuman yang disediakan-NYA cukup dengan segala macam gizi, kalori, zat, & seumpamanya.

Untuk menjadi makanan jiwa AlLah SWT telah menurunkan agama-NYA. Dari dahulu bermula dengan Baginda Adam AS manusia pertama diutus ke dunia, Islam merupakan agama yang mesti diguna & diamal dalam segenap aktiviti semasa. Fenomena ketundukan kepada Islam ini terus diperpanjang sehinggalah tiba masa Junjungan Yang paling Mulia, Muhammad SAW namanya.

Sebagai agama yang Maha Sempurna & datangnya dari Yang Maha Esa, Islam ini segala ajarannya termuat dalam sama ada suhuf atau kitab yang pelbagai nama. Apapun namanya kitab AlLah SWT Yang Maha Mulia itu; Tauratkah dia, Zaburkah ia, Injilkah dia, atau al-Qur’ankah namanya, initipati isinya tetap sama; mengabdikan diri hanya kepada AlLah SWT & menjauhi ajakan, pujukan, rayuan, tipuan, hasutan, godaan, belaian, syaitan & the gang yang tercela & dicela.

Dalam semua kitab-NYA, AlLah SWT menjelaskan secara rinci apa kehendak-NYA yang perlu kita laku sewaktu masih menerima subsidi pinjaman nyawa. Para rasul pula merealisasikan segenap perintah AlLah SWT melalui kelakuannya. Bermula dengan bangun pada waktu pagi sehinggalah kita memejamkan mata semula. Antara cara yang diajar AlLah SWT kepada manusia ialah bagaimana & apakah yang perlu kita minta apabila berdoa. Nah, dalam ayat di atas Allah SWT mengajarkan kepada manusia agar berdoa dengan doa yang disukai-NYA. 

Ya, doa agar kita dimasukkan ke dalam golongan yang benar, benar di sini bermaksud mengikut kehendak agama-NYA. Bukan benar mengikut kepala otak & kira-kira singkat otak manusia sahaja. Jika apa yang kita fikir sama dengan kehendak agama-NYA, itulah yang benarnya. Tetapi jika apa yang kita fikiri tak sama dengan titah & perintah-NYA, pasti ketentuan AlLah SWT itulah yang benar, apa yang ada dalam kepala kita itu palsu & karut belaka.

Kenapa hanya Islam yang benar & yang lain-lain palsu belaka adanya? Kerana hanya Islam mengajarkan kita agar sentiasa tunduk & patut secara tuntas & total terhadap segala titah & perintah-NYA. Adapun anutan yang lain itu mengajar manusia agar tunduk kepada sesama hamba seperti kita, atau jauh lebih lemah berbanding dengan manusia. Contohnya manusia diminta menyembah & memohon pertolongan daripada berhala, sedangkan berhala itu jauh lebih lemah daripada manusia, kerana manusia yang membentukkan berhala bukan berhala mencipta manusia, seharusnya berhala yang menyembah manusia, bukan manusia yang jadi penyembah berhala!

Bukan hanya Islam, semua anutan percaya akan kematian. Yang berbezanya hanyalah cara menjalani kematian & cara menjalani kehidupan selepas kematian. Islam mengajarkan suatu masa nanti kita semua akan dibangkitkan daripada kuburan (tempat kita ditertanam). Proses kehidupan ini berjalan setelah tiupan Sangkalala dari Israfel berkumandang. Kita diminta oleh AlLah SWT agar memohon kepada-NYA agar kita dikeluarkan dari kuburan dengan cara yang menyenangkan. Iaitu seolah-olah kita dibangunkan dari tidur oleh orang yang tersayang.

Kita juga diminta memohon agar diberi segala macam kekuatan untuk berdepan dengan pelbagai kesulitan yang menanti di hadapan. Ya, kerana kita bukan sahaja akan dihidupkan daripada kuburan selepas itu dibiarkan sesuka hati untuk berkeliran. Tidak, tidak sama sekali, bahkan kita akan dipaksa untuk berjalan ke suatu tempat perhimpunan raya & agung. Tempat perhimpunan yang mampu memuatkan semua manusia yang pernah diberi subsidi pinjaman nyawa, bermula dengan mereka yang dihidupkan semasa Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang akhir sekali dimatikan. Berapa juta trilionkah jumlah manusianya, WalLahu a’lam.

Ya kita amat memerlukan sedikit kekuatan untuk berdepan dengan penempatan di Padang Mahsyar yang mana semua manusia akan berdiri tiada manusia mampu untuk berduduk-dudukan. Berapa lama pula kita terpaksa berdirian di Mahsyar, WalLahu a’lam. Kita juga dipaksa menantikan pembahagian buku catatan amalan. Cepat atau lambatkan buku catatan kita akan sampai di tangan. WalLahu a’lam. Apakah setelah dipanggil nama untuk menerima buku catatan, kita akan menerimanya dengan tangan kanan, Insya-AlLah. Atau kita terpaksa menerima buku catatan kita melalui tangan kiri atau dari arah belakang, kerana malu berdepan dengan kenyataan. 

WalLahu a’lam. Setelah kita menerima buku catatan kita akan dibicarakan pula di Mahkamah AlLah SWT yang mana AlLah SWT bertindak sebagai hakim. Selamatkan kita dari dakwaan apabila dibicarakan. WalLahu a’lam. Kita juga terpaksa melalui titiian Siraq yang terlalu panjang, kecilnya umpama rambut tajamnya umpama pedang. Di bawahnya terbentang neraka yang dipenuhi dengan pelbagai keazaban, mampukah kita menyeberang. Insya-AlLah. Bagaimana pula keadaan kita menyeberang kelak. Seperti kilatkah, seperti memandu kapal terbangkah, seperti menaiki kudakah, seperti berjalankah, seperti merangkak kah, WalLahu a’lam.

81. Dan katakanlah:" telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara batil (kufur dan syirik); Sesungguhnya yang batil itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

- kita diminta menyakini & mengimani yang benar itu hanya satu iaitu Islam. Yang lain-lain semuanya baatil. Yang pertama menemani kehidupan manusia di alam ini Islam. Baginda Adam AS, manusia pertama menghuni & mengurus dunia ini, diurusnya dengan Islam. Dalam masa yang sama, musih no 1 manusia, dulu, kini, & selamanya; Iblis and the gang mencari jalan untuk memesongkan anak cucu Adam AS daripada tatacara hidup Islam. Kegigihan Iblis & the gang membuahkan hasil apabila anak Nabi Adam AS, Qabil berjaya dipesongkan dari jalan Islam, apabila Qabil menentang syariat yang difardhukan dalam bab & urusan perkahwinan.

Kebatilan yang dibontoti Qabil, makin hari makin banyak & makin hangat mendapat sambutan. Sehingga suatu masa tiada lagi manusia yang tahu & mengikuti syariat Islam yang diajari baginda Nabi Adam AS. Walaupun semasa hampir semua manusia seronok bermandian & berenang dalam lautan kesesatan, masih ada insan yang dapat berfikir secara relevan. Antara mereka yang masih suci berfikir secara relevan ini bernama Nuh AS. Apabila cukup tempohnya AlLah SWT menabalkan Nabi Nuh AS untuk mengembalikan manusia yang cukup seronoh berenang-renang dalam kebatilan itu kepada Islam. Berbekalkan wahyu yang diturunkan, Nabi AlLah Nuh AS memulakan perjuangan mengeluarkan manusia dari kesesatan kepada nur iman. 950 tahun Baginda Nabi AlLah Nuh AS mengajak manusia kembali kepada Islam, dengan dakwah yang berterusan; siang & malam. Rujuklah Surah Nuh sebagai bukti untuk menguatkan. Yang setia menjadi pengikut, penyokong, & pendokong ajaran Islam yang dibawa Nabi Nuh AS hanyalah 80 orang. SubhanalLah.

Akhirnya semua pembangkang terhadap ajaran AlLah ini, dilemaskan dalam kejadian banjir yang menggemparkan alam. Seluruh alam ditenggelamkan termasuklah segala bukit atau gunung yang menjulang. AlLah SWT tetap memenangkan Islam walaupun hanya diikuti & diyakini oleh 80 orang. Kemenangan Islam bukan & tidak sekali-kali memerlukan jumlah sebagai ukuran. Kerana kemenangan Islam datangnya dari AlLah SWT RABB sekalian alam bukan datangnya dari manusia atau dari kehidupan.

Pada zaman yang mana manusia semakin menjauhi agama ini atau dikenal sebagai zaman tidak beragama ini (maadin=moden) makin banyak kebatilan dipromosi dengan penuh gigih oleh para pencandunya. Berapa banyak promosi untuk mendaulatkan kebatilan, kita wajib meyakini yang haq (benar) hanyalah ISLAM. Yang lain-lain semuanya menuju ke arah kebatilan, sesat & menyesatkan.

Perjuangan untuk nasionalisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk demokrasi itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk kapitalisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk libralisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk sosialisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk emansipasi itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk komunisisme itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk adat & resam itu batil, sesat & menyesatkan.
Perjuangan untuk selain dari Islam itu batil, batil, & batil, sesat & menyesatkan.


82. Dan KAMI turunkan dari Al-Qur’an ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang mukmin; dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan apa-apa bagi orang zalim kecuali kerugian.

-AlLah SWT menegaskan bahawa antara tujuan dititipkan-NYA al-Qur’an kepada sema manusia adalah untuk bertindak seperti serampang bermata dua; menjadi penawar & rahmat, tetapi bukan untuk semua manusia. Al-Qur’an hanya memberi guna kepada golongan yang mukmin sahaja. Antara sifat orang mukmin itu tercatat dalam awal Surah al-Baqaroh; ayat 1-5 iaitu; tidak menaruh sebarang syak wasangka terhadap al-Qur’an, meyakini al-Qur’an sebagai sumber petunjuk utama, menyempurnakan keimanan kepada perkara yang ghaib (dosa-pahala, azab-siksa kubur, dihidupkan kembali untuk dibalasi sama ada baik atau buruk, kekalnya berada dalam nereka atau syurga), menyempurnakan ibadat solat, memperuntukkan sedikit kewangan untuk jalan AlLah, meyakini kesemua kitab yang pernah diturunkan AlLah SWT kepada para hamba, serta yakin adanya pertemuan dengan AlLah SWT paha hari akhirat.

Zalim merupakan kalimah yang dipakai oleh AlLah SWT dalam kitab suci-NYA al-Qur’an. Jadi untuk mendefinisikan kalimah atau diksi zalim ini, kita perlulah merujuk apa yang dijelaskan oleh AlLah SWT juga yang termuat dalam al-Qur’an. Antaranya AlLah SWT mencirikan zalim ini ialah keppada manusia yang tidak berhukum dengan hukum yang ada dalam al-Qur’an, seperti yang tercatat dalam Surah al-Maidah.45. dan sesiapa Yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan AlLah SWT, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.

Kepada golongan yang zalim iaitu mereka yang tidak menerima al-Qur’an sebagai rujukan utamanya, al-Qur’an tidak mampu membawa apa-apapun kebaikan untuk mereka. Segala titah & perintah AlLah SWT yang termuat kejap dalam al-Qur’an hanya akan membawa & menambah kerugian kepada mereka sahaja.


83. Dan apabila KAMI kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.

- sememangnya begitulah sifat manusia yang dilupakan oleh musuh no 1 mereka iaitu iblis and the gang. Semua bentuk nikmat yang sampai kepadanya adalah anugerah daripada AlLah SWT. Tapi banyak daripada kalangan manusia yang berasa segala nikmat yang didapatinya merupakan hasil usahanya semata-mata. Justeru itulah mereka tidak mahu untuk meratakan rasa syukur kepada-NYA. Misalnya seorang pekebun jika tanamannya membuahkan hasil yang bermutu, dia lupa itu pertolongan 100% dari-NYA. Tetapi manusia berasa tanamannya baik kerana penggunaan baja yang berkualiti, pengalirannya cukup, kawalan racun serangga tepat & sebagainya. Manusia tak pernah terfikir rupanya; siapakah yang memecahkan & seterusnya menumbuhkan biji benih yang ditimbus dalam tanah itu? Semuanya itu merupakan kerja & perancangan AlLah SWT semata-mata.

Sebaliknya apabila perancangan manusia itu gagal mereka akan cepat berputus asa, seolah-olah segalanya sudah berakhir kepadanya. Lantaran itu Baginda Nabi Muhammad SAW mengajarkan kita serangkap doa untuk menghadapi pelbagai situasi & kondisi. Apapun situasi & kondisi yang datang menjenguk diri pada setiap hari, kesemuanya hanya dapat dibahagi kepada 2 kategori iaitu; 1- sesuatu yang menyukakan hati
2- sesuatu yang mendukakan hati

Adapun doa Baginda Rasul SAW itu ‘ Ya AlLah jadikanlah aku hamba-MU yang mampu bersabar, ‘ Ya AlLah jadikanlah aku hamba-MU yang mampu bersyukur, ‘ Ya AlLah jadikanlah aku pada mataku nampak kecil tetapi nampak besar pada penglihatan orang lain’
Kita diharamkan berputus asa daripada rahmat AlLah SWT yang adanya rahmat tersebut lebih luas daripada langit & bumi ini. Perlu diingat rahmat bukan hanya wang & ringgit semata-mata. Wang & ringgit hanyalah sebahagian kecil daripada rahmat tersebut. Dapat bernafas 24 jam sehari tanpa henti rahmat. Dapat melihat dan mengenal pelbagai spesis fauna & flora itu rahmat. Dapat mendengar & membezakan pelbagai suara & bunyi-bunyian itu rahmat. Dapat merasai pelbagai kecapan pada lidah itu rahmat, masuk gula terasa manis, masuk garam terasa masin itu rahmat. Dapat menghidu pelbagai bau yang masuk melalui hidung itu rahmat. Yang pasti kita tak akan tukar nikmat yang ada pada mata, telinga, hidung, dan deria yang lain dengan berapa banyak pun jumlah ringgit yang ditawari.


84. Katakanlah (Wahai Muhammad SAW & umat): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka RABB kamu lebih mengetahui siapakah (antara kamu) yang lebih betul jalannya".

- ya memang benar sekali sebanyak mana amal soleh yang dilakukan diri itu bergantung kepada sejauh mana rasa kehambaan diri kita kepada-NYA. Semakin dalam kita berasa kita ini hamba, semakin banyak amal soleh yang keluar daripada dalam diri. Tidak cukup dengan amal yang diwajibkan, kita akan tambah dengan amal sunah yang ditawarkan. Sama ada solatnya, puasanya, sedekahnya, dan yang lain-lain yang seumapamanya. Sebaliknya semakin nipis rasa kehambaan & ketergantungan tersebut kepada AlLah SWT semakin sedikit pula amal soleh yang tertera dalam peta usia.

Apapun amal soleh yang kita buat sama ada secara terang-terangan atau sembunyian maka AlLah SWT amat mengetahuinya. Amal yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi yang tidak dapat dilihat oleh manusia atau makhluk lain, AlLah SWT tetap mengetahuinya; sama ada yang kita lakukan itu diredhai-NYA atau dimurkai-NYA. Contohnya seseorang bangkit pada dingin awal pagi untuk bermunajat, disukai & diredhai-NYA sementara seorang yang lain juga beraktiviti pada waktu yang sama tapi pergi mencuri kabel telefon, pasti dimurkai-NYA. Sebagaimana yang selalu kita ingatkan diri kita dengan membaca ayat Kursi; dalamnya AlLah SWT menyebut antara sifat-NYA; ‘tidak mengantuk apalagi untuk tidur.’



85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan RABB ku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

-daya tanya manusia untuk mengetahui sesuatu tak terbatas wujud & adanya. Sebagai pencipta manusia, AlLah SWT Maha Tahu kemampuan akal yang dibekalkan & berada dalam diri manusia. Justeru ada soalan-soalan yang dilarang AlLah SWT kita daripada bertanya, misalnya kita bertanya & cuba-cuba berfikir soal bentuk fizikal AlLah. Itu dilarang keras. Kerana itu tak mampu dicangkuk akal manusia yang amat terbatas kemampuannya.

Antara soal yang tak memampukan akal berfikir untuk menghuraikannya eih terperinci & lanjut ialah persoalan roh yang AlLah SWt pinjamkan sekejap masa untuk kita. Semua manusia hanya diberi terlalu sedikit ilmu berhubung dengan roh, jadi tak payahlah kita menyusahkan otak kita untuk mengkaji sesuatu yang tak mampu kita menanggungnya. Katakan kita hanya mampu memikul beban seberat 100 kg sahaja, tak payahlah kita cuba-cuba untuk memikul beban seberat 300 kg, 500 kg, 1000 kg, atau 1000000 kg. Pasti kita tak akan mampu melakukannya. Bukan itu sahaja, kita bakal membahayakan diri.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters