06 Safar 1433 bersamaan 31 Dis 2011
Masjid Pak Da Nor, Padang Embon, Pasir Mas
Surah Ali-Imran Ayat 110-111
110. Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan/ dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada AlLah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) hanya sedkita antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka memilih untuk menjadi fasik( merancang, menyimpan & melaksanakan pelbagai agenda ke arah dosa).
Semua impian & cita rasa manusia mahukan sanjungan & pujian, lebih-lebih lagi dari seseorang yang lebih tonggi darjatnya dari kita. Kita akan berasa bangga jika dipuji oleh adik-beradik kita. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh ayah bonda. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh orang kampung. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh guru-guru di sekolah. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh kerajaan negeri kita. Kita akan berasa lebih bangga lagi jika dipuji oleh pemimpin-pemimpin negara kita. Pujian yang diberikan kepada diri kita tentunya berpunca daripada kejayaan yang kita cipta dalam bidang yang diceburi. Misalnya kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam, seperti UPSR, PMR, SPM, STAM, STPM. Pujian tak pernah sama sekali datang tanpa kejayaan yang menemani diri.
AlLah SWT telah merakamkan sanjungan & pujian buat umat akhir zaman ini sebelum mereka diciptakan lagi. Kita telah dinobatkan dengan gelaran ‘khairul ummatin’= sebaik-baik umat atau umat yang terbaik, yang pernah menghuni bumi ini. Sanjungan ini terakam terlebih dahulu yakni sebelum kita dicipta apalagi dilahirkan ke dunia. Kejayaan umat ini, umat Nabi Muhammad SAW menggondol anugerah umat terbaik ini kerana kita berjaya dengan cemerlangnya melakukan 3 serentak dalam satu masa iaitu;
1- mempelawa & membimbing manusia untuk melakukan amal ma’ruf
2- melarang & menutup segala pintu, ruang & peluang untuk terbitnya amal mungkar
3- kita melakukan amal ma’ruf & nahi mungkar ditunjangi iman kepada AlLah SWT
Ketiga-tiga perkara ini gagal dilaksana dengan jayanya oleh umat-umat pada zaman silam bermula dengan umat Nabi AlLah Adam AS sehinggalah kepada umat Nabi AlLah Isa AS. Rata-rata mereka mampu mempelawa & membimbing umat mengerjakan amal ma’ruf tetapi pada masa yang sama mereka juga menjadi penaja agenda kemungkaran. Umat Nabi AlLah Musa AS umpamanya, walaupun mereka menjadi pendokong kepada dakwah Nabi AlLah Musa AS, pada masa yang sama mereka mendesak nabi mereka untuk menatap wajah AlLah SWT. Mereka akur dengan nabi mereka pergi ke Tursina untuk menerima Kitab Taurat, tapi pada masa yang sama mereka membina patung lembu untuk disembah. Mereka menjadi penyembah lembu yang mereka ukir dengan ilham otak & tangan mereka, sedang masa yang sama mereka mengaku beriman kepada AlLah SWT.
Seharusnya golongan yang pertama beriman dengan seruan Nabi Akhir Zaman ini; Nabi Muhammad SAW sepatutnya terdiri daripada golongan ahli kitab ataupun sekarang dipanggil tuan-tuan guru & ustaz-ustaz, kerana mereka telah tahu kerana selalu membaca dalam kitab yang ada pada mereka yang menceritakan akan kedatangan nabi akhir zaman, siap dengan tanda-tandanya; sama ada tanda yang nampak dilihat secara zahir atau tanda yang tersembunyi. Apa yang pelik & ganjilnya ialah golongan ahli kitab inilah yang paling sedikit beriman dengan seruan & ajakan Nabi Akhir Zaman. Kebanyakan mereka memilih untuk terus-menerus berada dalam keadaan fasik. Sirah merakamkan hanya beberapa nama ahli kitab sahaja yang bercakap benar & membenarkan Nabi Akhir Zaman; misalnya Waraqah bin Naufal, Buhaira, & Abdullah bin Salam. Adapun sejumlah ahli kitab yang lain bertungkus-lumus merangka jalan & mencari pelbagai helah untuk menentang Nabi Muhammad SAW.
Sirah telah lama merakamkan bahawa kekuatan Islam ini bukan berada di tangan ahli kitab atau tuan guru & ustaz-ustaz, tetapi kekuatan Islam ini terletak dalam hati manusia yang ikhlas & jujur dalam beragama walaupun mereka bukan tuan guru & ustaz. Walaupun mereka tak pernah mengenal huruf & angka, apalagi untuk bijak membaca carta & mengendali komputer.
111. Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.
- Semasa melaksanakan kerja-kerja dakwah; mengajak & mengajar serta membimbing manusia (sasaran dakwah) untuk melakukan amal soleh, dan membimbing mereka menjauhi perkara yang mungkar, pastinya akan ada halangan yang mendatang. Musuh-musuh dakwah tidak pernah berdiam diri & tidak akan pernah berputus asa untuk menghalang seruan kepada agama AlLah SWT. Musuh yang paling sengit yang tidak pernah puas untuk menghalang dakwah ini, dijelaskan sendiri oleh AlLah SWT terdiri daripada dua komuniti; Yahudi & Nasroni). Yang dimaksudkan dengan Yahudi & Nasroni di sini ialah sama ada dari segi lahiriahnya iaitu dari mereka yang beridentitikan Yahudi & Nasroni atau daripada mereka yang berperangai meniru kelakuan & perbuatan yang selama ini dipelopori Yahudi & Nasroni.
- Dalam ayat ini AlLah SWT menegaskan & memberikan jaminan; bahawa musuh-musuh dakwah ini walau apapun namanya, tidak akan pernah sekali-kali akan membahayakan jurudakwah. Mereka hanya mampu mengganggu perasaan & emosi jurudakwah sahaja melalui kata-kata. Kata-kata mereka hanyalah berupa ugutan, ejekan, fitnah yang direka-reka, dan yang lain-lain yang sebangsa dengannya sahaja.
Sekali lagi dalam ayat yang sama AlLah SWT sebagai tuan punya dakwah Islam ini, memberikan jaminan seandainya mereka (musuh Islam ini, apa jua namanya) menggerakkan kekuatannya untuk berperang dengan para pendakwah, AlLah SWT memberikan jaminan bahawa pejuang Islam akan menang. Sirah & sejarah menjadi saksi setiap agenda peperangan yang dilalui oleh orang Islam, semua kemenangan berpihak kepada Islam. Hal ini disebabkan kita sebagai umat Islam turun ke medan perang untuk mati syahid, kerana mati syahidlah kemenangan yang tiada tolok bandingnya, sama ada untuk masa di dunia lebih-lebih lagi dalam syurga di akhirat sana. Kemenangan di dunia juga dijamin oleh AlLah SWT apabila umat Islam melewati jalan peperangan dengan musuh Islam. lantaran kerana kemenangan dalam peperangan semasa di dunia inilah, dalam al-Qur’an terdapat satu surah yang bernama Surah al-Anfal.
Peperangan antara umat Islam dengan pihak kufar akan berpihak kepada Islam & musuh Islam akan tewas dengan seteruk-teruknya, & mereka akan menjadi hina-dina selepas peperangan tersebut. Menyedari hal inilah, musuh Islam sejak dari dahulu akan cuba menjauhkan umat Islam dengan ayat-ayat al-Qur’an yang membicarakan soal jihad & perang yang dituntut oleh Islam. Tetapi sebagai umat Islam kita wajib beriman; ada masanya kita diwajibkan solat, ada masanya kita diwajibkan berpuasa, ada masanya kita diwajibkan berzakat, ada masanya kita diwajibkan berhaji, ada masanya kita diwajibkan melaksanakan hudud, ada masa-masanya bila sampai ketika & detiknya; AlLah SWT juga mewajibkan kita berperang!
No comments:
Post a Comment