About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Saturday, January 21, 2012

Al-A'Raaf 98-103


Tafsir Surah al-A’raf ayat  98 - 103
Malam ini 29 Safar 1433-  17 Jan 2012
Tazkirah Mingguan di Masjid Haji Sulaiman,
Kg Jembal, Bachok, Kelantan



98. Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab KAMI kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?
99. Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh AlLah? kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh AlLah itu melainkan orang-orang yang rugi.
100. Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau KAMI kehendaki tentulah KAMI akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan KAMI meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?
101. Negeri-negeri (yang telah KAMI binasakan) itu, KAMI ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (Wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah AlLah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.
102. Dan KAMI tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan KAMI tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.



Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab KAMI kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?
            AlLah SWT bertanyakan manusia pada zaman mana pun mereka hidup, di negeri manakah mereka menetap, adakah mereka dapat menjamin bahawa AlLah SWT tidak akan menurunkan azab & bala-NYA sekarang ini, sebagaimana DIA pernah turunkan azab & bala kepada umat yang terdahulu. Lalu mereka pun berasa aman lalu mereka pun berasa selesa & memenuhi masa mereka dengan mencipta pelbagai jenis permainan lalu mereka pun menghabiskan masa mereka denngan menyibukkan diri untuk menyertai pertandingan demi pertandingan sehingga melupakan suruhan & larangan agama? Kerana untuk sebuah pertandingan mereka sanggup melupakan kewajipan bersujud kepada AlLah SWT. Kerana sebuah pertandingan mereka sanggup memasukkan eleman perjudian.



Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh AlLah itu melainkan orang-orang yang rugi.
          AlLah SWT bertanyakan soalan yang berikutnya, adakah manusia berasa aman daripada kedatangan bala AlLah SWT ekoran perkara mungkar yang mereka lakukan? Mungkar ialah melakukan perkara yang dilarang-NYA & tidak mengerjakan apa yang diwajibkan-NYA. Tidak bersolat fardhu mungkar kecuali mereka yang diberi izin oleh AlLah SWT, untuk perempuan sahaja. Tidak berzakat mungkar. Tidak berpuasa Ramadhan mungkar kecuali mereka yang diberi izin oleh AlLah SWT. Tidak mengerjakan ibadat haji bagi yang berkecukupan mungkar.  Melakukan perkara yang dilarang-NYA mungkar. Berjudi mungkar. Minum arak mungkar. Mencuri mungkar. Berzina mungkar. Mengamalkan riba mungkar. Memberi & menerima rasuah mungkar. Tidak menjalankan hudud mungkar.
          Apakah kita berasa aman daripada datangnya hujan bala & azab AlLah SWT apabila kita dengan galak & angkuhnya mengumpulkan kemungkaran demi kemungkaran dalam hidup kita? Alangkah ruginya jika kita berkeadaan sedemikian. Andainya kita tidak berasa aman dari azab & bala-NYA, tentunya kita akan segera bertaubat daripada terus-menerus hidup dalam keterlanjuran. AlLah SWT amat menyukai manusia yang sanggup bertaubat dari kesilapan.



Adakah tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau KAMI kehendaki tentulah KAMI akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, & KAMI meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?
          Kita yang diberi peluang untuk hidup di atas badan dunia pada hari ini bukanlah orang yang pertama dihidupkan di bumi. Sebelum kita hidup sudah ada entah berapa ratus & ribu juta manusia yang mendiami bumi ini. kita pada hari ini hanyalah mewarisi bumi ini. Apakah kita tidak pernah mengambil tahu bahawa sudah banyak penduduk zaman dahulu yang ditimpakan azab & bala Allah SWT kepada mereka lantaran kemungkaran yang mereka tempa & tempah. Kaum Nabi AlLah Nuh AS sudah lenyap & tidak meninggalkan bakanya. Kaum Nabi AlLah Hud AS sudah lenyap & tidak meninggalkan bakanya. Kaum Nabi AlLah Salleh AS sudah lenyap & tidak meninggalkan bakanya. Kaum Nabi AlLah Luth AS sudah lenyap & tidak meninggalkan bakanya. Kaum Nabi AlLah Syuaib AS sudah lenyap & tidak meninggalkan bakanya. Kaum Fir’aun sudah lenyap & tidak meninggalkan bakanya.
          AlLah SWT mengutuskan sekitar 124 000 nabi & rasul. Seandainya boleh kita katakan di dunia ini pernah ada 124 ribu bangsa, ke manakah bangsa-banga atau kaum tersebut? Ya memang setiap manusia akan mati, tetapi matinya bangsa atau kaum tersebut disebabkan oleh apa? AlLah SWT memahatkan dalam al-Qur’an bahawa bangsa-bangsa atau kaum-kaum ini mati disebabkan azab & bala yang diturunkan ALLah SWT kepada mereka disebabkan kemungkaran yang diternak mereka dalam perkebunan usia masing-masing.
          Untuk umat akhir zaman ini, AlLah SWT yang mentadbir alam maya ini masih AlLah SWT yang sama. DIA dengan kehendak & iradat-NYA boleh menurunkan azab & bala-NYA seperti yang dideritai oleh bangsa terdahulu. Tetapi sengaja ditangguh-NYA azab & bala itu, sebagai gantinya DIA membukakan pintu taubat-NYA yang seluas langit & bumi, agar manusia berebut-rebut memasukkan dirinya dalam daerah pengampunan dosa. Seandainya manusia masih enggan untuk masuk ke daerah pengampunan walaupun pintu seluas langit & bumi dibuka, DIA hanya akan menutup hati-hati manusia daripada melihat kebenaran itu nampak kebenaran. Bila hal ini berlaku maka banyaklah manusia yang melihat kemungkaran itu nampak baik. Dalam pada masa yang sama merka melihat amal soleh itu sebagai merugikan. Misalnya judi yang sedemikian jijik & mungkar pada pandangan AlLah SWT itu mereka nampak boleh menambah pendapatan diri & negara dengan segera. Ibadat puasa yang disukai AlLah SWT itu mereka nampak meletihkan & boleh mengurangkan produktiviti negera.



Negeri-negeri (yang telah KAMI binasakan) itu, KAMI ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah AlLah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.
          Walaupun banyak negeri & umat/bangsa zaman silam yang dibinasakan AlLah SWT akibat kemungkaran mereka, tetapi hanya sebahagian kecil sahaja yang diceritakan AlLah SWT kepada Baginda Nabi Muhammad SAW & kita sebagai umatnya. Mungkar yang terbesar ialah menolak AlLah SWT & mencari serta mengambil sesama makhluk sebagai fokus tujuan. Mereka menolak untuk menyembah & memohon perlindungan daripada AlLah SWT sebaliknya menyembah & memohon perlindungan kepada kayu, batu, patung, berhala, haiwan, atau sesama manusia. Untuk zaman moden ini wujud satu gejala yang celaka iaitu mereka menolak untuk berhukum dengan hudud yang ada dalam al-Qur’an sebaliknya mereka mencari undang-undang & peraturan rekaan sesama manusia untuk mentadbir manusia.
          Apabila manusia sudah jauh meninggalkan ajaran tauhid kepada AlLah SWT, DIA Yang Maha Pengasuh, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang segera mengutuskan para anbiya silih berganti, untuk mengajak manusia kembali kepada berabdi kepada AlLah SWT. Maka para anbiya inipun berdakwahlah sepenuh masa untuk mengajak bangsanya agar meninggalkan segala kepercayaan karut marut yang mereka anut dengan hujah & penjelasan yang terang, nyata, berhemah, & lemah lembut, penuh kesopanan & kesusilaan. Tapi malangnya para anbiya ini dipersendakan, dicaci maki, dihina, disiksa, & tidak terkecuali ada para anbiya ini yang dibunuh; bukan seorang dua yang dibunuh, malah beratus & berpuluh ribu yang syahid di hujung medan dakwah. AlLah SWT hanya menyebut beberapa nama sahaja para anbiya yang dibunuh ini seperti Nabi AlLah Zakarian AS & anaknya Nabi AlLah Yahya AS.
          Setelah mereka memilih untuk kekal & mengekalkan kesesatan yang diwarisi dari leluhur mereka, AlLah SWT tidak keberatan menutup semua pintu hati mereka daripada dimasuki hidayah & taufik dari-NYA.



Dan KAMI tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan KAMI tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.
          Manusia yang tidak mahu beriman & mengikut agama AlLah SWT sebenarnya telah melanggar janji. Manusia yang menolak ajaran yang dibawa para rasul juga telah melangar janji. Bilakah janji itu dibuat? Di manakah janji itu dibuat? Apakah kandungan janji itu? Sewaktu berada dalam alam arwah AlLah SWT telah mengambil janji dengan kita. Kandungan janji itu ialah AlLah SWT bertanyakan; tidakkah AKU RABB kamu? Kita semua menjawab; ya, kami sedia mempertahankan janji itu.
          Tetapi apabila berada di dunia yang indah ini lebih banyak manusia untuk memilih menjadi kufur & enggan mengakui AlLah SWT sebagai RABB. Dikatakan sekarang penduduk dunia berjumlah 7 bilion jiwa. Daripada bilangan yang 7 bilion itu, hanya sekitar 2 bilion sahaja yang mengakui AlLah SWT sebagai RABB. Adapun 5 bilion yang lain tidak mengakui AlLah SWT sebagai RABB. Daripada 2 bilion jiwa yang mengakui AlLah SWT RABB itu sebahagian besarnya memilih untuk fasik yakni menjadi pencandu dosa. Sebahagian mereka tidak solat. Yang solat pula tidak berjemaah. Yang berjemaah pula tidak membetul & merapatkan saf. Sebahagian mereka tidak berpuasa. Sebahagian mereka mengamalkan riba dalam urusan hidupnya. Sebahagian mereka pula memilih untuk memuja undang-undang sang kufar & banyak lagi lakuan fasik umat yang mengaku AlLah SWT sebagai RABB.




Kemudian KAMI mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat KAMI kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
          Antara yang dihapuskan oleh AlLah SWT ialah kaum/bangsa Fir’aun. Adakah AlLah SWT saja-saja atau suka-suka sahaja menghapuskan kaum/bangsa Fir’aun ini atau ada sebab yang melayakkan kaum/bangsa Fir’aun ini dibinasakan sepenuhnya? Fir’aun mendakwa dialah Tuhan bagi negeri Mesir & penduduk Mesir diwajibkan menyembahnya. Menyembah manusia merupakan satu kemungkaran kerana manusia telah mengambil hak AlLah SWT kerana DIA sahajalah yang berhak disembah. Memang DIA sahaja yang berhak disembah kerana DIA yang menjadikan kita, adapun manusia tidak ada kuasa untuk menjadikan manusia. Walaupun Fir’aun mengaku & mendakwa dia Tuhan tapi dia tak ada anak! Lemahnya Fir’aun kan, mendakwa dia Tuhan tapi tak boleh mencipta anak untuk dirinya sendiri. Yang bodohnya rakyat Mesir kerana menyembah Fir’aun & meminta agar Fir’aun mengurniakan mereka anak yang baik & comel-comel.
          Untuk menghentikan kemungkaran besar yang terjadi dalam negeri Mesir inilah AlLah SWT mengutuskan Nabi Musa KalamulLah AS. Nabi Musa AS membawakan hujah yang bersumberkan wahyu agar Fir’aun berhenti serta merta daripada terus berbuat kerja & dakwaan bodoh & membodohkan itu; mendakwa dia Tuhan Mesir. Fir’aun & kaumnya dipersilakan bertaubat menutup kesilapan lama dengan membuka lembaran baru iaitu dengan mengaku ketuhanan AlLah SWT & beramal dengan apa yang terkandung dalam Taurat. Malang seribu kali malang, ajakan telus & tulus ikhlas dari Nabi Musa AS disambut dengan agenda permusuhan daripada Fir’aun & pembesar Mesir yang lain. Mereka merancang untuk membunuh & menghalau Nabi Musa AS & pengikutnya. Dengan makna yang mana mereka sempat bunuh mereka akan bunuh pengikut Nabi Musa AS, yang mana tak sempat dibunuh mereka akan halau daripada bumi Mesir.
          Tapi apa yang berlaku kepada Fir’aun & pembesar serta askar-askarnya? Semua mereka dimatikan dengan makhluk yang paling lembut iaitu air. Fir’aun & bangsanya ditenggelamkan dalam air di tengah-tengah laut. Untuk menjadikan Fir’aun bahan sendaan sepanjang zaman, AlLah SWT menitahkan ombak agar menghanyutkan bangkai Fir’aun ke pantai untuk menjadi bahan tontonan ramai, Tuhan Mesir dah mampus sekarang. AlLah SWT juga memberikan jaminan-NYA bahawa bangkai Fir’aun akan dijaga-NYA sampai bila-bila daripada proses pereputan, agar kita dapat mengambil beberapa manfaat & pengajaan daripadanya.




No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters