About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, February 12, 2012

Surah: Al-Baqorah


Tafsir Surah al-Baqorah  ayat 1-5
Tazkirah Dwi Bulanan
19 Rabiul Awal  1433 – 12 Feb 2012
Sabtu Malam Ahad
Minggu kedua & keempat
Masjid Tok Ku Yam, Kg Pulau Melaka,
Sering, Kota Bharu, Kelantan



Surah: Al-Baqorah
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الم [٢:١]
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ [٢:٢]
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ [٢:٣]
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ [٢:٤]
أُولَٰئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ [٢:٥]

1- Alif, Laam, Miim.
2- Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari AlLah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
3- Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
4- Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
5- Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari RABB mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya





Surah: Al-Baqara
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الم [٢:١]
Alif, Laam, Miim.
          AlLah SWT  sengaja memilih huruf-huruf potong ini untuk memulakan surah al-Baqorah, yang merupakan surah yang kedua kedudukannya dalam al-Qur’an. Para cendekiawan Islam (alim ulama’) berbeza pendapat tentang keberadaannya.  Kebanyakan mereka tidak menafsirkan apakah makna huruf huruf tersebut. Mereka mengatakan AlLah SWT  sahajalah Yang Maha Mengetahui apakah maksudnya. Ada sebahagiannya menjelaskan huruf-huruf tersebut juga sebagai nama lain bagi surah.
          Ibnu Abbas (AbdulLah bin Abbas) antara ulama tafsir yang menjelaskan maksud huruf-huruf ini. Mengikut  beliau Aliif Laam Miim bermakna  Aliif bererti AlLah SWT, Laam merujuk kepada Jibril, & Miim bermaksud Muhammad SAW.    Aliif Laam Miim juga bermaksud Akulah AlLah SWT Yang Maha Mengetahui.
           Apabila kita meneliti & membaca dengan teliti, akan kita dapati surah-surah yang bermula dengan huruf potong= muqataah, disebut akronim dalam bahasa Melayu, menjelaskan status & peranan al-Qur’an. Surah tersebut memulakan ayat dengan huruf-huruf seperti; Aliif Laam Miim, Yaa Siin, Thaa Haa, Qaaf, Haa Miim, Thaa Siin Miim, Aliif Laam Raa, dsb.
Daripada 114 surah yang ada dalam al-Qur’an, Surah yang seumpama ini terdapat sebanyak 30 buah dalam al-Qur’an. Surah-surah itu ialah;
1.      Surah  ke-2. Al-Baqoorah. 286 Ayat
2.      Surah  ke-3. Ali-Imran. 200 Ayat
3.      Surah  ke-7. Al- A’raf. 206 Ayat
4.      Surah  ke-10. Yunus. 109 Ayat
5.      Surah  ke-11. Hud. 123 Ayat
6.      Surah  ke-12. Yusoff. 111 Ayat
7.      Surah  ke-13. Ar-Ra’d. 43 Ayat
8.      Surah  ke-14. Ibrahim. 52 Ayat
9.      Surah  ke-15. Al-Hijr. 99 Ayat
10.    Surah  ke-19. Maryam. 98 Ayat
11.    Surah  ke-20. Thaahaa. 135 Ayat
12.    Surah  ke-26. As-Syuaara. 227 Ayat
13.    Surah  ke-27. An-Naml.93 Ayat
14.    Surah  ke-28. Al-Qasas. 88 Ayat
15.    Surah  ke-29. Al-Ankabut. 69 Ayat
16.    Surah  ke-30. Ar-Rum. 60 Ayat
17.    Surah  ke-31. Luqman. 34 Ayat
18.    Surah  ke-32. As-Sajdah. 30 Ayat
19.    Surah  ke-36. Yasin. 83 Ayat
20.    Surah  ke-38. Sad. 88 Ayat
21.    Surah  ke-39. Az-Zumar. 75 Ayat
22.    Surah  ke-40. Al-Ghafir/ Mukmin. 85 Ayat
23.    Surah  ke-41. Fushshilat. 54 Ayat
24.    Surah  ke-42. As-Syura-53 Ayat
25.    Surah  ke-43. Az-Zukruf. 89 Ayat
26.    Surah  ke-44. Ad-Dukhan. 59 Ayat                                                                          27.          Surah  ke-45. Al-Jaathiyah. 37 Ayatü
28.    Surah  ke-46. Al-Ahqaf. 36 Ayat
29.    Surah  ke-50.Qaf.45 ayat
30.    Surah  ke-68. Nun. 52 Ayat

Daripada 30 surah tersebut, hanya 3 surah sahaja yang tidak membincangkan status al-Qur’an & peranannya. Ketiga-tiga surah tersebut ialah;
1.      Surah  ke-19. Maryam. 98 Ayat
2.      Surah  ke-29. Al-Ankabut. 69 Ayat
3.      Surah  ke-30. Ar-Rum. 60 Ayat




ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ [٢:٢]
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari AlLah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
          Inilah kitab iaitu al-Qur’an yang merupakan Kalam AlLah SWT. Tidak ada sesiapa yang mampu menafikannya datang daripada AlLah SWT; sama ada manusia dahulu, manusia yang sedang hidup kini, atau manusia yang hidup seratus, seribu, atau sejuta tahun lagi. Al-Qur’an ini sempurna isinya meliputi semua bidang ilmu yang diperlukan oleh manusia. Bagi penganut Islam haram mereka ragu-ragu walaupun sedikit kepada kehebatan al-Qur’an. Tujuan AlLah SWT menurunkan al-Qur’an ini ialah untuk manusia jadikannya sebagai petunjuk, atau pemandu jalan sewaktu mereka masih disambung nyawa, & al-Qur’an ini sudahpun memberi petunjuk & akan terus-menerus memberi petunjuk, tetapi mereka yang sanggup menjadikan al-Qur’an sebagai petunjuk hanyalah mereka yang muttaqim sahaja. Adapun manusia yang tidak muttaqim tidak akan & tidak sanggup untuk menjadikan al-Qur’an sebagai pedoman & panduan hidupnya. Mereka lebih suka menjadikan akhbar harian, buku-buku karangan manusia, tesis tertentu sebagai panduan untuk diikuti.



الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ [٢:٣]
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang KAMI berikan kepada mereka.
          Oleh sebab kalimah muttaqim ini digunakan oleh AlLah SWT, DIA tidak membiarkan manusia terkapai-kapai untuk berfikir apakah yang dikatakan muttaqim itu. Dengan sifat Maha Pengasih & Maha Penyayang, AlLah SWT menjelaskan ciri orang yang disifatkan-NYA sebagai muttaqim itu, iaitu;
1- beriman dengan perkara yang ghaib
2- menyempurnakan solatnya
3- membelanjakan sebahagian daripada rezeki pemberian AlLah yang dimiliki

1- beriman dengan perkara yang ghaib; beriman di sini dengan maksud meyakini adanya perkara yang ghaib & berusaha sedaya upaya pula untuk mematuhi tuntutan-tuntutannya. Perkara yang ghaib di sini biasa juga disebut samiyyat. Antara perkara yang dikira perkara yang ghaib ini ialah; dosa, pahala, nikmat kubur, azab kubur, dihidupkan semula kali kedua setelah dikuburkan, dihimpukan di Padang Mahsyar, adanya Mahkamah di Mahsyar, dibahagikan suratan amal, timbangan amal (mizan), dimestikan melintas Titian Siraq, adanya Kolam Kauthar, adanya bayangan Aras, adanya nikmat tak berkesudahan dalam syurga, adanya azab berganda-ganda dalam neraka, adanya syafaat Baginda Nabi Muhammad SAW.
          Memang banyak orang tahu atau pernah mendengar akan persoalan yang disebut di atas, soalnya adakah kita berusaha dengan sedaya usaha kita untuk memenuhi tuntutan agar kita selamat sewaktu di sana? Tepuklah dada tanya iman.

2- menyempurnakan solatnya. Kedudukan kedua selepas beriman kepada perkara yang ghaib ialah menyempurnakan solat. Baginda Nabi Muhammad SAW telah menghamparkan sabda shollu kamaa ra’i tumuni usolli’-
kamu bersolatlah sebagaimana kamu lihat aku solat.
Bagaimana sifat solat Nabi Muhammad SAW?
Yang pastinya Baginda SAW bersolat fardhu & yang sunnat. Adapun solat fardhu yang ditunaikan Baginda SAW ialah berjemaah 5 kali sehari. Baginda SAW tidak pernah ponteng solat berjemaah, walaupun terpaksa dipapah oleh 2 orang sahabat (Syaidina Ali bin Abi Talib KW & Fadhal bin Abbas RA); kerana sakitnya terlalu berat, Baginda SAW tetap ke masjid untuk solat berjemaah. Jelaslah Baginda SAW solat berjemaah di masjid 100% sewaktu hayatnya! Adakah kita sehingga ke hari ini solat sebagaimana Baginda SAW solat? Apabila berjemaah tentunya ada sof-sof solat. Baginda SAW mengarahkan agar sof solat dibetulkan & dirapatkan; bahu bersentuh dengan bahu sementara disamakan kedudukan tumit belakang. Sudahkan kita membentuk sof solat seperti yang diajari nabi?
          Baginda SAW juga tidak lupa untuk mengerjakan solat sunat. Adapun solat yang disunahkan ini Baginda SAW melakukannya sendirian di rumah, atau berjemaah di tempat tertentu. Baginda SAW solat kesemua jenis solat sunat yang ada; sama ada tahajud, witir, hajat, dhuha, minta hujan, solat gerhana sama ada bulan atau matahari, tahayatul masjid, solat qabliyyah & ba’diyyah, solat hari raya, dll

3- membelanjakan sebahagian daripada rezeki pemberian AlLah yang dimiliki
          Islam bukan hanya agama yang menggariskan perhubungan manusia dengan Pencipta semata-mata, tetapi menetapkan perhubungan antara manusia sesama manusia. AlLah SWT Yang Maha Tahu citarasa manusia, kehendak & keperluan manusia, menggariskan pemberian sebahagian kecil daripada rezeki yang AlLah berikan kepada insan lain sebagai satu ciri orang yang muttaqim. Andai kesemua orang Islam memahami & menghayati ayat ini, tidak akan ada gejala curi-mencuri dalam dunia Islam; kerana Islam mengajarkan agar kita memberi apa yang ada kepada orang lain, bukan menunggu untuk mengaut hak orang lain ke dalam kantung sendiri. subhanalLah, awal-awal catatan al-Qur’an sudah AlLah SWT jelaskan keindahan masyarakat Islam. Tidak akan ada gejala kecurian kerana umat Islam ini saling berebutan untuk memberikan sebahagian rezeki yang menjadi milik sementaranya; sama ada wang, tenaga, ilmu, fikiran, dll.




وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ [٢:٤]
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
          Ciri orang yang muttaqim yang lain turut diwartakan oleh AlLah SWT dalam ayat ini, iaitu beriman,& beramal dengan kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kitab yang diturunkan oleh AlLah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ini melalui perantaraan Jibril yang hebat & gagah perkasa ini hanyalah al-Qur’an. Jadi umat Islam diwajibkan menjadikan al-Qur’an ini sebagai rujukan sepanjang masa dalam menghadapi & mendepani apa sahaja kekalutan masalah yang dialaminya. Mereka wajib meyakini kesemua 6236 ayat yang termuat dalam al-Qur’an itu maha suci daripada segala kelemahan, dulu, kini, & selama-lamanya. Ajaran atau titah & perintah AlLah SWT yang termuat dalam al-Qur’an itu tetap sesuai diamalkan sehinggalah datangnya hari Qiamat. Tidak ada terdetik di hatinya walaupun setengah saat, al-Qur’an ini tidak sesuai lagi untuk dipraktik & diikuti pada zaman ini sebab kita masyarakat majmuk. Bagi kita orang Islam yang muttaqim, al-Qur’anlah segala-galanya, tanpa al-Qur’an siapalah kita. Tanpa al-Qur’an kita tidak ada harga. Tanpa al-Qur’an kita terhina selama-lamanya. Dengan mengamalkan kandungan al-Qur’an secara menyeluruh sahajalah yang akan menjadikan kita mulia.
          Selain daripada al-Qur’an, AlLah SWT meminta kita beriman dengan semua kitab terdahulu yang pernah diturunkan-NYA. Walaupun ada banyak sama ada kitab atau suhuf, kita diminta beriman dengan;
Taurat yang diturunkan kepada Nabi AlLah Musa AS
Zabur yang diturunkan kepada Nabi AlLah Daud AS
Injil yang diturunkan kepada Nabi AlLah Isa AS.





أُولَٰئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ [٢:٥]
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari RABB mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya
          DIA memberikan jaminan kepada sesiapa sahaja yang mampu mencapai ciri yang digarisi-NYA itu
1- beriman dengan perkara yang ghaib
2- menyempurnakan solatnya
3- membelanjakan sebahagian daripada rezeki pemberian AlLah yang dimiliki
4- beriman & melaksanakan segala titah & perintah yang termuat dalam al-Qur’an tanpa takut & bimbang
5- beriman AlLah SWT juga menurunkan kitab untuk para anbiya terdahulu

Mereka akan mendapat petunjuk langsung dari-NYA setiap masa & mereka pasti berjaya; sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat sana. Hal ini dapat kita lihat kepada para sahabat Baginda SAW seperti Syaidina Ali Abi Talib KW, Syaidina Usman Affan RA, Syaidina Abu Bakar as-Siddiq RA, Syaidina Umar al-Khattab RA dan sahabat-sahabat yang lain yang mendapat petunjuk langsung dari-NYA.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters