About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, January 11, 2012

Surah al-Isra’ Ayat 94-100



Tazkirah Mingguan
Rabu Malam Khamis
Masjid Abu Bakar, Kg Pintu Gerbang
18 Safar 1433 – 12 Jan 2012

Surah al-Isra’ Ayat 94-100


94. Dan tidak ada yang menghalang manusia daripada beriman ketika datang kepada mereka hidayah & petunjuk, melainkan mereka berkata: "Patutkah AlLah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?"
95. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan dengan tenang serta tinggal di bumi, nescaya KAMI akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul".
96. Katakanlah lagi: "Cukuplah AlLah menjadi saksi antaraku dengan kamu; Sesungguhnya adalah IA amat mendalam pengetahuannya, lagi amat melihat akan keadaan hamba-hamba-NYA".
97. Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh AlLah maka dialah yang mendapat petunjuk; dan sesiapa yang terbiar sesat  maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong selain AlLah. Pada Hari Kiamat KAMI akan himpunkan mereka atas mukanya.  Mereka berkeadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap nyalaan apinya, KAMI tambahi api yang bernyala.
98. Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat KAMI, dan mereka berkata: "Adakah sesudah kami menjadi tulang dan benda yang reput, betulkah kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
99. Apakah  mereka tidak mahu memikirkan dan meyakini bahawa AlLah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang orang yang seperti mereka, padahal ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya.? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran.
100. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat  RABBku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut".





94. Dan tidak ada yang menghalang manusia daripad beriman ketika datang kepada mereka hidayah & petunjuk, melainkan mereka berkata: "Patutkah AlLah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?"
            AlLah SWT menegaskan bahawa tidak ada sesuatu pun yang boleh menghalang seseorang  daripada menerima hidayah daripada-NYA. Sebenarnya yang menjadi penghalang kepada sesorang untuk menyertai golongan yang beriman ialah diri individu itu sendiri. Ada sesetengah manusia enggan kebenaran jika pembawa kebenaran itu orang kampung mereka. Mereka lebih meyakini orang yang datangnya daripada luar untuk membawa sesuatu perkara yang baharu. Kepada sesetengah manusia pula, pembaharuan tidak boleh dibawa oleh sesama, manusia tetapi mesti dibawa atau didakwakan oleh makhluk lain.
            Keadaan ini jelas digambarkan AlLah SWT yang menceritakan perihal golongan yang menolak dakwah para anbiya, bermula dengan Nabi AlLah Nuh AS. Antara faktor mereka menolak Nabi AlLah Nuh AS ialah kerana Baginda AS seorang manusia yang sama dengan mereka. Hal ini juga turut mewarnai perjalanan dakwah Baginda Nabi Akhir Zaman, Nabi Muhammad SAW yang dipersoalkan dakwahnya hanya semata-mata Baginda SAW tetap berstatus manusia.
            Secara tersiratnya mereka memperlekeh AlLah SWT kerana melantik dalam kalangan manusia itu seorang nabi. Kepada mereka para utusan AlLah SWT perlu makhluk lain,  untuk kecemerlangan dakwah, mereka beranggapan ada lagi makhluk lain yang lebih  mampu daripada manusia untuk berdepan dengan manusia. Mereka mungkin merasakan malaikat, jin, robot, itu lebih patut dilantik AlLah SWT untuk menjayakan misi & visi dakwah AlLah SWT di bumi ini.


95. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan dengan tenang serta tinggal di bumi, nescaya KAMI akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul".
            AlLah SWT mengajarkan semua nabinya & untuk akhir zaman ini Nabi Muhammad SAW supaya menjawab dengan menyatakan, AlLah SWT hanya mengutuskan para rasul yang terdiri daripada malaikat sekiranya bumi ini dihuni & dimakmuri malaikat. Kalaulah untuk sasaran dakwah itu terdiri daripad kalangan malaikat, barulah AlLah SWT akan mengutuskan malaikat. Jadi untuk berkomunikasi & berinteraksi dengan manusia bergelut dalam dakwah, AlLah SWT dengan sifat Maha Tahu lagi Maha Penentu, DIA mengutuskan manusia juga.
            Ya tentunya lebih mudah jadinya apabila manusia berurusan dengan sesama manusia, kerana mereka saling mengetahu kelemahan & kekuatan masing-masing. Hanya manusia lebih mengerti tabiat manusia. Hanya manusia yang lebih faham segala susah payah sesamanya. Jadi apabila manusia yang menjadi nabi tentunya lebih mudah sebab mereka menuturkan bahasa yang serupa, bahasa manusia. Kalaulah malaikat yang berdakwah tentunya bahasa malaikat berbeza dengan fonologi, morfologi, & sintaksis yang digunakan oleh manusia banyak. Apabila bahasa yang digunakan berbeza tentunya kesesuaian & kebekesanan dakwah boleh dipertikaikan. Secara langsung menampakkan AlLah SWT silap dalam memilih para pendakwah. Maha Suci AlLah SWT daripada sebarang kelemahan.



96. Katakanlah lagi: "Cukuplah AlLah menjadi saksi antaraku dengan kamu; Sesungguhnya adalah IA amat mendalam pengetahuannya, lagi amat melihat akan keadaan hamba-hamba-NYA".
            Para rasul diminta menjelaskan kepada khalayak yang memberikan pelbagai alasan untuk menolak dakwah itu bahawa cukuplah AlLah SWT yang menjadi saksi, dakwah yang diamanahkan telah sedaya upaya disiarkan oleh para anbiya bermula daripada zaman Nabi AlLah Nuh AS sehinggalah kepada zaman mutakhir ini; zaman Baginda Nabi Muhammad SAW. Semua anbiya telah menjayakan misi dakwah ini siang & malam, pagi & petang, tanpa mempedulikan ejakan & cercaan, tanpa menghiraukan ugutan & ancaman yang boleh memendekkan umurnya.
            Kesemuanya itu dilaku para anbiya dengan penuh tanggungjawab untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliyyah kepada kecerahan di bawah naungan Islam. Atau dengan kata lain untuk mengembalikan manusia kepada jalan asal iaitu jalan Islam. Kerana manusia yang pertama menghuni bumi ini dahulu telah menunaikan amanah Islamnya secara berkesan; iaitu Nabi AlLah Adam AS. Keharmonian, kedamaian, & keindahan yang dibawa & diajarkan Islam telah mendatangkan rasa kurang senang dalam hati musuh, iaitu setan. Justeru setan and the gangpun berusaha dengan gigihnya untuk mengheret manusia ke  jalan palsu bawaannya. Apabila para setan berjaya memesongkan umat manusia daripada mengikuti jalan yang bernama Islam, maka oleh AlLah SWT diutus para nabi silih berganti untuk mengembalikan manusia ke landasan asal.
            Pengutusan para nabi & rasul ini bertolak daripada kerana AlLah SWT amat mendalam pengetahuan-NYA. Pengetahuan AlLah SWT bukan sahaja kepada yang telah berlaku & sedang berlaku tetapi pengetahuan AlLah SWT itu meliputi apa yang akan berlaku, sama ada esok, lusa, tahun hadapan, 10 tahun lagi, 1000 tahun lagi, sejuta tahun lagi, atau berbilion & bertrilion tahun yang akan datang. Tidak ada kelupaan sedikitpun bagi-NYA. SubhanalLah.

 

97. Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh AlLah maka dialah yang mendapat petunjuk; dan sesiapa yang terbiar sesat  maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong selain AlLah. Pada Hari Kiamat Kami akan himpunkan mereka atas mukanya.  Mereka berkeadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi api yang bernyala.
            Apabila para anbiya menyiar & menyebarkan dakwah mengajak manusia agar berabdi hanya kepada AlLah SWT, keadaan manusia akan berpecah kepada 2 kelompok. Ada antara mereka yang bersedia menyahut & menjinakkan diri dengan apa yang didakwahi & lebih banyak lagi golongan yang memilih untuk menolak & membangkang ajaran yang didakwahkan itu. AlLah SWT menyifatkan semua mereka yang mengikuti ajakan & membenarkan apa yang dibawa oleh para anbiya sejak zaman berzaman sebagai manusia yang mendapat hidayah & petunjuk, dengan hidayah & petunjuk ini menjadikan mereka dapat mengenal & merasai keberadaan Allah SWT melalui adanya ciptaan-cipaan-NYA. Sebaliknya kepada mereka yang bertungkus-lumus menetang ajaran Islam; satu-satu agama dari sisi AlLah SWT, DIA menyifatkan mereka  sebagai pengembara yang terbiar sesat & mendarat dalam wilayat yang menyesat.
            Manusia dikira memilih jalan-jalan sesat apabila mereka  menentang titah & perintah AlLah SWT. Contohnya apa yang dihalalkan AlLah SWT mereka mengharamkannya ialah poligami, AlLah SWT menghalalkan poligami yakni lelaki dihalakan berkahwin lebih daripada seorang; dua, tiga, atau empat dalam semasa, tapi ada sesetengah anutan menentang & mengharamkan poligami ini tetapi dalam masa sama mereka menghalalkan pelacuran yang diharamkan AlLah SWT. AlLah SWT mengharamkan semua bentuk judi sama ada berlesen atau tidak, tapi ada sesetengah kerajaan & orang perseorangan yang menaja & meluluskan lesen bagi membenarkan manusia berjudi dengan selesa. Bagi manusia & golongan yang sedang sesat & terus sesat ini, judi dikira haram apabila tidak ada lesen. Manusia yang sesat ini tidak dapat ditolong oleh sesiapa pun dari kalangan manusia, kerana nasihat & teguran tidak akan memberi bekas. Manusia jenis ini hanya tertolong dengan izin AlLah SWT sahaja.
            Mereka menerjunkan diri mereka dalam lautan sesat ini lantaran mereka sepanjang diberi pinjaman umur ini, mereka tidak pernah meluangkan masa untuk membukakan mata buat menatap & memahami ayat-ayat AlLah SWT dalam al-Quran, mereka juga gagal menggunakan pendengaran mereka untuk mendengar tazkirah yang mengingatkan siapa mereka, siapa kawan mereka, siapa musuh mereka, untuk apa mereka dijadikan, ke mana kesudahan hidup yang sementara.
            Bagi golongan yang menyesatkan diri semasa di dunia ini, apabila mereka dibangkitkan daripada pusara setelah mendengar tiupan Sangkakala Malaikat Israfil, mereka akan berdiri dengan mereka yang senasib iaitu mereka berdiri dengan muka ke bawah kaki ke atas. Setelah itu golongan yang sesat ini akan diseret dengan muka mereka menuju neraka Jahannam & mereka kekal tinggal di sana selama-lamanya dalam keadaan tidak mati-mati, walaupun apa yang terjadi. Sementara darjah celcius kepanasan api neraka akan ditambah setiap masa oleh AlLah SWT. Dengan maksud neraka yang bernyala hari ini lebih panas dari semalam, nyalaan neraka esok lebih panas daripada hari ini, begitulah kepanasan yang ditambah AlLah SWT setiap hari. SubhanalLah.

98. Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat kami, dan mereka berkata: "Adakah sesudah kami menjadi tulang dan benda yang reput, betulkah kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
                Mereka yang merasa azab nerakanya setiap hari semakin panas itu ialah mereka yang kufurkan ayat-ayat AlLah SWT yang terdapat dalam al-Qur’an. Mereka bukan sahaja kufur & tidak beriman dengan al-Qu’ran, malah mereka sanggup mempersendakan janji AlLah yang akan membangkitkan semua yang pernah menerima subsidi nyawa. Mereka tidak yakin dengan kemahaperkasaan AlLah SWT yang menjadi & menghidupkan mereka pada kali pertama itu jugalah yang akan menghidupkan mereka untuk kali keseterusnya. Manusia menjadi keliru setelah mereka mati. Banyak dari kalangan manusia beranggapan apabila mereka mati, mereka sudah tiada lagi. Mereka sebenarnya amat silap kerana apabila mereka mati sebetulnya mereka disimpan di dalam tanah sahaja, mereka tidak ke mana-mana, mereka tetap ada, iaitu ada dalam tanah. Mereka Cuma tidak ada di atas perut atau muka dunia sahaja.



99. Apakah  mereka tidak mahu memikirkan dan meyakini bahawa AlLah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang yang seperti mereka, padahal ia telahpun menentukan bagi mereka ajal tidak ada syak padanya.? Padanya keengganan orang yang zalim melainkan kekufuran.
            AlLah SWT bertanyakan manusia apakah mereka tidak melihat bahawasanya DIA yang menyempurnakan penciptaan langit & bumi dengan kuasanya tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa; sama ada meminta pertolongan daripada kalangan manusia ataupun bukan manusia. DIA mencipta dengan sifat ESA. Untuk mencipta manusia tentunya jauh lebih mudah & cepat berbanding dengan penyiapan langit & bumi.  DIA juga boleh mencipta hidupan yang lain selain manusia, jika DIA kehendaki pada bila-bila masa sahaja. Apabila AlLah SWT mencipta manusia, telah ditetapkan-NYA terlebih dahulu sebanyak mana himpunan rezeki yang bakal diterima manusia & tidak pernah terlupa AlLah SWT menetapkan kadar umur untuk manusia hidup & beraksi di bumi. Rezeki umur yang dibekal kepada manusia adalah berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Tidak semestinya kaum yang tua akan lebih dahulu dijemput menemui-NYA berbanding dengan orang muda. Dengan kehendak AlLah SWT bayi yang baru lahir ada yang meninggal dunia sebaik sahaja sempat melihat keindahan dunia hanya untuk seminit dua. Tidak kurang pula ada warga yang lanjut umurnya hingga dihinggap nyayuk, tapi subsidi pinjaman umurnya masih tersambung juga. SubhanalLah. Itu semua kerja AlLah SWT. Tiada siapa yang berhak persoal apalagi untuk campurtangan.
          Ketentuan ajal & rezeki ini seringkali tidak difahami oleh manusia yang bersifat zalim. Zalim pada penilaian AlLah SWT ialah sesiapa sahaja yang enggan tunduk kepada titah perintah-NYA. Mereka sanggup membangkang kepada ajaran AlLah SWT. Mereka tanpa segan, mereka tanpa silu, berani mempertikaikan apa juga ketentuan AlLah SWT yang termuat dalam al-Qur’an. Misalnya AlLah SWT mengharamkan riba, tetapi mereka dengan penuh tolol menukar istilah riba ajar menarik minat manusia untuk turut serta menggabungkan diri ke dalam satu barisan untuk menetang AlLah, sama ada barisan mereka di peringkat nasional ataupun barisan mereka di peringkat internasional. Zalim betul manusia ini, semua keperluannya disediakan oleh AlLah SWT tapi dengan angkuhnya dia menjadi pembangkang kepada titah & perintah AlLah SWT, kadang-kadang syaitan and the gang tabik hormat kepada golongan ini, kerana kezaliman yang dilaku & diusaha mereka mengalahkan perancangan & kejahatan yang pernah dipelopori sang setan.   

 

100. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat  RABBku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut".
          Seterusnya AlLah SWT menjelaskan antara sifat manusia yang zalim ialah mereka kedekut untuk membelanjakan ringgit & harta mereka ke jalan AlLah SWT, tetapi mereka bermurah hati jika dibelanjakan untuk jalan-jalan yang lain. Walaupun mereka memegang kunci perbendaharaan langit & bumi tapi untuk berinfak pada jalan AlLah mereka jadi tangkai jering. Tetapi jika untuk kepuasan hawa & nafsu mereka sanggup berhabis-habisan. Misalnya mereka sanggup berhabis-habisan untuk melayan & menyempurnakan tuntutan hobi mereka walaupun sampai berjuta-juta.
          Tabiat manusia yang berjaya diyakinkan oleh sang setan dalam hati ialah  mereka berasa harta mereka akan cepat habis secara sia-sia jika disalurkan untuk membantu insan lain yang kurang berkemapuan. Sebab wang & harta itu pergi darinya tanpa membawa balik apa-apa ganjaran yang dapat dilihat di atas dunia. Berbeza perasaan mereka jika wang itu dibelanjakan untuk tuntutan hajat mereka, apa yang dibelanjakan itu akan dapat dimanfaatkan. Misalnya ada kalangan manusia yang sanggup terbang ke England untuk menonton perlawanan bola sepak, walaupun mereka terpaksa membayar tiket kapal terbang pergi & balik, walaupun mereka terpaksa membeli tiket lagi untuk masuk ke stadium, walaupun mereka perlu menyediakan wang untuk membeli makanan & minuman, tetapi apa yang dihabiskan mereka dapat rasa pulangannya.


No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters