Malam ini 23 Safar 1433- 17 Jan 2012
Tazkirah DwiMingguan di Masjid Mukim Pintu Gerbang,
Kg Telok Kemunting, Bachok, Kelantan.
Isnin malam Selasa Minggu 1 & 3
Surah asy- Syu’ara ayat 23 -35
Insya-AlLah. Sambungan Dialog Nabi AlLah Musa AS –
KalamulLah dengan Fir’aun
23. Firaun bertanya :
"Dan apa dia RABB sekalian alam itu?"
24. Nabi Musa
menjawab. " RABB yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya, - jika kalian orang-orang yang yakin.".
25. Firaun berkata
kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: "Tidakkah kamu dengar (apa yang
dikatakan Musa)?"
26. Nabi Musa
menegaskan lagi: "Dia lah RABB kamu & RABB datuk nenek kamu yang telah lalu."
27. Firaun berkata
(kepada orang-orangnya): "Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini,
sungguh gila?"
28. Nabi Musa
(menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaannya dengan) berkata:
"Dia lah RABB pemiliki dan penguasa timur dan barat serta segala yang ada
di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal"
29. Firaun berkata:
"Demi sesungguhnya! jika engkau menyembah ILAH selain daripadaku, sudah
tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan".
30. Nabi Musa
menjawab: "Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun Aku
membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?"
31. Firaun berkata:
"Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang
benar".
32. Nabi Musa pun mencampakkan
tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang sebenar.
33. Dan ia
mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar)
bagi orang-orang yang melihatnya.
34. Firaun berkata
kepada ketua-ketua kaum yang ada di kelilingnya: "Sesungguhnya orang ini
(Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
35. "Ia bertujuan
hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa cadangan
& syor kamu?"
23. Firaun bertanya :
"Dan apa dia RABB sekalian alam itu?"
Setelah
Nabi AlLah Musa AS menjelaskan dia utusan RABB sekalian alam, Fir’aun bertanya
siapa atau apa dia yang dikatakan RABB sekalian alam itu. Adakah RABB yang
dimaksudkan oleh Nabi AlLah Musa itu manusia sepertinya? Atau RABB itu
unsur-unsur alam yang lain. Secara tersirat Fir’aun cuba mengorek rahsia di
mana tempat tinggal RABB yang dimaksudkan Nabi Musa itu.
24. Nabi Musa
menjawab. " RABB yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya, jika kalian orang-orang yang yakin.".
Nabi
Musa AS menjelaskan RABB yang dimaksudkan itu DIA satu zat yang mencipta &
memiliki langit & bumi, serta apa-apa sahaja yang terdapat di antara
keduanya. Sama ada yang berada atas permukaan bumi atau yang tertanam berada
jauh di bawah bumi, seumpama emas, mineral, minyak, uranium dsb. RABB yang
dimaksudkan ialah AlLah SWT. AlLah SWT mencipta langit & bumi dari tiada
kepada ada, merekakan bentuk & coraknya. Menyusun letak segala bintang,
bulan, planet, & segala yang ada dengan satu pergerakan yang terkawal
setiap masa. Di bawah langit AlLah SWT
telah menciptakan jutaan bintang yang menjadi penghias malam dengan pelbagai
gunanya. Antara langit & bumi pula ada pelbagai nama udara tersedia untuk
kegunaan manusia seperti oksigen, nitrogen, karbon dioksida, helium, hidrogen, dsb.
Yang terpenting antara gas tersebut tentunya oksigen yang digunakan manusia 24
jam sehari tanpa henti.
Keberadaan
semua jenis ciptaan AlLah SWT ini untuk kegunaan manusia seharusnya memberi
& menerbitkan rasa yakin yang subur yang tidak berbelah & berbahagi kepada
kekuasaan AlLah SWT.
25. Firaun berkata
kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: "Tidakkah kamu dengar (apa yang
dikatakan Musa)?"
Fir’aun
tidak mampu menepis & menangkis hujah & penjelasan yang begitu kukuh
& jitu daripada Nabi Musa AS. Untuk mengelakkan daripada dia terus
dihinggap rasa malu, Fir’aun mengalihkan pandangan orang ramai daripada menerima
dakwah Nabi Musa AS dengan bertanyakan khalayak yang ada; adakah mereka
mendengar apa yang diberitahu oleh Nabi Musa itu. Walaupun memang Fir’aun sedia
tahu pada masa itu hanyak Nabi Musa yang bercakap & percakapan Nabi Musa AS
jelas, terang, & nyata.
26. Nabi Musa
menegaskan lagi: "Dia lah RABB kamu & RABB datuk nenek kamu yang telah lalu."
Nabi AlLah Musa AS terus menambahkan
keterangannya dengan mamaklumkan kepada Fir’aun bahawa AlLah SWT lah yang
mencipta kamu wahai Fir’aun, mengenyangkan kamu sewaktu makan, memberikan
penglihatan kepada mata kamu, bukan setakad itu sahaja bahkan nenek moyang Fir’aun
yang sama-sama mengaku Tuhan negeri
Mesir itupun AlLah SWT yang
menciptakannya. Kerana Fir’aun & nenak moyangnya tak pernah mencipta atau mampu
menjadikan apa-apa sama manusia ataupun makhluk lain.
27. Firaun berkata
(kepada orang-orangnya): "Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini,
sungguh gila?"
Keterangan & penjelasan Nabi Musa AS tentang AlLah
SWT sebagai RABB sekalian alam semakin jelas & nyata. Semakin lama semakin
jelas & tidak dapat dinafikan. Fir’aun menjadi hilang arah untuk terus berhujah
dengan hujah yang relevan. Untuk menutup kelemahannya yang semakin terserlah
& terdedah Fir’aun menuduh & melabelkan Nabi AlLah Musa AS sebagai
orang gila. Memang kesemua para anbiya pernah dilempar & dilumurkan dengan
tuduhan sebagai orang gila oleh pembesar-pembesar pada zaman masing-masing.
28. Nabi Musa
(menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaannya dengan) berkata:
"Dia lah RABB pemiliki dan penguasa timur dan barat serta segala yang ada
di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal"
Sedang dalam keadaan Fir’aun semakin hilang kawalan
& menuduh Nabi Musa AS dengan pelbagai tuduhan yang liar, Nabi AlLah Musa
AS terus menambah keterangan dakwahnya. Nabi Musa AS menegaskan bahawa AlLah
SWT itulah RABB pemilik dua mata angin; iaitu timur & barat serta apa
sahaja yang berada di antara keduanya. Pemahaman terhadap AlLah SWT sebagai
RABB timur & barat ini hanya dapat difahami hanya oleh orang-orang yang
bersedia menggunkan akal yang sihat sahaja. Orang yang tidak menggunakan akal
tidak mampu untuk memahami keadaan ini. Orang yang di bawah pengaruh adat &
resam tidak mampu untuk berfikir secara waras.
29. Firaun berkata:
"Demi sesungguhnya! jika engkau menyembah ILAH selain daripadaku, sudah
tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan".
Sememangnya dalam setiap zaman,
apabila penguasa tidak mampu untuk berdepan dengan hujah yang dihidangkan oleh
para anbiya, mereka akan menggunakan ugutan & kekerasan untuk menghalang
berlangsungnya dakwah ini. Hal & keadaan ini turut mewarnai dialog antara
Nabi AlLah Musa AS dengan Fir’aun. Fir’aun dengan tenteranya menggugut akan
memenjarakan sesiapa sahaja rakyat Mesir yang menyatakan imannya & mengikut
Nabi AlLah Musa dalam mentauhidkan AlLah SWT. Mereka fikir pagar besi mampu
menahan semarak dakwah. Mereka silap perkiraan & tesalah andaian. Kerana dakwah
yang masuk akan beraja & membentuk keyakinan dalam hati. Kehendak &
kemauhan hati tidak boleh dipenjarkan. Walaupun jasad & badan boleh
dikurung. Jiwa manusia tetap merdeka & tiada siapa yang mampu menjajahnya.
30. Nabi Musa
menjawab: "Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku
membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?"
Nabi
AlLah Musa AS terus membuka pintu dialog & perbincangan yang cuba ditutup
rapat-rapat oleh Fir’aun. Nabi Musa AS menawarkan kepada Fir’aun satu bukti
(mukjizat) yang diberikan AlLah kepadanya, adakah Fir’aun tidak mahu melihat
& berfikir tetapi tetap dengan keputusan untuk memenjarakan Nabi Musa AS. Ya
semua para nabi & rasul telah AlLah SWT bekalkan dengan kepelbagaian
mukjizat untuk menguatkan dakwah di samping melemahkan musuh. Mukzijat ini
mengikut keperluan semasa, sebab itulah mukzijat nabi ini pelbagai. Oleh sebab
zaman Nabi AlLah Musa AS masyarakat mengagumi & mendewa-dewakan ilmu sihir,
maka AlLah SWT mengurniakan mukjizat kepada Nabi Musa AS sesuatu yang boleh
menewaskan sihir.
Mukjizat ialah sesuatu kejadian yang
luar biasa yang diberikan AlLah SWT kepada hanya para anbiya & mukjizat ini
tidak boleh dipelajari kerana mukjizat ini datang terus dari sisi AlLah SWT. Para
anbiya yang diberikan mukjizat ini juga tidak mengetahui terlebih dahulu apakah
jenis mukjizat itu. Para anbiya hanya tahu itu mukjizat AlLah SWT kepadanya
setelah berlaku kejadian tertentu. Misalnya AlLah SWT meminta Nabi Musa AS
melontarkan tongkatnya, Nabi Musa AS pun tidak mengetahui apa yang bakal
terjadi sebelum itu, setelah dilontar barulah Baginda AS mengetahui apakah
jenis mukjizat itu.
31. Firaun berkata:
"Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang
benar".
Dalam ayat
ini, Fir’aun agak berlapang dada & membenarkan permintaan Nabi AlLah Musa
AS untuk menunjukkan bukti bahawa dia sebenar-benarnya utusan AlLah SWT. Fir’aun
meminta agar Nabi AlLah Musa AS menunjukkan mukjizat yang didakwakan itu jika
Nabi Musa AS betul-betul salah seorang daripada anbiya yang ada.
32. Nabi Musa pun mencampakkan
tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang sebenar.
Apabila
mendapat lampu hijau dari Fir’aun untuk ditunjukkan mukjizat tersebut, AlLah
SWT menitahkan kepada Nabinya supaya mencampakkan tongkat yang dipegang. Tanpa membazirkan
sisa-sisa masa yang ada Nabi AlLah Musa AS pun terus mencampakkan
tongkatnya ke tengah laman. Apabila tongkat
itu berada di tengah laman, tongkat tersebut bertukar menjadi seekor ular yang
sebenar, bukan ular jadian, atau menjadi ular pada imaginasi mata sahaja.
33. Dan ia
mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar)
bagi orang-orang yang melihatnya.
Seterusnya Nabi Musa AS mengeluarkan tangan dari
bajunya, dengan izin & kuasa AlLah SWT tangannya menjadi putih & bercahaya.
Keadaan ini dapat disaksikan oleh semua orang yang berada di istana Fir’aun. Tentunya
Fir’aun bertambah cemas apa yang dikatakan oleh Nabi Musa AS benar-benar real,
bermakna apa yang dakwanya bukan satu lawak jenaka ataupun pembohongan. Tentu sahaja
kebenaran ini akan menjadi ancaman kepada Fir’aun.
34. Firaun berkata
kepada ketua-ketua kaum yang ada di kelilingnya: "Sesungguhnya orang ini
(Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
Dengan segera Fir’aun memberitahu
semua ketua kaum yang ada, yang hadir dalam majlis itu, bahawa Nabi Musa ini
merupakan tukang sihir yang amat mahir, bukan nabi seperti dakwaan asalnya.
35. "Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari
negeri kamu dengan sihirnya, maka apa cadangan & syor kamu?"
Fir’aun
terus melemparkan tuduhan berniat jahatnya kepada Nabi Musa AS iaitu Nabi Musa
AS ingin menghalau mereka (fir’aun & kaumnya) dari bumi Mesir dengan
kekuatan sihir yang ada padanya. Lalu fir’aun meminta cadangan daripada para
pembesarnya bagaimanakah caranya untuk melawan Nabi Musa ini. sepatutnya Fir’aun
tidak meminta pandangan daripada pembesar-pembesarnya kerana dia mendakwa
dirinya Tuhan. Pelik sungguh ya, Tuhan minta pandangan dari manusia. Sepatutnya
pembesar Fir’aun menempelaknya semasa ini, tak kan lah Tuhan tak ada apa-apa idea
apabila berhadapan dengan keadaan yang genting ini. Peristiwa ini sengaja
dicerita & didedahkan oleh AlLah SWT agar manusia yang ada pada waktu itu
dapat berfikir, alangkah bodoh & kurang akalnya Tuhan Mesir ini.
No comments:
Post a Comment