Kuliah Mingguan Pagi
Subuh
Masjid as-Solehin,
Kg Telok Kemunting,
17 Rabiul Awal 1433-
10 Feb 2012
Ayat 1- 5 Surah
an-Najm
Surah: An-Najm
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ [٥٣:١]
مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ [٥٣:٢]
وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ [٥٣:٣]
إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ [٥٣:٤]
عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَىٰ [٥٣:٥]
1- Demi bintang semasa ia
menjunam,
2- Rakan kamu (Nabi Muhammad
yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari
jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).
3- Dan ia tidak memperkatakan
(sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya
sendiri.
4- Segala yang diperkatakannya
itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan
kepadanya.
5- Wahyu itu (disampaikan dan)
diajarkan kepadanya oleh (Malaikat Jibril) yang amat kuat gagah, -
Surah: An-Najm
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ [٥٣:١]
Demi bintang semasa ia
menjunam,
AlLah SWT memulakan surah ini dengan
sumpah & objek yang dipilih-NYA untuk dijadikan sumpah ialah bintang. Hanya
AlLah SWT yang boleh bersumpah menggunakan sesuatu yang dicipta-NYA; sama ada
bulan, bintang, matahari, kejadian siang & malam dsb. Adapun kita sebagai
manusia jika perlu bersumpah mestilah bersumpah dengan nama-NYA sahaja, iaitu
itu Demi AlLah SWT. AlLah
SWT memnyuruh kita melihat bintang & mengkaji perjalanan serta keberadaan
bintang-bintang itu. Di sana pasti akan terlihat keajaiban yang tak
terjangkaukan pikiran. subhanalLah. Jutaan bintang di bawah langit yang
menghias malam bagai lampu itu, tak terjangkau ilmu untuk mengkajinya. Masih
terlalu banyak ilmu AlLah SWT yang belum tergali & diteroka dalam dunia
astronomi ini.
|
مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ [٥٣:٢]
Rakan kamu (Nabi Muhammad yang
kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan
yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).
AlLah SWT setelah bersumpah
dengan keajaiban & keunikan bintang-bintang menegaskan bahawa Nabi Muhammad
SAW tidak pernah sesat, tidak tersesat, & tidak akan sesat dalam semua
urusan & dakwahnya. Kerana apa yang disampaikan Baginda SAW itu semuanya
wahyu AlLah SWT yang perlu disampaikan kepada semua umat manusia yang amat
diperlukan. Manusia amat memerlukan bimbingan & petunjuk untuk mengenali
AlLah SWT & seterusnya mentaati-NYA. Lalu pembimbing yang benar ke jalan
AlLah SWT itu hanyalah para anbiya sahaja, bermula dengan Nabi Adam AS
sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW.
Jadi sebanyak mana ajaran para nabi
ini bila bercanggah dengan kehendak manusia semasa itu bukanlah bermakna para
anbiya ini membawa sesuatu ajaran sesat apa lagi menyesatkan, sebaliknya
khalayaklah yang sesat kerana mereka menjauh daripada mengikut ajaran yang benar.
AlLah SWT memberikan jaminan-NYA bahwa para anbiya ini tidak sesat! Tidak sesat
kerana semua ajaran yang dibawa & diajar para anbiya itu berupa
kehendak-NYA. Itu yang dikehendaki-NYA!.
|
وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ [٥٣:٣]
Dan ia tidak memperkatakan
(sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya
sendiri.
Sebarang ajaran Nabi Muhammad
SAW tentang Islam sama ada yang berupa suruhan atau yang berupa larangan
bukanlah datangnya dari nafsu atau reka cipta daripada Baginda SAW. Baginda SAW
tidak pernah memasukkan pendapatnya sendiri untuk menafsirkan semua titah &
perintah AlLah.
|
إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ [٥٣:٤]
Segala yang diperkatakannya
itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan
kepadanya.
Semua suruhan & larangan
yang disampaikan kepada manusia itu datangnya daripada AlLah SWT yang
disampaikan melalui Malaikat Jibril AS. Apabila AlLah SWT menghendaki sesuatu
perkara DIA akan menyampaikan perkara tersebut kepada ketua Malaikat iaitu
Jibril & dengan serta-merta pula Jibril AS akan menyampaikannya kepada Nabi
Muhammad SAW. Apabila wahyu itu sampai ke pengetahuan Baginda Nabi SAW, segera
disebar, diajarkannya kepada khalayak yang ada. Yang uniknya khalayak yang ada
akan berebut-rebut untuk melaksana titah & perintah AlLah SWT itu. Mereka
bersaing sesama sendiri untuk menjadi orang yang pertama melaksana kehendak
agama AlLah SWT. Apa yang dikata Nabi Muhammad SAW tentang agama itulah wahyu.
Apa yang disuruh Nabi Muhammad SAW tentang agama itulah wahyu. Apa yang dilarang
Nabi Muhammad SAW tentang agama itulah wahyu. Apa yang dibuat Nabi Muhammad SAW
tentang agama itulah wahyu. Pendek kata semua sekali yang dilaku Nabi Muhammad
SAW berhubung dengan agama itu semua kehendak AlLah SWT, itu semua wahyu.
|
عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَىٰ [٥٣:٥]
wahyu itu (disampaikan dan)
diajarkan kepadanya oleh (Malaikat Jibril) yang amat kuat gagah, -
Untuk menjamin keaslian wahyu
yang diturunkan kepada para anbiya amnya & Nabi Muhammad SAW khasnya, AlLah
SWT menegaskan bahawa Malaikat Jibril yang membawa & membacakan wahyu
tersebut kepada baginda Nabi SAW merupakan malaikat yang amat kuat & gagah.
Dengan kehebatan tersebut mustahil ada makhluk lain dapat mencuri wahyu yang
dibawa Jibril. Jibril merupakan malaikat terkuat kerana dia merupakan ketua
untuk semua malaikat. Malaikat yang sebeginilah yang dipilih AlLah SWT untuk
menjadi Ketua Para Malaikat & menyampaikan wahyu kepada Baginda Nabi SAW.
Hal ini sebagai penguat kepada dakwah Nabi Muhammad SAW khasnya, iaitu tidak usah
dibimbangi tentang keaslian & kesahihan ajaran yang dibawanya kerana para
malaikat yang menyampaikan kepada Baginda SAW merupakan malaikat yang hebat.
Islam yang hebat, datangnya dari AlLah Yang Maha Hebat, disampaikan oleh Jibril
Yang Hebat, kepada nabi yang hebat; Nabi Muhammad SAW, untuk disampaikan kepada
umat agar mereka turut menjadi hebat!
|
No comments:
Post a Comment