13 Safar 1433- 07 Jan 2012
Masjid as-Solehin Kg Telok Kemunting, Bachok, Kelantan
Tafsir Surah az-Zaariyaat. Ayat 31 – 47
31.
Nabi Ibrahim bertanya: "(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu
wahai utusan?"
32.
Mereka menjawab: "Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa
(kaum Luth: untuk membinasakan mereka);
33.
"Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),
34.
"Batu-batu itu ditandakan (nama-nama mereka yang derhaka) dari sisi RABB kamu, untuk membinasakan
orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)".
35.
(setelah sampai utusan KAMI ke tempat itu), KAMI (perintahkan mereka)
mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.
36.
(Sesudah dipereksa) maka (utusan) KAMI tidak mendapati di situ melainkan sebuah
rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (Nabi Lut).
37.
Dan KAMI tinggalkan di negeri itu satu tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi
orang-orang yang takut kepada azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
38.
Dan juga pada (kisah) Nabi Musa (terdapat dalil-dalil kemahaperkasaan AlLah), ketika
KAMI mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.
39.
tetapi Firaun berpaling & mengingkarinya malah menuduh: "(Musa itu)
adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila!"
40.
Lalu KAMI menyiksa Firaun bersama-sama bala tenteranya, KAMI humbankan mereka
ke dalam laut, dalam keadaan tercela.
41.
Dan untuk kaum Aad KAMI kirim kepada mereka angin ribut yang membinasakan; -
42.
Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan
menjadikannya (hancur) seperti debu.
43.
Dan untuk kaum Thamud pula dikatakan
kepada mereka: "Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu "
44.
Maka mereka dengan angkuh menetang perintah RABB mereka, lalu mereka disambar
petir, sedang mereka melihatnya.
45.
Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak
mendapat pertolongan.
46.
Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; Sesungguhnya mereka
adalah kaum yang fasik .
Bala yang Menemani Umat Silam Yang Derhaka
31.
Nabi Ibrahim bertanya: "(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu
wahai utusan?"
Nabi AlLah Ibrahim AS bertanyakan kepada para Malaikat yang bertamu ke
rumahnya itu; selain daripada untuk menyampaikan khabar gembira iaitu dia &
isterinya Sarah akan dianugerahi seorang anak lelaki bernama Ishak, apakah
tugas lain yang lebih penting itu.
32.
Mereka menjawab: "Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa
(kaum Luth: untuk membinasakan mereka);
Mereka iaitu para Malaikat memberitahu tugas mereka yang lain yang lebih
besar itu ialah, untuk membinasakan satu kaum yang sedang berbuat dosa. Dosa
yang dilakukan oleh kaum tersebut ialah melazimi kelakuan gay & lesbian.
Kaum lelaki tidak lagi menjadikan perempuan sebagai isteri, tetapi memilih
sesama lelaki. Kaum perempuan pula memilih sesama perempuan untuk dijadikan
pasangan hidup. Kaum yang dimaksudkan itu ialah kaum Nabi AlLah Luth AS yang
berada di satu tempat yang bernama Sadom.
Penghujung tahun 2011 ada
rakyat negara kita yang diamanahkan belajar di Dublin, berbangsa Melayu
mengulangi sejarah jijik ini. Dia (Ariff Alfian Rosli) telah berkahwin dengan
seorang lelaki Inggeris bernama Jonathan. Apabila dikejam melalui pelbagai
media, Ariff menjelaskan ‘ walaupun dia berkahwin dengan sesama lelaki tetapi
imannya tidak terjejas langsung’. SubhanalLah. Ariff merupakan pelajar
cemerlang SPM & mendapat biasiswa Petronas untuk menekuni bidang perubatan.
33.
"Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),
Azab & bala yang bakal dikenakan kepada kaum Nabi AlLah Luth AS ialah
dihujani dengan batu-batu dari tanah yang siap dibakar.
34. "Batu-batu itu ditandakan (nama-nama
mereka yang derhaka) dari sisi RABB kamu, untuk membinasakan orang-orang yang
melampaui batas (dalam keingkarannya)".
Yang uniknya batu-batu yang
siap dibakar itu siap tertulis nama siapa yang bakal dihujaninya, kerana batu
itu datangnya dari AlLah SWT yang Maha Mengetahui siapakah yang melakukan
perkara yang melampaui kewarasan itu. Sama ada secara berpasangan atau dilakkan
secara berkumpulan.
35.
(setelah sampai utusan KAMI ke tempat itu), KAMI (perintahkan mereka)
mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.
Seterusnya para Malaikat itu
memberitahu prosedur untuk menurunkan bala tersebut; iaitu mereka akan
menjemput orang-orang yang beriman yang ada di Sadom itu supaya meninggalkan
tanah air kelahiran mereka. Setelah semua mereka yang beriman dengan Nabi AlLah
Luth AS selamat berhijrah barulah mereka akan menghujani saki-baki penduduk
yang derhaka tadi dengan hujan batu yang siap dibakar & yang siap tertera
nama masing-masing pada batu itu.
36.
(Sesudah diperiksa) maka (utusan) KAMI tidak mendapati di situ melainkan sebuah
rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (Nabi Lut).
Apabila para Malaikat itu
sampai di bumi Sadom merekapun bergerak dari satu rumah ke satu rumah yang lain
untuk menjemput & mempersilakan mereka yang beriman agar segera
meninggalkan bumi Sadom yang bakal dituruni hujan batu sebagai azab & bala
dari AlLah SWT.
Setelah mereka iaitu para
Malaikat selesai bergerak dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain, mereka
dapati hanya sebuah rumah sahaja yang beriman. Dengan erti kata lain hanya sebuah
rumah sahaja yang tidak terlibat dengan gejala gay & lesbian itu. Rumah itu
ialah rumah Nabi AlLah Luth AS. Disebut dalam sesetengah kitab tafsir penduduk
negeri Sadom pada masa itu berjumlah di sekitar 600 000 orang. Yang berfikiran
waras menolak pelakuan yang jijik itu berjumlah 3 orang sahaja; iaitu Nabi
AlLah Luth & 2 orang anak perempuannya. Isteri Nabi AlLah Luth juga tidak
mengimani ajaran yang dibawanya. Dia memilih untuk bersama golongan majoriti,
tidak memilih berada di pihak yang benar.
37.
Dan KAMI tinggalkan di negeri itu satu tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi
orang-orang yang takut kepada azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
Sudah menjadi sunnah AlLah SWT kesemua tempat & umat yang dibinasakan
DIA akan meninggalkan tanda/kesan untuk dijadikan pangajaran & iktibar
kepada umat yang datang kemudian. Samalah halnya dengan bumi Sadom. Oleh sebab
mereka melakukan hubungan jenis secara yang terbalik, selain daripada mereka
dihujani dengan batu yang dipanaskan & siap dengan nama masing-masing pada
batu tersebut, negeri mereka Sadom juga diperintah AlLah SWT agar diterbalikkan.
Tempat tersebut sekarang dikenali sebagai Laut Mati yang ada di negeri Jordan.
AlLah SWT mempelawa kita agar
memperuntukkan masa untuk melancong ke tempat-tempat yang sebegini agar kita
mendapat pengajaran & untuk menambah daya insaf. Hal yang sebeginilah
dikatakan lawatan sambil belajar. Apabila melawat ke tempat yang dilaknat ini
kita dilarang daripada mengambil sesuatu dari situ untuk dimanfaatkan. Misalnya
mengambil tanahnya untuk dipakaikan pada muka dsb.
38.
Dan juga pada (kisah) Nabi Musa (terdapat dalil-dalil kemahaperkasaan AlLah), ketika
KAMI mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.
Sama juga dengan perjalanan sirah
Nabi AlLah Musa AS. Ya sebuah perjalanan kehidupan yang dipandu & dimotori
wahyu. Tentunya tertera muatan kemahaperkasaan AlLah SWT sebagai pencipta
segala. AlLah SWT mengutuskan Nabi Musa AS untuk berdakwah kepada manusia yang
paling jahat dalam sejarah umat manusia iaitu Fir’aun. Nabi AlLah Musa AS berdakwah
kepada Fir’aun dengan membawakan mukjizat, bukan membawakan projek-projek. Mukjizat
yang dimaksudkan di sini sama ada mukjizat yang terdapat pada tangan & tongkat
atau mukjizat yang bernama Taurat. Kedua-dua mukjizat tersebut amat nyata
menunjukkan kemahaperksaan AlLah SWT.
Mukjizat merupakan sesuatu
yang luar biasa, menjadikan akal kita lemah untuk memahamnya, yang hanya
diberikan kepada para nabi & tidak boleh dipelajari. Mukjizat yang AlLah
SWT berikan pada para nabi berbeza mengikut keperluan semasa. Misalnya AlLah
SWT memberikan mukjizat dapat memahami percakapan segala jenis haiwan kepada
Nabi AlLah Sulaiman, Nabi AlLah Daud dapat melembut & membentukkan besi
tanpa menggunakan api, tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular & memakan
ular-ular yang lain, tongkatnya juga dapat membelah lautan, tongkat itu juga
dapat menerbitkan 12 mata air bila dipukul pada batu, Nabi Isa pula mukjizatnya
dapat menyembuhkan semua jenis penyakit termasuklah mengembalikan penglihatan
orang buta & yang buta sejak dilahirkan tanpa melalui proses pembedahan,
Baginda AS juga dapat menghidupkan orang mati.
39.
tetapi Firaun berpaling & mengingkarinya malah menuduh: "(Musa itu)
adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila!"
Walaupun hujah & mukjizat yang dibawa Nabi AlLah Musa AS untuk
menyokong dakwahnya cukup jelas & nyata, tetapi sudah menjadi perangai
golongan yang ada kuasa iaitu mereka mengingkarinya. Sama halnya juga dengan
Fir’aun, bukan sahaja dia mengingkari apa yang didakwahkan Nabi AlLah Musa kepadanya
malah dituduhnya Nabi Musa seorang tukang sihir & ada masa-masanya Fir’aun
menghasut rakyat Mesir agar tidak mengikuti ajaran Islam yang dibawa Nabi AlLah
Musa sebab dia seorang yang gila. Ya begitulah nasib pendakwah di sepanjang
masa akan dituduh dengan macam-macam yang sesuai dengan zamannya. Pada zaman
sekarang ini pendakwah akan dituduh sebagai pengancam keselamatan negara. Pemecah
belah masyarakat. Golongan yang tidak suka akan perpaduan dsb.
40.
Lalu KAMI menyiksa Firaun bersama-sama bala tenteranya, KAMI humbankan mereka
ke dalam laut, dalam keadaan tercela.
AlLah SWT membinasakan Fir’aun
& bala tenteranya dengan ditenggelamkan dalam air, makhluk yang paling
lembik. Ini merupakan satu bentuk penghinaan kepada Fir’aun yang mendakwa dia
sebagai tuhan Mesir tapi tewas dengan air yang lembik & lembut. Pelik ya,
tuhan tapi tak dapat menyelamatkan diri & nyawanya. Tuhan tapi mati dalam
keadaan yang hina & dicela sepanjang sejarah umat manusia. Nama Fir’aun
tercela pada setiap kali sejarahnya dibaca.
41.
Dan untuk kaum Aad KAMI kirim kepada mereka angin ribut yang membinasakan; -
Selain daripada umat Nabi Luth & umat Fir’aun yang menerima azab &
bala-NYA, AlLah SWT juga menjelaskan bahawa DIA juga telah memusnahkan kaum Aad
iaitu kaum Nabi Hud AS. Indikator pemusnahan umat Nabi AlLah Hud AS berbeza
dengan umat Fir’aun atau umat Nabi Luth AS. Kaum Aad dibinasakan juga dengan
makhluk AlLah yang lembut iaitu angin. Angin yang membinasakan itu dikirimkan AlLah
SWT selama 8 hari 7 malam.
42.
Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan
menjadikannya (hancur) seperti debu.
Cuma berbeza dengan angin yang
sedang kita rasai saban hari ini. Serangan angin yang dihantar AlLah SWT untuk
mereka yang derhaka dari kaum Aad itu menghancurleburkan manusia, jadilah
mereka seumpama debu yang berterbangan & tidak dapat dikesan lagi. Adapun umat
yang beriman kepada Nabi AlLah Hud AS tidak dikacau oleh angin tersebut, kerana
angin itu hanya mencari mangsanya yang terdiri daripada manusia yang derhaka. Nabi
AlLah Hud AS pula diperintahkan AlLah SWT membawa kaum yang beriman berhijrah
ke Hadaramaut, meninggalkan bumi al-Ahqaf kediaman asal mereka.
43.
Dan untuk kaum Thamud pula dikatakan
kepada mereka: "Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu "
Untuk kaum Thamud, umat yang
dibangkitkan Nabi AlLah Salleh untuk mendakwahkan, setelah mereka berpakat
membunuh unta yang mereka pinta, diberi ancaman bergembira untuk sehari dua
kerana azab & bala bakal tiba. Kaum Thamud meminta Nabi AlLah Salleh AS
agar mengeluarkan unta betina daripada dalam batu sebagai bukti kenabiannya. Setelah
bermunajat AlLah SWT mengizinkan keluarnya unta dari dalam batu itu. Tapi malangnya
mereka menjadi lebih tolol lagi, mereka menjalankan rancangan untuk membunuh
unta & juga Nabi AlLah Salleh AS. AlLah SWT mengizinkan perancangan mereka
untuk membunuh unta tetapi tidak untuk rancangan pembunuhan Nabi-NYA.
44.
Maka mereka dengan angkuh menetang perintah RABB mereka, lalu mereka disambar
petir, sedang mereka melihatnya.
Rangkaian angkuh & takabur
yang mendiami diri merekalah yang menyebabkan mereka menentang perintah AlLah
SWT berhabis-habisan. Ancaman & amaran yang disuarakan Nabi AlLah Salleh
agar tidak mengusik unta, mereka anggap sebagai gurauan sebagai mendengar lawak
jenaka di kaca tv sahaja. Lalu semua mereka yang derhaka; sama ada lelaki atau
perempuannya binasa apabila disambar petir & halalintar. Mereka tidak
melarikan diri masing-masing walaupun mereka nampak panahan petir yang datang
silih berganti itu mengenai seorang demi seorang manusia yang derhaka &
menentang ajaran Islam bawaan Nabi AlLah Salleh AS.
45.
Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak
mendapat pertolongan.
Apabila terkena sahaja panahan petir & halalintar itu mereka terus
rebah & tidak berdaya untuk bangun lagi. Masing-masing menerima balasan
yang sesuai dengan tahap keangkuhan masing-masing. Oleh sebab semua manusia
yang derhaka menerima azab, tiada lagi antara mereka yang mampu ditolong atau
memberi pertolongan. Kerana mereka sama sedang menerima azab & sengsara.
46.
Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; Sesungguhnya mereka
adalah kaum yang fasik .
AlLah SWT menjelaskan sebelum dibalai kaum yang agak kemudian itu, kaum
yang derhaka sebelum ini juga telah mengalami pengalaman & nasib yang sama.
Kaum yang dimaksudkan itu ialah kaum yang pertama dicatat dunia mendapat azab
& bala AlLah SWT iaitu kaum Nabi AlLah Nuh AS. Mereka yang derhaka
ditenggelamkan dalam banjir paling besar pernah berlaku dalam sejarah umat
manusia iaitu banjir yang menenggelamkan gunung-gunung pada masa itu. Ketabahan
Nabi AlLah Nuh AS dalam dakwah tidak tersangkal lagi, 950 tahun Baginda AS
berdakwah siang & malam tapi yang beriman kepada AlLah SWT & menjadi
pengikutnya hanya 80 jiwa. Anaknya, Kan’aan juga tidak termasuk daripada orang
yang beriman. Begitu juga dengan emak Kan’ aan, isteri Nabi AlLah Nuh AS. Mereka
dibinasakan kerana di sisi AlLah SWT mereka merupakan umat pendosa (fasik). Mereka
umat yang ketagihkan dosa.
No comments:
Post a Comment