Tazkirah Subuh Pagi Sabtu
Masjid as-Solehin Telok
kemunting &
Tazkirah Dwibulanan Sabtu
mlm Ahad
Masjid Tok Ku Yam, Pulau
Melaka
4 & 5 Rabiul Awal 1433 –
28 Jan 2012
Sejarah Tahun Gajah
|
Surah Al-Fil = Gajah
Surah ke-105, ada 5 ayat
Turunnya di Mekah
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ
الرَّحِيمِ
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ
الْفِيلِ [١٠٥:١]
Tidakkah engkau perhatikan
bagaimana RABBmu bertindak terhadap orang yang mempunyai gajah?
AlLah SWT memulakan Surah
al-Fil dengan pertanyaan; pertama pertanyaan ini ditujukan kepada Nabi Muhammad
SAW & yang kedua pertanyaan ini untuk kita umat Nabi Muhammad SAW. Sama ada
Baginda Nabi SAW atau kita, kedua-duanya tidak melihat kejadian tersebut. Sebab
orang yang ditanya masih belum lahir ke dunia lagi. Pertanyaan tersebut untuk
menguatkan berita penting yang akan disampaikan-NYA, yang ditujukan kepada
Baginda Nabi SAW pada mulanya & untuk kita akhirnya.
Semua ahli tafsir sependapat yang
dimaksudkan dengan tuan punya gajah, atau pemilik gajah, atau ahli gajah ini
merujuk kepada Abrahah. Abrahah pada masa itu menjadi pemerintah Yaman yang
berada di bawah jajahan takluk Habsyah. Agama yang dianutnya Kristian. Untuk
menunjukkan prestasi pemerintahan yang cemerlang di mata Najasyi, pemerintah
Habsyah, Abrahah telah membina sebuah gereja di Sana’a, ibu negeri Yaman.
Gereja tersebut diberi nama Qullais & sungguh cantik rekaciptanya, pendek
kata yang tercantiklah pada zamannya. Tujuan Abrahah membina gereja ini ialah
untuk menarik perhatian sekelian manusia pada zaman itu agar menukar tempat
mengerjakan haji; dari Mekah ke Sana’a, daripada mengunjungi Kaabah kepada
mengunjungi Qullais.
Setelah siap pembinaan gereja
tersebut, maka segala usaha digerakkan untuk mengajak manusia berkunjung ke
Sana’a. Pelbagai tawaran & pakej diperkenalkan untuk menarik minat
pengunjung ke negerinya, Yaman. Abrahah melihat kepentingan ekonomi apabila
manusia berkumpul di sesuatu tempat. Dengan makna pelbagai kegiatan ekonomi
dapat dijalan & diusahakan apabila manusia berkumpul. Malangnya segala
tawaran yang menarik & pakej yang diwara-warakan gagal secara total untuk
menarik pengunjung. Sebaliknya Mekah & Kaabah tetap menjadi pilihan manusia
walaupun tiada pelbagai janji tawaran yang menarik & memikat.
أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ [١٠٥:٢]
Tidakkah dijadikan rancangan
jahat mereka dalam keadaan yang rugi & memusnahkan mereka?
Apakah rancangan jahat Abrahah
itu? Rancangan jahat tersebut ialah Abrahah cuba mengalihkan tumpuan manusia
yang selama ini mengerjakan ibadat haji yang diwarisi daripada peninggalan Nabi
AlLah Ibrahim AS di Mekah menjadi pakej pelancongan ke Yaman pula. Untuk
menyaingi kemuliaan & keberkatan Kaabah, Abrahah membina sebuah gereja
pula. Secara tersirat Abrahah mahu menghapuskan syiar AlLah SWT di bumi ini.
Perancangan & niat jahat Abrahah yang mahu menggantikan gereja sebagai
saingan untuk Kaabah itu digagalkan AlLah SWT secara total. Perancangan tersebut
bukan sahaja menjadi gagal, malah mereka semua dibinasakan kerena perancangan
tersebut.
Manusia boleh merancang, tetapi pada
masa yang sama manusia perlu ingat, AlLah SWT telah lama membuat
perancangan-NYA. Tidak ada mana-mana manusia, tidak ada mana-mana kerajaan,
tiada mana-mana kuasa yang mampu untuk melawan perancangan AlLah SWT. Justeru
dalam setiap saat & masa perancangan AlLah SWT yang menjadi nyata.
Peristiwa ini perlu menjadi panduan
& pedoman untuk kita sebagai manusia, jangan sekali-kali cuba melawan
ketentuan AlLah SWT yang diterapkan-NYA menjadi syiar agama-NYA.
|
وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ [١٠٥:٣]
Dan dihantarkan kepada mereka
burung berpasuk-pasukan,
Perancangan AlLah SWT yang
berlaku ialah dihantar-NYA sekawan burung yang kecil. Bukan burung garuda, atau
burung helang. Pasti secara tersirat AlLah SWT memberitahukan bahawa sehebat
mana pun kerajaan yang dimiliki manusia di dunia ini, mereka tak berdaya untuk
menghadapi tentera AlLah SWT walaupun hanya bersaiz burung yang kecil. Ya,
almari sirah menyimpan kisah silam bagaimana raja Mesir yang dipanggil Fir’aun
tewas dengan makhluk AlLah SWT yang lembut & cair iaitu air. Fir’aun yang
mendakwa dia Tuhan negeri Mesir tak mampu menahan kemaraan air yang lembut
& lembik itu. Namrud yang tidak kurang angkuhnya itu pula hanya ditewaskan
oleh seekor nyamuk yang juga kecil & dilihat dari segi saiznya, cukup lemah
& daif, di samping mempunyai jangka hayat yang amat singkat.
Apa yang dapat kita faham, semua
makhluk AlLah SWT yang ada di sekeliling kita mampu menjadi tentera pada
bila-bila masa sahaja yang diperintah-NYA kepadanya. Tidak kiralah apakah
spesisnya; air, angin, api, tanah, binatang, pepohonan, kerana mereka merupakan
hamba yang taatkan khalid. Segala titah & perintah Sang Khalid tidak pernah
dilanggari, semua titah & perintah akan dilaksanakan dengan sesempurnanya
& secepat mungkin.
تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ [١٠٥:٤]
Yang melontar mereka dengan
batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar
Kehadiran rombongan yang
dikirim AlLah SWT kepada geng-geng gajah bukan untuk bernyanyian riang dengan
tujuan menghiburkan, tapi sekawanan burung tersebut membawa batu yang mengikut
sesetengah riwayat dikatakan berasal dari Neraka Sijjin. Batu-batu dilepaskan
dari atas & mengenai Abrahah & barisan tenteranya.
Tentunya batu yang dibawa oleh sang
burung itu lebih kecil daripada saiz fizikal burung-burung itu. Mungkin batu
itu hanya sebesar biji getah atau sebesar biji jagung sahaja. Seekor burung
membawa bersamanya 3 biji batu; satu di mulutnya sementara 2 biji batu lagi ada
pada kakinya.
Maha Suci AlLah SWT, batu yang begitu
panas itu tidak memberi bekas sedikitpun pada paruh & kedua-dua belah kaki
burung walaupun mereka membawanya untuk sekian lama. Tapi apa pula yang berlaku
bila batu tersebut mengenai Abrahah & tentera-tenteranya? Untuk menjawab
soalan ini, AlLah SWT telah menjelasakannya dalam ayat terakhir dalam Surah
al-Fil ini.
فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ [١٠٥:٥]
Menjadikan mereka hancur
berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
SubhanalLah. Batu yang tidak
memberi kesan sedikitpun kepada semua burung yang membawanya; sama ada pada
paruhnya atau kedua-dua kakinya itu apabila terkena Abrahah & barisan bala
tenteranya meninggalkan kesan yang amat mendalam & memeritkan. Abrahah &
barisan tenteranya menjadi seperti daun kayu yang dimakan ulat. Berlubang-lubang
di sana sini dengan maksud batu-batu yang kecil itu menembuskan kulit &
daging Abrahah serta barisan tenteranya.
Sebahagian mereka mati serta-merta di Mekah & sebahagian lagi mati dalam
perjalanan balik ke Yaman & hanya sedikit sahaja saki baki tentera Abrahah
yang sempat sampai & mati di Yaman.
Ya pada tahun
inilah Baginda Nabi Muhammad SAW dilahirkan. Diperkirakan setelah 50 hari
berlalunya tragedi cubaan meruntuhkan Kaabah inilah, lahirnya zuriat yang
paling mulia & utama yang pernah berada untuk memijak maya. Baginda tidak
lain & tidak bukan, itulah manusia yang dinamakan oleh datuk nya dengan
nama Muhammad bin AbdulLah. Jadi kepada orang Mekah, peristiwa yang bersejarah
itu; serangan tentera gajah itulah dinamakan orang sebagai Tahun Gajah. Serangan
barisan tentera bergajah ini tentunya berlaku dalam bulan Muharram.
No comments:
Post a Comment