About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, February 29, 2012

surah Ibrahim ayat 5 - 8

Tazkirah Mingguan Khamis Malam Jumaat  Surah Ibrahim                                                           Ayat  5 - 8  Masjid Wak Dir, Kg Telok Kemunting Timur.                                                                10 Rabiul Akhir 1433 – 02 Mac 2012

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُم بِأَيَّامِ اللَّهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ [١٤:٥]

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنجَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ [١٤:٦]

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ [١٤:٧]

وَقَالَ مُوسَىٰ إِن تَكْفُرُوا أَنتُمْ وَمَن فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ [١٤:٨]

Dan sesungguhnya KAMI telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat KAMI sambil KAMI berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari AlLah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan AlLah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari RABB kamu".

Dan (ingatlah) ketika RABB kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-KU amatlah keras".

Dan Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

          AlLah SWT memberitahukan bahawa suatu waktu dahulu DIA telah mengutuskan nabinya yang bernama Musa bin Imran kepada kaum Bani Israel & kaum Fir’aun di bumi Mesir. Bersama Nabi Musa AS itu, AlLah SWT telah membekalkan kepadanya dengan mukjizat yang berfokuskan tongkatnya. Mukjizat yang AlLah SWT bekalkan kepada Nabi Musa AS ialah dengan satu mukjizat yang dibangga-banggakan masyarakat pada masa itu. Oleh sebab pada waktu itu pengaruh sihir begitu dibanggai & disanjung tinggi, maka AlLah SWT telah anugerahkan kepada Nabi Musa AS dengan mukjizat yang dapat menewaskan kekuatan tipu & daya dari perbuatan sihir. Memang terbukti mukjizat Nabi Musa AS telah menewaskan segala kekuatan sihir & sekaligus menyebabkan semua sekali tukang-tukang sihir (yang berlawan dengannya) telah beriman dengan ajaran tauhid yang dibawa Nabi Musa AS.
          Nabi Musa AS diperintahkan agar membawa manusia keluar daripada kegelapan kekufuran, kemunafikan, kesyirikan,  kepada cahaya iman. Baginda Musa AS diperintahkan agar memperingatkan manusia tentang hari-hari AlLah SWT iaitu akan adanya suatu hari yang mana semua manusia akan dihadap & dibicarakan segala amal perbuatannya. Hari tersebut ialah Hari Qiyamat atau Hari Akhirat.
          Adanya perhitungan dengan AlLah SWT pada Hari Akhirat kelak merupakan tanda-tanda kebesaran AlLah SWT dalam mengatur, mentadbir, & mengurus alam ini. hanya orang yang pandai bersabar & hanya manusia yang mampu bersyukur sahaja yang dapat mengerti kemahabesaran AlLah SWT ini.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنجَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ [١٤:٦]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari RABB kamu".
          Nabi Musa AS telah memperingatkan kaum Bani Israel agar jangan melupakan banyaknya nikmat AlLah SWT yang diturunkan kepada mereka. Antara nikmat yang patut selalu diingat oleh Bani Israel ialah ketika AlLah SWT telah menyelamatkan mereka daripda terus menjadi mangsa pembunuhan & penghapusan etnik yang dijalankan oleh rejim Fir’aun pada masa itu. Sejarah dengan setia merakamkan bahawa rejim Fir’aun telah meluluskan akta membunuh semua anak lelaki bani Israel & membiarkan hanya anak-anak perempuan sahaja yang hidup.
          AlLah SWT telah menyelamatkan mereka daripada terus diazab Fir’aun dengan kelahiran Nabi Musa AS. Seandainya pembunuhan etnik ini berlanjutan tentunya akan membawa azab & bala yang besar kepada kaum Bani Israel, kerana hal yang sedemikian ini akan membawa kepada terhapusnya kaum Bani Israel dari muka bumi ini.

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ [١٤:٧]
Dan (ingatlah) ketika RABB kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-KU amatlah keras".
          Seterusnya AlLah SWT mengeluarkan titah & perintah-NYA iaitu petua untuk mendapat nikmat yang lebih dari sisi-NYA iaitu dengan cara memperbanyak syukur. Bila DIA anugerahkan kita dengan satu nikmat & kita menyambut serta meraikan nikmat itu dengan cara bersyukur kepada-NYA, DIA memberi jaminan nikmat-nikmat lain pula bakal menyusul dalam kehidupan kita. Ini merupakan janji yang pasti & qat’ii dari AlLah SWT. Sebaliknya seandainya kita mengkufuri-NYA dengan maksud menentang titah & perintah-NYA, hendaklah diingat azab AlLah SWT itu amat pedih, amat keras; tak mampu untuk ditanggung oleh kerdilnya bentuk fizikal manusia. Azab yang DIA janjikan ialah mengazab manusia dalam api untuk selama-lamanya & manusia itu tidak akan mati-mati lagi.

وَقَالَ مُوسَىٰ إِن تَكْفُرُوا أَنتُمْ وَمَن فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ [١٤:٨]
Dan Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
          Nabi AlLah Musa AS memaklumkan dengan berhemah & tegas bahawasanya seandainya seluruh isi bumi ini yang terdiri daripada manusia, jin, haiwan, tumbuhan, batuan, dsb semuanya kufur kepada-NYA, perbuatan itu tidak sedikit pun memberi bekas kepada AlLah SWT sebab DIA Amat Maha kaya & Lagi Terpuji. Yang pasti rugi ialah kita manusia & segala makhluk ini jika enggan tunduk & patuh kepada AlLah SWT. Fikir-fikirkanlah selagi otak masih sudi bergerak.
               
No comments:

Post a Comment

Tetamu

free counters