About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, February 12, 2012

Tafsir Surah al-A’raf ayat 109- 126,

Tafsir Surah al-A’raf ayat  109- 126,
Malam ini 20 Rabiul  Awal 1433-  13 Feb  2012
Tazkirah Mingguan di Masjid Haji Sulaiman,
Kg Jembal, Bachok, Kelantan


قَالَ الْمَلَأُ مِن قَوْمِ فِرْعَوْنَ إِنَّ هَٰذَا لَسَاحِرٌ عَلِيمٌ [٧:١٠٩]
يُرِيدُ أَن يُخْرِجَكُم مِّنْ أَرْضِكُمْ ۖ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ [٧:١١٠]
قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَأَرْسِلْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ [٧:١١١]
يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَاحِرٍ عَلِيمٍ [٧:١١٢]
وَجَاءَ السَّحَرَةُ فِرْعَوْنَ قَالُوا إِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ الْغَالِبِينَ [٧:١١٣]
قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ لَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ [٧:١١٤]
قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِمَّا أَن تُلْقِيَ وَإِمَّا أَن نَّكُونَ نَحْنُ الْمُلْقِينَ [٧:١١٥]
قَالَ أَلْقُوا ۖ فَلَمَّا أَلْقَوْا سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ وَاسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَاءُوا بِسِحْرٍ عَظِيمٍ [٧:١١٦]
وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَإِذَا هِيَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ [٧:١١٧]
فَوَقَعَ الْحَقُّ وَبَطَلَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ [٧:١١٨]
فَغُلِبُوا هُنَالِكَ وَانقَلَبُوا صَاغِرِينَ [٧:١١٩]
وَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سَاجِدِينَ [٧:١٢٠]
قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ [٧:١٢١]
رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ [٧:١٢٢]
قَالَ فِرْعَوْنُ آمَنتُم بِهِ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّ هَٰذَا لَمَكْرٌ مَّكَرْتُمُوهُ فِي الْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا مِنْهَا أَهْلَهَا ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ [٧:١٢٣]
لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَافٍ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ [٧:١٢٤]
قَالُوا إِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ [٧:١٢٥]
وَمَا تَنقِمُ مِنَّا إِلَّا أَنْ آمَنَّا بِآيَاتِ رَبِّنَا لَمَّا جَاءَتْنَا ۚ رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ [٧:١٢٦]
109- Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

110- "Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu". (Firaun bertanya): "Oleh itu, apa yang kamu syorkan?"

111- Mereka berkata: "Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);

112- "Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir".

113- Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: "Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?"

114- Firaun menjawab: "Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang dekat(denganku)".

115- Mereka berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?"

116- Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).

117- Dan KAMI wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).

118- Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.

119- Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
120- Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,

121- Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.

122- "(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun".

123- Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya).

124- "Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya".

125- Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepada-NYAlah kami mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya).

126- "Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai RABB kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepada-Mu)".


Tafsir Surah al-A’raf ayat  109- 126,



قَالَ الْمَلَأُ مِن قَوْمِ فِرْعَوْنَ إِنَّ هَٰذَا لَسَاحِرٌ عَلِيمٌ [٧:١٠٩]
Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
          Setelah Nabi AlLah Musa AS menunjukkan mukjizatnya iaitu tongkatnya bertukar menjadi ular & tangannya mengeluarkan cahaya yang cerah. Mukjizat yang begitu hebat tentunya mendatangkan kesan dalam hati sang Fir’aun, untuk mengelakkan rajanya beriman dengan Nabi AlLah Musa AS, para penasihat-penasihatnya cepat-cepat memasukkan jarum ke dalam kepala Fir’aun bahawa apa yang dilihatnya itu hanyalah satu persembahan silat mata atau sihir & Nabi AlLah Musa AS dituduh atau dilabelkan sebagai tukang sihir yang handal. Anehnya sang Fir’aun percaya bulat-bulat fitnah tersebut. Sepatutnya sang Fir’aun tidak percaya langsung kerana, sejak dari hari pertama kelahiran Fir’aunlah yang memerihara Nabi Musa AS. Sang Fir’aun pun tahu dia tidak pernah menghantar anak angkatnya (Nabi Musa AS) ke mana-mana sekolah yang mengajarkan ilmu sihir. Keadaan menjadi terbalik bila Fir’aun percaya fitnah berhelah pembesar-pembesarnya; iaitu Nabi AlLah Musa AS sebagai tukang sihir.


يُرِيدُ أَن يُخْرِجَكُم مِّنْ أَرْضِكُمْ ۖ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ [٧:١١٠]
"Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu". (Firaun bertanya): "Oleh itu, apa yang kamu syorkan?"
          Para menteri, exco, & para penasihat sang Fir’aun terus menghasutnya dengan dakwaan Nabi Musa AS hendak merampas kuasa & akan menghalau Fir’aun keluar dari bumi Mesir. Apabila sang Fir’aun termakan dengan lahapnya hasutan & fitnah tersebut, dia segera meminta pandangan dari para pembesanya; apakah yang perlu mereka perbuat untuk menghadapi Nabi AlLah Musa & Harun AS.




قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَأَرْسِلْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ [٧:١١١]
Mereka berkata: "Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);

يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَاحِرٍ عَلِيمٍ [٧:١١٢]
"Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir".




          Para penasihat Fir’aun menasihatkannya agar mereka menjelajah ke semua pelusuk Mesir untuk mencari tukang-tukang sihir yang hebat untuk bertarung & berlawan dengan Nabi AlLah Musa AS. Hal ini demikian kerana pada masa itu banyak tukang sihir di Mesir & sesiapa yang berkebolehan dalam agenda sihir ini, mereka akan lebih dimuliakan. Tentunya mereka fikir tukang-tukang yang ada mampu mengalahkan Nabi Musa AS & tentunya serentak dengan itu mereka boleh memalukan Nabi Musa AS. Lalu dengan menggunakan segala kemudahan yang ada sama ada siaran eletronik atau iklan-iklan tertentu, pasukan yang ditubuh khas pun bergerak untuk mencari tukang-tukang sihir yang mahir. Dalam sekejap masa sahaja tukang-tukang sihir yang hebat & mahir serta terkenal pun dapat dikumpulkan & mereka pun mengadap sang Fir’aun.      




وَجَاءَ السَّحَرَةُ فِرْعَوْنَ قَالُوا إِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ الْغَالِبِينَ [٧:١١٣]
Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: "Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?"
          Perkara pertama yang ditanyakan oleh tukang-tukang sihir kepada Fir’aun ialah upah jika mereka berjaya menewaskan Nabi Musa & Nabi Harun AS. Ya tukang-tukang sihir itu hanyalah bekerja semata-mata untuk & kerana upah sahaja, jika ada upah mereka akan berkerja. Berbeza dengan Nabi AlLah Musa & Nabi AlLah Harun AS yang berdakwah bukan kerana mencari upah tetapi kerana sebuah perjuangan; membebaskan manusia dari syirik kepada tauhid! Syirik kerana mereka penduduk Mesir kesemuanya bertuhankan Fir’aun; dengan kata lain Fir’aunlah tuhan mereka, bukan AlLah SWT. Nabi AlLah Musa & Nabi AlLah Harun AS pula mengajak mereka agar bertuhankan AlLah SWT, tinggalkan sembahan kepada Fir’aun kerena Fir’aun juga manusia.




قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ لَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ [٧:١١٤]
Firaun menjawab: "Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang dekat (denganku)".
          Keraguan tukang-tukang sihir tentang upah mereka jika menang segera dihapuskan Fir’aun dengan jawapan, mereka akan dijadikan orang kanan, orang yang paling hampir pangkatnya dengan Fir’aun jika berjaya menewaskan Nabi AlLah Musa AS.
           






قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِمَّا أَن تُلْقِيَ وَإِمَّا أَن نَّكُونَ نَحْنُ الْمُلْقِينَ [٧:١١٥]
Mereka berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?"
          Setelah mendapat balasan jawapan yang pasti, tukang-tukang sihir pun bergerak dengan penuh yakin untuk berdepan dengan Nabi AlLah Musa AS. Apabila berdepan dengan Nabi Musa AS, tukang sihir bertanya siapakah yang akan memulakan pertarungan ini. adakah mereka atau Nabi AlLah Musa AS. Bentuk pertarungan semasa itu ialah dengan mencampakkan tongkat atau tali yang dipegang oleh mereka.





قَالَ أَلْقُوا ۖ فَلَمَّا أَلْقَوْا سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ وَاسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَاءُوا بِسِحْرٍ عَظِيمٍ [٧:١١٦]
Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).
          Nabi AlLah Musa AS mempersilakan mereka mencampakkan tongkat mereka terlebih dahulu, dengan makna mereka tukang sihirlah yang memulakan pertarungan. Tanpa membuangkan masa masing-masing tukang sihir mencampakkan tongkat & tali-tali yang mereka bawa. Setelah tali & tongkat tercampak ke tanah, tongkat & tali-tali yang mereka campakkan itu nampak seperti ulat yang bergerak-gerak. Keadaan ini telah menimbulkan rasa gerun kepada khalayak yang hadir. Ya sihir atau silap mata mereka telah berjaya menipu pandangan mata manusia, mereka lihat tali tetapi kelihatan pada mata mereka ular.


وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَإِذَا هِيَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ [٧:١١٧]
Dan KAMI wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
          AlLah SWT pula mewahyukan kepada nabi-NYA; Musa AS agar mencampakkan tongkat yang selama ini digunakan untuk mengembala kambing. Apabila Nabi AlLah Musa AS mencampakkan tongkatnya, apabila dicampakkan ke tanah, tongkat Nabi AlLah Musa AS bertukar menjadi ular yang lebih besar dengan kudarat & iradat AlLah SWT  serta dengan tidak berlengah lagi menelan kesemua ular tukang sihir tadi.



فَوَقَعَ الْحَقُّ وَبَطَلَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ [٧:١١٨]
Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.
          Dengan tertelannya ular-ular tukang sihir tadi, maka tewaslah kebatilan apabila berdepan dengan haq(kebenaran). Ya sihir merupakan sesuatu perbuatan yang batil, menipu pandangan mata manusia sedangkan mukjizat merupakan kebenaran hakiki  yang datangnya dari Pencipta & Penguasa semua alam ini iaitu AlLah SWT.



فَغُلِبُوا هُنَالِكَ وَانقَلَبُوا صَاغِرِينَ [٧:١١٩]
Oleh sebab itu, kalahlah Fir’aun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
          Dengan kekalahan teruk tukang-tukang sihir itu, menjadikan sang Fir’aun & para menterinya berasa kekuatan sihir yang dibanggakan selama ini tidak sampai ke mana rupanya. Kerdilnya apa yang dikatakan & dikenali sebagai sihir sama ada pada masa dahulu atau pada masa kini atau pada masa-masa yang akan datang. Dengan kekalahan itu juga menyebabkan mereka berasa terhina.




وَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سَاجِدِينَ [٧:١٢٠]
Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,
          Fenomena yang baharu dilalui oleh para tukang sihir itu telah menyedarkan kesemua tukang sihir tersebut bahawa sihir bukanlah segala-galanya. Mereka sedar ada lagi kekuasaan lain yang jauh lebih hebat daripada sihir iaitu kekuasaan AlLah SWT. Serentak dengan desakan & tusukan rasa yang ada itu kesemua tukang sihir itu terus sujud, merapatkan dahinya ke tanah.



قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ [٧:١٢١]
Sambil berkata: "Kami beriman kepada RABB sekalian alam.
          Sambil bersujud mereka berkata, kami beriman kepada RABB yang mencipta, memantau, menguasai & mentadbir semua alam.



رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ [٧:١٢٢]
"(Iaitu) RABB bagi Nabi Musa dan Nabi Harun".
          RABB yang dimaksudkan oleh tukang sihir itu ialah RABB yang menjadi ikutan Nabi AlLah Musa & Nabi AlLah Harun AS. Para tukang sihir tidak lagi menaruh kepercayaan kepada dakwaan Fir’aun, bahawa Fir’aunlah tuhan Mesir, setelah melihat kekuatan mukjizat yang dibawa oleh Nabi AlLah Musa AS yang menewaskan kepandaian sihir mereka.
         



قَالَ فِرْعَوْنُ آمَنتُم بِهِ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّ هَٰذَا لَمَكْرٌ مَّكَرْتُمُوهُ فِي الْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا مِنْهَا أَهْلَهَا ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ [٧:١٢٣]
Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh sebab itu, kamu akan mengetahui (akibatya).
          Berimannya kesemua tukang sihir kepada Nabi AlLah Musa & Nabi AlLah Harun AS mendatangkan tamparan hebat kepada Fir’aun, tambahan pula pernyataan iman para tukang sihir dibuat secara pengisytiharan terang-terang, bukan secara sembunyi-sembunyi. Rupanya semua rakyat Mesir selama ini jika ingin berbuat sesuatu mestilah memohon restu daripada Fir’aun, jika diizinkan barulah boleh berbuat, jika tidak mereka tidak boleh membuat keputusan sendiri.
          Keputusan tukang sihir beriman kepada ajaran & ajakan Nabi AlLah Musa & Nabi AlLah Harun AS tidak diluluskan oleh sang Fir’aun, malah Fir’aun melemparkan fitnah pula iaitu tukang-tukang sihir itu telah berpakat dengan Nabi AlLah Musa AS. Apabila berpakat tukang-tukang sihir itu sengaja kalah untuk memberi kemenangan kepada Nabi AlLah Musa & Harun AS. Para tukang sihir & Nabi Musa serta Nabi Harun dituduh bersubahat untuk menggulingkan kerajaan Fir’uan & menghalau Fir’aun keluar dari bumi Mesir. Lalu Fir’aun menambahkan ugutan fizikal kepada tukang-tukang sihir yang beriman itu.



لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَافٍ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ [٧:١٢٤]
"Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya".
          Ugutan fizikal Fir’aun untuk kesemua tukang sihir yang beriman dengan AlLah SWT itu ialah, tangan & kaki mereka akan dipotong secara bersilang; jika mereka; tukang-tukang sihir itu dipotong tangan kanan, maka kaki mereka yang kiri juga turut terpotong kemudian mereka akan diikatkan pada salib besar sehingga mereka mati.



قَالُوا إِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ [٧:١٢٥]
Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada RABB kamilah kembalinya kami (dan kepada-Nyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya).
          Jawapan yang diterima daripada tukang-tukang sihir ini sudah tentu memeranjatkan Fir’aun & para menteri serta exconya. Kerana ugutan & ancaman fizikal tersebut tidak sedikitpun menakutkan para tukang sihir, sebaliknya tukang sihir dengan tenang berkata; kami semua tidak gentar untuk mati kerana kami datang dari-NYA mudah-mudahan kami diampuni-NYA dari dosa yang sudah terlalu banyak kerana berbuat sihir.




وَمَا تَنقِمُ مِنَّا إِلَّا أَنْ آمَنَّا بِآيَاتِ رَبِّنَا لَمَّا جَاءَتْنَا ۚ رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ [٧:١٢٦]
"Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat RABB kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai RABB kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepada-Mu)".
          Tukang-tukang sihir amat yakin bahawa mereka akan dihukum bunuh itu hanya kerana mereka beriman kepada AlLah SWT. Mereka dihukum kerana meyakini ketuhanan AlLah SWT. Mereka tidak pernah melakukan sebarang jenayah sama ada rasuah, mencuri, menggelapkan wang negara, atau kesalahan lain. Sebelum dibunuh dengan cara yang amat kejam itu para tukang sihir berdoa beramai-ramai; mengharapkan AlLah SWT melimpahkan mereka dengan kesabaran yang total serta mereka bermohon agar mereka mati dalam beragama Islam; muslim. subhanalLah.
Para tukang sihir yang baharu sekejap beriman kepada AlLah SWT berani mempertahan imannya, mereka sanggup mati di hujung kayu solib kerana iman. Tentu berbeza dengan sebahagian kita yang dah berpuluhan tahun kononnya beriman, kerana lahir terus dalam keluarga Islam, tapi takut untuk menyiar & menyebarkan Islam & yang lebih malang lagi sanggup menukar iman dengan harga dunia yang terlalu sedikit.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters